JANGAN SENTUH MEREKA!
Bab 6
ISHA melajukan langkahnya. Entah kenapa dia
berasa tidak sedap hati sejak tadi. Terasa seperti dirinya sedang diperhatikan,
seperti ada yang mengekori!
Hujung minggu itu mereka bertiga
berkunjung ke rumah abang Alif dan kak Syara seperti kebiasaannya. Menziarah
Encik Arif, ayah Isha yang terlantar sakit setelah diserang strok. Sebelah
tubuhnya lumpuh dan langsung tidak dapat digerakkan. Usianya yang sudah tua
pula membuatkan proses pemulihannya menjadi sangat perlahan. Seluruh tubuhnya
lemah tidak bermaya, untuk bangun duduk sendiri pun dia tidak mampu. Semuanya
perlu dibantu sepenuhnya.
Pertuturannya juga menjadi tidak lancar
serta sukar difahami oleh mereka yang lain. Encik Arif bergantung sepenuhnya
pada abang Alif untuk urusan sehariannya. Mujurlah kebanyakan masa abang Alif
dibenarkan bekerja dari rumah.
Hanya beberapa hari dalam seminggu dia
akan masuk ke pejabat untuk menyelesaikan urusan kerja yang lain seperti
menghadiri mesyuarat dan sebagainya. Waktu itu, kak Syara pula yang akan
mengambil alih tugas abangnya, memandangkan kakak iparnya itu seorang suri
rumah sepenuh masa.
Isha pun tidaklah faham sangat tentang
cara kerja abangnya di bahagian perundangan itu. Tetapi dia sangat bersyukur
kerana kebajikan ayah tercinta terurus dengan baik dalam jagaan abangnya.
Kakak ipar yang sangat baik dan
mengasihi ayah mereka seperti ayahnya sendiri juga merupakan satu kurniaan
besar Allah Subhanahuwata’ala kepada keluarga mereka. Mungkin kematian bapa
pada usia yang masih kecil membuatkan wanita itu sangat mendambakan dan
menghargai kehadiran seorang lelaki yang bergelar ayah dalam hidupnya.
Kalau diikutkan, ayah mereka telah
diserang penyakit itu untuk kali kedua. Kali pertama adalah tidak berapa lama
setelah kematian Puan Leha. Ketika itu dia masih mampu berjalan dan menguruskan
diri sendiri walau tidak benar-benar sempurna. Pertuturannya juga masih jelas,
dan proses pemulihannya sangat memberangsangkan. Rajin dia mengikut saranan
Isha menjalankan latihan senaman rehabilitasi yang diajarkan setiap minggu.
Tetapi apakan daya, ketentuan Allah
menetapkan bahawa penyakit itu akan menyerangnya untuk kali kedua. Kesannya
lebih buruk pada tubuhnya kali ini, sehingga menyebabkan dia terlantar di
katil. Kejadian itu baru berlaku sejak beberapa bulan yang lepas. Kak Syara
memaklumkan bahawa Encik Arif tergelincir di tandas ketika mahu mengambil
wudhuk. Kelam kabut abang Alif dan Isha berkejar pulang dari kerja.
Mujurlah tiada kecederaan luar yang
serius. Tetapi kejutan itu membuatkan tekanan darahnya meningkat mendadak lalu
menyebabkan pembuluh darah di bahagian otaknya pecah dan seterusnya
mengakibatkan serangan strok.
Ada juga dia mengadu pada abang Alif,
minta dibawakan untuk berubat secara perubatan Islam beberapa minggu sebelum
kejadian. Katanya ada sedikit gangguan yang berlaku padanya. Ada lintasan
bayang dan kelibat yang sering menganggunya, terutamanya ketika dia mahu
beribadah. Tetapi dia enggan menceritakan lebih terperinci kepada mereka
adik-beradik mengenai perkara tersebut.
Temujanji sudah didapatkan oleh abang
Alif, di sebuah Pusat Perubatan Islam berdekatan. Tetapi tidak sempat mereka
sampai ke sana, Encik Arif sudah mengalami kemalangan tersebut. Setelah itu ada
juga abang Alif menjemput seorang ustaz untuk
membantu merawatnya di rumah mereka. Sudah beberapa kali juga dia datang
menjalankan rawatan.
Alhamdulillah, Encik Arif nampak lebih tenang
walaupun kelihatan begitu lemah dan uzur. Wajahnya yang bersih itu sentiasa
tersenyum, meskipun dia kurang berbicara dan lebih banyak mendiamkan diri.
Sesekali akan terdengar tawa kecilnya yang lucu dengan kerenah cucu-cucunya.
Solatnya juga masih terjaga, biarpun dalam keadaan berbaring. Mujurlah ada anak
menantu yang tak lelah membantu menguruskan dirinya.
BUNGKUSAN-bungkusan plastik barang-barang yang
dibeli tadi dimasukkan dengan kalut ke dalam bonet kereta. Suasana ruang parkir
kereta bawah tanah yang agak sunyi itu membuatkan Isha mahu cepat-cepat masuk
ke dalam kereta dan beredar pergi dari situ. Biasanya dia hanya meletakkan
kereta di kawasan parkir di luar pasaraya. Tetapi hari yang mendung seperti
mahu hujan petang itu mendorong Isha meletakkan kereta di ruang bawah tanah.
Seperti yang diduga, tidak banyak
kereta yang diletakkan di situ. Tiada pengunjung yang kelihatan lalu-lalang
sewaktu Isha turun dari kereta tadi, begitu juga sekarang. Bonet kereta dikatup
kuat, menghasilkan bunyi gema di ruang itu. Troli ditolak pantas ke arah
deretan susunan di tepi bangunan. Rasa diekori masih menghantui dirinya, tetapi
dia langsung tidak berani untuk menoleh ke kiri dan kanan.
Memang dia rasa diperhatikan sejak dari
dalam pasaraya. Sampai tidak selesa dia mahu berlama-lamaan memilih barang.
Fikirnya, dapatlah dia mengambil masa membelek barang keperluan peribadinya
lama-lama hari itu memandangkan si kecil berdua itu tidak mengikutnya keluar.
Keduanya sedang sibuk bermain bersama sepupu-sepupu mereka, Ammar dan Akmal.
Itupun sempat sahaja mereka meninggalkan pesan senarai coklat dan aiskrim
kegemaran mereka.
Mujurlah bengkak di bibir Fara Afiya
sudah surut sepenuhnya. Lebam biru di pangkal hidungnya juga sudah memudar.
Hanya luka di bibirnya sahaja masih lagi mengering dalam proses penyembuhan.
Ringan rasa hati Isha melihat gadis kecil itu kembali ceria dan riuh bermain. Sampai
pelawaan Isha untuk keluar ke pasaraya bersama pun tidak diendahkannya.
Langkah disusun selaju mungkin. Kalau
boleh mahu sahaja dia berlari pecut kembali ke kereta pada saat itu. Tetapi
mengenangkan gaun labuh yang dikenakan petang itu, niatnya dimatikan.
“Karang tak pasal tersembam, sakit
dapat, malu pun dapat.” Getus hatinya.
Trolinya didorong masuk ke dalam troli
terakhir di dalam deretan tersebut, lalu Isha berpaling mahu melangkah kembali
ke kereta. Baru selangkah dia menapak, mulutnya dipekup dengan kuat dari
belakang. Ada lengan yang besar mencangkuk lehernya keras dan mengheretnya ke
belakang. Terkapai-kapai Isha cuba melepaskan diri, namun cengkaman itu terlalu
kuat untuk ditandingi oleh kudrat wanitanya.
Dalam keadaan kelam kabut dan kelemasan
itu, Isha nampak dalam kesamaran, susuk tubuh seorang lelaki berpakaian serba
hitam, lengkap bertopi dan pelitup muka berdiri jauh di hujung bangunan
berdekatan pintu keluar pasaraya ke kawasan parkir kereta. Isha cuba untuk
menjerit, tetapi tangan yang menekup kemas mulutnya menghalang suaranya terbit
keluar melaung bantuan. Tubuhnya diheret masuk ke suatu ruang bilik kecil yang
gelap gelita sebelum dihumban deras ke lantai.
“Arghhh…!! Tolong….! Tolongggg….!!!”
Pekik Isha sekuat hati sebaik sahaja mulutnya bebas dari ditekup.
Jeritan Isha membuatkan susuk yang
mengheretnya tadi menerpa memekup mulutnya. Satu tumbukan padu dilepaskan ke
perut Isha, membuatkannya terdiam senak. Air mata laju mengalir menceritakan
sakit yang dirasa.
“Diam! Kalau tak aku bunuh kau!” Herdik
lelaki itu sambil mengacukan sebilah pisau lipat ke muka Isha.
Lantas selendang yang melitupi kepala
Isha direntap, sebelum rantai emas di lehernya disentak kasar hingga terputus.
Habis butang atas blausnya ikut tercabut. Mata jahat lelaki itu spontan melirik
ke arah tubuhnya yang sedikit terdedah. Dalam saat genting itu Isha hanya mampu
berteriakkan nama Allah. Lelaki tersebut terhenti seketika, sebelum mengalih
pandangannya ke arah rantai tangan emas di pergelangan tangan Isha.
Serentak itu juga, pintu bilik kecil
itu yang tadinya tertutup kemas, terbuka luas bersama dengan satu bunyi
hentaman yang kuat. Tidak semena-mena, tubuh lelaki yang menghimpit Isha tadi
terhumban ke tepi.
Isha sendiri tidak pasti apa yang
sedang berlaku. Sebaik sahaja tubuhnya bebas dari ditindih lelaki itu, dia
mengesot pantas ke belakang sehingga terlanggar rak barangan yang ada di situ.
Isha cuba membalut bahagian tubuhnya yang terdedah dari bahagian atas blausnya
dengan selendangnya. Kemudian kedua tangannya memekup telinga dan kepalanya
rapat ke lutut. Isha benar-benar takut!
PERGELUTAN berlangsung selama beberapa minit
sebelum lelaki yang menyerang Isha tadi lintang pukang berlari keluar dari
bilik itu. Susuk yang bergaduh dengannya tadi ikut berlari keluar mengejarnya.
Isha masih terdiam memeluk lutut di
sudut bilik itu. Terkedu. Tidak tahu tindakan apa seterusnya yang perlu
diambil. Sekilas mahu dia berlari keluar menuju ke keretanya. Sedetik pula dia
mahu merangkak mencari beg tangannya untuk mengambil telefon dan menghubungi abangnya.
Tetapi tubuhnya tidak bergerak seinci pun dan dia tetap berpeluk tubuh sambil
menekup kepala di sudut itu.
“Awak! Awak tak apa-apa? Awak ok?” Tegur satu suara lelaki di depan
Isha.
“Arghhhh!! Pergi! Pergi!!
Tolong….!” Tempik Isha sebaik sedar kehadiran susuk seorang lelaki di
hadapannya.
“Hei…hei…! Tenang…saya nak
tolong awak… lelaki tu tadi dah lari…!” Lelaki itu bersuara cuba menenangkan
Isha yang bagaikan sudah diserang histeria.
“Arghh…!” Isha masih lagi galak menghamburkan
tangis tanpa memandang sedikitpun ke arah lelaki yang sedang cuba membantunya.
Kalau dia sekarang sedang berada dalam
salah satu adegan drama, mahunya dia sudah menerima tamparan di pipi untuk
menyedarkannya.
“Alya Alisha Arif! Cuba awak tengok
saya!” Suara lelaki itu sedikit kuat, cuba menandingi teriakan Isha.
Sebaris
namanya yang disebut penuh berjaya mencuri perhatian Isha. Perlahan dia
memanggungkan kepala memandang lelaki di hadapannya. Lelaki yang berpakaian
serba hitam tadi! Misai dan jambang tebal menghiasai wajahnya. Rambutnya juga
agak panjang dan kelihatan tidak terurus. Bulat matanya merenung Isha.
Isha terkebil-kebil cuba menguis
maklumat dari kotak memorinya.
“Siapa ni? Rasa macam kenal… tapi…macam
tak kenal pun ya.” Isha berdialog sendirian di dalam hati.
“Awak tak ingat saya? Saya ni, Hud
Hurairah… Cikgu sekolah awak dulu… Cikgu Hud..” Bersungguh lelaki itu cuba
memperkenalkan dirinya kepada Isha.
“…Cik…gu Hud….?” Soal Isha bingung.
“Ya..saya… awak jangan risau, saya
bukan nak cederakan awak…saya nak bantu awak. Saya dengar awak menjerit tadi. Err…tapi
penjahat tu dah berjaya larikan diri dengan motor..” Jelas Hud Hurairah kepada
gadis yang sedang menggeletar ketakutan itu.
Pantas dia menanggalkan jaket hoodie
yang dipakainya lalu menyerahkannya kepada Isha.
“Err..awak pakai ni dulu…”
Pintanya ringkas.
Terketar-ketar tangan Isha menyambut
pemberiannya, lalu menyarungkannya ke tubuh sementara lelaki itu mengalihkan
pandangannya ke arah lain. Menggigil tangannya cuba menyatukan zip baju
tersebut sebelum menariknya rapat ke atas. Kepala dan rambutnya disembunyikan
di sebalik hoodie tersebut.
“Dah..?” Soal Hud Hurairah perlahan.
Isha hanya mengangguk-anggukkan
kepalanya tanpa sebarang suara.
Seketika kemudian Hud Hurairah
mengalihkan semula pandangannya ke arah
Isha.
“Awak cedera? Awak boleh bangun tak?”
Soalnya lagi.
Jelas nada kerisauan dalam lantunan
suaranya.
Isha hanya cuba menggerakkan tubuh dan
bangun berdiri perlahan-lahan.
“Ergh.. hsstt…” Dengusnya
perlahan.
Tumbukan keras di tengah perutnya tadi
masih berbekas sakit. Seluruh badannya juga terasa sengal-sengal.
“Awak ok tak ni? Boleh
berjalan?” Soal Hud Hurairah lagi.
Serba salah dia melihat gadis itu
merintih sakit. Isha hanya menganggukkan kepala buat kesekian kalinya. Dia
menapak perlahan menuju ke pintu.
“Err…kita pergi ke kereta awak
dulu ya?” Ujar Hud Hurairah sambil memungut sandal Isha yang sudah terpelanting
di lantai, lalu menyarungkannya cermat ke kaki gadis tersebut.
Beg tangan Isha serta isinya yang
bertaburan juga dikutip lalu digalas di bahunya. Topi hitamnya yang sudah terjatuh di lantai juga diambil dan
ditepuk-tepuk beberapa kali sebelum disarungkan semula ke atas kepala.
Beriringan dia menemani langkah Isha menuju ke kereta. Pintu kereta di bahagian
penumpang dibuka untuk Isha. Perlahan Isha masuk sambil mengaduh kesakitan.
“Err…macam ni lah. Awak tunggu
sini sekejap, saya pergi dapatkan pakaian untuk awak sekejap. Lepas tu kita
terus ke hospital dan balai polis. Err…tapi saya pandukan kereta awak,
ya? Sebab saya datang dengan motor.” Ujar Hud Hurairah sambil mencangkung di
samping Isha.
Isha hanya menganggukkan kepala. Dia
sendiri tidak dapat berfikir dengan baik saat ini. Segala kata Hud Hurairah
dituruti tanpa membantah.
“Ok..awak tunggu ya, sekejap
je saya pergi. Kunci pintu kereta.” Pinta Hud Hurairah.
Kunci kereta Isha yang dipungut bersama
beg tangannya tadi diambil lalu dia beredar ke bahagian tempat duduk pemandu.
Enjin dihidupkan dan penghawa dingin dibuka, sebelum pintu kembali ditutup.
Telefon bimbit Isha diletakkan di atas ribaan gadis itu, lalu dia menutup pintu
gadis itu dengan cermat.
Kemudian dia mengetuk cermin perlahan
dan memberikan isyarat supaya gadis itu mengunci kereta. Setelah memastikan
Isha dalam keadaan selamat dengan pintu kereta dikunci, dia bergegas berlari
masuk ke dalam pasaraya.
Isha merenung kosong telefon bimbitnya
di tangan. Nafas ditarik panjang, cuba untuk menenangkan diri. Tangannya yang
masih menggeletar digenggam sendiri. Mindanya masih cuba memproses kejadian
yang baru berlaku sebentar tadi. Tidak semena-mena air matanya mula mengalir
perlahan membasahi wajahnya.
Baru dia sedar, betapa Tuhan telah
menyelamatkan dirinya. Sesuatu yang lebih buruk mungkin sahaja berlaku sebentar
tadi, jika Hud Hurairah tidak datang menyelamatkannya. Syukur juga anak-anak
saudaranya tidak mengikutnya keluar. Entah apa yang mungkin berlaku. Sungguh,
perencanaan Tuhan itu sudah tepat.
Teresak-esak Isha menangis sambil
memanjatkan kesyukuran. Alhamdulillah…. Terima kasih Allah…
Bunyi ketukan kecil di tingkap kereta
mengejutkan Isha. Kelihatan Hud Hurairah sedang membongkok menjenguknya dari
luar. Pantas Isha menyeka air mata di pipi yang tadinya sakan berhamburan.
Pintu kereta dibuka.
“Nah…selawat, minum air ni sikit. Awak
terkejut lagi tu.” Ujar Hud Hurairah sambil membuka penutup air botol mineral
lalu menghulurkannya kepada Isha.
Isha menyambutnya lalu melafazkan
selawat sebelum meneguknya beberapa kali. Tekaknya terasa perit menelan air
tersebut.
“Err…saya ada belikan baju dengan
tudung untuk awak. Jom, saya temankan awak.. tandas perempuan ada ka depan
pintu masuk ni je..” Ujarnya lagi.
Isha menurut arahannya tanpa banyak
soal.
BAJU t-shirt lengan panjang yang
diberikan oleh Hud Hurairah disarungkan ke tubuh. Lebam biru kehitaman mula
berbekas di bahagian perutnya. Lehernya yang dipaut kuat serta kesan rentapan
rantai leher tadi turut memerah dan terasa bengkak. Mujurlah Isha bukan peminat
barang kemas yang besar tebal seperti Mami Jarum. Jika tidak pasti sudah
terkopek kulit lehernya.
Isha membasuh mukanya dengan air
beberapa kali sebelum rambutnya dikemaskan dan tudung sarung dipakai. Saiz
bukaan muka yang agak besar membuatkan dia menyelup beg tangan mencari
kerongsang yang memang biasa disimpan.
Setelah memeriksa penampilannya di
cermin, Isha melangkah keluar. Kelihatan Hud Hurairah setia berdiri menantinya
di luar tandas. Beg di tangan Isha segara disambut dan digalas ke bahunya. Lalu
mereka beriringan berjalan menuju ke
kereta Isha.
“Awak dah call family awak?”
Soalnya mengambil berat.
“Err..belum…” Jawab Isha.
“Kita ke hospital ya?” Pinta Hud
Hurairah sambil membukakan pintu kereta untuk Isha.
Dia tidak menunggu jawapan Isha
sebaliknya terus menutupkan kembali pintu kereta dengan cermat sebelum masuk ke
tempat duduk pemandu. Enjin dihidupkan bersama lafaz Bismillah dan bacaan doa
yang perlahan tetapi dapat ditangkap dengan jelas oleh pendengaran Isha.
“KITA ke balai polis sekejap, lepas tu saya
hantar awak balik rehat di rumah ya?” Soal Hud Hurairah lembut.
Ubat-ubatan yang dibekalkan pihak
hospital, berserta laporan doktor mengenai kecederaan Isha diletakkan di tempat
duduk penumpang bahagian belakang kereta. Kereta diluncurkan tenang menuju ke
balai polis yang berdekatan.
“Maaf saya susahkan cikgu…” Ujar Isha
perlahan.
Memang dia berniat mahu menghubungi
abang Alif. Tetapi terasa bagai mati kata untuk menerangkan kejadian yang
berlaku padanya itu. Kejadian yang memang tidak pernah langsung terlintas di
fikiran akan berlaku pada dirinya. Sudahnya sampai sekarang dia belum
memaklumkan abangnya mengenai berita tersebut. Mujurlah ada Hud Hurairah yang
ke hulu ke hilir membantunya menyelesaikan semua urusan.
“Eh! Apa cakap macam tu… Tak ada
susahkanlah… ada pulak cakap macam tu.” Bebel Hud Hurairah dengan
pandangannya difokuskan ke jalan raya.
Sesekali Isha mengerling bekas gurunya
yang sedang tekun memandu di sebelah. Lain betul wajahnya dengan Cikgu Hud yang
dia kenal dulu. Wajahnya bersih tanpa misai dan janggut, apatah lagi jambang.
Rambutnya juga sentiasa kemas dan rapi. Penampilannya kacak bergaya sepanjang
masa. Sebab itu Isha hampir tidak dapat mengecamnya tadi. Mujurlah dia menyebut
nama penuh Isha, seperti yang selalu dilakukan di sekolah dulu.
Macam tak percaya dia bertemu semula dengan lelaki itu setelah
bertahun-tahun hilang khabar berita sejak tamat persekolahan. Padanlah
terkadang dia terasa jantungnya berdetak aneh ketika berada di luar. Adakah itu bermaksud gurunya itu turut berada di tempat
yang sama dengannya pada masa-masa itu?
Isha menggeleng-gelengkan kepalanya sendiri.
“Sempat pulak kau nak fikir
benda-benda mengarut ni dalam waktu macam ni, Isha.” Leter hatinya sendiri.
“Kenapa ni? Awak sakit lagi?” Tegur Hud
Hurairah apabia dilihat Isha menggeleng-gelengkan kepala.
“Err…tak…. Takde…” Jawab
Isha tergagap-gagap.
“JADI cik ni diserang sewaktu
berada di tempat parkir kereta bawah tanah?” Pegawai polis yang bertugas
mengulang semula keterangan Isha dan Hud Hurairah untuk kepastian.
“Ya betul. Kebetulan saya ada di situ
masa tu. Err…saya nampak sekilas dia diseret ke dalam bilik stor tu dari
jauh. Kemudian saya dengar suara dia menjerit. Terus saya berlari ke situ dan
menendang pintu bilik tu sampai terbuka. Masa tu saya tengok dia sudah di
lantai dengan lelaki tersebut. Saya tendang lelaki tu, kemudian kami bergaduh.
Lepas tu dia lari keluar dan berjaya lepaskan diri dengan menunggang motor.”
Lancar Hud Hurairah mengulang keterangannya.
“Baiklah. Pihak kami akan jalankan
siasatan dan cuba jejaki lelaki tersebut. Cik berdua boleh balik berehat di
rumah dulu. Apa-apa nanti kami akan hubungi cik semula.” Jelas pegawai polis
tersebut.
“Ya, ya baik. Terima kasih encik.”
Sahut Hud Hurairah sambil bangun untuk beredar.
“Eh! Hud! Kau buat apa kat sini?” Suatu
suara tiba-tiba menegurnya sebelum mereka berdua sempat melangkah keluar dari
pintu.
“Eh? Anas…!” Sahut Hud Hurairah sebelum
merapati lelaki yang menegurnya dan bersalaman.
Mereka berbual seketika. Sesekali
keduanya berpaling memandang Isha. Kenalan Hud Hurairah tadi melemparkan
senyuman manis kepada Isha sambil menunduk hormat. Setelah beberapa minit,
mereka kembali bersalaman lalu Hud Hurairah bergegas mendapatkan Isha.
“Jom, saya hantar awak balik.” Ujarnya
lembut.

No comments:
Post a Comment