Friday, May 10, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 6)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 6

AAIRA segera mendapatkan Ziyad yang sudah menunggu di dalam kereta.

“Assalammualaikum..” Sapa Aaira sambil membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam kereta.

“Waalaikumsalam..” Jawab Ziyad sambil memasukkan gear dan mula meluncur meninggalkan perkarangan hospital.

“Abang tau tak…tadi ada ular kat bilik mesyuarat. Sebiji sama macam ular yang kat rumah tadi. Hitam macam tu jugak, besar pun sama.” Laju Aaira bercerita kepada abangnya

“Kat bilik mesyuarat?” Ziyad mengulang kata-kata Aaira. Berkerut-kerut dahinya mendengar tentang perkara itu.

“Takkan kebetulan?” Bisiknya sendiri. Hatinya mula merasa risau.

“Lepas tu? Buat macam mana?” Soalnya pada si adik.

“Masa tu adik seorang je dalam bilik tu. Baru masuk nak buka-buka lampu sebab ada mesyuarat petang tu. Yang lain belum datang lagi. Petik je lampu tengok dia dah ada duk melingkar kat situ.” Aaira bercerita penuh perasaan.

“Nasib baik lepas tu ada kawan-kawan yang lelaki datang. Diorang yang bunuh ular tu.” Dia meneruskan ceritanya.

“Diorang bunuh?” Soal abangnya kembali.

“Ha’ah…dah suruh keluar dah 3 kali macam yang ayah buat. Tak bergerak pun dia. Lepas tu tiba-tiba laju je datang arah adik. Masa tu lah kawan adik katok dia dia dengan kayu.” Sambungnya lagi.

Ziyad terdiam sejenak. Berfikir. Hatinya merasa bersyukur kerana tiada apa-apa yang buruk berlaku pada adiknya.

“Kenapa adik tak lompat naik atas meja…” Ujarnya berseloroh.

“Abang long ni…” Aaira mula menarik muka masam.

“Adik nak coconut shake tak?” Tanya Ziyad dengan ketawa yang masih berbaki.

Matanya sudah menangkap gerai coconut shake di tepi jalan. Kereta sudah diperlahankan, bersedia untuk berhenti singgah.

“Nak!” Pantas Aaira memberikan respon. Lupa terus dia pasal cerita ular tadi.

Ziyad tersengih sendiri. Senang je nak pujuk adiknya yang seorang ni. Dia memberhentikan keretanya dengan berhati-hati lalu turun membelikan minuman tersebut untuk adiknya.

Tersengih-sengih Aaira menyambut minuman sejuk itu dari tangan abangnya.

“Satu je?” Tanya Aaira.

“Abang long tak nak. Nak rasa sikit je.” Pinta Ziyad.

Aaira menghulurkan minuman tersebut ke bibir abangnya. Selamba saja Ziyad menyedutnya hingga hampir separuh.

“Aikk…ni bukan sikit..” Ujar Aaira tak puas hati.

Ziyad buat muka tak bersalah. Dia terus memandu masuk semula ke jalan utama sambil tersengih nakal.

 

MALAM itu seperti yang dijanjikan, usai menunaikan solat fardhu Maghrib, Ziyad dan Aaira terus bersiap-siap untuk keluar menjemput Mikayla di rumahnya. Tiket wayang telah pun dibeli secara online. Masa tayangan adalah pada pukul 9.30 malam. Sempatlah Aaira nak beli minuman kegemarannya di kiosk Tealive dulu untuk diseludup masuk ke panggung nanti. Hehehe.. Aaira menyambar jaketnya untuk dibawa bersama. Sejuk kat dalam tu nanti.

“Abang long dah siap ke? Tak payah hensem-hensem sangat… bukan orang pun nampak pun gelap-gelap dalam panggung tu…” Usiknya.

 “Eleh… abang long dah memang hensem dah. Tak payah susah-susah mekap.” Balas abangnya.

“Ha? Mana? Mana? Kat mana yang hensem tu?” Aaira yang dari tadi berjalan menghampiri abangnya yang berdiri di depan cermin itu spontan memegang dagu abangnya dan mengalih-alihkan wajahnya ke kiri dan kanan.

“Main kasar ehh…!” Terus abangnya cuba menangkap Aaira untuk memicit hidungnya.

 Mencicit Aaira mengelak dan berlari menuruni tangga ke bawah.  Berdentum-dentam bunyi anak tangga apabila Ziyad turut berlari mengejar adiknya dari belakang. 

Ibu, nenek dan ayah mereka yang sedang berehat di ruang tamu sambil menonton berita di televisyen, sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Sudah masak benar dengan perangai dua beradik tu. Bergurau, melawak dan bergaduh macam budak-budak!

Kedua-duanya tunduk menyalami dan mencium tangan kedua orang tua mereka dan nenek mereka sebelum berpergian. Sewaktu bersalam dengan neneknya, orang tua itu menggenggam erat tangan Aaira. Kemudian ditepuk-tepuknya perlahan tangan cucunya dan diusap-usapnya pula  pipi Aaira lembut.

“Besar dah cucu tok ni… dulu kecik aje terkedek-kedek berlari pakai pampers.” Gurau neneknya.

“Sekarang dah cantik… ayu…” Puji neneknya.

Aaira tersengih bangga. Diangkat-angkatnya kedua belah keningnya pada Ziyad. Ziyad menghalakan jari telunjuknya ke mulut, buat aksi nak termuntah.

“Mai tok sayang sikit.” pinta neneknya sambil mencium kedua-dua belah pipi Aaira.

Terasa kasih dan sayang neneknya meresap masuk ke dalam kulit dan terus mengalir ke hati Aaira melalui ciuman mesra neneknya itu.

“Aaira saaaaayang tok. Mmmmuahhhh.” Diciumnya pipi neneknya lama.

Ziyad juga dicium dan dipeluk neneknya. Drama pulak nenek mereka malam ini. Padahal diorang nak pergi tengok wayang sekejap aje pun.

Aaira duduk di bahagian penumpang Nissan Almera milik abangnya. Kalau ada abangnya atau Mikayla, pasti Aaira akan menjadi penumpang. Dia lebih suka kalau orang lain yang drive. Lagipun… Aaira sebenarnya sangat sukar dan bermasalah dalam menghafal jalan.

Kalau orang tanya jalan-jalan di bandar ini pun dia boleh tergaru-garu kepalanya. Mujurlah ada waze dan google maps yang memudahkan dia untuk ke mana-mana. Yang dia pandai hanya pergi kerja dan balik rumah. Yang itu tak payah pakai waze. Agak parah juga penyakitnya yang satu ini.

Dalam fikirannya melayang-layang itu,mereka dah pun sampai ke rumah teman baiknya Mikayla. Mikayla dah ready dah, tunggu diorang datang aje. Perjalanan mereka diteruskan ke shopping mall  yang menempatkan panggung wayang tersebut. Riuh mereka bercerita itu dan ini di dalam kereta.

Sesekali Aaira perasan abangnya mengerling Mikayla melalui cermin belakang. Aaira tersenyum dalam diam. Mudahan doanya dimakbulkan Tuhan.

Sebenarnya Aaira dah lama berdoa supaya abangnya dan sahabat karibnya itu berjodoh. Sebelum ini, Mikayla pernah bertunang. Tetapi terputus di tengah jalan. Tunangnya itu curang. Sudahlah banyak duit Mikayla dihabiskan untuk lelaki itu. Belanjanya mewah melebihi kemampuan, akhirnya asyik meminjam wang dari Mikayla. Dalam pada itu pun,  lama juga mereka bertahan.

Tapi apabila Mikayla terserempak tunangnya itu sedang bermesraan dengan perempuan lain di depan matanya sendiri, putus juga hubungan itu. Aaira sendiri turut berada di tempat kejadian. Itu kali pertama dia melihat kawannya itu menangis teruk. Hancur hatinya. Memori tahun lepas itu masih terasa seperti baru semalam berlaku. Jadi,sekarang temannya itu single mingle lah. Sama macam dirinya.

Abangnya pula… pernah menyimpan hati pada sepupu mereka sendiri. Kak Hanim. Tapi itulah. Memang disimpannya aje dalam hati sendiri. Langsung takde dia luahkan pada gadis itu. Last-last gigit jari apabila kak Hanim menerima lamaran orang lain. Haih…

Ingat lagi Aaira keadaan Ziyad sewaktu Mak Ngah dan Pak Ngah mereka datang mengedarkan kad kenduri kepada keluarga mereka. Muka Ziyad sudah macam nak menangis waktu itu juga, bila mendapat tahu Kak Hanim bakal mendirikan rumah tangga. Berhari –hari juga abangnya itu tidak lalu makan. Termenung sahaja kerjanya. Nak buat macam mana lagi, salah dia sendiri juga tidak pernah meluahkan perasaan pada gadis manis itu. Nasi sudah menjadi bubur. Telan sahaja lah…

Aaira terkenang doanya sendiri.

“Ya Allah.. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. Tuhan yang menciptakan cinta dan kasih sayang… aku memohon kepadaMu ya Allah.. Jika abangku baik untuk Mikayla, dan Mikayla baik untuk abangku..maka dekatkanlah mereka ya Allah.. satukanlah mereka dalam ikatan yang halal. Dan sekiranya Engkau tidak mentakdirkan mereka berjodoh, maka aku mohon ya Allah… kurniakanlah kepada mereka jodoh yang terbaik menurutMu. Aku sayang mereka berdua. Aamin ya Rabbal Al-Amin…”

 

TIBA di panggung, mereka dikejutkan dengan pemandangan ramai anak Melayu lelaki siap berbusana baju Melayu dan bertanjak. Mereka berposing dengan pencak silat dan gaya pahlawan sambil bergambar. Masing-masing mahu menunjukkan sokongan mereka pada filem bertemakan perjuangan Bangsa Melayu ini. Luar biasa betul sambutan kali ini. Teruja pula melihatnya.

Mereka mengambil tempat di dalam panggung. Aaira duduk di tengah-tengah antara Mikayla dan abangnya. Dia juga yang memegang kotak popcorn yang bakal dikongsi mereka bertiga. Perlahan-lahan dikeluarkan air kegemarannya dari dalam beg. Mission accomplished! Hehehe…

Tapi tiba-tiba dahinya berkerut apabila memandang ke depan ke arah skrin. Spontan dia menunduk ke depan dan memanggil orang di seat di depannya.

“Bang.. dah masuk panggung ni, tanjak tu boleh buka kejap kot. Lindung orang belakang.” Bisiknya perlahan.

Lelaki di hadapannya kelihatan terkejut. Serta merta dia menoleh ke belakang. Lampu belum digelapkan lagi ketika itu. Jadi Aaira nampak dengan jelas lelaki di hadapannya.

“Eh…sorry..sorry ea…” kata lelaki itu kelam kabut sambil membuka tanjaknya. Dia terpempan seketika melihat Aaira.

“Eh…!” Ujarnya sambil tersengih.

“Berjodoh betullah kita ni..” Ujarnya lagi.

Aaira turut terkedu melihatnya. Kairi. Serta merta dadanya berombak. Suhu panggung yang sudah sedia sejuk ketika itu, terasa bertambah sejuk. Menusuk masuk hingga ke tulang sum-sum!

Belum sempat Kairi menyambung percakapannya, lampu mulai digelapkan. Dan wayang dimulakan. Jadi mereka hanya diam dan fokus pada tayangan.

Permulaan cerita saja sudah menarik. Jalan ceritanya pun laju dan tiada drag. Meremang bulu roma Aaira menontonnya. Setiap dialognya begitu mendalam sehingga menyentuh ke dasar hati. Aksi-aksi lawan,bersilat dan bertempur juga sangat mengagumkan.

Terdapat juga scene yang membuatkan air mata penonton meleleh-leleh. Filem ini benar-benar hebat. Gabungan pengarah dan pelakon-pelakon hebat ini memang tidak mengecewakan. Belum pernah lagi seumur hidupnya menonton cerita yang sama di panggung, dua kali. Tetapi untuk filem ini, Aaira rasa nak tengok lagi!

Dalam pada dia asyik menonton, Aaira terperasan juga yang tangan abangnya dan tangan Mikayla tersentuh-sentuh ketika mengambil popcorn yang diriba Aaira dalam gelap itu. Eksiden… Telinga Ziyad dah mula panas dan memerah. Beberapa kali dia cuba menelan liurnya yang terasa kering. Terbatuk-batuk juga dia sekejap.

Si Mikayla pula sudah mengurut dadanya sendiri cuba menenangkan jantungnya yang hebat berdisko sejak tadi. Tapi Aaira malas ambil peduli kerana sibuk menghayati filem tersebut. Sudahnya mereka berhenti mengambil popcorn. Sakanlah Aaira menghabiskan sekotak besar popcorn itu seorang diri.

Sebaik sahaja filem itu tamat, geng-geng lelaki yang bertanjak tadi beramai-ramai berdiri melaungkan takbir. Bergema seketika panggung tersebut dengan laungan “Allahu Akbar!”

Memang lain macam betul semangat penonton kali ini. Terhibur pula Aaira. Serentak lampu dinyalakan, Kairi yang juga ikut berdiri dan bertakbir dengan rakan-rakannya tadi berpaling ke arah Aaira. Dia tersengih sambil menggerakkan mulutnya tanpa bunyi. Aaira membaca gerak bibirnya.

“Best kan?” itu yang disebutnya sambil mengangkat ibu jari kepada Aaira.

Tak cukup dengan itu,dikenyitnya pula matanya kepada Aaira. Sempat juga dia mengerling Ziyad di sebelah Aaira.

“Minta-mintalah lelaki itu bukan boyfriend dia.” Doanya dalam hati penuh berharap.

Ziyad dan Mikayla juga perasan aksi Kairi tadi.

“Siapa tu?” Tanya Ziyad.

“Err.. family patient.” jawab Aaira ringkas. Cuba mengelak dari membahaskan perkara itu.

“Siap main kenyit-kenyit mata tu.” Ujar Ziyad lagi, masih tidak berpuas hati dengan jawapan Aaira.

“Abang Ziyad ni macam tak tahu, adik abang ni kan ramai peminat. Orang cantik…” Sampuk Mikayla

“Ish! Cantik ke??” Ziyad buat muka terkejut.

“Cantik lagi Mikayla…” Sambungnya selamba.

Tersipu-sipu gadis itu dibuatnya. Aaira sudah rasa nak muntah. Uwek!

 

KELUAR dari panggung, jam sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Kelihatan suasana di pusat membeli belah itu sudahpun lengang. Hanya tinggal pengunjung yang datang menonton wayang sahaja. Sekali-sekali fikir, agak seram juga.

Ziyad beratur untuk membayar tiket meletak kereta. Wang kertas seringgit dimasukkan beberapa kali kerama ditolak keluar semula oleh mesin tersebut.

“Err…adik ada duit seringgit lagi tak?” Soal Ziyad.

“Saya ada…kejap.” Mikayla membuka dompetnya sbelum menghulurkan beberapa keping duit seringgit kepada Ziyad.

Ziyad membayar tiket lalu menyimpannya dalam poket belakang seluarnya. Kemudian mereka berjalan menuju ke arah tempat parkir kereta. Suasana di situ lebih sunyi lagi. Aaira yang sedang berjalan di belakang sekali ketika itu terasa-rasa seperti diekori. Macam-macam jenis rupa hantu sudah terbayang di kepalanya. Sengaja menakutkan diri sendiri.

Lalu pantas dilajukan langkahnya menyaingi Ziyad dan Mikayla. Kemudian berdiri tercegat di sisi kereta abangnya sambil menunggu mereka.

Sedang mereka menunggu Ziyad membuka kunci pintu kereta, satu suara datang menegur mereka.

“Cik Aaira…” Tegur suara itu.

Serentak mereka menoleh. Kairi tersengih di situ. Dia mendekati mereka lalu menghulurkan salam pada Ziyad.

“Err..boyfriend Cik Aaira ke?” Tanyanya sambil terkalih-kalih melihat Aaira dan Ziyad.

“Lah…kenapa aku pergi tanya macam tu…” Keluhnya sendiri di dalam hati.

“Err..ni abang saya, Ziyad.” Tergagap-gagap Aaira menjawab.

“Oh… err… ni..tadi saya nampak macam tiket parking jatuh dari poket belakang abang..” Ujarnya sambil menunjukkan sekeping tiket meletak kereta.

Dalam diam hatinya bersyukur kerana lelaki yang segak parasnya  itu bukan teman lelaki Aaira.

“Cuba abang check tengok.” Sambungnya lagi.

Ziyad pantas menyeluk sakunya. Diraba-raba sekejap.

“Ha’ahlah takde… eh terima kasih… kalau tak, tak keluar kitorang.” Ujarnya sambil menyambut tiket yang dihulurkan.

Kairi mengangguk-ngangguk sambil tersenyum.

“Sama… elok-elok drive bang..” Balasnya pada Ziyad.

“Selamat malam Cik Aaira.” Ucapnya pada Aaira pula, sambil tersenyum menunduk hormat pada Mikayla.

“Terima kasih…” Serentak Aaira dan Mikayla mengucapkan terima kasih padanya.

Kairi mengangguk-angguk sambil tersenyum manis sebelum berpusing dan beredar dari situ.

Mikayla menyiku Aaira.

Handsome…” Bisiknya di telinga sahabatnya itu.

Aaira hanya mengerutkan muka, konon menyangkal pendapat Mikayla. Padahal rahsia hatinya hanya dikongsi dengan Yang Maha Mengetahui.




No comments:

Post a Comment