Thursday, May 23, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 1)

 

JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 1

“MAMA! Mama!!” Jeritan dan tangisan Fara Afina mengejutkan Isha dari tidur.

Kelam kabut dia mendapatkan anak  kecil yang sedang duduk terpacak menangis di atas katil.

“Adik?? Fina? Kenapa ni sayang? Ha? Kenapa?” Soal Isha bertalu-talu. Tubuh kecil itu dirangkul erat. Isha cuba menenangkan Fara Afina dalam dakapannya.

“Adik mimpi… adik mimpi ular gigit leher mama…” Adu Fara Afina dalam esakan kecil, setelah berasa sedikit tenang.

“Haa…?! Ular gigit leher mama?! Erkk! Matilah mama…” Sakat Isha sambil pura-pura terlentang mati sambil memegang leher.

“Hehehe…” Fara Afina tertawa lucu melihat reaksi Isha. Saki baki air hidung disedutnya. Air mata disapu pantas.

“Mama janganlah mati… nanti siapa nak jaga adik dengan kakak…” Suaranya bernada sedikit sebak.

Isha membetulkan duduknya lalu tersenyum pada si kecil.

“Allah kan ada…” Jawabnya bersahaja.

“Adik tidur tadi baca doa tak?” Soal Isha.

“Emm..hehe… lupa…” Jawab Fara Afina tersengih-sengih.

“Ha tu kan…sebaab tu lah adik mimpi bukan-bukan.” Bebel Isha.

“Maaf mama…” Sahut gadis kecil itu.

“Adik ingat tak, mama pesan, kalau tidur mimpi buruk, nak kena buat apa?” Soal Isha lagi, cuba menduga.

“Emm…” Fara Afina terdiam seketika. Bola matanya bergerak ke atas, kelihatan sedang bersungguh mengingatkan sesuatu.

“Ludah 3 kali?” Jawabnya yakin.

“Pandai!! Haa..ustaz cakap, kalau kita tidur mimpi buruk, bangun baca A’udzubillahiminassyaitonirrojim… lepas tu ludah ke sebelah kiri tiga kali. Bukan ludah betul-betul tau. Buat gaya ludah je dah cukup. Nanti adik ludah kena kakak pulak, ha kesian kakak.” Ujar Isha.

Fara Afina mengangguk-angguk sambil tersengih-sengih. Pantas dibaca Ta’awwuz lalu digayakan aksi meludah ke sebelah kiri sebanyak 3 kali.

“Haa…lepas tu kita alih tempat tidur..” Ujar Isha seraya menepuk-nepuk bantal tidur anak kecil itu. Selawat meniti di bibirnya sambil dia menyiapkan tempat tidur Fara Afina.

“Nah adik minum air sikit. Bismillah, selawat ya sayang.” Isha mendorong botol air yang memang selalu diletakkan di meja tepi katil untuk memudahkan mereka minum apabila terasa haus di waku malam.

Fara Afina menyambut botol air tersebut lalu meneguknya perlahan. Kemudian diserahkan kembali kepada Isha. Isha menuangkan sedikit air di tapak tangannya lalu disapu perlahan ke muka Fara Afina sambil membacakan selawat.

“Dah…adik tidur balik ya? Awal lagi ni, nanti adik mengantuk. Esok kan sekolah?” Ujarnya sambil menarikkan selimut untuk Fara Afina.

Fara Afina hanya menurut tanpa banyak soal. Dikucupnya pipi Isha sebelum kembali menyambung lena. Isha mencium dahinya penuh kasih, sebelum beralih mencium Fara Afiya yang sedang nyenyak tidur di sampingnya. Mujurlah bilik tidur utama itu boleh memuatkan 2 buah katil saiz queen. Dapatlah mereka bertiga tidur bersama dengan selesa. Itupun, si kecil berdua itu tetap juga berguling dan menyempit di ruang Isha, padahal ruang mereka sendiri ditinggal luas.

Isha mengerling jam di telefon pintarnya seketika. Hampir pukul 5 pagi. Dia menggeliat malas lalu menggosok-menggosok dan meraup wajahnya beberapa kali. Cuba menghilangkan pedih mata yang masih mengantuk. Kemudian dia bangun mencapai pengepit rambut jenis claw clip di meja solek sebelum menggulung dan mengepit rambut ikalnya kemas. Setelah itu ditariknya pula tuala mandi lalu dia melangkah masuk ke bilik air.

 

“MAKAN cepat sayang, dah lewat ni.” Gesa Isha.

Kedua beradik tersebut masih menyuapkan roti ke mulut lambat-lambat. Susu masih penuh di dalam gelas masing-masing. Isha pula sudah macam lipas kudung bersiap untuk ke tempat kerja. Jarak antara rumah mereka dengan tempat kerjanya boleh tahan jauh juga, lebih dari 50 kilometer. Dia juga perlu menghantar Fara Afiya dan Fara Afina ke sekolah terlebih dahulu.

Mujur agak ramai juga pelajar dan guru yang memang datang awal ke sekolah. Tidaklah kedua beradik itu bersendirian menunggu. Pulang mereka nanti pula akan dijemput oleh pengasuh mereka. Lebih kurang pukul 6 petang nanti barulah Isha akan mengambil keduanya di rumah pengasuh. Begitulah rutin mereka sehari-hari. Fara Afiya sedang belajar di darjah 4 sekarang, manakala Fara Afina di darjah 1.

“Cepatlah sayang…dah lewat ni…” Gesa Isha lagi.

Puas berperang setiap pagi, bertarung dengan masa. Kadang-kadang baru sampai di tempat kerja sahaja pun dia sudah terasa letih. Belum lagi mula bekerja. Penat terkejar-kejar. Ada juga dia cuba memohon untuk bekerja di klinik atau hospital yang lebih dekat dengan rumah, tetapi belum ada kekosongan untuk penjawatannya.

“Belajar elok-elok ya sayang…I love you..” Dikucupnya dahi Fara Afiya dan Fara Afina yang bersalaman dengannya.

Jarak antara sekolah mereka dengan rumah cuma memakan masa lebih kurang 2 minit perjalanan menaiki kereta. Rumah pengasuh juga hanya berdekatan.

I love you too!” Jawab mereka serentak.

Isha melemparkan senyuman kepada seorang guru lelaki yang kebetulan sedang menunggu para pelajar di pagar sekolah. Guru tersebut membalas dengan tunduk hormat dan senyum manis. Berdegup-degap jantung Isha dibuatnya. Sememangnya guru lelaki itu mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya. Malangnya, menurut Fara Afiya, guru kelasnya itu, Cikgu Haidar, sudah pun berkeluarga.

Isha melangkah laju melintas jalan untuk kembali ke keretanya. Jam di tangan  dikerling beberapa kali. Kalau boleh mahu sahaja dia terbang ke tempat kerjanya. Atau lebih baik lagi jika dapat meminjam ‘pintu ke mana sahaja’ milik Doraemon, watak animasi kartun Jepun yang begitu popular di kalangan kanak-kanak.

Termasuk juga dirinya di zaman kanak-kanaknya dahulu. Kini, dia masih tetap perlu menontonnya hampir setiap hari. Isha sendiri sudah terlupa bila kali terakhir dia menonton rancangan untuk orang dewasa di kaca televisyen. Saban hari hanya kartun dan siri kanak-kanak sahaja yang menghiasi televisyen di rumah, angkara tuan puteri berdua tersebut.

Kereta Myvi berwarna ungu gelap miliknya meluncur laju meninggalkan perkarangan sekolah. Masih banyak  yang perlu ditempuhinya di atas jalan. Penunggang-penunggang motosikal yang gemar membelok di simpang secara tiba-tiba, pemandu kereta yang seakan-akan sedang bersiar-siar makan angin di pagi hari, tidak kurang lori-lori besar yang begitu sukar untuk dipotong dengan jumlah kenderaan yang banyak dari arah bertentangan.

Tidak lupa juga penunggang-penunggang basikal yang begitu bersemangat mengayuh beramai-ramai di pagi hari sewaktu keadaaan jalan sedang sesak dengan pengguna lain yang sedang berebut ke tempat kerja. Semuanya memerlukan kesabaran dan fokus yang  tinggi. Dua perkara yang mudah dicabar dengan desakan masa untuk mengetip kad perakam waktu di tempat kerja.

Isha menarik nafas dalam. Video ceramah Ustaz Wadi Annuar di telefon dimainkan untuk menemani pemanduannya yang masih jauh. Tasbih digital digenggam dan sesekali ditekan-tekan. Sekurang-kurangnya pemanduan pada waktu petang selepas pulang kerja nanti akan terasa lebih santai. Tugasnya sebagai seorang Jurupulih Perubatan Fisioterapi di sebuah klinik kesihatan awam hari itu berjalan seperti biasa.

 

“ASSALAMMUALAIKUM…” Sapa Isha mesra sebaik kelihatan Kak Mah, pengasuh Fara Afiya dan Fara Afina menjengulkan wajah di sebalik pintu.

“Waalaikummussalam…” Sahut Kak Mah mesra.

Seketika kemudian terdengar bunyi riuh rendah suara dua beradik tersebut berkejaran ke pintu.

“Mama! Mama tahu tak tadi kan ada kawan Fiya jatuh kat sekolah.” Lapor Fara Afiya.

“Mama tadi adik lukis buah-buahan, cikgu tanda A. Adik dapat bintang.” Sampuk Fara Afina pula sebelum sempat kakaknya habis bercerita.

“Hmm..macam-macamlah laporan diorang nak sampai..” Tegur Kak Mah sambil ketawa kecil.

“Sekarang pun dah tak  panggil Mama Chu lagi dah. Jadi mama je dah.” Sambungnya lagi.

“Itulah tu…” Sahut Isha.

Entah sejak bila panggilan dirinya bertukar pun dia tidak sedar. Tahu-tahu sahaja anak-anak itu sudah terbiasa memanggilnya ‘mama’. Panggilan asal ‘mama Chu’ sebagai ganti ‘maksu’ kepada dirinya sebelum ini perlahan-lahan menghilang. Isha sendiri turut ikut membahasakan dirinya mama. Biarlah…jika itu dapat membantu menampung ruang kosong dalam hati anak-anak kecil itu.

Tahun ini, sudah 3 tahun dia tinggal bersama anak-anak saudara kesayangannya. Mengambil alih tangungjawab sebagai seorang ibu, dari kakaknya yang telah meninggal dunia. Fara Afina baru berusia 4 tahun sewaktu dia kehilangan ibu tercinta, manakala Fara Afiya baru melangkah masuk ke darjah 1 ketika itu. Sebab itu jugalah dia terpaksa berulang-alik dengaan jarak yang jauh ke tempat kerja.

Kasihan pula pada anak-anak itu. Mereka sudah biasa dan selesa di rumah sendiri. Kawan-kawan rapat juga sudah ada di sekolah. Kasihan pula jika terpaksa berpindah. Lagipun pengasuh mereka sangat baik dan menyayangi mereka seperti anak sendiri. Mujur juga kakaknya, Aleeya Aqma, sudah menghibahkan rumah yang dibelinya itu lebih awal kepada anak-anaknya, dan meletakkan Isha sebagai penjaga amanah sehingga mereka cukup umur.

Jika tidak, mungkin rumah tersebut sudah dijual oleh suaminya, Fariz Farhan. Lelaki itu sekarang sedang berbahagia dengan keluarga barunya di Timur tanah air. Tak salah Isha, lebih kurang sebulan selepas kakaknya meninggal, lelaki itu sudah melangsungkan majlis pertunangan dengan bekas kekasihnya. Beberapa bulan selepas itu pula, majlis pernikahan. Sekarang mereka sudah memiliki seorang cahaya mata yang berusia 2 tahun, juga perempuan. Rayhan Syakila namanya. Mungkin hasil gabungan nama kedua  orang tuanya, Raheeya dan Farhan.

Bising juga Farhan sewaktu mendapat tahu mengenai perihal rumah tersebut yang dihibahkan kepada anak-anaknya. Memang dia sudah merancang untuk menjual rumah tersebut untuk mendapatkan keuntungan untuk dirinya sendiri, tanpa memikirkan tempat berteduh anak-anak. Padahal dia langsung tidak menyumbang hatta seringgit pun dalam urusan pembayaran rumah.

Isha tahu semuanya, kerana dia memang rapat dengan Kak Leeya. Dialah tempat  kakaknya itu berkongsi cerita dan mengadu masalah. Mereka hanya 3 beradik. Aleeya Aqma, adalah kakak sulungnya. Jika dia masih hidup, usianya sekarang sudah mencecah 38 tahun, 10 tahun lebih tua dari Isha. Aqmar Alif pula adalah abangnya yang tengah, berusia 5 tahun lebih tua darinya.

Ibu mereka sudah meninggal dunia. Tidak lama selepas pemergian Kak Leeya. Mungkin terlalu sedih dan merindukan anak sulungnya, sehingga kesihatannya merosot.

Ayah mereka pula diserang penyakit angin ahmar, yang menyebabkan lumpuh sebelah badannya. Pergerakannya menjadi sangat terbatas sehingga terpaksa dibantu secara maksima. Jadi abang Alif lah yang menjaga dan menguruskan ayah mereka di rumahnya, memandangkan kudrat lelakinya lebih sesuai.

Mujur juga Kak Syara, isterinya sangat baik dan bertimbang rasa. Langsung tidak kisah untuk turut membantu menjaga ayah mereka, walaupun dia sendiri juga sibuk menguruskan 2 orang anak mereka yang masih kecil.

Manakala Isha pula berpindah masuk ke rumah kakaknya itu bagi menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak saudaranya. Farhan memang langsung tidak bersuara untuk mengambil anak-anak itu tinggal bersamanya.

Budak-budak itu sendiri juga lebih memilih untuk tinggal bersama Isha. Memang sejak Kak Leeya sakit lagi, ibu mereka, Puan Leha yang menjaga dan merawatnya di rumah itu. Isha sendiri sering berulang alik ke rumah kakaknya itu untuk membantu ibunya menguruskan Fara Afiya dan Fara Afina.

Bertahun juga kakaknya terlantar sakit, sebelum akhirnya pulang menghadap Ilahi. Doktor mengklasifikasikan penyakit kakaknya sebagai Ascites. Satu keadaan di mana berlakunya pengumpulan cecair pada ruang abdomen di sekeliling organ, dipercayai berpunca daripada fungsi hati yang terjejas.

Memang pun doktor sendiri sudah memaklumkan, peluang hidup melebihi 2 tahun adalah pada kadar 50 peratus sahaja, bagi kes yang berlaku akibat kerosakan hati.

Pelbagai rawatan sudah diusahakan untuk membantu Kak Leeya. Selain ubat diuretik yang dibekalkan dengan tujuan meningkatkan pengeluaran garam serta air dari badan, prosedur paracentesis juga telah dijalankan di mana jarum yang halus dan panjang dimasukkan melalui kulit terus ke dalam ruangan abdomen untuk membuang lebihan cecair yang terkumpul.

Tetapi agak sedikit aneh apabila doktor akhirnya tidak dapat mengesan sebarang masalah pada hati Kak Leeya, melalui ujian-ujian yang dilakukan. Di mana sepatutnya pengumpulan cecair pada bahagian abdomennya sepatutnya berkait rapat dengan masalah pada fungsi hati.

Lagipula, perut Kak Leeya membesar dan membengkak hanya selepas waktu Asar ke atas. Sakitnya akan menjadi-jadi terutama pada waktu Maghrib. Masih terngiang raungan dan rintihan Kak Leeya yang mengerang kesakitan apabila senja menjelang. Meracau-racau, berguling-guling wanita malang itu menahan sakit. Kemudian kakaknya akan beransur tenang selepas Isyak, sebelum kembali menjerit kesakitan menjelang tengah malam.

Nafasnya akan menjadi tersekat-sekat, begitu terseksa sekali melihat penderitaannya. Perutnya juga kelihatan bergerak-gerak seperti ada sesuatu di bawah kulitnya, ini Isha nampak dengan mata kepala sendiri. Sampai kurus kering tubuh kakaknya diserang penyakit misteri itu, kecuali di bahagian perutnya yang boleh membuncit secara tiba-tiba.

Ada juga ibu dan ayahnya cuba meminta bantuan ustaz, atas nasihat kawan-kawan yang mengatakan Kak Leeya terkena sihir busung. Isha masih ingat lagi bagaimana Kak Leeya muntah semahunya setelah diberi minum 3 biji air kelapa ketika mendapatkan rawatan perubatan Islam. Sampai lembik seluruh tubuh kakaknya.

Selepas itu dia berasa agak selesa dan nampak lebih sihat. Tetapi tidak lama, selepas itu peyakitnya kembali menyerang. Bahkan dengan lebih teruk lagi. Dan akhirnya dengan izin Allah, penyakit misteri itu berjaya meragut nyawanya.

Keadaan itu pula sedikit sebanyak memberi kesan kepada Puan Leha. Penderitaan yang dialami Kak Leeya, turut memakan diri sang ibu yang saban hari setia menjaga dan merawat anaknya penuh kasih. Sehingga kesihatannya sendiri merosot dengan teruk, sebelum dia turut mengikut jejak langkah Kak Leeya. Fariz Farhan waktu itu langsung tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami atau seorang ayah. Jarang sekali dia ada di  rumah.

Langsung tidak dipedulikan keadaaan si isteri yang sedang bertarung nyawa. Perihal anak-anak juga tidak diambil kisah. Dibiarkan anak-anak tergapai-gapai mengharapkan kasih sayangnya, dengan kedaaan ibu tercinta yang setiap hari meraung kesakitan di depan mata mereka. Kasihan Fara Afiya dan Fara Afina.

Memang sudah lama Kak Leeya mengadukan tentang perubahan sikap suaminya pada Isha. Sewaktu dia masih sihat lagi. Kalau diikutkan, Fariz Farhan bukanlah seorang lelaki yang buruk perangai. Bahkan, dia boleh dikatakan seorang suami yang romantis dan ayah yang penyayang. Isha sendiri mencemburui kebahagiaan kakaknya di awal perkahwinan mereka.

Tetapi, entah kenapa lelaki itu mula berubah sikap sewaktu Kak Leeya mengandungkan anak kedua mereka, Fara Afina.

Sikap romantisnya beransur hilang. Dia tidak lagi memberikan perhatian kepada Kak Leeya. Berbual pun tidak pandang muka. Urusan rumah tangga dan anak-anak dibebankan sepenuhnya ke bahu Kak Leeya. Masanya pula diluangkan dengan telefon. Itu jika dia berada di rumah. Dia lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah, entah bekerja, entah melepak dengan kawan, Kak Leeya sendiri tidak tahu.

Anak-anak yang menagih perhatian hanya menjadi tempat dia melampiaskan rasa marah. Dia bertukar menjadi seorang perengus. Bingung sang isteri dengan perubahan sikapnya  yang mendadak itu. Sudah berbesen mungkin, air mata yang dihamburkan sewaktu meluahkan rasa pada Isha.

“Mama muda…” Usikan Kak Mah merenggut lamunan Isha.

Serta merta riak wajahnya yang sudah dipengaruhi emosi dari kenangan silam itu cuba dikawal.

“Hehe..tak muda sangat dah pun Kak Mah… Isha pun dah nak masuk 30 dah..” Sahutnya memaksa sengih.

“Eh..tahun ni baru 28 kan? Muda lagi tu…” Usik Kak Mah lagi.

“Mama dah tua Cik Mah… rambut mama ada uban.” Laju Fara Afina melaporkan rahsia Isha.

Hish budak ni..habis semua nak di report nya.” Bebel Isha sendirian.

Ha’ah.. lepas tu mama selalu sakit badan, suruh Fiya pijak-pijakkan.” Sambung Fara Afiya pula.

“Hadeihh.. bertuah punya anak-anak. Dikantoikan aku depan Kak Mah pulak..” Getu Isha dalam hati.

“Ala…macam tu tak jadilah nak pergi DIY petang ni. Mama tak laratlah..sakit badan.. Mama kan dah tua…” Sakat Isha sambil melepaskan geram.

“Eh tak tak tak…mama muda lagi… Cikgu Haidar cakap, mama Fiya cantik.” Kelam Kabut Fara Afiya mencari akal untuk memujuk mamanya.

“Mama kan dah janji…” Sampuk Fara Afina pula, sudah mula menyebik.

“Mulalah drama tu..yalah, yalah…kita pergi…” Ujar Isha.

Kak Mah ketawa kecil melihat keletah anak-beranak tersebut.

“Jom..terima kasih Kak Mah.. Salam Cik Mah sayang…” Arah Isha pada kedua anak saudaranya sambil turut menyalami tangan Kak Mah penuh hormat.

Beg-beg sekolah mereka digalas di kiri kanan bahu manakala tangannya pula menjinjit beg baju mereka. Beriringan dia berjalan bersama tuan-tuan puteri kecil yang masih tidak berhenti-henti berceloteh sehingga ke dalam kereta.



No comments:

Post a Comment