CINTA DARI IBLIS
Bab
15
AAIRA
terjaga dari tidur. Dilihatnya
Kairi tiada di sebelahnya. Dia beralih mencari kelibat suaminya. Dilihatnya
Kairi sedang sujud dalam solatnya. Dia mencapai telefon bimbit di meja kecil
tepi katil. Baru pukul 5 lebih…belum Subuh lagi. Lalu dia kembali membenamkan
kepalanya ke bantal gebu miliknya, sambil memerhatikan Kairi. Entah bila
matanya terpejam kembali, dia pun tak sedar.
Kairi sudah bersiap-siap untuk berjemaah Subuh di
Masid. Dikerlingnya sekilas isteri di katil. Tenang wajah Aaira dibuai mimpi.
Dibiarkan sahaja isterinya tidur lebih lama lalu turun ke bawah. Bunyi enjin
kereta Kairi dihidupkan mengejutkan Aaira dari tidur. Malas-malas dia mencapai
telefon bimbit untuk melihat jam. Kemudian lambat-lambat dia bangun menuju ke
bilik air untuk membersihkan diri.
Kairi yang baru pulang dari masjid bergolek-golek
malas sebentar di katil. Masih awal lagi. Dilihatnya Aaira baru mengaminkan doa
di tikar sejadah.
“Sayang dah boleh solat ye..” Tegurnya sewaktu Aaira sedang menggantung telekung.
“Ha’ah…abang
pergi masjid ke tadi?” Soal Aaira
pula. Kairi membalas dengan mengangguk sambil tersenyum.
“Kejap lagi kita pergi sarapan sama-sama dulu nak?
Makan roti canai.” Ujar Kairi.
“Ok…” sahut Aaira pendek sambil turut bergolek-golek di samping suaminya.
Masih malas mahu bersiap pergi kerja.
“Abang nak pakai baju yang mana hari ni, sayang
gosokkan.” Tawar Aaira. Kairi bergolek lalu meletakkan kepalanya atas perut si
isteri.
“Kan best kalau hari ni cuti…” Sahutnya.
Juga malas nak bangun bersiap ke tempat kerja.
Kairi menghantar Aaira ke hospital setelah mereka singgah bersarapan
bersama.
“Bawa kereta elok-elok ye abang..” Pesan
Aaira sambil menyalami tangan Kairi dan melangkah keluar dari kereta.
Diatur langkahnya menuju ke unit. Sedang dia
berjalan masuk, dia ternampak Fikri dari jauh yang sedang turut sama melangkah
menuju ke unit.
“Fikri…” Tegurnya apabila lelaki itu sudah semakin
dekat.
Lelaki itu melangkah menuju ke arahnya sambil
memandangnya.
“Fikri…, aku..” Aaira cuba bercakap dengan lelaki
itu.
Tetapi Fikri hanya berjalan laju melepasinya dan
terus masuk ke unit. Terkedu sekejap Aaira di situ sendirian. Fikri sudah
menganggapnya seperti tak wujud. Seketika kemudian baru dia turut berpusing dan
melangkah masuk.
AAIRA naik ke wad seperti biasa. Baru sahaja melangkah
masuk melalui pintu utama wad, Aaira lihat seorang pesakit sedang hampir
terjatuh, entah bagaimana tersalah langkah dengan tongkatnya. Berlari Aaira
menahannya dari jatuh. Secara spontan juga pesakit itu memaut dan mencengkam
lengan Aaira dengan kuat, untuk mengimbangi badannya dari terjatuh.
“Allahu Akbar…pakcik ok?” Tanya Aaira yang
baru menerpa.
Lelaki itu hanya terangguk-angguk. Terketar-ketar
tangan dan kakinya cuba mengimbangkan kembali tubuhnya.
“Mari, saya tolong pakcik balik ke katil.” Ujar
Aaira.
Dia membantu pesakit itu pulang ke katil. Tiada
waris yang menunggu di katil.
“Pakcik kalau nak pergi tandas pakcik panggil misi
kat sini ya, bahaya kalau pakcik pergi seorang.” Pesan Aaira sebelum
meninggalkan katil tersebut.
Di kaunter Aaira terus mendapatkan seorang
jururawat yang sedang menulis di situ, memaklumkan keadaan pesakit.
“Err..kak…
pesakit katil 13 tu tadi hampir nak jatuh dah kat laluan. Baru keluar dari
tandas, kut. Tak ada waris tunggu ya?” Maklum Aaira, sekaligus bertanyakan
tentang waris pesakit.
Aaira menggosok-gosok lengannya yang terasa
berbekas pedih dicengkam pesakit tadi. Jururawat tersebut pula
mengerut-ngerutkan dahi seperti sedang berfikir.
“Kau kata katil berapa tadi?” Sampuk Mel, dari
belakang Aaira. Dia sedang menolak troli rapat ke kaunter.
“Katil 13.” Ulang Aaira.
“Weh…kau
ni mabuk ke? Mana ada orang kat katil 13. Pakcik yang duduk katil situ dah
meninggal tengah hari kelmarin.” Jawab Mel.
Serentak itu Aaira berpaling mnoleh ke arah katil
13. Benar-benar tiada orang! Tak puas hati, dia menghampiri katil itu. Memang
tiada sebarang barangan peribadi pesakit di situ. Cadarnya juga masih kemas
tidak berusik.
Serta merta jantungnya berdegup kuat. Diselak
lengannya yang masih terasa pedih. Terkejut Aaira bila dilihatnya ada kesan
cakaran yang masih merah di lengannya.
“Wey! Kau
ok tak ni?” Soal Mel yang sudah berdiri di belakangnya.
Risau dengan rakannya yang seorang itu. Hari itu
dia cakap nampak dirinya. Ini katanya ada pesakit pula di katil yang sepatutnya
tiada pesakit. Bulu roma Mel turut meremang. Sudah maklum dengan keadaan di wad
hospital. Banyak kali juga dia dengar cerita-cerita kawan-kawan yang lain
diganggu begitu. Aaira tersentak. Terus dia menoleh dan menunjukkan kesan
cakaran di lengannya pada Mel.
“Pakcik tu cengkam aku masa dia nak jatuh tadi.”
Ujar Aaira.
Mel menelan air liur melihat kesan cakaran yang
masih merah tersebut. Mereka berdua saling pandang memandang antara satu sama
lain. Sejuk pula rasa di wad hari itu.
“Err..jomlah.”
Kata Mel.
Ditarik tangan Aaira menjauh dari katil tersebut.
Dia membawa Aaira berehat dan minum air sekejap di pantri, bagi menenangkan
rakannya itu. Disapunya juga ubat luka di lengan Aaira. Setelah itu, mereka
meneruskan tugas masing-masing. Mujur tiada lagi perkara pelik berlaku.
TENGAH hari itu, sewaktu Aaira baru turun dari wad dan
berjalan melewati ruang gimnasium, seorang pesakit di meja rawatan tangan
menggamitnya datang. Kaget sekejap Aaira. Risau pula nak menghampiri pesakit
itu. Manalah tahu, dia seorang saja yang boleh nampak lelaki itu.
“Mesin ni tak rasa lah cik..” Adunya.
Baru Aaira memegang alat TENS tersebut untuk
diperiksa, tiba-tiba ketuanya datang dan terus memegang alat tersebut sebelum
Aaira sempat mengalihkan tangannya. Aaira bereaksi terkejut lalu cepat-cepat
meloloskan tangannya dari pegangan lelaki itu. Pesakit itu adalah pesakit Encik
Azrun yang ditinggalkan sekejap untuk ke tandas tadi. Terus Encik Azrun
membelek-belek alat itu sambil cuba membuka penutup bahagian baterinya.
Sementara itu di pantri, kelihatan Fikri, Kak
Aisyah dan Fisha sedang duduk makan tengah hari. Sudah lama Fikri tak makan di
kafe. Mana taknya, selalunya dia akan makan bersama Aaira dan Mikayla selepas
turun dari wad.
“Kau ni ok ke Fik. Kenapa macam ini
sekarang?” Tegur Kak Aisyah prihatin.
“Macam ni macam mana?” Soal Fikri kembali.
“Ye
lah..akak tengok kau semakin tak terurus. Dengan berjambang penuh. Rambut kusut
masai. Baju tak bergosok. Berserabai. Tak smart
macam dulu dah. Lepas tu dah mula merokok balik.” Ujar Kak Aisyah, menyuarakan
kebimbangan.
Fikri memekakkan sahaja telinganya sambil terus
menyudu nasi ke mulut.
“Kita ni Fik..bila kita berusaha untuk berubah,
berusaha jadi hamba Allah yang lebih baik, maka ujian akan sampai.
Kadang-kadang jalan kita untuk berhijrah tu dimudahkan..kadang-kadang pula
jalannya jadi berliku-liku.. itu namanya ujian. Dan kita hamba ni, bila diuji..
ujian itu sama ada akan membawa kita lebih dekat dengan Allah, atau akan
menjadikan kita lebih jauh dariNya… dan kitalah yang menentukan pilihan tu..”
Syarah Kak Aisyah.
Fikri buat-buat tak dengar. Tetapi sebenarnya
nasihat itu meresap juga masuk ke dalam hatinya.
“Kau kenalah terima yang Aaira tu dah jadi isteri
orang. Kau move on je lah.” Tiba-tiba
Fisha menyampuk. Fikri tersentak. Terhenti suapannya.
“Kau ingat senang ke? Aku betul-betul sayang
dia…tau tak?!!” Dia menjerkah sambil menghentak meja.
Tak cukup dengan itu, ditendangnya pula kerusi yang
diduduki tadi sampai terbalik lalu beredar dari situ. Ditinggal sahaja nasinya
yang masih banyak. Kak Aisyah dan Fisha terdiam. Terkedu dijerkah begitu.
Aaira dan Encik Azrun yang tadi sedang membelek
alat TENS itu serentak berpaling ke arah datangnya suara tempikan itu. Seketika
kemudian Fikri keluar melewati ruang gimnasium itu menuju ke pintu utama unit.
Dijelingnya Aaira yang berada di situ dengan muka masam.
PETANG itu Kairi menjemput Aaira balik kerja dengan
teruja. Rindu dia pada isterinya itu walau baru sekejap tak nampak muka. Tetapi
Aaira kelihatan tak bersemangat. Suram sahaja wajahnya. Bersembang dengan Kairi
pun dia tak mahu. Ditanya sepatah, dijawab semula sepatah.
“Kita pergi makan dulu nak? Ada restoran ni, sedap
tau chicken chop dia. Sos dia sedap. Lagi sedap dari yang sayang
makan dulu tu.” Ajak Kairi ceria.
Aaira menggeleng-gelengkan kepala lemah.
“Tak nak lah…letih..” Jawabnya pendek.
“Emm…ok..kalau
macamtu sekejap lagi abang masakkan untuk sayang. Special punya hari ni.” Ujar Kairi sambil tersenyum.
Dalam kepalanya sudah berkira-kira hidangan apa
yang akan disediakan nanti. Kairi memang suka memasak. Sebab itu dia langsung
tak kisah masa Aaira bagitahu yang dia tak pandai memasak hari tu.
“Ish…abang
nak makan abang makan aje lah. Sayang
tak nak. Tak lapar.” Balas Aaira, mula rasa nak marah.
Entah kenapa dia terasa jengkel dengan Kairi waktu
itu.
“Alah..kenapa ni sayang abang ni nak marah-marah
ni.. bukan pagi tadi dah boleh solat ke..” Kairi cuba bergurau.
Aaira hanya diam tak bersuara.
Dilemparnya pandangan keluar tingkap. Malas nak
tengok muka Kairi. Kepalanya mula menerawang, memikirkan tentang seseorang.
Kairi meneruskan pemanduan dengan cermat.
Sebaik memarkirkan kereta di halaman rumah, Kairi
menarik brek tangan. Kemudian dia meraih tangan isterinya yang dari tadi tidak
memandang wajahnya. Aaira membiarkan sahaja.
“Sayang ok
tak ni? Letih kerja hari ni ea..?”
Soal Kairi cuba berbual.
Digosok-gosok lengan Aaira mesra.
“Ahh..hsstt…”
Spontan Aaira mengerang pedih apabila usapan Kairi bergesel dengan luka cakaran
tadi.
Serta merta Kairi mengangkat tangan. Terkejut.
“Kenapa ni sayang?” Soalnya sambil menyelak lengan
baju Aaira.
Berkerut dahinya melihat luka tersebut. Seperti
dicakar binatang. Dia mengalihkan pandangannya kepada isterinya, meminta
penjelasan.
“Benda tu cakar…” Adu Aaira menagih simpati.
“Sayang kena ganggu lagi?” Soalnya lagi.
Hatinya diserang risau. Gangguan itu sudah sampai
mengakibatkan kecederaan. Memang hanya gangguan biasa di hospitalkah? Atau
badan Aaira terlalu lemahkah? Kairi bingung.
“Jomlah kita masuk, malam ni inshaAllah abang
buatkan air untuk sayang ya.” Kairi bersuara lagi.
Aaira hanya mengangguk-angguk dan melangkah keluar
dari kereta. Masuk sahaja ke dalam rumah
terus dia menuju ke bilik di tingkat atas. Aaira memetik suis lampu lalu terus
memasang penghawa dingin. Rasa panas betul hari itu. Kemudian dia meletakkan
beg, membuka tudung dan terus ke bilik mandi.
Kairi duduk-duduk sebentar di katil merehatkan
badan sambil menunggu giliran untuk mandi. Kepalanya masih ligat berfikir
tentang luka di lengan Aaira. Tidak lama kemudian Aaira keluar dari bilik air.
Kairi hanya memerhatikan isterinya yang hanya bertuala. Memang dia akui
isterinya itu mempunyai susuk tubuh yang menarik. Lantas dia mencapai alat
kawalan jauh dan menutup penghawa dingin, bimbang isterinya kesejukan.
“Kenapa tutup?” Soal Aaira.
“Abang takut sayang sejuk.” Jelas Kairi.
“Taklah…panas..bukalah balik.” Pinta Aaira.
“Panas?” Kairi menyoal di dalam hati.
Berkerut keningnya. Selalunya kalau baru keluar
dari bilik air begitu pasti menggigil isterinya jika penghawa dingin terpasang.
Namun dihidupkan juga kembali penghawa dingin, menurut permintaan isterinya.
Kemudian dia melangkah masuk ke bilik air.
Selesai mandi, dilihat Aaira baru mengaminkan doa
di tikar sejadah. Sebaik selesai, isterinya terus bingkas bangun menggantung telekung.
Tidak pula dia mencapai dan membaca al Ma’thurat seperti yang selalu
Kairi pesan sebagai pendinding diri. Dahi Kairi berkerut lagi.
“Mungkin letih sangat kut hari ni…” Bisiknya
sendiri cuba menyedapkan hati.
SELESAI menunaikan solat Asar dan melakukan rutin
zikirnya, Kairi turun ke bawah menuju ke dapur. Niat di hati mahu menyediakan
makan malam ringkas. Dia melihat Aaira yang berbaring di sofa sudah terlelap.
“Memang letih betul ni…” Bisiknya lagi dalam hati.
Jarang Aaira nak tidur waktu Asar begitu. Kalau
terlelap pun pasti dia akan mengadu kepalanya rasa sakit setelah bangun. Kairi
teragak-agak mahu mengejutkan isterinya. Timbul simpati melihat isterinya yang
kelihatan lena tidurnya. Lalu dia memutuskan untuk menyiapkan makan malam
terlebih dahulu.
Kairi sudah siap menggoreng kuetiaw, serba ringkas.
Dikerling jam di dinding dapur. Sudah hampir masuk waktu Maghrib. Bergegas dia
ke ruang tamu mengejutkan si isteri. Terpisat-pisat Aaira bangun. Kepalanya
rasa berat.
“Kita solat sama-sama ya sayang.” Ujar Kairi sambil
memimpin tangan isterinya ke atas.
Selesai solat Mahgrib berjemaah bersama, Aaira
terus merangkak naik ke atas katil tanpa mmbuka telekung terlebih dahulu. Lesu
betul rasa tubuhnya hari ini.
“Sayang…makan dulu sikit sayang…, nanti perut masuk
angin.” Ajak Kairi.
Dilihat isterinya tidak bergerak. Lalu dia turun
mendapatkan sepinggan kuetiaw goreng dan membawanya ke atas.
“Sayang…mari..abang suap sayang. Makan sikit pun
takpe..abang buat kuetiaw goreng, zero taugeh.”
Ujar Kairi. Sudah tahu benar yang isterinya itu tidak suka sayur tersebut.
Malas-malas Aaira bangun membuka telekung yang
masih tersarung di tubuhnya, lalu diletakkan di birai katil. Kesian pula dia
lihat suaminya sampai membawa makanan ke atas. Lalu dijamahnya juga beberapa
sudu kuetiaw dari tangan si suami. Sedap…tapi dia betul-betul rasa terlalu
letih untuk makan ketika itu.
Sebaik Azan Isyak berkumandang, cepat-cepat Aaira
bersolat lalu merebahkan diri ke katil. Manakala Kairi pula turun mengemas
dapur, kemudian membawa sebotol besar air naik ke atas.
Lalu dia melakukan solat sunat dan membacakan
ayat-ayat Ruqyah dengan botol itu diletakkan di hadapannya. Kemudian dia
meletakkan botol itu di meja tepi katil, tidak mahu menganggu isterinya yang
sudah nyenyak tidur. Disapukan minyak gamat ke lengan Aaira, lalu dikucupnya
dahi isterinya dengan penuh kasih.

No comments:
Post a Comment