Saturday, May 11, 2024

CINTA DARI IBLIS (Bab 8)

 CINTA DARI IBLIS

Bab 8

SUASANA di rumah Pakcik Usman malam itu sunyi. Ibu dan ayahnya pergi ke surau menghadiri kenduri tahlil arwah yang ikhlas dibuat anak cucu Tok Yah. Mudahan pahalanya sampai kepada arwah dan rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.

“Tuk tuk tuk!” Pintu bilik Aaira diketuk.

“Masuklah..” Ujar Aaira yang ketika itu sedang mengeringkan rambutnya selepas mandi.

Ziyad masuk dan duduk di atas kerusi di meja belajar Aaira. Pintu dibiarkannya terbuka luas. Aaira pula melabuhkan punggungnya di atas katil menghadap ke arah Ziyad. Sangkanya abangnya hendak berbual tentang sesuatu. Setelah dilihat abangnya cuma diam menunduk, Aaira memulakan bicara.

“Abang long…” Panggilnya

“Emm….” Aaira terhenti sekejap. Teragak-agak mahu meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Abang long tahu tak.. hari tu…..” Aaira mula menceritakan kepada abangnya akan kejadian-kejadian pelik yang menimpanya satu persatu.

Bermula dari dia dikejar bayangan hitam ketika sedang bekerja lebih masa, sehinggalah mimpi buruk Aaira tentang neneknya sebelum kematiannya. Lega rasanya apabila dapat dikongsi semuanya dengan abangnya.

“Jadi…” Respon Ziyad yang sudah memanggungkan kepalanya mendengar cerita Aaira.

“….adik takut ke?” Sambungnya menyoal, dengan riak muka yang agak aneh. Seakan-akan tersenyum.

Aaira terdiam. Belum sempat dia membalas, telefon bimbit di sebelahnya berbunyi. Terkejut Aaira. Spontan dicapainya telefon itu. Mesej dari Mikayla. Dia slide ke tepi sebentar notifikasi tersebut. Dia ingin sambung berbual dengan abangnya. Notifikasi yang ditolak ke tepi itu mendedahkan wallpaper di telefonnya. Gambar Masjid al-Aqsa tersergam indah. Serta merta Aaira teringat sesuatu apabila melihat gambar tersebut.

“Adik…abang ikut ibu ayah ke surau tau…!” laung abangnya dari luar pintu bilik air ketika Aaira sedang mandi tadi.

Aaira dengar, tapi tak begitu dipedulikannya. Menyahut pun tidak. Dia hanya meneruskan mandiannya. Sudahnya dia sendiri terlupa yang apa yang dipesan abangnya tadi.

Terus berdebar dada Aaira teringatkan pesanan abangnya tadi. Kalau abangnya tiada di rumah..yang sedang berbual dengannya ini siapa..? Aaira masih menunduk memandang telefon. Berdebar-debar dan teragak-agak hendak mengalihkan pandangan ke arah abangnya.

Tiba-tiba terdengar Ziyad bersuara.

“Dah tahu ke ni…..” Suara Ziyad kedengaran aneh. Serak dan garau. Menyeramkan.

Aaira menoleh ke arahnya. Dilihatnya Ziyad sedang tersengih memandangnya dengan bola matanya yang hitam keseluruhannya. Tiada warna putih. Kulit wajah abangnya yang asalnya cerah juga dilihatnya jauh lebih gelap sekarang. Juga menggerutu.

Aaira tergamam.

Ziyad tiba-tiba ketawa dengan bunyi yang menakutkan. Matanya yang hitam kesemuanya tadi berpusing-pusing di dalam soketnya. Nanah dan darah pula mula meleleh keluar dari kulit pipinya. Hujung-hujung jarinya pula mengeluarkan kuku yang panjang dan bengkok.

Aaira tidak lepas bernafas. Oksigen yang disedut terasa bagaikan tersumbat di pangkal hidungnya.

“Hasbunallah wa ni’mal wakeel!” Jeritnya di dalam hati di saat jelmaan abangnya itu bangun menghampirinya.

Serentak itu juga dia bagaikan mendapat kekuatan untuk berlari ke pintu.

“Dammmm…!” pintu yang tadinya terbuka luas tiba-tiba tertutup sendiri di depan muka Aaira.

Aaira menoleh ke arah jelmaan abangnya. Makhluk yang masih menggunakan wajah abangnya itu bertukar menjadi besar dan tinggi. Badannya berbulu lebat seluruhnya. Makhluk itu tiba-tiba melompat melekap di dinding dan terus merayap ke siling. Disengihnya pada Aaira dalam keadaan kepala tergantung ke bawah. Menitik-nitik air liurnya jatuh.

Aaira kembali berpaling dan mengetuk-ngetuk dan menendang-nendang pintu sekuat-kuat hatinya.

“Arghhhh!!!!” Jeritnya.

“Tolongggg!!! Bukalahhhhh!! Allahu Akbarrr….!!!” Jeritnya lagi takut bercampur geram.

Ziyad yang baru sahaja masuk ke dalam rumah selepas pulang dari surau terkejut mendengar adiknya menjerit. Tergopoh-gapah dia berlari ke atas. Ayah dan ibunya yang baru turun dari kereta terpinga-pinga.

“Adik…!” panggil Ziyad sambil berlari menaiki tangga.

Aaira yang terdengar suara abangnya semakin sakan menjerit.

“Abang longgg!! Abang longgg..!” Sambil menghentak-hentak pintu.

Di saat-saat genting itu, pintu tiba-tiba terbuka. Pantas Aaira berlari keluar laju terus ke dalam pelukan abangnya. Terdorong Ziyad ke belakang menyambut tubuh adiknya. Aaira menangis tersedu-sedu dalam pelukan abangnya.

Seketika kemudian dia senyap. Aaira pengsan.

“Astaghfirullahalazimmmmm….!” Pakcik Usman bersuara keras.

Dia dan isterinya baru sampai ke tingkat atas. Terbeliak mata mereka melihatkan makhluk besar berbulu hitam yang menyerupai anak mereka Ziyad sedang merangkak di atas siling. Ziyad yang sedang memangku Aaira secara spontan mendongak ke atas. Ternganga dia melihat makhluk tersebut.

“Keluar kau dari sini!! Jangan kau ganggu anak-anak aku!!” Terlompat kecil Ziyad mendengar ayahnya bertempik.

Sudahlah jantungnya tengah berdegup kencang berdepan dengan situasi itu.

Makhluk itu menyeringai, menunjukkan taringnya.

Dengan tak semena-mena, angin kuat yang datang entah dari mana bertiup kencang di dalam rumah itu. Tingkap-tingkap yang tadinya terkunci rapat terhempas-hempas terbuka dan tertutup. Lampu kalimantang yang menerangi ruang tamu tingkat atas itu juga terkelip-kelip.

“Allahu Akbar Allahu Akbar….!” Tak bertangguh Pakcik Usman melaungkan azan sambil diangkat tangannya ke cuping telinga.

“Eeeeikkkkkggghhhh….!!!” Seraya itu makhluk itu menjerit dan menggeliat kesakitan.

Terjelir lidahnya memandang tajam ke arah keluarga itu dengan matanya yang merah menyala, sebelum merangkak keluar melalui tingkap yang terbuka.

“Eh… main jelir-jelir lidah pulak setan ni. Aku lastik karang baru tau.” Ziyad menyumpah dalam hatinya.

Pakcik Usman meneruskan azan sehingga habis. Setelah itu barulah suasana huru-hara dengan angin kencang tadi beransur reda. Lampu juga berhenti berkelip. Mereka saling pandang-memandang antara satu sama lain. Aaira masih tak sedarkan diri dalam pangkuan Ziyad.

 

AAIRA terasa mukanya direnjis-renjis dengan air sejuk. Bergerak-gerak bola matanya yang tertutup rapat.

“Adik..” Dia dengar ibunya memanggilnya.

Dibukanya matanya perlahan-lahan. Siling rumah tingkat atas tu menjadi pemandangan pertamanya.

“Abang long..! abang long..!” Serta merta dia terjerit memanggil abangnya sambil bingkas bangun dari baringnya.

“Ye abang long kat si…” Belum habis Ziyad berkata-kata, terus Aaira merangkulnya sambil menangis.

Beberapa saat kemudian tangisnya terhenti. Tak berkelip dia memandang wajah abangnya. Diamatinya wajah abangnya atas ke bawah. Tiba-tiba dia menampar bahu Ziyad.

“Adoi!” Ziyad terkejut.

“Abang long dah kenapa?! Kenapa tukar jadi hantu??” Marah Aaira dalam tangisnya yang masih berbaki.

Ziyad tercengang sekejap sebelum melepaskan tawa kecil sambil menggeleng-gelengkan kepala. Ditariknya tudung sarung adiknya turun menutup separuh mukanya.

“Orang semua tengah risaukan dia,sempat pulak dia buat lawak.” Omelnya dalam hati.

“Adik ni… ada-ada aje..” Ayahnya tertawa kecil.

Lega hatinya tak berlaku apa-apa yang serius pada anaknya. Semua yang di situ turut ketawa. Aaira yang baru membetulkan tudung yang ditarik abangnya tadi memandang sekeliling. baru dia perasan ada seorang lelaki sebaya ayahnya turut berada di situ.

“Alhamdulillah selamat semuanya…” Ujar lelaki itu.

 “Beri kurma tu pada dia. Aaira..jamah sikit. Badan awak tengah lemah. Kurang gula. Dari pagi belum makan apa-apa kan..” Lelaki tersebut memberikan arahan.

Makcik Maryam menghulurkan kurma di dalam piring kecil kepada Aaira sambil mengusap kepala anak perempuannya itu dengan penuh kasih sayang.

“Sebelum tu minum air ni dulu. Bismillah dan selawat 3 kali ya..” Ujarnya lagi sambil menghulurkan segelas air.

Aaira menyambutnya. Diteguknya air tersebut seperti yang diarahkan. Kemudian digigit pula kurma tadi dan dikunyah perlahan-lahan.

“Ini kawan ayah, Ustaz Abu Bakar. Mengajar di sekolah yang sama dengan ayah dulu.” Ayahnya memperkenalkan lelaki itu kepada Aaira.

Selepas kejadian tadi, terus Pakcik Usman menghubungi rakan gurunya itu. Hanya dia yang terlintas di fikiran Pakcik Usman untuk diminta bantuan. Di sekolah tempat mereka mengajar dulu, bila berlaku histeria atau pelajar dirasuk,Ustaz Abu Bakar lah aka menyelesaikannya. Alhamdulillah.. dikurniakan Allah kelebihan untuk membantu sesama saudara seIslam.

“Ada yang berkenan dengan anak kamu ni.” Ustaz Abu Bakar memulakan bicara.

“Tapi caranya tu tak kena lah.. cara tak elok.” Sambungnya lagi.

“Dah lama kamu kena ganggu kan..?” Tanyanya pada Aaira.

“Tapi tak teruk,betul?” Tanyanya lagi sebelum sempat Aaira menjawab.

Aaira mengangguk-angguk mengiyakan.

“Sebelum ni adik selalu mimpi yang menakutkan…” Ceritanya sambil memandang ke arah orang tuanya silih berganti.

“Badan pun selalu lebam-lebam.” Sambungnya lagi.

“Tapi adik buat tak tahu je..” Jelasnya.

Ustaz Abu Bakar tersenyum dan terangguk-angguk.

“Tapi baru-baru ni jadi makin teruk…” Keluh Aaira.

“Itu sebab kamu uzur.. tengah kotor..badan tengah lemah.. jadi mudahlah Iblis nak menjalankan muslihatnya. Sebelum ni pendinding diri kamu kuat. Amalan-amalan kamu menyebabkan Jin tidak dapat menembus dan mengganggu kamu. Bukan senang bomoh nak sihir orang beriman.” Terang Ustaz Abu Bakar dengan panjang lebar.

“Tempat-tempat macam hospital tu pula, memang dah jadi tempat diorang. Diorang suka tempat-tempat begitu. Jadi bila badan kamu tengah lemah, ada pula gangguan sihir, tertariklah mereka nak tumpang mengganggu juga..” Tambahnya lagi.

Aaira mengangguk-angguk, faham dan bersetuju dengan penerangan Ustaz Abu Bakar. Dia terdiam seketika.

“Tapi.. tok…” Aaira bersuara.

Dia cuba menyampaikan apa yang sedang bermain di fikirannya. Sedikit sebanyak mimpi ngeri yang dialami sebaik sebelum kehilangan Tok Yah menganggu dan mempengaruhi pemikirannya.

Ustaz Abu Bakar tersenyum. Dia dapat menangkap maksud Aaira. Lalu dibacakan ayat at-Taghabun ayat 11. Kemudian dibacakan maksudnya.

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

 “Tok yah meninggal kerana sudah sampai ajalnya. Ajal di tangan Tuhan. Bukan di tangan makhluk. Syaitan tidak dapat menentukan hidup mati seseorang,bahkan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada sesiapa pun tanpa Izin Allah. Tidak berlaku segala sesuatu melainkan dengan izin Allah.” Terang Ustaz Abu Bakar.

“Iblis banyak tipu dayanya. Dia cuba memesongkan akidah kita dengan cara menakut-nakutkan kita. Bila kita takut pada dia lebih dari Tuhan,di situlah iman kita mula lemah. Mula kita hilang keyakinan pada Allah dan pertolongan Allah. Pada kasih sayang dan rahmat Allah. Lebih parah lagi kalau kita turut meminta bantuannya setelah disihir. Cari bomoh, lakukan perkara-perkara syirik misalnya.”

Aaira mengangguk faham. Dia beristighfar di dalam hati.

“Allah uji sebab Allah sayang…” Ujar Ustaz Abu Bakar lagi sambil tersenyum.

“Jangan risau… teruskan mendekatkan diri dengan Allah. Jaga Allah, inshaAllah, Allah akan jaga kita. Kuatkan diri dengan amalan.” Nasihatnya.

“Ada apa-apa boleh hubungi saya. InshaAllah.. mana yang saya boleh bantu, saya bantu. Mana yang tak boleh, kita ikhtiarkan sama-sama cari orang yang boleh.” Pesan Ustaz Abu Bakar pada sahabatnya, Pakcik Usman.

Pakcik Usman mengangguk-angguk perlahan, tanda faham. Mereka yang lain turut berterima kasih pada Ustaz Abu Bakar, kerana datang menghulurkan bantuan lewat malam begitu. Terkejut juga mereka dengan kehadiran makhluk yang tak disangka-sangka itu.

Mudahan mereka sekeluarga sentiasa dalam perlindungan Allah, dan dijauhi dari angkara hasad dengki manusia.

Dari Ibnu Abbas berkata, aku pernah berada di belakang Rasulullah SAW pada suatu hari, baginda bersabda: “Wahai anak, sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa kalimat: Jagalah Allah nescaya Dia menjagamu, Jagalah Allah nescaya kau menemui-Nya di hadapanMu, bila kau meminta, mintalah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya umat bersatu untuk memberimu manfaat, mereka tidak akan mampu memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan mampu membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering (maksudnya takdir telah ditetapkan).” (HR. Tirmidzi:2440) [Shahih Syaikh Al-Albani]




No comments:

Post a Comment