Wednesday, May 29, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 11)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 11

AYAHjom…, kita pergi mandi-mandi…, wangi-wangi…” Ujar Isha sambil menarik keluar kerusi roda yang disusun kemas di sudut bilik.

“Ayah…?” Panggil Isha lagi.

Encik Arif tidak menyahut. Sepasang matanya kelihatan terpejam tenang diulit lena. Isha tersenyum sendiri melihat wajah damai ayahnya. Perlahan tangannya mengusap tangan Encik Arif, cuba membangunkannya. Serentak itu satu perasaan aneh berdesup masuk ke dalam hatinya. Dadanya berdebar risau. Tangan Encik Arif terasa begitu dingin.

“Ayah…..” Panggil Isha lagi dengan suara yang bergetar.

Wajah dan dada Encik Arif diamati dengan teliti. Tiada pergerakan yang terzahir pada pandangan Isha. Terasa seperti ada angin sejuk menerpa seluruh muka Isha. Pernafasan Isha mula menjadi tidak teratur. Perlahan tangan kanannya menyentuh pipi Encik Arif. Sejuk. Tidak seperti kebiasaannya.

“Ayah….bangunlah…kita pergi mandi…” Panggil Isha lagi, walaupun akal warasnya sudah dapat mengagak kebenaran situasi yang sedang berlaku di depan mata kepalanya sekarang.

Perlahan batang jari telunjuknya digerakkan ke hidung Encik Arif. Benar, tiada hembusan nafas dirasa. Dada Isha terasa bagai ditampar kuat berkali-kali. Sesak dan menyakitkan. Sejurus dua batang jarinya dialihkan pula pada urat nadi di leher Encik Arif. Tiada denyutan.

“Allah….ayah….” Menderu tumpah air mata Isha. Merambu-rambu bagai pili pecah.

Kembang-kembang penglihatannya dikaburi air mata, menatap wajah tenang Encik Arif. Wajah tenangnya yang bagaikan tersenyum, biarpun tanpa pergerakan nyata otot pipi yang menarik kedua hujung bibirnya untuk menghasilkan reaksi senyum secara jelas. Tersedu Isha menangis di situ sendirian. Terkilan kerana tidak berada di samping sang ayah, sewaktu tubuh tua itu sedang berhadapan dengan sakaratul maut.

Padahal baru sekejap tadi dia berbual mesra dengan lelaki itu. Baru sekejap tadi dia mengucup tangan hangat ayahnya. Baru sekejap tadi tangan kurus lelaki itu tertekap hangat di pipinya. Sekarang tubuh tua itu sudah terbaring kaku, sejuk dan dingin.

“Ayah….” Rintih hati Isha berulang-kali dalam deruan air mata yang mengalir deras.

“Isha? Dah gerak ayah bangun ke?” Soal Syara yang baru melangkah masuk ke bilik Encik Arif  setelah merapikan baringan Akmal di depan.

“Eh? Isha? Kenapa ni? Kenapa menangis ni?” Soal Syara cuak.

Hatinya mula diserbu perasaan takut melihat adik iparnya menangis teruk di samping Encik Arif yang kelihatan sedang lena dengan tenang.

“Ayah…dah tak ada…” Sahut Isha lambat-lambat, sambil memaksa diri memanggung kepala melihat kakak iparnya.

“Allahu Akbar….” Terasa lembut kedua kaki Syara menerima butir bicara yang keluar dari mulut adik iparnya.

 Dipandangnya tubuh Encik Arif yang terbujur tidak bergerak. Tidak percaya yang lelaki itu sudah tidak bernafas. Bumi terasa tersenget-senget dan berpusing-pusing. Syara mengambil masa beberapa saat sebelum kembali berpijak di alam realiti. Spontan diraih tubuh Isha ke dalam pelukannya.

“Ayah dah tingalkan kita kak….ayah dah tinggalkan Isha….ayah dah tinggalkan Isha….” Rintih Isha tertahan-tahan, bimbang suaranya bertukar menjadi satu raungan.

“Innalillahiwainnailaihi roji’un….” Ungkapnya perlahan sambil ikut menghamburkan air mata pilu.

“Inna….lillah….hiwainna….ilaihi roji’un…” Sambut Isha dengan suara yang tersekat-sekat.

Menangis berpelukan keduanya menghadapi perpisahan tersebut. Perpisahan yang begitu menyakitkan dan mencederakan sekeping hati.

 

ISHA menguis-nguis lesu nasi di pinggan. Makanan yang terhidang di meja direnung kosong. Beberapa hari telah berlalu sejak pemergian Encik Arif. Selera makan Isha masih juga belum pulih. Jauh sekali semangatnya. Cuti kematian yang diperuntukkan sudah tamat. Entah bagaimana dia mahu kembali bekerja. Wajah Encik Arif, senyumannya, baunya, kenangan-kenangan bersamanya masih rancak bermain di layar minda Isha setiap hari. Isha rindu.. rindu sangat-sangat.

“Isha… makanlah sikit… nanti masuk angin pulak perut tu…” Tegur Syara.

Aqmar Alif dan anak-anak yang berada di meja makan serentak mengalihkan pandangan kepada Isha.

“Ayah…redha anak-anak ayah… ayah… redha dengan Isha…dengan Alif…” Tiba-tiba Isha bersuara.

Berkerut dahi Aqmar Alif dan isterinya, cuba memahami butir bicara tiba-tiba terpacul di bibir Isha.

“Ayah…redha anak-anak ayah… ayah..redha dengan Isha…dengan Alif…” Ulangnya lagi.

“Maksud Isha?” Sola Aqmar Alif, masih kurang jelas dengan bicara adiknya.

“Itu…kata-kata terakhir ayah pada Isha…masa tu Isha tak faham…” Sahut Isha dengan air mata yang laju berguguran.

“A…ah… da…a..nak…a..nak…a..ah… a…ah…da…engan..sha..engan…a…if…” Terngiang-ngiang suara Encik Arif di telinganya.

“Allahhu Akbar…ayah….” Bergetar suara Aqmar Alif.

Rasa sedih dan rindu yang sangat mendalam mengasak keras hatinya. Dia sendiri tidak dapat menahan air mata mendengar kata-kata Isha. Ayah…

Malam menyaksikan, suasana keluarga Encik Arif yang dibalut hiba dengan pemergiannya. Pemergian seorang ayah, seorang datuk, yang dicintai setulus hati. Mudahan roh Encik Arif ditempatkan di kalangan orang beriman. Mudahan Allah merahmatinya.

 

JANGAN lupa pulak, petang nanti abang datang dengan Ustaz Abbas.” Pesanan ringkas dari aplikasi Whatsapp yang dihantar oleh Aqmar Alif dibaca dengan teliti.

Ok..” Isha membalas pendek.

Hampir dua bulan berlalu setelah arwah Encik Arif meninggalkan mereka sekeluarga. Sakit peritnya masih jelas terasa, tetapi pemergiannya diredhai dan kehidupan diteruskan dengan kiriman rindu melalui doa, sedekah dan amal lainnya untuk ayah tercinta. Mudahan dapat bertemu dan berhimpun lagi di negara abadi, ayah.

Fikiran Isha menerawang seketika sambil merenung mesej yang dihantar oleh abangnya. Masih terngiang-ngiang di telinganya berita yang disampaikan oleh lelaki itu.

 

“ISHA… panggil Fiya dengan Fina…, bawa mereka jumpa dengan Ustaz Abbas sekejap. Isha sekali.” Pinta Aqmar Alif pada adiknya yang sedang sibuk membantu Syara mengemas dapur.

Tetamu yang datang ke kenduri tahlil sudah beransur pulang. Hanya tinggal beberapa orang lelaki masih berbual dengan Ustaz Abbas di ruang tamu. Tangan Isha yang tadinya rancak menyental pinggan mangkuk di dalam sinki dengan sabun mula perlahan gerakannya. Isha memberikan perhatian kepada abangnya. Menanti kata-kata selanjutnya keluar dari bibirnya.

Aqmar Alif meredupkan pandangan matanya. Wajah bersih adik tersayang ditatap seketika. Nafas disedut perlahan, mencuri masa untuk menyusun kata.

“Isha.. hari tu, abang belum ceritakan pada Isha, sebab abang tak nak Isha jadi sedih, risau, atau fikir bukan-bukan…” Ujar Aqmar Alif perlahan.

Syara menyentuh lembut bahu Isha, mengisyaratkan supaya Isha meninggalkan kerja tersebut kepadanya. Dia sudah maklum dengan apa yang bakal disampaikan oleh suaminya itu. Isha menurut dan membersihkan tangannya.

“Cerita apa abang?” Soal Isha, kaget melihat wajah serius abangnya.

“Arwah ayah… masa meninggal.. abang dengan Ustaz Abbas perasan…ada kesan…tapak tangan warna hitam samar…dekat dada dia…” Jelas Aqmar Alif tanpa berselindung.

“Kesan tapak tangan?” Soal Isha kurang faham.

Aqmar Alif mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Kesan tapak tangan dekat dada dia, seolah-olah…macam kena tampar. Taklah jelas sangat tapi memang masih boleh nampak…” Terang Alif Aqmar lagi.

Isha mengerutkan dahinya, jantungnya mula berdetak laju, sudah dapat menangkap maksud abangnya. Berkemungkinan ada gangguan pada ayah mereka, atau lebih tepat lagi, kesan tapak tangan dari makhluk di alam sebelah sana. Mata Isha terasa panas digenangi air ata. Tidak semena-mena pula dia terbayangkan tangan yang menampar keras bahagian dada tubuh tua yang kurus tidak bermaya itu. Mesti sakit sangat. Ayah…

“Isha… apa pun yang jadi, semuanya dengan izin Allah. Tak ada makhluk yang boleh memudaratkan kita dengan kuasa mereka sendiri, kalau bukan dengan izin Allah..” Pujuk Aqmar Alif, sekaligus mengingatkan adiknya mengenai hakikat yang satu itu. Sudah dapat diteka apa yang sedang bermain di fikiran Isha berdasarkan riak wajahnya yang bertukar keruh.

“Cumanya, tugas kita sekarang, kita ikhtiarkan apa yang boleh, untuk elakkan gangguan-gangguan tu dari terus memudaratkan keluarga kita. Abang dah ceritakan semua gangguan yang berlaku pada Isha dan anak-anak. Mudahan Ustaz Abbas boleh bantu kita..” Jelasnya lagi.

Isha menyeka air mata dan mengangguk perlahan. Aqmar Alif mengusap kepala adiknya penuh kasih.

“Dah, pergi panggil budak-budak tu. Awak pun ikut ke depan ya, sayang.” Pintanya pada Syara.

Syara dan Isha masing-masing hanya menganggukkan kepala dan menurut tanpa banyak soal.

 

“BARANG semua abang bawa nanti. Isha sediakan air je.” Balasan mesej Aqmar Alif mematikan lamunan Isha.

Ok…” Laju Isha menaip membalas pesanan tersebut.

“Hish, orang tulis panjang-panjang, dia ok, ok kan je.” Bebel Aqmar Alif dalam pesanan ringkas Whatsapp tersebut.

Isha hanya membalas dengan pelekat comel yang menjelirkan lidah kepada abangnya. Pandangan dilepaskan ke luar tingkap kereta. Menjengah melihat sekiranya pelajar sekolah sekolah sudah mula keluar selepas tamat waktu persekolahan.

Masih tiada kelibat pelajar berpakaian seragam sekolah. Beberapa orang waris kelihatan sudah setia menunggu di kawasan parkir kereta di luar pagar sekolah. Ada yang menunggu di dalam kereta, ada juga penunggang motosikal yang berteduh di bawah pokok. Jam menunjukkan pukul 12.40 tengah hari. Masih ada 5 minit sebelum sesi persekolahan untuk pelajar tahun satu tamat.

Isha mengalihkan semula pandangan ke arah telefon bimbitnya. Aplikasi media sosial Facebook dibuka untuk menghilangkan bosan. Tiba-tiba matanya tertumpu pada satu poster iklan di laman Facebook tersebut. Poster pendaftaran kelas seni mempertahankan diri, Taekwondo, yang dibuka untuk pengambilan ahli baru. Bulat mata Isha melihat tempat dan tarikh yang tertera.

“Hah! Ada pun yang dekat. Alhamdulillah…. Bolehla hantar budak-budak tu.” Bebel Isha sendirian, teruja berpeluang mendaftarkan Fara Afiya dan Fara Afina ke kelas seni mempertahankan diri seperti yang diharapkan.

Suara riuh kanak-kanak sekolah yang mula keluar menarik perhatian Isha. Pantas ditekan butang kongsi pada pautan poster tersebut. Mudah untuk dia cari semula iklan itu nanti. Kemudian dia bingkas melangkah keluar dari kereta menuju ke pagar sekolah untuk mendapatkan Fara Afina.

Matanya dikecilkan, cuba mencari kelibat anak saudaranya itu. Semuanya nampak sama sahaja. Anak-anak comel bersaiz lebih kurang, dengan pakaian seragam sekolah putih, menyukarkan Isha untuk mengenal pasti Fara Afina dari luar pagar. Cari tak jumpa!

“Mama!” Tiba-tiba Fara Afina sudah memaut tangannya. Entah bila dia berdiri di situ pun Isha tak perasan.

“Eh…mama cari anak mama tak jumpa.” Tegur Isha sambil tersengih.

“Jom, kita balik dulu, sekejap lagi kita datang ambil kakak pulak.” Ajak Isha sambil mengangkat beg sekolah Fara Afina yang diseret gadis kecil itu.

 Sengaja dia mengambil cuti rehat hari itu. Saja nak rehatkan tubuh. Beberapa hari kebelakangan ini pinggangnya terasa lenguh. Mungkin kesan dari berulang alik jauh ke tempat kerja. Atau mungkin juga kerana dia sedang uzur. Lagipun esok dah cuti hujung minggu. Kebetulan Abang Alif dengan Ustaz Abbas pun nak datang ke rumah. Sempatlah juga dia berkemas serba sedikit.

“Mama tadi adik dapat seringgit ustazah bagi.” Riuh Fara Afina bercerita.

Belum sempat masuk kereta pun lagi!

“Ustazah bagi seringgit?” Soal Isha, melayan cerita si kecil.

Ha’ah. Ustazah bagi sebab adik jawab soalan betul.” Jawab Fara Afina ceria.

“Wahh…hebatlah anak mama. Bolehlah belanja mama aiskrim nanti.” Puji Isha sambil memimpin kemas tangan Fara Afina.

“Boleh!” Balas Fara Afina riang.

 

MACAM mana sekarang…, ada yang mengganggu lagi?” Soal Aqmar Alif setelah mereka semua duduk berbual di ruang tamu.

Ustaz Abbas tersenyum tenang di samping seorang lelaki yang turut datang bersamanya. Lelaki itu diperkenalkan sebagai anak didiknya, Luqman.

Err…Alhamdulillah lepas balik dari rumah abang hari tu, tak adalah Isha nampak-nampak apa-apa lagi. Budak-budak pun tak ada mengadu mimpi yang bukan-bukan… cuma…” Kata-kata Isha terhenti seketika, berfikir-fikir sama ada apa yang dialami itu juga dikira sebagai gangguan.

“Cuma apa Isha?” Soal Aqmar Alif tidak sabar. Risau dia dengan keselamatan adik dan dan anak-anak saudaranya.

“Cuma.. err… malam-malam…, err…lewat malam.., selalu ada dengar bunyi macam orang tarik-tarik dan alihkan perabot yang berat… berulang kali. Kadang ada pula bunyi macam dinding sebelah ni diketuk-ketuk dengan benda yang tumpul. Berulang kali jugak. Lepas tu kadang ada pulak bunyi macam orang lantun-lantunkan guli kat lantai. Err…tapi…, tak tahulah kalau err..anak-anak jiran sebelah ni yang main…” Jelas Isha. Dia sendiri kurang pasti dengan apa yang didengarnya.

Aqmar Alif mengerutkan dahinya.

“Takkanlah alih perabot malam-malam kut. Hari-hari ke?” Soal Aqmar Alif lagi.

Err boleh kata hampir setiap malam jugaklah…” Adu Isha jujur. Memang tidurnya agak terganggu dengan bunyi-bunyian tersebut.

“Dengar dari rumah sebelah?” Ustaz Abbas bersuara.

“Ya, ustaz.. err….lepas tu…, satu lagi… err..saya kerap ada rasa macam pergerakan dalam perut…” Adu Isha lagi.

Sememangnya dia agak bimbang dengan gejala yang satu itu. Risau kalau-kalau dia akan mengalami nasib yang sama seperti Kak Leeya. Masih jelas di matanya bagaimana kakak kesayangannya itu meraung-raung dan berguling-guling kesakitan setiap kali penyakitnya menyerang. Jelas terzahir betapa siksanya azab penderitaan yang ditanggung sekujur tubuh lemah itu.

Ustaz Abbas mengangguk-anggukkan kepala tanda faham dengan keadaan Isha. Riaknya masih tenang bersahaja. Sejurus Luqman mula mengeluarkan barang-barang yang mereka bawa dari dalam plastik. Isha hanya memerhatikan lelaki itu mengopek 3 biji buah kelapa muda yang diletakkan di atas surat khabar.

“Itu kejap lagi mesti akulah yang nak kena minum tu..” Getusnya sendiri dalam hati, sudah dapat mengagak apa yang akan berlaku.

Arwah Kak Leeya dulu pun dirawat dengan menggunakan kaedaah yang sama. Isha menelan liur.

“Jenuh jugak nak menghabiskan 3 biji air kelapa tu. Mahu kembung perut aku ni nanti.” Leternya lagi sendiriaan dalam hati.

Isha bukanlah seorang penggemar air kelapa muda. Tetapi, kalau coconut shake, dia minum pula! Itupun selepas puas dikecek oleh Kak Leeya untuk cuba merasa terebih dahulu. Boleh tahan sedap juga rasanya. Ala-ala chocolate ice blended kegemaran Isha. Nak-nak lagi, apabila ditambah dengan krim putar, aiskrim vanilla dan chocolate rice di atasnya. Fuh! Lazat.. 

Isha ingat lagi, bagaimana susahnya ibunya memujuknya untuk meminum segelas air kelapa muda sewaktu dia diserang demam campak yang agak teruk. Ketika itu, usianya lebih kurang sebaya dengan Fara Afina sekarang. Dalam demam-demam pun, banyak pula tenaganya berlari keliling rumah, semata-mata kerana tidak mahu minum air kelapa tersebut. Berkejar pula abang Alif dan Kak Leeya mengepungnya. Kecoh satu rumah!

Itu belum lagi dikira waktu Puan Leha menyuruhnya makan jeli gamat sebagai ikhtiar merawat sakit gastrik yang dialaminya. Entah macam mana tiba-tiba dia boleh pandai panjat pokok pulak. Lepas tu, tak pandai nak turun. Mujurlah pokok di halaman belakang rumah neneknya itu rendang sahaja. Terpaksa pula Abang Alif ikut memanjat untuk mendapatkannya, dengan Encik Arif menyambut dari bawah. Hai…Isha..Isha..

Isha tersenyum sendiri mengenangkan memori lucu tersebut. Sempat pula dia mengelamun ketika orang lain sibuk dengan rawatan.

“Nah…minum air kelapa ni.. baca Fatihah, 3 Qul, selawat 7 kali. Niatkan dalam hati mohon kepada Allah supaya air kelapa ni jadi penawar bagi segala penyakit dan racun bagi segalan gangguan jin dan syaitan yang ada dalam badan…” Arah Ustaz Abbas sambil menghulurkan buah kelapa yang telah siap dikupas dan dibacakan ayat-ayat suci al Quran.

Isha menyambut huluran tersebut lalu membaca surah Al Fatihah, Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas, diikuti dengan selawat. Seterusnya diniatkan memohon kesembuhan dari Allah Subhanahuwata’ala lalu diteguknya air kelapa tersebut perlahan-lahan. Baru beberapa teguk sahaja air yang melepasi kerongkongnya, Isha sudah terasa mual. Mungkin sebab dia tidak berapa gemar akan rasanya. Beberapa kali juga dia berhenti lama sebelum meneruskan minum.

Setelah habis sebiji kelapa, Luqman menghulurkan sebiji lagi kelapa kepadanya. Isha teragak-agak hendak menyambutnya. Dikerlingnya sekilas pada sebiji lagi kelapa yang berada di depan Ustaz Abbas.

“Aduh…jenuh nak telan semua ni…” Sungutnya sendirian dalam hati.

Isha menyambut hulurannya lambat-lambat kemudian meneguknya perlahan. Selepas beberapa tegukan awal dari buah yang kedua, kepala Isha mula terasa pening. Isi perutnya terasa bergelodak mahu meluru keluar. Spontan mulutnya ditekup. Luqman menghulurkan baldi yang sudah siap disediakan di situ kepada Isha.

“Kalau rasa nak muntah, muntah je.., tak apa…jangan tahan…” Ustaz Abbas bersuara lembut.

Kelam kabut Isha mencapai baldi tersebut lalu dimuntahkan segala isi perut yang sedari tadi tak sabar-sabar mahu keluar. Kalau nak alri ke tandas pun tak sempat lagi dah ni!

Urghh! Uhuk!” Terbatuk-batuk Isha muntah ke dalam baldi.

Syara mengusap belakang adik iparnya perlahan. Akmal yang sedang duduk di ribaannya turut mengusap belakang Mama Chunya, mengikut perlakuan ibunya. Fara Afiya, Fara Afina, dan Ammar yang turut bersila di samping mereka hanya diam terkebil-kebil melihat apa yang sedang berlaku. Isha perasan muntahnya di dalam baldi kelihatan berbuih-buih dan berlendir.

“Kalau dah rasa ok sikit, boleh cuba habiskan perlahan-lahan..” Ustaz Abbas bersuara lagi.

Isha memanggungkan kepalanya, kemudian memandang Syara yang mengusapnya dengan wajah sedih.

“Kena habiskan ke…” Bicara matanya dengan Syara, meminta simpati.

Syara tersenyum dan menganggukkan kepalanya sambil menepuk-nepuk perlahan tubuh Isha. Faham dengan muka sedih adik manjanya itu. Mahu tak mahu, berjaya juga Isha habiskan 3 biji air kelapa tersebut. Itupun berapa kali terhenti kerana diaa tidak dapa menahan muntah. Tetapi Alhamdulillah…dengan izin Allah, perutnya terasa lebih selesa selepas rawatan. Kepala dan tubuhnya juga terasa lebih ringan.

Seterusnya Ustaz Abbas meminta Fara Afiya dan Fara Afina mendekatinya. Diletakkan tapak tangan kanannya ke atas kepala Fara Afiya. Ayat-ayat suci al Quran dialunkan dengan kuat dan teratur. Kemudian dia meniup ubun-ubun gadis kecil itu perlahan. Kaedah yang sama diulang pada Fara Afina yang terpejam-pejam matanya kerana takut. Entah apa yang sedang bermain dalam fikirannya. Mujur pula dia tidak mengikut perangai mamanya masa kecil. Kalau tidak, kecoh pula mereka mahu menghambatnya keliling rumah untuk berubat.

“Air ni nanti buat minum… yang ni buat mandi. Boleh campur dengan air dan mandi pada bilasan terakhir. Buatlah kamu tiga-tiga beranak.” Pesan Ustaz Abbas.

Mereka yang lain hanya menganggukkan kepala tanda faham dengan arahan yang diberi. Seterusnya Ustaz Abbas, Luqman, dan Aqmar Alif mengelilingi rumah dengan tujuan memagar rumah. Garam kasar dan lada hitam digunakan dalam kaedah rawatan ini. Setelah selesai semua rawatan, Ustaz Abbas dan Luqman meminta diri untuk pulang. Sempat dia menitipkan pesan kepada keluarga itu untuk mengamalkan bacaan surah Al Baqarah di dalam rumah.




No comments:

Post a Comment