Tuesday, May 21, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 20)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 20

AAIRA turun ke dapur setelah selesai bersiap untuk ke tempat kerja. Dilihatnya Kairi sedang ralit menggoreng sesuatu di dalam kuali.

“Abang masak apa tu.” Tegur Aaira.

Kairi menoleh dan tersenyum memandangnya sekejap sebelum kembali menumpukan perhatian pada kerjanya.

“Abang buat Nasi Goreng Kairi Special!” Ujarnya cuba berjenaka. Aaira tergelak.

“Sedap sangat ke Nasi Goreng Kairi tu?” Balasnya sambil menghampiri Kairi.

Kemudian dia merangkul suaminya dari belakang. Diletakkan pipinya dibelakang badan Kairi.

“Terima kasih abang…sebab sabar dengan sayang… terima kasih..sebab tak tinggalkan sayang…” Ucapnya sebak.

Kairi tersentak seketika sebelum mematikan api dapur.

“Ini kejap lagi boleh hangit nasi special aku ni” Sempat dia berlucu sendiri dalam hati.

Kemudian perlahan-lahan dia berpusing menghadap Aaira. Dikucupnya dahi Aaira dengan penuh kasih. Melimpah-limpah rasanya cinta yang memenuhi setiap sudut ruang hatinya kepada seorang Aaira Annayra.

“Setiap hari abang minta hati sayang dari Tuhan…Maha Kuasa yang memegang hati-hati manusia… dari sebelum kita kahwin lagi.. dan itu juga yang akan terus abang minta dari Tuhan..” Ujarnya.

“Abang cintakan sayang. Cinta sangat-sangat.” Sambungnya lagi.

“Kalau sayang berani nak tinggalkan abang…tau lah nasib sayang.. abang tokak, abang kunyah-kunyah pipi bulat tu. Lepas tu abang ikat sayang kat tiang depan rumah tu biar tak boleh lari.” Guraunya sambil memicit kedua-dua belah pipi Aaira.

“Sekarang ni abang nak cakap pipi sayang bulat ke?” Tanya Aaira marah.

“Hah?!” Pantas Kairi menekup mulutnya dengan tangan.

“Oppps..!” Ujarnya lagi. Pantas Aaira menggetu perutnya.

Adeh..adeh adeh..tercabut isi perut abang sayang..” Adunya.

“Rasakan..berani cakap pipi sayang macam tu..” Ujar Aaira pura-pura merajuk.

“Haa itulah sayang tak tahu… pipi bulat ni lah yang comel. Ini kalau takde ni, tak lengkap la kecomelan isteri abang.” Pujuknya sambil ketawa.

“Hari ni abang hantar dan jemput sayang, ya? Lagipun abang tak ada kelas pagi ni.” Pinta Kairi.

“Hehe..kenapa abang tanya macam tu. Abang takut sayang marah-marah ke?” Soal Aaira.

Hish…takut sangat… sayang kalau marah.. hantu mak Limah pun lari sembunyi tau. Kecut perut.” Usik Kairi.

Aaira ketawa lucu. Dia main mata dengan Kairi. Kemudian tak semena-mena dia menyanyi.

“Lihat matamu.. luputlah segalanya..deritaku..yang duluuu…” Lagu dari Filem ‘Tipu Kanan Tipu Kiri’ yang pernah mereka tonton bersama.

Kairi membulatkan matanya. Tak sangka dengan tingkah Aaira.

Kemudian dia tiba-tiba menyambung, “Kau cahayaaa…ufuk cintaa…jiwa ragaaa….” Dengan suara sumbang, sambil memusing-musingkan Aaira, seperti sedang menari tarian Waltz.

Berhamburan lagi ketawa mereka.

“Jom, kita makan. Abang suapkan sayang.” Ujar Kairi. Dituntunnya bahu isterinya itu ke meja makan.

Please, have a seat, mademoiselle.” Ujarnya meniru lagak seorang pelayan di restoran masakan Perancis.

Ketawa Aaira melihat kelakunya. Ditariknya kerusi untuk Aaira lalu dirapatkan kembali dengan cermat. Kemudian dia beredar mendapatkan nasi goreng di dalam kuali.

Please, enjoy your food ma’am…” Ujarnya lagi sambil meletakkan sepinggan nasi goreng di hadapan isterinya.

Siap ada hiasan cili dan timun yang dihiris cantik lagi. Pandai dia mengambil hati Aaira.

“Bismillahirrahmanairrahim….” Kairi memulakan bacaan doa dan Aaira mengaminkannya.

“Emmm….sedapnya abang…!” Puji Aaira, kagum dengan air tangan si suami.

Kairi tersengih bangga sambil mengangkat-angkat kening.

“Sayang makan banyak-banyak tau. Abang dah jampi dah nasi ni. Biar sayang teringat-ingatkan abang je satu hari ni.” Gurau Kairi sambil mencubit pipi isterinya.

Bersuap-suapan suami isteri itu menikmati sarapan pagi. Kemudian Kairi menghantar Aaira ke tempat kerja. Aaira menyalami tangan suaminya penuh hormat sebelum melangkah keluar dari kereta. Dibalas dengan kucupan mesra Kairi di dahinya.

I love you sayang… petang nanti abang ambil ya..” Ujar Kairi.

Aaira melambai-lambai pada suaminya yang sedang bergerak meninggalkan perkarangan hospital.

 

PETANG itu Aaira diminta Encik Azrun untuk pulang lebih lewat. Dia memanggil Aaira untuk membantunya menyiapkan satu poster untuk Hari Sukan yang bakal dianjurkan, di komputer di biliknya. Aaira duduk di meja Encik Azrun, menggunakan komputer. Manakala ketuanya itu berdiri di sampingnya sambil menjelaskan bentuk yang dia mahu untuk poster tersebut.

Sedang asyik Aaira menyiapkan kerjanya, tiba-tiba dia terasa bahunya dirangkul oleh lelaki itu. Tangan kanannya pula memegang tangan kanan Aaira yang sedang mengendalikan tetikus. Aaira terkejut. Dia cuba melepaskan diri. Namun lelaki itu tiba-tiba bertindak kasar dengannya. Dipegangnya Aaira dengan kuat.

Dalam kelam kabut itu, Aaira tertepis fail-fail dan buku-buku yang tersusun di meja. Terpelanting keluar beberapa keping gambar Aaira. Dilihatnya kepingan gambar itu comot dengan bekas darah yang sudah kering dan ada juga kesan terbakar. Turun naik nafas Aaira dengan laju.

Belum sempat dia berpaling, tudung kepalanya dicengkam kuat dan dahinya dihentak kuat ke meja. Berbinar pandangan matanya menahan sakit.  Dalam keadaan pening berpusing itu lelaki itu mendorongnya ke dinding. Terhenyak tubuhnya ke dinding simen tersebut. Sakit seluruh badannya.

Kemudian lelaki itu cuba mendekatkan bibirnya ke wajah Aaira. Sedaya upaya dia cuba menolak dan mengelak menjauhi wajah lelaki itu. Geram ditolak begitu, Encik Azrun menampar wajah Aaira sekuat-kuat hatinya. Pecah berdarah bibir gadis itu dibuatnya. Ditekannya tubuh kurus itu ke dinding.

“Kenapa you siksa jiwa I Aaira? Kenapa you tak terima I? Harta I banyak, I boleh senangkan hidup you!!” Jerkahnya.

I nak you!! Mana boleh you tolak I dan terima orang lain!!” Herdiknya lagi.

You milik I!! Milik I seorang…!!!” Berdesing telinga Aaira dengan tengkingan kuat lelaki itu.

Matanya merah menyala menahan marah. Sesungguhnya, lelaki itu bukan lagi ketuanya Encik Azrun yang dia kenal. Aaira sungguh tidak sangka Encik Azrun bersikap begitu padanya ketika itu. Hilang rasa hormatnya pada lelaki itu.

Aaira sempat menjerit sebelum mulutnya dipekup oleh lelaki itu. Berang dengan tindakan Aaira, ditumbuknya perut gadis malang itu. Terbongkok Aaira menunduk menahan senak. Hilang suaranya kerana tumbukan tersebut.

Fikri yang ketika itu kebetulan sedang menghisap rokok di tandas tersentak mendengar jeritan itu. Rupanya dia juga masih belum pulang. Berlari dia ke bilik ketuanya. Terkejut bukan kepalang dia melihat situasi di dalam bilik itu.

“Kalau aku tak boleh dapat kau, siapa pun tak boleh!!” Encik Azrun menjerkah kuat bagai dentuman guruh di langit.

Seraya itu dihunusnya sebilah pisau yang ditarik keluar dari poket seluarnya, lalu diarahkan laju ke tubuh Aaira. Serentak itu juga, cepat Fikri menerpa menghalang dengan tubuhnya sendiri.

Tikaman itu menusuk ke perut Fikri. Darah merah pekat memancut-mancut keluar dari tempat tikaman. Terjerit-jerit ketakutan Aaira melihat apa yang berlaku.

Kairi yang datang untuk menjemput isterinya pulang ketika itu sedang tercari-cari kelibat Aaira setelah lama menunggu dalam kereta. Jerkahan tadi membuatkan dia meluru laju ke bilik tersebut. Tergamam dia melihat Aaira sedang terjerit-jerit di samping Fikri yang sudah rebah di lantai.

Pantas dia menerpa ke arah Encik Azrun yang mengangkat tangan untuk mencederakan Aaira pula. Ditariknya bahu lelaki itu ke belakang menjauhi isterinya. Kemudian dihayunnya penumbuk ke muka Encik Azrun dan ditendangnya pisau di tangan lelaki itu. Berdenting pisau tajam berlumuran darah itu jatuh ke lantai.

Lalu ditumbuknya lelaki itu bertubi-tubi. Panas rasa kepalanya melihat isterinya luka dipukul. Isteri yang begitu disayangi, yang dilindungi sepenuh hati. Berani betul lelaki durjana itu mencederakannya. Dilampiaskan rasa marahnya dengan tumbukan padu di genggaman tangannya.

Kekuatan Kairi yang jauh lebih muda dengan susuk yang lebih tinggi dan tegap itu tidak mampu ditandingi Encik Azrun. Lantas dia bangun berlari keluar dari bangunan itu dan menaiki keretanya. Berdecit dia memecut meninggalkan perkarangan hospital. Tanpa sempat berfikir, Kairi terus mengejarnya dari belakang dengan Honda City putih miliknya.

Sedang berlaku aksi kejar-mengejar itu, dengan kuasa Allah, Encik Azrun kehilangan kawalan stereng lalu keretanya terbabas menjunam ke sungai. Kairi yang melihat kejadian itu di depan mata, pantas memberhentikan keretanya dan turun untuk membantu. Sempat dicapai tukul kecemasan yang memang tersimpan di dalam kereta dan berlari terjun ke dalam sungai.

Sementara itu Encik Azrun sedang bergelut untuk menanggalkan tali pinggang keselamatan dan cuba membuka pintu kereta yang sudah ditenggelami air. Keadaannya yang kelam kabut dan panik membuatkan dia merasa lemas dengan lebih cepat. Mujur Kairi sempat membantunya memecahkan cermin kereta yang sudah tenggelam dan menariknya keluar, menyelamatkannya.

Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Diheret Encik Azrun ke tebing sebelum keduanya terbaring melepaskan lelah. Orang ramai sudah mula mengerumuni tempat kejadian. Dalam masih tercungap-cungap itu, Kairi mendapatkan lelaki itu dan mencekak kolar bajunya, bimbang dia akan melarikan diri.

Tiba-tiba Encik Azrun menangis teresak-esak di situ. Dia tak sangka yang Kairi sanggup bersusah payah membahayakan diri untuk menyelamatkan nyawanya. Lelaki yang telah dizalimi dengan menyihir isterinya sejak sekian lama. Malah dia juga sudah bersedia untuk mengambil nyawa wanita itu sebentar tadi.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi siren polis dan bomba yang telah dihubungi oleh orang ramai, menghampiri tempat kejadian. Beberapa orang pegawai polis bergegas menghampiri Kairi dan Encik Azrun.

“Dia dah cederakan orang dengan pisau di hospital tadi cik.” Ujar Kairi memberikan maklumat kepada pihak polis.

Lantas Encik Azrun digari dan dibawa ke balai untuk disoal siasat. Kairi juga diminta untuk memberi keterangan di balai polis. Kairi akur. Pantas dia menghubungi Ziyad dan memaklumkan apa yang telah berlaku, sekaligus meminta abang iparnya itu ke hospital mendapatkan Aaira yang tadinya ditinggalkan bersama Fikri yang sedang cedera.

 

SEMENTARA itu di hospital, Aaira terketar-ketar melihat keadaan Fikri yang berlumuran darah. Terjatuh-jatuh dia berlari mendapatkan telefon yang sudah jatuh di lantai yang bersepah. Lantas dia menghubungi Unit Kecemasan dan meminta bantuan. Kemudian dia kembali ke sisi Fikri, cuba menahan luka tikaman dengan tangannya, dengan harapan dapat membantu menghentikan pendarahan.

Dalam masa yang singkat, beberapa orang kakitangan Unit Kecemasan sudah datang membawa usungan. Bantuan kecemasan diberikan dan Fikri disorong ke Bilik Pembedahan. Ziyad yang kebetulan baru sampai ketika itu memapah Aaira yang berkeras mahu mengikut Fikri.

“Adik ok tak ni? Mari abang long tengok.” Pinta Ziyad, sebaik sahaja Fikri selamat disorong masuk ke dalam bilik pembedahan.

Aaira hanya membiarkan Ziyad membelek luka dan lebam di wajahnya. Mendidih hati Ziyad melihat adik kesayangannya dicederakan sebegitu rupa.

“Mari duduk sini dulu.” Pintanya memapah adiknya duduk di kerusi.

Semasa sedang tunduk membongkok untuk duduk, Aaira mengaduh kesakitan. Rasa senak masih berbekas di perutnya kesan tumbukan Encik Azrun tadi.

“Kenapa ni? Adik ada cedera kat tempat lain lagi?” Soal Ziyad susah hati.

“Sakit sikit kat perut…tadi kena tumbuk…” Terang Aaira.

“Kena tumbuk?!” Soal Ziyad, terkejut bercampur risau. Marah dan geram lebih lagi.

Pada waktu itu juga Mikayla tiba dengan Pakcik Usman dan Makcik Maryam. Mereka bergerak sedikit kemudian dari Ziyad yang sudah terlebih dahulu menerpa ke hospital untuk mendapatkan adiknya. Dijelaskan serba ringkas kepada Mikayla supaya isterinya itu boleh membawa keluarganya ke sana.

Mereka bergegas mendapatkan Aaira dan Ziyad. Aaira menjelaskan secara ringkas tentang apa yang telah terjadi kepada keluarganya. Terkejut mereka mendengarkan kejadian yang tidak disangka itu. Kemudian Mikayla membawa Aaira mendapatkan rawatan bagi lukanya, sekaligus memeriksa kecederaan lain di tubuhnya. Mujur tiada apa-apa yang serius.

Kairi yang ketika itu baru sampai di tempat mereka berkumpul, terus melajukan langkah menerpa mendapatkan Aaira yang dilihatnya baru keluar dari bilik rawatan.

“Abang…!” Panggil Aaira sambil menangis. Dia sudah berada dalam dakapan Kairi yang memeluknya erat.

“Sayang ok?” Tanya Kairi penuh kerisauan. Diperiksanya wajah dan seluruh tubuh isterinya.

“Sayang ok…tapi Fikri….” Kata-katanya terhenti dan disambung dengan tangisan. Kairi kembali memeluk dan menenangkannya.

Ziyad kembali datang ke tempat mereka menunggu setelah mendapatkan minuman untuk adiknya.

“Dah masuk waktu ni, kita pergi solat dulu kat surau. Sama-sama kita doakan Fikri selamat.” Ujar Pakcik Usman.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam ketika itu. Mereka sekeluarga menuruti arahannya tanpa sebarang suara.

Selesai bersolat, mereka kembali berkumpul di kerusi menunggu. Selepas beberapa lama menunggu, doktor mendapatkan mereka dan memaklumkan yang Fikri sudah melepasi keadaan bahaya.

Mujur juga tikaman itu hanya mencederakan sedikit sahaja bahagian organ dalamannya. Dia memerlukan sejumlah jahitan dan pemindahan darah. Bersyukur mereka mendengar berita itu. Mereka pulang ke rumah setelah puas Kairi memujuk Aaira yang pada awalnya berkeras untuk menunggu Fikri di hospital.

“Esok pagi kita datang lagi sayang. Abang bawa sayang awal pagi esok ya. Sayang perlukan rehat..” Pinta Kairi dengan lembut.




No comments:

Post a Comment