JANGAN SENTUH MEREKA!
Bab 2
“EH sayang nak pergi mana tu? Sini
dulu…sekejap lagi kita pergilah sama-sama…!” Isha terjerit kecil memanggil Fara
Afiya dan adiknya yang sudah kalut berlari ke bahagian alat mainan di dalam
kedai Mr. DIY.
Sengaja dia singgah di kedai tersebut
yang berdekatan dengan rumah mereka sebelum pulang. Ada beberapa barang
keperluan yang ingin didapatkannya di situ, termasuk mentol lampu ganti untuk
mentol yang sudah terbakar di rumah. Memang Isha sudah biasa melakukan
kerja-kerja sedemikian sendiri, memandangkan tiada lelaki di rumah mereka.
Hampir semua kerja membaiki, memanjat,
mengangkat berat, atau kerja-kerja lain yang biasa dilakukan oleh orang lelaki,
dilakukannya sendiri. Melainkan perkara-perkara yang dia memang betul-betul
tidak tahu, barulah dia mengacau abangnya meminta bantuan.
“Fiya dengan adik kat tepi ni aje
mama…!” Laung Fara Afiya dari lorong sebelah.
Isha menggeleng-gelengkan kepalanya.
Memang dia tidak suka anak-anak itu jauh atau hilang dari pandangan matanya,
apatah lagi apabila berada di luar. Ramai manusia yang pelik dan jahat zaman
sekarang ni. Ada sahaja berita kanak-kanak diculik dan sebagainya, di dalam dan
luar negara. Gerun Isha membaca tentang kes-kes pemerdagangan manusia yang
berlegar-legar di media sosial baru-baru ini.
Manusia benar-benar sudah hilang akal.
Kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sewenang-wenangnya sahaja mereka melapah
tubuh badan kanak-kanak yang tidak berdosa hidup-hidup, untuk mendapatkan organ
mereka untuk dijual di pasaran gelap. Sedikit pun tiada perasaan belas simpati
dalam dada mereka. Hampir termuntah Isha menonton video yang memaparkan
perbuatan kejam yang keterlaluan itu.
Itu belum lagi berita-berita tentang
penjenayah pedofil. Sangat meloyakan. Tergamak seorang lelaki dewasa
melampiaskan nafsu kepada anak-anak kecil. Lebih menyayat hati, kebanyakan
pelakunya adalah ahli keluarga atau orang yang rapat dengan mangsa. Tak
terjangkau dek akal Isha memikirkan bagaimana ada ayah yang sanggup memperkosa
bayi sendiri sehingga membawa maut. Benar-benar tak masuk akal!
“Nak ambil yang ni ke?” Soal seorang
pemuda sambil tersenyum manis.
“Err…” Belum sempat Isha menjawab, lelaki
itu sudah mengambilkan kotak mentol lampu yang terkial-kial cuba dicapai Isha.
“Yang ni warm white… lampu oren
ni… kalau nak lampu putih yang ni..” Ujarnya lagi sambil mengambilkan kotak
yang lain.
“Err…saya nak yang putih…terima kasih
ya….” Jawab Isha tergagap-gagap.
Kedudukan mentol lampu tersebut di
bahagian rak yang agak tinggi membuatkan diaa kurang jelas untuk memilih jenis
lampu yang diingini.
“Sama-sama kasih…” Ujar lelaki tersebut
sambil tersengih.
“Datang shopping seorang je ke
ni?” Soalnya lagi, cuba berbual mesra dengan Isha.
Rakannya yang baru muncul di sebelahnya
tersengih-sengih mengangkat kening kepada mereka berdua sambil menyigung lelaki
itu, mungkin sengaja mengusik.
“Mama! Mama! Adik nak beli ni boleh?”
Jerit Fara Afina yang sedang berlari menuju ke arahnya bersama kakaknya.
Terbantut Isha hendak menjawab soalan
lelaki manis tadi.
“Oh.. datang dengan anak… err maaf ya
puan…” Ujar lelaki itu sebelum pantas meminta diri dan berlalu pergi bersama
rakannya dengan riak kecewa.
Isha hanya menghantar langkahnya dengan
sorotan pandangan mata.
“Siapa tu mama?” Soal Fara Afiya.
“Emm.. dia tolong mama tadi. Awak
berdualah, tak nak panggil mama Chu, panggil mama, dah orang ingat mama dah
kahwin ada anak. Macam mana mama nak kahwin macam ni…” Jawab Isha sambil
pura-pura mencebik sedih.
Begitulah selalunya. Ada juga lelaki
yang cuba mendekati Isha, tetapi serta merta berlalu pergi apabila melihat dia
bersama dengan anak-anak. Mungkin mereka cuba untuk tidak menganggu rumah
tangga orang lain. Sukar untuknya berkenalan dengan lelaki, apatah lagi mahu
mencari jodoh. Umur Isha pun bukannya semakin muda. Sesekali timbul juga
keinginan untuk mendirikan rumah tangga, dan berbahagia dengan kekasih hati
seperti rakan-rakan seusianya.
Tetapi apa boleh buat, Isha akur dengan
takdir jodoh yang sudah ditetapkan Tuhan untuknya. Mudahan Allah mengurniakan
seseorang kepadanya. Seseorang yang sudi menjadi temannya dalam urusan agama,
urusan dunia, dan urusan akhirat. Seseorang yang ikhlas mencintainya kerana Allah.
“Hehehe…mama suka pakcik tadi tu ke?”
Soal Fara Afiya tergelak-gelak.
“Takdelah.. mama gurau je lah.. dah,
jom kita pergi sebelah sana sekejap.” Sahut Isha sambil memimpin tangan
anak-anak buahnya.
Isha menuju ke arah bakul barangan yang
disusun bertindan di sudut kedai. Tangan kanan yang dihulur untuk mencapai
bakul tiba-tiba beralih arah. Bahagian kiri dadanya ditampan kuat, cuba
meredakan degupan jantung yang tidak semena-mena berdetak aneh. Serta merta dia
berpaling menoleh ke kiri dan kanan. Namun tiada apa yang luar biasa. Semua
pelanggan yang lalu-lalang adalah wajah-wajah yang tidak biasa dilihatnya
sebelum ini. Bakul barangan cepat-cepat dicapai.
Ini bukan kali pertama. Sejak kebelakangan
ini, sudah beberapa kali hati Isha berasa aneh begitu. Sebenarnya, Isha pernah
merasakan getaran begitu lama dahulu, semasa zaman persekolahan. Sewaktu dia
masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Khadijah. Satu-satunya
manusia yang boleh membuatkan hatinya bergetar begitu adalah lelaki itu..guru matematiknya.
Cikgu Hud Hurairah. Guru muda yang sememangnya popular di kalangan pelajar
perempuan dengan ketampanannya.
Kalau diikutkan, Isha bukanlah salah
seorang dari rakan-rakan pelajar yang meminati guru itu. Tapi itulah, entah
bagaimana, entah sejak bila, pandai-pandai sahaja hatinya berdebar-debar
sendiri tanpa izinnya, untuk guru muda itu. Sejenis debaran yang hanya
dirasakan pada lelaki itu seorang. Baik apabila terserempak dengannya, mahupun
ketika hanya sekadar mendengar namanya disebut dari jauh. Mulalah Isha kelam
kabut cuba mengawal jantungnya yang bergendang sakan, risau pula kalau-kalau
sampai ada orang lain yang boleh mendengar.
Pernah juga, dada Isha berdebar begitu,
tanpa dia nampak atau dengar pun tentang Cikgu Hud. Ada sekali itu, dia sedang
berjalan pulang ke rumah dari deretan kedai di taman tempat tinggalnya.
Tiba-tiba sahaja jantungnya berdetak aneh begitu. Beberapa saat selepas itu ada
suatu suara yang dikenalinya menyapa mesra.
“Alya Alisha Arif! Elok-elok jalan
tu….” Tegur Cikgu Hud yang sedang menunggang motor perlahan dari belakang Isha.
Tersentak gadis itu dibuatnya.
Terkebil-kebil dia memandang Cikgu Hud yang tersengih nakal memandangnya
sehingga guru muda itu berlalu pergi dengan motosikalnya.
Ada pula satu ketika yang lain, Isha
keluar ke pasaraya besar bersama keluarganya, mencari baju raya. Sedang asyik
dia memilih pakaian dengan ibunya, tiba-tiba dadanya bergetar dengan getaran
yang sama. Puas dia menoleh ke kiri dan ke kanan mencari kelibat orang itu,
tetapi tidak pula kelihatan di mana-mana. Keesokan harinya, Cikgu Hud
menegurnya di dalam kelas.
“Alya Alisha Arif! Baju raya awak warna
apa tahun ni?” Soal Cikgu Hud sambil mengangkat-angkat kening.
“Hah? Baju raya, cikgu?” Soal Isha
semula, terpinga-pinga.
“Saya nampak awak semalam…sibuk betul
pilih baju raya, sampai tak perasan saya yang kacak ni.” Seloroh Cikgu Hud.
Isha menelan liur sambil menayangkan
muka tidak bersalah. Entah macam mana, gerak hatinya boleh merasakan kehadiran
lelaki itu, walaupun dia sendiri tidak tahu guru muda itu berada di situ ketika
itu. Kuat sangat ke perasaannya sehingga mereka terhubung begitu? Ajaib betul..
Sehinggalah ke saat ini, rahsia itu
masih disimpan kemas sendirian. Tidak pernah dibocorkan rahsia hati itu hatta
kepada sahabat karibnya sekalipun. Jika ada pun hanya coretan demi coretan
dalam diari remajanya. Itupun disorok di sudut paling tersembunyi di dalam
biliknya. Bimbang ketahuan dengan keluarganya. Kak Leeya dan abang Alif tu
bukan boleh diharap sangat. Kaki mengusik.
Rasanya, coretan terakhir pada helaian
lembaran diarinya itu berkisar tentang Cikgu Hud yang akhirnya mendirikan
masjid dengan pilihan orang tuanya, juga seorang guru. Setelah itu dipadamkan
terus sebaris nama itu dari diari hidupnya. Cikgu Hud juga telah bertukar
sekolah tidak lama selepas itu, dan Isha tidak pernah mendengar berita
tentangnya lagi.
TERBONGKOK-BONGKOK Isha tunduk membelek botol-botol yang
dipamerkan di rak. Serius mencari ubat cecair untuk masalah saluran bilik air
yang tersumbat. Sesekali dijeling Fara Afiya dan Fara Afina yang turut sibuk
membelek barangan alat tulis di rak berhampiran. Sekadar memastikan keberadaan
mereka dalam jangkauan penglihatannya. Salah satu botol ubat cecair dicapai
lalu labelnya dibelek, sebelum botol tersebut dimasukkan ke dalam bakul yang
diletakkan di lantai.
Isha mengangkat bakul barangannya lalu
mendongakkan kepala ke arah anak-anak buahnya, mahu mengorak langkah
mendapatkan mereka. Bagai mahu terjojol keluar mata Isha apabila melihat ada
seorang lelaki yang berpakaian serba hitam, lengkap dengan topi dan kaca mata
hitam serta pelitup muka yang juga berwarna hitam sedang melutut sambil berbual
dengan Fara Afiya dan Fara Afina. Kelam kabut Isha mengatur langkah dengan
sendi lutut yang terasa lemah, mendapatkan anak-anak saudaranya.
“Fiya! Fina!” Jeritnya.
Serentak mereka bertiga menoleh ke
arahnya. Lelaki itu tergesa-gesa beredar melihatkan Isha sedang menuju ke arah
mereka. Terkocoh-kocoh Isha berlari memeluk Fara Afiya dan Fara Afina. Habis
dijatuhkan bakul barang di tangannya ke lantai. Jantungnya berlumba-lumba
menghentam dada, memikirkan kemungkinan-kemungkinan buruk yang boleh berlaku
sebentar tadi. Benarlah kata orang, benda kalau nak jadi, sekelip mata sahaja.
Tak sampai seminit dia berpaling tadi.
“Fiya! Fina! Kan mama dah pesan, jangan
cakap dengan orang tak kenal. Kalau orang jahat macam mana?” Laju Isha
menghamburkan kerisauannya kepada gadis-gadis kecil itu.
“Maaf mama…” Ujar mereka serentak
dengan wajah bersalah.
“Orang tu tadi cakap apa dengan Fiya dan
adik?” Soal Isha.
Kedua-dua belah tangannya terasa
menggeletar. Serta merta terbayang kes-kes penculikan yang hampir berlaku, yang
dimuat naik oleh ibu bapa mangsa di media sosial, sebagai amaran dan pesanan
untuk waris yang lain. Ada beberapa kes dilaporkan, yang menyatakan anak mereka
dihampiri oleh lelaki atau perempuan yang tidak dikenali ketika berada di
pasaraya. Mujurlah Allah melindungi Fara Afiya dan Fara Afina.
“Pakcik tu pesan, jangan jauh-jauh
dengan mama. Kena jalan pegang tangan mama. Sebab sekarang ada ramai orang
jahat suka tangkap budak kecil..” Petah Fara Afiya melaporkan.
Cering bulu roma Isha mendengarkan
cerita Fara Afiya. Ya Allah..
“Lain kali jangan bercakap dengan orang
tak kenal lagi, faham? Dengar tak mama pesan ni?” Isha menekankan suaranya
sedikit.
“Dengar…faham mama.” Sahut keduanya.
Fara Afina sudah mula mencebik sambil
memeluk Isha. Mungkin baru terasa takut memikirkan kemungkinan orang jahat yang
menyapa mereka sebentar tadi.
“Itulah mama tak bagi jauh dengan mama…
dah.. jomlah kita balik… ada nak beli apa-apa lagi?” Isha mengendurkan kembali
suaranya.
Fara Afiya dan Fara Afina hanya
menggeleng laju.
“SAYANG! Tolong mama hulurkan lampu tu… tu atas
meja tu.” Pinta Isha.
Terketar-ketar kakinya memanjat tangga
cuba menukar mentol lampu di siling yang agak tinggi. Ketinggian tangga yang
tidak benar-benar mencukupi itu agak menyukarkan kerjanya. Kedua beradik itu
juga sibuk mahu membantu apa yang boleh. Fara Afiya kalut mengeluarkan mentol
dari dalam kotak dan menyerahkannya kepada Isha, sambil mengambil mentol yang
sudah rosak dari tangan Isha. Fara Afina pula bersungguh memegang tangga yang
sedang dipanjat Isha, konon mahu mengelakkannya dari terjatuh.
“Okay…
sekarang cuba tolong mama hidupkan lampu..” Pinta Isha setelah yakin mentol
lampu tersebut dipasang kemas.
“Okay
mama.” Sahut Fara Afiya.
Kakinya dijinjat sehabis tinggi lalu
suis lampu ditekan.
“Pap!” Semua lampu di dalam rumah
tiba-tiba terpadam.
“Mama!” Serentak mereka berdua terjerit
kecil, terkejut.
Isha juga terkedu di atas tangga.
“Rasanya tak ada apa yang tak kena, dah
pasang elok. Kenapa tiba-tiba tendang? Ke elektrik tak ada?” Gumam Isha
sendirian.
Baru dia hendak melangkah turun dari
tangga, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi seperti sesuatu yang besar dan
berat terhempas jatuh ke atas bumbung rumah. Beberapa saat kemudian pula
kedengaran benda yang besar dan berat tersebut seakan-akan berguling-guling
laju di atas bumbung. Berdentam dentum bunyinya seperti guruh di langit. Kuat
dan menakutkan.
“Mamaa..!!” Pekik dua gadis kecil itu
ketakutan.
“Ya, ya sayang mama ada ni…” Sahut Isha
sambil terkocoh-kocoh menuruni anak tangga dengan berhati-hati.
“Bunyi apa tu mama?” Soal Fara Afiya
perlahan.
“Mama pun tak tahu sayang… jom, ikut
mama. Kita cari handphone.” Ajak Isha
sambil memimpin tangan mereka.
“Tadi adik main game lepas tu adik letak kat depan.” Lapor Fara Afina.
Isha mengatur langkah menuju ke ruang
tamu sambil teraba-raba dinding. Gelap lain macam betul rumah mereka mala mini.
Gelap pekat. Dua beradik itu saling berpegangan tangan sambil menarik baju
Isha.
“Sallalahu rabbuna a’la nuril
mubin…ahmadal mustofa sayyidil mursalin…” Kalut mulut si kecil Fara Afina
melagukan selawat.
Isha mengulum senyum. Takut pun ada.
Lucu pun ada. Pandai pula si kecil ni berselawat waktu-waktu begitu.
“Adik letak kat mana tadi?” Soal Isha setelah yakin mereka berada di
ruang tamu.
“Adik letak kat kerusi.” Jawab Fara
Afina petah.
Berkerut muka Isha menahan sakit
apabila terpijak mainan budak-budak itu. Dialihkannya ke tepi kemudian dia
meneruskan langkah menuju ke sofa. Dalam pada itu, tiba-tiba Isha terasa tapak
kakinya terpijak cecair yang banyak di lantai. Melekit-lekit.
“Ish…air apa pulak yang tumpah ni..”
Getusnya perlahan.
“Sayang tunggu kejap, jangan bergerak.
Ada air apa entah tumpah ni, nanti terpijak.” Pinta Isha.
Fara Afiya dan Fara Afina berhenti
melangkah dan berdiri tercegat di situ. Tetapi tangan mereka masih
tergawang-gawang cuba memegang baju Isha. Isha tunduk meraba-raba sofa di
hadapannya, cuba mencapai telefon bimbitnya.
Seraya itu juga, ada hembusan angin
yang kuat menerpa wajahnya. Seperti tiupan angin di luar rumah. Terangkat bulu
roma Isha. Sejuk dan seram. Pintu dan tingkap rumah semuanya ditutup rapat.
Kipas memang tidak dihidupkan dari awal, penghawa dingin juga sudah termati
serentak dengan lampu dan semua peralatan elektrik di dalam rumah sebentar
tadi. Dari mana pula datangnya angin tu?
Isha terus meraba-raba sofa sebelum
tangannya tersentuh telefon bimbitnya. Pantas dia mencapai dan menekan-nekan
skrin telefon pintar itu, menghidupkan lampu suluh. Lantas dia menghalakan
lampu di tangan ke arah anak-anak saudaranya.
“Allah!” Telefon di tangan Isha
terlepas.
Spontan dia menerpa dan mendakap
kedua-dua orang anak buahnya. Apa yang Isha nampak tadi, ada seekor makhluk
yang besar berbulu di belakang kedua gadis kecil itu, sedang menyeringai dengan
taring yang tajam dan sepasang mata yang merah pekat. Darah meleleh dari
giginya sehingga bertakung di tempat Isha terpijak air tadi. Dalam sesaat
itulah telefon bimbit terlepas dari tangan Isha dan dia menarik anak-anak itu
ke dalam dakapannya. Tergigil-gigil tubuh Isha sambil memeluk mereka.
“Kenapa mama?” Soal Fara Afiya hairan.
Belum sempat Isha menjawab, terdengar
bunyi benda yang besar dan berat tadi berdentum-dentum berlari di lantai
kemudian memanjat ke dinding, sebelum suasana kembali menjadi sunyi sepi.
“Apa tu mama….?” Soal Fara Afina, sudah
mula menangis.
Isha tidak terus menjawab, sebaliknya
dia membaca Ayatul Qursi, cukup kuat untuk didengar oleh kedua gadis kecil itu.
Seketika kemudian mereka turut mengikut bacaannya. Sebaik mereka menamatkan
bacaan, lampu kembali hidup. Terang-benderang rumah itu disimbah cahaya. Isha
mendongakkan kepala lalu memerhati sekeliling rumah, tiada apa yang aneh. Dia
menarik nafas lega. Alhamdulillah..
Fara Afiya dan Fara Afina
terkebil-kebil dipancar cahaya lampu terang secara tiba-tiba.
“Alhamdulillah… dah ada elektrik
balik…” Ujar Isha sambil tersenyum penuh kasih pada keduanya.
“Alhamdulillah…” Serentak mereka
menyahut.
Fara Afina kembali merangkul Isha.
“Dah.. tak nak menangis dah.. adik
takut ke?” Soal Isha lembut.
Fara Afina mengangguk-anggukkan
kepalanya perlahan.
“Mama…tadi tu bunyi apa…kenapa mama
baca ayat Qursi…?” Soal Fara Afiya dengan nada separuh berbisik.
“Tak ada apalah sayang…mama pun terrr
takut juga sekejap tadi. Sebab tu mama baca ayat Qursi. Ingat tak…macam yang
Culap Culip pesan tu? Kalau takut, baca ayat Qursi kan?” Jelas Isha, merujuk
kepada satu siri animasi Islamik dari negara seberang.
Siri animasi yang sangat bagus dan
penuh dengan pengisian yang bermanfaat untuk kanak-kanak dan seisi keluarga,
pada pendapat Isha.
Fara Afiya dan Fara Afina mengangguk
perlahan.
“Fiya dengan adik tahu tak… Iblis
syaitan ni…, bila kita takut dengan dia, dia akan jadi semakin besar. Dari
kecil niii je…dia boleh jadi makin besar makin besar.” Ujar Isha sambil
menggayakan tangannya.
“Tapi…bila kita tak takut dengan dia..
dari dia besaaaarr ni…, dia akan jadi makin kecil makin kecil, sampai tinggal
besar lalat je.” Sambungnya lagi.
Fara Afiya dan adiknya saling
berpandangan sambil buat muka lucu.
“Ye ke mama?” Soal mereka.
“Iya… lepas tu.. bila kita baca ayat
Qursi, dia akan lari ketakutan. Macam yang kita tengok dalam Culap Culip
tu..ingat tak…?” Sambung Isha lagi.
“Ingat..ingat..” Jawab mereka dengan
kepala yang terangguk-angguk.
Isha tersenyum puas.
“Dah..jomlah, kita siap-siap masuk
tidur? Mama pun dah mengantuk ni… awak pun sekolah esok.” Ajak Isha sambil
mencubit-cubit mesra perut kedua-dua mereka.
Terkekek-kekek gadis-gadis kecil itu
menepis tangan Isha.
“Ya Allah.. hanya kepadaMu kami
mengharapkan perlindungan… Lindungilah kami wahai sebaik-baik Pelindung…
A’udzubikalimatillahi tammati min syarri maa khalaq…” Bisik Isha dalam diam.

No comments:
Post a Comment