Sunday, May 26, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 7)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 7

AWAK nak balik ke mana ni?” Soal Hud Hurairah sambil memandu tenang.

Err…”

“Rumah awak ke rumah abang awak?” Potong Hud Hurairah sebelum sempat Isha memberikan jawapan.

Err…rumah abang saya, kat Taman Saujana..” Jawab Isha sambil memikirkan sesuatu.

Hud meneruskan pemanduan dan membelok ke simpang taman perumahan abang Alif. Sejurus kemudian dia membelok masuk ke dalam perkarangan rumah lot Semi-D dua tingkat milik abang Alif sebelum mematikan enjin kereta dan melangkah keluar. Isha masih terkebil-kebil di tempat duduk penumpang.

“Aku ada cakap ke rumah nombor berapa tadi?” Soalnya kepada dalam hati, meragui ingatan sendiri.

“Jom…” Ujar Hud Hurairah yang sudah membukakan pintu kereta untuk gadis itu sambil membimbit beg tangan dan plastik ubatan Isha.

Dari tingkap kelihatan Kak Syara sudah terjenguk-jenguk melihat gerangan lelaki yang pulang bersama Isha. Tidak jadi dia membuka pintu untuk menyambut kepulangan adik iparnya itu. Langsung dia riuh memanggil suaminya sebelum kelam kabut mendapatkan tudung untuk menutup kepala.

“Assalamualaikum….” Sapa Hud Hurairah sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Aqmar Alif.

“Waalaikumsalam…” Sahut Aqmar Alif sambil menyambut huluran salam Hud Hurairah dengan penuh tanda tanya.

Err…kawan Isha ke ni, jemputlah masuk. Sakan betul Isha shopping hari ni ye, naik risau dah abang, lambat betul balik.” Tegur Aqmar Alif.

Memang dia sengaja memberikan ruang kepada adik perempuannya itu berlama-lamaan keluar membeli barang. Sesekali dapat ‘me time’ setelah puas berhempas-pulas menguruskan Fara Afiya dan Fara Afina setiap hari. Tetapi tidak sangka pula adik kesayangannya itu keluar bertemu janji!

“Eh…bila pula dia ada boyfriend ni, kenapa aku tak tahu pun?” Aqmar Alif berdialog sendiri.

“Abang Alif…Kak Syara… ini…Cikgu Hud…cikgu sekolah Isha dulu.. tadi… Isha…tadi…” Tergagap-gagap Isha cuba menjelaskan apa yang telah berlaku.

Tidak semena-mena air mata menderu keluar dari sepasang mata redupnya. Dia sendiri pun tidak pasti apa yang membuatkannya menangis. Nak kata sedih, tidak…nak  kata sakit pun..tak adalah sangat. Kenapa, Isha?

Terkedu Aqmar Alif dan isterinya melihat Isha tiba-tiba menangis teresak-esak begitu. Kak Syara mengusap lembut bahu adik iparnya cuba menenangkannya. Spontan Isha melemparkan tubuhnya ke dalam dakapan Kak Syara.

Hud Hurairah yang masih berdiri tegak di situ mula berpeluh dingin. Serba tak kena pula rasanya. Janganlah keluarga Isha berfikir bukan-bukan tentang dirinya. Buatnya abangnya menyangka dia melakukan sesuatu yang buruk kepada Isha, mahunya berlari dia keliling taman dihambat lelaki itu.

“Eh Isha kenapa ni?” Soal Aqmar Alif cuak.

Err…macam ni..err..encik.. err…tadi..Isha diserang di pasaraya. Nasib baik kebetulan saya ada di situ dan  sempat selamatkan dia. Tapi penjahat tu berjaya larikan diri dengan motor. Err…Isha mungkin ada cedera sikit dipukul lelaki tu tadi. Saya dah bawa dia ke hospital. Ini ubat yang doktor berikan, laporan perubatan pun ada dalam ni. Salinannya saya dah serahkan kepada pihak polis semasa kami buat aduan tadi. Pihak polis akan cuba menjejaki penjahat tu secepat mungkin.” Laju Hud Hurairah memberi penerangan tanpa berhenti.

Melopong Aqmar Alif dan Syara mendengar penjelasannya sambil terkebil-kebil memandang bungkusan ubat yang dihulurkan.

“Hah?! Kena Serang?! Kena serang macam mana?? Siapa yang serang?? Kenapa dia serang?? Isha ok tak ni?? Sakit kat mana??” Aqmar Alif bersuara panik selepas ternganga sejenak.

Kelam kabut dia menarik tangan adiknya  yang masih berada dalam pelukan isterinya.

Dipusing-pusingkan badan Isha ke kiri dan kanan. Kemudian dipegangnya pula kepala adiknya lalu dibeleknya dari atas hingga ke bawah.

“Isha ok, Isha ok abang….” Ujar Isha yang sudah pening dipusing-pusingkaan oleh abangnya.

“Ya Allahu Akbar….” Ujar Aqmar Alif sambil meraup wajahnya.

Macam nak putus nyawanya mendengarkan apa yang berlaku.

“Eh terima kasihlah err…cikgu…marilah masuk dulu, boleh kita berbual lebih lanjut.” Pinta Aqmar Alif yang baru tersedar mereka berempat hanya berbual di depan pintu rumah sejak tadi.

Suara ketawa dan hingar-bingar sepupu berempat yang sedang asyik bermain di dalam rumah menarik perhatian mereka untuk menoleh. Serentak itu juga kedengaran bunyi hon kereta di depan pagar rumah Aqmar Alif.

“Eh, siapa pula tu.” Aqmar Alif memanjangkan leher untuk melihat tetamu yang datang.

“ErrGrab saya dah sampai… err…saya pandu kereta Isha tadi sebab saya naik motor ke pasaraya. Motor saya masih ada di pasaraya.. Saya minta diri dululah encik, puan, Isha..” Ujar Hud Hurairah sopan.

“Eh..panggil saya Alif je.. lah..kenapa tak cakap, saya boleh je hantarkan cikgu… tak sempat minum dulu..” Balas Aqmar Alif sedikit kecewa.

Err…takpe, inshaAllah lain kali. Lagipun Isha masih terkejut lagi… Biar dia berehat dulu. Alhamdulillah tak ada perkara yang lebih buruk berlaku.” Ujar Hud Hurairah mesra, seraya bersalaman dengan Aqmar Alif dan meminta diri untuk pulang.

 

“TUK! Tuk!” Bunyi ketukan di pintu biliknya membuatkan Isha menoleh.

Isha yang sedang membelek lebam di perutnya dengan rambut yang masih basah selepas mandi menyahut.

“Ya…?!” Sangkanya pasti Fara Afiya atau Fara Afina.

Kecoh budak-budak itu mengerumuninya tadi setelah tahu apa yang berlaku. Bertubi-tubi soalan diajukan kepadanya. Tidak berhenti-henti pula keduanya memeluk dan mencium Isha. Takut benar mereka mendengar cerita mama mereka diserang. Puas Kak Syara memujuk mereka untuk membenarkan Isha mandi, solat dan berehat terlebih dahulu.

“Akak ni…, boleh akak masuk?” Kedengaran suara Kak Syara di sebalik pintu.

Isha bingkas bangun membukakan pintu yang berkunci. Wajah Kak Syara yang tersenyum mesra tersembul di muka pintu.

“Ni…akak bawakan tuam untuk Isha. Boleh akak tolong?” Pinta Kak Syara ramah.

Isha menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Pintu bilik dirapatkan kembali. Mereka berdua melabuhkan punggung di birai  katil. Kak Syara membelek kesan merah di leher Isha dengan teliti.

“Isha cedera kat mana lagi?” Soalnya sambil membelek kedua belah lengan Isha.

“Kat leher ni, dengan kat perut je…” Ujar Isha sambil menyelak t-shirt yang dipakainya.

“Ya Allah…lebam macam ni sekali. Ini kenapa?” Soal Kak Syara risau.

“Masa tu Isha jerit sekuat hati minta tolong. Lepas tu orang tu tumbuk perut Isha.” Cerita Isha.

Kak Syara memandang wajah adik iparnya penuh simpati. Bergenang air matanya. Tidak sangka perkara begitu boleh terjadi pada orang yang dekat dengannya. Sangkanya perkara begitu hanya  berlaku dalam filem-filem di kaca televisyen.

“Mari baring, akak tuamkan perut tu.” Ujarnya sambil menarik tangan adik iparnya.

Lincah tangannya menuamkan ais di perut Isha dengan penuh kasih. Menggeliat Isha menahan sejuk. Geli pun ada!

“Isha memang rasa macam ada orang ikut kak… dari dalam pasaraya lagi. Isha cepat-cepat nak masuk dalam kereta, tapi tiba-tiba kena pekup mulut lepas tu dia heret masuk ke bilik apa entah kat tepi tu.” Bual Isha memulakan cerita.

Ketukan di pintu bilik mematikan bicaranya.

“Boleh abang masuk?” Pinta Aqmar Alif dari balik pintu.

“Masuklah….” Sahut Isha sambil menarik bajunya dan membetulkan duduk.

Bantal didirikan di bahagian kepala katil lalu dia mengesot bersandar di situ. Kakinya masih dilunjurkan di atas katil. Beg ais di tangan Kak Syara dicapai lalu diletakkan di atas baju di perutnya.

“Budak-budak semua dah siap mandi. Tengah bersiap tunggu masuk maghrib. Sekejap lagi boleh makan sama-sama. Adik ok tak ni?” Soal Aqmar Alif yang baru mengambil tempat di samping isterinya di sisi Isha.

“Alhamdulillah ok…sakit sikit je.. syukur sangat abang, Cikgu Hud cepat datang, memang Allah tolong Isha…” Suaranya bernada sedikit sebak, gerun memikirkan kemungkinan lebih buruk  yang boleh berlaku.

“Alhamdulillah sangat….” Ujar Aqmar Alif sambil menarik nafas panjang.

“Masa tu Isha memang rasa macam ada orang ikut. Tapi Isha tak berani tengok siapa. Masa simpan troli tu tiba-tiba mulut kena pekup. Dia heret masuk dalam bilik kecil kat situ. Lepas tu dia humban Isha ke lantai..masa tu lah Isha jerit sekuat hati. Terus dia tumbuk perut Isha kuat-kuat. Lepas tu…” Isha terhenti seketika.

“Lepas tu dia rentap tudung dengan rantai leher Isha. Rasanya masa tu lah Cikgu Hud tolak dia. Lepas tu Isha dah tak tengok apa-apa.. Isha duduk menangis kat penjuru bilik tu je. Sampailah Cikgu Hud datang panggil Isha..” Sambungnya lagi.

Aqmar Alif mengepal penumbuknya geram. Terbakar hatinya mendengar adiknya diperlakukan begitu. Syara yang perasan dengan reaksi suaminya mengusap tangannya perlahan.

“Tak apalah… Alhamdulillah semuanya selamat… Allah jaga Isha… siap hantarkan hero lagi untuk selamatkan Isha. Handsome jugak, cuma…ermm…” Ujar Syara cuba meredakan suasana, sambil menggayakan bentuk jambang dan misai di wajahnya, mengisyaratkan penampilan Hud Hurairah.

“Cumanya tak sehandsome abanglah…tak boleh lawan…” Sahut Aqmar Alif yang sudah berjaya mengawal emosi. Tergeleng-geleng kepalanya menafikan kekacakan Hud Hurairah.

Isha tersenyum sumbing.

“Eleh…abang tak pernah tengok dia masa kat sekolah dulu. Mana ada jambang-jambang semua tu. Handsome tau….jadi rebutan para gadis.” Tukas Isha, membela gurunya.

“Eh, kejap. Cikgu Hud tu, yang ajar Isha add maths tu ke?” Soal Aqmar Alif tiba-tiba.

“Ha’ah…kenapa?” Soal Isha kembali sambil mengerutkan dahi.

“Oh….dialah first love Isha ye…..” Sahut Aqmar Alif dengan nada mengusik.

Bulat mata Isha memandang abangnya. Serta merta telinganya memerah dan dadanya berkocak kencang. Aqmar Alif mengangkat-angkat keningnya nakal. Syara hanya mengulum senyum melihat keletah dua beradik itu.

“Abang! Abang baca diari Isha ke??” Soal Isha dengan muka merah padam. Kantoi!

“Ehh! Mana ada…tak baik tuduh-tuduh tau.” Bantah Aqmar Alif dengan muka tidak bersalah.

“Habis tu?” Soal Isha masih tidak berpuas hati.

“Kak Leeya yang baca. Abang nampak. Dia takut abang bagitahu Isha, jadi dia pun ceritakanlah isi diari tu kat abang.” Jawab Aqmar Alif sambil menjelir-jelirkan lidahnya.

“Abang ni….!” Isha terjerit kecil sambil cuba mencapai isi lengan abangnya untuk dicubit.

Pantas lelaki itu berlari keluar dari bilik sambil ketawa galak.

“Dah…dah…awak tu belum sihat betul lagi…rehat dulu sekejap sementara tunggu maghrib. Jangan tidur pulak.” Ujar Syara sambil turut tersengih nakal.

Isha rasa nak masukkan kepala bawah katil!

“Kalau nak berangankan cikgu, takpe…” Sambungnya lagi, mengusik, sambil melangkah keluar dan menutup pintu bilik Isha.

Isha melorotkan tubuhnya sehingga terbaring di katil. Mukanya dipekup dengan bantal lalu dia menjerit perlahan menghambat rasa malu.

“Rupanya selama ni Kak Leeya dengan Abang Alif tahu! Entah apa-apa je yang aku tulis dalam tu. Huwarghh…!” Pekik hatinya berlagu  malu.

 

“MAKANLAH Isha..kejap lagi makan ubat. Tidur awal sikit malam ni…rehatkan badan tu..” Pelawa Kak Syara yang baru menyertai mereka di meja makan setelah selesai menyuapkan Encik Arif makan malam.

Aqmar Alif pula kelihatan sibuk menyuapkan Akmal dan Ammar makan. Berselang juga dengan Fara Afina yang turut mengada mahu disuap Baba Ngahnya. Fara Afiya kelihatan tenang menyuapkan nasi ke mulut. Luka di bibirnya sudah sembuh, hanya tinggal sedikit kupingan yang belum terkupas habis.

“Isha dapat mc berapa hari?” Soal Aqmar Alif tanpa memandang Isha.

“3 Hari…” Jawab Isha sambil menyudu gulai ke dalam pinggan nasinya.

“Tidur sini dululah sampai habis mc tu… biar sihat betul dulu badan tu. Boleh abang dengan akak tengok-tengokkan budak berdua ni sama.” Ujar Aqmar Alif dengan nada tegas.

Isha hanya mendiamkan diri. Abangnya yang seorang ni, dalam perangai gila-gilanya, ada juga tegasnya. Bila dia dah pakai nada begitu, bermakna tiada ruang untuk Isha menolak.

“Malam ni Fiya dengan Fina tidur dengan Mama Ngah ya? Bagi mama rehat dulu. Nanti baru mama cepat sembuh.” Ujar Kak Syara lembut.

Ok Mama Ngah!” Sahut keduanya serentak.

“Mama sakit lagi ke?” Soal Fara Afiya sambil mengunyah nasi.

“Sakit sikit je…mama kan kuat macam Fiya…” Sambut Isha dengan senyuman manis.

“Mama kenapa tak lawan dengan orang jahat tu. Mama kan pandai lawan macam Jackie Chan.” Sampuk Fara Afina, mengundang ketawa mereka di meja makan.

“Ala…mama belum sempat buka kung fu lagi, orang jahat tu dah lari…” Sahut Isha lucu.

Mungkin dia sendiri pun perlu menghadiri kelas seni mempertahankan diri. Zaman ini terlalu banyak orang yang bertindak di luar batas kemanusiaan.

“Abang..tak bagitahu ayah kan?” Soal Isha perlahan.

Sebolehnya dia tidak mahu Encik Arif tahu mengenai peristiwa ini. Bimbang ayahnya akan menjadi risau berlebihan yang mungkin mendatangkan kesan buruk pada kesihatannya.

“Tak…” Jawab abangnya dengan mulut yang penuh dengan nasi.

Isha menarik nafas lega.

“Kejap lagi Isha buat fisio kat ayah.” Ujar Isha lagi.

“Ah…tak payah…awak tu rehat.. akak dah buat dah petang tadi. Alah setakat passive movement, passive stretching tu… kacang kuda je…” Usik Syara memuji diri.

“Ha’ah…esok Kak Syara kamu dah boleh apply jadi fisio.” Sampuk Aqmar Alif, mengusik si isteri.

“Eleh…jelesla tu, dia tak pandai macam kita.” Balas Syara, tidak mahu kalah dengan usikan sang suami.

“Alololo…pandainya isteri abang ni yaa….” Usik Aqmar Alif lagi.

Pipi isterinya dicubit mesra.

“Ehem! Hormatla sikit orang single ni…” Cemberut muka Isha, cemburu dengan kemesraan suami isteri tersebut.

Budak-budak berempat di meja sudah mengekek ketawa melihat telatah mereka bertiga.

“Alololo…sian dia single yaa…” Usik Kak Syara pula sambil mencubit pipi Isha.

Pecah ketawa mereka di meja makan tersebut.

“Alaa…kan dah reunite dengan first love tu…” Ujar Aqmar Alif, mengungkit perihal Hud Hurairah.

“Hish…dia dah kahwin la abang ni…” Isha mencebikkan bibir.

“Alamak… me..le..pas..!” Ujar Aqmar Alif sambil menepuk dahi dengan gaya Ajis dalam filem P.Ramlee.

Berdekah mereka dibuatnya dengan lakonan semula lelaki itu.




No comments:

Post a Comment