Saturday, May 25, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 4)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 4

“BEGINI puan…err.. tadi Afiya terjatuh sewaktu aktiviti sukan. Katanya, kawan yang sedang berlari tidak sengaja terlanggar dia. Kebetulan pula waktu itu Afiya tengah pegang bola, itu yang terus tersembam muka tu, tak sempat nak tampan dengan tangan..” Jelas Cikgu Haidar setelah beberapa kali menelan air liur.

Berpeluh juga dia menonton drama tidak berbayar di depan mata. Mujur dia tidak ikut sama menangis teresak-esak seperti kebiasaannya ketika menonton drama sedih di kaca televisyen. Bukan sekali dua dia diusik dan diketawakan oleh isteri dan anak-anaknya. Itu belum lagi kalau abangnya yang nampak. Paling kurang pun mungkin berbulan juga dia akan diejek dan dibahan.

Isha mengarahkan pandangannya kepada Cikgu Haidar. Air mata masih belum berhenti merembes keluar sepenuhnya. Cikgu Haidar menelan liur buat kesekian kalinya.

“Err… lepas tu saya minta Afiya ke bilik guru dahulu untuk berehat dan dirawat, sementara saya simpan peralatan sukan di stor sukan. Saya minta dua orang rakan yang menemaninya supaya singgah ambil kotak rawatan kecemasan terlebih dahulu. Waktu itulah Fara Afiya masuk sendiri terlebih dahulu ke bilik guru…” Sampuk guru pendidikan jasmani yang menelefon Isha sebentar tadi, Cikgu Aidil.

“Kemudian bila saya dan rakan-rakan dia masuk ke bilik guru, Fara Afiya dah tak ada di situ. Ustazah Zaiton yang waktu tu ada di bilik guru pun tidak tahu ke mana dia pergi.” Sambung guru itu lagi.

Isha masih tekun mendengar, air mata di pipi diseka perlahan. Sesekali abang Alif yang berdiri di sampingnya kelihatan mengangguk-anggukkan kepala, mengiyakan penjelasan Cikgu Aidil yang telah pun disampaikan kepadanya sebelum ini.

“Rupanya kebetulan masa tu, guru  kelas Afiya, Cikgu Haidar ni turut masuk ke bilik guru, nak ambil barang peribadi. Kalau diikutkan, Cikgu Haidar bercuti hari ni, jadi saya memang tak dapat mengagak yang Cikgu Haidar bawa Afiya ke klinik..” Ujar guru  itu lagi, mengakhiri penjelasannya.

“Saya terkejut tengok Afiya cedera macam tu. Tak fikir panjang dah, terus nak bawa dia ke klinik. Risau juga tengok hidung dia lebam biru macam tu, bibir pun bengkak  teruk. Takut kalau ada tulang retak ke apa. Dalam kalut-kalut tu, saya cuma sempat berpesan pada Cikgu Ziana yang masa tu ada di bilik guru.” Sampuk Cikgu Haidar pula, menyampaikan cerita dari pihaknya.

“Cikgu Ziana hari ini tak berapa sihat. Dari awal pagi diserang migrain kuat. Nak dijadikan cerita, dia cuma mengiyakan saja pesanan Cikgu Haidar, selepas tu langsung terlupa. Masa kami kecoh-kecoh cari Afiya pula, dia berbaring tidur di surau untuk meredakan sakitnya lepas makan ubat. Langsung dia tak sedar dengan apa yang berlaku.” Cikgu Aidil mencelah menyambung cerita Cikgu Haidar mengenai kronologi ‘kehilangan’ Fara Afiya.

Isha mengangguk-anggukkan kepalanya, mula faham dengan duduk perkara sebenar.

“Maaflah puan… buat puan, dengan encik risau macam ni. Sebenarnya kami pun cemas juga tadi. Tambah lagi dengan adanya kes pelajar hilang baru-baru ni…” Ujar Cikgu Aidil, memohon maaf bagi  pihak sekolah.

Isha menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tak apa cikgu, saya faham…” Balasnya lembut.

“Betul tu… dan kami berterima kasih atas tindakan cikgu-cikgu dan pihak sekolah.” Aqmar Alif pula bersuara.

“Err.. saya dah bawa Afiya ke klinik…doktor cakap tak ada apa-apa kecederaan yang serius. Ini ada beberapa jenis ubat yang diberi. Ubat tahan sakit, ubat surut bengkak, dan krim sapu untuk luka.” Cikgu Haidar menghulurkan plastik kecil berisi beberapa botol ubat kepada Aqmar Alif.

“Alhamdulillah…” Sahut Isha dan Aqmar Alif serentak.

Lega hati mendengar cedera di wajah Fara Afiya tidak serius.

“Err..Afiya dapat cuti sakit sampai lusa. Sempatlah dia berehat, sambung terus dengan cuti hujung minggu.” Tambah Cikgu Haidar.

“Baik, baik… terima kasih banyak cikgu, cuti-cuti pun tolong bawakan Fiya ke klinik.” Ujar Aqmar Alif sambil bersalaman dengan Cikgu Haidar.

“Eh tak ada masalahlah encik… Fara Afiya ni pelajar cemerlang. Permata kelas saya. Fiya cepat sembuh ya, ubat makan tau.” Pesan Cikgu Haidar sambil membongkokkan badannya menyamai paras ketinggian Fara Afiya.

Fara Afiya hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Cikgu Haidar tersenyum mesra.

“Dengar cakap mama papa ya..” Ujarnya lagi.

“Baba Ngah…” Tegur Aqmar Alif perlahan.

Cikgu Haidar kembali menegakkan tubuhnya sambil memandang wajah Aqmar Alif, mengharapkan penjelasan lanjut.

“Ayah dia ada di Timur tanah air, tinggal di sana dengan keluarga baru.. uminya dah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Sekarang dia dengan adiknya tinggal dengan Mama Chu diorang ni.. adik saya.” Jelas Aqmar Alif seringkas yang boleh.

“Oh..maaf, saya tak tahu…” Ujar Cikgu Haidar serba salah.

Tidak semena-mena hatinya dihambat rasa simpati kepada pelajar kesayangannya itu. Tidak tahu pula dia, gadis kecil itu anak  yatim. Dia sendiri baru sahaja bertukar ke sekolah itu awal tahun ini. Belum sempat mengenali pelajar-pelajarnya dengan mendalam.

“Eh tak apa…” Sahut Aqmar Alif ramah.

“Err… boleh kita bawa adik Fiya, Fara Afina pulang sekali cikgu?” Isha bersuara.

“Eh, boleh, boleh… err puan tunggu sekejap, saya bawakan dia ya.” Ujar Cikgu Aidil menawarkan diri.

“Terima kasih cikgu. Fara Afina di kelas 1 Semangat.” Maklum Isha.

 

TIDAK lama menunggu, Fara Afina muncul di muka pintu bilik guru tersebut dengan diekori Cikgu Aidil. Berlari anak dia mendapatkan mereka di situ. Jelas riak terkejut di wajahnya melihat Fara Afiya.

“Kakak kenapa..?” Soalnya dengan muka sedih.

“Kakak jatuh sayang…” Jawab Isha lembut.

Pantas Fara Afina memeluk Isha sambil matanya tidak lekang meneliti wajah Fara Afiya.

“Kesian kakak…” Ujarnya perlahan sambil mengusap-usap bahu kakaknnya.

Fara Afiya masih lagi mendiamkan diri. Wajah adiknya dipandang sepi. Mungkin sedang menahan sakit, atau masih terkejut dengan kemalangan dan kekecohan yang berlaku.

“Baiklah, kami minta diri dulu  ya. Terima kasih banyak  cikgu.” Pinta Aqmar Alif.

“Terima kasih cikgu..” Ujar Isha sambil menunduk hormat.

“Jom sayang.. kita balik letak ais ya?” Ujar Isha lagi sambil memmpin tangan Fara Afiya dan Fara Afina keluar.

“Nanti adik tolong mama jaga kakak ea? Kesian kakak sakit…” Ujarnya pada Fara Afina pula.

Pantas gadis kecil itu menganggukkan kepalanya.

“Fiya boleh jalan tak? Nak Baba Ngah dukung?” Soal Aqmar Alif pula.

Mereka beriringan berjalan menuju ke kereta.

Cikgu Haidar dan Cikgu Aidil hanya melihat langkah keluarga itu yang semakin menjauh, sebelum saling berbalas pandangan.

“Jom.” Ujar Cikgu Haidar, pandangannya dijatuhkan pula kepada susuk yang sedari tadi hanya memerhati dari satu sudut.

 

“ISHA balik rumah dulu.. abang pergi belikan makan tengah hari kejap.” Arah Aqmar Alif pada adiknya.

“Fina nak ikut mama dengan kakak balik ke atau nak ikut Baba Ngah pergi beli lauk dulu?” Soalnya pula pada si kecil itu.

“Adik nak balik, nak jaga kakak.” Petah dia menjawab.

“Amboi… bagus anak Baba Ngah ni. Betul tak nak ni? Boleh beli aiskrim.” Pujuk bapa saudaranya.

Fara Afina kelihatan terdiam berfikir sebentar.

“Jomlah, adik belikan aiskrim untuk kakak. Mama jaga kakak dulu ya?” Pintanya menukar fikiran.

Isha menggeleng-gelengkan kepalanya sambil tersenyum.  Matanya menghantar langkah si kecil Fina dan Aqmar Alif yang berpimpin tangan menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari kereta Isha.

“Sayang ok? Betul ke tak sakit?” Soal Isha.

Matanya kembali meneliti wajah Fara Afiya. Hatinya berdoa agar luka tersebut cepat sembuh dan tidak mneinggalkan parut.

“Sakit sikit je…” Sahut Fara Afiya perlahan dengan bibir yang digerakkan seminima mungkin.

Luka dan bengkak di bibir membuatkan dia kurang bercakap. Kalau tidak, mungkin sudah riuh mulutnya bercerita tentang apa yang berlaku, seperti kebiasaannya. Naik letih Isha melayan kedua beradik itu berbual. Ramah sangat.

“Kuat betul anak mama ni. Kalau mama, luka macam ni…, mama dah guling-guling menangis dah.” Gurau Isha.

Fara Afiya mengawal senyum. Sayu Isha menatap sepasang mata redupnya. Kehilangan ibu pada usia yang begitu muda, ayah pula nun jauh di sana. Adalah jarang-jarang, sesekali bertanya khabar. Sibuk dengan kerja dan keluarga baru. Isha benar-benar tersentuh. Isha membesar dalam keadaan sempurna. Dari kecil hingga dewasa, ayahnya sentiasa ada, boleh datang untuknya bila-bila sahaja dia perlukan. Sehinggalah ayah jatuh sakit akhir-akhir ini.

Ibunya juga sentiasa ada, melindunginya, merawatnya ketika sakit, sehinggalah bidadari hatinya itu pulang menghadap Sang Pencipta. Sebagai anak bongsu juga, Isha sentiasa rasa selamat dalam jagaan dan perlindungan abang dan kakaknya. Sejujurnya, Isha tidak dapat memahami dan menyelami sepenuhnya hati anak-anak kecil ini, terutamanya Fara Afiya yang semakin menginjak usia remaja.

“Balik nanti kita letak ais ya?” Bual Isha sambil membuka pintu kereta untuk anak buahnya.

Pintu kembali ditutup dengan berhati-hati. Serentak itu juga hati Isha tiba-tiba berdebar-debar. Spontan dia menoleh ke kiri dan kanan. Mencari kalau-kalau orang yang dikenalinya ada di sekitar situ. Kelihatan Cikgu Haidar sedang memandang dan tersenyum ke arahnya sambil membuka pintu kereta di suatu sudut di kawasan parkir tersebut. Isha hanya membalas senyumannya dengan menunduk hormat sebelum memboloskan tubuhnya ke dalam perut kereta.

 

“ABANG gerak dululah.. kena masuk pejabat balik ni. Petang ni ada meeting.” Ujar Aqmar Alif sambil tangannya licah merapatkan semula kerusi-kerusi di meja makan.

“Haa yelah.. terima kasih abang Alif datang… terkejut betul Isha tadi. Macam nak luruh jantung ni.” Sahut Isha yang baru siap mengemaskan meja.

“Hmm.. awak tu hati-hati juga dik… keluar bertiga perempuan je… orang zaman sekarang ni memang banyak yang pelik-pelik. Kes culik budak-budak pun makin menjadi sangat pulak sekarang ni. Baru je minggu lepas, kawan abang, anak dia nyaris dilarikan orang dekat pasaraya. Masa tu dia tinggalkan anak isteri dia untuk ke tandas sekejap. Masa dia keluar tandas dia nampak ada lelaki yang bertutup kepala, muka semua, cuba hampiri anak dia yang bermain berdekatan bangku yang isteri dia duduk. Isteri dia tengah leka bercakap telefon masa tu. Nampak je kawan abang datang dekat, terus lelaki pelik tu cepat-cepat larikan diri. Terkejut 2,3 orang awam yang ada dekat situ.” Cerita Aqmar Alif panjang lebar.

Sungguh, dia bimbangkan keselamatan adik perempuan dan anak-anak buahnya itu. Tinggal bertiga sahaja. Diajak tinggal bersamanya, ada sahaja alasannya untuk mengelak. Walhal dia tahu, Isha risau kalau-kalau mereka bertiga menganggu ruang peribadi dia dan isterinya.

“Ishh…takutnya…jahatlah orang sekarang ni..” Seram Isha mendengar kejadian-kejadian begitu.

“Itulah…abang suruh awak kahwin cepat-cepat tak nak. Ada juga orang lelaki dalam rumah ni.” Aqmar Alif mengambil kesempatan mengusik.

Isha mencebik geram.

“Eleh..abang ingat senang ke nak cari calon. Abang carikanlah. Kat pejabat takde ke yang handsome-handsome?” Sahut Isha memulangkan paku buah keras.

Handsome eh…hmm…handsome takde, yang botak, yang boroi adalah. Isha nak?” Balas Aqmar Alif, masih belum puas mengusik.

Isha menjeling tajam. Fara Afiya dan Fara Afina yang turut sama mencuri dengar perbualan mereka mengekeh ketawa.

“Baba Ngah, mama nak handsome macam cikgu Fiya, Cikgu Haidar tu.” Ujar Fara Afiya. Sibuk mahu ikut mengusik walau dengan mulut bengkak.

“Amboi…bukan main eh masing-masing, gelakkan mama. Itu sorang tu, dah tak sakit lagilah tu.” Bebel Isha.

“Nanti Fiya tolonglah tanya cikgu Fiya tu, tak ada ke adik ke abang ke yang bujang lagi. Boleh kenalkan dengan mama.” Sambut Aqmar Alif.

“Ada… cikgu Haidar ada abang. Tadi dia ikut bawa Isha pergi klinik. Mama ingat tak orang yang kita jumpa kat DIY tu? Yang mama cakap orang jahat tu?” Soal Fara Afiya, semakin ramah berbual.

Ringan sedikit hati Isha melihat Fara Afiya yang kembali banyak berceloteh. Tidak seperti awal-awal tadi, lebih banyak mendiamkan diri. Mungkin ubat yang diberikan membantu  mengurangkan sakitnya. Tadi pun Isha sempat menuamkan ais di hidung, bibir dan dahinya sebelum makan. Sebentar lagi dia akan menuamkan ais untuk anak manis itu dengan lebih kerap.

“Oh…yang pakai hitam semua tu?” Soal Isha kembali, imej lelaki yang mendekati anak-anak saudaranya tempoh hari mula terbayang di mindanya.

“Haah, itulah adik cikgu Haidar mama. Dia bukan orang jahat.” Jelas Fara Afiya bersungguh.

“Oh..ye ke…” Balas Isha sambil mengangguk-anggukkan kepala.

Dalam diam dia mengagumi daya ingatan gadis kecil itu. Seingatnya, lelaki tempoh hari berpakaian menutup kepala dan pelitup muka. Jika terserempak sekali lagi pun, belum tentu Isha dapat mengecamnya.

“Iya… Fiya tak ingat sangat muka dia. Tapi Fiya ingat suara dia. Pakcik tu kan, ada misai dengan janggut banyak.” Jelas Fara Afiya lagi sambil mengisyaratkan bahagian wajahnya bagi menggambarkan lelaki itu.

“Macam Santa Clause ke kakak?” Sampuk Fara Afina, mungkin sedang membayangkan wajah lelaki yang dimaksudkan.

Bersungguh Fara Afiya menganggukkan kepalanya,mengiyakan soalan si adik. Lucu pula melihat wajahnya dengan mulut yang sudah memuncung tebal ala-ala pelakon terkenal Angelina Jolie. Isha mengulum senyum dalam simpati.

“Dia kenal mama.” Sambung Fara Afiya lagi.

Isha mengerutkan dahinya. Siapa?

“Haa…eloklah tu… nanti Fiya boleh cakap dekat pakcik tu, mama kirim salam.” Sampuk Aqmar Alif yang dari tadi memberikan peluang si kecil itu bercerita.

“Tapi… Fiya dengan Fina kena janji dengan baba tau, hati-hati dengan orang yang tak kenal. Zaman sekarang ni, orang yang nampak baik pun kadang-kadang sebenarnya jahat. Kita takt ahu. Jadi kena sentiasa berhati-hati. Boleh?” Pesan Aqmar Alif yang sudah bertinggung bersalaman dan mencium dahi  anak-anak saudaranya penuh kasih.

“Kirim salam ayah dengan kak Syara abang… inshaAllah tengok weekend ni ke, Isha bawa diorang tengok tokwan diorang. Isha pun memang ambil cuti sampai weekend terus ni.” Ujar Isha sambil bersalaman dengan abangnya.

 Memang dia sudah siap memaklumkan atasannya  untuk bercuti sebaik pulang ke rumah tadi kerana Fara Afiya kurang sihat. Rakan-rakan sekerja juga sudah sedia maklum mengenai keadaan Fara Afiya yang dirisaukan hilang pada awalnya.

“Eloklah tu.. boleh buat fisio kat ayah sekali. Abang dengan akak awak bukannya pandai sangat. Fiya jangan lupa makan ubat  tau. Biar cepat baik..” Pesan Aqmar Alif lagi sebelum mengorak langkah ke pintu utama.

“Baba Ngah kirim salam dekat Ammar dan Akmal….” Pesan Fara Afina sambil melambai-lambai pada bapa saudaranya.

Aqmar Alif membalas lambaian mereka mesra. Hatinya berdoa memohon perlindungan untuk mereka kepada Tuhannya.




No comments:

Post a Comment