Monday, May 20, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 18)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 18

BEBERAPA hari telah berlalu sejak mereka meninggalkan rumah Pakcik Usman dan Makcik Maryam. Kairi semakin bingung dengan sikap Aaira. Tingkahnya berubah 100% apabila pulang ke rumah mereka sendiri. Hilang habis perangai manjanya semasa di rumah ibunya.

Apa sahaja yang dilakukan Kairi serba tak kena di mata Aaira. Dia lebih suka bersendiri dan tidak mahu diajak berbual, jauh sekali berbincang. Saban hari dia asyik sahaja dengan telefonnya. Apabila Kairi cuba mendekatinya, dia akan cuba menolak dengan pelbagai alasan.

Eee…mulut abang bau lah… pergila gosok gigi dulu…” Ujarnya semasa Kairi cuba mengucup bibirnya tempoh hari.

Itu antara alasan popularnya, selain ‘letih’. Sehingga hari ini, sudah hampir sebulan mereka menjadi suami isteri yang sah, tetapi Aaira masih belum dapat menjalankan peranannya yang satu itu sebagai isteri. Kairi pula bukan jenis yang memaksa. Sentiasa berlembut dan mesra dengan Aaira dalam setiap perkataan dan perbuatannya kepada isterinya.

Aaira sedar itu… tapi entahlah apa yang tak kena dengan dirinya. Entah kenapa tiba-tiba dia asyik teringatkan seseorang. Lelaki itu pula rajin melayannya berbual melalui pesanan di aplikasi Whatsapp, walaupun tahu statusnya sebagai isteri orang. Perbualan yang pada mulanya berkisar tentang soal kerja, perlahan-lahan disulami gurauan yang lebih mesra.

“Sayang…, jom kita makan kat luar malam ni nak tak?” Soal Kairi sewaktu mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas kerja.

“Tak mahulah… esok kan kerja. Sayang nak tidur awal.” Jawab Aaira pendek.

“Alaa… jomlah sayang…kita pergi sekejap je… abang teringinlah nak makan kat luar dengan sayang…” Pinta Kairi masih memujuk.

“Sayang tak mahulah abang…letih tau keluar malam hari kerja. Kalau malam minggu tak apalah juga.” Aaira masih menolak.

Emm…kalau macam tu, kita pergi sekarang nak? Malam sayang boleh rehat.” Pinta Kairi lagi, masih berusaha.

“Abang ni kenapa, paksa-paksa orang ni? Orang cakap tak nak, tak nak lah. Kalau nak pergi sangat pergilah sendiri.” Aaira sudah mula meninggikan suara, rimas dengan ajakan Kairi.

Kairi terdiam. Akhirnya dia hanya singgah membelikan makanan bungkus untuk mereka berdua makan di rumah malam itu. Aaira hanya membiarkan sahaja, tidak sedikit pun dia mahu meminta maaf kerana meninggikan suara pada suaminya sebentar tadi. Bukan dia tidak rasa bersalah, tetapi entahlah..mungkin egonya lebih tinggi dari keinginan untuk meminta maaf.

“Jom sayang, kita makan sama-sama sambil tengok movie apa-apa?” Ajak Kairi setelah selesai mengimamkan solat Maghrib mereka malam itu.

“Tak nak…kenyang lagi, ada jamuan kat unit petang tadi.” Balas Aaira acuh tak acuh.

“Alaa..sayang..jom lah temankan abang makan…sayang jamah sikit je pun takpe dah..” Pinta Kairi.

“Abang ni sekarang suka paksa sayang kan? Apa yang sayang tak nak semua abang paksa. Lepas tu, kalau tak ikut cakap abang, sayang ni jadi isteri derhaka lah kan?” Aaira tiba-tiba memberontak.

“Eh tak ada lah macam tu sayang..abang bukan paksa sayang…abang cuma pujuk sayang temankan abang makan…” Kairi cuba membetulkan suasana.

Aaira hanya mendiamkan diri. Langsung tidak memandang wajah suaminya.

“Sayang…? Abang minta maaf ea kalau cara abang buat sayang rasa tak selesa?” Pantas sahaja Kairi meminta maaf, berharap pertelingkahan mereka tidak berpanjangan.

Aaira masih tidak memberikan sebarang respon. Dia buat suaminya macam tidak wujud sahaja di situ.

“Abang cuma rindu nak makan sama-sama dengan sayang… nak rehat-rehat tengok tvspend time berbual dengan sayang…” Kairi masih memujuknya lembut.

Kairi cuba menyentuh bahunya mesra, tapi pantas ditepis Aaira dengan muka masam mencuka.

Takpe lah…kalau sayang letih, sayang rehatlah dulu…abang turun makan sekejap ya..” Kairi mengalah kecewa.

Tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk melembutkan hati si isteri. Lalu dia melangkah turun dan makan sendirian di meja dapur. Lambat-lambat dia menyuapkan makanan ke dalam mulut. Fikirannya menerawang  memikirkan keadaan mereka sekarang. Cuba mengenal pasti apa yang tak kena. Entah kenapa Aaira sudah jadi macam orang lain. Berubah terus wataknya. Tak macam Aaira yang dia kenal.

Tak sampai separuh nasi gorengnya dijamah, dia sudah berhenti. Bukan sengaja hendak membazir, tetapi tekaknya sudah tidak mampu menerima walau satu suapan pun lagi. Lalu dikemaskan meja sebelum melangkah lemah naik ke atas. Dilihatnya Aaira sudah pun tidur di katil.

Begitulah setiap hari. Selepas solat Isyak sahaja isterinya akan terus tidur. Langsung tidak sempat untuk dia berbual-bual atau bergurau senda dengannya seperti selalu. Kemudian esok pagi mereka akan terus dengan rutin harian mereka ke tempat kerja. Kairi benar-benar rindukan Aaira.

 

MALAM itu Kairi menangis sendirian di dalam sujudnya. Terasa seperti Aaira semakin jauh darinya walaupun isterinya itu hanya di depan mata. Terasa seperti Aaira sedang terlepas dari genggamannya perlahan-lahan. Sungguh dia merasa begitu lemah tak berdaya.

“Laa haulaa walaa quwwata illaa billaah..”

Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.”

Lalu berdiri dia menunaikan solat di tengah kesunyian malam. Selepas 2 rakaat disambungnya lagi 2 rakaat. Begitulah seterusnya sehingga hatinya rasa lebih ringan. Mengadukan segala kesedihan dan kerisauan pada Yang Satu.

“Solat ni tuan-tuan… cara paling cepat, paling dekat nak sampai kepada Tuhan. Bila ada masalah, rasa kusut rasa serabut, masalah banyak, tuan-tuan solat sunat. Dua rakaat. Lepas habis dua rakaat sambung lagi, sambung lagi sampai hati rasa tenang. InshaAllah…Tuhan akan lorongkan jalan keluar.” Begitulah lebih kurang kata-kata yang didengarnya dalam satu ceramah agama.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Aaira dah buat perangai. Dihembus-hembus dan dibetul-betulkan tudung bawal yang dipakainya di hadapan cermin. Tetapi masih juga tudungnya itu tidak mahu terbentuk dengan elok di bahagian atas kepalanya.

Ishhh…tak jadi la. Abang iron macam mana ni? Lain kali tak payah lah rajin sangat nak tolong ironkan. Biar saya buat sendiri.” Dilepaskan marah pada sang suami.

Sudahlah suaminya ikhlas tolong gosokkan pakaian kerjanya, dimarahnya pula. Terima kasih langsung tidak.

“Ha? Abang iron silap ke sayang? Kedut lagi ke? Takpe mari abang ironkan semula bahagian atas tu. Sikit je ni, sempat lagi.” Ujar Kairi cuba membetulkan keadaan.

Pantas Aaira membuka tudung yang dipakainya. Tetapi bukan diserahkan kepada Kairi yang sedang menghulurkan tangan, sebaliknya dilemparkan sahaja ke atas katil. Kemudian dia terus berlalu ke bilik air. Terkebil-kebil Kairi di situ. Lalu diambilnya tudung tersebut untuk digosok semula.

“Nah, sayang. Abang dah iron balik dah. Kali ni mesti jadi punya sayang pakai.” Ujar Kairi sambil melangkah masuk ke dalam bilik.

Aaira tidak menjawab, sebaliknya hanya menumpukan perhatian pada gincu yang disapu ke bibir. Kairi lihat Aaira sudah siap mengenakan tudung sarung.

Aik…sayang pakai tudung tu ke. Abang dah siap ironkan balik ni tudung sayang.” Tegur Kairi.

“Tak payah..dah lambat.” Balas Aaira kasar.

Lalu dia terus beredar untuk turun ke bawah.

“Cepatlah..dah lambat lah…” Laungnya dari tangga.

“Haa..ye kejap sayang..” Sahut Kairi sambil kelam kabut bersiap.

Petang itu Kairi menjemput Aaira dari hospital seperti biasa.

“Assalammualaikum sayang…” Sapa Kairi mesra sebaik sahaja Aaira masuk ke dalam kereta.

“Waalaikumsalam..” Balas Aaira tanpa memandang ke arah Kairi.

“Mari abang tolong sayang pakai.” Kairi mendekatkan tubuhnya dengan Aaira, cuba untuk membantunya memakai tali pinggang keselamatan.

Biasanya Aaira suka Kairi buat macam tu. Romantik katanya.

Ishh..tak payahlahh…orang boleh pakai sendiri lah.” Marah Aaira sambil menolak tubuh Kairi menjauhinya.

Tak suka betul dia apabila Kairi merapatinya begitu. Macam alergik pula. Kairi hanya mendiamkan diri. Dipendamkan sahaja rasa kecil hatinya.

Err…sayang nak makan apa malam ni? Nak abang masakkan tom yam tak?” Soalnya, cuba mengalih topik.

“Tak nak lah, dah makan kat unit tadi, ada orang belanja.” Jawab Aaira ringkas.

Kairi telan air liur. Hampir setiap hari Aaira bagitahu dah makan di tempat kerja sebelum pulang. Tetapi tak ada pula dia cakap ada orang yang belanja. Hari-hari ke orang tu belanja? Siapa? Lelaki ke perempuan? Semua soalan itu hanya terlempar bertalu-talu dalam benaknya sendiri.

Err..siapa yang belanja, sayang?” Soal Kairi berhati-hati. Risau Aaira naik angin lagi.

Tetapi Aaira hanya mengabaikan sahaja soalannya itu. Dipejam matanya rapat, pura-pura tidur. Hinggalah mereka sampai ke rumah. Kairi pun hanya membiarkan sahaja, tidak berani menyoal lagi. Bimbang mencetuskan pergaduhan.

 

MALAM itu Kairi dan Aaira meluangkan masa bersama di ruang tamu. Siaran televisyen menayangkan filem romantik komedi Indonesia yang bertajuk ‘Tipu Kanan Tipu Kiri’. Kairi duduk bersila di depan meja kopi, menyelesaikan sedikit tugasan di komputer ribanya sambil menonton. Ada sepiring hirisan epal yang telah dipotong dan sebilah pisau kecil yang digunakan tadi di sebelah komputernya.

Aaira pula duduk di sofa di belakangnya, melayan telefon bimbit sambil ketawa-ketawa menonton cerita kelakar itu. Senang hati Kairi mendengar tawa isterinya. Selesai menyimpan dokumen penting, Kairi menutup komputer dan duduk di sofa bersama Aaira. Dirangkulnya bahu isterinya. Tetapi Aaira menolak kembali tangannya.

“Rimaslah…” Ujarnya. Kairi hanya mengalah lemah.

“Esok kita balik rumah ibu ya sayang. Ayah telefon abang petang tadi,  minta kita pulang bermalam di sana hujung minggu ni..” Bual Kairi mesra.

Emmok…” Balas Aaira pendek.

Sedikit pun dia tidak memandang wajah Kairi. Langsung tidak diangkat kepalanya yang sedang tunduk melihat telefon bimbit. Ditekan-tekannya skrin tersebut pantas dengan kedua ibu jarinya.

“Sayang mesej dengan siapa tu…dari tadi tak berhenti bunyi mesej masuk.” Soal Kairi cuba berbual.

“Abang ni kenapa tanya macam tu? Abang nak tuduh sayang curang dengan abang ke?!” Tiba-tiba Aaira meninggikan suara pada suaminya.

“Eh taklah sayang…abang…” Belum sempat Kairi menghabiskan bicaranya, Aaira pantas memotong.

Yelah sayang ni memang jahat sangat kan, ha? Hari-hari keluar dengan lelaki lain?!” Aaira bercakap macam orang tak sedar diri.

“‘Laa ape sayang ni…apa cakap macam tu…tak…abang tak cakap sayang macam tu..abang tahu…” Lagi sekali Kairi tak berkesempatan menghabiskan kata-katanya. Pantas sahaja Aaira memotong.

“Sudahlah abang! Kalau abang dah memang tak boleh nak percayakan saya, abang lepaskan aje saya!” jerit Aaira sambil berdiri.

Pantas tangannya mencapai pisau di sebelah hirisan epal tadi lalu diletakkan di pergelangan tangannya.

“Abang ceraikan saya kalau tak, saya bunuh diri!” Jerit Aaira yang sudah kehilangan akal warasnya.

Kairi yang turut berdiri tadi sudah rasa melayang-layang kepalanya. Lemah lututnya untuk terus menampung berat badannya. Menggigil-gigil tangannya menghadapi situasi itu.

“Allahu Akbar sayang…! Kenapa ni kenapa buat macam ni…benci sangat ke sayang kat abang sampai cakap macam ni…” Rintihnya.

“Tolonglah jangan minta benda macam tu sayang..abang terlalu cintakan sayang, abang tak boleh hilang sayang…” Rintihnya lagi sambil sebelah tangannya sudah memaut bahu sofa, cuba menahan dirinya sendiri dari jatuh.

“Tolong jangan tinggalkan abang…” Tumpah sudah air mata seorang suami.

Laju menderu menitik-nitik membasahi bumi. Ketat rasa dada Kairi cuba menarik nafas. Udara yang disedut dirasakan bagai duri tajam yang menghiris segenap ruang paru-parunya. Rebah melutut juga dia ke lantai, sudah gagal kakinya menampung kakinya. Kairi tewas dalam emosi. Tangisannya sudah mengeluarkan bunyi yang agak kuat. Sakit betul. Betul-betul sakit. Dia tak boleh kehilangan isteri yang sangat dicintainya itu. Tak boleh!

“Allah…tolong aku….!” Rintihnya dalam hati memanggil-manggil nama Tuhannya.

Aaira yang tadinya begitu bengis dikuasai nafsu amarah dan hasutan syaitan, terkedu melihat reaksi suaminya. Jelas di mata dan di hatinya betapa Kairi sdang sakit dan terluka. Lalu, bagaikan baru tersedar dari mimpi, dia perlahan-lahan melepaskan pisau yang dipegangnya. Berdenting jatuh ke lantai.

“Ya Allah…apa yang aku dah buat ni…” Bisiknya dalam hati.

Muka yang tadinya panas dengan api kemarahan, kini banjir dihujani air mata. Dia ikut menangis melihat suaminya menangis.

Perlahan-perlahan dia melangkah menghampiri suaminya. Dijatuhkan tubuhnya di hadapan Kairi yang sudah melutut itu. Lalu dirangkulnya tubuh lelaki itu dan dipeluknya erat sambil menangis teresak-esak.

“Sayang minta maaf abang, sayang minta maaf…” Terketar-ketar suaranya tenggelam timbul dalam esak tangis.

Lantas Kairi meraih Aaira dalam dakapannya. Dipeluk isterinya seerat-eratnya bagai tidak mahu dilepaskan lagi.

“Abang sayang sayang sangat-sangat. Abang cinta sayang…” Serak suaranya antara keluar dengan tidak dalam mengawal tangis yang semakin kuat.

Tenggelam suami isteri itu dalam tangisan yang bagaikan tiada tanda untuk berhenti, sambil berpelukan erat.

Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata…betapa ketatnya rasa sakit yang sedang menekan dada sepasang suami isteri itu… betapa kepingan hati mereka sudah basah berlumuran darah luka yang memedihkan… bisanya begitu menyengat… hingga terasa melumpuhkan seluruh anggota badan lainnya.

Aaira mendongak memandang wajah suaminya… batinnya sudah menjerit dan meraung meminta bantuan. Tak tahan lagi rasanya saban hari bertarung dengan perasaan begini. Kepalanya rasa bagai ditekan dengan batu yang sangat besar dan berat. Bersimpang siur menentukan mana yang baik dan mana yang buruk. Berkecamuk. Dia rasa macam nak gila!

Hatinya pula sentiasa diasak dengan seribu satu macam emosi pada satu-satu masa. Menyesakkan dan melemaskan. Rasa seperti sedang tenggelam timbul sendirian di sebuah lautan yang luas dan dalam. Dia sendiri tidak faham apa yang sedang berlaku pada dirinya. Ada ketika, dia merasa begitu cinta dan kasih pada suaminya.

Hanya Tuhan yang tahu betapa tulus rasa cinta itu muncul dari dasar hatinya yang paling dalam. Sungguh-sungguh dia mencintai lelaki itu dengan hati pemberian Tuhannya. Ikhlas.

Tetapi ada pula ketika, hatinya seolah mati rasa pada lelaki itu. Entah hilang terbang ke mana semua perasaan cinta kasihnya. Lesap tanpa kesan. Hinggakan dia merasa tidak rela didekati lelaki itu, apatah lagi disentuh. Hatinya bagai disumbat masuk dengan perasaan marah yang meluap-luap dan benci yang amat sangat pada suaminya, secara paksa.

“Abang tolong sayang….” Ujarnya dalam esak tangis yang masih menggila.

“Tolong sayang abang….” Tangisnya lagi.

“Sayang tak tahu kenapa sayang macam ni….” Rintihnya lagi.

Menitik-nitik air mata Kairi. Berlumba laju tumpah ke Bumi, melihatkan keadaan isterinya pada ketika itu. Hiba hatinya melihat penderitaan isterinya. Entah kenapa ada manusia yang begitu kejam, sanggup untuk menzalimi sesama manusia…, sanggup merosakkan kebahagiaan orang lain….memecah belahkan rumah tangga orang sehingga habis roboh hancur semuanya. Kenapa….?

Kairi menarik Aaira kembali rapat ke dadanya. Dipeluknya erat penuh kasih.

“Allah…bantu kami….” Rintihnya perlahan.

Kairi membiarkan Aaira menangis sepuasnya dalam dakapannya. Dalam keadaan dia sendiri pun menghambur segala kesedihan dalam hati melalui air matanya.

Allah…selamatkan rumah tangga ini..

Setelah tangisan mereka semakin reda, Kairi perlahan-lahan melonggarkan dakapannya. Aaira sudah tersandar letih di dadanya, tersedu-sedu. Kairi menarik isterinya bangun berdiri lalu dia memapahnya ke bilik tidur. Dia membantu Aaira duduk di katil.

Kemudian dicapainya gelas minuman di atas meja kecil di tepi katil lalu dituang air ke dalamnya. Dia melafazkan Bismillah dan mengulangkan selawat, sebelum membacakan surah al Fatihah. Lalu ditiupkan perlahan ke dalam air.

“Minum sikit sayang…” Pintanya kepada Aaira, dengan harapan keberkatan ayat suci itu dapat menenangkan isterinya.

Aaira hanya menurut tanpa sebarang kata. Mata dan kepalanya terasa begitu letih. Tubuhnya rasa lemah. Kemudian Kairi menuangkan sedikit air di tapak tangannya lalu disapukan ke wajah isterinya yang sudah kering dengan air mata.

Kairi meletakkan semula gelas di tangannya ke atas meja. Perlahan-lahan dia membaringkan Aaira dan menutup tubuhnya dengan selimut. Dibelai rambut isterinya yang sudah hampir terlena keletihan itu dengan penuh kasih sayang. Lalu dibacakan ayat Qursi dan 3 Qul sebelum dihembus perlahan ke ubun-ubun Aaira. Dikucupnya dahi Aaira dengan lembut.

Kemudian dia kembali ke ruang tamu. Dikutipnya pisau yang jatuh ke lantai dan dikemas meja kopi di situ. Setelah siap semuanya, dia melangkah masuk ke bilik air. Dibersihkan wajahnya yang comot dengan air mata tadi dengan air wudhuk. Diratakan air ke seluruh anggota wudhuk dengan teliti dan berhati-hati. Terasa kesegaran menyerap masuk ke tubuhnya yang tadi begitu lelah.

Dibentangkan sejadah di sebelah katil lalu berdiri dia mengangkat takbir menyebut nama Allah yang Maha Esa. Dialunkan setiap bacaan dalam solat dengan khusyuk. Disempurnakan setiap rukun solat dengan tekun, sehinggalah dahinya bertemu dengan sejadah dalam sujud, tumpah lagi air matanya.

Dirayu-rayu Tuhannya di dalam hati, meminta pertolongan. Lalu disudahi solatnya dengan salam sebelum menadah tangan memanjatkan doa dengan penuh kerendahan hati seorang hamba.

“Ya Allah…Tuhan yang Maha Mendengar… , lagi mengetahui akan segala sesuatu… Dengarkanlah rayuanku ini.. Bantulah aku ya Allah… sungguh aku hanyalah hambaMu yang lemah..tiada langsung daya dan upayaku ya Allah..tanpa pertolonganmu..

Kasihanilah aku ya Rahim… Ampunkanlah aku dengan rahmat dan kebesaranMu… terimalah sujudku dan taubatku… sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang... Hanya kepadaMu aku meminta-minta ya Allah… selamatkanlah rumah tanggaku.. selamatkanlah rumah tanggaku ya Allah… selamatkanlah rumah tanggaku…..” Kairi merintih panjang dalam doanya. Begitu terdesak dan bersungguh-sungguh… begitu berharap pada pertolongan Tuhan…, Penciptanya yang Satu.

Lalu diteruskan solatnya hingga hatinya merasa puas. Kemudian barulah dia merebahkan badannya di sebelah Aaira. Dirangkulnya tubuh itu dengan penuh kasih sayang, sebelum hanyut dalam tidur.




No comments:

Post a Comment