CINTA DARI IBLIS
Bab
13
HANYA
tinggal beberapa hari saja
lagi sebelum tibanya hari bahagia mereka berempat. Hari itu adalah hari
terakhir Aaira bekerja sebelum mula bercuti untuk membuat persiapan akhir.
Tetapi selepas majlis yang akan diadakan pada hujung minggu, Aaira akan kembali
bekerja.
Manakala Mikayla pula akan bekerja sehingga sehari
sebelum majlis, dan meneruskan cuti beberapa hari selepas majlis. Mereka
terpaksa bergilir mengambil cuti. Lagipun, Kairi agak sibuk dengan peperiksaan
untuk pelajar-pelajarnya. Jadi mereka merancang untuk berbulan madu semasa
Kairi cuti semester nanti.
“Korang
semua, jom… bos buat makan-makan kat pantri.” Ajak Kak Aisyah.
Aaira yang menoleh ke arah Kak Aisyah terpandang
Fikri di belakangnya. Serta merta Fikri berlalu pergi dari situ. Fikri dah tak
macam dulu lagi. Dia mulai menghindarkan diri dari Aaira. Bila ternampak Aaira,
dia akan cepat-cepat menjauh. Aaira langsung tak berpeluang berbual dengannya.
Sikapnya juga berubah menjadi seorang perengus. Tak
boleh ada salah sikit, cepat saja dia naik angin. Pakaiannya juga nampak tak
terurus. Dan dia kembali memakai rantai dan subang yang sebelum ini sudah lama
ditinggalkan. Rokok juga menjadi sahabat karibnya, walaupun di dalam kawasan
hospital. Teguran dan amaran Encik Azrun pun tidak dipedulikannya sehinggakan
ketua mereka itu pun malas nak ambil peduli lagi.
Riuh mereka membahagikan makanan dan minuman di
pantri. Mereka yang berada paling dekat dengan meja, saling mengedar dan
menghulurkan makanan kepada rakan yang lain. Aaira menyambut minuman yang
dihulurkan oleh Encik Azrun sambil matanya masih tercari-cari kelibat Fikri.
Dia masih dicengkam rasa bersalah. Langsung dia
tidak berniat mahu menyakitkan atau melukakan hati lelaki itu. Sebelum
mendorong gelas minuman ke bibirnya, spontan dia membaca,
“Bismillahirramanirrahim..
Bismillahilladzi la yadhurru ma’asmihi syai’un fil’ardhi wala fissama’i
wahuwassami’ul alim..”
Sebanyak 3 kali.
“Pranggg!” Tiba-tiba gelas di tangan Aaira meletup
dan berkecai jatuh ke lantai. Terkejut Aaira dan semua yang ada di situ.
“Err…
maaf.. saya terlepas pegang..” Ujar Aaira.
Walhal gelas itu meletup ditangannya. Mikayla pun
nampak. Mereka yang lain meneruskan majlis sementara Mikayla membantu Aaira
mengemaskan kaca yang pecah di lantai.
Fikirannya masih bertumpu kepada Fikri. Perubahan
Fikri membuatkan dia serba salah. Lagipula, sejak beberapa hari ini emosi Aaira
kurang stabil. Fikirannya berkecamuk. Dia rasa kusut, gelisah, berserabut…serba
tak kena. Sekejap dia rasa nak macam nak menangis. Sekejap pula dia rasa macam
nak telan orang. Sensitif dan marah-marah.
SUBUH itu Aaira bangun malas-malas. Biasanya sebelum
Subuh lagi dia sudah bangun membersihkan diri. Sempat juga dia mendirikan solat
Tahajjud walaupun hanya 2 rakaat. Tetapi pagi itu dia rasa begitu mengantuk dan
malas. Dipejamkan kembali matanya setelah mematikan alarm di telefon bimbitnya.
Sehinggakan sudah beberapa ketika masuk waktu, baru
dia terbangun. Diketuk-ketuk sekejap belakang pinggangnya sambil duduk di birai
katil. Kemudian dipicit-picitnya pula peha dan betisnya. Semuanya terasa lenguh
dan sakit. Bukan itu saja, dari semalam lagi perutnya rasa kembung. bahagian
dadanya juga rasa sakit. lambat-lambat dia bangun menuju ke bilik air.
“Laa.. patutlah..sakit sangat..period..” Gumamnya dalam hati.
Diteruskan juga niatnya membersihkan diri. Selesai
menggosok gigi di sinki, dibelek-belek sekejap wajahnya di cermin. Dia perasan
ada jerawat di dagunya.
“Ala..dekat nak majlis ni..naik jerawat pulak..”
Rungutnya sendiri.
Geram, dipicitnya jerawat itu. Tapi tergamam
sekejap dia apabila yang keluar bukan nanah, tapi ulat! Aaira terjerit.
Kemudian dia nampak lebih banyak jerawat seperti
itu tumbuh di mukanya. Besar-besar dan bengkak mengeluarkan sebahagian dari
ekor ulat terkodek-kodek di situ. Semakin lama semakin banyak sehingga memenuhi
keseluruhan mukanya. Terjerit-jerit Aaira panik dan takut. Seperti orang yang
terkena histeria.
Terkocoh-kocoh Ziyad dari bilik sebelah berlari
mendapatkan adiknya.
“Adik! Kenapa?! Buka pintu ni!” Pekiknya sambil
mengetuk-ngetuk pintu.
Aaira yang baru berlari keluar dari bilik air terus
menerpa membuka pintu biliknya.
“Abang long..! Tengok muka adik ni muka adik dah
buruk!!” Teriaknya
“Ada ulat abang long ada ulat! Adik geli…!”
Menangis-nangis Aaira ketakutan.
“Hah?!” Ziyad terpinga-pinga. Diletakkan kedua
belah tangannya di pipi adiknya.
“Mana ada..kat mana? Tak adalah adik…” Ujarnya
sambil membelek-belek muka adiknya. Aaira terhenti menangis.
“Ha…? Tak ada..?!” Tanyanya bingung, masih tersedu-sedu.
“Tak ada apa-apa pun muka adik…cuba tengok sini.”
Ujar Ziyad sambil menarik tubuh Aaira menghadap cermin di meja solek.
Aaira terkejut melihat cermin. Mukanya bersih tak
ada apa-apa. Jerawat yang sebutir di bawah dagunya tadi pun tak ada.
“Kenapa ni? Kenapa adik jerit-jerit?” Soal ibunya
yang baru sampai bersama ayahnya dari bawah.
Aaira menoleh ke arah mereka. Tak tahu dia macam
mana nak menjelaskan apa yang berlaku tadi. Mereka saling pandang-memandang
anak beranak.
AKHIRNYA hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Hari yang
bakal menyaksikan penyatuan empat jiwa.
“Ziyad..adik..kamu berdua dah siap ke?” Tanya
Makcik Maryam yang sedang menghampiri pintu bilik Aaira yang terbuka luas.
Sibuk Ziyad keluar masuk bilik adiknya itu tadi.
Sekejap dia masuk mencari butang baju Melayu. Sekejap dia meminta adiknya
mengikatkan sampin pula. Sampaikan sikat rambut pun dibelasah adiknya punya.
Tak tentu arah dia berdebar nak berdepan dengan Tok Kadi. Picit dahi Aaira
melihat tingkahnya. Terbayang dia apalah agaknya keadaan Kairi sekarang.
“Adik dah, ibu. Abang long tu ha. Tak siap-siap.
Belum pakai lipstik kut. Lambat mengalahkan orang yang pakai mekap.” Bebel
Aaira yang sedang duduk di meja solek sambil menyindir abangnya di bilik
sebelah.
Hari itu Aaira hanya bersiap sendiri. Dia
mengenakan solekan ringkas ala-ala ‘natural
look’ di wajahnya. Dia tidak menggunakan khidmat Mak Andam. Baju juga tidak
disewa di butik pengantin. Sebaliknya dia memilih untuk membeli sehelai jubah
moden kosong tanpa corak dengan design
dan potongan yang cantik ala-ala princess.
Dia dan Mikayla sepakat membeli jubah dengan jenis
yang sama sebagai busana pengantin mereka. Hanya warna yang berbeza. Aaira
memilih warna hijau lembut manakala Mikayla memilih warna biru lembut. Aaira membetul-betulkan
tiara di atas kepalanya sambil menunggu abangnya siap.
“Siap dah ibu. Handsome
tak?” Soal Ziyad sambil berdiri di depan ibunya.
Kacak sungguh dia menggayakan baju Melayu berwarna
biru lembut itu. Siap bersampin dan bertanjak.
Senyum Makcik Maryam melihatnya. Kemudian dia
berkalih pula melihat Aaira yang sudah berdiri. Persis seorang puteri kisah
dunia khayalan!
Makcik Maryam terasa matanya basah.
“Kalau tok tengok kamu berdua hari ini, mesti
gembira tak terkata dia. Cantik sangat anak-anak ibu. Macam anak raja. Kalah
artis.” Gurau ibu mereka sambil mengesat mata.
“Kalau dah siap kita dah boleh gerak ni..” Laung
Pakcik Usman dari bawah.
Akad nikah dan kenduri diadakan serentak di dewan
hotel. Adat bersanding tidak termasuk dalam rancangan mereka untuk majlis ini.
Hanya ada pelamin kecil untuk pengantin bergambar kenangan nanti. Hadirin sudah
memenuhi ruang dewan. Semua sanak saudara dan rakan taulan berkumpul
memeriahkan majlis. Kak Hanim, cinta pertama Ziyad pun ada. Sudah 2 orang
anaknya.
Di atas pentas kelihatan keempat-empat pengantin
sudah siap duduk di atas bantal alas yang disediakan. Ahli keluarga terdekat
ikut duduk bersama mereka. Sekarang giliran Ziyad berdepan dengan Tok Kadi.
Sekejap lagi Kairi pula. Berpeluh mereka berdua nak melepasi bahagian yang satu
ini. Jantung usah cakaplah, rasa macam orang sebelah pun boleh dengar.
Aaira dan Mikayla menunduk sahaja dari tadi.
Malu-malu betul pengantin-pengantin perempuan ini. Mikayla ada juga tersenyum
memandang bakal imamnya dan berbual kecil dengan keluarganya di sampingnya.
Tetapi Aaira langsung tak panggung kepala.
Yang sebenarnya Aaira sedang cuba melarikan
pandangannya dari satu susuk lembaga yang mengerikan sedang tajam
memerhatikannya. Mukanya terkoyak-koyak dengan kesan darah yang masih basah.
Sebahagian isi dagingnya bergantungan di pipi dan dagunya dan darah
menitik-nitik dari hujungnya. Lantai tempat dia berdiri bertakung dengan darah.
Sebenarnya sejak masuk ke dewan tadi Aaira sudah
nampak lembaga itu merenungnya tajam. Tetapi dia tidak mengganggu Aaira. Dia
hanya berdiri merenung Aaira di satu sudut. Ke mana Aaira pergi, di situ dia
berdiri merenung. Aaira hanya mampu melarikan pandangan dan berharap lembaga
itu menghilang.
Ziyad dan Mikayla sudah sah menjadi suami isteri
dengan sekali lafaz, walaupun terketar-ketar Ziyad di depan Tok Kadi. Sekarang
tiba giliran Kairi. Dikerling sejenak pada Aaira, cuba mencari kekuatan sebelum
melafazkan akad. Tetapi Aaira masih menunduk ke bawah, sedikit pun tidak
dipandang bakal suaminya.
“Aku terima nikahnya Aaira Humaira Binti Usman…”
Tergagap-gagap Kairi sebelum merasa bahunya diurut perlahan.
“Annayra…” Bisik Pakcik Usman perlahan ke
telinganya.
Kairi rasa nak tepuk dahi. Itulah, bila datang
penyakit gatalnya mesti dipanggilnya Aaira dengan gelaran Humaira.
Sampai tersasul dah di depan Tok Kadi. Terdengar
hadirin yang ada tertawa perlahan. Lucu dengan gemuruh sang pengantin.
“Adoi
teruklah kau Kairi…nama bakal isteri pun boleh tersilap.” Kutuk Kairi dalam
hati sendiri.
Diulangnya lafaz akad dengan betul dan lancar untuk
kali kedua. Kemudian para saksi mengesahkan pernikahan mereka dan semua
jemputan menadah tangan membaca doa. Kairi Mirza dan Aaira Annayra telah
selamat diijab kabul..mendirikan satu lagi sunnah Nabi tercinta, Muhammad
Sallalahu’alaihiwassalam.
Aaira yang mendengar para saksi mengesahkan
pernikahan mereka, spontan memanggungkan kepala untuk melihat Kairi. Tetapi,
lembaga tadi yang menjadi santapan matanya. Lembaga yang cuma berdiri diam di
sudut tadi tiba-tiba meluru laju ke arah Aaira dan menyeringai betul-betul di
depan muka Aaira. Menayangkan taringnya dengan rupanya yang hodoh dan
mengerikan.
“Aaaahhhh…!” Tiba-tiba Aaira menjerit dan terus
rebah tak sedarkan diri.
Terkejut semua yang ada di situ. Suasana menjadi kecoh.
Ziyad dan Kairi yang turut terkejut bingkas bangun menerpa ke arah Aaira.
“Adik! Angkat dia.” Arah Ziyad pada Kairi.
Kairi mencempung Aaira untuk dibaringkan di tempat
yang lebih sesuai. Pakcik Usman dan Ustaz Abu Bakar yang turut hadir memenuhi
undangan ke majlis itu bergegas mengekori langkah Kairi, manakala ahli keluarga
yang lain cuba menenangkan hadirin dan mengawal suasana majlis.
Majlis diteruskan semula dengan lancar. Tiada lagi
sebarang kekecohan berlaku. Mujur juga masih ada sepasang pengantin lagi untuk
dirai.
AAIRA yang terasa rambutnya dibelai, perlahan-lahan
membuka matanya. Dilihatnya Kairi sedang tersenyum di sampingnya. Kelam kabut
Aaira bangun nak cari tudung.
“Eh sayang nak pergi mana?” tanya Kairi risau
melihat isterinya sedang bingkas bangun setelah baru sedarkan diri.
“Sayang?” Aaira sedang cuba memproses maklumat yang
berterabur di dalam kepalanya.
Baru dia teringat yang mereka sudah sah bergelar
suami isteri. Patutlah si suami membelai rambutnya tadi. Kairi membetulkan
bantal supaya Aaira dapat bersandar dengan selesa.
“Sayang pengsan tadi… Ayah dan ibu sewakan bilik
hotel ni dulu untuk kita. Sayang berehatlah dulu sekejap. Majlis dah
tamat..tetamu pun dah balik.” Jelasnya panjang sambil mengisi sebiji gelas
dengan air kosong dari botol mineral.
Lalu dia menuangkan sedikit di tapak tangannya dan
dilurutkan lembut ke wajah Aaira sambil berselawat. Kemudian dihalakan muncung
gelas ke bibir Aaira.
“Minum sikit sayang, Ustaz Abu Bakar pesan suruh
minum lepas sayang sedar. Lepas ni nanti sayang kena mandi pulak dengan air
ni.” Ujarnya lembut.
Aaira melafazkan Bismillah dan selawat lalu meneguk
air tersebut perlahan-lahan. Kairi senyum.
“Abang suapkan sayang makan ea? Mesti sayang dah lapar. Nampak sedap tau lauk pengantin. Dari tadi
abang dah jeling-jeling.” Ujarnya lagi.
Panggilan ‘abang’ dan ‘sayang’ dari Kairi
membuatkan telinga dan tengkuk Aaira terasa kembang-kembang geli. Rasa nak
tergelak pun ada.
“Kenapa awak..err..abang..err..awak tak makan je dulu.”
Tergagap-gagap, tersimpul-simpul lidah Aaira nak mengikut Kairi menggunakan
panggilan itu.
Kairi dah tersenyum nakal. Mulalah tu.
“Haish…
macam mana Majnun nak makan tanpa Laila nya..” Katanya sambil ketawa. Aaira pun
ikut ketawa.
Kairi menatap mata Aaira dalam-dalam sambil membetulkan
hujung rambut Aaira yang terjuntai di dahinya.
“Terima kasih ya Allah… atas anugerah terindah ini.
Akanku jaga amanahMu ini sebaiknya dengan izinMu..” Kairi berbicara dengan
Tuhannya di dalam hati.
Tak dapat diungkap dengan kata-kata, betapa besar
rasa syukur yang mengisi setiap inci ruang hatinya. Dia benar-benar mencintai
Aaira sepenuh jiwa.
“Terima kasih sayang… sebab terima lamaran abang..”
Ujarnya perlahan sambil meraih tangan Aaira lalu dikucup penuh kasih.
Telinga Aaira mula merah.
“I love you.” Sambungnya lagi sambil
mengenyit mata dan tersenyum nakal.
Tersenyum simpul Aaira dibuatnya. Sungguh…seorang Aaira Annayra ini
sungguh-sungguh mencintai lelaki itu. Kairi Mirza, suaminya.
“Err…cium
sikit boleh?” Tanya Kairi, belum puas mengusik si isteri.
Aaira yang terkejut dengan usikan itu spontan
mencubit lengannya.
“Mengada eh.”
Ujarnya. Pecah ketawa mereka berdua.
Alhamdulillah…Segala Puji Bagi Allah yang
mengurniakan bahagia.
“Emm…awak…err..abang…” Panggil Aaira. Dia terhenti
seketika, ragu-ragu untuk meneruskan bicara.
“Ye sayang…” Sahut Kairi mesra.
“Kenapa…kita tak boleh takut dengan hantu…? Maksud
sayang jin dan iblis?” Aaira mengajukan soalan yang bermain di benaknya.
“Contohnya… selalu orang cakap, jangan takut hantu,
takut pada Tuhan je.” Dia terhenti lagi, menyusun bicara.
“Tapi kan, dah hantu tu memang menakutkan,
menyeramkan, tak boleh ke kita lari?” Tanyanya lagi.
Dia sedar soalannya kedengaran agak…kurang bijak.
Namun diteruskan juga.
“Macam kalau kita terserempak dengan harimau ke,
kan kita kena lari jugak, sebab nak selamatkan diri. Takkan kita nak tunggu
berdiri je kat situ cakap, aku tak takut kau…kau pun makhluk Allah je.
Mestilah kena ngap!” Sambungnya lagi.
Aaira mengutarakan apa yang bermain di fikiran, mengharapkan
penjelasan sang suami. Kairi yang dari tadi menumpukan perhatian pada setiap
butir bicara si isteri dengan teliti, diam sejenak. Mencari-cari cara yang
sesuai untuk membarikan penjelasan yang mudah difahami dan diterima oleh
isterinya.
“Sebab…..” Kairi memulakan bicara.
“…makhluk jin dan iblis laknatullah ni… mereka akan
jadi sombong bila kita takut dengan mereka.” Ujarnya.
“Mereka akan jadi bertambah angkuh…mereka seronok
bila kita takut pada mereka. Apatah lagi bila kita meminta pertolongan mereka.
Bersubahat dengan mereka, mengikut arahan mereka, dan menyekutukan Allah dengan
memuja mereka. Mereka akan rasa mereka berkuasa, bangga dengan kelebihan yang
mereka ada, merasa lebih hebat dari manusia, ciptaan Allah yang telah dipilih
oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka Bumi ini. Sedangkan semua itu juga
datang dari Allah.” Jelas Kairi panjang lebar.
“Tidak ada yang lebih berkuasa melainkan Allah SWT,
Maha Berkuasa satu-satunya, yang menciptakan langit dan Bumi, dan segala
isinya. Tidak akan terjadi segala sesuatu, melainkan Allah berkehendak. Tiada
kuasa jin dan iblis yang dapat memudaratkan manusia, melainkan dengan izin
Allah…” Kairi mengakhiri penjelasannya.
Aaira mengangguk-ngangguk. Faham dan berpuas hati
dengan penerangan lengkap dan jelas dari suaminya.
“Harimau tak macam tu… dia ngap sebab dia
lapar…” Ujar Kairi lagi, cuba bergurau.
Aaira tertawa kecil. Sudah jelas akan perbezaannya.
Kairi membelai rambutnya lagi.
“Abang tahu sayang abang ni kuat…” Kata-katanya
terhenti. Tidak tahu bagaimana nak menyambungnya.
“Abang akan
sentiasa ada dengan sayang. Sama-sama dengan sayang, susah dan senang, pahit
dan manis. InshaAllah…” Kairi memberikan jaminan.
Aaira tersenyum senang. Dia benar-benar rasa selesa
dan selamat dengan lelaki itu. Lelaki itu yang kini sudah sah menjadi suaminya.
“Jom sayang, abang suapkan sayang makan. Abang dah kidnap dah lauk pengantin tadi. Dah
sejuk dah kat atas meja tu.” Ajak Kairi.
Dipimpinnya tangan si isteri ke meja kopi di sudut
bilik hotel tersebut. Ditariknya kerusinya rapat dengan kerusi Aaira. Kemudian
dia menceduk lauk ke dalam pinggan dan mula menyuap isterinya dengan penuh
kasih. Tak dapat dinafikan, lelaki ini memang romantik. Berbunga aje
hati Aaira dilayan bak seorang puteri.
“Aaa…nganga mulut besar sikit…” Ujar Kairi sambil
menyuakan nasi di tangannya ke mulut Aaira.
Malu-malu Aaira buka mulut, makan dari tangan
suami. Selepas menyuap Aaira sesuap, dijamahnya pula sendiri nasi di dalam
pinggan. Berselang-selang dia menyuap isterinya dan dirinya sendiri sehingga
habis nasi di pinggan.
“Hari ni sayang rehat dulu kat sini…kita tidur sini
malam ni. Hari pun dah petang sangat ni. Esok pagi kita check out awal sikit, balik rumah. Ok tak?” Tanya Kairi
“Sayang ikut abang je.” Jawab Aaira ringkas.
Selesai makan, mereka berehat-rehat sebentar,
sambil menunggu masuk waktu Maghrib.
“Sayang nak mandi dulu ke, abang nak mandi
dulu?” Tanya Kairi pada Aaira yang sedang membelek-belek baju yang dibekalkan
oleh Mikayla kepadanya, semasa dia tak sedarkan diri.
“Ke…….” Tanya Kairi lagi sambil meleretkan senyuman
nakal.
“Abang pergi mandi dulu. Abang dah busuk. Sayang
wangi lagi.” Ujar Aaira sambil mendorong suaminya ke bilik air, dari belakang.
Lalu ditutupnya pintu bilik air. Terdengar suara
Kairi sedang ketawa nakal di dalam.
“Abang ada bawa baju salin tak?” Laungnya dari
luar.
“Hah? Abang pakai baju kelawar sayang je
lah. Nampak selesa je…” Kairi tiba-tiba menjengulkan kepala dari bilik
air.
Aaira dah tergelak. Bagi pakai betul-betul baru
tahu.
“Mana ada sayang bawa baju kelawar lah…Mikayla
letakkan gaun tidur aje dalam beg kertas ni.” Balas Aaira sambil
membelek baju tidur yang dimaksudkan.
Dia menelan liur sendiri. Gaun itu ialah gaun nipis
tanpa lengan separas peha.
“Nak kena Mikayla ni…” Marahnya sendiri dalam hati.
Dikoreknya pula sebuah lagi beg kertas di atas meja
solek. Ada baju Kairi. Aaira tengok ada 2 helai T-shirt lengan pendek dan sehelai kemeja lengan panjang. Ada juga
sehelai seluar panjang dan dua helai seluar pendek.
“Bolehlah pinjam satu.” Bisiknya dalam hati.
Dia belum bersedia nak pakai gaun tidur itu di
depan Kairi. Lagipun dia masih uzur.
Terdengar suara Kairi menyanyi-nyanyi riang dalam
bilik air. Aaira hanya ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepala. Disiapkan
baju dan seluar suaminya di birai katil. Kain pelikat dan sejadah juga
disediakan di situ.
“Sayang…nak baju…” Panggil Kairi separuh berbisik
dari dalam bilik air. Dijengulkan kepalanya di celah pintu.
Dia sendiri pun masih malu sebenarnya ,nak keluar
dengan bertuala sahaja. Aaira tertawa kecil. Kalau mengusik orang bukan main
lagi. Padahal dia sendiri pun malu. Dihulurkan baju dan seluar kepada suaminya.
Kairi yang baru sudah mengaminkan doanya sendiri di
tikar sejadah berpaling melihat Aaira yang baru keluar dari bilik air.
“Aik…macam
kenal je baju ni…” Tegurnya.
Dilihat isterinya memakai T-shirt putih lengan pendek dengan seluar separuh lutut miliknya.
Longgar dengan tubuh kecil itu. Aaira hanya tersengih.
“Ala…pinjamlah kejap…takkan tak boleh…” Katanya
sambil buat muka kesian.
“Eh…mestilah boleh…tapi ada bayarannya…” Ujar
Kairi.
“…malam ni kena tidur peluk abang.” Sambungnya
lagi.
Aaira tertawa kecil. Malam itu mereka hanya
berbual-bual mesra sambil menonton televisyen, merehatkan badan sebelum kembali
bekerja esok.
“Sayang…” Panggil Kairi dengan suara manja.
Tangannya disembunyikan di belakang badannya.
Perlahan dia duduk merapati Aaira di atas katil. Kemudian dijuntaikan seutas
rantai leher berloket emas dari tangannya di depan Aaira.
“Tadi abang tak sempat pakaikan…” Ujarnya.
Lalu dia memakai rantai itu di leher Aaira. Dia
mendekatkan wajahnya dengan Aaira, mengemaskan cangkuk rantai di belakang
tengkuknya. Berzumba jantung Aaira kat dalam, berdebar-debar dengan situasi
tersebut.
“Cantik…” Ujar Kairi sambil tersenyum
menyembunyikan gugup.
Sudahnya dia hanya membetul-betulkan rambut,
manakala Aaira pula membetul-betulkan cadar dan selimut. Malu lah tu.!
Mereka bersiap untuk tidur selepas Kairi menunaikan
solat Isyak. Itu kali pertama Aaira tidur berbantalkan lengan Kairi. Hangat dan
selesa. Lena tidurnya hingga ke pagi.

No comments:
Post a Comment