CINTA DARI IBLIS
Bab
12
“HELLO…! Wey.. kamu dengar tak aku cakap ni??” Soal Aaira
sambil menggawang-gawangkan tangannya di depan muka Mikayla.
Mikayla seakan terlopong kaku. Mereka berdua sedang
makan tengah hari di kafe hospital waktu itu. Baru Mikayla nak menyudukan nasi
ke mulutnya, Aaira memberitahunya yang Ziyad nak masuk meminangnya. Mana tak
terlopong dia. Sudahlah dia terkejut mendengar cerita Aaira mengenai Kairi yang
melamarnya.
“Wey…
kamu dengar tak ni? Kamu setuju tak?” Tanya Aaira yang sudah tahu isi hati
rakan karibnya itu.
“Kalau kamu setuju nanti kita buat majlis sekali
tau!” Kata Aaira lagi.
Kali ini digoyang-goyangnya bahu Mikayla. Tumpah
semula nasi dalam sudu yang dipegang Mikayla masuk ke dalam pinggan. Bagai baru
terjaga dari mimpi, Mikayla meletakkan semula sudunya ke dalam pinggan lalu
menekup mukanya.
“Weyy…!”
Katanya sedikit terjerit.
Mukanya masih dipekupkan. Lantas Aaira menarik
tangan yang menekup mukanya sambil berkata,
“Yeee…
kita nikah sekali…!” Balasnya tersengih.
Mikayla merenung Aaira dengan mata yang mula
berair. Digenggamnya tangan Aaira. Mereka sama-sama tergelak sambil Mikayla
mengesat mata.
MAJLIS pertunangan Aaira berlangsung dengan begitu
sederhana. Hanya keluarga bakal pengantin sahaja yang ada. Tidak dimaklumkan
kepada siapa pun perihal pertunangannya. Kawan-kawan di tempat kerjanya juga
tidak tahu.
Aaira kelihatan manis berbaju kurung moden berwarna
merah jambu yang diserikan dengan hiasan labuci. Cincin risik dan cincin tunang
disarungkan ke jari Aaira sebagai tanda. Keluarga kedua-dua belah pihak
bersetuju menetapkan tarikh pernikahan kurang 2 bulan dari hari pertunangan
mereka. Benda baik elok dicepatkan.
Selang seminggu selepas itu pula, keluarga Aaira
berkunjung ke rumah Mikayla untuk menyarungkan cincin pertunangannya. Majlis
itu juga diadakan dengan begitu sederhana. Tarikh pernikahan Ziyad dan Mikayla
ditetapkan pada hari yang sama dengan Kairi dan Aaira.
Memandangkan rumah keempat-empat keluarga pengantin
hanya berdekatan, di bandar yang sama, mereka bersetuju untuk melangsungkan
majlis perkahwinan 2 pasang pengantin itu serentak di sebuah dewan hotel
sahaja. Tiada lagi majlis resepsi di sebelah lelaki selepas itu.
Aaira dan Mikayla berpakat untuk merahsiakan sahaja
pertunangan mereka dari kawan-kawan di tempat kerja buat sementara ini. Dan
bermulalah persiapan keluarga-keluarga itu untuk majlis tersebut. Empat orang
bakal pengantin berdarah manis itu juga sibuk ke sana ke sini membuat
persiapan. Menempah dewan hotel, katering, kad jemputan, menyiapkan hantaran
dan sebagainya.
Ke mana-mana pun mereka bersama. Hubungan mereka
menjadi lebih akrab.
ZIYAD bercadang untuk memberikan gelang tangan emas
sebagai mas kahwin kepada Mikayla, selain sejumlah wang. Boleh disarungkan
semasa upacara batal air sembahyang.
Jadi hari itu mereka berempat pergi melihat-lihat barangan kemas.
“Kita macam mana awak?” Tanya Kairi.
“Macam mana apa?” Soal Aaira kembali.
“Nak batal air sembahyang nanti… diorang pakaikan
gelang. Kita? Takkan nak terus kiss
kot.” Selamba dia berseloroh.
“Awak nak gelang jugak?” Tanyanya sambil
memerhatikan Mikayla dan Ziyad yang sedang sibuk memilih gelang.
“Emm…ini
sebagai mas kahwin kan?” Soal Aaira kembali.
“Ha’ah..betul.”
Kairi mengiyakan.
“Kalau saya nak rantai leher boleh tak? Dekat sikit
dengan hati.” Jawab Aaira bersahaja.
“Saya nak pakai terus je nanti, tak nak
tanggal-tanggal lagi. Mas kahwin dari awak..” Sambungnya lagi.
“Romantik jugak awak ni ek?” Kairi tersenyum suka.
“Taklah sebenarnya saya tak minat sangat pakai
gelang, susah nak buat patient. Nanti
boleh tersangkut atau mengakibatkan kecederaan…” Balasnya pula sambil buat muka
selamba.
Kairi memuncungkan mulutnya.
“Alaa.. Baru
je nak berbunga-bunga..” Ujarnya mencemik. Aaira ketawa.
Aaira memilih rantai dengan loket berbentuk bintang
sebagai pemberian mas kahwin dari Kairi nanti. Manakala Mikayla memilih seutas
rantai tangan dengan hiasan berbentuk hati. Bercahaya wajah masing-masing dapat
memilih barang perhiasan yang berkenan di hati.
Aaira suka betul dengan rantai berloket bintang
yang dipilihnya bersama Encik Tunang. Betul-betul menepati citarasanya untuk
dijadikan pemberian istimewa dari bakal suami di hari bahagia nanti. Senyum
sahaja dua jejaka tersebut melihat kegembiraan terpancar jelas di wajah kekasih
hati masing-masing.
Selesai urusan jual beli di kedai emas tersebut,
mereka bergerak menuju ke sebuah restoran makanan segera tak jauh dari situ.
Sudah berkeroncong perut masing-masing setelah seharian tidak diisi.
“Eh korang semua pergilah dulu. Perut ni buat hal pulak.”
Ujar Kairi sambil memegang perut.
Ziyad memimpin tangan Aaira untuk melintas jalan.
Manakala Aaira memegang tangan Mikayla. Beriringan mereka berjalan melintas
jalan menuju ke arah restoran makanan segera di seberang jalan. Baru mereka
sedang berkira-kira membuat pilihan menu makanan yang digemari di kaunter,
Kairi sudah terpacul di situ.
“Perut awak dah ok ke?” Tanya Aaira.
“Err…ok
dah…” Balas Kairi pendek sambil mengangkat ibu jari.
“Adik dengan Mikayla pergilah cari tempat duduk
dulu, nanti abang long dengan Kairi bawakan makanan.” Sampuk Ziyad, menyuruh
gadis-gadis itu duduk menunggu di tempat duduk.
“Kitorang duduk
kat atas tau. Best sikit.” Pesan
Mikayla pula sebelum menarik tangan Aaira mengikuti langkahnya.
“Situ takde
orang.” Ujar Aaira, sambil menuding jari ke arah sebuah meja di bahagian tepi
cermin tingkap.
Tidak berapa lama selepas itu, Ziyad dan Kairi
muncul bersama dulang berisi makanan. Ziyad meletakkan dulang di tangannya
dengan cermat ke atas meja. Kairi pula mula menyelup kotak besar berisi ayam
goreng dan meletakkannya ke dalam bekas kotak yang disediakan sebagai pinggan.
Dibahagikannya bekas itu kepada mereka.
“Aku nak peha..” Pinta Ziyad.
Kairi menghulurkan bekas berisi peha ayam kepada
Ziyad. Kemudian diletakkan sebuah bekas di hadapan Aaira. Berkerut dahi Aaira
melihat tiada ayam goreng di dalam bekas tersebut. Sebaliknya, hanya ada sebuah
bekas kecil barang perhiasan emas di tengah-tengah bekas tersebut.
“Apa ni?” Tanyanya kepada Kairi. Mengharapkan
penjelasan.
Kairi hanya tersenyum ceria. Aaira menoleh
memandang Ziyad dan Mikayla pula. Mereka hanya tersenyum-senyum sambil
mengangkat kening. Kemudian perlahan-lahan Aaira mencapai bekas itu dan
membukanya.
Ada seutas rantai tangan emas berpotongan halus
dengan reka bentuk hiasan bola boba kecil di dalamnya. Aaira mengeluarkan
rantai tangan tersebut dan membeleknya.
“Cantiknya…” Puji Aaira dalam hati.
Bersinar matanya melihat utas rantai tangan
tersebut. Aaira memang lebih suka reka bentuk barang perhiasan yang kecil-kecil
gaya minimalis begitu. Nampak comel dan ringkas. Dia tidak begitu berminat
memakai barang kemas yang besar dan tebal berlapis-lapis, seperti sesetengah
gadis yang lain.
“Untuk saya ke?”
Tanyanya tidak sabar.
Rasa nak pakai sekarang-sekarang tu juga! Padahal
tadi sombong aje jawapannya pada
Kairi bila ditanya tentang rantai tangan.
“Saya tahu awak sebenarnya bukan tak suka rantai
tangan…. Tapi tak selesa nak pakai sambil rawat pesakit…kan?” Tanya Kairi lembut.
“….tapi yang ini awak kena pakai jugak. Sebab ini
dari saya…” Ujarnya lagi.
“Lagipun, reka bentuknya ringkas, takde tajam-tajam
cucuk tangan, tak cederakan pesakit, dan tak ganggu awak buat kerja.”
Sambungnya lagi.
“Macam mana awak tahu….” Ujarnya perlahan antara
dengar dengan tidak. Terharu dengan sikap Kairi yang begitu prihatin dan
memahami isi hatinya.
“Saya tahulah…saya dah tengok dah dalam mangkuk
jampi Pak Belalang.” Selorohnya sambil tersengih-sengih, merujuk kepada filem
Melayu lama Nujum Pak Belalang, arahan bintang lagenda Tan Sri P.Ramlee.
Aaira tertawa kecil, cuba menyedut kembali air
jernih yang sudah mula bertakung di kelopak matanya. Kairi memang pandai
mengambil hati Aaira, membuatkan gadis itu rasa dirinya sangat dihargai dan
disayangi.
“Tapi awak kena pakai sendirilah, saya tak boleh
pakaikan lagi, nanti batal air sembahyang.” Guraunya lagi.
“Sini, abang long pakaikan.” Tawar Ziyad.
Aaira menghulurkan tangannya dan rantai tangan itu
kepada abangnya. Ziyad memakaikan rantai tangan itu di tangan kanan adiknyanya
dengan cermat. Aaira sudah rasa seperti mahu bangun berpusing-pusing di situ
sambil menyanyi lagu Hindustan sebaik rantai tangan itu sudah dikemaskan di
pergelangan tangannya.
“Suka la tu…” Perli si abang. Aaira hanya
menjelirkan lidahnya kepada Ziyad.
“Saya punya takde
ke…” Mikayla yang diam sejak tadi tiba-tiba bersuara.
“Ahh…sudah… kaulah ni… lain kali nak buat tu ajak
aku sekali.” Marah Ziyad pada si Kairi.
Mereka hanya menyambutnya dengan ketawa.
“Err…nanti
kita pergi kedai tu balik ea…” Ujar
Ziyad cuba memujuk si buah hati.
Mikayla menarik muka, pura-pura merajuk, sebelum
turut sama mentertawakan Ziyad yang sudah tergaru-garu kepala itu. Mungkin
Ziyad perlu mengambil kelas khas dari Kairi, tentang cara-cara menjadi seorang
lelaki yang romantik.
Mereka berempat menjamu selera sambil bergurau
senda dengan riang. Aaira sekejap-sekejap mengerling rantai di tangannya.
Keciwi lah tu!..., bak kata orang Kedah. Kairi yang memerhatikannya dari tadi
tersenyum bahagia melihat gelagatnya.
SEDAR tak sedar hanya tinggal tak sampai 3 minggu lagi
dari tarikh yang telah mereka tetapkan.
Petang itu Aaira dan Mikayla mengedarkan kad
jemputan kahwin mereka kepada rakan-rakan sekerja. Mereka menghampiri Syuhada,
Fisha, Kak Aisyah dan Fikri yang sedang berkumpul berbual di meja besar yang
terletak di ruang gimnasium Unit Fisioterapi.
Aaira menolak kad jemputan di atas meja
perlahan-lahan.
“Korang
semua.. jemput datang eh..” Ujar
Aaira.
“Wey! Kau
nak kahwin ke Aaira?” Soal Fisha terkejut.
Serentak itu Fikri tersentak. Berubah terus
mukanya.
“Haah..
saya pun nak kahwin.” Ujar Mikayla pula.
“Habis tu mana kad kahwin kau?” Soal Kak Aisyah
pula.
Belum sempat Mikayla menjawab, Syuhada memintas.
“Ziyad Zaquan dengan pasangannya Alifatul Mikayla
& Kairi Mirza dengan pasangannya Aaira Annayra.” Bacanya dari kad yang
dipegangnya.
“Weyy…. korang
kahwin sekali! Betul-betul best friend
forever and ever nii..!” Ujar Fisha teruja.
Tak semena-mena Fikri merampas kad di tangan
Syuhada. Dibacanya sekejap sebelum dia memanggungkan kepala memandang Aaira
dengan mata yang merah berair dan muka yang bengis. Kemudian dia bingkas
berdiri dengan kasar, sehingga kerusi yang didudukinya terdorong ke belakang
menghasilkan bunyi yang kuat.
Terus dia melangkah pergi sambil merengus marah.
Terkedu semua yang ada di situ. Suasana yang tadinya agak riuh tiba-tiba
menjadi senyap sunyi. Mereka yang berada di meja hanya pandang-memandang antara
satu sama lain. Aaira diasak rasa bersalah.
Beberapa minit sebelum masa untuk pulang, Aaira dan
Mikayla masuk ke bilik ketua mereka pula untuk memberikan kad.
Setelah mengetuk pintu dan memberikan salam, mereka
masuk dan memaklumkan tujuan mereka. Encik Azrun hanya mengambil kad tersebut,
dan mengangguk. Kemudian dia menyambung kerjanya. Serius sahaja mukanya.
Tetapi Aaira dan Mikayla tidak merasa kekok atau
terperanjat. Mereka menerima reaksi bos mereka itu dengan tenang. Dari awal
lagi gadis-gadis itu sudah mendengar cerita tentang apa yang berlaku pada Encik
Azrun. Dia sedang bermasalah dengan bekas isterinya.
Bekas isterinya yang berbelas tahun lebih muda dari
Encik Azrun menghalangnya dari berjumpa dengan anak-anaknya. Mereka telah
berpisah beberapa tahun sebelum ini dan baru-baru ini bekas isterinya itu telah
berkahwin lain dengan lelaki yang sebayanya. Tak pasti pula apa yang terjadi
antara mereka baru-baru ini sehingga bekas isterinya itu menghalang Encik Azrun
dari berjumpa dengan 4 orang anaknya yang masih bersekolah.
Sementara itu, Fikri sedang berada dalam keadaan
tidak terurus. Selepas kejadian tadi terus dipecutnya kereta balik ke rumah
walaupun belum tamat waktu bekerja. Pulang saja ke rumah, habis ditendang
ditumbuk dan dibalingnya semua barangan di dalam rumah yang dapat dicapainya.
Habis bersepah.
Tangannya yang sudah mula berdarah dan kakinya yang
sakit kerana menumbuk dan menendang barang-barang yang keras langsung tidak
dipedulikannya. Hatinya jauh lebih parah sakitnya.
Kemudian dia terduduk tersandar keletihan di
dinding. Perlahan dia menyelup poket dan mengeluarkan dompetnya. Dibukanya.
Kelihatan gambar Aaira yang berukuran passport tersemat di situ. Ya, gambar
itulah yang diambilnya dari carta organisasi di unit.
Dia merenung gambar itu dengan hati yang remuk
redam. Jatuh air mata lelakinya mengenangkan gadis pujaan hatinya itu akan
berkahwin dengan lelaki lain tak lama lagi. Dia tak rela perkara itu berlaku.
Tak rela!
“Arrrrgghhhhhh…!!!!“ Pekiknya sekuat-kuat hati.
Kemudian dia menangis teresak-esak seperti seorang
anak kecil. Makin lama makin kuat esakannya.

No comments:
Post a Comment