Wednesday, May 29, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 10)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 10

ALBUM tersebut ditutup dengan senyuman terukir di bibir. Lama dia diulit kenangan. Sejurus pandangannya jatuh pula pada sekeping gambar yang berbingkai kemas. Gambar anak-anak kembarnya. Fateema dan Ameena. Fateema Binti Abdullah, dan Ameena Binti Abdullah. Dua anak comel yang disambut kelahiran mereka di depan matanya. Dia lihat sendiri bagaimana doktor mengeluarkan kedua bayinya itu dari perut isterinya di bilik pembedahan. Isteri yang dia nikahi secara sah, atas permintaan arwah ayahnya 11 tahun yang lalu.

Waktu itu dia masih mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Khadijah.  Tidak pernah terbayang di fikirannya, yang panggilan telefon yang diterimanya di suatu senja itu mendambakan pengorbanan besar darinya untuk keluarganya. Ayahnya meminta dia menikahi sepupunya, Sakeena, yang saban hari semakin membesar perutnya, demi menutup aib keluarga dan membela nasib wanita itu yang dipermainkan oleh teman lelakinya.

Sakeena bukan seorang perempuan yang buruk akhlaknya. Dia seorang anak yang baik. Tetapi dia juga hanya manusia biasa yang tertewas dengan bisikan nafsu dan godaan syaitan. Cinta dan kasih sayang pada teman lelakinya membuatkan dia hilang pertimbangan mengenai hukum halal dan haram.

Keterlanjurannya menyebabkan dirinya hamil, ketika dia sedang di kemuncak kerjayanya sebagai seorang usahawanita yang terkenal. Keluarganya juga merupakan orang-orang yang dikenali dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat.

Ayah Hud Hurairah pula tewas dengan rayuan adik lelakinya yang meminta bantuannya untuk menyelamatkan maruah keluarga, di kala teman lelaki Sakeena bersikap lepas tangan dan langsung menghilangkan diri tanpa dapat dihubungi. Hud Hurairah diminta menikahi sepupunya itu dengan kadar segera. Dia bahkan langsung tidak berpeluang mengucapkan selamat  tinggal kepada pelajar-pelajarnya, atau rakan-rakan sekerjanya. Urusan pertukaran tempat mengajarnya semuanya diuruskan oleh bapa saudaranya.

Ayahnya yang ketika itu sedang uzur dengan sakit tua, meminta dia menerima pernikahan tersebut, atas tiket permintaan terakhir seorang ayah yang sedang nazak. Bagaimana lagi Hud Hurairah dapat menolak…? Dia hanya mampu memujuk hati agar redha dengan ketentuan takdir dan jodoh yang telah tertulis untuknya.

Ibunya sendiri yang sering menjadi tempat dia mengadu nasib pun tiada daya untuk membantunya keluar dari kemelut tersebut. Satu-satunya adik lelakinya pula ketika itu sudah pun bertunang dengan gadis pilihan hati. Maka akurlah Hud Hurairah dengan penyatuan tersebut.

Didikan agama yang diterima sejak kecil menjadikan Hud Hurairah seorang suami dan ayah yang tunduk patuh pada Tuhannya, dan taat pada ajaran Rasulnya. Semua tanggungjawab dilaksanakan sebaik mungkin untuk keluarganya, zahir dan batin. Isterinya dilayan sebaik mungkin dengan kasih sayang, meskipun tiada secebis cinta yang tumbuh dalam hatinya untuk wanita itu.

Ayahnya meninggal dunia hanya beberapa minggu selepas pernikahannya yang dilangsungkan serentak dengan adik lelakinya. Bahagia jelas terpancar di wajah tua itu di hari-hari terakhirnya. Hud Hurairah bersyukur diizinkan Allah untuk menyumbang kepada kebahagiaan ayah tercinta di  penghujung usianya. Mudahan redha orang tuanya menjadi asbab kepada keberkatan hidupnya di dunia dan akhirat.

Belum sempat pudar kesedihan mereka sekeluarga setelah pemergian sang ayah, ibu tersayang pula dijemput  pulang ke hadrat Ilahi. Bagaikan berjanji untuk sehidup semati. Tinggallah mereka dua beradik, bersama keluarga kecil masing-masing.

Segalanya berjalan lancar, Hud Hurairah hidup aman dengan isterinya. Mereka saling menyantuni antara satu sama lain. Tidak dibiarkan sang isteri menghidu rahsia hati yang ditutup rapat, demi menjaga perasaan wanita itu. Sehinggalah mereka dikurniakan sepasang kembar comel, yang mengisi  penuh ruang hati Hud Hurairah yang lompong sebelum ini. Kedua puteri kecil itu ditatang bagai minyak  yang penuh.

Tetapi dunia yang sudah dijanjikan sebagai alam ujian ini, menghadiahkan satu lagi ujian hebat untuk dirinya.

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan, ‘kami telah beriman’, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

[QS. Al-Ankabut Ayat 2-3]

“Cubaan akan selalu menimpa seorang mukmin dan mukminah, baik pada dirinya, pada anaknya, mahupun pada hartanya, sehingga ia bertemu dengan Allah tanpa dosa sedikit pun.”

[HR. Ahmad no. 7859, At-Tirmidzi no. 2399, disahihkan Al Albani dalam Shahih At-Tirmidzi]

 

KETIKA anak-anak perempuannya berusia 4 tahun, satu tragedi hitam telah menimpa keluarga kecil mereka. Tragedi yang membawa pergi kedua jantung hatinya itu darinya buat selamanya.

Petang itu, Sakeena membawa kedua kembarnya keluar dengan ditemani seorang rakan perempuannya membeli-belah di pasaraya besar di bandar. Waktu itu Hud Hurairah sedang berkursus di daerah lain dalam negeri itu. Memang dia telah memberi keizinan kepada isterinya untuk keluar dengan rakannya dari awal lagi.

Tetapi kebetulan pula pengasuh anak-anak mereka kurang sihat. Jadi Sakeena membuat keputusan untuk membawa Fateema dan Ameena keluar bersama. Lagipula rakan baiknya ada menemani. Jika tidak, sudah juga dia hendak mengawal kedua puteri kembarnya itu di luar. Hendak dijadikan cerita, ketika kedua wanita itu sedang memilih pakaian yang dipamerkan, kembarnya yang sedang berada di dalam kereta sorong bayi di samping mereka diambil dan dilarikan oleh seorang lelaki dan seorang perempuan.

Riuh keadaan di dalam kedai tersebut ketika itu. Pengunjung yang lain bagaikan terkesima dengan kejadian sepantas kilat yang tidak disangka-sangka itu. Terjerit-jerit Sakeena dan rakannya meminta bantuan. Akhirnya ada pengawal keselamatan tiba untuk membantu, tetapi penjenayah tersebut terlebih dahulu berjaya meloloskan diri dengan menaiki sebuah van. Laporan polis dibuat, dan gerakan mencari dan menyelamat dijalankan secara besar-besaran. Namun kedua anak comel itu gagal ditemui.

Sejak itu kehidupan Hud Hurairah dan isterinya berubah seratus peratus. Sakeena mengalami kemurungan yang teruk sehingga kewarasannya terganggu. Puas Hud Hurairah cuba menenangkannya, termasuk menyediakan rawatan yang terbaik untuknya. Tetapi semua usahanya tidak membuahkan hasil. Keadaan kesihatan mental Sakeena semakin merosot dari hari ke hari. Dalam masa yang sama, usaha mencari kedua anaknya menemui jalan buntu.

Sehinggalah suatu hari, Sakeena tiba-tiba meracau teruk dan berkeras mahu keluar mencari anak-anaknya. Dia berjaya melepaskan diri dari rumah dan memandu kereta keluar tanpa sempat dihalang oleh Hud Hurairah. Pemanduannya yang membuta tuli dan berbahaya telah mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawanya. Begitulah Hud Hurairah kehilangan keluarga kecilnya dalam tempoh yang singkat.

Sejak itu, Hud Hurairah memfokuskan hidupnya dengan cuba menjejaki anak kembarnya. Dia berhenti mengajar di sekolah dan membuka pusat tuisyen sendiri, memandangkan cara itu memberikannya masa bekerja yang lebih fleksibel. Beberapa orang guru  diambil bekerja dengannya untuk memastikan kelancaran operasi pusat tuisyen miliknya itu.

Dalam misinya itu, dia telah berjaya menggagalkan beberapa cubaan menculik kanak-kanak. Kejayaan terbesarnya adalah membantu pihak polis menumpaskan satu sindiket besar pemerdagangan manusia di Malaysia. Ketika itulah, mereka menjumpai longgokan tulang-tulang manusia di pusat operasi sindiket tersebut. Hasil siasatan mendapati bahawa kanak-kanak dan remaja  yang diculik oleh sindiket itu telah dibedah untuk diambil organ sebelum akhirnya dijual di pasaran gelap dengan harga  yang tinggi.

Di antara longgokan tulang mangsa yang ditemui, mereka akhirnya menemukan Fateema dan Ameena berdasarkan ujian DNA yang dijalankan. Maka berakhirlah pencarian Hud Hurairah. Bersujud dia saban hari menghamburkan segala kesedihan yang merajai hati kepada Sang Pencipta. Sungguh, bergegar jiwanya menghadapi ujian-ujian tersebut. Siang dan malam diadukan segala luka dan pedih yang merobek hancur hatinya. Sehinggalah akhirnya Allah Subhanahuwata’ala mengurniakan rasa redha dengan ketentuan kepadanya perlahan-lahan.

“Allah tidak akan membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

[Al-Baqarah: 286]

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

[Al-Baqarah: 153]

 

SAMPAI hari ini, Hud Hurairah masih lagi meneruskan kegiatannya membantu pihak polis membanteras jenayah penculikan kanak-kanak yang berlaku di negara ini. Dia sering memberikan tumpuan kepada golongan wanita yang keluar bersendirian bersama anak-anak kecil kerana golongan ini menjadi sasaran mudah untuk penjenayah.

Sehinggalah suatu hari, sewaktu dia sedang mengekori seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan aktiviti menculik kanak-kanak, dia ternampak Isha yang keluar bertiga bersama anak-anak buahnya.

Tidak sangka keputusannya untuk pulang ke negeri kelahirannya itu menjadi asbab untuk dia dapat bertemu semula dengan gadis yang pernah mencuri hatinya itu. Tanpa disedari, dia mula memerhatikan gerak geri wanita itu setiap kali terserempak dengannya. Niatnya hanyalah mahu membantu menjaga keselamatan keluarga itu, kerana berdasarkan pemerhatiannya, dikhuatiri Isha dan anak-anak buahnya turut menjadi sasaran lelaki yang disyaki tersebut.

Sehingga secara tidak langsung dia berjaya mendapat maklumat mengenai keadaan terkini gadis itu. Dia tahu, Isha mengambil alih tugas seorang ibu untuk kakaknya yang telah meninggal dunia. Dia juga tahu di mana Isha tinggal, di mana Isha bekerja. Pendek kata, banyak perkara yang dia tahu tentang Isha. Dan dia juga tahu, yang hatinya  masih berdetak dengan debaran yang sama pernah dirasakannya 11 tahun lalu, untuk gadis itu.

Kejadian di mana Isha diserang dan dia menyelamatkan gadis itu juga bukanlah satu kebetulan. Memang dia mengekori gadis itu sejak awal dia nampak Isha di pasaraya tersebut. Yang memerhati dan mengekori Isha itu adalah dia, bukanlah penyerang Isha. Mungkin juga dia mengikutnya terlalu dekat di dalam pasaraya tersebut, hingga Isha dapat merasakan kehadirannya. Setelah itu, memang Hud Hurairah sengaja turun ke ruang parkir bawah tanah untuk memastikan keselamatan Isha sehingga gadis itu masuk ke dalam kereta.

Waktu itulah dia nampak Isha diseret dari jauh. Berkejar dia mendapatkan gadis itu. Pintu bilik stor yang tertutup tersebut terbuka luas hanya dengan sekali tendangan. Kemudian dihadiahkan pula satu lagi tendangan pada tubuh lelaki yang menindih Isha di lantai. Menggelegak darah dalam tubuhnya melihat gadis itu diperlakukan begitu. Hampir lunyai penjahat tersebut dikerjakannya. Kesal dia apabila lelaki  itu berjaya melarikan diri dengan motorsikal. Dia berazam mahu menjejaki lelaki itu dengan bantuan pihak polis.

 

“AYAH…makan, ayah…” Sapa Isha lembut.

Encik Arif yang sedang bersandar di katil yang ditinggikan di bahagian badan tersenyum mesra pada anak perempuannya. Mujur juga abang Alif membelikan katil boleh laras tersebut untuk ayahnya. Lebih mudah untuk ayahnya duduk bersandar dan mengelakkan luka tekanan akibat berbaring terlalu lama dalam satu kedudukan. Tugas-tugas mengurus dan mengangkat alih Encik Arif ke kerusi roda juga menjadi lebih mudah untuk mereka.

“Sedap ni Kak Syara masak…” Bual Isha sambil melabuhkan punggung di atas kerusi di sisi katil ayahnya.

“Sha…ah…kan?” Kelihatan Encik Arif menuturkan kata untuk berbual dengan anaknya.

“Isha nak suap ayah dulu..sekejap lagi Isha makan…” Balas Isha sambil tersenyum.

Bubur nasi berlauk disudukan penuh kasih ke mulut ayahnya. Sesekali lebihan makanan di tepi bibir Encik Arif dilap dengan kain bersih. Berselera ayahnya makan hari itu. Habis licin semangkuk bubur. Dia juga lebih banyak berbual dari biasa. Mungkin gembira Isha dan cucu-cucu perempuannya meluangkan masa lebih banyak di rumah itu kali ini. Biasanya mereka hanya dapat berada di situ pada hujung minggu kerana tuntutan kerja dan sekolah. Paling lama pun 2 hari.

“Sedap kan? Ayah nak tambah lagi?” Soal Isha mesra.

Encik Arif menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mengusap-usap perut, mengisyaratkan yang dia sudah kenyang. Wajahnya masih tersenyum damai, seperti biasa.

“Ala…tak boroi pun perut ayah tu…ayah kenalah makan banyak sikit, baru kuat.” Balas Isha sambil tertawa kecil. Lucu dengan gelagat ayahnya yang nampak comel.

Bising mulutnya berceloteh itu dan ini sambil mengurut dan menyapukan minyak di kedua-dua belah tangan dan kaki Encik Arif. Sesekali terdengar juga suara Encik Arif berbalas bual diselangi ketawa gembira. Sebentar kemudian terdengar suara Isha memberikan arahan dan galakan kepada ayahnya untuk menggerakkan anggotanya dalam sesi latihan senaman.

Fuh… banyak ayah buat senaman hari ni. Dah makin kuatlah… kalau macam ni, inshaAllah tak lama lagi ayah boleh berjalan semula.” Bebel Isha dengan suara ceria.

“Ayah penat dah? Kita rehat dulu ea?” Soal Isha sambil mengelap dahi dan muka ayahnya yang sedikit berpeluh.

Encik Arif tersengih comel sambil mengangkat tangan kanan menunjukkan otot bicepsnya. Konon menayangkan kekuatannya. Ketawa lagi Isha dengan keletah ayah tersayang.

Yelah, yelah….Encik Arif ni memang kuat… Isha tahu…” Sahut Isha sambil mencebik nakal.

“Isha saaaaayang ayah tau!” Ujarnya lagi sambil mencium kedua belah pipi ayahnya dengan penuh kasih.

Encik Arif membalas ciumannya sambil mengucup dahi anak perempuannya itu lama. Kemudian dia tersenyum manis sambil mengusap tangan Isha.

“A..yah a..yang I..sha a…ngat…” Terkial-kial dia menuturkan kata-kata sayang kepada anaknya.

“Iye..Isha tahu…ayah sayang Isha lebih kan? Sayang Abang Alif sikit je, kan?” Gurau Isha lagi.

Lapang dadanya melihat senyuman damai sang ayah. Terima kasih Allah, untuk nikmat yang Engkau pinjamkan ini. Untuk bahagia yang Kau kurniakan ini. Alhamdulillah…

“Ayah rehat dulu sekejap…, sekejap lagi Isha bawa ayah mandi ya? Lepas tu nanti boleh ayah solat Dhuha, nak?” Soal Isha penuh kasih.

Encik Arif mengangguk laju. Senyuman masih tidak lekang dari bibirnya. Isha bangun beredar. Tetapi tangannya diraih oleh Encik Arif, membuatkan Isha kembali duduk. Sabar dia menanti butir-butir perkataan yang keluar dari mulut Encik Arif satu-persatu.

“A…ah… da…a..nak…a..nak…a..ah… a…ah…da…engan..sha..engan…a…if…” Ujar Encik Arif dengan susah payah.

Isha tidak dapat menangkap apa yang mahu disampaikan oleh ayahnya. Dia cuma dapat meneka namanya dan nama abang Alif disebut di hujung kata. Tetapi dia tidak mahu mengulang soal, kerana bimbang membuatkan Encik Arif kecewa kerana tidak dapat menyampaikan apa yang mahu diberitahu. Isha hanya tersenyum manis lalu membawa tangan Encik Arif ke bibirnya. Tangan tua itu dikucup penuh kasih.

“Ayah… Tuhan tu memang Maha Penyayang…. Sebab tu Tuhan bagi Isha jadi anak ayah dengan ibu… dalam ramai-ramai orang kat dunia ni, Isha yang dapat jadi anak ayah…anak ibu…Isha beruntung sangat…” Luah Isha dengan linangan air mata.

Apa yang diucapkan itu benar-benar terlahir terus dari hatinya kala itu. Alya Alisha benar-benar bersyukur berbintikan Arif. Seorang lelaki yang sangat dikagumi, sangat dikasihi…, tiada tandingannya. Encik Arif menyeka air mata Isha dengan tangannya yang terketar-ketar. Lalu diletakkan tapak tangannya pada pipi Isha. Ditatapnya wajah anak itu penuh kasih.

“Ayah redha pada Isha…terima kasih jadi anak ayah… terima kasih Allah…” Bisik hati lelaki tua itu.

 

“ISHA dah suapkan ayah makan?” Soal Kak Syara yang sedang mencuci pinggan mangkuk di sinki.

“Dah.. dah buat senaman sekali dengan ayah. Ni bagi dia rehat sekejap, kejap lagi kita bawa ayah bersihkan diri ya kak?” Sahut Isha sambil menarik kerusi duduk di meja makan.

“Lah…kan akak boleh buatkan.. awak tu rehat dulu, awak sendiri pun tengah sakit-sakit bada lagi  kan..” Bebel Kak Syara risau.

“Eh…takdelah kak…dah ok dah ni… tak sakit sangat dah. Kalau tak sentuh-sentuh perut ni, tak sakit…” Jelas Isha, tidak mahu kakak ipar kesayangannya itu bimbang.

Syara menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Alhamdulillahlah kalau dah tak sakit sangat… ha kejap akak settlekan dapur ni dulu, lepastu kita tolong ayah ea.” Balasnya mesra.

Ok bos…” Sahut Isha dengan gaya lucu memberi tabik hormat.

Syara menjelirkan lidah pada adik iparnya. Lalu dibalas dengan sengih lebar oleh Isha.

Emm…kak…” Panggil Isha, mahu mula berbual-bual dengan wanita.

Ye saya…” Sahut Syara ramah.

“Akak…..”

Buk!”

Kata-kata Isha terhenti dengan bunyi berdentum yang datang dari depan. Beberapa detik kemudian terdengar suara Akmal menangis. Terkocoh-kocoh Isha dan Syara berlari ke depan. Kelihatan anak lelaki itu sedang duduk menangis sambil memegang dahinya di tepi meja kopi.

“Kenapa ni, sayang?” Soal Syara mendapatkan Akmal.

“Ada orang tolak kepala mal…mal tengah lukis-lukis, ada orang tolak kepala mal…” Jawab Akmal sambil menangis.

Syara dan Isha saling berpandangan sambil mengerutkan dahi. Kurang jelas dengan penjelasan anak kecil tersebut. Siapa pula yang tolak? Di rumah itu sekarang hanya ada mereka berempat.

“Siapa tolak mal?” Soal Isha lembut.

“Tak tahu… tangan dia pegang Mal sini lepas tu tolak kat meja ni..” Jawab anak itu bersungguh cuba menceritakan semula apa yang berlaku padanya sambil mengunjukkan kepalanya.

Mulutnya masih riuh menangis sambil dipujuk oleh Syara. Isha bergegas mendapatkan pek ais untuk dituam di dahi anak saudaranya yang mula membenjol. Puas mereka memujuknya sambil bergurau dan membuat kelakar, sehingga akhirnya Akmal tertidur keletihan. Syara membetulkan baring anak lelakinya, manakala Isha beredar ke bilik Encik Arif untuk membantunya membersihkan diri seperti yang dijanjikan tadi.




No comments:

Post a Comment