Wednesday, May 22, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 21- AKHIR)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 21

AAIRA setia menunggu Fikri di katil hospital, dengan ditemani Kairi. Fikri perlahan-lahan mencelikkan mata setelah seharian tak sedarkan diri. Mujur juga peristiwa berdarah itu berlaku di hospital. Tindakan pantas Aaira menghubungi Unit Kecemasan telah membantu menyelamatkan nyawanya. Terkelip-kelip matanya memandang Aaira di sampingnya.

“Aku dah mati ke…aku nampak bidadari..” Ucapnya, membuatkan Aaira tertawa kecil.

“Amboi mamat ni…” Hati Kairi diserang cemburu.

Terus dia berdehem, cuba memberitahu kehadirannya di situ. Fikri menoleh ke arahnya.

“Alah…ada pulak mamat ni kat sini.” Rungutnya dalam hati.

“Terima kasih Fik..kau dah selamatkan aku.” Ujar Aaira.

Matanya masih bengkak kesan menangis. Dahinya lebam dan bahagian bawah bibirnya juga luka, kesan dipukul oleh Encik Azrun.

“Terima kasih Fik… perut kau ok tak?” Ujar Kairi, turut berterima kasih.

“Eh..ok.. Six pack aku tebal, sebab aku rajin buat plank.” Jawabnya selamba sambil membangga diri.

“Apa yang dah jadi sebenarnya? Kenapa Encik Azrun macam tu?” Soal Fikri.

Encik Azrun sekarang sedang berada dalam tahanan pihak polis, bagi membantu siasatan kerana mencederakan Fikri. Juga cubaan untuk membunuh Aaira. Pihak polis telah menyerbu dan menggeledah rumahnya dan menemukan pelbagai barangan yang digunakan untuk melakukan upacara pemujaan di dalam sebuah bilik kecil di rumahnya.

Mereka juga menemui puluhan keping gambar Aaira yang ditampal di merata dinding, selain yang disimpan di dalam sebuah peti usang. Difahamkan, gambar-gambar itu diperolehi daripada media sosial milik Aaira dan Mikayla. Beberapa barangan peribadi Aaira turut ditemui di situ. Dipercayai barangan itu telah digunakan untuk melakukan sihir ke atasnya.

Atas sebab itu jugalah bekas isteri Encik Azrun melarangnya berjumpa dengan anak-anaknya tempoh hari. Anaknya yang paling kecil yang baru berusia 7 tahun melaporkan pada ibunya tentang barang-barang pemujaan yang dilihat berada di situ ketika mereka meluangkan masa bersama bapa mereka di rumahnya.

Anak-anaknya yang lain juga mengadu pernah terserempak dengan kelibat yang menakutkan selain turut mengalami beberapa gangguan aneh.

Sungguh tak disangka, ketua yang mereka kagum dan hormati selama ini sanggup melakukan perbuatan terkutuk seperti itu. Hanya kerana cintanya ditolak, dan nafsu untuk menjadikan Aaira miliknya, dia sanggup menjerumuskan diri ke dalam dosa syirik. Langsung tidak diendahkan ancaman keras kepada hamba Allah yang melakukan dosa syirik.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mngampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa besar.” (Surah an-Nisa ayat 48)

Allah telah mengancam mereka yang melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah dengan balasan neraka sebagai tempat kembali.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah al-Maidah, ayat 72)

Semoga Allah mmberinya petunjuk untuk bertaubat dengan perbuatannya. Semoga Allah menerima taubatnya dan memberikannya kesempatan yang menyelamatkannya dari mati dalam keadaan membawa dosa syirik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Katakanlah: “Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Az  Zumar: 53)

 

SOALAN Fikri sebentar membuatkan Aaira terimbau memori 2 tahun lepas. Masa itu Fikri belum bertugas di hospital itu.

“Aaira.. you dah ada calon ke? I nak ambil you jadi isteri I.” Ujar Encik Azrun padanya satu petang setelah dia memanggil Aaira masuk ke biliknya.

Aaira terkedu memandang lelaki yang lebih dari 20 tahun lebih tua darinya itu. Tak disangka ayat itu keluar dari mulut ketuanya yang dihormati.

So? Kalau jadi I boleh jumpa family you.” Ujarnya lagi.

Pucat muka Aaira yang masih terdiam mencari jawapan. Soalan ni lagi susah dari soalan matematik tambahan tingkatan 5 dulu!

You send location rumah you, nanti I pergi.” Desaknya lagi.

Err…maaf Encik Azrun. Tapi saya tak ada perasaan macam tu pada Encik Azrun.” Aaira berterus terang.

It’s okay…perasaan boleh dipupuk.” Ujar ketuanya, masih bernada memaksa.

“Maaf Encik Azrun.. saya tak boleh terima. Saya minta diri dulu.” Tegas Aaira sebelum bergegas keluar dari bilik itu.

Tercalar ego lelaki itu dengan sikap Aaira yang terus memberikan jawapan muktamad begitu. Langsung tidak teragak-agak atau mengambil masa untuk berfikir terlebih dahulu. Tangannya dikepal penuh dendam. Bisikan amarah dari iblis menyerbu ke dalam hati.

“Kau tetap akan jadi milik aku!” Sumpahnya.

Manakala Aaira pula selepas hari itu langsung melupakan kejadian itu. Dia masih menghormati ketuanya itu seperti biasa dan perkara itu tak pernah dibangkitkan lagi. Rupanya sejak itu juga Encik Azrun telah mendapatkan khidmat bomoh untuk menggunakan ilmu hitam dalam usaha mendapatkannya.

Dengan izin Allah juga, perbuatan terkutuknya itu telah menjadi asbab jodoh Aaira jadi agak lambat. Bukan tidak ada orang yang terpesona dengan wajah dan keletahnya, tetapi tidak ada yang benar-benar terbuka hati untuk benar-benar serius mengambilnya menjadi isteri.

Tetapi itu semua hanyalah asbab. Tidak akan terjadi segala sesuatu jika Allah Subhanahuwata’ala tidak berkehendak. Sudah ada perancanganNya yang jauh lebih baik, dengan nikmat yang lebih besar, setelah ujian yang diberikan kepada hambaNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

(Surah al Insyirah: 5-6)

Maka yakinlah kita dengan janji Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu perkara itu sia-sia. Jika seorang Mukmin diuji lalu ia bersabar…, maka ia akan memperoleh kemenangan. Begitu pula apabila seorang Mukmin dikurniakan nikmat lalu ia bersyukur, maka ia akan memperoleh kemenangan.

Ya Allah ya Rahman ya Rahim… jadikanlah kami hambaMu yang sabar dan bersyukur.

Encik Azrun telah menghabiskan ribuan ringgit pada seorang bomoh Siam demi mencapai maksud hatinya. Dihantarnya mahkluk halus untuk menggertak dan menakut-nakutkan Aaira dengan tujuan melemahkan imannya.

Sehingga sanggup membahayakan nyawa gadis itu. Hanya dengan cara melemahkan iman dan memesongkan akidah seorang Mukmin lah, seorang penyihir boleh memanipulasikan seseorang itu sesuai dengan kehendak jahatnya. Tetapi usahanya tidak berhasil.

Sehinggalah muncul si Fikri di unit itu yang begitu lantang menyuarakan perasaan hatinya kepada gadis itu. Kehadiran lelaki itu betul-betul mencabar egonya. Sejak itu dia mendendami Fikri. Sengaja dia menyusahkan lelaki itu setiap kali berkesempatan. Patutlah dia tak suka pada Fikri. Sangka Aaira dia selalu memarahi Fikri kerana sikap lelaki itu sendiri yang sering menimbulkan masalah di tempat kerja.

Atas sebab itulah dia cuba memperhebatkan sihirnya. Disogoknya bomoh itu dengan wang yang banyak. Mereka tunduk memuja iblis dan menyekutukan Allah dengan meminta bantuan jin. Sehinggakan jin sekongkolannya itu mencederakan Tok Yah. Sebab itu dia tidak hadir ke majlis pengebumian Tok Yah tempoh hari. Sudahlah sihirnya dipatahkan oleh Ustaz Abu Bakar setelah itu.

Kemudian muncul pula si Kairi, yang berhasil memenangi hati Aaira, gadis yang disumpah untuk menjadi miliknya. Bertambah berang, dia mendapatkan bomoh yang lain pula, yang pada hematnya lebih hebat, untuk menghancurkan rumah tangga pasangan itu.  Dipujanya lagi iblis syaitan untuk mendapatkan gadis itu. Tetapi tetap tidak berhasil.

Dicubanya pula menghantar sihir melalui minuman yang dihulurkan pada Aaira, supaya lebih mudah dia menjalankan rancangannya apabila sihir memasuki tubuh gadis itu. Tetapi juga gagal apabila gelas tersebut tiba-tiba meletup di tangan gadis itu. Allah melindunginya.

Kemudian dicalitnya pula minyak pengasih pada Aaira, sewaktu sengaja memegang tangan gadis itu yang sedang memegang alat TENS tempoh hari, sehingga Aaira teringat-ingat pada dirinya. Digunakan kesempatan itu berbalas pesanan melalui aplikasi Whatsapp, cuba menggoda Aaira supaya mahukannya.

Tetapi gadis itu tidak pernah bersetuju menerima ajakannya untuk keluar bersama. Gurauan mesranya untuk memikat Aaira juga dibalas gadis itu dengan berhati-hati. Allah melindungi dirinya.

Tak cukup dengan itu, digunakan pula Sihir Pemisah ke atas suami isteri itu sehingga hampir-hampir memecah-belahkan rumah tangga mereka. Dia memecah masuk ke rumah mereka dan menanam bungkusan kuning yang telah dibaca jampi serapah.

Itu yang membuatkan keadaan di dalam rumah menjadi panas, dan menyebabkan suami isteri itu sering bergaduh atas perkara-perkara kecil, yang kalau difikirkan memang tidak masuk akal. Sehinggakan Aaira sanggup meminta cerai dari suaminya dan mengancam untuk membunuh diri atas sebab yang tidak munasabah.

Dan akhirnya dia hilang sabar apabila semua usahanya gagal setelah Ustaz Abu Bakar ikut campur dan membantu keluarga tersebut. Itulah yang membuatkan dia cuba untuk menodai Aaira dan mencederakannya sampai berniat mahu membunuh gadis itu supaya dia tidak menjadi milik orang lain. Itu yang dipanggil cinta? Cinta apa macam tu? CINTA DARI IBLIS?!

Semoga saja Encik Azrun insaf dengan perbuatannya dan bertaubat kepada Allah.

 

ASSALAMMUALAIKUM…” Ujar Mikayla yang sedang masuk ke bilik wad tersebut, mematikan lamunan panjang Aaira.

Dia membawa semua ahli keluarga Aaira datang melawat Fikri. Mereka semua sangat berterima kasih dan bersimpati dengan Fikri yang tercedera kerana mahu membantu Aaira. Fikri terharu sendiri dengan keihlasan mereka. Hatinya juga berharap dapat memiliki keluarga seperti itu. Lebih-lebih lagi memiliki isteri seperti Aaira.

Namun dipaksa hatinya untuk redha dengan ketentuan Tuhan. Kairi memang layak mendapat isteri sebaik Aaira. Begitu juga dengan Aaira yang dianugerahkan Kairi, lelaki yang dia tahu jauh lebih baik dari dirinya. Dan dia yakin, Tuhan telah menetapkan perancangan yang lebih baik untuk dirinya.

“Tuhan itu kan Maha Baik..” Bisik hatinya, yakin.

“Macam mana keadaan kamu…” Sapa Pakcik Usman.

“Alhamdulillah pakcik… Tuhan panjangkan lagi umur saya ni..ada lagi peluang saya untuk berubah jadi seorang hamba yang lebih baik..” Ujar Fikri ramah.

“Alhamdulillah…” Sahut mereka yang lain serentak.

“Terima kasih Fik, kau tolong adik aku yang seorang ni. Tak tahulah apa yang berlaku kalau kau tak cepat menerpa. Sampai sanggup kau menahan tikaman tu dengan tubuh kau sendiri.” Ucap Ziyad, terharu kerana pemuda itu sanggup berkorban untuk adiknya.

“Aku sanggup lakukan apa sahaja untuk Aaira. Walaupun nyawa aku yang menjadi galang ganti..” Sahut Fikri tegas.

Kairi yang turut berada di situ tersentak mendengar jawapan Fikri. Dia sudah tak senang duduk. Terusik juga hati lelakinya apabila ada lelaki lain yang turut sama ikhlas mencintai Aaira. Sampai sanggup mengorbankan nyawa. Sekejap diusap tengkuknya. Sekejap dia berulang-alik pula berjalan di tempat yang sama. Mereka yang lain hanya memerhatikan gelagatnya. Fikri yang turut sama menyedari keresahan lelaki itu tiba-tiba bersuara,

“…dan aku pasti… suami kau sanggup berkorban lebih dari itu untuk kau, Aaira.” Ujarnya sambil menoleh ke arah Aaira. Aaira pula menoleh ke arah Kairi.

“Allah yang mengaturkan aku untuk berada di situ pada waktu itu. Mungkin untuk memberikan aku peluang untuk membuktikan cinta aku pada kau. Juga untuk menyedarkan aku bahawa mati itu dekat. Aku tak sepatutnya membuang waktu untuk meninggalkan cara hidup yang tidak diredhai oleh Allah.” Sambungnya lagi sambil menghela nafas.

Sungguh… tidak ada sehelai daun pun yang akan gugur menyentuh tanah di atas muka Bumi ini, tanpa izin Allah. Dan aturan yang Allah tetapkan untuk setiap hambaNya itu adalah yang terbaik. Hanya kita yang masih teraba-raba mencari hikmah di sebalik setiap kejadian. Sesungguhnya, Allah itu Maha Adil… Maha Pengasih lagi Penyayang kepada hamba-hambaNya.

“Aku yakin, kalau Kairi yang lebih dulu tiba di situ waktu itu, dia juga akan melindungi kau dengan apa saja cara yang terdaya.” Ujar Fikri lagi.

Kairi yang sedang memandangnya mengukirkan senyum. Mereka yang lain terangguk-angguk. Menyetujui kata-kata Fikri. Sudah maklum benar akan cinta dan kasih sayang Kairi yang tulus kepada Aaira. Tidak ada tandingannya.

 

MALAM itu keluarga Pakcik Usman berkumpul di ruang tamu rumah kampung itu, berbual-bual tentang apa yang telah berlaku. Lega rasanya apabila semuanya telah selesai dengan baik. Encik Azrun juga telah meminta maaf pada Kairi, dan meminta dipanjangkan maafnya pada Aaira dan keluarganya. Dia merasa sungguh insaf dan malu dengan perbuatannya, sewaktu terkejut dengan tindakan Kairi menyelamatkannya masa itu.

Hatinya yang sudah biasa diisi dendam merasa pelik, tidak faham dengan tingkah laku manusia yang sanggup memaafkan kejahatan orang lain pada mereka.

Manusia-manusia pelik ini telah mendahulukan Allah dan menghidupkan sunnah Nabi Sallalahu’alaihiwassalam, yang menganjurkan umatnya untuk memaafkan saudara yang lainnya, walaupun teruk Baginda Rasulullah Sallalahu’alaihiwassalam dicemuh, dihina, dan dicederakan oleh kaumnya.

Mikayla dan Aaira sedang sibuk membelek-belek album gambar yang mengandungi gambar kahwin Ziyad dan Mikayla.

“Kacak kan abang long adik?” Ziyad masuk bakul angkat sendiri.

“Perasan…” Sahut Mikayla ketawa-ketawa.

Aaira mencebik.

“Kita tak ada pun gambar duduk sekali abang…” Adunya pada Kairi.

Mana tidaknya, dia jatuh pengsan sebaik sahaja akad dilafazkan. Yang ada pun cuma gambar mereka yang ditangkap berasingan ketika sedang duduk di pentas saat akad nikah berlangsung.

Haah kan..kesian kita.” Kairi mengiyakan sambil buat muka sedih.

“Alah… nanti korang pergila buat wedding photoshoot.” Cadang Mikayla.

“Bijaknya isteri abang ni.. kalau macam tu..kita pun join diorang jugaklah. Tak puas la jadi kacak hari tu.” Sampuk Ziyad.

“Kalau macam ni, ayah dengan ibu pun nak tumpang sekaki lah. Ayah pun nak jadi kacak juga.” Seloroh Pakcik Usman tiba-tiba.

Pecah ketawa mereka anak-beranak dengan gurauan Pakcik Usman yang tak dijangka itu. Makcik Maryam hanya tersenyum-senyum. Hatinya memanjatkan rasa syukur yang tak terhingga kepada Allah Subhanahuwa Ta’ala. Tidak lupa dia mendoakan Tok Yah di alam sana.

 

HUJUNG minggu itu Kairi dan Aaira merancang untuk meluangkan masa bersama-sama. Bersiar-siar, menonton wayang dan membeli-belah. Aaira membelek-belek pakaian di dalam almari. Dia mahu mencari baju yang sedondon untuk dipakai mereka.

Tiba-tiba tangannya terhenti pada sehelai jaket coklat yang tergantung terperuk di hujung almari. Dicapainya lalu dibelek-belek seketika. Serta merta memori itu terimbas kembali dalam ingatannya.

“Eh abang… ini kan baju yang abang pakai masa kita berlanggar tu kan?” Tanyanya pada Kairi yang sedang duduk di katil. Menunggu isterinya memilih baju untuk dipakai.

Ha’ah… yang inilah.” Jawabnya.

“Kenapa simpan lagi? Kan dah koyak..?” Tanya Aaira lagi.

Kairi tersengih nakal.

“Mana boleh buang…baju ni la yang sayang pegang tak nak lepas masa tu. Kalau abang biar aje entah-entah sampai malam sayang duk pegang baju abang. Tidur atas jalan la kita malam tu jawabnya.” Usiknya.

Aaira mencebikkan bibirnya. Kairi bangun menghampirinya.

“…dan… dari masa tu lagi hati abang dah terpaut pada sayang.” Dibisikkan kata-kata itu betul-betul di tepi telinga Aaira. Merah pipi Aaira dibuatnya.

“Dahlah pergi siap cepat. Pukul berapa nak keluar ni..” Kata Aaira sambil menolak dada suaminya supaya menjauh darinya. Kairi hanya tersenyum nakal.

Keadaan di shopping mall agak sedikit sesak hari itu, memandangkan ramai yang mengambil kesempatan keluar meluangkan masa dengan keluarga masing-masing di cuti hari minggu mereka.

“Sayang, minggu depan jadi ye sayang ambil cuti. Kita pergi honeymoon. Abang dah mula cuti semester.” Ujar Kairi sambil berjalan berpegangan tangan dengan isterinya.

“Abang ada surprise untuk sayang.” Sambungnya lagi.

Suprise apa?” Tanya Aaira teruja.

“Abang nak bawa sayang bercuti ke Istanbul.” Jawab Kairi ceria. Dia sudah pun membuat tempahan dengan agensi perlancongan.

“Istanbul??!” Jerit Aaira keriangan. Kairi terangguk-angguk.

“Istanbul aku dataaang….!” Tiba-tiba dia memekik di situ.

Berpaling orang-orang yang lalu lalang melihatnya. Kedua-dua mereka tertawa sambil menutup mulut.

Dalam sedang berjalan tu, Kairi terhenti melangkah. Tangan mereka yang masih terpaut membuatkan Aaira ikut sama berhenti. Tiba-tiba Kairi melepaskan pegangannya lalu membongkok dan tunduk ke bawah, mengikat tali kasut Aaira yang sudah terlerai. Terkedu Aaira.

Seperti sebatang aiskrim vanilla yang sedang dipegang di bawah terik silauan cahaya matahari yang garang, cair hati Aaira meleleh-leleh diperlakukan begitu oleh oleh Encik Suami di tempat awam tanpa segan silu. Rasa macam tuan puteri kayangan.

Selesai mengemaskan ikatan tali kasut Aaira, Kairi kembali memaut dan menggenggam tangan isterinya dan meneruskan langkah. Aaira menurut langkah suaminya sambil kepalanya sibuk mencari jalan untuk mengusik. Lalu, sambil tersenyum nakal sengaja ditariknya ikatan tali kasut yang sebelah lagi.

“Abang….” Panggilnya. Sambil berdiri tegak. Kairi menoleh.

Aaira mengisyaratkan keadaan tali kasutnya kepada Kairi dengan menggunakan mata. Terus Kairi bercekak pinggang.

“Ini sayang saje nak kenakan abang ni, kan? Tadi elok je abang tengok.” Ujar Kairi, mula menangkap ulah sang isteri.

Aaira buat muka minion yang sedang beramai-ramai memujuk Doktor Nefario menyertai mereka, dengan mata besar yang comel, dalam filem animasi ‘Minions: The Rise of Gru’ yang pernah mereka tonton bersama.

Kairi tergelak dengan telatah manja isterinya. Diturutkan saja keletahnya. Dia kembali membongkok dan menunduk mengemaskan tali kasut si isteri. Tersengih-sengih Aaira di situ. Suka!

Kemudian mereka menyambung langkah.

“Abang…” Panggil Aaira lagi. Kairi menoleh memandang isterinya.

Kuch nahi, bas yuhi…” Balas Aaira sambil ketawa.

Sengaja diusik Kairi dengan dialog filem Bollywood yang bermaksud, “ Tak ada apa, saja je…” itu.

Kairi mengetap bibir, geram dengan gelagat nakalnya. Lalu disenggolnya pinggul si isteri, terdorong Aaira ke tepi. Aaira pun tidak mahu mengalah, lalu disenggolnya semula sang suami. Sudah main tolak-tolak macam budak sekolah rendah pula mereka kat situ. Sakit perut masing-masing menahan ketawa.

Kairi meraih tangan isterinya lalu digenggamnya erat. Kemudian dibawa tangan itu ke bibirnya. Dikucupnya lama. Hangat rasa tangan dan hati Aaira. Dia merenung suaminya dengan air jernih yang mula bergenang di kolam matanya.

“Ya Allah… terima kasih atas suami yang Kau kurniakan ini. Suami yang baik yang menjadi peneman bagiku dalam perkara-perkara agama, perkara-perkara dunia, dan perkara-perkara akhirat. Tidak tahu bagaimana cara mengungkapkan rasa syukur yang tidak terhingga ini Ya Allah…  Terima kasih atas kasih sayangMu…., wahai Tuhan yang Maha Pengasih..” Bisik hati Aaira berbicara dengan Penciptanya.

“Abang…” Untuk kali yang ketiga, Aaira memanggil suaminya. Sekali lagi Kairi menoleh ke arah isterinya.

Air jernih yang bertakung tadi sudah menitis jatuh ke pipi Aaira. Kairi terkejut melihat tangisan si isteri yang tiba-tiba. Betullah orang perempuan ni, tak ada hujan tak ada ribut, tengah seronok-seronok gelak, dia boleh menangis pula.

Unik sungguh mahkluk ciptaan Allah yang satu ini. Dicipta dengan fitrah hati yang dipenuhi seribu satu macam emosi. Berubah-ubah tak tentu masa. Tanpa sebarang petanda atau amaran. Nasib kamulah kaum lelaki..

“Eh kenapa ni sayang, tiba-tiba menangis?” Soal Kairi, cuak bercampur pelik. Diseka air mata si isteri dengan penuh kasih.

Aaira menghentikan langkahnya. Kairi ikut sama berhenti. Difokuskan pandangannya kepada wajah yang amat dicintai itu.

I love you so much….” Ujar Aaira separuh berbisik. Cukup untuk sampai dengan jelas ke telinga Kairi. Tersenyum manis lelaki itu. Bahagia.

“Ya Allah…Maha Pengasih lagi Maha Penyayang… aku memohon dengan rahmatMu wahai Tuhan…izinkan kami terus bercinta dan berkasih sayang dalam redhaMu..” Hati Kairi merintih penuh pengharapan, memanjatkan doa pada Dzat yang mengatur makhluk dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang.

Ya Allah…kami redha Allah Tuhan kami, kami redha Islam cara hidup kami, dan kami redha Nabi Muhammad Sallalahu’alaihiwassalam Nabi dan Rasul kami.

 

TAMAT.




No comments:

Post a Comment