Tuesday, May 28, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 9)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 9

HUD Hurairah berteleku panjang di sejadah. Naskhah al Ma’thurat di tangannya dibelek-belek. Helaian demi helaian naskhah  itu diselak perlahan. Pergerakannya terhenti di kulit belakang naskhah tersebut. Jelas tertera tulisan indah di situ.

“Selamat Hari Guru Cikgu Hud. Ikhlas, Alya Alisha Arif.”

Hud Hurairah tersenyum sendiri. Naskhah bersaiz sederhana nipis itulah yang dibacanya setiap hari, pagi dan petang, sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu. Sejurus tangan kanannya bergerak pula meraut janggutnya yang sudah tinggal sejemput di hujung dagu. Entah dari mana datangnya satu macam semangat baru dari dalam jiwanya. Semangat yang bagaikan sudah lama terbang hilang, bersama pemergian isteri dan anak-anaknya.

Awal pagi lagi dia sudah sibuk bercukur. Licin sudah jambang dan kumisnya. Hanya janggut sejemput yang dirapikan kemas sahaja yang ditinggal, buat penyeri wajah. Sekejap lagi dia akan ke kedai pula untuk menggunting rambut yang terbiar panjang tanpa sedar.

Mana tidaknya, nafsunya untuk menikmati hidup bagaikan sudah terkikis nipis. Bercukur dan bergunting pun hanya sesekali. Pakaiannya pun hanya mana yang sempat sahaja. Boleh dikatakan semuanya berwarna hitam. Setiap hari pula tu. Mujurlah ada nikmat Islam dan iman yang dikurniakan Penciptanya. Jika tidak, mungkin dia sudah tenggelam hanyut dalam badai ujian dunia.

Seluruh masanya hanya dihabiskan untuk menguruskan pusat tuisyen persendirian miliknya. Selain mengisi ruang kosong dalam hidupnya dengan suatu misi yang diikrarkan sebagai matlamat utama hembusan nafasnya. 

Naskhah tersebut ditutup lalu dia bangun meletakkannya di atas meja tulisnya. Di situ pandangannya terhenti pula pada sebuah album kecil yang disusun kemas bersama deretan buku lain di mejanya. Album tersebut dicapai, lalu kerusi ditarik dan dia melabuhkan punggungnya di situ. Album di tangan dibuka perlahan. Tersenyum-senyum sendiri dia melihat gambar-gambar kenangan yang terpamer di situ. Kenangan di sebuah perkhemahan sewaktu dia mengajar di SMK Tengku Khadijah.

 

HARI itu merupakan hari pertama sesi perkhemahan Kelab Pembimbing Rakan Sebaya yang disertainya sebagai salah seorang guru penasihat. Perkhemahan yang diadakan di sekolah itu sendiri selama 2 hari 1 malam dimulai dengan sesi bacaan doa dan taklimat ringkas mengenai aturcara dan perjalanan perkhemahan. Semua pelajar diarahkan berkumpul di tapak perhimpunan sekolah.

Dari jauh lagi dia sudah nampak gula-gula hatinya, Alya Alisha Arif. Puas dia menidakkan rasa hati pada gadis yang jauh lebih muda daripadanya itu. Jarak usia mereka berdua adalah sekitar 10 tahun. Kedudukannya sebagai seorang guru juga membuatkan dia berasa kurang profesional untuk menyimpan perasaan begitu.

 Tetapi apakan daya, sebaik sahaja matanya menangkap kelibat gadis itu, bagaikan diformat secara automatik, laju sahaja dia akan mengusik. Di setiap kesempatan yang ada. Bagai berlaku litar pintas seketika pada sistem tubuhnya. Sewenangnya sahaja bergerak dan bertindak tanpa keizinan akal waras.

Jujurnya, selama 27 tahun hidupnya, dia tidak pernah perlu untuk berdepan dengan urusan hati seperti itu. Ini adalah kali pertamanya. Gadis itu adalah cinta pertamanya.

Alya Alisha Arif adalah gadis pertama yang berjaya membuatkan jantung seorang Hud Hurairah berdetak dengan rentak degupan yang aneh. Usah ditanya kenapa, kerana dia sendiri pun tidak punya jawapannya.

Pelajar perempuan itu duduk di atas tar di tapak perhimpunan dalam barisan bersama ahli kumpulannya yang lain. Senyap-senyap Hud Hurairah menyertai barisan pelajar tersebut. Kemudian dia memulakan misi nakalnya untuk mengusik gadis tersebut. Batu-batu kecil di sekitar tempat dia duduk dikumpulkan lalu mula dituju perlahan pada gadis itu. Satu, dua, tiga, empat…gadis itu mula memberi reaksi. Dia berkalih ke kiri dan kanan mencari arah datangnya batu-batu kecil tersebut.

Kemudian dia menghadap ke depan semula, menumpukan perhatian pada guru yang sedang berucap di pentas. Sekali lagi Hud Hurairah membaling ketulan batu kerikil halus pada gadis itu. Kali ini Isha berpusing ke belakang. Dia nampak Cikgu Hud yang tidak sempat bersembunyi di belakang pelajar lelaki di depannya. Isha mengerutkan dahinya.

“Dah kenapa orang tua ni main baling-baling batu. Buang tebiat agaknya.” Dengusnya sendiri.

Dia berpaling semula ke depan sambil mengulum senyum. Padanlah dari tadi dah rasa berdebar-debar. Ada rupanya dia dekat situ. Fenomena debaran ganjil yang melanda dirinya walaupun belum terzahir kelibat guru lelaki tersebut masih kekal sebagai satu misteri yang menjadi tanda tanya untuk dirinya.

Macam ada sixth sense pula. Malangnya kuasa ajaib tersebut hanya berkisar pada seorang lelaki sahaja. Spesifiknya, Cikgu Hud. Aduhai…yang aneh-aneh sahaja kau, hati!

“Alya Alisha Arif…! Alya Alisha Arif…!” Tidak berpuas hati melihat gadis itu berpaling dan tidak mengendahnya, dipanggil pula namanya dengan suara yang rendah.

Gelagatnya betul-betul seperti pelajar remaja yang nakal. Guru sibuk bercakap di depan, dia pula sibuk bising di belakang.

Isha menoleh ke belakang setelah mendengar namanya dipanggil. Bulat bola matanya melihat Cikgu Hud mengangkat seketul batu besar pula lalu mengacah untuk membaling kepadanya. Tersedak pelajar-pelajar yang perasankan drama pendek tersebut menahan ketawa. Isha sendiri jenuh mengetap bibir menahan tawa dari terledak.

“Yang bukan-bukan ajelah orang tua ni…” Bebel hatinya berbunga riang.

 

ACARA pertama untuk pagi itu ialah permainan explorace. Pelajar-pelajar yang telah dibahagikan mengikut kumpulan dikehendaki mencari kad petunjuk dalam stesen-stesen permainan yang disediakan.

Cikgu Hud sepatutnya ditugaskan menjaga stesen kedua bersama 2 orang lagi pelajar. Tapi entah kenapa, sibuk sahaja dia mengekor kumpulan Isha ke setiap stesen dengan mengilik kamera digital miliknya. Alasannya mahu mengambil gambar aktiviti untuk direkodkan. Dari stesen pertama lagi dia sudah sibuk menjengah dan mengusik para peserta, terutamanya Isha.

Di stesen itu, peserta dikehendaki menangkap beberapa ekor ayam yang berkeliaran di sekitar reban ayam di kawasan rumah kampung di luar pagar belakang sekolah. Entah bagaimanalah pihak sekolah berjaya memujuk tuan ayam untuk berkerjasama. Kad petunjuk ada diikatkan pada kaki ayam-ayam tersebut. Jadi mereka perlu menangkap dan menanggalkan dan mengumpulkan kad-kad itu dari kaki ayam-ayam tersebut. Apa lagi, terjerit-jeritlah peserta perempuan keliling reban lagenda tersebut. Entah mengejar ayam, entah dikejar ayam, sukar untuk dipastikan. Riuh stesen 1 dengan hiruk pikuk ayam yang berlarian dan berterbangan.

Geram betul Isha dengan Cikgu Hud. Setiap kali Isha cuba mendekati ayam untuk ditangkap setiap kali itu jugalah dia sibuk berkokok kuat-kuat sehingga mengejutkan ayam tersebut. Selepas itu dia ketawa mengekek suka hati. Hampir setengah jam juga baru kumpulan mereka berjaya mendapatkan semua kad petunjuk tersebut. Mujur sahaja Isha dapat mengawal diri dari menyumbat telur ayam ke mulutnya!

Setelah itu kumpulan Isha berkejar ke stesen ketiga yang masih belum diserbu kumpulan lain. Stesen ketiga ini ditempatkan di kawasan padang sekolah. Di stesen ini, mereka perlu menyelupkan tangan ke dalam tong bertutup untuk mendapatkan kad-kad petunjuk yang tersembunyi di dalamnya. Rupa-rupanya ada segenggam cicak yang diletakkan bersama di dalam tong tersebut. Apa lagi, terpekik-pekiklah peserta perempuan yang kegelian. Tidak kurang juga beberapa pelajar lelaki yang alah dengan haiwan tersebut.

Isha yang juga seperti peserta perempuan lain dalam kumpulannya, menjauhkan diri dari tong tersebut dan berharap kepada ahli kumpulan lelaki untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Tetapi boleh pula Cikgu Hud mengusik dan mengejarnya keliling padang dengan mengacahnya dengan cicak yang dipegang. Sabar je lah Isha!

Seterusnya mereka beralih ke stesen kedua di kawasan sebelah sekolah. Ada kawasan parkir kenderaan awam yang berlecak teruk. Mereka dikehendaki mencari kad-kad petunjuk yang disembunyikan di dalam lecak tersebut. Terpaksalah masing-masing menanggalkan kasut untuk mengelakkan dibasahi dan dikotori lumpur. Menggeliang-geliut tubuh Isha menahan geleman apabila Cikgu Hud mengusik bahawa ada pacat di kakinya.

Selesai tugasan tersebut, Isha tidak berjumpa mencari kasutnya. Mujurlah fasilitator yang menjaga stesen tersebut mengisyaratkan bahawa kasutnya disembunyikan Cikgu Hud. Bila Isha minta kasutnya dari Cikgu Hud, guru itu menyuruhnya untuk menyanyi terlebih dahulu pula. Langsung Isha bedal menyanyi lagu ‘Bangau oh Bangau’ dengan nada sumbang. Geram tak habis dia dengan gurunya itu.

“Amboiii…marahnya bangau ni…. Garang betul!” Sakat Hud Hurairah sambil mengekek suka.

“Nah, nah…ambillah kasut ni bangau…” Katanya sambil berlutut sebelah kaki menyusun kedua belah kasut Isha di depan kakinya.

Spontan terundur setapak Isha ke belakang. Pelajar-pelajar lain pula sibuk bersiul dan bersorak melihat drama mereka. Ada juga yang bertepuk tangan. Tak tahu mana Isha nak sorokkan muka. Guru-guru penasihat yang lain hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum. Mujurlah hari itu memang dianjurkan untuk mereka bersantai dan berhibur.

 

“EH jomlah, kita ambil nasi. Kau orang tak lapar ke?” Soal Lina sambil bangun dan mengibaskan-ngibaskan seluar di bahagian punggung.

Seha ikut bangun untuk mengambil makanan tengah hari yang diedarkan oleh fasilitator.

“Kau orang pergilah dulu. Sekejap lagi aku dengan Diana pergi. Malas nak berebut, ramai lagi orang tu.” Sahut Isha yang masih duduk di batu, menghilangkan lelah.

Diana hanya menganggukkan kepalanya menyetujui kata-kata Isha. Lina dan Seha terus bergerak untuk menyertai rakan-rakan lain yang sedang beratur panjang. Perut sudah berkeroncong minta diisi. Belum sampai seminit mereka beredar, tiba-tiba Diana bangun berdiri.

“Aku pergi beratur dululah. Itu…kau punya nasi dah sampai…” Ujarnya sambil mengisyaratkan Cikgu Hud yang sedang berjalan menuju ke arah mereka.

Belum sempat Isha yang sedang terpinga-pinga itu menyahut, Diana sudah meninggalkannya.

Haa… haa…awak nak lari mana tu. Duduk sini makan dengan saya. Ini, saya bawakan nasi awak.” Pantas Cikgu Hud bersuara dari jauh, membantutkan pergerakan Isha yang baru berdiri mahu melarikan diri.

Isha tersengih sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Aduh…perut dahla lapar ni… macam mana nak makan elok-elok dengan jantung duk jamming macam ni. Telan pun tak lepas masuk macam ni…” Isha menangis dalam hati.

Err…cikgu tak makan dengan cikgu-cikgu yang lain ke?” Soal Isha.

Setahunya para guru makan secara buffet di kantin sekolah. Tidak seperti pelajar yang disediakan nasi bungkus dan makan di sekitar kawasan perkhemahan.

“Tak…saya nak makan dengan awak.” Jawab Hud Hurairah selamba.

“Nah, jom makan.” Ujarnya lagi sambil menghulurkan bungkusan nasi kepada Isha.

Penutup botol air mineral dibuka lalu dia menghulurkannya kepada Isha. Isha mengangkat kening, tidak faham. Botol itu cuba dicapai tetapi Hud Hurairah segera melarikan botol tersebut.

“Tangan awak….” Ujar Hud Hurairah.

“Tangan?” Isha mengunjukkan tangannya.

Hud Hurairah menjiruskan air ke tangan Isha dengan cermat. Baru Isha faham dan segera membasuh tangannya dengan air yang dituangkan. Kemudian barulah Hud Hurairah membasuh tangannya sendiri. Isha masih diam memegang bungkus nasi sambil memerhatikan guru muda itu. Hud Hurairah membuka bungkusan nasinya.

“Eh? Makanlah… kenapa…awak nak saya suapkan ke?” Soalnya apabila Isha hanya memerhatikannya bingung.

“Sini saya suapkan.” Ujarnya mengacah mahu mengambil bungkusan nasi di tangan Isha.

Laju Isha melarikan nasinya lalu cepat-cepat membuka bungkusan tersebut dan menyuapkan nasi ke mulut. Hud Hurairah tertawa kecil melihat tingkahnya.

“Baca Bismillah tak tu…?” Soalnya dengan ketawa yang masih berbaki.

Isha terdiam sebentar. Kemudian perlahan dia berbisik,

“Bismillahirrahmanirrahim…Bismillahi ‘awwalahu wa ‘akhirahu…”

Memang pun dia terlupa. Kelam kabut sangat nak suap nasi ke mulut.

Mereka berdua diam menikmati makan tengah hari. Cikgu Hud yang nampak leka menyuapkan makanan ke mulut membuatkan Isha dapat makan dengan lebih selesa. Laju dia mengisi perut yang lapar. Hilang sekejap gementarnya. Sedikit pun dia tidak perasan, yang Hud Hurairah acap kali mencuri-curi memandangnya.

Dalam dia leka menikmati makanan itu, Hud Hurairah meletakkan seketul ayam goreng berempah dari bungkusannya ke dalam bekas makanan Isha dengan bersahaja. Kemudian diteruskan menyuap nasi ke mulut seperti tiada apa yang berlaku. Langsung dia tidak memandang Isha yang terkebil-kebil merenung ayam dan wajahnya silih berganti. Isha mencubit ayam tersebut perlahan, menggaulkannya dengan nasi, lalu menyuapkannya ke mulut lambat-lambat. Dadanya yang tadinya baik-baik sahaja, kembali mengatur detak berdebar. Debaran aneh itu.

“Kenyang?” Soal Hud Hurairah sambil menyuakan botol air ke tangan Isha untuk memudahkan gadis itu mencuci tangan seperti awal tadi.

Aduhai… cair hati Isha dibuatnya.

Isha mengangguk-anggukkan kepalanya laju.

“Alhamdulillah….” Ujar Hud Hurairah.

Dihulurkan sebotol lagi air mineral yang siap dibuka penutupnya kepada Isha. Isha menyambutnya dan meneguknya perlahan.

“Cikgu kenapa suka buli saya?” Tiba-tiba terpacul soalan tersebut dari mulut Isha.

Isha menoleh ke kiri dan kanan.

“Aku ke yang cakap tu tadi?” Soalnya sendiri dalam hati.

Mulutnya dipekup. Inilah masalahnya bila suka berdialog sendiri dalam hati. Entah macam mana boleh terlepas keluar. Hud Hurairah tersengih mendengarkan soalannya.

“Awak…betul ke nak tahu kenapa?” Soalnya kembali dengan pandangan nakal.

Spontan Isha berdiri terpacak seperti ahli  kadet yang diarah masuk barisan.

Err..saya..tu..nak pergi  solat. Saya pergi dulu.” Ujar Isha Tergagap-gagap.

Langsung dia berlari meninggalkan gurunya itu. Mujur tak tersembam ke tanah kerana kalut mengatur langkah dengan kepala lutut yang menggigil. Hud Hurairah tersengih-sengih sendiri melihat tingkahnya.

 

MALAM itu, setelah solat berjemaah dan program ceramah agama, mereka dijadualkan untuk menjalankan aktiviti ‘burung hantu’, di mana peserta akan di bawa ke suatu tempat kemudian ditinggalkan di situ dalam keadaan mata bertutup untuk satu tempoh masa. Aktiviti ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan dan keberanian. Sebenarnya para peserta tidaklah ditinggalkan bersendirian di tempat terpencil. Para guru dan fasilitator sentiasa ada mengawasi setiap seorang peserta.

Cumanya suasana disiapkan seolah-olah mereka ditinggalkan bersendirian di tempat-tempat tersembunyi, ala-ala P.Ramlee, Ajis, dan Sudin ketika belajar bertapa dengan Pendekar Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Ok…saya harap kamu semua dapat menjaga tingkah laku, jaga mulut… jangan cakap besar… jangan sembarangan menyahut jika ada yang memanggil atau mengajak berbual… kalau ada dengar bunyi-bunyi…, atau ada bau-bauan jangan ditegur… banyakkan berzikir. Ingat kata laluan rahsia masing-masing.. Ikut arahan dan laluan yang ditunjukkan oleh fasi yang memberikan kata laluan rahsia sahaja. Jangan ikut kalau dia tak dapat bagitahu kamu. Kita tak nak ada pelajar yang tersesat sampai ke ‘tempat’ lain kerana tersalah ikut ‘fasi’.  Ketua fasilitator menyampaikan arahan dengan wajah serius.

Sengaja mahu menghidupkan suasana dan bermain dengan keberanian peserta menggunakan kaedah psikologi. Peserta-peserta perempuan ada yang sudah berkerut wajah mahu menangis. Kalau diberi pilihan, mungkin ada yang sudah lari balik rumah.

“Cikgu! Kain ikat mata tak cukup.” Laung Lina pada Cikgu Hud.

Hud Hurairah bergegas menuju ke arah kumpulan Isha sambil tersenyum kacak. Senyuman yang menjadi igauan pelajar-pelajar perempuan, tidak lupa juga guru-guru wanita yang masih bujang.

“Siapa yang belum dapat?” Soalnya pada kumpulan tersebut.

“Isha cikgu! Isha belum dapat.” Sahut Lina sambil menunjuk ke arah Isha.

Geram pula Isha dibuatnya dengan si budak Lina ni. Sepatutnya kain yang dipegang itu Isha yang ambil dulu tadi. Hud Hurairah menghampiri Isha lalu menggerakkan jari telunjuknya, mengisyaratkan Isha supaya berpusing membelakanginya. Dia sendiri yang mengikatkan kain penutup mata itu pada gadis itu. Bersorak pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di situ melihat mereka.

Ok…kita akan mulakan aktiviti kita sekarang.” Jelas suara ketua fasilitator menyampaikan arahan setelah semua peserta siap menutup mata.

“Minta kata laluan dari penunjuk arah anda…dan ikut mereka.” Arahnya lagi.

Seorang demi seorang peserta di bawa oleh para guru dan fasilitator mengikut giliran. Sengaja mereka dibawa berpusing-pusing di kawasan sekolah sebelum ditempatkan di padang sekolah beramai-ramai. Peserta yang patuh dengan arahan untuk tidak bercakap dan mengeluarkan sebarang bunyi membuatkan mereka tidak dapat meneka yang mereka hanya diletakkan tidak jauh antara satu sama lain.

“Ikut saya…” Isha mengecam suara Cikgu Hud yang menegurnya.

“Kata laluan.” Sahut Isha, menurut arahan permainan.

Dalam hati dia takut juga, kalau-kalau ada entiti yang menyerupai atau meniru suara gurunya itu. Tak memasal pula dibawa ke alam bunian nanti.

Dup dap dup dap jantung saya.” Balas Hud Hurairah.

Isha terkesima sebentar.

“Siapalah yang cipta kata laluan ni. Teruk betul!” Sungutnya dalam hati.

“…bila nampak awak.” Tetap juga dia menyambung kata laluan yang diucapkan oleh Hud Hurairah.

Sudah  pastilah dia tidak nampak betapa lebarnya sengih gurunya itu yang seronok menyakatnya ketika itu.

“Pegang ni, ikut saya.” Ujar Hud Hurairah dengan nada serius.

Sebatang ranting pokok bersaiz sederhana dikenakan pada belakang tangan Isha. Teraba-raba Isha memegang ranting tersebut sebelum melangkah mengikut Hud Hurairah.

“Jaga, ada longkang. Langkah besar sikit.” Ujar Hud Hurairah memberikan arahan.

Isha hanya menurut dan melangkah luas-luas padahal mereka sedang berjalan di tanah rata.

“Tunduk kepala awak, ada dahan pokok kat depan.” Ujar Hud Hurairah lagi.

Isha menundukkan kepalanya. Lucu betul aksinya. Hud Hurairah mengatup mulut dengan tangan. Bimbang terlepas tawa melihat gelagat Isha yang dirasakannya sangat comel. Puaslah dia membuli Isha semahunya malam itu.

Ok..dah sampai… saya akan tinggalkan awak kat sini. Awak duduk diam-diam, jangan pergi mana-mana atau ikut siapa-siapa. Sekejap lagi saya datang ambil awak balik. Jangan berhenti berzikir…” Pesannya pada Isha yang dilihatnya sudah mula memucat wajahnya.

Padahal dia langsung tidak meninggalkan Isha. Sengaja dia membuat bunyi seolah-olah sedang melangkah pergi, sebelum kembali dan duduk di depan Isha senyap-senyap. Sesekali dia menghembuskan angin ke pipi gadis itu perlahan. Sengaja mahu mengusik. Kemudian sengaja pula dia buat bunyi menangis sayu perlahan di belakang Isha.

Ada juga dikuis-kuis tangan gadis itu dengan hujung rumput. Sampai naik biru ketakutan Isha dibuatnya. Kalau dia tahu lelaki itu yang mengusiknya, mungkin sudah dikejarnya keliling padang. Tersengih-sengih dia melihat bersungguh mulut Isha terkumat-kamit berzikir. Ditatapnya wajah indah gadis itu sepuas hati. Dibiarkan debaran aneh di dadanya berlagu riang. Malam itu malam yang membahagiakan, untuk seorang Hud Hurairah.




No comments:

Post a Comment