Friday, May 17, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 14)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 14

PAGI itu mereka bergerak ke tempat kerja bersama-sama. Selepas Subuh tadi mereka sudah pulang ke rumah Semi-D dua tingkat milik Kairi yang dibeli sendiri sejak 2 tahun yang lalu. Kalau diikutkan, taman perumahan itu dekat sahaja dengan universiti tempat Kairi mengajar. Lebih kurang 10 minit sahaja. Hospital tempat Aaira bekerja pula lebih jauh, sekitar 25 minit.

Tapi sengaja Kairi nak menikmati perasaan menghantar dan mengambil isteri pulang bekerja, walaupun terpaksa berpatah balik. Maklumlah..pengantin baru.. Aaira pula sukalah dimanjakan begitu.

Aaira menyalami tangan suaminya sebelum turun dari kereta.

“Sayang…” Panggil Kairi. Dimuncungkan mulutnya, minta dicium. Aaira ketawa lalu merapatkan dahinya ke bibir si suami.

“Alaaa…..” ujar Kairi lagi, tidak berpuas hati.

Aaira hanya menyambutnya dengan ketawa nakal lalu turun dari kereta.

“Ni kira hutang tau! Balik nanti eh…” Ujar Kairi melalui tingkap kereta yang dibuka luas.

Aaira hanya melambai-lambai sambil memberikan ‘flying kiss’ kepada suaminya.

 

EH…, kau ok tak Aaira?” Tegur Fisha sewaktu mereka sedang berada di ruangan loker kakitangan.

Syuhada yang berada di situ turut mencelah.

Haah…kau dah ok ke?” Tanya Syuhada, mempamerkan wajah risau.

Ok? Maksudnya..ok kenapa?” Tanya Aaira masih keliru.

“Yelah…kan kau tiba-tiba menjerit lepas tu pengsan masa majlis kau semalam..” Jelas Fisha

Ha’ahkitorang pun tak sempat nak bergambar pun dengan kau.” Sahut Syuhada pula.

“Oh…” Baru Aaira teringat kejadian semalam.

Digaru-garu sekejap kepalanya yang tak gatal. Nak jawab apa ni…?

Err…aku ok dah, Alhamdulillah….” Jawab Aaira ringkas.

“Tapi kenapa kau menjerit, lepas tu….” Kata-kata Fisha tak sempat dihabiskan apabila disiku oleh Syuhada.

Encik Azrun sedang berjalan melintasi ruang itu menuju ke biliknya.

“Annayra…tahniah. Selamat pengantin baru.” Ujarnya ringkas pada Aaira.

“Terima kasih Encik Azrun.” Balas Aaira.

I tak dapat pergi majlis you semalam. Ada urusan penting nak kena settle.” Sambungnya lagi.

Takpe encik…” balas Aaira.

Kemudian Encik Azrun pun berlalu menuju ke biliknya. Mereka yang lain pun mulai beredar menuju ke wad masing-masing. Fisha dan Syuhada turut naik ke wad hari itu, bagi menggantikan Mikayla yang sedang bercuti. Fikri juga tidak hadir bekerja hari itu. Katanya cuti sakit.

Aaira menyertai Fisha dan Syuhada yang baru melangkah masuk ke dalam lif.

“Dah lama ke kau berkawan dengan suami kau tu?” Fisha mula mengorek rahsia.

Ha’ah. Diam-diam je kau eh… Tahu-tahu dah kahwin je.” Sampuk Syuhada pula.

Aaira tersengih.

“Tapi kau dengan Mikayla memang cantiklah semalam weh. Simple…tapi nice sangat. Aku pun rasa macam nak tiru je. Pakai dress camtu je nanti. Nampak sopan, sejuk je…manis.” Puji Syuhada, kagum.

“Dah…kau jangan nak puji melambung sangat… koyak kain aku ni nanti…” Balas Aaira sambil tertawa.

Perbualan mereka terhenti setelah lif berhenti di wad masing-masing. Aaira melangkah menuju ke wad. Telefon bimbit di koceknya berdenting, menandakan ada pesanan dari aplikasi Whatsapp. Dibeleknya sekejap di depan pintu utama Wad Kenanga.

“Sayang… balik nanti kita singgah rumah ibu kejap ya…ambil barang-barang sayang. Lepas tu kita makan malam kat rumah Wa, ya. Wa Chu ajak makan sana..” Kairi menghantarkan pesanan.

Ok abang..” Segera Aaira membalas mesej suaminya.

“I love you.” Mesej Kairi lagi.

Aaira tertawa sendiri.

“I love you too..” Balasnya, melayan keletah suami.

Kemudian dia memasukkan semula telefon bimbitnya ke dalam kocek. Baru dia hendak melangkah masuk ke dalam wad, dia terdengar bunyi menangis tersedu-sedu. Terpusing-pusing dia berkalih mencari arah datang suara tangisan tersebut. Dia terpandang seorang jururawat sedang berdiri d koridor membelakangkannya. Diamati sebentar susuk tersebut.

“Mel..” Ujarnya dalam hati.

Risau dengan keadaan rakannya itu, dia mematikan hasratnya untuk terus melangkah masuk ke dalam wad, sebalik dihalakan kakinya menuju ke koridor.

“Mel…?” Panggilnya dari belakang.

Susuk itu masih tidak menoleh mendengar panggilannya. Masih tersedu-sedu di situ. Aaira bergerak merapati rakannya itu lalu digosok-gosok kedua-dua bahu rakannya itu dari belakang. Cuba menenangkannya.

“Kau kenapa ni…” Tanyanya simpati.

Tiba-tiba Mel terus berpaling memeluknya. Teresak-esak menangis di bahunya. Aaira terasa badan Mel panas. Berbahang di bahunya.

“Kau demam ke ni Mel..badan kau panas ni..” Tanya Aaira risau.

Mel tidak menjawab sebaliknya terus menangis. Kemudian dia tiba-tiba berpaling lantas berlari anak menuju ke tandas kakitangan yang berdekatan dengan pintu koridor. Terpinga-pinga Aaira di situ. Tercegat sekejap dia di situ sebelum turut mengekori kawannya ke tandas kakitangan tersebut.

Aaira masuk ke dalam tandas itu mencari kelibat Mel, tapi tiada sesiapa pun di situ. Semua pintu tandas terbuka dan kosong.

Aik…mana dia pergi?” Tanya Aaira pada dirinya sendiri.

Aaira kemudian membuat keputusan untuk mencarinya di dalam wad. Sampai sahaja di kaunter, dilihatnya Mel sedang ketawa-ketawa berbual dengan seorang lagi staf.

Wey Mel..” Panggilnya.

Weyy…Aaira…omooo cantik betul kau semalam weh…tahniah pengantin baru…” Sapa Mel ceria.

Aaira tercengang. Langsung tiada kesan tangisan di wajah rakannya itu.

“Takkan secepat tu dia bersihkan muka?” Soalnya sendiri dalam hati.

“Mel..tadi.. kau..kat koridor…” Teragak-agak dia bertanya. Risau juga jika rakannya itu tidak mahu rakan yang lain tahu dia menangis tadi.

“Koridor? Kenapa? Aku kat sinilah dari tadi.. mana ada aku pergi koridor.” Jawabnya pelik.

Aaira sudah garu kepala. Kemudian dipegangnya tangan Mel. Sejuk je. Tak panas membahang macam tadi. Baru dia mula rasa bulu romanya meremang.

Err…betul ke kau takde pergi koridor tadi.” Tanya Aaira lagi, masih tidak berpuas hati.

Iye…aku kat sini dari tadi. Ish..kenapa? Kau nampak aku ke kat koridor? Kau jangan macam-macam weh. Aku ni bukannya berani sangat benda-benda macam ni.” Balas Mel pula. Dia sudah merasa cering bulu roma.

“Bukan setakat nampak….’dia’ peluk aku tadi weh!” Jeritan Aaira hanya bergema di dalam tekaknya sendiri.

Err…. Takpelah.. Err.. hari ada new case ke untuk fisio?” Soal Aaira, cuba menukar topik.

Lalu dia meneruskan kerjanya seperti biasa di wad. Semuanya berjalan lancar. Tiada lagi perkara aneh berlaku pada Aaira sepanjang hari itu sehinggalah tiba masa untuk pulang.

 

AAIRA turut keluar dari unit bersama rakan-rakan yang lain. Tiada hati menunggu di dalam bangunan tertutup itu sendirian. Dia berdiri di sebelah tiang menanti suami tercinta datang menjemput. Angin yang bertiup lembut petang itu begitu menyamankan.

Sedang dia berdiri menikmati suasana nyaman itu, tiba-tiba matanya menangkap kelibat seekor anjing hitam yang besar berdiri tidak jauh di hadapannya. Menderam dengan bunyi yang begitu menggerunkan. Matanya merah menyala seperti biji saga, taringnya tajam dengan air liur yang menitik-nitik dari lidahnya yang terjelir keluar.

Anjing itu meremangkan bulunya dan merendahkan sedikit bahagian tubuhnya seperti dalam keadaan bersedia untuk menerkam Aaira pada bila-bila masa. Terasa lemah seluruh sendi lutut Aaira, berdepan dengan situasi tersebut.

Dalam keadaan menggerunkan itu, tiba-tiba berdengking dan bergema bunyi anjing tersebut menyalak garang. Jantung Aaira terasa menghentam kuat ke dadanya, bersamaan dengan bunyi salakan tersebut.

Anjing hitam bersaiz besar itu terus menyalak dengan kuat beberapa kali, kemudian meluru ke arah Aaira dan menerkam gadis itu. Spontan Aaira mengangkat kedua-dua belah tangannya bersilang di hadapan mukanya.

Tiba-tiba keadaan menjadi senyap sunyi. Anjing itu tidak menerkam atau menggigitnya. Terketar-ketar dia menurunkan tangannya sedikit demi sedikit. Tiada apa-apa di situ. Anjing itu tiada di situ.

Lantas diturunkan kedua-dua tangannya dan dia berkalih-kalih melihat di sekelilingnya. Tiada apa-apa di situ hatta seekor burung pun. Angin kembali meniup lembut wajahnya yang sudah dibasahi peluh.

Tak sampai beberapa minit selepas itu, kereta Honda City putih milik Kairi sudah meluncur perlahan di depannya. Belum sempat kereta itu berhenti sepenuhnya, Aaira sudah menerpa untuk membuka pintu. Agaknya kalau tingkap kereta sedang terbuka luas tadi, dia sudah melompat masuk melalui tingkap, seperti seorang pelakon aksi lagak ngeri.

Masuk sahaja ke dalam kereta terus Aaira merangkul lengan Kairi dan memautnya erat. Terpaksa lelaki itu memandu dengan sebelah tangan.

“Kenapa ni sayang, rindu sangat kat abang ke?” Soal Kairi sambil turut mengenggam erat tangan si isteri.

“Rindu sangat…” Jawabnya perlahan, sambil memeluk erat lengan suaminya.

Perlahan-lahan dia merasa tenang. Debaran di dada yang tadinya kencang beransur terkawal. Kairi masih memandu dengan tenang. Sesekali dibawanya tangan isterinya yang digenggam erat ke bibirnya, lalu dikucupnya lama. Kemudian di usap-usap tangan lembut di dalam genggamannya itu dengan ibu jarinya. Perlahan-lahan kereta mereka masuk ke perkarangan rumah Pakcik Usman.

“Assalammualaikum…” Sapa Aaira dan Kairi serentak.

Pakcik Usman dan Makcik  Maryam sudah siap menyambut di muka pintu. Kairi dan isterinya tunduk bersalam dengan mereka.

“Waalaikumussalam….” Jawab suami isteri itu.

“Macam mana keadaan adik…?” Tanya Pakcik Usman yang masih risaukan keadaan anak perempuannya yang tidak sedarkan diri di majlis pernikahannya.

Mujur ada sahabatnya Ustaz Abu Bakar di situ pada waktu itu.

“Alhamdulillah…adik ok ayah… ayah janganlah risau..” Sahut Aaira, meredakan kerisauan si ayah.

“Ibu ayah sihat tak?” Tanyanya kembali.

“Alhamdulillah kami sihat… malam ni makan kat sini ya?” Tanya Makcik Maryam.

“Adik dengan Kairi dah janji nak makan kat rumah Wa Chu malam ni ibu… Wa Chu dah siap masak…nanti hari lain adik datang makan dengan ibu, ya?” Jawab Aaira penuh hormat.

“Adik nak ambik barang sikit ibu..” Ujarnya lagi.

“Haa ye lah..pergilah.” Jawab ibunya.

Kairi berbual-bual dengan ibu dan ayah mertuanya di ruang tamu seketika sementara Aaira terus naik ke atas mengemas baju yang hendak dibawa. Beberapa ketika selepas itu, Kairi muncul di biliknya. Itu kali pertama dia masuk ke bilik Aaira. Dipandangnya sekeliling. Ringkas dan kemas.

Dia terpandang jambakan coklat yang pernah diberi kepada Aaira sewaktu kali pertama mereka keluar bersama, tersandar cantik di dinding di atas meja belajar Aaira. Masih dalam keadaan baik, sama sperti waktu diberikan kepada gadis itu. Cuma coklatnya sahaja yang sudah hilang. Kairi tersenyum. Terharu kerana gadis itu mnghargai pemberiannya yang tak seberapa itu.

“Ada apa-apa abang boleh tolong, sayang?” Tanyanya mesra.

Aaira menoleh.

“Dah siap dah abang…jom?” Balas Aaira.

Lalu mereka beriringan turun ke bawah meminta diri dari Pakcik Usman dan Makcik Maryam. Destinasi mereka yang seterusnya ialah rumah Wa Talib dan Wa Chu.

 

KAIRI, Pakcik Talib dan Makcik Sumayyah  menunaikan solat Maghrib berjemaah di rumah. Aaira pula masih belum boleh bersolat. Kemudian mereka sama-sama duduk menikmati hidangan makan malam yang telah disediakan oleh Makcik Sumayyah.

“Macam mana dengan kaki Wa sekarang?” Aaira memulakan perbualan di meja makan.

Dia memerhatikan sahaja Pakcik Talib menyendukkan nasi dan menceduk lauk untuk isterinya. Kemudian dia menuangkan air ke dalam gelas Wa Chu, sementara Wa Chu duduk di meja sambil meletakkan mangkuk lauk yang baru diceduk dari periuk di dapur.

Padanlah Kairi mempunyai sikap romantik dan lemah lembut pada isteri. Sudah biasa dia dibesarkan dengan sikap lemah lembut dan layanan baik Pakcik Talib pada Makcik Sumayyah. Alhamdulillah… Mereka benar-benar menghidupkan sunnah Nabi Sallalahu’alaihiwassalam yang menganjurkan umatnya bersikap baik pada isteri dan keluarga.

Seperti sabda baginda Nabi Sallallahu’alaihiwassalam yang bermaksud:

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang paling baik (dalam bergaul) dengan keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik (dalam bergaul) dengan keluargaku.” (HR at-Tirmidzi no. 3895 dan Ibnu Hibban no. 4177, dinyatakan sahih oleh Imam at-Tirmidzi, Ibnu Hibban dan Syaikh al-Albani).

“Alhamdulillah…makin baik dah kaki Wa ni…sekarang dah tak perlu pakai tongkat dah. Kalau jalan banyak sangat je baru terasa lenguh sikit..” Jawab Pakcik Talib mesra.

“Makanlah Aaira…Wa  Chu masakkan lauk kegemaran Aaira. Mir bagitahu Wa Chu, Aaira suka tom yam.” Pelawa Wa Chu mesra.

Emm…sedapnya Wa Chu…” Ujar Aaira memuji masakan wanita itu.

“Tom yam Wa Chu memang terlazat… Mir pun tak boleh nak challenge.” Kairi turut sama memuji.

Senang hati Makcik Sumayyah melihat Kairi dan Aaira makan bertambah.

“Aduh…buncit dah perut Mir ni, Wa Chu.” Keluh Kairi, tersandar kekenyangan.

“Kejap lagi sayang kena drive balik lah…” Ujarnya lagi.

“Tapi…sayang pun kenyang sangat dah ni. Nak bangun pun tak larat dah. Mata pun dah nak terpejam..” Sahut isterinya.

Pakcik Talib dan Makcik Sumayyah hanya tertawa sambil menggeleng kepala melihat gelagat suami isteri itu.

“Elok-elok bawa kereta tu Mir…” Sempat Pakcik Talib berpesan pada anak saudaranya yang sudah dianggap seperti anak kandung itu.




No comments:

Post a Comment