Thursday, May 30, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 12)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 12

“TUNGGU dulu sayang, mama bukakan pintu.” Pesan Isha, menghalang anak-anak perempuan itu dari terus membuka pintu kereta.

Bimbang pula terkena kereta sebelah-menyebelah yang diparkir agak rapat dengan kereta mereka. Isha pantas mematikan enjin kereta lalu mencapa beg tangannya. Pintu kereta dibuka untuk puteri-puteri kecil itu sebelum memimpin tangan mereka erat melintas jalan bersama-sama. Lehernya dipanjangkan, tercari-cari papan tanda Pusat Akademi Latihan Taekwondo di antara deretan lot kedai di situ.

Terjenguk-jenguk Isha di sebalik pintu utama pusat latihan tersebut.

“Ya puan, silakan…puan nak mendaftar ya?” Tegur seorang lelaki ramah.

“Cikgu!” Spontan Fara Afiya berteriak, teruja.

“Eh! Fara…” Sahut Cikgu Haidar dengan riak terkejut.

“Oh…Fara dengan adik nak belajar taekwondo kat sini ya…” Sambungnya lagi sambil melemparkan senyuman manis kepada keluarga kecil itu.

Macam berjodoh pula…

Err…cikgu…mengajar kat sini ke?” Soal Isha.

Fara Afiya tersengih-sengih malu. Fara Afina pula sejak tadi menarik seluar Isha sambil bersembunyi di belakangnya. Mujurlah seluarnya diikat ketat. Kalau tidak, mahunya terlucut pula di situ!

Err..ya.. err…saya berkongsi buka pusat latihan ni dengan abang saya. Kami berdua yang akan melatih pelajar-pelajar di sini dengan bantuan pelajar-pelajar senior kami. Kelas tertunda sekejap semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tempoh hari. Ini baru nak mula semula. Jadi kami ada buka pendaftaran untuk pengambilan pelajar baru.” Terang Cikgu Haidar panjang lebar. 

Isha mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

Err..eh marilah kita masuk  ke pejabat untuk  urusan pendaftaran. Puan…err…cik nak daftarkan kedua-dua beradik sekali ke?” Soal Cikgu Haidar mesra.

Senyuman manis tak lekang dari bibirnya. Senyuman yang boleh menggetarkan jiwa para gadis. Apa nak buat…, suami orang..

Err…ya betul…nak daftarkan kedua-duanya sekali…” Sahut Isha tergagap.

Tangannya mula meraba dan menggosok loket rantai lehernya di dalam tudung. Satu kebiasaan luar sedar Isha apabila penyakit menggelabahnya menyerang.

“Dah kenapa pula jantung kat dalam ni nak berdebar-debar sangat ni…” Rungutnya sendirian.

Ok… kalau untuk pelatih adik-beradik kita ada diskaun…. Hah! Along.” Bicara Cikgu Haidar tiba-tiba terhenti sambil matanya melirih ke arah lelaki yang entah sejak bila berdiri di belakang Isha.

Spontan Isha dan anak-anak buahnya berpaling ke arah yang sama.

“Pak Cik!” Sekali lagi Fara Afiya laju menegur susuk yang ternyata dikenalinya itu.

Besar mata Isha memandang lelaki tersebut. Serta merta rentak nafasnya yang tadinya teratur menjadi kacau bilau.

Err…cik..kenalkan, ini abang saya. Hud Hurairah.” Ujar Cikgu Haidar sambil tersengih.

“Cik Isha…” Tegur Hud Hurairah dengan wajah selamba.

Langkah diatur kemas merapati adik lelakinya.

“Adik saya… Haidar Huzaifah..” Ujarnya ringkas, sambil memaut bahu Cikgu Haidar.

“Patutlah….” Gumam Isha sendirian dalam hati.

Kehadiran Hud Hurairah di situ menjelaskan secara mudah, kenapa jantungnya sibuk mahu berdebar semacam. Seperti kebiasaannya apabila berdepan dengan lelaki itu. Sejak dulu. Nampaknya kebolehannya yang satu itu masih berfungsi.

Berkerut-kerut dahi Isha memandang kedua beradik yang sedang tersengih di hadapannya. Padanlah Isha agak tertarik dengan Cikgu Haidar sebelum ini. Wajahnya seiras benar dengan Hud Hurairah, terutamanya senyumannya. Adik-beradik rupanya…

Wajah Hud Hurairah kelihatan bersih dan berseri-seri. Tiada lagi jambang dan misai yang menutupi sebahagian besar mukanya seperti tempoh hari. Rambutnya juga dipotong pendek, membuatkan dia kelihatan kemas bergaya. Janggut sejemput yang menghiasi hujung dagunya pula menambahkan manis di wajahnya. Tidak banyak bezanya dengan Cikgu Hud yang Isha kenal lebih 10 tahun lalu.

“Kenapa pandang tak berkelip macam tu. Handsome sangat ke kitorang ni?” Usik Hud Hurairah nakal.

Usikannya mengejutkan Isha dari lamunan. Baru sedar yang dia leka terpana dengan kehadiran dan penampilan Hud Hurairah. Serta merta wajahnya merona merah.

“Mama..hari tu pakcik ni la yang temankan Isha dengan cikgu pergi jumpa doktor..” Lapor Fara Afiya separuh berbisik di tepi telinga mamanya.

Layar memori Isha berputar laju, mengingat kembali yang anak gadis itu ada menceritakan yang dia pergi ke klinik bersama abang Cikgu Haidar semasa peristiwa dia jatuh di sekolahnya tempoh hari. Dia mengecami lelaki itu yang ditemuinya semasa mereka membeli barang di Mr. DIY. Lelaki yang mereka sangkakan orang jahat pada awalnya.

“Fara kan…. Fara Afiya? Yang ini pulak..emm…Fara Afina?” Tegur Hud Hurairah ramah sambil membongkok di samping kedua-dua gadis kecil itu.

Masing-masing kalut menganggukkan kepala mengiyakan nama mereka yang disebut lelaki itu. Hud Hurairah tersenyum bangga. Nama mereka sudah lama tersemat kemas di hatinya. Sebenarnya sejak dia menghantar Isha pulang ke rumah selepas diserang di pasaraya dulu, sudah beberapa kali dia terserempak dengan Aqmar Alif di kedai makan dan kedai runcit.

Mereka memang saling berhubung. Semua berita lama dan baru mengenai Isha kini berada di genggamannya. Aqmar Alif tidak segan silu bercerita tentang adik perempuannya itu, termasuklah perihal diari dengan kisah cinta pertamanya. Ini kalau Isha tahu ni memang masaklah abang Alifnya! Mungkin saja batang tubuhnya bakal dibuat lauk panggang oleh Isha. Atau juga dibuat sup!

Bukan itu sahaja, Aqmar Alif sendiri juga memang sudah maklum dengan perkembangan hidup Hud Hurairah, termasuklah tragedi hitam yang telah berlaku pada keluarga kecilnya. Isi hati lelaki itu juga berjaya ditebak dengan tepat. Diam-diam dia merancang dan berdoa agar Isha dan Hud akan berjodoh.

Isha sahaja yang langsung tidak tahu-menahu tentang semua ini. Bahkan, sewaktu Encik Arif meninggal pun Hud Hurairah ada datang menziarah. Tetapi Isha yang ketika itu ditenggelami kesedihan atas pemergian ayah tercinta langsung tidak perasan kehadirannya. Sebenarnya Hud Hurairah sentiasa ada bersamanya, menjaga dan melindungi keluarga kecil itu dari jauh.

“Nak belajar taekwondo ya?” Soal Hud Hurairah mesra.

“Nak!” Pantas kedua-dua beradik tersebut menjawab sambil menganggukkan kepala laju.

“Kalau nak belajar taekwondo, tak boleh nangis-nangis tau. Kena kuat. Boleh?” Ujarnya lagi, senyuman manis terukir di wajahnya.

“Boleh!” Jawab keduanya yakin.

Spontan Hud Hurairah meluruskan kedua ibu jarinya ke arah gadis-gadis kecil itu.

Alright!. Jom, kita pergi berlatih.” Ajaknya sambil melangkah keluar dari bilik pejabat tersebut bersama Fara Afiya dan Fara Afina.

Err…Cik Isha boleh isi borang ni dulu…” Pinta Cikgu Haidar sambil menghulurkan beberapa keping kertas kepada Isha.

“Berjodoh betul Cik Isha dengan along….” Ujarnya perlahan sambil tersengih-sengih.

Krik…krik…

Isha tidak tahu bagaimana mahu bertindak balas. Nak senyum pun serba tidak kena rasanya. Jari-jemarinya yang memegang pen mahu menulis, terasa keras kaku.

“Apa yang dia tahu? Apa yang Cikgu Hud cerita? Eh..yang aku susah-payah nak serabutkan kepala otak ni kenapa…, lagipun Cikgu Hud tu dah kahwin, dah berkeluarga. Tak payah nak berdebar sangatlah cik jantung oi!” Marah Isha sendirian dalam hati.

“Along sekarang single and available tau..” Ujar Cikgu Haidar lagi, masih tersengih-sengih.

Pernyataannya berjaya mencuri perhatian Isha yang sejak tadi tunduk merenung kertas borang pendaftaran. Cikgu Haidar tersengih nakal. Pancing mengena!

 

“BEST tak belajar taekwondo?” Soal Isha sebaik Fara Afiya dan Fara Afina menerpa ke arahnya yang sedang duduk di kerusi menunggu.

Sejak tadi dia duduk di situ memerhatikan sesi latihan yang berjalan, sambil berpura-pura membelek telefon. Padahal matanya tidak lekang mencuri pandang Hud Hurairah. Ada juga beberapa orang waris yang berada di situ bersamanya.

Besttt!!” Sahut keduanya serentak.

“Mama nampak tak adik tendang tadi? Hebat kan adik?” Riuh mulut Fara Afina berbual dengan mamanya.

Teruja betul dengan kelas pertamanya. Apatah lagi kebanyakan pelatih di situ seusia mereka. Selain mereka berdua, ada lebih kurang 5 pelatih lain yang baru mendaftar pada hari yang sama. Pelatih-pelatih lain pula sudah lengkap berpakaian uniform baju dan seluar putih dengan tali pinggang yang berbeza-beza warna. Dalam masa kurang 2 jam sahaja mereka sudah bergurau mesra dengan kawan baru.

“Mama! Fiya dapat kawan baru 2 orang, Amira dengan Irdina. Tu diorang tu kat sana!” Fara Afiya ikut kecoh melapor.

Spontan Isha melihat ke arah yang ditunjukkan. Senyuman ramah dilemparkan kepada kedua orang anak kecil yang kelihatan malu-malu membalas senyumannya. Berlari-lari kedua-duanya mendapatkan waris masing-masing yang setia menunggu sejak tadi.

“Alhamdulillah….sayang cakap Alhamdulillah tak? Dapat belajar taekwondo…dapat kawan baru lagi…” Pesan Isha mesra.

“Alhamdulillah…terima kasih mama bawa adik dengan kakak datang belajar sini…” Sahut keduanya riang.

“Alhamdulillah…sama-sama sayang…” Balas Isha sambil mengucup pipi keduanya.

“Dah, jom kita balik. Nanti minggu depan datang lagi.” Ujarnya lagi seraya bangun mahu mengorak langkah.

Pelatih-pelatih yang lain kebanyakannya sudah beransur melangkah keluar dari pusat latihan tersebut bersama waris masing-masing.

“Alya Alisha Arif!” Suara yang memang dikenalinya itu membantutkan langkah Isha.

“Awak nak pergi mana tu… sini…giliran awak pulak.” Ujar Hud Hurairah sambil melangkah tenang ke arah tiga beranak tersebut.

“Ah sudah…dia buat dah…” Gumam Isha sendirian.

Nampaknya perangai lama Cikgu Hud sudah kembali. Tidak habis-habis dengan hobinya menyakat dan membuli Isha seperti waktu di sekolah dahulu. Sudahlah selepas ini dia perlu membawa anak-anak buahnya ke situ untuk berlatih setiap minggu. Mana nak lari lagi. Hai, nasib…nasib…

Err…giliran apa, cikgu?” Soal  Isha dengan kening yang berkerut.

“Giliran awak pula berlatihlah..apa lagi?” Jawab Hud Hurairah dengan wajah selamba.

“Eh? Saya? Err…saya daftarkan budak-budak ni je, cikgu.” Tingkah Isha.

“Apa aku pulak… bukan kelas ni untuk budak-budak je ke. Tak ada pun nampak orang dewasa yang join. Biar betul cikgu ni.” Bebelnya dalam hati.

“Iya…awak. Saya nak awak belajar cara mempertahankan diri dengan saya. Spend kan lebih kurang 30 minit untuk saya ajar awak setiap minggu. Lepas habis kelas dengan budak-budak, kita berlatih.” Ujarnya lagi, masih dengan riak selamba.

Err..hah? Err…kena ke cikgu?” Soal Isha dengan nada keberatan.

“Iya..kena. Wajib. Awak tak ingat macam mana awak kena serang dulu? Awak pun tahu kan zaman sekarang ni, ramai orang yang berniat jahat. Sekurang-kurangnya kalau berlaku apa-apa awak boleh pertahankan diri awak dan princess-princess ni.” Jawabnya dengan nada yang agak tegas.

Err…tapi…” Sahut Isha perlahan.

Ligat otaknya berputar memikirkan jalan keluar. Bukannya dia tidak mahu belajar. Tapi..takkan dengan Cikgu Hud?!

“Matilah aku macam ni… amma…appa…tolong…!” Rintih hatinya dalam diam.

“Dah…tak ada tapi, tapi lagi. Letakkan beg awak tu. Sini, kita mulakan latihan.” Balas Hud Hurairah dengan nada serius.

Ish…main paksa-paksa pulak orang tua ni. Ini kira kena ikut juga ke macam mana ni? Huwaaa.…gau ming aa..! sallyeojuda! bachao..! help…!” Tangis hati Isha sendiri.

Err…kalau saya mula belajar minggu depan je, tak boleh ke cikgu? Bolehlah saya pakai pakaian yang sesuai.” Dalihnya masih cuba mahu mengelak.

Hud Hurairah mengangkat kedua-dua keningnya sambil melorotkan pandangan ke arah Isha dari atas ke bawah. Secara tak langsung Isha ikut menilik pakaiannya petang itu. T-shirt lengan panjang, seluar tracksuit, dengan tudung sarung. Isha menguis-nguis hujung tudungnya sendiri. Tahu alasannya itu tidak masuk akal.

“Awak nak pakai sesuai  yang macam mana tu? Baju kurung?” Soal Hud Hurairah sinis.

Fara Afiya dan Fara Afina yang sedari tadi setia tercegat memerhati di situ tidak semena-mena tergelak melihat mama mereka dibuli.

“Mama pun kena belajar jugak!” Sorak Fara Afina teruja.

“Fara… Afina… sini, tengok baju taekwondo ni, muat tak dengan awak..” Panggil Haidar Huzaifah dari muka pintu ruang pejabat yang sememangnya terbuka luas. Mungkin sengaja mahu memberi ruang kepada si abang.

Yeayy..! Baju taekwondo…!!” Teriak  keduanya girang. Kelam kabut mereka berlari mendapatkan guru muda itu, meninggalkan Isha yang masih terkebil-kebil di situ.

“Jangan risau.. minggu depan awak pun dah boleh pakai uniform. Hari ni saiz awak belum ada lagi. Kita berlatih dulu.” Ujar Hud Hurairah sambil tersenyum.

Lambat-lambat Isha meletakkan beg tangannya lalu bergerak menghampiri bekas gurunya itu.

“This is so not happening right now…” Desis hati kecilnya.

“Haa…mengata saya dalam hatilah tu. Tak baik tau.” Tegur Hud Hurairah.

Lucu melihat wajah gadis itu. Nampak benar terpaksanya.

Isha hanya mengelip-ngelipkan matanya sambil menayangkan muka tidak bersalah.

“Sekurang-kurangnya biarlah awak ada langkah-langkah asas untuk pertahankan diri…” Hud Hurairah mengendurkan suara.

Isha menganggukkan kepalanya perlahan. Sedikit sebanyak bersetuju dengan lelaki itu.

“Tak adalah risau sangat saya nanti.” Sambungnya lagi.

Isha masih mengangguk perlahan mengiyakan kata-kata Cikgu Hud.

“Eh?” Kepalanya diangkat setelah tersedar apa yang diucapkan oleh bekas gurunya itu.

Hud Hurairah hanya berlagak selamba.

“Hari ni kita mulakan dengan gerakan asas teknik tumbuk dan tendang dulu.” Ujarnya memulakan sesi latihan. 

Terkial-kial gadis itu mengikut gerak langkahnya. Itulah pertama kali seumur hidup dia belajar seni mempertahankan diri. Balik nanti mesti sakit-sakit badan!

“Kaki belakang tu bengkokkan sikit. Rendahkan badan awak. Tangan luruskan lagi. Haa…pandai pun…” Diketuk-ketuk perlahan tangan dan kaki Isha dengan training pad target yang berbentuk drumstick.

Sesi latihan mereka berlangsung sekitar setengah jam. 30 minit yang begitu menyiksakan otot tangan dan kaki Isha!

Ok..cukuplah untuk hari ni… minggu depan kita sambung lagi.” Ujarnya kemudian.

Isha menarik nafas lega. Tubuhnya mula terasa sengal-sengal dek kerana latihan tersebut.

“Mama dah pandai lawan.” Puji Fara Afina tersengih-sengih.

Entah sejak bila mereka bertiga duduk di kerusi yang disediakan di situ sambil menyedut air kotak.

“Mama nak air?” Tawar Fara Afiya sambil menghulurkan air kotaknya.

“Cikgu Haidar belanja.” Ujarnya lagi.

Isha mengalihkan pandangan ke arah guru muda itu yang turut sibuk menyedut air kotak. Tersengih dia membalas senyuman Isha.

“Untuk Cik Isha pun ada ni.” Ujarnya sambil menghulurkan setin air berkarbonat 100 plus yang masih sejuk.

Isha menelan liur. Memang tekaknya terasa kering dan dahaga betul berlatih dengan Cikgu Hud tadi.

“Terima kasih….” Ujarnya sambil menghulurkan tangan menyambut air tin yang diberi.

Belum sempat tin tersebut dicapai tangannya, Hud Hurairah terlebih dahulu menyambar air minuman tersebut. Pantas dibukanya dengan selamba. Melihat keadaan tersebut, Haidar Huzaifah mengambil setin lagi air yang sama untuk menggantikan air Isha. Tetapi Hud Hurairah laju menghulurkan semula air tin yang sudah siap dibuka kepada Isha sebelum mengambil tin minuman yang berada dalam tangan adik lelakinya.

“Duduklah minum dulu. Tak elok minum sambil berdiri.” Ujarnya lagi sambil menarikkan kerusi plastik untuk Isha dan dirinya.

Isha akur. Dia duduk dan meneguk air bergas tersebut dengan penuh nikmat. Sekejap saja isi tin tersebut dihabiskan.

“Nak lagi?” Soal Hud Hurairah. Redup matanya memandang wajah gadis itu.

Isha menggelengkan kepalanya.

“Terima kasih cikgu… err..Cikgu Hud, Cikgu Haidar.. Fiya, adik…cakap terima kasih kat cikgu.” Pinta Isha.

“Terima kasih cikgu.” Seru keduanya sopan.

“Sama-sama… balik nanti minta mama sapukan minyak sikit kat kaki ya… picit-picit sikit. Kalau tak, bangun esok lenguh nanti. Lepas tu tolong urut mama pulak.” Ujar Hud Hurairah sambil melirik nakal ke arah Isha.

Ok cikgu!” Sahut keduanya mengekek ketawa.

“Err semuanya berapa cikgu?” Soal Isha sambil menyelup beg tangan untuk mengeluarkan dompet.

Kepalanya mencongak-congak jumlah yuran pendaftaran, yuran bulanan, serta uniform yang diterima Fiya dan Fina.

Err… percuma je.” Jawab Cikgu Haidar sambil menayangkan barisan giginya yang putih bersih.

“Eh..kenapa pula macam tu cikgu.” Jelas terpamer garis kerutan di dahi Isha.

“Ni…along.. dia yang bayarkan untuk cik Isha dengan anak-anak.” Jelas Cikgu Haidar llagi sambil mengerling

“Eh…tak naklah macam tu. Tak kanlah setiap bulan Cikgu Hud nak bayarkan.” Sanggah Isha, sudah mula berasa kurang enak.

Mana tidaknya, buka sehari itu sahaja dia mahu menghantar anak-anak buahnya belajar di situ.

Hud Hurairah masih menghirup minumannya tenang.

“Berapa cikgu?” Soal Isha lagi kepada Cikgu Haidar.

“Alya Alisha Arif…. Jangan degil boleh tak?” Hud Hurairah bersuara perlahan.

“Tapi cikgu…” Isha masih cuba membantah.

“Saya ikhlas. Anggap sebagai amal jariah saya. Boleh?” Pinta Hud Hurairah dengan nada tenang.

“Tapi….” Ujar Isha perlahan.

“Awak ni banyak sangat tapi lah… dah.. tak ada tapi-tapi dah. Jangan melawan cakap guru. Nanti tak berkat ilmu.” Ugut Hud Hurairah.

“Lagipun awak bukan orang lain pun dengan saya.” Sambungnya lagi.

“Bukan orang lain?” Bisik Isha sendiri sambil menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.

“Kalau macam tu…terima kasih banyaklah cikgu… mudahan bertambah murah rezeki cikgu.” Isha akhirnya mengalah.

Bukan dapat menang pun kalau terus berdebat dengan Cikgu Hud ni!

Err…saya minta diri dululah ya…” Pinta Isha. Hidungnya sudah kembang kempis dengan bau peluh sendiri.

“Elok-elok drive… minggu depan jangan tak datang pulak.” Pesan Hud Hurairah  dengan nada lembut tapi tegas.

Haidar Huzaifah pula hanya tersengih-sengih melihat telatah mereka. Dalam diam dia menitipkan doa. Mudahan ada sinar baru untuk abangnya seorang itu.




No comments:

Post a Comment