CINTA DARI IBLIS
Bab 5
AAIRA melangkah
lemah kembali ke unit. Gangguan demi gangguan yang dialaminya membuatkan jiwa
dan tubuhnya terasa begitu letih. Mikayla yang juga baru turun dari wad berlari
anak mendapatkan kawan baiknya itu.
“Wey.. jom. Pergi
kafe. Fikri dah tunggu kat sana.” Ajak Mikayla.
Aaira hanya
mengangguk dan mengikut langkah temannya. Tiba di kafe, mereka nampak Fikri
sudah duduk di meja, sedang melambai-lambai ke arah mereka. Mereka
menghampirinya lalu mengambil tempat duduk bersebelahan, berhadapan dengannya.
“Ala Aaira..marila
duduk kat sebelah aku ni.” Usiknya nakal.
Aaira hanya
menjelirkan lidah. Fikri tergelak. Tak ada mahunya gadis itu duduk di
sampingnya.
“Aaira nak makan
apa? Aku pergi belikan.” Tawar Fikri.
“Aaira je ke? Aku
ni? Kena pergi beli sendiri ke?” Mikayla menyampuk.
“Mestila kau kena
pergi beli sendiri. Macam mana aku nak angkat semua makanan.” Balas Fikri.
Aaira cuma
tersengih. Selalunya pun memang begitu. Layanan istimewa Fikri hanya
diterhadkan kepada dirinya sahaja.
“Emm…nak nasi
ayamlah. Air…nak air sejuk kosong je. ” Tak berlengah Aaira meberitahu
pilihannya. Memang dia rasa tak ada tenaga nak bangun membeli makanan waktu
itu.
“Ok princess!” sahut Fikri sambil
mengenyitkan mata.
“Dah, kau jangan
banyak bunyi. Jom ikut aku pergi beli.” Arahnya pada Mikayla.
Mikayla mencebik
sambil turut bangun mengatur langkah menuju ke barisan yang semakin memanjang.
Aaira
tergeleng-geleng melihat gelagat rakan-rakannya itu. Sejenak dia termenung.
Bila ditinggalkan bersendirian begini mulalah fikirannya nak menerawang. Masih
tertanya-tanya apa yang sedang berlaku pada dirinya. Dia mengharapkan dapat
mencari jalan penyelesaian dan gangguan-gangguan itu cepat berakhir.
Seketika dia
teringatkan Kairi. Mujur juga lelaki itu ada di situ membantunya sebentar tadi.
Kalau tidak entah macam mana dia nak berjalan turun ke unit. Diraba-rabanya
sekejap betis kirinya. Alhamdulillah tiada rasa sakit atau apa-apa yang pelik.
Kemudian direnungnya pula sekejap botol air pemberian Kairi yang turut
dibawanya bersama.
“Aku kena kuatkan
semangat. InshaAllah Allah tolong.” Pujuk hatinya sendiri.
Dalam pada dia
sedang sibuk berfikir, dia terasa seperti sedang diperhatikan oleh seseorang.
Dia mengangkat kepala melihat sekeliling. Pandangannya jatuh kepada seorang
wanita yang berpakaian jururawat yang sedang duduk berhadapan dengannya, selang
beberapa buah meja dari mejanya. Wanita itu sedang merenung tajam ke arahnya.
Aaira pun senyum dan menundukkan kepalanya sedikit, menyapa hormat.
Kemudian wanita
itu perlahan-lahan mengukirkan senyuman kepada Aaira. Tapi entah kenapa, Aaira
rasa senyuman itu kelihatan sangat aneh dan menggerunkan. Mungkin kerana memek
mukanya pada ketika itu. Wanita itu kemudian turut menundukkan kepalanya
membalas sapaan hormat Aaira tadi.
Tapi yang
mengejutkan, dia terus menunduk ke bawah perlahan-lahan sehingga kepalanya
terjatuh dari pangkal lehernya. Kepala yang masih tersenyum itu jatuh ke atas
meja makan sebelum bergolek ke bawah. Pucat muka Aaira waktu itu.
Kepala tersebut
masih lagi tersenyum dan bergolek ke arah Aaira. Serentak Aaira bingkas bangun
dari kerusi secara mengejut.
“Kenapa ni Aaira?”
Fikri yang tiba-tiba menyoal dari belakang membuatkan tubuh Aaira sedikit
terlompat kerana terkejut. Pantas dia berpaling ke arah Fikri.
“Fik! Tadi..”
Aaira terhenti, tak tahu nak memulakan dari mana.
Dia menoleh
kembali ke arah kepala dan tubuh wanita tadi. Tiada sesiapa di situ. Aaira
mengerutkan dahinya.
“Tadi apa? Kenapa
kau nampak pucat ni? Soalnya lagi.
“Tadi aku nampak ada
benda kat situ…hantu.” Ujar Aaira.
Entah Fikri
percaya atau tidak apa yang dia beritahu. Dia sendiri pun macam tak berapa
percaya mendengar kata-kata yang sedang keluar dari mulut sendiri.
“Oh… jadi…kau
takut ke?” Soal Fikri pula.
“Ha?” Serentak
Aaira memalingkan kembali kepalanya ke arah Fikri. Dia tiada di situ!
Jantung Aaira
sudah rasa macam nak tercabut. Dia cuba menyusun nafasnya yang sudah
berterabur. Ditariknya kembali kerusi kemudian dia duduk perlahan-lahan.
Hatinya tak berhenti-henti menyebut nama Allah. Kemudian dia mencapai botol air
pemberian Kairi tadi. Dibukanya sambil membaca Bismillah dan selawat
berkali-kali. Kemudian diteguk perlahan.
Selepas meneguknya
sampai habis, dia menutup kembali botol tersebut dan diletakkan kembali ke atas
meja. Dia menyedut nafas sedalam-dalamnya, cuba menenangkan diri sendiri. Dia
tahu makhluk itu belum puas mengusik dan menakut-nakutkannya. Memang itulah
janji mereka pada Tuhan. Untuk menganggu anak-anak Adam.
Dari jauh dia
sudah nampak Fikri dan Mikayla beriringan berjalan menuju ke arahnya sambil
menatang dulang makanan. Aaira menarik nafas lega.
“Ok…nasi ayam dan sky juice untuk my princess!” Ujar Fikri sambil menyusun pinggan dan gelas di depan
Aaira.
“Yeayy thank you!” Ujar Aaira cuba
menceriakan diri sendiri. TIdak mahu terlalu memikirkan perkara tadi.
“Aku yang belanja…thank you kat aku…” Sampuk Mikayla.
Pantas disambut dengan ketawa mereka.
“Eyy…baca
Bismillah dululah. Main terus ngap aje kau ni.” Marah Mikayla pada Fikri yang
terus menyuapkan makanan ke mulut tanpa menyebut nama Allah.
“Hehe…lupa..” Sahut
Fikri dengan nasi penuh dalam mulut.
Tergeleng-geleng
kepala gadis-gadis itu melihat gelagatnya. Lapar sangat agaknya setelah
berhempas pulas menjalankan rawatan ke atas pesakit.
Aaira meneguk air
sejuknya sehingga tinggal sedikit. Dahaga betul dia hari ini. Kemudian baru dia
memulakan suapan. Nampak menyelerakan juga nasi ayam di pinggannya.
“Petang ni ada
mesyuarat kat unit kan. Pasal Majlis Sambutan Perpisahan Pengarah Hospital.”
Bual Mikayla sambil menyudu nasi ke mulut.
Aaira yang
berkalih kepadanya terperasan comot di bibirnya. Terus dicapainya tisu.
“Ishh..makan macam
budak-budaklah kau ni…” Leternya sambil mengelap mulut sahabatnya.
Cemburu pula Fikri
yang sedang memerhati. Dicalitnya kuah ayam masak kicap dalam pinggannya ke
bawah bibirnya. Lalu dia menghulurkan dagunya kepada Aaira. Ditunjukkan ke arah
bawah bibirnya tadi kepada Aaira dengan jarinya.
“Eee…mengada. Nah,
lap sendiri!” Ujar Aaira sambil menghulurkan tisu kepada Fikri.
“Alaa…kenapa dia
boleh…” Sahutnya sambil menunjuk ke arah Mikayla.
Lalu ditayangkan
pula muka kesian pada gadis-gadis itu.
“Hishh kau
ni…seram aku tengok kau buat muka macam tu. Kejap aku tangkap gambar, post kat Facebook.” Kata Mikayla sambil berpura-pura menyeluk saku mahu
mengambil telefon bimbit.
“Ehh..mana boleh..
nanti ramai yang terpikat, susahlah aku.” Balas Fikri pula.
“Perasan…!” Ujar
kedua gadis itu serentak sambil tertawa kecil.
Ringan sekejap
rasa kepala Aaira. Terlupa sebentar tentang masalah yang sedang dihadapinya
dengan telatah kawan-kawannya.
“Eh..korang pergilah balik unit dulu. Aku nak
pergi beli air lagi lah.. tak cukup. Dahaga.” Ujar Aaira setelah menghabiskan
nasi ayam di pinggannya. Licin.
“Takpelah aku
tunggu kamu.” balas Mikayla.
“Kamu kan nak
solat, nanti tak sempat. Aku takpe..” Bisik Aaira di tepi telinga Mikayla.
“Haa apa
bisik-bisik tu. Nak puji aku handsome,
puji je lah depan-depan. Aku tak kisah…” Fikri menyibuk.
“Bisiklah kat aku
sama Aaira…” Pintanya dengan gaya mengada-ngada.
“Sini..aku piat
telinga mengada kau tu, nak?” Bebel Aaira.
Spontan Fikri
menekup kedua belah telinganya sambil menggeleng-geleng kepala.
“Dah korang
pergilah dulu, aku pergi beli air kejap je.” Ujar Aaira lagi.
“Eh takpelah princess.. prince kau ni kan ada..biar
aku belikan ea.” Fikri menawarkan diri.
“Tak payah. Kau
pun kena pergi solat kan. Nanti tak sempat. Dah-dah pergi cepat.” Ujar Aaira.
Fikri tergaru-garu
kepalanya yang tak gatal. Bila berkawan dengan gadis-gadis itu, secara tak langsung,
dia pun sering dipaksa mendirikan solat.
“Habis, kau?
Ooo…..patutlah garang sangat dengan aku hari ni.” Usik Fikri sambil
mengangkat-ngangkat keningnya nakal. Padahal hari-hari pun gadis itu garang
dengannya.
“Kau nak tengok
aku garang betul-betul ke macam mana?” Balas Aaira sambil buat muka geram.
“Eh ok ok..aku
pergi sekarang jugak. Bangun Mikayla! Dari kiriiii….cepat jalann!!” Katanya
separuh terpekik sambil berkawad meninggalkan Aaira.
“Semut berkawad
satu-satu horraa horreeyy!” Laungnya bingit tanpa memperdulikan mata-mata yang
memerhatikannya. Ada yang ketawa lucu.
Mikayla
memusing-musingkan jari telunjuknya di kepala kepada Aaira, memberi isyarat
mengutuk si Fikri tanpa suara. Lalu dia berlari-lari anak mengekori lelaki itu.
Aaira pula bangun
menuju ke kaunter untuk membeli sebotol lagi air mineral.
SEDANG dia beratur di
barisan, telinganya menangkap bunyi berdengung. Semakin lama semakin kuat dan
dekat di tepi telinganya. Bunyi inilah yang dia dengar sewaktu bekerja lebih
masa tempoh hari. Bunyi yang semakin kuat itu menyebabkan telinganya terasa
sakit. Terus dia menekup kedua-dua belah telinganya sambil terundur ke
belakang, cuba menjauhi orang ramai. Tiba-tiba dia terpijak kaki seseorang yang
sedang berdiri di belakangnya.
“Eh maaf, maaf.”
Katanya sambil berpaling menoleh. Lelaki itu sudah terangkat kakinya menahan
sakit.
“Eh..jodoh.
Eh…maksud saya Cik Aaira.” Ujar Kairi tersasul. Atau mungkin pura-pura
tersasul.
“Nasib baik awak
tak pakai kasut tumit tinggi..kalau tak dengan saya-saya sekali kena buat
rawatan Fisioterapi.” Ujarnya sambil tersenyum.
“Err..maaf…saya
tak sengaja…” Ujar Aaira perlahan.
Wajahnya masih
pucat dan telinganya masih terasa berbekas sakit. Mujur juga bunyi tadi dah
hilang.
“Awak ok tak ni?
Muka awak nampak pucat..” Tanya Kairi dengan nada risau.
Aaira memandang
Kairi…cuba bercerita melalui mata. Berharap Kairi dapat meneka apa yang sedang
menimpanya. Kairi masih beriak risau.
“Err..ok…saya nak
beli air..dahaga..” Balas Aaira selepas mendiamkan diri seketika.
“Ok takpe..awak
tunggu sini sekejap, saya belikan untuk awak.” Balas Kairi.
Belum sempat Aaira
berkata apa-apa, lelaki itu telah pergi medapatkan air untuknya.
Selang beberapa
minit, lelaki itu kembali mendapatkannya dengan 2 botol air mineral di tangan.
Lalu dia menghulurkannya kepada Aaira.
“Terima kasih…”
Ujar Aaira.
“Err….” Dia masih
ingin mengatakan sesuatu kepada Kairi, tetapi kelihatan teragak-agak. Kairi
mengangkat keningnya sebelah. Menanti kata-kata seterusnya keluar dari bibir
gadis itu.
“Err…boleh tak
awak tolong bacakan ayat Quran pada air ni, macam yang awak buat untuk saya
tadi…?” Terkeluar juga permintaan itu dari mulutnya.
Kairi merenungnya
simpati. Barulah dia faham kenapa gadis itu berundur sambil memekup telinga
sehingga terpijak kakinya tadi. Kairi tersenyum.
“Boleh…jom, kita
pergi duduk kat sana sekejap.” Katanya sambil menunjuk ke arah kerusi batu yng
diletakkan di tepi sebuah pokok bersebelahan dengan kafe tersebut.
Lalu dia mengambil
botol air tadi dari tangan Aaira dan melangkah menuju ke kerusi yang
ditunjukkan tadi. Aaira mengekori langkahnya dari belakang. Mereka melabuhkan
punggung di kerusi itu.
Kemudian Kairi
membuka penutup botol lalu memegang dan merapatkan kedua-dua botol itu di atas
pehanya.
Dia memulakan
bacaannya. Aaira mendengar dengan khusyuk. Sedap bacaannya. Cukup menenangkan
hati Aaira. Setelah selesai bacaannya, Kairi menutup semula kedua-dua botol itu
lalu diletakkan di atas kerusi batu, di tengah-tengah antara dia dan Aaira.
“Telinga awak
sakit lagi?” Tanyanya. Aaira kelihatan agak terkejut.
“Tadi saya nampak
awak pekup telinga…” Ujarnya lagi.
Aaira
menggeleng-gelengkan kepala. Memang rasa sakit tadi sudah beransur kurang.
“Alhamdulillah…”
Kairi tersenyum manis.
“Tadi saya bacakan
ayat-ayat-Ruqyah pada air tu… kalau awak nak minta saya buatkan, inshaAllah
bila-bila pun boleh..” Ujarnya masih tersenyum.
“Tapi kalau saya
tak ada, awak boleh juga buat sendiri menggunakan surah al-Fatihah, ayat Qursi,
dan 3 Qul, kalau awak tak hafal ayat-ayat Ruqyah yang lain.” Terangnya,
meninggalkan kaedah untuk gadis itu memulihkan diri sendiri selepas terkena
gangguan.
“Sebaiknya, awak
buat lepas solat. Awak niatkan dulu minta kesembuhan dan ketenangan dari Allah,
kemudian awak mulakan dengan selawat 7 kali. Lepas tu awak baca surah al
Fatihah 3 kali, ayat Qursi 3 kali, surah al Ikhlas 3 kali, surah al Falaq kali, dan surah an Nas 3 kali.” Sambungnya
lagi.
“Tapi kalau awak
tak boleh solat…,terpaksalah awak minta bantuan kawan atau ahli keluarga yang
lain…” Ujarnya lagi seakan mengerti keadaan gadis itu sekarang.
“Ataupun..awak
ambil saya bawa balik. Lagi senang.”
Sambungnya bergurau, cuba menenangkan hati gadis itu.
Aaira tertawa
kecil.
“Terima kasih
banyak ye awak..” Ujar Aaira, tak tahu macam mana nak berterima kasih pada
lelaki itu yang banyak membantu.
“Ye..saya terima
kasih awak..” Guraunya lagi.
“Saya minta diri
dulu ya, kena masuk kerja balik…” Aaira meminta izin untuk beredar.
“Hati-hati awak…
mudahan awak sentiasa dalam perlindungan Allah.” Ujarnya pada gadis manis itu.
Aaira pun
mengaturkan langkahnya menuju ke unit Fisioterapi. Setelah duduk berfikir-fikir
di situ seketika, baru Kairi teringat sesuatu.
“Nombor telefon…”
Ujarnya sendirian sambil menepuk dahinya perlahan.
AAIRA menuju lemah ke
arah ruang loker staf. Tubuhnya rasa begitu letih. Dibukanya loker lalu
disimpan kedua botol air di tangannya dengan cermat. Kemudian dia melabuhkan
punggung di atas sofa berdekatan. Disandarkan kepalanya penuh nikmat. Mahu sahaja rasanya dia tidur di situ juga
sekarang. Dikerling sejenak pada jam di dinding. Masih ada beberapa minit
sebelum tamat waktu rehat. Lalu dia memejamkan matanya, cuba mencuri sedikit
waktu untuk menghilangkan penat.
Suara orang
berbual sambil ketawa-ketawa kecil membuatkan Aaira membuka matanya
perlahan-lahan. Sangkanya pasti rakan-rakan yang lain yang datang ke situ,
memandangkan waktu rehat pun sudah hampir tamat. Malas-malas dia mengangkat
kepalanya dan melihat sekeliling.
Tiada sesiapa pun
di situ. Cuma dia seorang. Hairan.
“Aku salah dengar
ke?” Dia menyoal dirinya sendiri.
Dia mula
meninggalkan tempat duduknya dan mencari-cari kelibat kawan-kawannya. Memang
tiada sesiapa di situ. Lalu dia melangkah menuju ke bilik rawatan kanak-kanak,
di mana kawan-kawan perempuannya selalu menumpang solat pada waktu rehat tengah
hari.
Dia mengetuk
pintu, memaklumkan kehadirannya. Terdengar bunyi kunci dibuka dari dalam. Kak
Aisyah membukakan pintu untuknya. Tudung bawalnya di lapik sahaja di atas
kepalanya, baru nak mengambil wudhuk untuk bersolat.
Aaira melangkah
masuk lalu menutup dan mengunci kembali pintu dengan berhati-hati. Dilihatnya
Mikayla dan Fisha sedang brsolat, manakala Syuhada sedang mengambil wudhuk di
sinki.
“Kak Aisyah semua
memang kat sini dari tadi, ya?” Soalnya pada Kak Aisyah yang tersandar di
dinding, mnunggu giliran untuk mengambil wudhuk.
“Ha’ah…kenapa?”
Soal Kak Aisyah kembali.
“”Tak ada
apa-apa..” Jawab Aaira ringkas.
“Aku mamai kut…”
Dia berdialog dengan dirinya sendiri dalam hati.
Petang itu semua
staf perlu menghadiri mesyuarat mengenai Majlis Sambutan Perpisahan Pengarah
Hospital yang akan diadakan tak lama lagi. Semua unit perlu terlibat untuk
membuat persiapan. Aaira terlebih dahulu masuk ke dalam bilik mesyuarat untuk
memasang lampu, memandangkan mereka yang lain masih sedang bersiap selepas
bersolat.
Sebaik sahaja dia
memetik suis lampu yang terdapat di bahagian dinding berdekatan dengan pintu,
dia ternampak ular hitam yang hampir sama dengan yang masuk ke rumahnya pagi
tadi. Terkejut betul dia. Tak bergerak dia dari situ seolah-olah kakinya
terpaku ke lantai.
Ular itu juga
tidak bergerak atau menyerangnya, hanya melingkar di situ sambil
menjelir-jelirkan lidahnya. Tak lama kemudian, Aaira terdengar bunyi riuh
rakan-rakan yang lain yang sedang melangkah masuk ke bilik mesyuarat.
Baru keluar
suaranya memberi amaran.
“Ada ular…!”
Serak-serak suaranya keluar.
“Hah?! Ada ular?!”
Mereka mulai kecoh.
Fikri yang
mula-mula terjengul di pintu apabila mendengar suara Aaira. Dia juga terpempan
melihat ular yang agak besar saiznya itu sedang melingkar di situ. Melilau
matanya mencari sesuatu yang boleh dijadikan senjata. Seketika kemudian, ada
seorang rakan lelaki yang lain datang dengan membawa kayu.
Fikri mengambil
kayu tersebut dan bersiap sedia untuk menyerang ular tersebut. Rakan lelaki
tersebut turut bersedia untuk mengepungnya. Melihatkan keadaan itu, Aaira yang
teringat pesanan abangnya dan cara ayahnya menghalau ular, menarik hujung
lengan baju Fikri. Fikri meoleh ke arahnya.
“Kena suruh dia
keluar dulu, 3 kali.” Ujarnya perlahan. Fikri menoleh kembali ke arah ular
tersebut.
“Kau keluar.”
Arahnya.
“Kau keluar dari
sini.” Ujarnya buat kali kedua.
“Kau keluar dari
sini kalau tak, aku bunuh kau.” Ujarnya lagi.
Ular tersebut
masih tetap di situ. Fikri sudah mengangkat batang kayu yang dipegangnya,
bersedia untuk menghayunkannya pada ular tersebut. Baru dia hendak melangkah
mendekatinya, ular tersebut menyusur laju ke arah Aaira.
Aaira sudah hilang
semangat melihat keadaan itu. Tiba-tiba dengan pantas Fikri mengetuk ular
tersebut berulang-ulang kali hingga lembik. Kemudian dikuis-kuisnya untuk
memastikan ular itu tak bergerak lagi.
“Dah mati ni..”
ujar rakan lelaki mereka sambil mengangkat ular itu dengan menggunakan kayu
yang dipegang Fikri tadi.
Lalu dia beredar
membawa bangkai ular tersebut untuk dibuang di luar. Terdengar rakan-rakan
perempuan yang lain terjerit-jerit ketakutan melihat bangkai ular yang dibawa
keluar. Aaira yang sudah lembut lutut melurut turun ke bawah di dinding tempat
dia bersandar tadi. Fikri segera mendapatkannya.
“Aaira ok tak?”
Soalnya cemas.
Mikayla yang baru
melangkah masuk terus menerpa mendapatkannya. Kemudian dia dan Fisha memapah
Aaira untuk bangun. Setelah duduk di meja mesyuarat dia menghulurkan kunci
lokernya pada Fikri.
“Tolong ambilkan
air dalam loker aku.” Pintanya.
Fikri hanya
menurut tanpa banyak soal. Mikayla masih setia di sebelahnya, menggosok-gosok
bahunya cuba untuk menenangkannya. Seketika kemudian Fikri datang semula dengan
membawa botol air di tangannya. Dibukanya penutup lalu diserahkan pada Aaira.
Aaira membaca
Bismillah dan selawat berulang kali sebelum menegukkannya perlahan-lahan.
Barulah dia merasa semangatnya kembali. Fikri yang masih berlutut di samping
kerusinya mempamerkan wajah risau.
“Aku ok..Alhamdulillah..
aku ok. Aku cuma terkejut je tadi…” Ungkap Aaira perlahan.
Fikri masih di
situ. Sehinggalah ketua mereka melangkah masuk ke bilik mesyuarat, baru dia
bangun dan menuju ke tempat duduk.
“Kenapa ni? Aaira,
you ok?” Soal ketua mereka
apabila melihat kakitangan yang lain sibuk mengerumuni Aaira sebentar tadi.
“Ada ular tadi
Encik Azrun.” Jawab rakan lelaki mereka. Encik Azrun mengerutkan kening.
“Fikri dah bunuh.
Saya dah buang bangkainya kat luar.” Sambungnya lagi. Encik Azrun
terangguk-angguk.
“Semua ok?”
Soalnya. Mereka yang lain mengangguk dan mengiyakan.
“Ok kalau
semua ok, kita mulakan mesyuarat..” Ujarnya.
Lalu mesyuarat
dimulakan dan mereka mula berbincang tentang tugasan-tugasan yang perlu
dilakukan oleh unit mereka.
“Untuk penyambut
tetamu, mereka perlukan 2 orang dari unit kita.. So, Annayra, Mikayla, you
berdua jadi penyambut tetamu, ya?” Ujar Encik Azrun. Aaira dan Mikayla saling
pandang-memandang.
“Management request untuk penyambut
tetamu pakai baju yang sama. Tapi bajet tidak diberi. Jadi, nanti you berdua carilah ya, baju yang
sesuai.” Tambahnya lagi.
“Kalau you ada masalah dengan bajet, you boleh datang jumpa I, I boleh sponsor.” Tawar Encik Azrun.
“Ok?”
Soalnya pada Aaira dan Mikayla.
Kedua-dua gadis
itu berpandangan seketika sebelum mengangguk.
“Ok..
Aisyah, Syuhada, dan Fisha, you all
uruskan hadiah dari unit kita untuk Pengarah. Boleh guna duit kutipan bulanan
kita. Dan you berdua uruskan bilangan
kerusi tetamu dan VIP, semua ok?” Encik Azrun memberikan arahan
dan membahagikan tugas untuk anak buahnya.
“Ok Encik
Azrun.” Sahut mereka serentak.
“Ok kalau
tak ada apa lagi, kita tangguhkan mesyuarat.” Sambungnya lagi.
Mereka beredar
menuju ke loker untuk mengambil barang-barang mereka sebelum masing-masing
bergerak pulang.
“Aaira, kau betul ok
ni?” Tanya Fikri, masih lagi risau.
“Iye Encik Fikri…
aku ok inshaAllah… kan kau yang selamatkan aku tadi.” Jawab Aaira.
“Uiihh.. jadi
herolah kau tadi ye?” Sampuk Mikayla.
“Eh mestilah… aku
kan hero Aaira…” Sahutnya membangga diri. Barulah ada senyuman di wajahnya.

No comments:
Post a Comment