CINTA DARI IBLIS
Bab 7
AAIRA
sedang menonton TV sendirian di ruang tamu. Ahli keluarganya yang lain sudah
lama masuk tidur. Aaira pun sudah mengantuk sebenarnya. Tapi drama Korea yang
dirakamnya di astro itu begitu menarik minatnya. Selepas 1 episod disambungnya
lagi episod berikutnya.
Aaira memang
begitu. Dia akan tunggu dulu mana-mana drama yang dirasakan menarik itu habis
ditayangkan hingga episod terakhir, baru dia akan menonton semula rakamannya.
Tak tahan dia nak tunggu –tunggu episod seterusnya ditayangkan. Geram dia
nanti.
Sedang asyik
menonton, tiba-tiba kedengaran suara neneknya ketawa terbahak-bahak dari dalam
bilik. Memang agak kuat ketawanya. Terkejut Aaira.
“Apa pulak yang
kelakar sangat tok tu. Tengah-tengah malam ni. Ke mengigau dalam tidur…?” Aaira
menggaru-garu kepalanya. Cerah biji matanya akibat terkejut dengan ketawa
neneknya itu.
“Tok ni buat takut
oranglah…” Marahnya sendirian. Digosok-gosok lengannya yang terasa sejuk
meremang dengan situasi itu.
Tak lama selepas
ketawa neneknya diam, terdengar pula satu bunyi nyaring yang membingitkan
telinga. Nyaring seperti bunyi air yang sedang mendidih di dalam cerek, tapi
lebih kuat. Tak dapat dipastikan bunyi apa.
Spontan Aaira
bingkas berdiri. Terus dia berlari ke bilik neneknya yang memang di sebelah
ruang tamu sahaja. Risau berlaku apa-apa pada neneknya.
Sampai di depan
pintu bilik neneknya, Aaira tergamam. Tercegat dia di situ. Pucat lesi mukanya.
Menggigil-gigil tangannya. Kedua-dua belah lututnya terasa lembik seperti jeli,
susah sekali nak menampung badannya untuk terus berdiri. Aaira rasa seperti nak
pitam.
Apa yang Aaira
lihat, pintu bilik itu sudah separuh terbuka. Dan dia nampak ada satu lembaga dengan
wajah yang sangat menggerunkan. Baju hitamnya labuh terseret hingga tak
kelihatan kakinya. Rambut kembangnya juga panjang mencecah lantai.
Kukunya panjang
dan ada banyak ulat yang berjatuhan dari tangannya yang hitam melegam dan
berlubang-lubang. Dan tangan buruk itu sedang mencengkam kepala dan bahu
neneknya yang sedang berdiri menghadap Aaira. Neneknya hanya memandang Aaira
dengan pandangan meminta tolong, tanpa sebarang suara.
Lembaga itu
tersengih menunjukkan taringnya kepada Aaira. Seolah-olah puas melihat wajah
takut Aaira. Lalu dalam kadar sekelip mata, dibenamkan taring tajamnya ke leher
tua itu. Berhamburan darah memancut keluar dari leher neneknya. Terketar-ketar,
terenjat-renjat tubuh tua itu sebelum terkulai layu ke lantai.
“Tokkkkkk…..!!!”
Aaira menjerit sekuat-kuat hatinya.
Sebaik Aaira
menjerit, lembaga itu meluru laju ke arahnya dengan dengusan kuat yang bergema
di ruang udara.
“Allahhhhh….!!!”
Jerit Aaira lagi.
“Dammmmmm!!!!!”
Sebelum lembaga itu sempat keluar menyambar Aaira, pintu bilik tertutup sendiri
dengan kuatnya. Betul-betul di depan muka Aaira.
“YA
ALLAH adikk….bangunnn!!” Pekik abangnya dari seat pemandu.
Dari tadi dia cuba
mengejutkan adiknya itu. Digoncang-goncang tubuh adiknya dengan sebelah tangan.
Aaira terjaga. Dadanya berombak kuat. Jantungnya macam nak tercabut.
Berpeluh-peluh. Basah lencun. Tercengang-cengang sekejap dia, cuba memahami apa
yang sedang berlaku.
Rupa-rupanya Aaira
terlena dalam kereta ketika dalam perjalanan pulang dari menonton wayang.
Sehinggakan sewaktu Ziyad singgah menghantar Mikayla pulang ke rumahnya pun dia
tidak sedar.
“Mimpi buruk ke?
Isshh laa…tidur sekejap pun pun boleh mimpi?? Sampai terjerit-jerit pulak tu.”
Suara Ziyad sedikit meninggi.
Terkejut bercampur
risau dengan keadaan adiknya. Dia masih cuba untuk fokus kepada pemanduannya
walaupun sudah terganggu.
“Baca Ta’awuz, ludah 3 kali.” Arahnya kepada
adiknya.
Aaira meraup
wajahnya dan menurut arahan abangnya.
“A’uuzubillahiminassyaitonirrojim…”
Bacanya perlahan.
“Pttuih..” Dibuat
aksi meludah ke sebelah kiri sebanyak 3 kali. Bukan ludah betul-betul pun…hanya
sebagai syarat. Kemudian ditadah pula tangannya dan membaca doa,
“Bismillahirrahmanirrahim…
Allahumma innii a’uzubika min ‘amalisy-syaithaani wasayyi’ aatil-ahlaam.”
Bacanya.
Ertinya, ‘Ya
Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari perbuatan syaitan dan
keburukan-keburukan mimpi.’
Dan diteruskan
dengan selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahua’laihiwassalam sebelum
mengaminkan doa.
“Adik mimpi apa?”
Tanya Ziyad setelah dilihat keadaan adiknya sedikit tenang.
Aaira hanya
terkelip-kelip memandang Ziyad dan membiarkan soalan tersebut berlalu tanpa
jawapan.
SAMPAI saja di rumah,
kelam kabut Aaira ke bilik neneknya untuk memeriksa keadaannya.
“Tok…?” panggilnya
sambil mengetuk-ngetuk perlahan pintu bilik sebelum membukanya.
Dilihat neneknya
sedang tidur dengan tenang, mengiring menghadapnya. Aaira berjalan menghampiri
neneknya, lalu dia membongkok dan mencium lembut dahi neneknya. Lega hatinya
melihat neneknya dalam keadaan baik.
Ziyad yang dari
tadi hanya terjenguk-jenguk memerhatikan tingkah laku adiknya dari luar bilik,
bersuara.
“Adik ok
ke? Nenek ok?” Soalnya.
“Alhamdulillah…”
jawab Aaira ringkas lalu beredar naik ke atas.
Abangnya mengekor
dari belakang. Sebelum masuk ke dalam bilik yang cuma bersebelahan dengan bilik
abangnya, Aaira menoleh.
Ziyad turut
menoleh memandangnya, menantikan butir bicara dari adiknya yang kelihatan
seperti ingin mengatakan sesuatu. Aaira diam sejenak sebelum bersuara.
“Adik sayang abang
long tau.” Ujarnya pendek, lalu melangkah masuk ke dalam bilik.
Dalam bilik, Aaira
termangu-mangu di katil. Termenung memikirkan mimpinya tadi. Bergenang juga air
matanya lagi. Sedih bercampur risau bila diacah begitu dengan nyawa nenek
kesayangannya.
Dia hanya mampu
meletakkan Tok Yah dalam perlindungan Tuhannya. Diseka air matanya yang mula
mengalir di pipi lalu melangkah menuju ke bilik air untuk mmbersihkan diri.
Langsung dia tak sedar, ada satu susuk makhluk sedang memerhatikannya dari satu
sudut, tersengih jahat dengan kepala yang terteleng.
MALAM itu seperti
biasa, Tok yah bangun dari tidurnya. Dia membersihkan diri dan mengambil
wudhuk. Dibentangkan sejadah di atas karpet di hujung katil lalu ditarik kerusi
yang terletak di tepi dinding. Disarungnya telekung putih pemberian anaknya
Maryam, lalu dia bersolat, bertahajjud. Tunduk dia menyembah Penciptanya dengan
penuh khusyuk dalam kesunyian malam.
Selesai bersolat,
ditadah tangannya dengan penuh kerendahan hati sebagai seorang hamba yang
lemah… berbisik-bisik berbicara kepada Tuhannya. Dia berdoa memohon
kesejahteraan dan limpah kurnia rahmat Rabb nya untuk keluarganya yang
dicintai. Tak lupa dia bermohon agar mereka sekeluarga dihimpunkan kembali
dalam syurga Allah di akhirat nanti. Mendayu-dayu dia merintih mengharapkan
cinta dan kasih sayang Tuhannya. Sehingga mengalir air mata di pipi tuanya.
Usai berdoa,
dicapainya pula Al-Quran yang diletakkan di atas katil sebelum solatnya
dimulakan tadi. Perlahan-lahan dia menyelak helaian kitab suci itu.
Tiba-tiba
hidungnya menangkap satu bau yang amat busuk. Lebih busuk dari bangkai. Tidak
pernah dia terhidu bau sebusuk itu. Dalam pada dia tertoleh-toleh mencari dari
mana datangnya bau itu, telinganya pula menangkap bunyi tertawa. Bunyinya
sangat menjengkelkan. Buruk. Juga seakan-akan mengejek.
Terbeliak biji
matanya apabila melihat seekor makhluk yang sungguh hodoh rupanya sedang
mencangkung dekat dinding di hadapannya. Kepalanya terteleng ke tepi
seolah-olah patah tengkuknya sambil dia tersengih menayangkan giginya yang
hitam dengan taring yang tajam. Dia tergelak-gelak seolah mencemuh perbuatan
anak Adam yang tunduk patuh pada Tuhannya. Benci dendam berapi-api dalam
dirinya, Iblis laknatullah.
“Astaghfirullahalazimmm….Allah….”
Tok Yah beristighfar panjang.
Tidak bergerak
sedikit pun dia dari tempat duduknya. Selepas beberapa detik terkejut dengan
kehadiran makhluk itu, Tok Yah kembali tenang. Langsung dia tidak takut dengan
makhluk terkutuk itu.
Dapat dirasakannya
keluarganya sedang berdepan dengan ujian yang diturunkan oleh Allah.
Firman Allah SWT
dalam al-Quran bermaksud:
“Patutkah manusia
menyangka bahaawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman,
sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami
menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang
demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman
dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.”
(Surah al-Ankabut,
ayat 2-3)
Tok yah menarik
nafas panjang. “Sesungguhnya hidupku dan matiku hanya untuk Allah.” Bergema
kata-kata itu dalam segenap ruang dadanya.
“Ash-hadu
an-laillahaillallah…wa ash-hadu anna Muhammadan rasullullah…” fasih Tok Yah
mengucapkan 2 kalimah syahadah.
Seraya itu,
makhluk tadi yang berang kerana tidak dapat menggoyangkan iman anak Adam,
pantas meluru ke arah wanita tua itu lantas menyepak kaki kerusi yang sedang
didudukinya dengan kuat.
“Allahu Akbar!!”
Tok Yah berteriak.
Dia jatuh dan
terhantuk ke bucu katil. Darah merah pekat laju membasahi bahagian kepala
telekung putih yang dipakainya. Sakit yang dirasakan menyebabkan pandangannya
berpinar-pinar lalu dia rebah menyungkur ke atas sejadah. Al-Quran yang
dipegangnya tadi masih erat dalam genggamannya.
“Allah….” Bisik
Tok Yah perlahan.
Tubuh tuanya itu
tidak dapat menahan hentakan kasar begitu. Jantungnya segera terhenti
berdenyut. Dan perlahan-lahan mata tuanya tertutup. Rapat. Untuk
selama-lamanya.
Sungguh kejam ulah
syaitan bertopengkan manusia yang sanggup menyekutukan Tuhannya dengan
bersekongkol dengan Jin dan Iblis laknatullah untuk menzalimi manusia lainnya.
Langsung tidak dihirau terjerumus dalam perbuatan syirik, semata-mata untuk
mengisi keinginan diri, dan mengikut kehendak nafsu.
Tidak dipeduli
siapa hamba Allah yang dianiaya, demi mendapatkan apa yang dihajati. Walaupun
dengan cara yang keji. Itulah orang yang tidak redha dengan Qada’ dan Qadar
ketentuan Allah.
Ya
Allah…lindungilah kami dari dosa-dosa syirik. Allahu Rabbul A’lamin..
MAKCIK Maryam masih
berkalih-kalih di tempat tidurnya, sebelum dia bangun dan duduk dari baringnya.
Seketika dia melurut-lurut rambutnya sebelum dia bangun menuju ke bilik air.
Kebiasaannya dia akan bersiap membersihkan diri dahulu sebelum mengejutkkan
suaminya bangun untuk mendirikan solat tahajjud dan solat-solat sunat lainnya
bersama-sama.
Selesai Makcik
Maryam dan Pakcik Usman bersalaman selepas sama-sama beribadah, Makcik Maryam
mengorak langkah menuju ke bilik ibunya. Memang setiap hari itulah rutinnya. Menjenguk
keadaan ibunya sekiranya ibunya memerlukan apa-apa. Biasanya Tok Yah bangun
lebih awal darinya. Tubuh tua itu masih kuat beramal ibadat kepada Tuhannya.
Diketuk-ketuk
bilik Tok Yah sebelum membuka pintu.
“Allahhh…! Makkk…!
Ya Allah…. Abang….!” Terjerit Makcik Maryam memanggil suaminya.
Dadanya terasa bagai dihempap dengan batu
besar. Berhambur air matanya melihat keadaan ibunya yang terbaring kaku
menyembam sejadah dengan telekung yang merah dengan darah.
Kecoh rumah Pak
Usman malam itu. Meluru mereka anak-beranak ke bilik Tok Yah, mendengarkan
jeritan Makcik Maryam.
“Innalillahiwainnailaihi
roji’un….” Ucap Pak Usman yang sudah mendapatkan ibu mertuanya di lantai.
Aaira dan Ziyad
yang baru tiba di bilik itu setelah bergegas turun dari tingkat atas terkedu.
Terjelepuk Aaira di lantai melihatkan tubuh neneknya yang kaku tidak bernyawa
dalam keadaan berlumuran darah. Ziyad pula hanya berdiri terpacak. Tumpah air
matanya melihat neneknya terbaring di samping ayahnya. Malam itu dihiasi dengan
tangisan sedih keluarga kecil itu…meratapi kehilangan Tok Yah.
Dari Allah kita
datang, kepada Allah kita kembali.
URUSAN pengebumian Tok
Yah pada keesokan harinya berjalan lancar. Semuanya teratur dan mudah. Sanak
saudara dan jiran tetangga banyak membantu. Jenazah selamat disimpan sebelum
Zohor. Anak-anak Tok Yah yang berada di Perak dan Penang juga sempat pulang
melihat jenazah ibu mereka buat kali terakhir di Kedah. Alhamdulillah… Mujurlah
semuanya tidak terlalu jauh.
Tok Yah hanya ada
3 orang anak perempuan. Makcik Maryam, ibu Aaira adalah anak sulung Tok Yah.
Selepas tokwannya meninggal sewaktu Aaira masih belajar di universiti, memang
neneknya tinggal bersama keluarganya. Ibu dan ayahnya risau mahu membiarkan Tok
Yah tinggal sendirian. Makngah dan Maksunya pula masing-masing berpindah ke
Perak dan Penang mengikut suami mereka.
Datuk dan nenek
sebelah ayahnya pula telah lama meninggal dunia, sewaktu Aaira masih kecil
lagi. Ayahnya pula hanya mempunyai seorang kakak, yang juga sudah meninggal
dunia beberapa tahun lepas setelah dijangkiti wabak Covid 19.
Jenazah
dikebumikan berdekatan dengan kubur suaminya, dan juga cucunya, abang Aaira
yang kedua. Abangnya itu meninggal sewaktu masih kecil. Waktu itu Aaira masih
lagi bayi. Jadi dia langsung tiada memori tentang abang Ngah nya itu. Dia hanya
mengenalnya melalui cerita ibu dan ayahnya, serta gambar-gambar yang tersimpan
kemas di dalam album.
Dia difahamkan,
abang Ngah meninggal dunia kerana demam Denggi. Sebab itulah abang longnya
pantang betul kalau dia digigit nyamuk. Bunyi macam kelakar, dan agak mengada.
Tapi hakikatnya sakit kehilangan itu masih terasa hingga sekarang.
Selesai urusan
pengebumian, jiran terdekat mereka, Makcik Wati menjemput semua tetamu untuk
menjamah hidangan yang telah disediakan di rumahnya. Semuanya diuruskan oleh
keluarganya anak beranak. Alhamdulillah… beruntung keluarga Aaira dikurniakan
rezeki jiran yang baik dan prihatin. Mudahan Allah melipat gandakan rezeki
Makcik Wati sekeluarga.
Rakan-rakan
sekerja Ziyad dan Aaira turut datang menziarah. Hampir semua staf di unit Aaira
bekerja datang menzahirkan simpati. Tetapi kelibat Fikri tak kelihatan di situ.
Aaira dimaklumkan oleh Mikayla yang Fikri tidak datang bekerja kerana kurang
sihat. Encik Azrun pun tiada. Dia terpaksa menyelesaikan satu urusan kerja di
Kuala Lumpur. Hanya salam takziah dan sedikit sumbangan dikirim sebagai
pengganti diri.

No comments:
Post a Comment