Saturday, June 1, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 16)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 16

SYARA masih tersenyum-senyum nakal di samping Isha sambil menyiapkan makan untuknya. Ammar dan Akmal sudah terbaring di sofa sambil menonton kartun di telefon pintar. Aqmar Alif dan Hud Hurairah pula turun ke bawah menghantarkan Ustaz Abbas pulang.

Err…akak beli apa tu? Nasi ayam?” Soal Isha, tidak selesa melihat kakak iparnya tersenyum-senyum. Sekejap lagi adalah tu, nak dibuka topik yang Isha cuba elak.

“Kenapa tak bagitahu tadi nak pergi ambil Ammar dengan Akmal balik sekolah… tiba-tiba je hilang…” Sungutnya.

Hmm.. saja je akak hilang..bagi peluang dekat Cikgu Hud jaga Isha pulak…” Sahut Syara melebarkan sengihan. Suka betul dia melihat adegan romantis mereka sebentar tadi.

“Haa..tengok..akak ni…mulalah tu…” Ujar Isha memuncungkan mulut.

Eh…eh..akak pulak…diorang yang buat drama free kat sini tadi…” Sanggah Syara.

Isha mengerutkan wajah, sebelum kedua-duanya tertawa lucu.

“Isha…akak happy sangat tau. Isha cepat-cepat nikah tau. Nanti akak temankan Isha cari baju pengantin…  tempah pelamin…eee bestnya!” Syara menyuarakan keterujaannya.

Eh Kak Syara ni..dia pulak yang lebih…” Berhambur lagi ketawa mereka.

“Tapi kak….” Suara Isha tiba-tiba bertukar sayu. Senyuman tawar menghiasi wajahnya.

“Isha tak rasa Isha boleh terima lamaran Cikgu Hud….” Sambungnya lagi.

Riak wajah Syara berubah.

“Kak… Isha…dah tak boleh mengandung….” Ungkap Isha lambat-lambat.

“…macam mana…Isha nak jadi seorang isteri….” Tambahnya lagi.

“…lagipun… Cikgu Hud… dia belum ada zuriat sendiri… anak-anak tirinya pulak..mati dalam keadaan yang begitu menyayat hati…” Isha bersuara lemah.

Syara terkedu. Matanya mula berkaca-kaca. Keterujaannya dengan lamaran Hud Hurairah pada Isha tadi membuatkan dia hampir terlupa tentang ujian hebat yang sedang ditanggung gadis itu.

“Allahu Akbar….” Ungkapnya perlahan.

Syara merapati Isha. Tubuh gadis itu dirangkul erat. Sejenak mereka menangis berpelukan, sebelum Syara mula bersuara perlahan.

“Isha…Isha jangan macam ni…kenapa cakap macam ni…” Pintanya lembut.

“Semua tu Allah yang tentukan… rezeki harta, pasangan, zuriat keturunan semua Allah yang tetapkan sayang….” Pujuknya lagi.

“Allah uji sebab Allah sayang Isha…Isha percaya tu, kan?” Soalnya lembut.

Isha mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan.

“Orang yang ada rahim pun… belum tentu Allah izinkan zuriat….” Nafasnya dihela perlahan. Cuba menyusun kata-kata untuk meminjamkan sedikit kekuatan kepada adik iparnya.

“Allah tarik nikmat tu dari Isha… tapi Allah kurnniakan, satukan Isha dengan seorang lelaki yang baik, yang mencintai Isha setulus hati…, sepenuh hati…” Sayu Isha mendengar kata-kata yang dituturkan Syara.

“…dan… Cikgu Hud…satu-satunya lelaki yang Isha suka dan cinta sejak dulu, betul kan apa yang kak Syara teka ni..?” Sambung Syara lagi.

Isha terdiam. Sekali lagi kepalanya dianggukkan perlahan-lahan. Menitik-nitik air matanya tumpah.

“Jadi…Isha boleh nampak kan…nikmat yang Allah bagi… nampak kan, kasih sayangNya pada Isha..?” Pujuknya lagi.

Laju air mata Isha merembes keluar. Tidak pernah terbayang di fikirannya, dapat bertemu kembali dengan lelaki itu. Apa lagi untuk mengetahui, yang lelaki itu juga mempunyai perasaan yang sama dengannya. Perasaan yang dipendam jauh ke dalam hati sejak bertahun-tahun.

“…dan… Kak Syara tahu… Isha sendiri tahu, yang Cikgu Hud ikhlas dengan Isha, tak pedulikan kekurangan Isha, terima Isha seadanya. Isha…dia lamar Isha tadi, dalam keadaan dia dah tahu tau, keadaan kesihatan Isha sekarang.” Tambah Syara lagi.

Tangisan Isha semakin galak. Bukan dia tak tahu, semua yang diucapkan kak Syara itu benar belaka. Cuma rasa rendah diri, juga rasa bersalah dan simpati pada Cikgu Hud bertalu-talu menghentam naluri wanitanya.

“Lagipun… kan Allah pinjamkan Fara Afiya dan Fara Afina pada Isha… sebagai ganti…?” Ujar Syara lagi. Dia begitu berharap adik iparnya itu tidak akan menolak lamaran Hud Hurairah semata-mata rasa rendah diri dengan kekurangannya. Cinta mereka berdua terlalu kuat dan tulus untuk disia-siakan begitu.

“Allahu Akbar… Alhamdulillah…” Tangis Isha yang akhirnya bersuara.

Benar, ini adalah antara nikmat kurniaan Allah yang betul-betul disyukuri sepenuh hatinya. Rindu rasanya pada mereka berdua.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memperingatkan,

‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu,  tetapi jika kamu menginngkari (nikmat-Ku), pasti azabKu sangat pedih.”

[Surah Ibrahim: Ayat 7]

 

“Kalau tak cukup jugak…haa ambik  tu budak berdua tu, akak bagi free.” Usik Syara sambil memuncungkan mulutnya ke arah Ammar dan Akmal yang sedang ralit dengan telefon pintar.

Tersenyum dalam linangan air mata Isha dibuatnya.

“Ada-ada je kak Syara ni..” Omelnya manja.

 

“ISHA.., Syara….” Panggil Aqmar Alif sebelum melepaskan keluhan lembut.

Kedua-dua wanita itu menumpukan perhatian kepadanya.

“Malam ni…., malam ni kita kena bersedia.” Ujarnya lagi.

Syara dan Isha masih tidak dapat menangkap maksud bicaranya. Bersedia untuk apa?

“Macam ni… Ustaz Abbas bagitahu tadi.. perbuatan sihir yang dikenakan pada keluarga kita, pada Isha, semakin menjadi-jadi. Orang yang melakukan perbuatan ni, memang tak ada menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Bahkan serangannya akan menjadi semakin hebat.., selagi hatinya belum puas. Isha, Syara…. Keluarga kita memang dah lama disihir. Bermula dengan Kak Leeya, ibu, ayah…. Dan sekarang Isha dan mungkin juga anak-anak. Isha menjadi sasaran sekarang mungkin kerana orang tu cuba menghalau Isha dan anak-anak keluar dari rumah tu.” Jelas Aqmar Alif panjang lebar.

Terkedu Isha dan Syara mendengarnya.

“Tetapi sihirnya bukan hanya bertujuan menghalau… sebaliknya memang bertujuan mendatangkan maut!” Ujar Aqmar Alif lagi. Tegang riak wajahnya.

Pucat Isha dibuatnya. Tak sangka perkara itu begitu serius. Syara mengenggam kuat tangan adik iparnya.

“Kali ni, kita akan lawan balik.” Tambahnya lagi. Nafas dihela dengan teratur.

“Malam ni, Ustaz Abbas akan minta bantuan rakan-rakan segurunya, serta anak didiknya, untuk sama-sama menunaikan solat hajat, khusus untuk membantu keluarga kita.” Jelasnya lagi.

“Tapi, kita diminta bersedia. Sebab… Sihir yang orang tu gunakan mungkin akan bertindak balas dengan kuat. Apa-apa saja mungkin berlaku malam ni.” Ujarnya lagi, mengakhiri penjelasannya.

Menggeletar Isha dan Syara mendengar penerangannya. Antara percaya dengan tidak akan apa yang sedang berlaku dalam keluarga mereka sekarang.

“Hud akan tolong kita bawa Ammar dan Akmal tinggal di  rumah Cikgu Haidar untuk sementara malam ni. Abang tak nak bahayakan mereka.” Aqmar Alif bersuara lagi, sambil memandang ke arah Hud yang menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.

Isha dan Syara saling mengenggam tangan masing-masing dengan erat. Kalau boleh, mereka sendiri pun nak ikut anak-anak itu menumpang tidur di rumah Cikgu Haidar. Air liur ditelan kesat.

Ya Allah, permudahkanlah….

 

GURUH yang berdentum kuat sebaik selepas Isha dan Syara memberi salam pada rakaat terakhir solat hajat mereka membuatkan kedua-dua wanita itu tersentak. Isha yang bersolat secara duduk di hujung katil mengalihkan pandangan kepada Syara yang sedang duduk di sejadah. Jelas riak wajah Syara juga kelihatan cuak.

Aqmar Alif dan Hud Hurairah ketika itu sedang menunaikan solat sunat hajat di bilik surau di aras yang sama. Susunan perabot dan peralatan di bilik wad tersebut membataskan ruang untuk mereka berempat bersolat sekali di situ pada waktu yang sama.

Cahaya kilat yang memancar sekejap-kejap, jelas menerangi gelap malam itu di sebalik tirai yang menutupi cermin tingkap bilik wad tersebut. Dada masing-masing berombak laju.

“Kelekuk! Kelekuk!”

Bunyi dari bilik air tiba-tiba langsung menghambat aturan nafas Isha dan Syara menjadi culang-caling. Kedua-dua mereka saling pandang-memandang, keras tidak bergerak dari tempat duduk masing-masing.

“Kelekuk! Kelekuk! Bamm!!”

Bunyi ketukan yang tadinya perlahan tiba-tiba bertukar kepada hentakan kasar di pintu sebelah dalam bilik air. Spontan Syara bingkas merapat pada Isha yang sedang duduk di katil.

“Call abang Alif kak….” Bisik Isha perlahan, antara lepas dengan tidak suara dari tekaknya.

Memang lelaki itu sudah berpesan tadi untuk segera menghubunginya sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang aneh.

Terketar-ketar Syara mencapai telefon pintarnya di meja sebelah katil, sebelum terkial-kial mendail nombor suaminya.

“Hello…”

“Bammm!! Bam! Bamm! Bammmmm!!!”

Sebaik sahaja panggilan disambungkan, bunyi hentakan dari bilik air serta-merta mengganas. Serentak itu juga kilat sambar-menyambar di luar, sebelum dentuman guruh yang sangat kuat menghentam keras. Bekalan elektrik terputus seketika. Lampu kecemasan menyala secara automatik.

“He…he..hello….” Panggil Syara, masih cuba berhubung dengan suaminya di talian.

Senyap tiada balasan.

Skrin telefon yang sudah gelap ditekan-tekan dengan jari yang menggigil. Tiada tindak balas. Telefonnya terpadam terus. Pada waktu yang sama, bunyi menderam seperti seperti seekor anjing besar yang sedang marah dari sebalik pintu bilik air menyapa pendengaran kedua wanita tersebut.

Isha sudah bangun berdiri dari katil sambil menekan perlahan bahagian perut yang masih berjahit. Bersiap sedia untuk memulakan larian pecutan 100 meter, sekiranya keadaan mendesak. Syara masih menggenggam erat telefon di tangan. Peluh mula merenik di kawasan dahinya.

“Grrrr…..grmmmm…grrrrrr….”

Bunyi menderam yang tadinya seperti hanya datang dari seekor anjing besar, kini semakin rancak seperti terhasil dari puluhan ekor anjing yang besar dan garang. Benar-benar menyeramkan!

Isha dan Syara sudah erat berpelukan. Ketakutan.

“Krieeekkkk……..”

Pintu bilik air yang tertup rapat berkunci tiba-tiba terbuka sendiri perlahan-lahan, seraya menambahkan tempo degupan jantung Isha dan Syara. Kedua-duanya hanya menanti pasrah. Sudah terbayang di kepala, puluhan ekor anjing yang besar dan hitam dengan taring yang tajam bakal menyerbu keluar dari situ, sekaligus menerkam mereka berdua dalam tempoh beberapa saat lagi. Air mata Syara berjujuran. Dia benar-benar takut!

Dengan tidak dijangka, semua perabot di dalam bilik wad tersebut bergegar-gegar dan bergoncang-goncang dengan kuat. Kali ini Isha dan Syara benar-benar menangis ketakutan. Terketar-ketar bibir masing-masing cuba membaca apa sahaja ayat alQuran yang terlintas di fikiran. Sedang hati tidak putus meminta bantuan daan perlindungan Tuhan.

Dalam keadaan kalut itu, barangan dan perkakas kecil-kecil pula mula terapung dan berterbangan dengan laju di ruang udara bilik tersebut.

“Zasss!! Zappp!! Zassss…!!”

Terjerit-jerit Syara dan Isha sambil tertunduk-tunduk mengelak dari terkena objek dan barangan yang berterbangan laju. Saat itu juga, makhluk besar berbulu hitam dan lebat mula melangkah keluar dari bilik air. Berdiri betul-betul di hadapan Isha dan Syara. Mata merahnya terbelalak memandang ke arah kedua wanita tersebut. Mulutnya dingangakan luas, menayangkan taringnya yang besar dan panjang jelas. Hujungnya keduanya meruncing tajam.

Lemah segala sendi tulang Isha. Syara pula rasa seperti hendak pitam.

“Ya Allah….” Bisik keduanya serentak.

Detik itu juga, makhluk itu mengaum garang. Bergema ngaumannya ke setiap penjuru bilik tersebut. Jantung Isha dan Syara masing-masing bagaikan luruh terjatuh dari pangkalnya. Kecut segala isi perut mereka.

“Allahu Akbar… Allahu Akbar!”

Sayup-sayup terdengar suara laungan azan dari luar pintu bilik.

Makhluk tersebut pula masih galak mengaum. Bersilih ganti dengan laungan azan. Seolah-olah keduanya sedang bertarung hebat. Kilat sabung-menyabung bersulam dentuman guruh di luar bagai turut ikut menggawatkan suasana.

Dengan izin Allah… ngauman makhluk itu yang tadinya begitu bengis dan menakutkan, mula berubah kepadaa jeritan nyaring seakan-akan sedang berada dalam kesakitan yang amat sangat. Suhu di dalam bilik pula terasa membahang dengan tiba-tiba. Laungan azan dari luar yang sayup-sayup mula kedengaran jelas dan semakin kuat.

“Eikkkkkhhhhhhhh……!!!”

Panjang bunyi jeritan makhluk besar tersebut sebelum tubuhnya kelihatan berapi seperti dibakar dengan api besar. Spontan Isha dan Syara memekup telinga masing-masing dan memejamkan mata serapat-rapatnya. Haba panas terasa dekat dengan kulit mereka.

“Allahu Akbar!!” Laung hati masing-masing.

Api jingga semakin marak membakar hangus seluruh tubuh makhluk tersebut yang meraung-raung kesakitan dengan jeritan yang berdengking membingitkan telinga. Barangan yang tadinya berterbangan laju di dalam bilik terhenti dan jatuh berserakan di lantai. Guruh dan kilat yang bergegak gempita di ruang udara juga mula reda, digantikan dengan bunyi hujan lebat yang mencurah turun ke bumi.

 

“ISHA! Syara!” Panggil Aqmar Alif yang baru berjaya membuka pintu dari luar.

Spontan kedua gadis itu membuka mata. Laju Syara berlari ke dalam pelukan suaminya. Teresak dia menangis takut. Isha kembali terduduk di katil dengan sebelah tangan yang masih memegang bahagian perut yang berjahit. Mujurlah dia tidak perlu berlari pecut dalam keadaan begitu. Hud Hurairah bergegas menghampirinya.

Beberapa kakitangan hospital dan juga penjaga pesakit yang turut berhimpun di depan pintu bilik tadi ikut melangkah masuk, Masing-masing diserbu rasa ingin tahu dengan kejadian aneh yang telah berlaku. Rupa-rupanya kejadian perabot bergegar dan bergoncang serta barangan kecil berterbangan  laju di udara  tadi berlaku di setiap bilik di aras tersebut!.

Kecoh satu hospital dengan apa yang berlaku malam itu. Mujur tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Keadaan menajdi agak tegang seketika di dalam bilik wad yang menempatkan Isha itu. Orang ramai yang mengerumuni mula bercakap-cakap dan berbisik-bisik antara satu sama lain, mungkin membincangkan apa yang sedang berlaku. Masing-masing beristighfar panjang melihat keadaan lantai bilik yang hitam terbakar membentuk buatan di tengah-tengah ruang bilik.




No comments:

Post a Comment