Tuesday, May 21, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 19)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 19

PAGI itu awal-awal lagi Aaira dan Kairi sudah menerima tetamu. Makcik Maryam, Pakcik Usman, Ziyad dan Mikayla datang ke rumah mereka. Ustaz Abu Bakar pun ada bersama.

“Kairi baru rancang nak pergi rumah ayah malam ni, bermalam di sana..” Ujar Kairi setelah mereka semua duduk berkumpul di bahagian ruang tamu.

“Ayah ada perkara nak dibincangkan dengan kamu berdua..” Ujar Pakcik Usman memulakan bicara.

“Sebenarnya Ziyad meminta pendapat ayah selepas Kairi ada mengadukan kerunsingannya mengenai perubahan sikap Aaira.. kami khuatir jika gangguan yang dulu tu datang kembali. Jadi ayah berhubung dengan Ustaz Abu Bakar..” Ujar ayahnya menjelaskan situasi.

“Saya rasa saya tahu masalah apa yang sedang menguji kamu sekarang. Tapi saya nak kena pastikan dulu benar atau tak apa yang saya syak. Sebab itulah saya minta Usman bawa saya ke rumah kamu.” Terang Ustaz Abu Bakar pula.

Semua yang ada di situ hanya mendiamkan diri dan menumpukan sepenuh perhatian kepada Pakcik Usman dan Ustaz Abu Bakar.

“Sebenarnya saya tahu apa yang Aaira nampak semasa majlis pernikahan tempoh hari. Saya dah cuba kekang pergerakan syaitan itu.. tapi terlepas juga sekejap sewaktu akad sah dilafazkan.” Tambahnya lagi.

Terasa membiru muka Aaira mendengar penjelasan Ustaz Abu Bakar. Terbayang kembali di ingatannya wajah makhluk yang mengerikan itu. Terkoyak-koyak mukanya hingga bergantungan isi dagingnya di pipi dan dagunya. Darah merah pekat menitik-nitik dari isi daging itu hingga bertakung di lantai tempat dia berpijak.

Patutlah makhluk itu hanya berdiri merenungnya dari satu sudut, tidak langsung menghampiri atau menyentuhnya. Rupanya pengantin itu sedang dibantu oleh Ustaz Abu Bakar dalam diam. Aaira memejam mata dan menggeleng-gelengkan kepala, cuba menghambat wajah itu pergi dari ingatannya.

“Memang ada yang cuba menghalang pernikahan kamu..” Ustaz Abu Bakar terhenti sekejap.

“Tapi saya tak sangka pula sampai sejauh ini orang itu bertindak. Kalau dibiarkan, risau pula sampai membawa kepada perceraian.” Sambungnya lagi.

Kairi dan Aaira telan air liur. Teringat apa yang baru berlaku semalam.

“Boleh saya tengok-tengok sekeliling rumah kamu?” Ustaz Abu Bakar meminta izin.

“Boleh Ustaz, silakan.” Sahut Kairi.

Ustaz Abu mula berjalan mengelilingi bahagian dalam rumah. Dari tingkat bawah sehingga ke atas. Mulutnya terkumat kamit membaca ayat suci al-Quran. Kemudian dia berjalan keluar ke halaman rumah. Dihampirinya sebatang pokok mata kucing yang tertanam di kawasan berumput di bahagian tepi rumah.

Kelihatan dia menarik nafas panjang. Kepalanya terangguk perlahan lalu dia membongkok dan mencangkung di situ. Dikuis-kuisnya tanah di situ dengan ranting kayu, sambil mulutnya tak berhenti berzikir dan berselawat.

Mereka yang lain hanya berdiri memandang perlakuannya. Seketika kemudian dia menarik keluar satu bungkusan kecil kain berwarna kuning yang diikat seperti bunjut. Tergeleng-geleng kepalanya sambil beristighfar. Lalu dia berdiri dan menunjukkan bungkusan itu kepada mereka yang lain.

“Betullah seperti sangkaan saya. Kamu berdua telah disihir dengan Sihir Pemisah.” Ujar Ustaz Abu Bakar.

Terkejut mereka mendengarnya.

Astaghfirullahalazim…” Kuat istighfar Pakcik Usman.

Terkejut dia dengan berita yang baru didengarnya. Mereka yang lain turut beristighfar mengikutnya.

Kairi mencapai tangan Aaira dan menggenggamnya kuat. Hatinya bersyukur kerana rumah tangga mereka masih belum roboh. Dia masih belum kehilangan Aaira. Masih berkesempatan untuk menyelamatkan hubungan mereka.

“Kairi, Ziyad tolong ambilkan barang-barang yang kita bawa tadi dalam kereta.” Pinta Ustaz Abu Bakar.

Ziyad dan Kairi akur tanpa sebarang kata. Kemudian mereka berkumpul semula di ruang tamu.

“Mikayla, kamu tolong ambilkan dulang, mangkuk kecil, pisau, dan baldi ya.” Pintanya pada gadis itu.

Mikayla bingkas bangun menuju ke dapur dengan ditemani oleh Makcik Maryam. Seketika kemudian mereka muncul semula dengan barang-barang yang diminta tadi.

Ustaz Abu Bakar mengeluarkan barang-barang yang dibawa tadi dari dalam plastik. Kemudian disusun ke dalam dulang yang diberikan Mikayla. Dicapainya beberapa bungkusan lalu dibukanya dengan pisau. Dicapainya mangkuk kecil di situ lalu diisi dengan garam kasar dan lada hitam yang berada dalam bungkusan tadi.

Kemudian dituang pula air dari dalam botol besar ke dalam sebuah baldi.  Dia menghiris limau nipis dan menjatuhkannya dalam baldi tersebut. Seterusnya dimasukkan beberapa helai daun bidara. Kemudian diambil pula sintok, dicarikkan, dan dikacau semua isi baldi tadi menggunakan sintok tersebut, sebelum turut memasukkannya ke dalam baldi.

Semuanya dibuat sambil mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan kuat. Kemudian diminta Aaira duduk melunjurkan kaki di hadapannya dengan hujung kaki Aaira ditutup dengan sejadah. Dialunkan lagi bacaan ayat suci al-Quran dan turut diminta Aaira berzikir dan berselawat tanpa henti.

Ustaz Abu bakar menggerak-gerakkan tangannya seperti sedang menarik keluar sesuatu dari hujung kaki Aaira yang ditutup dengan sejadah. Terketar-ketar tangannya. Memek wajahnya menunjukkan yang dia sedang berhempas pulas menggunakan tenaga.

Aaira yang tadinya elok-elok sahaja, mula rasa berdebar-debar dengan kuat. Badannya mula rasa panas dan dia terasa seperti ada pergerakan di dalam perutnya. Ziyad yang sedang memerhatikannya mula risau. Cuak juga. Mana tahu tiba-tiba adiknya itu menjerit-jerit di situ seperti dirasuk. Mahu berdialog pula Ustaz Abu Bakar dengan jin dalam tubuhnya nanti.

Tetapi situasi yang dibayangkan Ziyad itu tidak berlaku. Aaira hanya mengadukan kaki kirinya terasa begitu berat dan lenguh… rasa macam nak tertanggal dari kepala lututnya.

“Sakit….” Rintihnya sambil cuba mencapai kakinya di bawah sejadah.

Makcik Maryam yang berada di sampingnya menggosok-gosok bahu anak perempuannya itu. Selepas beberapa ketika dia mula rasa ringan. Debarannya juga kembali berkurang. Rasa panas tadi juga semakin menghilang.

Kemudian Ustaz Abu Bakar mengarahkan Ziyad dan Kairi membuka semua pintu dan tingkap yang ada.

“Jom ikut saya. Kamu berdua tolong jangan berhenti berzikir ya.” Dia mengajak Ziyad dan Kairi mengikuti pergerakannya.

Dia membawa mangkuk berisi garam kasar dan lada hitam tadi dan melemparkan isinya ke lantai dinding di sekeliling rumah bermula dari pintu depan, dan balik juga ke pintu depan. Kemudian dia mengulangi langkah yang sama di halaman rumah. Ziyad dan Kairi hanya mengekori setiap langkahnya dari belakang sambil bibir mereka tidak berhenti-henti berzikir dan berselawat.

Setelah selesai, mereka kembali berkumpul di ruang tamu. Ustaz Abu Bakar mengarahkan Aaira mandi menggunakan air di dalam baldi tadi.

“Baca al-fatihah, kemudian 3 Qul ulang 3 kali dan selawat 7 kali sebelum masuk ke bilik air. Sambil jirus nanti kamu niatkan dalam hati minta kesembuhan dari Allah dan minta keluar segala benda-benda yang tak elok dalam badan kamu. Limau dan semua dalam baldi ni yang jatuh ke lantai nanti kutip dan kumpulkan dalam plastik..” Ustaz Abu Bakar memberikan arahan pada Aaira.

“Nanti Usman kamu tolong buangkan ke sungai ya.” Pintanya pada sahabatnya.

“Bungkusan ni saya akan bawa balik dan uruskan, inshaAllah.” Sambungnya lagi sambil mnunjukkan ke arah bungkusan kecil brwarna kuning yang diikat seperti bunjut itu.

Aaira bangun dan menurut arahan Ustaz Abu Bakar satu persatu. Sementara itu mereka yang lain menjamah hidangan air dan kuih yang disediakan oleh Makcik Maryam dan Mikayla.

“Kuatkan diri kamu dengan zikir dan amalan.. Banyakkan selawat. Jangan putus berdoa. Itu senjata paling kuat kita sebagai Mukmin.” Nasihat Ustaz Abu Bakar sambil menjamah hidangan yang disediakan. Mereka yang lain hanya mendengar sambil mengangguk-angguk.

“Siapa yang sanggup buat perkara-perkara macam ni pada adik saya, Ustaz.” Soal Ziyad. Geram dia pada manusia yang menganggu hidup adik kesayangannya.

“Tak apalah…siapa yang buat tu tak penting… yang penting kita ikhtiarkan kesembuhan untuk adik kamu. Banyakkan berdoa… doa orang yang teraniaya ni dimakbulkan… dan sebagai keluarga, kamu kena selalu memberikan semangat untuknya, sokong dia. Kalau boleh jangan tinggalkan dia sendirian buat sementara waktu ni…” Balas Ustaz Abu Bakar panjang lebar. Risau sekiranya gadis itu sampai mencederakan diri sendiri.

“Untuk orang itu…kita doakan dia sedar dengan apa yang dia buat. Kita doakan dia berhenti menyihir adik kamu dan bertaubat atas perbuatannya.” Sambungnya lagi.

Mereka yang ada di situ mengangguk-anggukkan kepala…faham dengan nasihat yang disampaikan.

“Kairi, kamu kena kuat. Jadi suami kena kuat dengan kesabaran. Jadikan sabar sebagai kekuatan kamu. Letakkan Allah sebagai yang pertama dalam rumah tangga kamu, dalam hidup kamu.” Pesannya pada Kairi sebelum meminta diri untuk pulang.

“InshaAllah Ustaz.. terima kasih banyak Ustaz..” Sahut Kairi sambil bersalaman dengan Ustaz Abu Bakar.

Kemudian dia menghantar Ustaz Abu Bakar dan keluarganya sampai ke kereta. Aaira yang berada di sampingnya melambai-lambai ke arah kereta yang bergerak meninggalkan mereka. Dia berpaling kepada Kairi yang sedang memandangnya sambil tersenyum. Kairi memegang bahu Aaira dan mengucup dahinya perlahan.

“Alhamdulillah…. Allah hantarkan Ustaz Abu Bakar untuk tolong kita.” Ujar Kairi sambil menatap wajah Aaira. Aaira mengangguk-angguk lalu merangkul tubuh suaminya. Mereka beriringan melangkah masuk ke dalam rumah.

 

SAYANG nak makan apa tengah hari ni?” Tanya Kairi pada Aaira yang sedang duduk menyandar di dadanya di atas sofa di ruang tamu.

’Kita order Foodpanda, nak?” Tanyanya lagi.

Dia rasa nak berehat-rehat sahaja di rumah dengan isterinya hari itu.

Emm… sayang teringat Chicken Chop with Special Sauce yang kita pernah makan dulu tu lah…sedap betul.” Rengek Aaira manja.

“Tapi…pizza pun macam sedap jugak. Letak cheese banyak.” Sambungnya lagi, menukar fikiran.

Kairi masih menunggu keputusan isterinya dengan sabar sambil membelek-belek aplikasi Foodpanda di telefonnya.

Emm..nak Four Fingers lah abang.” Kata Aaira sambil menarik baju Kairi dan merenung matanya.

Masha Allah. Yang namanya perempuan. Dalam seminit sudah bertukar-tukar keputusannya. Kairi tersenyum manis sambil mencuit dagu isterinya. Kemudian dirapatkan dahinya ke dahi Aaira.

“Betul ke jin dalam badan sayang dah keluar ni..?” Selorohnya mengusik si isteri. Aaira memanjangkan muncung, pura-pura merajuk.

Kairi ketawa nakal. Rindu betul nak bergurau begitu. Kemudian ditekan-tekan skrin telefon, memesan makan melalui apklikasi Foodpanda. Dipesannya ketiga-tiga makanan yang disebut isterinya tadi serba sedikit. Bolehlah mereka berkongsi-kongsi makan bersama. Kalau banyak nanti tidak habis dimakan pula.

“Sementara kita tunggu makanan sampai, abang buatkan sayang ice blended Milo. Nak?” Ujar Kairi memujuk si isteri.

Terus tersengih kembali isterinya.

“Nak!” Sahut Aaira pantas.

“Tapi….. sayang dulu.” Ujar Kairi sambil mengetuk-ngetuk pipinya dengan jari.

Aaira menuruti permintaan suaminya dan menghadiahkan satu ciuman kasih sayang di pipi kanannya. Kairi tersengih suka.

Emmm…..mulut abang dah wangi kan?” Tanya Kairi sambil buat muka nakal.

Pantas Aaira menarik cuping telinga suaminya sambil menjelirkan lidah sebelum bingkas bangun melarikan diri. Kairi yang masih duduk, menyentuh telinga sendiri dengan perasaan bahagia menyelinap ke seluruh pelusuk hati. Kemudian dia bingkas bangun mengejar isterinya.

Aaira yang sudah sampai di dapur berdiri tersengih sambil siap memegang alat pengisar dan bekas berisi Milo. Kairi menghampirinya lalu mengambil barang-barang di tangannya sambil mengucup mesra rambutnya. Kemudian dia memulakan kerjanya di kabinet dapur.

Aaira merangkul suaminya dari belakang. Kairi hanya membiarkan sahaja sambil meneruskan kerjanya. Seronok diperlakukan begitu. Kemudian dia beralih melangkah ke arah peti sejuk untuk mengeluarkan ketulan ais. Aaira masih tidak melepaskan rangkulannya. Terkedek-kedek dia mengikut gerak langkah Kairi sambil memeluknya. Begitulah dia kalau sudah datang perangai manjanya.

Syukurlah…. cinta dan kasih sayang sudah kembali mengisi rumah kecil mereka. Alhamdulillah..

 

MALAM itu Kairi berbual-bual dengan Aaira sambil menonton televisyen. Aaira berbaring di sofa dengan kepalanya diletakkan di pangkuan suaminya. Entah bila dia terlelap pun dia tak perasan. Dibiarnya si Kairi bersembang sorang-sorang. Tubuhnya rasa lebih selesa, dan hatinya merasa tenang, membuatkan matanya mengantuk.

“Sayang.. jom, kita masuk tidur dalam bilik.” Kairi menggoncang bahu isterinya lembut.

Emmm..?” Aaira terpisat-pisat menggenyeh mata.

“Jauhla bilik…abang dukung la..” Rengeknya. Penyakit mengadanya dah datang.

Kairi tergelak. Sebagai anak bongsu, Aaira memang seorang gadis yang manja. Dengan abangnya Ziyad juga dia begitu. Jadi memang agak pelik bila sikapnya berubah menjadi kasar baru-baru ini.

Kairi lantas berdiri dan meregang-regangkan tangannya. Dipusing-pusingkan bahunya kemudian menonggek-nonggek dia melakukan aksi senaman squatting. Konon nak meregangkan otot dan menguatkan kuda-kuda. Aaira dah ketawa-ketawa melihat telatahnya.

Kemudian Kairi mengangkat Aaira. Terjerit Aaira. Gayat. Kairi mencempungnya kemas dan mengarahkan langkahnya ke bilik tidur mereka. Aaira merangkul lehernya, risau.

Karang kalau jatuh ni tak pasal berlubang bontot!” Bisik hatinya sendiri, tak yakin dengan kudrat Kairi.

“Ingat abang tak kuat ke… hari tu masa sayang pengsan lepas nikah, abang yang dukung sayang tau.” Ujar Kairi bangga. Aaira menjuihkan mulutnya.

Ok…ready… 1..2…” Kairi menghayun-hayunkan Aaira konon nak menghumbannya ke atas katil.

“Aa!! Janganla abang..!” Jerit Aaira.

Sudahnya dia menggolekkan dirinya di atas katil bersama-sama isterinya. Berdekah mereka ketawa.

Adoi…sakit pinggang abang. Sayang makan apa ni berat sangat.” Gurau Kairi.

Eee mana ada berat abang ni. Sampai hati cakap sayang gemuk…” Aaira mula memanjangkan muncungnya.

“Alololo…comelnya mulut itik dia…” Kairi gelak-gelak.

“Abang cakap betul-betul. Sayang gemuk ke tak.” Aaira masih tak puas hati.

“Eh takdelah… mana ade sayang gemuk… setakat berat sayang ni, nak suruh abang timang-timang , labung-lambung pun boleh.” Kairi cuba memujuk.

Aaira masih buat muka cemberut. Orang perempuan..memang pantang dan sensitif betul kalau bab isu berat badan ni.

“Ala sayang ni…abang saja je..nak tengok sayang nak offer urut abang tak..” Pujuk Kairi lagi. Aaira mula tersenyum simpul.

“Haa tahu takut… usik orang lagi.” Marah Aaira.

Marah-marah sayang. Emosinya rasa lebih stabil sekarang. Tiada lagi rasa berkecamuk yang selalu menyerabutkan kepala dan menyesakkan dadanya. Membuatkan dia lebih tenang. Tiada lagi rasa nak mengamuk atau marah-marah tak tentu pasal.

“Nak sayang urut ke?” Tanya Aaira kembali.

Seingatnya belum pernah lagi dia melayan suaminya dengan baik sejak mereka bergelar suami isteri. Bergaduh aje yang dia tahu.

Meh sini sayang urutkan. Abang baring elok-elok.” Suruh Aaira.

Kairi pun cepat-cepat berpusing meniarap. Sebelum Aaira menukar fikiran.

“Untung betul dapat isteri fisio ni. Boleh dapat urut selalu.” Usiknya manja.

“Nanti sayang caj ea..” Balas Aaira sambil mula mengurut belakang badan suaminya.

Terpejam mata Kairi menikmati urutan tangan bidadari kesayangan.

Kemudian Kairi dapat merasakan urutan ditubuhnya yang tadinya dipicit-picit dan ditekan-tekan, perlahan-lahan bertukar menjadi urutan yang lebih lembut. Berderau juga darahnya. Perlahan-lahan dipusingkan badannya berkalih menghadap isterinya. Mata suami isteri itu pun saling bertautan, sama seperti hati mereka.

Dengan izin Allah yang Maha Besar, cinta yang telah disatukan dengan jalan halal lagi diredhai itu berjaya mengalahkan hasad dengki dan kejahatan syaitan dari kalangan jin, iblis, dan manusia. Segala puji bagi Allah, Maha Berkuasa satu-satunya.



No comments:

Post a Comment