JANGAN SENTUH MEREKA!
Bab
3
DERINGAN jam loceng yang dikunci di telefon
pintar Isha mengejutkannya daripada lena. Matanya dibuka sebelah, menahan silau
cahaya dari telefon. Lalu butang snooze
ditekan sebelum dia kembali menyembamkan muka ke bantal yang empuk. Terasa
belum bersedia untuk bangun menjalani hari baru. Isha kembali terlelap. Baru
sahaja matanya dipejam, Isha terasa seperti tubuhnya digoncang perlahan.
“Hmm…? Kenapa sayang?” Soalnya dengan
mata yang masih tertutup.
Sangkanya pasti Fara Afiya atau adiknya
yang sedang cuba menggeraknya bangun. Seketika kemudian dia terasa pula pipinya
disentuh perlahan. Sejuk tangan yang menyentuhnya. Isha membuka mata. Kelihatan
Fara Afiya sedang nyenyak tidur dengan gaya terlentang di sampingnya. Dia
berkalih ke kiri pula. Fara Afina juga sedang tidur dengan memeluk anak patung
beruang. Rasa aneh menyerbu pemikirannya. Dia benar-benar terasa tubuhnya
digoncang dan pipinya disentuh tadi.
“Takkan aku mimpi?” Desisnya perlahan.
Isha bangun duduk ditempat baringnya.
“A’udzubillahiminassyaitonirrojim…
Bismillahirrahmanirrahim… Laa ilaaha illallahu wahdahu laa syariika lahu, lahul
mulku walahul hamdu wahuwa a’la kulli syay’in qadiir, walhamdulillah,
wasubhanallah walaa ilaahailallah wallahu akbar, walaa haula walaa quwwata illa
billahil a’liyyil aziim..” Terkumat-kamit mulut Isha membaca doa dengan mata
yang masih mengantuk.
Teringat pesan ibu tercinta yang
memintanya untuk membaca doa tersebut ketika terbangun di malam hari.
“Isha kalau terjaga tengah malam, amal
baca doa ni. Kalau tak bangun tahajjud sekalipun, baca doa ni, lepas tu doalah
minta apa saja pada Allah, inshaAllah, Allah makbul…” Terngiang-ngiang suara
lembut Puan Leha dicuping telinganya.
“Barang siapa yang terjaga di malam
hari, kemudian dia membaca zikir tersebut, yang bermaksud,
Tidak ada sesembahan yang haq kecuali
Allah, satu-satunya. Tidak ada sekutu bagiNya. Bagi Allah seluruh kerajaan dan
bagi Allah segala pujian. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Segala
puji hanya milik Allah. Maha Suci Allah. Tidak ada sesembahan yang haq kecuali
Allah. Allah Maha Besar. Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan
Allah.
Kemudian dia mengucapkan:
Allahummaghfirlii
Ya Allah, ampunilah (dosa-dosa)ku, atau
dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya, ika dia
berwudhu dan melaksanakan solat maka akan diterima solatnya”
[HR al Bukhari (no.1103), Abu Dawud
(no.5060), at-Tirmidzi (no.3414) dan Ibnu Majah (no.3878)]
Kemudian Isha mengalihkan selimut yang
masih menutupi separuh kakinya. Dalam kesamaran lampu tidur yang berkelip-kelip
memaparkan imej bintang berwarna-warni itu, Isha nampak satu susuk sedang
berdiri membelakanginya, lengkap mengenakan telekung sembahyang berwarna putih.
Susuk itu berdiri tegak tidak bergerak. Hanya telekungnya sahaja yang sesekali
bergerak kecil ditiup angin dari penghawa dingin.
Isha mengecilkan matanya cuba
memfokuskan pandangan untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya. Diamatinya
susuk itu dari atas katil. Hembusan lembut angin dari penghawa dingin
membuatkan suhu bilik terasa sejuk. Bulu roma Isha meremang. Berderau darahnya
apabila pasti dengan apa yang dilihat. Memang ada satu susuk tidak dikenali
sedang berdiri tegak membelakanginya dalam pakaian solat.
Serentak itu juga jam loceng di telefonnya
berdering nyaring. Terbang sekejap roh Isha keluar dari tubuhnya, dek
terkejutkan jam itu. Terhenti jantungnya dari berdenyut untuk sesaat. Kelam
kabut skrin telefon ditekan untuk mematikan deringan tersebut. Segera dialihkan
kembali pandangannya ke arah susuk tadi. Hilang. Tiada sesiapa atau apa-apa di
situ.
“Allahu Akbar. Lailahailallah…” Bisik
Isha perlahan.
Apa pula yang menganggu keluarganya
ini. Kejadian-kejadian aneh yang berlaku akhir-akhir ini agak merisaukan Isha.
Yang lebih dirisaukan lagi adalah keselamatan anak-anak saudaranya. Apa yang
sedang berlaku? Apa yang tak kena?
“Bismillahirrahmanirrahim…
Alhamdulillahiladzi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihinnusyur…” Perlahan
bibirnya bergerak mengucapkan doa setelah membuat keputusan untuk terus bangun.
Langkah diatur lambat-lambat menuju ke
bilik air di dalam bilik tidur utama itu. Sempat juga matanya mengerling
sekeliling. Manalah tahu tiba-tiba ada pula yang berdiri terpacak tersengih di
situ. Dalam masa yang sama kakinya melangkah masuk memijak lantai bilik air.
Tapak kaki Isha terasa berlendir. Selalunya waktu pagi begitu lantai bilik air
berada dalam keadaan kering. Pandangannya diarahkan ke bawah.
Tersentak Isha melihat lantai bilik air
yang dibasahi darah merah. Serentak itu dia mengundur ke belakang sehingga
jatuh terduduk akibat tersadung bendul pintu bilik air.
“Erghh…!” Isha mengerang kesakitan
sambil memegang punggung.
Seketika kemudian dia kembali
mengalihkan pandangan ke arah lantai bilik air di depannya. Tiada yang aneh.
Darah merah yang dilihatnya tadi tiada di situ. Bahkan sedikit kesan air pun
tiada. Satu keluhan dilepaskan. Dia termenung seketika. Mengenangkan kesalahan
diri yang melangkah masuk tanpa membaca doa pelindung dari syaitan. Kaki yang
melangkah masuk tadi juga bukan kaki kiri, seperti sunnah yang dianjurkan.
Baru sedikit gangguan yang dikenakan ke
atasnya, sudah berjaya melalaikannya dari amalan kebiasaannya. Sudah berjaya
melekakannya dari mengingat Allah Subhanahuwata’ala. Memang begitulah janji
Iblis. Tidak pernah dan tidak akan berehat dia dari berusaha menyesatkan anak
cucu Adam A’laihissalam.
“DUIT
sekolah dah ambil?” Soal Isha.
Sengaja memastikan yang anak-anak
saudara tersayang tidak terlupa mengambil duit di dalam bekas yang disediakan
khas untuk mereka.
“Dah!” Laju Fara Afina mengiyakan.
“Mama…kenapa kakak tak gembira?” Soal
Fara Afina yang duduk di tempat duduk penumpang di sebelah Isha dalam kereta.
Isha mengerling Fara Afiya yang duduk
di belakang melalui cermin. Memang dari tadi lagi dia sudah perasan Fara Afiya
agak diam pagi itu. Sangkanya anak buahnya itu masih mengantuk mahu ke sekolah.
“Fiya…?” Panggil Isha lembut.
Fara Afiya hanya memandang ke arah Isha
tanpa menyahut.
“Kenapa sayang? Kenapa Isha diam je…
selalu pot pet pot pet…” Tegur Isha gusar.
Tiba-tiba Fara Afiya menanggalkan tali
pinggang keselamatannya lalu mengesot ke depan sebelum merangkul lengan Isha
yang sedang memandu.
“Kenapa ni sayang?” Soal Isha risau.
“Malam tadi Fiya mimpi… ada orang jahat
tikam mama dengan pisau..” Lapornya dengan suara yang hendak menangis.
Isha menelan liur. Baru kelmarin Fara
Afina menangis teresak-esak terbangun dari tidur kerana bermimpikan dirinya
dipatuk ular. Hari ini, dia ditikam dengan pisau pula dalam mimpi Fara Afiya.
“Petanda ajal aku dah dekat ke apa ni?”
Isha menggleng-gelengkan kepalanya.
Seram memikirkan amal yang tidak setara
mana untuk dibawa ke negara abadi. Itu belum lagi dihitung dosa-dosa yang
ditimbunkan atas bahu sendiri setiap hari. Astaghfirullahalazim…
“Ampunkan aku ya Allah…” Bisiknya
sendiri.
“Haaahh…? Mama tak lawan ke dengan
orang jahat tu? Mama pandai lawan tau. Lagi hebat dari Jackie Chan.” Ujar Isha,
cuba menghiburkan anak kecil itu.
“Mama pandai lawan??” Soal Fara Afina
pula dengan mata yang sengaja dibulatkan.
“Huishh…pandaiii…” Jawab Isha dengan
gaya lucu.
Fara Afiya yang tadinya sudah mahu
menangis tersenyum-senyum sendiri.
“Kalau macam tu, mama ajarlah kitorang.
Fiya suka. Fiya nak pandai lawan macam Jackie Chan. Nanti Fiya boleh selamatkan
mama dari orang jahat.” Pintanya dengan bersemangat.
Isha tersengih mendengar pengakuannya.
Sudah terpengaruh anak-anak buahnya ini dengan filem-filem Jackie Chan. Memang
Isha suka mengajak mereka menonton cerita-cerita lama dari zamannya. Bagi Isha
cerita-cerita zaman dulu lebih menghiburkan di samping mengandungi banyak
manfaat dan pengajaran.
“Ye ke? Fiya dengan adik nak belajar
lawan?” Soal Isha.
“Nakkkkk…!!” Pekik mereka berdua.
“Aduhh..! Sakit telinga mama.” Omel
Isha, membuatkan gadis-gadis kecil itu tertawa suka hati.
“Yelah yelah…inshaAllah nanti mama cuba
carikan tempat untuk belajar ea?” Sahut Isha.
Memang sudah lama dia berkira-kira
untuk menghantar anak-anak itu belajar seni mempertahankan diri. Cuma belum
bertemu kelas yang berdekatan dengan rumah. Tidak keterlaluan jika menganggap
seni mempertahankan diri sebagai satu keperluan pada zaman ini. Terutamanya
pada anak-anak perempuan.
SEPERTI biasa, Isha ramah melayan pesakit yang
mendapatkan rawatan di unitnya. Dalam dia asyik berbual mesra sambil menunjuk
ajar latihan senaman kepada seorang pesakit wanita yang mengalami masalah sakit
di bahagian lutut, kedengaran alunan irama Bollywood dari filem lama berjudul ‘Yes Boss’ dari tahun 1997 bergema dari
telefon bimbitnya di atas meja. Nombor pemanggil yang tidak dikenali tertera di
kaca skrin. Pantas panggilan tersebut disambut dengan seribu satu persoalan.
“Hello?
Ini waris Fara Afiya Binti Fariz Farhan?” Soal suara di hujung talian.
“Hello?
Ya, ya saya.” Aku Isha dengan dada yang berdebar.
Hatinya meratib perlahan berharap tiada
apa yang buruk berlaku pada Fara Afiya.
“Err..macam ni puan, saya guru
pendidikan jasmani anak puan. Pagi tadi Fara Afiya terjatuh semasa aktiviti
sukan. Saya minta dia ke bilik guru untuk dirawat.” Sambung guru itu.
“Hah? Jatuh? Err teruk ke cikgu?” Soal
Isha kelam-kabut.
“Err…muka dia tersembam atas tar, puan.
Tapi..err…yang jadi masalahnya sekarang, saya dan para guru yang lain tak dapat
kesan ke mana dia pergi. Rakan-rakan sekelas dia pun cakap tak ada nampak dia
dah selepas aktiviti sukan tadi.” Ujar guru itu lagi.
“Hah? Tak dapat kesan?” Soal Isha
kembali, masih kurang jelas dengan apa yang cuba disampaikan oleh guru
tersebut.
“Err..begini puan, baru-baru ini, ada
kes pelajar hilang diculik di sekolah berdekatan. Bulan lepas tak salah saya,
kalau puan ada dengar…” Kata-kata guru itu kedengaran bagai petir menyambar
jantung Isha.
Lututnya terasa lemah. Serta-merta dia
teringatkan berita yang dibacanya di media sosial, berkenaan kes kejadian
pelajar hilang di sekolah yang tidak jauh dari rumah mereka. Siasatan masih
dijalankan dan kanak-kanak itu masih belum ditemui. Orang awam diminta
menghubungi pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kes
tersebut.
“Err… sejak kes tersebut, pihak sekolah
mengambil langkah lebih berhati-hati atas keselamatan pelajar, jadi saya
maklumkan mengenai Fara Afiya lebih awal kepada puan. Err…kami masih cuba
mencari dia sekarang…” Jelas guru tersebut.
Isha sudah terduduk di kerusi. Wajahnya
terasa panas memerah, mendesak air mata mengalir turun dari sepasang matanya. Tidak terbayang
sekiranya Fara Afiya benar-benar diculik. Ya Allah…!
“Puan? Err…puan?” Panggil guru itu
setelah Isha diam tidak menyahut.
“Puan jangan terlalu risau, kejadian
ini baru berlaku kurang dari 2 jam. Kita akan terus cuba cari dia. Mungkin dia
ada berehat di mana-mana. Puan boleh datang ke sini.” Pintanya lagi, seakan
memahami kerisauan yang sedang bergelut di dalam hati Isha saat ini.
“Ya..” Sahut Isha, antara kedengaran
dengan tidak.
“Kenapa tu puan?” Soal pesakit Isha
yang kehairanan melihatnya menangis dengan wajah pucat.
“Anak saya…” Jawab Isha teresak sambil
tangannya ligat mendail nombor telefon pengasuh.
Hanya mereka yang berada dekat dengan
anak-anak itu pada waktu ini. Kalau dia bergerak balik sekarang pun, dia hanya
akan tiba di sekolah selepas satu jam. Abang Alif pula kira-kira setengah jam
dari tempat kerjanya. Waktu begini, memang hati Isha meronta merasakan tempat
kerjanya begitu jauh dengan rumah. Sungguh dia tidak mampu untuk pulang dengan
segera sekiranya anak-anak kesayangannya memerlukannya.
“Ya Allah…tolong kami…selamatkan anakku
ya Allah…” Rintihnya hiba.
KERETA Isha meluncur laju di atas jalan raya.
Kedua tangannya yang erat menggenggam stereng jelas terlihat menggigil-gigil.
Air mata tidak berhenti-henti mengalir membasahi wajah dan tudungnya. Kaki yang
terasa lemah tidak bertulang dipaksa mengawal pedal minyak dan brek sebaik
mungkin. Sesekali telefon yang diletakkan di tempat pemegang dikerling cemas,
menanti sebarang panggilan telefon yang bakal menyampaikan berita terkini.
Isha cepat-cepat menjawab panggilan
dari Abang Alif. Butang loudspeaker ditekan.
Dia sudah pun memaklumkan mengenai perkara itu kepada abangnya sebentar tadi
dan memintanya ke sekolah terlebih dahulu. Kebetulan Kak Mah, pengasuh
anak-anak itu tidak dapat menghubungi suaminya, Pak Usop, kerana telefonnya
tertinggal di rumah sebelum keluar. Kak Mah sendiri pula tidak pandai
menunggang motorsikal mahupun memandu kereta.
“Hello?” Ujarnya sebaik menjawab panggilan.
Suara Abang Alif kedengaran
terputus-putus di hujung talian.
“……. Fiya……. Cikgu….. Isha…….” Butir
bicaranya langsung tidak dapat ditangkap.
“Hello?
Abang? Abang, Isha tak dengar. Abang?” Panggil Isha dengan suara yang cuba
dikuatkan.
Seketika kemudian talian terputus. Isha
cuba mengulang dail, tetapi tidak dapat disambungkan. Bar talian telefon yang
tertera di skrin memaparkan perkataan ‘No Service’.
“Ya Allah…..” Rintih Isha sendirian.
Air mata kembali laju mengalir turun,
selaju kereta yang sedang dipandunya.
Ya Allah… Selamatkan Fara Afiya…
“ASSALAMMUALAIKUM…cik, saya
waris Fara Afiya..” Terketar-ketar Isha bersuara sebaik mendekati salah sebuah
meja yang paling hampir dengan bilik guru.
Air mata jelas berbekas di kedua belah
pipinya, dan masih setia bergenang di kolam matanya, bersedia untuk tumpah
semula pada bila-bila masa. Kalau diikutkan semangatnya yang sudah menipis,
mungkin dia hanya mampu mengesot masuk ke bilik guru tersebut. Mujurlah kakinya
masih mampu untuk melangkah.
“Isha!” Suara Abang Alif menarik
perhatian Isha.
Spontan dia berpaling ke arah suara
tersebut. Pandangannya tertancap ke arah abangnya, sebelum melorot turun ke
arah susuk kecil yang dirisaukan sejak tadi.
“Fiya!” Serta merta air matanya kembali
tumpah, turun dengan lebat.
Pantas Isha meluru ke arah gadis kecil
itu dan mendakapnya erat.
“Ya Allah…anak
mama…Alhamdulillah…Alhamdulillah ya Allah…. Alhamdulillah…” Tak berhenti-henti
kata syukur meniti di bibirnya.
Sangkanya dia tidak dapat lagi bertemu
dengan Fara Afiya. Sangkanya jantung hatinya itu sudah hilang dibawa pergi.
Sangkanya sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas nyawanya yang satu itu.
Sesungguhnya segenap pelusuk daerah hatinya dipenuhi dengan rasa syukur tidak
terhingga kepada Yang Maha Mengasihani. Alhamdulillah Ya Allah…
“Mama takut sangat sayang…” Rintih Isha
sebelum perlahan-lahan melonggarkan dakapannya.
Puas dia merangkul kemas tubuh kecil
itu tadi, bagai tidak mahu melepaskannya lagi. Hanya Tuhan sahaja yang tahu
betapa teruk sekeping hatinya dihentam dan dikeronyok perasaan takut teramat.
Bagai sudah disedut kering seluruh darah dalam tubuhnya.
Wajah Isha ditatap dengan teliti. Baru
dia perasan keadaan muka Isha yang kelihatan tercedera dengan agak teruk.
Batang hidungnya membiru lebam, manakala bibirnya pula membengkak dengan sangat
ketara. Luka koyakan yang sudah kering jelas menghiasi bahagian atas bibir, dan
sebelah kanan dahinya.
“Ya Allah…kenapa dengan anak mama
ni….sakit tak sayang….?” Hiba kedengaran suara Isha menutur kata.
Air mata yang baru beransur mengalir
perlahan tadi kembali laju menghambur turun. Perit hatinya melihat luka di
wajah Fara Afiya.
Fara Afiya hanya menggeleng-gelengkan
kepalanya tanpa sepatah kata. Air matanya turut mula mengalir laju,
mengisyaratkan cerita mengenai luka yang mendenyut sakit. Benar, seorang Fara
Afiya ini begitu tegar dalam berlagak kuat, demi tidak membuatkan orang di
sekelilingya risau. Terutamanya Isha, mama yang dicintai sepenuh hati.
Siapa yang memintamu berperan sekuat
itu, sayang?

No comments:
Post a Comment