Saturday, May 18, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 16)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 16

SUDAH hampir seminggu berlalu sejak Kairi dan Aaira bergelar suami isteri. Hari itu Aaira memandu sendiri ke tempat kerja. Pagi-pagi lagi dia sudah cari pasal dengan Kairi. Lelaki itu hanya mengajaknya bersarapan bersama, dan mencadangkan agar mereka pergi kerja bersama dengan keretanya.

Tiba-tiba sahaja Aaira marah-marah mengatakan Kairi memandang rendah kepadanya. Bukannya dia tidak pandai memandu. Aaira sendiri pun tak faham dengan dirinya. Entah kenapa dia bersikap begitu dengan suaminya. Sedangkan lelaki itu langsung tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Sayang.., malam ni kita tidur rumah ibu ya? Abang pun ada kena pergi kursus 3 hari kat KL esok.. tak ada lah sayang sorang-sorang kat rumah nanti..” Aaira membaca pesanan yang dihantar suaminya melalui aplikasi Whatsapp.

Kemudian dia menyambung kerjanya di wad. Kairi mengeluh di mejanya di tempat kerja sambil merenung telefon bimbitnya. Mesejnya tadi hanya dibaca sahaja oleh isterinya. Tiada balasan. Begitulah Aaira. Kalau Kairi yang mesej, tak pernah dia nak balas. Kalau orang lain mesej laju pula dia balas. Kairi pun pelik dengan perubahan isterinya.

Aaira yang baru turun dari wad duduk sekejap di sofa di ruang loker, melepaskan penat. Dipicit-picit betis kirinya yang sudah berapa hari terasa berat dan lenguh tak hilang-hilang.

“Fisio pun dah nak kena buat rawatan fisio jugak..” Tegur Syuhada sambil turut melabuhkan punggung di situ.

“Entahla wey.. berapa hari ni rasa lenguh bukan main. Sebelah kiri ni aje.” Adu Aaira pada rakannya.

“Badan aku pun asyik letih je rasa… lemau je.. Kau tau tak.. nak solat nak mengaji pun rasa malas je.. solat tu sampai dah hujung waktu dah. Sampaikan nak boca doa pun rasa malas.” Adu Aaira lagi, dia sendiri mengaku yang dirinya terasa teruk betul.

Memang betul itu yang dia rasa akhir-akhir ini. Usai solat terus aje dia rasa nak cepat-cepat bangun tanpa berdoa. Tapi terngiang-ngiang pula ceramah Ustaz Wadi Annuar yang pernah didengarnya.

“Macam mana nak tau seseorang itu anak yang soleh? Tuan-tuan, lihat pada mulutnya. Mulut yang selalu mendoakan ibu bapanya…itulah anak yang soleh. Itu anak soleh lah tu. Yang menggerakkan bibir kita ini untuk berdoa siapa? Allah…” Begitu ceramah Ustaz yang sampai hari ini masih jelas di ingatannya.

Sebab itulah digagahkannya juga menadah tangan dan berdoa selepas solat. Mulut yang digerakkan oleh Allah untuk berdoa, inshaAllah akan dimakbulkan doanya. InshaAllah..tidak ada satu doa pun yang akan disia-siakan oleh yang Maha Pengasih.

“Sesungguhnya, Allah itu malu lagi Maha Pemberi. Dia malu apabila ada seorang hamba yang mengangkat kedua tangannya sambil memohon kepadaNya, kemudian hambaNya kembali dengan tangan kosong dan hampa (Allah malu apabila tidak memberikan apa yang dimintanya).” (HR Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibnu Majah)

Allah Subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud;

“Berdoalah kepadaKu, Aku akan mengabulkannya untuk kalian.” (QS Ghafir: 60)

“Takkanlah kau dah pregnant?” Teka Syuhada, mematikan lamunan Aaira.

Ish..merepek apa kau ni?” Tingkah Aaira.

Syuhada ketawa. Bukan dia tidak tahu rakannya itu baru seminggu mendirikan rumah tangga. Sengaja hendak mengusik.

“Biasalah tu Aaira… kita ni manusia.. yang namanya manusia tu, imannya ada turun naik… boleh bertambah dan berkurang… sebab itulah kita kena selalu menghadiri majlis-majlis ilmu.. supaya iman kita boleh bertambah..barulah rasa bersemangat untuk beribadah..” Syarah Syuhada.

“Aku pun sama juga macam kau.. kadang datang juga penyakit malas tu… tapi aku pegang apa tau, kalau kau tak mampu nak buat semua, sekurangnya jangan sampai tinggal semua.” Tambahnya lagi.

Aaira terangguk-angguk bersetuju dengan kawannya itu.

 

DALAM perjalanan pulang ke rumah petang itu, Aaira memasang radio di dalam keretanya. Ternyanyi-nyanyi kecil dia sendirian, mengikut lagu yang diputarkan.

“Ya Allah, jangan kau coba aku..,

melebihi batas mampu dan sanggupku..

ya Allah, bila memang Kau coba…,

aku percaya Kau sayang padaku…

Ya Allah, lindungilah diriku..

dari yang menjahati menzdhalimiku…

Ya Allah, Kau lah Maha Segala..

Engkaulah Pelindung hidup dan matiku..”

Tiba-tiba tersentuh hatinya mendengarkan lirik lagu dari kumpulan penyanyi Indonesia, Wali Band itu.

Mengalir air matanya, menangis sendirian sambil memandu. Tanpa disedari..hatinya mengulang-ulang lirik itu sebagai satu doa.

Malam itu mereka bermalam di rumah Pakcik Usman dan Makcik Maryam. Ziyad dan Mikayla juga ada, baru pulang dari berbulan madu di Sarawak. Banyak kek lapis Sarawak dibawa pulang sebagai oleh-oleh. Ada juga cenderahati lain yang dihadiahkan kepada keluarga tercinta. Berseri-seri wajah kedua-dua pengantin baru itu, menandakan percutian itu memberikan kenangan manis untuk mereka.

Aaira masuk ke dalam bilik setelah membantu ibunya dan Mikayla mengemas dapur. Dilihatnya suaminya sedang bersila di sejadah sambil mengalunkan bacaan Surah al-Mulk. Memang itu menjadi amalannya setiap malam sebelum tidur.

An-Nasai meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah Sallalahu’alaihiwassalam bersabda, sesiapa yang membaca surah al-Mulk setiap malam maka Allah mencegahnya dari azab kubur.

Aaira merapati suaminya lalu merebahkan kepalanya di riba Kairi, manja.

Terhenti sekejap bacaan Kairi. Bergetar juga naluri lelakinya. Lalu disambung bacaannya hingga selesai.

Aaira merasa tenang mendengar suara merdu suaminya mengalunkan ayat suci itu. Terpejam matanya menghayati bacaan Kairi. Sememangnya mood nya rasa lebih baik di rumah ibunya malam ini.

Kairi membelai-belai rambut isterinya setelah menamatkan bacaan. Rindu hatinya nak bermesra begitu.

“Sayang minta maaf, abang….” Ucapan maaf Aaira terhenti. Tidak tahu menyusun kata seterusnya.

“Tak apa… abang tak ambil hati. Abang maafkan sayang. Tapi…” Kairi terdiam.

Aaira mendongak memandang suaminya.

“Tapi abang nak…..” Kairi meleretkan senyuman nakal.

Aaira mengerutkan dahi. Kepalanya sudah mula memikirkan perkara bukan-bukan. Berdetap detup jantungnya menunggu ayat seterusnya dari mulut Kairi.

“Abang nak…..geletek sayang!” Pantas digeleteknya pinggang si isteri yang berada di ribaannya. Mengekek-ngekek Aaira ketawa kegelian sambil terjerit-jerit cuba melepaskan diri.

“Oi orang sebelah…! Bercinta tu slow-slow sikit… dengar sampai ke sini oii…!” Tiba-tiba terdengar suara Ziyad melaung dari bilik sebelah. Serta merta mereka berdua terdiam, lalu menyambung ketawa dengan suara yang lebih perlahan.

“Oi orang sebelah…! Tidur daa…sudah malam daa…!” Balas Aaira meniru suara Sudin dalam cerita P.Ramlee. Lalu kedua-dua pasangan itu tertawa di bilik masing-masing. Bahagia.

Alhamdulillah..

 

HARI itu Aaira gelisah sahaja di tempat kerja. Terasa rindu teramat sangat pada Kairi. Padahal suaminya itu baru sahaja berangkat ke Kuala Lumpur untuk berkursus pagi tadi. Terus ditekan telefonnya, cuba menghubungi Kairi.

“Assalammualaikum sayang…” Kedengaran suara Kairi menjawab panggilan.

“Waalaikumsalam…abang dah sampai ke?” Tanya Aaira.

“Belum lagi sayang..dah dekat nak sampai dah. Nanti dah check in hotel, abang bagitahu sayang ye.” Balas Kairi mesra.

Ok..abang hati-hati ea..err…abang…” Panggil Aaira.

Ye sayang…” Sahut Kairi.

“Abang.., sayang rindu sangat kat abang…” Aaira mula menangis.

Betul-betul hatinya merasa rindu yang teramat sangat pada suaminya. Walhal belum sampai setengah sehari mereka berpisah.

Ye sayang…abang pun rindu sangat kat sayang. Hari Rabu nanti abang balik ye..eh sayang janganla menangis…kang abang patah balik jugak ni karang.” Gurau Kairi memujuk isteri tercinta.

Aaira tertawa kecil.

Ok lah..abang drive dulu ye elok-elok. Sayang sayang abang. Assalammualaikum…” Ujar Aaira menamatkan perbualan.

Ye sayang… abang pun saaaayang sangat kat sayang. Sangat sangat sangat sangat. Mmuahh! Waalaikumsalam sayang..” Balas Kairi. Gembira hatinya apabila si isteri bermanja begitu.

Seharian itu Aaira asyik berbalas mesej dengan suaminya. Malam itu pun merengek-rengek dia minta Kairi buat panggilan video dengannya. Rindu betul dia nak lihat wajah suaminya. Kalau boleh nak jumpa sekarang tu juga.

“Abang…..” Panggilnya manja dalam panggilan video.

Emm…” Sahut Kairi yang sudah hampir terlelap. Keletihan memandu dan mengikuti program kursus yang padat.

“Abang rindu sayang tak….” Tanyanya lagi. Tapi si suami sudah pun hanyut di alam mimpi.

“Laa..tidur dah…” Sungutnya sendirian. Lalu dia mematikan panggilan video tersebut.

Keesokan harinya, Subuh lagi dia sudah membuat panggilan video kepada suaminya.

“Assalammualaikum sayang…” Sapa Kairi, baru siap menunaikan solat.

“Waalaikumsalam…abang dah solat?” Tanya Aaira.

“Dah..baru lepas… Maaf sayang…semalam abang terlelap masa video call dengan sayang.” Ujar Kairi lembut.

Takpe..sayang faham abang letih. Dah..abang pergilah siap masuk kursus. Sayang saja je call. Rindu nak tengok muka abang.” Balas Aaira.

Kairi tersengih gembira.

“Abang pun rindu sangat kat sayang. Esok abang balik ye, InshaAllah…sayang ada nak pesan apa-apa tak kat sini? Boleh abang carikan.” Ujar Kairi.

Emm..takde…cuma nak abang cepat balik je. Rindu abang.” Balas Aaira.

Kairi buat muka comel sambil meletakkan tapak tangan di pipinya. Dikedip-kedipkan matanya mengada-ngada. Seronok dirindui begitu oleh sang kekasih hati.

“Nanti abang balik kita pergi tengok rumah abang long ea. Ibu dengan ayah nak pergi hari ni. Semalam lagi diorang dah sibuk pergi tengok-tengok perabot. Mentang-mentanglah cuti lagi…” Aaira mengomel..cemburu melihat Ziyad dan Mikayla masih dalam cuti.

Ok sayang inshaAllah…nanti kita pergi ea.” Balas Kairi.

Oklah abang… sayang pun nak siap-siap pergi kerja dah. Assalammualaikum.” Ujar Aaira

“Waalaikumsalam…hati-hati pergi kerja. I love you.” Balas Kairi, mengakhiri perbualan.

Malas-malas Aaira bersiap untuk ke tempat kerja. Kemudian dia turun menyertai keluarganya bersarapan bersama.

“Ni ha…yang ni takde taugeh.” Ujar Mikayla sambil menyorongkan sepinggan bihun goreng kepada Aaira.

“Terima kasih….kak long.” Sakat Aaira sambil mengenyitkan matanya pada Mikayla.

Eee…geli lah dengar.” Balas Mikayla sambil ketawa.

“Kamu pun duduklah makan Mikayla.” Pinta Pakcik Usman. Mikayla hanya menurut.

“Kejap lagi ibu dengan ayah nak pergi rumah abang long tau. Tolong-tolong sikit apa yang patut. Masuk rumah baru ni banyak nak kena buat.” Beritahu Makcik Maryam.

Aaira mengangguk-angguk.

“Adik nak abang hantarkan pergi kerja?” Soal Ziyad pula, menawarkan diri untuk menghantar adiknya memandangkan dia masih bercuti.

Takpe…adik boleh pergi sendiri. Balik nanti kalau sempat adik singgah rumah abang long.” Balas Aaira.

“Kalau sempat ke kalau larat…” Usik Mikayla pula.

“Ala kak long ni…shushhh…” Balas Aaira pula sambil meletakkan jari di bibirnya.

Mereka semua menyambutnya dengan ketawa. Dia sendiri pun kekok hendak memanggil kawan karibnya itu dengan panggilan tersebut. Silap-silap sampai ke sudah lah dia hanya ber ‘aku, kamu’ sahaja dengan Mikayla.

Aaira menghidupkan enjin kereta. Sambil kalut menyeluk beg tangannya, mencari telefon bimbit. Tiada dalam beg. Kemudian dia bergegas masuk semula ke dalam rumah mencari telefon bimbitnya. Setelah mengambil telefonnya di meja makan di dapur, dia bergegas kembali ke kereta.

Dalam kelam kabut itu, dia terus memulakan perjalanan. Terlupa sudah dia hendak membaca doa seperti yang selalu diamalkan. Keretanya meluncur laju meninggalkan rumah ibu bapanya. Tanpa disedari…ada lembaga yang sedang duduk tersengih di tempat duduk belakang keretanya.

Aaira memandu dengan tenang. Keadaan jalan raya juga tidak terlalu sesak memandangkan minggu itu masih lagi dalam cuti sekolah. Dipasangnya video ceramah Ustaz Wadi Annuar berkenaan alam barzakh bagi menemani pemanduannya pagi itu.

Tiba-tiba dia rasa kaki kirinya sangat lenguh dan berat. Mujur juga keretanya kereta auto, tidak memerlukan kaki kirinya menekan kelas untuk menukar gear. Dipicit-picit dan diketuk-ketuk kakinya dengan tangan kirinya bagi mengurangkan lenguh yang semakin kuat. Sementara tangan kanannya masih mengemudi stereng kereta.

Dalam sedang memandu itu, Aaira mengerling sekilas ke arah kaki kirinya yang dirasakan begitu berat. Terkejut bukan kepalang dia bila ternampak ada makhluk yang sedang tersengih dengan wajah yang mengerikan sedang melekap erat di kaki kirinya di bawah stereng.

“Argghh…!” Jerit Aaira.

Serta merta dia hilang kawalan. Keretanya melelong dari laluan asal, berlanggar dengan hujung belakang sebuah lori panjang yang berada di situ. Berpusing kereta Aaira sebelum terseret naik ke atas pembahagi jalan. Aaira sudah tidak sedarkan diri di dalam kereta.

 

KAIRI yang baru menerima panggilan telefon dari Ziyad memaklumkan tentang kemalangan tersebut, bergegas memecut pulang waktu itu juga. Tidak dihiraukan kursusnya yang masih berbaki.

“Macam mana keadaan dia?” Tanya Kairi pada Ziyad yang sedang duduk di tepi katil Aaira.

Dilihatnya gadis itu sedang tidur dengan tenang.

“Alhamdulillah… doktor cakap tiada kecederaan serius. Pehanya tertindih dengan stereng tapi tak ada tulang yang patah. Cuma lebam sahaja akibat kecederaan ringan pada tisu otot. Bahu dia pun sama, mungkin tertarik kuat pada tali pinggang keselamatan. Kitorang masih tak tahu punca keretanya hilang kawalan.” Jelas Ziyad.

“Doktor minta kita tak ganggu dia berehat buat sementara waktu ni. Kau baru sampai terus dari KL ke ni” Soal Ziyad.

Kairi mengangguk-angguk. Dibeleknya si isteri yang sedang tidur lena.

“Dah solat ke? Pergilah solat dulu. Nanti aku minta Mikayla belikan makanan untuk kau. Mesti kau belum makan lagi. Dia bawa ibu dengan ayah makan kat kafe sekejap tadi.” Ujar Ziyad lagi.

Kairi hanya mengangguk-angguk.

“Jangan risau sangat…Alhamdulillah tak ada apa-apa.” Ujar Ziyad menenangkan Kairi sambil menepuk bahunya perlahan.

Dia faham perasaan lelaki itu ketika itu. Dia sendiri pun sudah rasa macam nak terbang nyawanya tadi apabila mendapat tahu adiknya terlibat dalam kemalangan. Mujurlah tiada kecederaan yang serius.

Kairi melangkah berat menuju ke surau berdekatan. Selesai menunaikan solat, terus dia melakukan sujud syukur. Alhamdulillah..kemalangan isterinya tidak serius. Rasa mahu tercabut nyawanya sebentar tadi.

Sekembalinya dari surau, dia lihat Aaira sudah bangun. Ziyad sedang menyuapkan nasi padanya, manakala Mikayla sedang mengikatkan rambutnya dari belakang. Pakcik Usman dan Makcik Maryam juga ada di situ.

“Abang dah balik?” Sapa Aaira sambil tersenyum manis, apabila sedar akan kehadiran Kairi di muka pintu.

Kairi tidak menjawab, sebaliknya terus melajukan langkah menuju ke arah Aaira, lalu dipeluk isterinya erat.

“Abang takut….” Rintihnya perlahan. Menitis air matanya.

Ziyad yang melihat keadaan itu menelan air liur. Mereka yang lain yang berada di situ turut berasa sebak. Memang lelaki itu tidak pernah menunjukkan sebarang kesan duka di wajahnya, jauh sekali mengadukan tentang sakitnya kehilangan. Tetapi pada hakikatnya, anak kecil itu telah mengalami trauma, kematian kedua orang tua sekaligus dalam nahas jalan raya. Walaupun sudah dewasa, parutnya tidak hilang.

“Sayang…minta maaf abang…” Aaira turut menelan air liur.

Tercari-cari kata-kata yang sesuai untuk menenangkan suaminya. Rasa bersalah datang menyerbu. Seketika kemudian baru Kairi melepaskan pelukannya. Berpaling ke arah lain untuk mengesat mata.

“Hah, suap aku sekali…aku pun lapar juga ni.” Ujar Kairi tiba-tiba sambil mengangakan mulut di hadapan Ziyad.

Terkebil-kebil Ziyad dibuatnya. Kemudian baru mereka tertawa. Suasana bertukar ceria. Masing-masing menarik nafas lega. Memang lelaki ini pandai mengawal emosi.

“Tapi…macam mana kamu boleh hilang kawalan, Aaira?” Soal Mikayla.

Semua pandangan tertumpu kepada Aaira. Kairi dan Ziyad yang sedang makan juga terhenti menyuap makanan ke mulut.

Err…sebenarnya…” Aaira teragak-agak.

Tidak tahu sama ada dia patut menceritakan hal yang sebenar. Sebolehnya dia tidak mahu membuat ahli keluarganya risau.

“Sebenarnya adik terkejut pada makhluk yang melekap di kaki kiri adik.” Ujarnya perlahan.

Astaghfirullhalazim…..” Pakcik Usman beristighfar panjang.

“Tak apalah..nanti ayah cuba hubungi Ustaz Abu Bakar, minta nasihat darinya. Sekarang ni dia berada di Tanah Suci, mengerjakan ibadah Umrah.” Ujar Pakcik Usman. Geram pula rasanya, apabila anaknya diganggu begitu.

“Buat sementara ni, adik kena kuatkan diri dengan zikir dan amalan. Solat jangan sekali-kali tinggal.” Pesan Pakcik Usman mengingatkan.

“Kairi…, banyakkan baca Surah al Baqarah di rumah ya…” Pesannya lagi.

Mereka semua mengangguk-angguk tanpa membantah.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasululullah Sallallahu’alaihiwassalam bersabda yang bermaksud:

“Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian sebagai kuburan, sesungguhnya syaitan itu akan lari dari rumah yang dibacakan surah al Baqarah.” (Hadis Riwayat Muslim, No. 1300)

“Zikir-zikir dalam al Ma’tsurat tu amalkan setiap pagi dan petang…” Pesan Pakcik Usman lagi.

“InshaAllah ayah…” sahut Kairi dan Aaira serentak.

Aairalah…selalu aje culang-caling amalannya. Berselang-selang. Kadang buat, kadang ditinggal. Kena selalu diingatkan. Masih perlu berusaha untuk istiqamah.

Petang itu Aaira sudah dibenarkan pulang kerana tiada kecederaan serius yang memerlukan rawatan lanjut. Dia diberikan cuti sakit selama beberapa hari untuk berehat di rumah. Cuma dia dinasihati untuk kembali ke hospital mendapatkan nasihat doktor sekiranya berlaku apa-apa masalah kesihatan dalam jangka masa terdekat ini.




No comments:

Post a Comment