CINTA DARI IBLIS
Bab 3
PAGI
itu Aaira bangun lewat. Mengantuk kerana tak cukup tidur. Malas-malas
langkahnya diatur menuju ke bilik air. Digantungnya tuala pada penyangkut di
dinding. Menggelitat tubuhnya disiram air sejuk. Selesai mandi diraba tempat
dia menggantung tuala dengan muka pelik.
“Eh, mana? Tadi
aku dah ambik.” Ujarnya.
Dijenguk keluar
pintu, dia nampak tualanya tersepuk di atas katil. Dia melangkah keluar
mendapatkan tualanya.
Dalam sedang
bersiap-siap itu, dicapainya telefon bimbitnya lalu dimasukkan ke dalam beg.
Kemudian dia membelek wajahnya di cermin. Disisir rambutnya rapi. Dicapainya
pula krim pelindung matahari lalu dicalit di hidung, pipi, dahi, dan dagu,
sebelum meratakannya ke seluruh muka. Kemudian ditempek pula bedak kompak Pixy sebelum dioles lipstik Nurraysa di
bibirnya.
Siap. Memang
begitu sahaja cara Aaira bersolek. Tak pandai sangat nak make up. Bukan dia tak suka. Seronok dia tengok orang lain
bersolek. Cantik. Tapi dia tak pandai, lagipun padanya susah untuk menanggalkan
dan mengenakan semula solekan bila nak solat. Begini lebih mudah.
Kemudian dia membelit
selendang di kepalanya ringkas. Dipinkan dengan cermat supaya kemas. Sebaik
selesai memakai tudung, dia lihat telefon bimbitnya berada di atas meja solek.
“Eh..tadi…”
Ujarnya sendirian. Aaira kebingungan.
Aaira turun ke
bawah kemudian menghala ke dapur. Dia meletakkan beg yang dipegang kemudian
melangkah untuk mengambil gelas yang tersusun di rak. Kemudian dia berpaling
semula untuk mengisi air di penapis air di sebelah peti sejuk. Tiba-tiba
matanya membeliak. Ada seekor ular yang agak besar berwarna hitam pekat sedang
melingkar di lantai dapur, dekat dengan kaki meja dapur, tempat dia meletak beg
tadi. Spontan dia memanjat kabinet dapur sambil menjerit.
“Abang long….!
Ayahh…!!!” Jeritnya panik.
“Ada ular kat
dapur…!” Laungnya kuat mengharapkan suaranya sampai pada keluarganya.
Ayahnya yang
sedang mengaji di bilik tersentak dan bingkas menerpa ke dapur. Terkejut dia
melihat ular hitam yang melingkar di lantai sudah memanggungkan kepala sambil
menjelir-jelirkan lidah. Seketika kemudian Ziyad yang baru turun pula terpacul
di dapur. Dilihat adiknya sudah mencangkung atas kabinet dapur. Tak padan
dengan pakai baju kurung tu.
“Keluar…” Ujar
ayahnya. Ziyad dan Aaira hanya diam tanpa bicara.
“Kau keluar…” Ujar
Pakcik Usman lagi.
“Kau keluar dari
rumah ni.” Ujar Pakcik Usman buat kali yang ketiga. Matanya sudah mengerling
batang penyapu yang tersandar di sudut dinding.
Selepas amaran
yang terakhir, ular itu merendahkan kembali kepalanya lalu menyusur keluar
melalui celah pintu dapur. Biasanya
pintu itu disendal dengan batang kayu di bahagian bawahnya. Tak tahu siapa yang
mengalihkannya.
Aaira menggamit
abangnya. Ziyad menghampiri adiknya. Aaira memegang bahu abangnya untuk turun
dari kabinet dapur itu. Entah macam mana dia panjat tadi, dia pun tak tahu.
Terketar-ketar kakinya. Bukan rumah itu tidak pernah dimasuki ular, tapi memang
sangat-sangat jarang. Adalah sekali atau dua, selama mereka membesar di situ.
“Adik stunt naik atas ni ke tadi?” tanya
Ziyad, sedikit lucu.
Rugi tak sempat
diambil gambar adiknya sedang mencangkung di situ tadi. Kalau tidak boleh
dijadikannya bahan membuli buat sedekad dua.
“Bagi adik kamu
minum air sikit Ziyad. Selawat dulu. Sendal balik bawah pintu tu.” Ujar ayahnya
sebelum beredar untuk kembali ke bilik.
Ziyad akur. Diisinya
air kosong ke dalam gelas sebelum dihulur kepada adiknya.
“Duduk dulu minum.
Selawat.” Arahnya.
Kemudian diambil
kayu penyendal lalu disendal semula bahagian bawah pintu dapur sambil
melafazkan Bismillah.
“Kalau nampak
ular, memang kena buat macam tu ke, abang long?” Soal Aaira perlahan.
Ziyad diam
sejenak. Mencari kata-kata untuk menjawab soalan adiknya. Terlayang di ruang
matanya sebuah video pendek soal jawab dengan Ustaz Azhar Idrus berkenaan apa
yang perlu dilakukan apabila ada ular di dalam rumah.
“Nabi pesan ke
kite, kalu ular masuk dalam rumah, dia antara 3. Ular betul, ataupun jin. Jin
2, jin kapir, jin Islam. Jadi bila mu
masuk dalam rumah, ada ular, mu jangan katok teruh. Melainkan mu suruh die
keluar, 3 kali. Eyy ular..tubik ah. Jangan duk lam rumah aku, balik tempatmu.
Ikut pandai aa nak kate guane pun. Orang putih boleh. Mr snake, get out from my
house. Ikut pandailah. Ni Nabi suruh, mu suke pulak dah.” Ujar beliau bila
kedengaran tawa hadirin.
“ Kalau jin Islam,
die akan keluar. Kalau jin kapir, die ade pilih. Sama ada keluar, atau dak
keluar. Kalau dak keluar, mu katok mapuh padan dah. Yang ketiga ular betul.
Ular betul pun kalau Allah izin, die paham. Dan ular betul, die tubik jugak,
kalau Allah kehendak.” Lengkap penjelasan Ustaz dalam slang Terengganunya
mengenai perkara itu. Santai dalam gaya bersahajanya yang agak lucu.
“Ustaz Azhar Idrus
cakap, Nabi Sallalahu’alaihiwassalam pesan, kalau ular masuk dalam rumah jangan
terus bunuh. Kena halau dulu 3 kali.” Ziyad memulakan penjelasan.
“Kita tak tahu itu
ular betul ke atau jin. Kalau jin Islam, dia akan keluar. Kalau jin kafir, dia
keluar. Kalau dia tak keluar, boleh kita bunuh.” Sambung Ziyad
“Kalau ular betul
pun, dengan izin Allah dia faham kita suruh dia keluar. Dia akan keluar kalau
Allah Subhanahuwata’ala berkehendak.” Jelasnya lagi.
Dari Abu Sa’id
al-Khudri RA bahawa Rasulullah Sallalahu’alaihiwassalam bersabda yang
bermaksud: “Sesungguhnya ada ular di rumah. Apabila kalian melihatnya, maka
buatlah peringatan tiga kali. Apabila pergi, maka biarkan. Apabila tidak mau
pergi, maka bunuhlah.” (HR Muslim: 2236)
Aaira
terangguk-angguk.
“Habis tu…yang
tadi tu..apa?” Soal Aaira lagi. Seram pula mengingatkannya. Ziyad menjungkit
bahu.
“Wallahu’alam…”
Ujarnya pendek.
“Adik dah boleh drive ke? Jomlah naik dengan abang. Hari
ni abang hantarkan.” Pelawa Ziyad. Risau dia mengingatkan kejadian semalam.
Aaira tersengih.
Pantang disemawa.
HARI itu Aaira dihantar
abangnya ke tempat kerja. Masih awal lagi. Disalam tangan abangnya penuh hormat
sebelum melangkah keluar dari kereta.
“Petang ni abang
ambik, kan?” Tanya Aaira untuk kepastian.
“Adik balik jalan
kaki!” Ziyad menjelirkan lidah pada adiknya sambil melambai-lambai sebelum
bergerak pergi.
“Jangan lupa ambik
adik!” Laung Aaira. Lalu diatur langkah menuju ke unit.
Ruang legar Unit
Rehabilitasi masih lengang. Cuma ada seorang dua pesakit sudah setia menunggu.
Aaira terus menyusun langkah masuk ke Unit Fisioterapi, kemudian menghala ke
ruang loker kakitangan. Disimpannya beg ke dalam loker lalu dicapai labcoat yang tergantung.
“Wey! Kamu ok
tak? Teruk ke eksiden?!” Mikayla menepuk
bahu Aaira yang sedang mengenakan labcoat
di tubuhnya. Berjungkit sedikit bahu Aaira yang ketika itu sedang
membelakanginya menghadap loker kerana terkejut.
“Ish kamu ni…
bagila salam ke apa.. main tepuk-tepuk pulak. Terkejut aku tau tak. Karang aku
terbukak silat Bujang Lapok aku kat sini karang haa… baru ente tau...” Marah
Aaira.
Mana tidaknya.
Kepalanya tadi sedang menerawang memikirkan tentang kejadian-kejadian pelik
yang menimpanya baru-baru ini. Ditepuk pula begitu. Terbang sekejap rohnya
tadi.
Baru Mikayla nak
membalas, Encik Azrun, Ketua Unit mereka yang sedang lalu di situ terlebih
dahulu menyapa mereka.
“Annayra,
Mikayla.” Tegurnya sambil tersenyum.
“Assalammualaikum
Encik Azrun…” serentak Aaira dan Mikayla tunduk sedikit sambil memberikan salam
penuh hormat kepada ketua mereka.
Encik Azrun hanya
tersenyum mengangguk dan berlalu menuju ke biliknya. Mereka hanya menghantar
langkah ketua mereka itu dengan lirikan mata. Encik Azrun memang seorang ketua
yang berwibawa. Jelas kelihatan sikap kepimpinannya dalam menguruskan unit
mereka.
Encik Azrun
tidaklah terlalu tinggi susuknya, hanya paras-paras Aaira sahaja. Kalau lebih
tinggi pun mungkin hanya dalam 2-3cm. Orangnya berkulit agak gelap, berkumis
nipis dan bercermin mata. Rambutnya masih hitam lebat walaupun sudah berusia
awal 50-an, membuatkan dia kelihatan hampir 10 tahun lebih muda. Ditambah pula
dengan penampilannya yang sentiasa kemas, sesuai dengan jawatan yang
disandangnya, membuatkan orang luar menyangka yang umurnya jauh lebih muda.
“Hai Aairaaa…..” Sapa
satu suara dengan nada nakal menggoda.
Serentak mereka
menoleh ke arah tuan empunya badan. Fikri. Seorang pemuda kacak yang sudah
lebih setahun menjadi rakan sekerja mereka di situ.
“Ini sorang lagi.
Tak reti nak bagi salam. Assalammualaikum..!” Tempelak Aaira pantas.
Fikri mencemik.
“Oi…jawab salam tu
wajib tau.” Pantas Mikayla menyampuk.
“Waalaikumsalam
ustazah….” Jawabnya berlagu-lagu.
Kakinya dirapatkan
dan badannya ditegakkan seperti seorang anak murid sekolah rendah yang sedang
berdiri di dalam kelas menjawab salam gurunya. Dikerlingnya Mikayla seketika
lalu pandangannya diarahkan kembali kepada wajah indah Aaira. Wajah yang
sentiasa menyenangkan dan menenangkan matanya dan hatinya.
Ya.. memang gadis
itu telah berjaya mencuri hatinya sejak dari hari pertama dia bekerja di situ.
“Aaira ok
tak? Tak ada cedera apa, kan?” Tanya Fikri.
“Alhamdulillah…ok
je..tak ada apa pun. Hidung je bertambah penyek…” Jawab Aaira.
Fikri mendekatkan
mukanya dengan muka Aaira. Dikecilkan mata. Digerakkan jarinya seperti
mengukur-ngukur hidung gadis itu.
“Ha’ahla… dah
kurang seinci.” Ujarnya.
Aaira menjeling.
Fikri dan Mikayla tergelak-gelak.
“Kena airbag ea…” Fikri mengagak. Simpati.
Aaira cuma mengangguk.
“Aaira bila nak
letakkan balik gambar kat carta organisasi tu?” Soalnya.
“Kenapa…kau rindu
nak tengok gambar dia hari-hari ea…” Usik Mikayla.
“Eh entah-entah
engkau yang ambil gambar Aaira tu tak..? Buat taruk bawah bantal.” Tuduh
Mikayla tiba-tiba.
Kehilangan gambar
Aaira yang berukuran passport dari
carta organisasi itu sememangnya masih lagi menjadi misteri hingga sekarang.
Belum sempat Fikri
menjawab, Mikayla melepaskan tuduhan kedua .
“Ke kau pergi
bomohkan gambar tu.. supaya Aaira tergila-gilakan kau. Haa…kau jangan
macam-macam Fik, dosa besar tau, syirik!” Tembak Mikayla.
“Oi..oi..mami
jarum. Kau jangan nak kepoh sangat eh.. sedap aje tembak aku. Habis, kau
tuduh-tuduh aku ni tak berdosa pulak. Boleh jatuh fitnah tau!” Balasnya sedikit
marah.
“Aku ni mat moden
la.. bukan orang zaman batu nak main bomoh-bomoh. Tak cool la.” Balasnya
lagi mempertahankan diri.
Panas juga
telinganya dengan tuduhan Mikayla. Lebih-lebih lagi di depan Aaira.
Mikayla menelan
liur. Cuak juga dia kalau Fikri marah. Fikri memang terkenal panas baran
orangnya. Dengan keluarga pesakit, dengan staf..semuanya pernah ada kes gaduh.
Itu baru dalam jangka masa setahun lebih dia bertugas di sini. Sampaikan dengan
Encik Azrun pun dia berani tinggikan suara.
Ada sekali tu, ada pesakit lelaki cuba
menganggu Aaira. Cuba nak sentuh-sentuh Aaira. Mengamuk Fikri kat depan-depan
tu jugak. Nak ditumbuknya pesakit tu walaupun sudah berkali-kali dia meminta
maaf. Tetapi dihalang Aaira, terpaksa juga Aaira keraskan suaranya untuk
menghentikan Fikri dalam keadaan kelam kabut itu. Geram bercampur tersentak
dengan tindakan Aaira, dia melepaskan tumbukan kuat ke rak barang peralatan
rawatan yang berada di situ. Berselerak jatuh barang-barang. Tangannya juga
cedera.
“Alaa kau ni Fik,
garang sangat kenapa..aku gurau je pun..” Perlahan Mikayla mengungkapkan rasa
bersalah.
“Gurau balik Arau
la..” Balasnya geram.
“Haa tahu pun
takut. Itulah.. mulut Mikayla ni memang kadang-kadang brek tak makan. Cakapnya
dulu, fikirnya kemudian. Nak kena bawa pergi servis kat bengkel agaknya.” Bisik
Aaira dalam hati. Digaru-garunya kepalanya yang tak gatal.
“Alaa..Fik..
janganla marah-marah.. nanti aku bagi gambar tu kat kau eh.” Pujuk Aaira.
Silapnya juga
terlupa menggantikan gambar tersebut. Tak lama lagi audit nak datang, semuanya
harus sedia dikemas kini.
Fikri meredupkan
semula pandangan matanya ke wajah Aaira.
“Bukan
marah…nasihat..!” Balasnya meniru dialog dalam cerita Tan Sri P.Ramlee.
Pura-pura merajuk.
“Tapi kalau kau
belanja aku lunch kejap lagi, kira settle” Pandangannya dialihkan
ke arah Mikayla.
Dia tahu gadis itu
tak bermaksud buruk. Cuma terlepas cakap. Biasalah, semua yang ada di situ
memang sedia maklum yang dia ada hati pada Aaira.
TERIMBAU Fikri saat
pertama kali dia meluahkan perasaan pada Aaira selepas beberapa bulan bekerja
di situ.
“Aku suka kau.
Kita couple?” Ajaknya simple.
Riaknya nampak
tenang bersahaja. Padahal dalam hatinya gugup tak terkira, Tuhan saja yang
tahu. Nak aje diangkat kakinya berlari meninggalkan situasi itu setelah ayat
tersebut terpacul keluar dari mulutnya.
Terkedu Aaira
mendengar pengakuan budak baru itu. Berani betul. Sudahlah dia 3 tahun lebih
muda dari Aaira.
“Hah?! Err… err…
aku..errr…” Tergagap-gagap Aaira dibuatnya.
“Takpe kau tak
payah jawab sekarang. Ambil masa kau. Aku tunggu.” Pintas Fikri laju.
Dia tersenyum
lemah pada Aaira. Kemudian dia beredar dari situ perlahan-lahan. Aaira masih
termangu-mangu di situ. Di kerusi yang disediakan di ruang taman mini hospital
itu.
Selepas hari itu,
Fikri asyik cuba mendekati Aaira. Macam-macam cara dicubanya. Ada juga sekali
dijemput Aaira menemaninya ke majlis hari lahir kawannya yang diadakan di
hotel. Tak tahu macam mana nak mengelak, akhirnya Aaira memaksa Mikayla
menemaninya. Mujur juga Fikri tidak membantah. Dipesan agar gadis-gadis itu
memakai dress ke majlis itu, agar
mengikut tema majlis katanya.
Sebaik melangkah
masuk ke majlis tersebut, Aaira dan Mikayla terpinga-pinga melihat keadaan
sekeliling. Semua tetamu jemputan berpakaian mewah dan seksi ala-ala orang
barat. Hanya mereka berdua yang mengenakan dress
muslimah, lengkap tudung kepala menutup aurat. Terkebil-kebil mereka di situ
merasa canggung dan diperhatikan.
Lagi mengejutkan
apabila mereka melihat minuman arak turut disajikan di situ. Ligat otak mereka
memikirkan alasan untuk cepat beredar dari situ. Mujur juga Fikri menerima saja
alasan mereka yang mengatakan Mikayla tiba-tiba tidak sihat, kepalanya sakit.
Dihantar kedua gadis itu ke bawah dengan hormat. Ditawarkan untuk menghantar
mereka pulang ke rumah, tapi ditolak dengan baik oleh Aaira.
Dia hanya mampu
merenung langkah kedua gadis itu beredar dengan kereta Aaira. Direnung kembali
dirinya sendiri. Berseluar jeans koyak di lutut, dengan kemeja putih yang
mendedahkan sebahagian dadanya. Dilapis dengan blazer hitam di atasnya. Sebelah telinganya ditindik dengan subang,
lehernya dihiasi rantai silver,
manakala tangannya penuh dengan gelang hitam yang diperbuat dari kulit yang
dianyam.
Baru dia perasan,
cara hidup mereka berbeza. Dia mengamalkan pergaulan bebas. Makan minumnya juga
tidak dipedulikan halal haramnya. Dahinya sendiri juga sudah begitu lama tidak
menyentuh sejadah. Tapi tak pernah sekalipun Aaira dan Mikayla memandang rendah
padanya. Dilayannya sama seperti rakan-rakan sekerja mereka yang lain.
Kini, dia semakin
kenal dan maklum dengan peribadi kedua gadis itu. Dia juga menghormati mereka.
Sedar tak sedar, dalam berkawan dengan mereka, dirinya juga perlahan-lahan
mulai berubah. Dan sejak peristiwa itu juga, dia tidak lagi pernah menanyakan
Aaira tentang jawapan pada luahan hatinya itu. Jauh sekali memaksa Aaira
menerimanya. Aaira juga tidak pernah memberikan jawapan yang pasti tentang
perkara itu.
“Okay okay… kejap lagi kita lunch sekali ye Tuan Fikri..” Mikayla
mengalah. Sekaligus menyentap keluar Fikri dari lamunannya sebentar tadi.
Dia yang sedang
bertenggek di atas lengan sofa di ruang rehat itu sambil berbual dengan
gadis-gadis tersebut bingkas bangun. Matanya tajam memandang ke dalam mata
Aaira. Gadis pujaannya.
“Akan aku pastikan
kau jadi milik aku satu hari nanti. Pasti…!” Bisik hatinya memasang azam.
“Settt….!”
Balasnya sambil memetik jari dan menghalakan kedua-dua tangannya yang digayakan
seperti pistol ke arah kedua-dua gadis itu, lalu beredar pergi.
“Kejap lagi tunggu
kat depan eh. Kita gerak naik sekali. Aku nak pergi tandas kejap.” Pesan
Mikayla sambil menuju ke tandas.
“Ok… “
Aaira kembali berpaling ke arah lokernya.
Ditutup dan
dikuncinya loker itu dengan cermat lalu dia berpusing untuk beredar. Belum
sempat dia melangkah, telinganya menangkap bunyi seperti pintu loker diketuk
dari sebelah dalam. Dia berpaling semula. Diam. Tiada sebarang bunyi.
“Tuk! Tuktuk!
Tuk!” tiba-tiba loker itu berbunyi semula.
Rentak jantung
Aaira mula berterabur. Dia berundur setapak ke belakang. Daripada bunyi
mengetuk, loker itu mula bergegar. Terhenti sekejap, kemudian bergegar lagi
dengan lebih kuat. Ligat otak Aaira berfikir.
“Kalau binatang,
tak kan bergegar macam tu.” Bisiknya sendiri.
Perlahan-lahan
dihampiri loker tersebut. Diberanikan dirinya memulas kunci dan membuka loker.
Tiada apa-apa. Lantas ditutup semula dan dia bergegas keluar. Entah apa yang
mengusiknya.
Di luar dilihatnya
Mikayla sudah menunggu.
“Jom!” ajaknya
sambil terus berjalan menuju ke arah lif.
Mikayla hanya
menurut langkahnya. Sebaik lif terbuka, mereka melangkah masuk.
“Kejap!” jerit
satu suara dari depan pintu lif.
Kelihatan Mikayla
termengah-mengah melangkah masuk ke dalam lif.
“Kenapa kau tak tunggu aku?” tanya Mikayla.
Bulat biji mata
Aaira. Lantas dia berpaling ke arah susuk yang melangkah masuk bersamanya tadi.
Tiada sesiapa di situ. Cering bulu roma Aaira. Dia mengusap-ngusap lengannya.
“Wey! Kau tengok
apa?” Mikayla menyigungnya. Terlompat
Aaira.
“Terkejut aku
lah!” marahnya. Dia betul-betul terkejut.
“Sorry…sorry…” Mikayla tergelak melihat
kawannya terlompat begitu.
“Malam ni jadi
tak? Tak sabar pulak aku.” Tanyanya setelah ketawanya reda.
“InshaAllah
mestila jadi. Tiket aku dah beli dah.” Jawab Aaira.
“Lepas Maghrib
kitorang ambik kau.” Katanya lagi.
Mikayla
mengangguk-ngangguk. Kepalanya sudah ligat memikirkan baju apa yang nak
dipakainya malam nanti.
“Wey…kamu
pernah…emm kena kacau tak?” Tiba-tiba Aaira menyoal.
“Kena kacau? Kena
kacau macam mana? Maksud kau kena mengurat ke? Ke…” Kata-katanya terhenti.
Aaira
mengangguk-ngangguk.
“Pernah jugak…
alah.. biasalah… kita kan kerja kat hospital…” Ujar Mikayla.
“Alah..buat tak
tahu je. Benda tu jangan tunjuk takut pada dia. Nanti lagi dia suka.”
Sambungnya lagi.
Aaira terdiam. Lif
terbuka. Tingkatnya sudah sampai.
“Jumpa kat bawah
ea kejap lagi.” Katanya pada Mikayla sebelum melangkah keluar.
Gadis itu hanya
mengangkat tiga batang jari tanda ‘OK’.
AAIRA berjalan perlahan
menuju ke wadnya. Fikirannya menerawang lagi. Satu demi satu kejadian aneh
menimpanya bersilih ganti. Tak tahu kat mana yang silap. Sudah beberapa tahun
juga dia bekerja di hospital itu. Sebelum ini dia bekerja di hospital di daerah
lain di negeri yang sama. Terpaksa juga dia duduk menyewa sekejap di sana. Agak
jauh untuk dia berulang-alik dari rumahnya.
Kemudian dia dapat
bertukar ke hospital yang lebih dekat dengan rumahnya ini. Mikayla pun bertukar
masuk ke hospital ini pada masa yang sama dengannya. Sebelum ini gadis itu
ditempatkan di sebuah klinik kesihatan. Mereka berkawan baik dari zaman
universiti lagi. Sekarang baru ada rezeki bekerja di tempat yang sama.
Bertambah akrablah persahabatan mereka.
Ada juga selalu
Aaira dengar, cerita-cerita pasal kena kacau ni dari rakan-rakan di tempat
kerja. Tapi tak pernah pula hal begitu terjadi padanya. Nampak-nampak,
dengar-dengar ni, tak pernah berlaku. Tapi sekarang seperti berturutan pula
perkara-perkara aneh itu berlaku padanya.
Langkahnya masih
dihayun perlahan. Sedar-sedar dia sudah berada di depan kaunter wad Kenanga.
“Assalammualaikum…”
Dia menegur beberapa orang jururawat yang ada di situ.
Ada yang tersenyum
menjawab salamnya. Ada juga yang tak memperdulikannya, sibuk tunduk menyiapkan
tugasan masing-masing.
“Hari ni fisio ada
3 new case. Pakcik Husin petang
semalam dah discharge. Doktor suruh
dia sambung fisio. Pakcik Ahmad yang chest
physio tu pun dah discharge. Dah
ok dah dia. Yang lain semua ada lagi.” Lapor seorang jururawat kepadanya. Aaira
terangguk-angguk tanda faham.
“Ok… terima
kasih kak..” Ujarnya.
Lalu dipilih
beberapa buah fail rekod pesakit mengikut nombor katil, lalu dikumpulkan di
satu sudut di kaunter. Dia mengira-ngira jumlah pesakit sambil mengagak berapa
lama masa yang akan diambil untuk menyelesaikan rawatan di situ.
Tiba-tiba dia
terasa seperti ada angin sejuk berhembus di sebelah pipi kirinya. Serta merta
dia menoleh. Mencari arah datangnya angin tersebut. Terdongak dia melihat
kedudukan penghawa dingin dan kipas. Ditepuk-tepuk perlahan kedua-dua belah
pipinya dengan tapak tangan.

No comments:
Post a Comment