Sunday, May 26, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 8)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 8

MALAM itu Isha ligat berkalih baring cuba mencari lena. Badannya terasa sengal-sengal akibat bergelut dengan penjahat tersebut siang tadi. Tidak kurang juga wajah Cikgu Hud yang setia bermain di layar fikiran, menganggu tidurnya. Terkelip-kelip mata Isha sambil memeluk bantal dalam kesamaran cahaya lampu tidur di bilik itu. Perlahan-lahan dia digamit memori lalu. Kenangan sewaktu di alam persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Khadijah.

Waktu itu dia berada dalam tingkatan 5. Cikgu Hud sudah menjadi guru mata pelajaran matematik tambahannya sejak dari tingkatan 4 lagi. Kemudian gurunya itu berpindah sekolah sebelum dia sempat menduduki peperiksaan besar Sijil Pelajaran Malaysia. Kalau gurunya itu masih di situ, pasti dia berpuas hati dengan skor pencapaian Isha, yang sememangnya lemah dalam mata pelajaran itu sejak awal.

“Alya Alisha Arif!” Laung Cikgu Hud yang sedang berjalan menuju ke arahnya dari depan.

Isha tidak jadi membelok. Terbantut. Laju sahaja langkahnya tadi sebaik ternampak kelibat guru muda tersebut. Memang pun dia berniat mahu lari darinya. Bukan menyampah atau tidak suka, tetapi entah kenapa, memang melarikan diri menjadi seperti tindakan refleks tubuhnya apabila terserempak dengan lelaki itu. Lain pula dengan Hud Hurairah. Pantang ternampak Isha, ada sahaja yang hendak disuruh. Macam tak ada pelajar lain lagi dah yang dia kenal.

“Awak nak lari ke mana tu….sini, tolong saya.” Laungnya lagi dari jauh.

Isha akur lalu berjalan lambat-lambat mendapatkan gurunya itu.

“Awak ni…asal nampak saya je nak lari. Asal nak lari je, nampak sayalah tu. Apesal? Awak takut saya makan awak ke?” Soal Hud Hurairah sebaik gadis itu berdiri di depannya.

“Eh..tak adalah cikgu…” Gugup Isha menjawab.

“Jantung ni pun satu. Kau tak reti duduk diam-diam je ke hah? Sibuk nak bergendang kat dalam tu dah kenapa?” Marah Isha sendiri dalam hati.

Geram rasanya apabila jantungnya tidak henti berdebar kencang setiap kali berdepan dengan guru muda tersebut. Sampai kekok habis bicara dan perlakuannya di depan lelaki itu.

Ye lah tu…macam saya tak tahu. Nampak je saya, cepat-cepat awak nak belok arah lain tadi kan?” Hud Hurairah menembak tepat.

Jika pelurunya berbentuk fizikal, pasti sudah tumbang seorang Alya Alisha di depannya ketika itu.

Err..taklah…err…nak tolong apa ni cikgu?” Soal Isha sambil menjenguk beberapa buah buku kecil di tangan Hud Hurairah.

“Takkan buku banyak tu pun nak suruh aku tolong angkat..” Leternya dalam hati.

Err…hah! Jom ikut saya pergi library. Tolong angkat buku. Hah sementara tu, awak angkat yang ni dulu.” Laju dia menyerahkan beberapa buah buku nipis yang dipegangnya kepada gadis itu.

Terkelip-kelip mata Isha menerima buku-buku tersebut, cuba mencari logik dari tindakan guru muda itu.

“Apa pandang-pandang. Macam tak pernah tengok pulak saya yang handsome lagi kacak ni.” Sergah Cikgu Hud, sambil membetulkan kolar bajunya, berlagak kacak.

Sebenarnya dia sendiri pun tidak tahu bantuan apa yang mahu dimintanya dari gadis itu. Mulutnyalah, laju sahaja memanggil Isha setiap kali terserempak dengannya. Mujur juga otaknya pantas mengingatkan perihal buku yang mahu diambil dari perpustakaan.

“Jom…” Ajaknya lagi.

Isha hanya menurut permintaan gurunya itu dan berjalan menunduk di belakangnya. Tiba-tiba guru muda itu berhenti melangkah. Nyaris sahaja Isha yang berjalan menilik lantai itu berlanggar dengannya.

Opocot kau accident! Hish dah kenapa orang tua ni tiba-tiba brek?!” Latah Isha dalam hati.

Mujur tak terkeluar di mulut. Jika tidak, mahu bernanah telinganya diejek gurunya itu nanti.

“Hah! Terkejut?! Itulah, orang jalan tengok depan..bukan tengok bawah..” Bebel Hud Hurairah sambil mengulum senyum.

Sengaja ke apa, ni?

“Sini, jalan sebelah saya.. yang awak pergi berbaris kat belakang saya tu, siapa suruh?” Arahnya.

“Muat lagi jalan ni…” Bebelnya lagi.

 “Dia tak tahu, aku ni tengah busy mengawal debaran kat dada ni. Dah suruh jalan sebelah dia pulak. Karang ada jugak orang yang nak tersepak kaki sendiri ni…” Isha menyumpah dalam hati.

Dipaksa juga kakinya melangkah bersaingan dengan gurunya itu. Lebar senyuman Hud Hurairah berjalan beriringan dengan gadis tersebut. Entah kenapa, suka betul dia mengusik pelajarnya yang seorang ini. Suka dia melihat gelagat Isha yang sentiasa kelam kabut, dan terkadang seperti tidak tentu arah bila berdepan dengannya. Lagi suka dia bila wajah gadis itu memerah menahan malu bila disakat.

“Alya Alisha Arif….” Panggil guru bujang tersebut.

Serentak itu kepala Isha terhantuk pada tangan gurunya yang memegangkan pintu perpustakaan yang sedang terbuka. Memang sengaja dia memegang pintu tersebut dengan tujuan menghalangnya dari terkena kepala Isha.

“Kan saya dah cakap, jalan tengok depan. Awak berangan apa…?” Soalnya sambil tersenyum lucu.

Isha tersengih sambil membetulkan tudungnya yang sudah terpenyek terlanggar tangan Hud Hurairah. Kalau tidak kerana berlapikkan tangan gurunya itu tadi, pasti dia sudah membawa pulang sebiji benjolan telur ayam di dahi dengan jayanya.

“Ni…yang ni semua ni, dengan yang ni.” Ujar Hud Hurairah sambil menyusun buku-buku yang mahu diambil dari perpustakaan.

“Awak tolong saya bawa ke bilik guru.” Pintanya lagi.

“Baik cikgu..” Jawab Isha yang terkial-kial meraih buku-buku tersebut ke dalam dakapannya.

“Boleh tak ni? Sinilah saya tolong.” Ujar Hud Hurairah sambil mengambil sebahagian besar dari jumlah buku yang dipegang Isha.

Eh? Ini siapa yang tolong siapa ni?

“Dah, jom.” Ajaknya sambil mengatur langkah keluar dari perpustakaan.

“Sini…letak kat sini.” Ujar Hud Hurairah, mengarahkan Isha meletakkan buku di tangannya ke atas meja kerjanya.

Ok..terima kasih…awak dah boleh pergi. Lain kali kalau nampak saya jangan lari ea. Kalau tak saya kejar awak satu sekolah.” Sempat dia mengusik gadis itu dengan nada mengugut.

“Saya pergi dulu, cikgu.” Pinta Isha sambil menunduk hormat.

Hud Hurairah menganggukkan kepala sambil tersenyum manis. Dia menghantar langkah pelajarnya itu ke pintu bilik guru tersebut dengan pandangan mata. Perlahan dia melabuhkan punggung ke kerusi sambil menghela nafas. Tangan kanannya mengusap bahagian dadanya beberapa kali. Sedikitpun Isha tak tahu, yang lelaki itu turut mengalami masalah debaran jantung yang tidak terkawal bila berdepan dengannya.

 

“PRANGG!!”

Bunyi kaca pecah di dapur menyentak Isha yang sedang mengelamun mengingatkan kenangan zaman persekolahan. Serta merta dia bangun duduk tegak di katil. Telinga dipasang, cuba menangkap apa-apa bunyi dari luar bilik. Namun suasana menjadi senyap sunyi. Isha membuat keputusan untuk bangun melihat apa yang jatuh.

Kepala dijengukkan dari dalam bilik. Ruang dapur kelihatan gelap. Pintu bilik Encik Arif terbuka separuh. Dari tempat dia berdiri, dengan bantuan cahaya dari lampu yang terpasang di ruang tamu, Isha nampak abang Alif, Ammar dan Akmal berbaring berlapikkan toto di sebelah katil Encik Arif. Pastinya kerana memberikan ruang untuk Fara Afiya dan Fara Afina tidur bersama Kak Syara di bilik tidur utama.

Manakala bilik anak teruna berdua itu pula ditumpangi Isha, seperti kebiasaannya apabila bermalam di situ. Ruang tingkat atas rumah itu telah diubahsuai menjadi pejabat mini untuk abang Alif bekerja. Lengkap dengan perpustakaan kecil yang dimuatkan dalam sebuah bilik, yang menempatkan buku-buku perundangan miliknya. Ada juga tangga yang menghubungkan tingkat atas rumah tersebut terus ke bawah melalui balkoni.

Binaan itu direka untuk memudahkan klien abang Alif terus ke pejabatnya tanpa melalui tingkat bawah rumah tersebut. Lebih privasi untuk Kak Syara dan anak-anak. Tandas dan ruang minum juga telah tersedia lengkap di pejabat mini tersebut.

Tanpa disedari, sepasang kaki Isha sudah melangkah menuju ke dapur. Terdengar bunyi seseorang sedang menyelongkar barang secara perlahan.

“Akak…?” Panggil Isha.

Diam. Bunyi kecil tadi terhenti.

“Akak ke..?” Soal Isha lagi apabila panggilannya tidak bersahut.

Dinding dapur diraba lalu suis lampu diketik. Cahaya putih terang menyimbahi seluruh ruang dapur. Terkedu Isha melihat tubuh Encik Arif sedang berdiri tegak membelakanginya dengan kepala yang berpusing 180 darjah menghadapnya. Tangan kirinya memegang tulang ayam, manakala tangan kanannya memegang tong sampah yang bersaiz sederhana besar.

Encik Arif, atau lebih tepat lagi, sesuatu yang menyerupai Encik Arif itu menyeringai dengan matanya memandang tepat ke arah Isha. Wajahnya memang boleh dikatakan seiras dengan encik Arif, tetapi dalam versi yang sangat menyeramkan.

Kedua belah taringnya meruncing tajam. Barisan giginya jelas berwarna kuning gelap. Kepalanya botak licin, tidak seperti Encik Arif asli yang rambutnya lebat memutih dek uban. Kedua belah telinganya pula meruncing tajam seperti orang kerdil Elf yang menjadi pembantu Santa Clause dalam filem-filem dari barat. Kulitnya pula sangat gelap, seperti orang kulit hitam.

Sudahlah rupanya sahaja cukup untuk membuatkan Isha berhenti bernafas, ditambah pula dengan kedudukan kepalanya yang terpusing ke belakang begitu, menjadikan Isha rasa macam nak pitam. Oksigen seperti tidak mahu tersedut masuk ke dalam rongga hidung Isha. Paru-parunya tidak dapat mengembang dengan baik. Isha sesak nafas!

Isha cuba membaca ayat al Qursi, tetapi terasa begitu susah. Baris demi baris ayat yang memang telah dihafal dengan baik itu bagai tidak mahu muncul di mindanya. Otaknya terasa kering kontang. Berapa kali bacaannya tersekat pada lafaz ta’awuz…sebelum akhirnya ayat suci dapat dibisikkan lancar. Sedaya upaya dia cuba mengumpul kekuatan. Ayat suci yang dibisikkan sedikit sebanyak meniupkan semangat ke dalam jiwanya untuk tegak berdiri.

Jangan takut pada makhluk! Bergema teriakan tersebut di ruang dadanya.

“Oh..ayah… tak tidur lagi ya…” Terpacul suaranya yang dikawal sebaik mungkin dari menggeletar.

Entah kenapa ayat itu yang terkeluar dari mulutnya. Bukan dia tidak tahu ayahnya sedang terlantar di katil. Bangun sendiri pun dia tidak mampu. Isha tahu sangat, yang berdiri di situ ketika itu bukanlah ayahnya. Sebaliknya adalah makhluk yang sekian zaman menjadi musuh ketat bangsa manusia. Tetapi Isha sedang bertungkus-lumus untuk tidak menzahirkan ketakutannya itu pada entiti tersebut.

Isha berpaling mahu beredar dari ruang dapur tersebut. Kakinya yang terasa lembik tidak bertulang dipacakkan keras ke lantai sedayanya.

“Jangan jatuh, Isha!” Pesannya pada diri sendiri.

Serentak itu juga abang Alif muncul di depannya sambil menggosok mata.

“Isha pergi tandas ke?” Soal Aqmar Alif apabila dilihat adiknya sedang berjalan ke arahnya dari ruang dapur.

“Eh…abang pun bangun…?” Soal Isha dengan suara yang antara keluar dengan tidak.

Digagahkan sepasang kakinya melangkah mendapatkan abangnya. Sebaik sahaja dia menghampiri abangnya, kedua belah tangannya memaut lengan lelaki itu kuat. Seraya itu dia melorot jatuh ke bawah.

“Eh, Isha! Kenapa ni?” Soal Aqmar Alif kelam kabut mencangkung menahan kepala adiknya dari terhentak ke lantai.

Isha pengsan.

 

PAGI itu suasana rumah agak riuh dengan hiruk pikuk cucu-cucu Encik Arif yang sedang bersiap mahu ke sekolah. Ammar sedang belajar di pra sekolah. Manakala adiknya Akmal belum mula bersekolah. Mereka perlu keluar lebih awal kerana Aqmar Alif perlu singgah ke rumah Isha dulu untuk mendapatkan pakaian seragam, beg dan buku sekolah Fara Afiya dan Fara Afina sebelum menghantar keduanya ke sekolah.

“Sekejap lagi abang bawa Ustaz Abbas datang. Abang dah call dia tadi.” Ujar Aqmar kepada Isha dan Syara yang sedang sibuk menyuapkan cucu-cucu Encik Arif makan.

Tangannya lincah mengemaskan baju sekolah Ammar ke dalam seluar lalu menyisir rambut anak itu rapi. Isha dan Syara hanya menganggukkan kepala mereka. Semalam selepas Isha rebah, Aqmar Alif mengangkatnya dan membaringkannya di sofa ruang tamu. Ditepuk-tepuknya pipi adiknya itu tetapi tidak berjaya membangunkannya. Lalu dia membangunkan isterinya dan memaklumkan hal itu kepadanya.

Syara bingkas ke dapur mendapatkan air dan kain bersih untuk Isha. Terkejut juga dia melihat keadaan dapur yang bersepah dengan isi dari bakul sampah.

“Abang…semalam tak buang sampah ke…” Bisik Syara seraya menuangkan air dari botol ke dalam gelas sebelum dihulurkan kepada suaminya.

“Allah…abang lupa..” Aqmar Alif bersuara kesal.

Terdetik di hatinya mengenai apa yang berlaku pada Isha. Memang sudah menjadi kebiasaannya membuang sampah sisa-sisa makanan di luar rumah sebelum tidur. Tetapi entah bagaimana perkara yang menjadi rutinnya itu tergelincir dari mindanya malam itu.

“Bersepah kat dapur tu, abang…” Lapor Syara.

Meremang bulu romanya memikirkan kaitan keadaan dapur tersebut dengan keadaan Isha yang tidak sedarkan diri. Aqmar Alif menyambut huluran gelas air dari isterinya. Surah al Fatihah, 3 Qul, dan ayat al Qursi berserta selawat dibacakan pada air tersebut lalu ditiup perlahan. Kemudian air di dalam gelas tersebut dituang ke atas tapak tangan kanannya lalu diraupkan ke muka adiknya dengan lafaz Bismillah. Perbuatan yang sama diulang sebanyak 3 kali, sebelum Isha mula membuka mata.

Isha bangun duduk perlahan-lahan dengan dibantu oleh abang dan kakak iparnya.

“Apa yang jadi…Isha?” Soal Syara lembut sambil mengelus rambut adik iparnya.

Isha masih diam membisu. Teragak-agak mahu menceritakan perkara sebenar kepada mereka berdua.

“Isha… tolong bagitahu dengan abang perkara yang sebenar. Jangan sembunyikan apa-apa dari abang. Isha dan anak-anak Kak Leeya sekarang dah jadi tanggungjawab abang tau..” Aqmar Alif pula bersuara lembut tetapi dengan nada tegas.

Dia dapat merasakan seperti ada yang tidak kena. Risau sekiranya satu-satunya adiknya itu sedang menyembunyikan sesuatu darinya. Sudahlah sebelum ini kakaknya meninggal akibat penyakit aneh. Ayahnya pula ada mengadukan mengenai gangguan-gangguan aneh. Dan Aqmar Alif dapat merasakan dalam hatinya yang kematian ibunya pun ada kaitan dengan perkara aneh ini, cuma dia tiada bukti untuk mengesahkannya.

Memang benar, kesihatan ibunya semakin merosot setelah kematian Kak Leeya. Tetapi ibunya adalah seorang wanita yang agak kuat pegangan agamanya. Bukan Puan Leha namanya kalau mahu meratapi pemergian si anak bagaikan menolak qada’ dan qadar ketentuan Tuhan. Sehinggakan menolak makan dan minum sampai tahap memudaratkan diri. Pada peringkat awal kematian Aleeya Aqma, Puan Leha masih menjamah makanan biarpun dalam kuantiti yang sedikit.

Namun selepas beberapa ketika, wanita itu bagai berubah tingkah secara mendadak. Selera ibunya itu bagai dikunci mati pada makanan dan minuman. Tubuhnya juga menjadi begitu kurus dan pucat dalam tempoh yang singkat. Seolah-olah ada perkara lain yang turut menjadi punca, dengan izin Allah Subhanahuwata’ala.

“Isha…nampak ‘ayah’…berdiri kat dapur dengan kepala terpusing…” Jawab Isha lambat-lambat.

Serta merta menyacak bulu roma di telinga dan tengkuk Syara. Wajah Aqmar Alif kelihatan berkerut serius.

“Sebenarnya abang…, dah beberapa kali juga Isha kena ganggu di rumah Kak Leeya tu. Tapi Alhamdulillahlah… anak-anak tak diusik…” Adu Isha menceritakan perihal sebenar.

“Belum diusik… Isha…kenapa tak bagitahu abang lebih awal…” Keluh Aqmar Alif sedikit kesal.

“Maafkan Isha abang… Isha ingat kalau Isha buat tak tahu, benda tu akan hilang sendiri…” Ujar Isha perlahan.

Rasa bersalah menyelubungi diri. Bukan niatnya mahu mengenepikan abangnya itu.

“Tak apa… abang..cuma risaukan Isha dan anak-anak…inshaAllah pagi nanti abang minta Ustaz Abbas datang.” Balasnya, merujuk kepada ustaz yang ada beberapa kali datang merawat Encik Arif.

“Ikutkan penerangan ustaz…gangguan yang ayah alami tu bukan semata-mata kerana tubuhnya lemah.. tapi ada yang mengenakan sihir… pada dia, dan keluarga kita… tapi Ustaz tak menjelaskan secara nyata, hanya berkias.. Kalau abang tak salah faham…begitulah maksud dia… Tak apalah…kita cuba ikhtiarkan apa yang boleh.. cukup kita berpegang bahawa tak akan berlaku segala sesuatu tanpa izin Allah..” Sambungnya lagi dengan nada lembut.

Isha dan Syara mengangguk-anggukkan kepala. Ya Allah..hanya kepadaMu kami memohon perlindungan dari segala kejahatan yang ada di atas muka bumi ini. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pelindung.

Hasbunallah wani’mal wakil..




No comments:

Post a Comment