Thursday, May 9, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 4)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 4

AAIRA meneruskan kerjanya membelek-belek rekod pesakit yang dikumpulnya satu persatu. Doktor mencatitkan rujukan baru bagi rawatan Fisioterapi untuk pesakit di katil 8. Pesakit dicadangkan untuk berlatih berjalan menggunakan tongkat sebelum dibenarkan pulang ke rumah. Setelah mengambil maklum keadaan kesihatan pesakit, Aaira terus bergerak menuju ke katil 8.

Pakcik Talib sedang berehat membaca akhbar di katilnya. Spontan dia tersenyum sebaik disapa Aaira yang berdiri di depan katilnya.

“Assalammualaikum doktor…” Pakcik Talib memberi salam.

“Waalaikumsalam… Encik Talib Bin Mokhtar… betul?” Tanya Aaira.

Sekilas dikerling ke arah kerusi penjaga. Seorang pemuda yang  duduk di situ sedang tunduk menaip sesuatu di laptop yang diletakkan di atas ribanya.

“Alhamdulillah ada penjaga. Senang sikit nak ambulate pesakit.” Airaa berkira-kira sendiri di dalam hati.

“Ya saya…” Ujar Pakcik Talib menjawab pertanyaan Aaira tadi.

“Boleh saya panggil pakcik je?” Tanya Aaira lagi.

Nak address patient pun kena minta izin dahulu. Ada sesetengah orang tak suka dipanggil makcik, pakcik. Mereka mengutamakan panggilan-panggilan khusus untuk pangkat mereka. Pangkat di dunia… tak bernilai pun di sisi Allah Azzawajalla.

“Eh boleh…tak dak masalah…” Sahut Pakcik Talib mesra.

“Pakcik Talib, saya Aaira, Fisioterapis. Doktor buat rujukan minta kita ajar pakcik cara menggunakan tongkat dengan betul… dan seterusnya berlatih berjalan. Kita juga akan ajar beberapa senaman yang bersesuaian dengan kaki pakcik ni. Kalau tak ada apa masalah..inshaAllah tak lama lagi pakcik dah boleh balik ke rumah.” Aaira mengenalkan dirinya sambil memberikan penerangan ringkas kepada pesakitnya.

“Kemudian mungkin pakcik perlu menyambung rawatan di Unit Fisioterapi sebagai pesakit luar. Kita nak kuatkan balik kaki pakcik ni. Mudahan boleh pulih sebaik mungkin.” Terang Aaira lagi.

Pemuda yang duduk di kerusi penjaga tadi memanggung kepala. Mungkin baru bersedia untuk meninggalkan sekejap kerjanya dan memberikan perhatian kepada sesi rawatan.

“Eh…” Tegurnya.

Baru tersedar gerangan gadis yang berada di hadapannya. Dia tersengih lebar.

“Aaira…Annayra…” Bacanya seakan mengeja sambil memandang nametag Aaira yang tersemat kemas di labcoat putihnya.

Aaira kaget seketika. Pemuda itu adalah lelaki yang dilanggarnya sampai berguling-guling petang semalam.

“Uihhh…sedap betul nama ni..” Pujinya tersengih-sengih.

Entah kenapa, berbunga-bunga betul hatinya dapat bertemu lagi dengan gadis itu setelah kejadian yang tidak diduga petang semalam.

“Alhamdulillah..terima kasih.. bolehlah kalau nak letak nama anak nanti.” Aaira cuba bergurau menyembunyikan gugup.

“Aduh…macam mana pulak mamat ni boleh ada kat sini…” Rintihnya dalam hati. Jantungnya dah mula bergendang kat dalam.

“Ha’ah..boleh jugak tu. Kalau dapat letak nama isteri pun okay.” Spontan mulut tanpa insurannya menuturkan kata.

“Amboi kamu Mir… pantang nampak awek cun eh.. terus nak jual minyak..” Celah bapa saudaranya, Pakcik Talib, sambil ketawa kecil.

Aaira cuma tersenyum. Padahal terkejut juga dia dengan gurauan spontan pemuda itu. Terasa mukanya mula merona merah.

“Ini anak pakcik ke?” Tanya Aaira.

“Ini anak menakan pakcik….” Jawab pakcik Talib.

“…yang handsome lagi baik hati…” Kairi mencelah menyambung kata-kata bapa saudaranya.

Pakcik Talib tergelak kecil. Jarang dia melihat anak saudara kesayangannya itu cuba mengurat perempuan. Apatah lagi di hadapannya. Biasanya anak saudaranya itu pendiam orangnya kalau dengan orang yang dia tidak kenal. Lebih-lebih lagi perempuan.

Hairan juga Pak Talib dengan tingkah lakunya. Entah dah terkena pukauan apa dengan bidadari hospital ini. Diam-diam Pakcik Talib mengakui kecantikan Aaira yang nampak begitu bersopan dan ayu. Riak wajahnya menyenangkan hati.

“Eh eh perasannya…” Aaira ketawa kecil, cuba menyindir dalam gurauan.

“Emm…nanti di rumah dengan siapa? Ada anak yang tinggal sekali dengan pakcik tak?” Aaira sebenarnya bukan bersembang kosong.

Dia sedang cuba mengumpulkan maklumat, sekaligus membuat pemerhatian dan penilaian ke atas kes yang sedang diuruskan, sambil terus memberikan rawatan dan pendidikan kepada pesakit dan keluarga pesakit. Semuanya akan direkodkan kemudian.

“Di rumah cuma ada pakcik dengan makcik aje. Pakcik tak ada anak… tak ada rezeki…” Terang Pakcik Talib.

“Ini anak menakan pakcik satu-satunya.. duduk dengan pakcik dari kecil sejak ibu ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.. Pakcik dah anggap macam anak pakcik sendiri dah.. Tapi dia dah tinggal di rumah sendiri sekarang… lebih dekat dengan universiti tempat dia mengajar. Itupun setiap minggu juga dia balik ke rumah pakcik. Lagi lah sejak pakcik sakit ni.. memang dia tunggu di rumah tu. Nak jaga pakcik katanya.. Nak didukung pakcik ke sana ke mari macam baby agaknya…” Sambung Pakcik Talib panjang lebar sambil ketawa kecil.

Aaira terdiam sekejap. Dia tidak menyangka yang lelaki berwajah ceria itu mempunyai pengalaman hidup yang mencabar dengan ujian yang agak berat. Kehilangan kedua orang tua sejak usia yang masih kecil. Tak terlihat langsung sebarang kesan duka di wajahnya. Diam-diam Aaira mensyukuri nikmat yang masih dipinjamkan Allah kepadanya. Kedua orang tua yang masih sihat.

“Ooo… Alhamdulillah ada yang jaga..takde lah risau sangat..lagipun mudah sikit pakcik nak bergerak..” Balas Aaira sopan.

“Rumah pakcik ada tangga tak?” Aaira meneruskan kerjanya mengumpul maklumat untuk disesuaikan dengan kaedah rawatan dan teknik penjagaan pesakit yang akan diajar kepada keluarga pesakit.

Sambil-sambil berbual sambil diajar pesakitnya itu cara senaman di atas katil.

“Pakcik cuba bengkokkan kaki pakcik, perlahan-lahan…sampai mana boleh. Kemudian pakcik berhenti sekejap.. lepas tu luruskan balik. Ok…ulang lagi…” Aaira memberikan arahan.

Ok sekarang cuba pakcik keraskan peha…tekan lutut ke bawah. Hujung kaki ni pakcik pacakkan ke atas.” Aaira menunjuk ke arah kaki pesakitnya.

Ok tahan sekejap… kira satu sampai sepuluh. Ok lepaskan… Ok ulang lagi…” Arahan seterusnya diberikan. Kemudian mereka beralih pula ketepi katil.

Ok sekarang pakcik luruskan kaki, ok tahan dulu…sekarang turunkan. Kita ulang lagi ya.” Terang Aaira. Kairi hanya memerhatikan bapa saudaranya bersenam.

“Nanti pakcik buat sendiri boleh tak? Senang je kan?” Tanya Aaira. Belum sempat Pakcik Talib menjawab, Kairi mencelah.

“Haa…kalau Wa tak buat nanti Mir report kat Cik Aaira. Cik Aaira bagi je nombr telefon kat saya. Nanti senang saya nak buat report.” Ujarnya sambil mengangkat-angkat kening.

Tergelak Pakcik Talib mendengarnya.

“Takdelah…Pakcik Talib tak macam tu. Pakcik Talib rajin. Tengok kaki pun dah tahu.” Balas Aaira, mengelak.

“Aisey..tak menjadi pulak.” Kairi mengeleng-gelengkan kepalanya.

“Jangan mengalah Mir…usaha tangga kejayaan.. cuba lagi.” Gurau Pakcik Talib, menyokong tindakan anak buahnya.

Merah lagi pipi Aaira.

Kemudian Pakcik Talib diarahkan berpindah ke kerusi dan seterusnya mereka mulai berlatih bangun dan duduk menggunakan tongkat milik Pakcik Talib yang sudah dibeli oleh Kairi mengikut saranan doktor. Aaira mendemonstrasikan terlebih dahulu cara betul penggunaan tongkat, sebelum diserahkan kepada Pakcik Talib.

Ok tak? Pakcik boleh ingat tak? Kita cuba ya..” Ajak Aaira.

Dilatihnya Pakcik Talib bangun dan duduk di kerusi dengan cara yang betul. Selepas beberapa kali, Pakcik Talib boleh berdiri sendiri dengan mudahnya.

“Cayalah wa…petang ni dah boleh teman Mir pergi jogging.” Kairi mengusik bapa saudaranya.

Seterusnya Aaira  dan Kairi membantu Pakcik Talib yang masih terkial-kial menggunakan tongkat melangkah beberapa langkah ke depan dan berpatah balik ke belakang sebelum kembali duduk di kerusi. Termengah-mengah juga orang tua itu dibuatnya.

Ok… pakcik duduk dulu rehat sekejap.. boleh minum air kalau nak..” Aaira sendiri mula terasa kering tekaknya, tak berhenti-henti bercakap memberikan arahan dan penerangan dalam sesi rawatan tersebut.

“Cik Aaira nak air?” Tanya Kairi sambil cuba menghulurkan sebotol air mineral kepada Aaira.

 Kesian dia melihat gadis bertubuh kecil itu bercakap dan bekerja menggunakan tenaga. Sekurang-kurangnya sebagai seorang pensyarah, tugasnya tidak memerlukannya mengeluarkan tenaga fizikal. Sejak tadi, tak puas matanya nakal merenung wajah bersih Aaira. Semua gerak geri Aaira diperhatikan dengan teliti.

“Dah terpaut ke wahai hati…” Kairi tersenyum-senyum sendiri.

“Eh takpe terima kasih..” Aaira menolak dengan baik. Segan.

Balik ke unit nanti mahu habis sebotol air mineral sejuk ditogaknya. Dia memasang niat.

“Pakcik Talib ok tak ni? Kalau ok kita nak cuba berjalan dari sini, pusing katil ni, kemudian naik semula ke atas katil dari sebelah sana.” Terang Aaira sambil menunjukkan arah laluan kepada mereka berdua.

“Tapi kalau pakcik dah letih tak apa, kita boleh sambung esok.” Sambungnya lagi.

“Pakcik nak cuba..” Pakcik Talib masih lagi bersemangat walaupun sudah mula terasa letih.

“Alhamdulillah..kita cuba ye pakcik… Encik tolong standby ye, takut pakcik jatuh.” Arahnya pada Kairi. Kairi mengangguk-angguk.

Ok wa… Kairi dah ready ni..” guraunya sambil bergaya mengacah mahu menyambut pakciknya.

“Hishh..main-mainlah budak ni.” Pakcik Talib tersenyum sambil menggelengkan kepala.

Semuanya berjalan lancar, hinggalah hampir sampai ke bahagian tepi katil, Pakcik Talib sedikit terumbang-ambing seperti mahu jatuh. Kakinya terasa lemah.

Aaira spontan menguatkan genggaman tangannya yang sedia memegang bahagian belakang pinggang Pakcik Talib bagi mengelakkannya jatuh. Kairi yang terkejut dengan keadaan bapa saudaranya itu pula serta merta memegang belakang Pakcik Talib untuk membantu menstabilkannya. Cuak juga dia.

Tak perasan tangannya memegang tangan Aaira yang memang sedang mengampu belakang pinggang pakciknya. Selepas pakciknya berdiri dengan stabil baru dia tersedar.

“Eh.. sorry...” Riaknya terkejut. Cepat-cepat dia melepaskan tangannya. Bergendang jantungnya. Dia yang pegang tangan orang, jantungnya sendiri pula yang bergendang sakan.

Aaira tak terkata apa-apa. Dia sendiri pun terkejut. Diteruskan membantu Pakcik Talib duduk semula di katil. Setelah Pakcik Talib selamat duduk kembali di katil dalam keadaan selesa, Aaira meminta diri untuk meneruskan rawatan kepada pesakit lain.

“Ok pakcik rehat dulu…nanti bila rasa kuat sikit pakcik boleh cuba lagi, sama macam yang kita buat hari ni. Tapi kena ada orang ya pakcik. Kalau anak saudara pakcik ni ada, bolehla pakcik berlatih.” Ujar Aaira.

“Yelah..inshaAllah.. terima kasih banyak ye Cik Aaira.” Sahut Pakcik Talib.

“Terima kasih saya ni juga, ye cik Aaira..” Sampuk si Kairi pula.

Pakcik Talib ketawa. Ada-ada aje akalnye nak mencuba memikat. Aaira hanya tersenyum dan beredar meneruskan tugasnya.

Satu demi satu katil dilawat dan rawatan dijalankan oleh Aaira berdasarkan rujukan doktor. Kairi hanya memandang gerak geri gadis itu dari kerusi tempat duduknya. Sekejap Aaira mengangkat dan menggerakkan kaki pesakit yang sedang terbaring. Tak padan dengan kecil, kaki pesakit yang bersaiz besar pun diangkatnya.

Sekejap dia menepuk-nepuk pula dada dan belakang badan pesakit yang lain. Satu wad bergema bunyi tepukan itu. Sampai pesakit itu terbatuk-batuk mengeluarkan kahak. Diam-diam Kairi mengagumi Aaira dan pekerjaannya.

“Hai…tak berkelip kamu tengok dia Mir…” Sakat Pakcik Talib.

Lucu dia melihat tingkah laku anak saudaranya itu. Macam dah kena pukau.

Kairi hanya tersengih-sengih sambil membetul-betulkan rambutnya. Malu juga ditegur begitu. Entah apa yang dah berlaku kepadanya. Matanya seolah-olah tertarik melekat pada Aaira macam magnet.

Pak Talib hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum. Kairi pula termenung merenung tangannya sendiri. Tangan yang tak sengaja menyEntuh tangan lembut gadis itu tadi. Kemudian direnung pula botol air di atas kabinet kecil sebelah katil bapa saudaranya. Memikirkan cara untuk mendekati gadis itu.

 

SETELAH selesai menjalankan rawatan di wad tersebut, Aaira masuk ke tandas staf. Satu pintu tandas tertutup, menandakan ada orang di dalamnya. Aaira pun terus masuk ke tandas di sebelahnya. Kedengaran bunyi air dan pergerakan orang di tandas sebelah. Sewaktu Aaira keluar untuk membasuh tangan di sinki, dia lihat orang yang berada di tandas sebelah masih belum keluar.

Selesai mengeringkan tangan, Aaira membetul-betulkan sedikit tudungnya yang sudah terpenyek. Serentak itu terdengar suara orang menangis teresak-esak dari dalam tandas yang tertutup pintunya tadi. Makin lama makin kuat. Aaira kaget. Dia berkira-kira sama ada mahu terus keluar atau cuba menegur suara menangis tersebut.

“Err…kak? Akak ok ke?” tanya Aaira dari depan pintu yang tertutup.

Tekanya pasti yang berada di situ salah seorang staff nurse di wad itu juga. Serta merta suara itu berhenti menangis, mungkin terkejut dengan teguran Aaira.

Aaira masih tercegat di situ. Dia memutuskan untuk beredar saja. Mungkin orang itu tidak ingin diganggu.

Tiba-tiba.. “Bammmm!!! …..Bamm! Bamm! Bammmm!!!.....Bammmmmm!!!!!” Pintu yang tertutup itu seperti dirempuh dan ditendang dari dalam.

Aaira terperanjat. Seketika terasa jantungnya seakan terhenti dari mengepam darah ke seluruh tubuhnya. Baru saja dia hendak melangkah pergi dari situ, tiba-tiba pintu yang tertutup tadi terbuka dengan sendirinya…

“Kriukkkk….” Perlahan-lahan… sehingga jelas di mata Aaira tiada sesiapa pun di dalamnya.

Aaira mula rasa seperti nak demam. Serentak dia cuba berlari keluar. Tetapi kaki kirinya terasa begitu berat sekali. Seberat seguni bata. Kakinya tak dapat diangkat untuk melangkah. Sedaya upaya dicubanya menyeret kaki kirinya menghala ke pintu keluar.

Setelah bersusah-payah keluar dari tandas itu, dia menyeret pula kakinya yang masih berat menghala ke pintu keluar dari wad yang tidak jauh dari tandas staf tersebut.

Berjaya keluar dari wad tersebut membuatkan Aaira berasa sedikit lega. Tapi kakinya masih berat. Macam mana dia nak berjalan balik ke unit. Otaknya ligat cuba memproses situasinya sekarang.

“Astaghfirullahalazim….” Terdengar satu suara beristighfar panjang.

“Allahu Akbar…Allahu Akbar.. Asyhaduanlailahaillallah….” Disambung dengan mengucap dua kalimah syahadah.

“A’uuzu bi kalimaatillaahit-taammati min syarri maa kholaq…” Disambung pula dengan doa tersebut yang bermaksud,

 ‘Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna, dari kejahatan yang diciptakanNya’, sebanyak 3 kali. Kemudian diteruskan pula dengan al-Fatihah dan ayat Qursi.

Barulah perlahan-lahan kaki aaira terasa kembali ringan. Ditoleh ke arah pemilik suara yang membantunya tadi. Anak saudara Pakcik Talib.

Kairi masih berdiri tegak di koridor itu menghabiskan bacaannya. Bagai tak percaya dengan apa yang dilihat di depan matanya. Dengan jelas dia nampak satu susuk berambut panjang bermuka hodoh sedang melekap berpaut di kaki kiri Aaira. Bajunya lusuh, koyak-rabak serta berbau sangat busuk, sehingga tak terlihat warna asalnya yang berwarna putih. Dan kemudian susuk itu melepaskan kaki Aaira dan mengesot masuk semula ke dalam wad melalui pintu tempat Aaira keluar tadi.

Seketika mereka berdua terdiam. Sehingga Kairi memulakan bicara.

“Awak ok?” Tanyanya risau. Aaira mengangguk perlahan.

“Duduk sini dulu.” Kairi mengarahkan Aaira duduk di tangga koridor itu.

Dia turut melabuhkan punggung di sebelah Aaira. Dibukanya penutup air mineral yang dipegangnya sejak tadi. Dimulakan dengan Ta’awuz, Bismillah dan selawat, Kemudian dibacakan Al-Fatihah dan beberapa potong ayat suci al-Quran. Kemudian dihembus perlahan sebelum diserahkan botol itu kepada Aaira.

“Minumlah…” Arahnya.

“Minumlah… air ni memang saya bawa untuk bagi kat awak tadi. Kesian tengok awak penat bercakap dengan pesakit. Mesti awak dahaga.” Terangnya apabila dilihat Aaira teragak-agak mahu menyambut botol air tersebut.

“Bismillah, selawat 3 kali lepas tu minum.” Suruhnya lagi.

Aaira menyambut botol air mineral yang dihulurkan dan mengikut arahannya tanpa bersuara.

“Tuang sikit kat tangan awak lepas tu sapu kat kaki kiri awak tu.” Pintanya.

Aaira memandang ke arahnya. Kairi pun mengalihkan pandangannya ke arah lain bagi memberi ruang untuk Aaira menyelak hujung kainnya dan menyapu air tersebut ke kakinya. Disapunya dari atas ke bawah sebanyak 3 kali sambil mulutnya berselawat dan hatinya berdoa.

“Dah…” Balas Aaira perlahan.

Kairi kembali menoleh ke arah Aaira. Dia tersenyum simpati. Suasana sunyi seketika.

“Terima kasih ea awak…” Aaira memulakan bicara.

“Kairi… nama saya Kairi.” Sahut Kairi.

Aaira terdiam sambil berfikir. Tak salahnya tadi dia mendengar Pakcik Talib memanggil lelaki itu ‘Mir’. Sangkanya tentu namanya Amir atau Amirul ke..

“Kairi Mirza. Kairi Mirza bin Yaakob. “ Ujar Kairi lagi seakan mengerti apa yang sedang berlegar di kotak fikiran Aaira.

“Terima kasih ye Kairi.” Ujar Aaira perlahan.

“Saya memang dahaga pun…” Ujarnya lagi cuba mengendurkan suasana.

Kairi tersenyum manis. Kali ini baru Aaira dapat melihat Kairi betul-betul. Memang handsome pun orangnya seperti yang dibangga-banggakan sendiri tadi. Sejenak pandangan Aaira terhenti seketika di mata Kairi. Dari tadi dia tidak berani memandang Kairi. Hanya dikerling di hujung matanya sahaja walaupun terasa seakan-akan Kairi sedang memerhatikannya. Kairi masih tersenyum manis. Aaira melarikan pandangan matanya.

“Awak ok tak? Boleh bangun? Boleh jalan tak?” Tanya Kairi risau.

“Kalau tak boleh meh saya dukung.” Sempat pula dia bergurau.

Ok ni… saya ok. InshaAllah boleh..” Balas Aaira.

“Terima kasih ea..” Aaira tersenyum.

Sedar tak sedar sudah 2 kali lelaki ini membantunya. Macam hero dalam filem pulak yang selalu tiba-tiba muncul.

Kairi terduduk semula di tangga itu setelah Aaira beredar. Termenung sekejap dia di situ. Fahamlah dia sekarang, kenapa Aaira berlari selaju itu petang semalam sampai berguling-guling mereka apabila berlanggar. Timbul simpati dalam hatinya pada gadis itu. Sudahlah perkerjaannya melelahkan. Tempat kerjanya pula begitu mencabar.

Kairi pun bukanlah seorang ustaz yang mahir dalam perubatan Islam. Tidak juga dia seorang yang terbuka hijabnya. Tak pernah seumur hidupnya dia terserempak dengan iblis yang menampakkan dirinya dalam pelbagai bentuk yang hodoh kepada manusia.

Tetapi dengan kuasa Allah, beberapa hari menemani pakciknya di wad ini, beberapa kali juga dia terserempak dengan entiti-entiti itu. Mujurlah mereka tidak menganggunya. Sekadar menampakkan diri di matanya.

Kairi menarik nafas panjang sambil menggosok-gosok tengkuknya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu.

“Lah… aku nak minta nombor telefon tadi..” Bebelnya kepada diri sendiri kerana terlupa tujuan asal dia mencari gadis itu tadi. Dia begitu ingin nak berkenalan dengan gadis itu dengan lebih rapat.




No comments:

Post a Comment