Saturday, May 25, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 5)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 5

PERLAHAN Isha bangun dari sujudnya yang lama. Awal pagi itu, dia bangun bertahajjud seperti kebiasaannya. Puas ditumpahkan rasa berterima kasih yang tidak terhingga kepada Tuhannya kerana kehilangan Fara Afiya hanyalah sebuah salah faham. Sungguh dia tidak dapat membayangkan sesuatu sedahsyat itu berlaku kepada anak kecil yang dicintainya sepenuh hati. Gugur air matanya melampiaskan rasa hati dalam sujud syukurnya kala itu.

Salam diberi seraya meraup wajah yang basah dengan air mata. Baru sahaja sepasang tangannya ditadah untuk memohon doa, bunyi batuk kecil menangkap pendengaran Isha. Spontan dia menoleh ke arah anak-anak buahnya yang sedang lena diulit mimpi di atas katil. Susuk mereka diteliti seketika, tiada siapa yang batuk. Sebaik pandangannya beralih semula, kedengaran lagi bunyi batuk kecil tersebut.

Sekali lagi Isha menoleh ke arah kedua anak kecil itu. Memang tiada siapa yang menunjukkan tanda-tanda sedang terbatuk. Dalam pada pandangannya masih jatuh ke tubuh keduanya, telinganya menangkap bunyi batuk kecil itu lagi, beberapa kali. Jelas dan dekat. Kemudian batuk tersebut berubah nada. Seakan-akan bunyi batuk yang sengaja dibuat-buat, dengan tujuan mengejek atau menyindir.

Serta merta bulu roma Isha meremang. Dia memaksa diri untuk tidak mengendahkan usikan tersebut. Beberapa ayat suci al-Quran yang terlintas di benaknya cuba dibisik perlahan bagi meredakan rasa seram yang mula bertamu. Kedua matanya dipejam rapat, tidak sanggup untuk melihat apa-apa jelmaan yang mungkin muncul secara tiba-tiba. Sedang dia bertarung dengan rasa takut yang menyelubungi diri, tiba-tiba tingkap biliknya diketuk kuat.

“Tuk! Tuk! Tuk!” Terlompat tubuh Isha dari duduknya.

Rasa terkejut dan takut berlumba-lumba menyerang. Isha rasa nak menangis. Perlahan tangannya mencapai surah Yassin di atas kabinet. Dipeluknya erat. Hatinya tidak berhenti berzikir menyebut nama Allah. Sedaya upaya dia berperang dengan rasa takut. Bukan maksudnya untuk tunduk takut pada makhluk. Tetapi usikan begitu sedikit sebanyak menggugat keberaniannya yang memang sejemput cuma.

“Tuk! Tuk! Tuk! Tuk!” Ketukan di tingkap semakin kuat dan bertalu-talu.

Memang tidak logik untuk sesiapa pun datang mengetuk tingkap biliknya pada waktu begitu. Lagi pula, pagar depan sudah dikunci kemas. Jarak antara pagar hadapan dengan tingkap biliknya agak jauh, dipisahkan keretanya yang diparkir di situ. Tak akanlah ada orang yang memanjat masuk. Berulang kali Isha membisikkan ayat Qursi sehingga akhirnya ketukan tersebut mereda dan berhenti.

“Mama…sekarang pukul berapa..” Isha membuka matanya mencari pemilik suara.

“Sekarang pukul berapa mama…” Soal Fara Afina yang bersila di tepinya dengan rambut kusut masai.

Isha tersenyum sambil menarik nafas lega. Tubuh kecil itu diraih ke dalam pelukannya. Fara Afiya yang masih lena di katil dikerling sekilas. Tiba-tiba jantung Isha kembali berdetak kencang. Bukan satu susuk yang sedang terbaring di katil, tetapi dua! Kedua-dua Fara Afiya dan Fara Afina masih nyenyak tidur dalam posisi yang sama seperti tadi. Macam nak luruh jantung Isha melihatnya.

Serentak itu juga ‘Fara Afina’ yang sedang berada di dalam dakapannya terbatuk-batuk kecil. Tidak lain tidak bukan, persis seperti bunyi batuk mengejek yang didengarnya awal tadi.

“Allahu Akbar!!” Pekik Isha kuat.

Pelukannya dilepaskan serta merta tanpa melihat ke arah mahkluk yang didakapnya tadi. Fara Afiya dan Fara Afina kelihatan berkalih dari baring, mungkin terkejut dengan pekikan Isha. Beberapa saat selepas itu pula kedengaran suara azan berkumandang memecah kesunyian Subuh dari masjid berdekatan. Isha bingkas bangun dan mengetik suis lampu.

Bilik yang tadinya dihiasi lampu malap di bahagian tempat dia bersolat, kini terang benderang disimbahi cahaya lampu di seluruh ruang bilik. Terkejip-kejip mata kedua gadis kecil itu menahan simbahan cahaya terang tersebut. Dada Isha yang bergendang sakan beransur teratur detaknya melihat tiada apa yang aneh di dalam bilik tersebut. Suara azan yang masih berkumandang juga sedikit sebanyak menenangkannya.

“Allah….” Ungkapnya perlahan, melepaskan keluhan berat.

 

“MAMA dengan kakak seronoklah cuti… adik je kena pergi sekolah…” Rungut Fara Afina sambil memuncungkan mulut.

Sejak pagi tadi, bermula dari saat dia dikejutkan dari tidur, diminta bersiap, sehingga selamat dihantar ke sekolah lagi tidak berhenti dia membebel menyatakan ketidakpuasan hati. Sekarang bersambung pula sewaktu Isha dan kakaknya mnejemputnya pulang dari sekolah.

“Ala..hari ni dengan esok je pun lagi kena sekolah… hari ni dah habis, hah tinggal esok je lagi.” Pujuk Isha sambil memarkirkan kereta dengan cermat.

“Tapi tak acilah… esok adik kena pergi  lagi…” Sahut Fara Afina masih tidak berpuas hati.

“Kakak kan sakit sayang…cuba adik tengok mulut kakak tu. Ha…adik tak kesian ke…?” Soal Isha cuba memancing simpati si kecil.

Pandangan mata Fara Afina melorot ke wajah kakaknya.

“Kesian…” Jawabnya perlahan.

“Adik tolong mama jaga kakak sama-sama ea?” Pujuk Isha lagi sambil mengucup kepala Fara Afina.

Laju Fara Afina mengangguk-anggukkan kepalanya. Pintu kereta bahagian penumpang di depan dibuka. Lalu gadis kecil itu turun sebelum membukakan pintu untuk kakaknya di belakang. Isha hanya tersenyum melihat tingkahnya.

“Tak kerja ke hari ni, Isha?” Teguran yang tiba-tiba tersebut membuat Isha tersentak seketika.

Kebelakangan ini memenag dia mudah terkejut. Mungkin akibat daripada gangguan-gangguan yang sering menghantuinya akhir-akhir ini. Memang dia tak perasan langsung jiran sebelahnya itu turut berada di halamn rumah ketika itu.

“Err…ha’ah..cuti… ni ha..jatuh kat sekolah, dapat mc sampai esok.” Jawab Isha jujur.

“Laa… bengkak sekali tu.. dah pergi klinik? Kalau belum, abang Faiz boleh tolong bawakan.” Tawar jirannya mesra.

“Eh..dah…cikgu dia dah bawa. Dapat ubat dah. Terima kasih.” Ujar Isha sopan.

Sememangnya dia tidak pernah membahasakan jirannya itu dengan panggilan ‘abang’. Terasa sangat kekok dan janggal. Biasanya kalau di tempat kerja pun Isha akan memanggil rakan sekerja atau pesakit yang lebih tua dengan panggilan yang formal, ataupun hanya menyebut nama mereka.

Lelaki itu lebih tua darinya, mungkin sebaya dengan abang Alif atau lebih. Baru sahaja berpindah ke rumah sebelah lebih kurang setengah tahun yang lalu. Sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak perempuan. Itupun kalau Isha tak salah kira. Tidak pula dia bertanya dengan lebih lanjut.

Isterinya, Kak Ifah, agak pendiam orangnya. Isha jarang bertembung dengannya walaupun tinggal sebelah-sebelah. Mungkin dia memang jenis orang yang tidak keluar rumah. Kalau ada pun terserempak, mereka hanya berbalas senyum. Itupun Isha tak pernah nampak senyumannya, kerana dia sentiasa memakai purdah. Anak-anak perempuannya pun begitu. Daripada saiz tubuh mereka, Isha menganggarkan usia mereka sekitar 5 hingga 10 tahun.

Suaminya Faiz pula lebih mesra dan peramah, kadang-kadang sampai menimbulkan rasa sedikit risau pada Isha. Bukan apa, bimbang mendatangkan salah faham. Bagaimanapun, Isha memang menghormati keluarga itu. Kelihatan begitu menjaga agama. Boleh dikatakan setiap waktu solat, akan kedengaran bunyi motosikal Faiz bersiap ke masjid untuk berjemaah. Tak pernah gagal, tak kira hujan atau panas.

Setahu Isha, jirannya itu bekerja sendiri, melakukan tugas-tugas pendawaian elektrik dan mengambil tempahan menempa besi. Dia memiliki 2 buah van persendirian yang kadang kala diletakkan di tepi pagar rumah kak Leeya yang terletak di hujung sekali. Kerap kali juga rumahnya dikunjungi orang-orang yang tidak biasa dilihat Isha bersilih ganti, mungkin pekerja atau pelanggannya. Isha sendiri pun bukan jenis yang mudah mengecam wajah orang. Jika diubah sedikit pun dia sudah tidak perasan.

“Oh…kalau ada apa-apa jangan segan-segan bagitahu…inshaAllah abang Faiz mesti boleh tolong Isha.” Ujar lelaki itu lagi sambil melemparkan senyum.

“Terima kasih…” Balas Isha sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

Beg sekolah Fara Afina diraih dari dalam kereta lalu langkah segera dibuka untuk beredar masuk ke dalam rumah.

“Baca doa dulu sayang…” Pinta Isha.

Berlumba kedua beradik itu membacakan ayat Qursi dan surah al-Ikhlas dengan fasih. Isha turut sama menyertai bacaan mereka dengan suara yang perlahan.

“Bismillahirrahmanirrahim… Bismilahi walajna wa Bismillahi kharajna wa’alaa rabbina tawakkalna…” Lalu diungkapkan pula doa masuk rumah yan ringkas.

“Langkah kaki kanan sayang…, bagi salam dulu…” Tak jemu Isha berpesan kepada kedua orang anak buahnya, sampai terkadang dia pula dibebel mereka kerana sering mengulang-ulang pesanan yang sama.

“Sayang mandi dulu, nanti boleh makan sama-sama. Nak makan sendiri ke, nak mama suap?” Soal Isha sambil menanggalkan tudung dan menyalin pakaian.

“Mama suap!” Sahut mereka serentak.

Isha hanya mengusik mereka wajah lucu.

“Baiklah tuan puteri. Dah, tuan puteri pergi mandi dulu, sakit dah hidung mama ni bau ucuk acem!” Gurau Isha lagi.

Fara Afina hanya mencemik sebelum tertawa sambil berlari anak ke arah bilik mandi.

“Jom sayang, mama tuamkan ais dulu kejap, lepas tu boeh sapu ubat. Kejap lagi nak makan.” Ajak Isha.

Fara Afiya hanya menurut tanpa banyak soal. Isha memasukkan ketulan ais ke dalam beg tuam lalu membawanya ke depan. Kepala gadis kecil itu diriba di pangkuannya lalu beg ais di tangannya dituam perlahan-lahan ke dahi, pangkal hidung dan bibir anak saudaranya itu. Pangkal hidungnya kelihatan semakin membiru, tetapi luka di bahagian dahi dan bibirnya sudah beransur kering dan membaik.

“Sakit lagi tak sayang?” Soal Isha sayu.

“Sakit sikit je..” Jawab Isha pendek.

Matanya ralit menonton siri rancangan kartun Upin dan Ipin di kaca televisyen. Memang dari hari kejadian lagi, begitulah jawapannya. Tiada langsung dia merengek atau menangis kesakitan. Riaknya begitu tenang bersahaja sedangkan Isha yang melihat lukanya pula yang bagai terasa sakitnya. Sedang asyik Isha membelek dan menuamkan ais ke wajah Fara Afiya, loceng rumahnya berbunyi.

Isha bangun menjenguk di tingkap. Kelihatan jiran mereka, Faiz sedang berdiri di depan pagar. Kelam kabut Isha berlari mengenakan jubah kosong dan tudung sarung sebelum keluar.

“Ni ha Isha, abang Faiz ada beli ayam goreng crispy lebih… aiskrim pun ada untuk anak-anak buah Isha.” Tegur Faiz sebaik terlihat Isha yang kalut mneyarungkan selipar dan berjalan mendapatkannya.

“Oh..terima kasihlah…susah-susah je…” Balas Isha berbahasa.

“Eh takde susahlah, abang dah anggap diorang macam anak-anak abang sendiri. Lagipun besar pahala menyantuni anak-anak yatim..” Syarah Faiz sambil tersenyum-senyum.

Isha hanya tersenyum sambil menyambut bungkusan plastik yang dihulurkan tanpa membuka pagar.

“Isha kalau tak sempat nak masak ke, tak larat ke, bagitahu je dengan abang. Abang boleh belikan makan.” Pesan Faiz mesra.

“Eh takpe…” Tolak Isha sopan.

“Terima kasih ya.” Ujarnya lagi.

“Ya..sama-sama..ada apa-apa terus call abang ya. Whatsapp pun boleh. Bila-bila masa pun takpe.” Pesan Faiz lagi.

Isha hanya mengukir senyum sebelum meminta diri untuk masuk ke dalam rumah.

“Wahh…! Aiskrim…!” Sambut budak berdua tersebut girang.

Isha hanya menggeleng-gelengkan kepala. Macaa tak pernah dapat aiskrim. Padahal di dalam peti ais mereka sentiasa tersedia stok aiskrim kegemaran mereka. Cumanya Isha mengawal pengambilan makanan manis mereka untuk kebaikan kesihatan mereka. Mereka hanya dibenarkan makan manisan begitu dalam jumlah tertentu dalam satu hari.

“Hmmphh…makan nasi dulu. Lepas tu baru boleh makan aiskrim.” Larang Isha sambil terus membawa bungkusan aiskrim untuk disimpan di dalam peti sejuk.

“Sayang nak makan nasi dengan ayam goreng ke, atau ayam masak kicap mama masak?” Laung Isha dari dapur.

“Emm… ayam kicap…!!” Laung Fara Afina semula dari  ruang tamu.

Nasi disendukkan sebelum pinggan dibawa ke depan. Memang sudah menjadi kebiasaan mereka makan bersama sambil menonton televisyen.

“Sayang, tolong mama ambilkan ubat kakak kat atas meja.” Pinta Isha kepada Fara Afina.

Berjoget-joget gadis kecil itu mengikut irama lagu kanak-kanak yang bermain di televisyen sambil melangkah ke meja makan yang terletak di ruang tengah rumah. Isha menyambut huluran Fara Afina lalu mengeluarkan isi dari bungkusan tersebut. Krim sapu yang dibekalkan doktor disapu lembut pada bahagian bibir Fara Afiya, bagi membolehkannya makan dengan selesa tanpa rasa sakit.

“Baca doa dulu sayang…” Pinta Isha.

Berlagu-lagu anak-anak itu mengalunkan bacaan doa makan bersama-sama. Kemudian barulah Isha menyuapkan nasi ke mulut Fara Afiya dengan cermat, diikuti adiknya.

“Terima kasih mama, jaga Fiya masa Fiya sakit…” Tiba-tiba Fara Afiya bersuara sambil mengunyah makanan.

“Em! Terima kasih mama, selalu suapkan kakak dengan adik makan..” Fara Afina juga sibuk mahu ikut berterima kasih.

“Sama-sama sayang…sayang mama tak?” Soal Isha sambil tersengih.

Soalan yang memang sudah sangat popular di bibirnya. Boleh dikatakan sehari beberapa kali dia akan menuturkan soalan tersebut kepada anak-anak itu. Sudah menjadi kebiasaan. Suka dia mendengar pengakuan kasih dari keduanya. Biarpun diungkapkan berkali-kali dan berulang-ulang, tetap mendatangkan rasa senang dan bahaga di hati setiap kali mendengarnya.

“Sayaaanngg….!” Pekik mereka berdua dalam keadaan mulut masih penuh berisi nasi.

Terledak ketawa mereka tiga beranak.

“Dulu masa Fiya kecil, umi yang selalu suapkan makan. Sekarang mama.” Ujar Fara Afiya.

“Hmm? Sepatutnya Fiya dengan adik kena makan sendirilah kan, sebab dah besar?” Tukas Isha pula.

“Tapi mama suap sedap. Lagipun kalau makan sendiri nanti tak habis.” Petah Fara Afina membalas bicara.

“Hmmphh…iyalah tu. Nanti mama nak cakap kat cikgu, adik dengan kakak kat rumah makan kena suap lagi.” Tingkah Isha.

Mengekek anak-anak  itu dengan gurauan mama mereka.

“Kalau mama tak nak suap nanti adik bagitahu dengan umi masa kat syurga nanti.” Ada sahaja akal si kecil itu mahu berbalas jawab.

Isha mencemikkan mulutnya. Kemudian dia meredupkan pandangan pada anak-anak yang suci itu.

“Adik dengan kakak rindu umi?” Soal Isha sayu.

Kedua-dua mereka menganggukkan kepala laju.

“Kalau adik dengan kakak rindu, bacakanlah al-Fatihah untuk umi… mesti umi gembira dapat hadiah al-Fatihah dari anak-anak dia.” Pesan Isha.

Ok mama….” Sahut mereka berdua pantas.

“Umi tengah makan sedap ke kat syurga, mama?” Soal Fara Afina, masih belum mahu menamatkan perbualan.

Isha terdiam seketika. Cuba merangka jawapan untuk menjawab soalan anak kecil itu.

“Emm…ustaz cakap…, orang yang dah meninggal, dia belum masuk syurga lagi. Dia tinggal di alam barzakh dulu.” Ujar Isha.

“Alam barzakh tu apa mama?” Soal Fara Afiya sambil membetulkan duduk, mneunjukkan minat untuk mendengar penerangan lanjut dari mamanya.

“Alam barzakh tu alam kuburlah… Bila kita meninggal dunia, roh kita akan berada di alam barzakh. Kalau kita meninggal dalam keadaan husnul khatimah, iaitu mati dalam keadaan baik, inshaAllah roh kita akan berehat di taman-taman syurga. Tapi belum masuk syurga lagi. Kena tunggu sampai hari kiamat dulu. Bila dah berlaku kiamat, lepas tu kita akan dibangunkan semula. Kita akan berkumpul ramai-ramai kat padang Mahsyar. Ha, kat situ nanti semua amalan kita akan ditimbang. Nak tengok, pahala banyak ke, atau dosa yang banyak. Lepas tu baru boleh masuk syurga. Boleh makan sedap-sedap. Nak makan apa pun boleh. Nak makan aiskrim, makan coklat, dari pagi sampai malam pun boleh. Sebab kat syurga nanti dah tak ada dah penyakit. Dekat sini je kita kena sabar. Kena jaga kesihatan…” jelas Isha seringkas yang boleh, sambil menyelitkan nasihat yang mudah untuk mereka.

“Ooo…kalau nak makan aiskrim yang besaaar macam ni boleh?” Soal Fara Afina lagi sambil menggayakan tangannya.

“Bolehh….” Jawab Isha.

Leka dia melayan kerenah dan angan-angan mereka tentang syurga.  Mudahan mereka sekeluarga akan berkumpul lagi di syurga Allah nanti.

“Isha pun rindu ibu dan kak Leeya…” Bisik hatinya perlahan.




No comments:

Post a Comment