Friday, May 3, 2024

SUARA MALAM (BAB 2)

 SUARA MALAM 

BAB 2

“LANA….Lana….weh…Lana…” Panggil Syu berulang kali.

“Wehh….Lana…bangunlah…kau tak nak bangun ke…. Dah berapa kali alarm kau bunyi ni…” Leter Syu sambil menggoncang lembut tubuh sahabatnya.

Perlahan Lana membuka mata.

“Ha… bangun pun. Tidur mati ke kau ni. Sampai nak pecah phone kau tu melalak… tak bangun-bangun jugak. Sampai si Wan yang selalu lambat tu pun dah pergi mandi.” Syu sambung membebel sambil melipat telekung.

Lana termangu seketika sebelum berkalih bangun lambat-lambat. Lama dia duduk di birai katil. Wajahnya diraup dan tangannya menyapu mata. Basah.

“Aku menangis ke……?” Soalnya perlahan.

“Ha?” Soal Syu.

Aneh pula melihat keadaan Lana pagi itu. Biasanya bangun sahaja Lana sudah cergas dan bingkas bersiap. Hari ini lain pula gayanya.

Lana hanya menggelengkan kepalanya. Tidak bermaksud berbual dengan Syu. Soalan tadi hanya ditujukan pada dirinya sendiri.

Syu menjungkit bahu sebelum beredar untuk bersiap-siap ke fakulti. Hari ini mereka ada kuliah awal pagi.

“Aku mimpi ke tadi…” Lana berbicara sendiri.

Terpisat-pisat dia sendirian di birai katil. Situasi tadi terasa begitu nyata padanya. Suara tangisan tadi seperti benar-benar terdengar di telinganya. Macam bukan mimpi!

Lalu dia melangkah lemah menuju ke bilik air untuk membersihkan diri.

 

“LANA! Lana! Lana….!”

Lana melajukan langkah. Pura-pura tidak mendengar namanya dipanggil.

“Anggap je lah aku tengah dengar lagu pakai ear buds…” Gumamnya memberikan alasan kepada diri sendiri.

Weh…kau tak dengar ke abang Harris panggil kau.” Siku Syu di sebelah.

“Dah pekak ke apa budak ni.” Bebel Syu dalam hati.

 Mustahil dia tak dengar. Satu fakulti ni pun boleh dengar suara senior mereka itu terpekik-pekik memanggil Lana. Syu sudah maklum sangat dengan perhatian khusus abang Harris pada Lana. Ada sahaja usahanya untuk mendekati gadis itu. Pantang nampak.

Tapi Lana selalu sahaja mengelak dan melarikan diri. Syu pun tak faham dengan tingkah sahabat baiknya itu. Bukan tidak pernah dia cuba mengorek isi hati gadis manis itu. Tetapi masih juga tidak dapat difahami sepenuhnya. Seketika fikirannya terlayang kepada perbualan mereka tentang abang Harris.

Korang… malam ni aku balik lambat sikit tau, nak gi dating dengan abang Shuk.. Hihihi… korang tak payah tunggu aku makan malam eh…” Pesan Wan sambil tersengih riang.

Lana mencebikkan bibir. Cemburu.

“Untunglah ada pakwe…” Sindir Syu sambil ketawa-ketawa.

“Boleh keluar jalan-jalan.., makan orang belanja…, phone orang top up kan….” Sambung Lana.

“Eh! Jeles?!” Sampuk Hawa sambil ketawa besar.

Sudah maklum sangat dengan Lana dan Syu yang selalu mencemburui dirinya dan Wan yang sedang bercinta. Sudah jelas mereka juga mempunyai perasaan untuk berteman dan mempunyai pasangan seperti dirinya. Tetapi tak pasti pula apa yang menghalang. Kalau diikutkan rupa paras, kedua mereka lebih menarik dari dirinya dan Wan, pada pandangan matanya. Lagipun, bukan tidak ada lelaki yang cuba memikat.

Korang tu…sombong sangat kenapa. Dah ada orang nak, korang tak nak. Lepas tu kecoh pulak takde pakwe.” Bidasnya laju.

Lana hanya memuncungkan mulut. Buat muka comel. Kepalanya yang tidak gatal digaru perlahan. Bukan dia tidak mahu…tapi..entah? Dia tak pandai. Takut pun ada. Selalu saja dia berfikir-fikir sendiri, kalau kawan-kawannya keluar berpacaran tu…mereka ke mana? Bila berjumpa, nak sembang apa? Dia tak reti… kalau ditanyakan pada kawan-kawannya itu, mahu mereka gelakkan dia berjemaah sampai semester akhir tak habis-habis.

“Ha’ahlah Lana. Kau kenapa tak terima je abang Harris tu? Bersungguh betul aku tengok dia kejar kau.” Sampuk Hawa sambil matanya masih tak lekang dari skrin telefon. Berbalas pesanan dengan kekasih hati.

“Hah… sibuk komplen nak pakwe top up kan… belanja makan. Itu hari masa kau tak sihat, abang Harris siap offer dah nak belikan makan, sekali pakej hantarkan ke kolej. Kau tak nak. Selamba badak je kau cakap makanan kat bilik dah banyak. Sudahnya aku jugak yang kena pergi belikan kat kau. Sampai dah lembik tak boleh bangun.” Bebel Syu, mengimbas kejadian sebelum ini.

“Lepas tu, dia nak hantarkan ubat, kau cakap ubat ada. Padahal Panadol si Wan jugak kau sebat.” Sambung Syu lagi.

“Paling tak tahan tu… ada masa tu dia top up kan untuk kau, kau pergi top up kan dia balik. Kesian orang tu tau. Langsung tak kasi muka lah kau ni.” Syu masih belum puas hati mengungkit.

Lana hanya tersengih kerang. Apa nak jawab… dia sendiri pun tidak pasti kenapa dia bersikap begitu. Rasa bersalah pula dekat lelaki itu bila dengar bebelan Syu.

“Kau tak suka dia ke? Bukan taste kau eh?” Soal Wan pula. Turut berminat dengan topik itu.

Memang dia sendiri agak teruja dengan kesungguhan senior mereka itu cuba memenangi hati Lana. Sampaikan rakan universiti yang lain tiada yang berani mendekati Lana. Kesungguhan abang Harris yang tidak segan silu mendekati Lana itu bagaikan sudah mengisytiharkan, yang gadis itu miliknya.

Emm…tak…” Jawab Lana lambat-lambat.

“Tak suka?” Soal Wan, keliru dengan jawapan ringkas Lana.

“Tak…bukan tak suka…” Jelas Lana teragak-agak.

“Hah? Habis tu? Kau suka?” Desak Syu pula. Semakin teruja dengan topik perbualan mereka.

“Eh..tak… err… bukan dia dah ada girlfriend ke?” Tersangkut-sangkut Lana cuba mengalih topik.

Dia sendiri pun tak pasti tentang perasaannya pada lelaki itu. Bukan gemuruhnya tidak datang setiap kali lelaki itu cuba mendekati. Jantung kat dalam berkompang bergendang jangan ceritalah. Tapi entah kenapa dia selalu melarikan diri darinya. Sudah seperti tindakan refleks pula.

Kalau nampak abang Harris jauh di depan berjalan ke arahnya, awal-awal lagi dia membelok bertukar arah. Kalau ada rakannya yang lain sewaktu abang Harris menghampiri, laju sahaja dia bersembunyi di belakang mereka dan membiarkan mereka yang berbual dan menjawab soalan abang Harris. Ish…bila difikirkan semula terasa kejam pula tingkahnya. Langsung tak diberi peluang untuk lelaki itu mengenalinya dengan lebih rapat.

Ish! Takdelah…aku dengar diorang dah break dah sem lepas.” Sampuk Hawa yang masih leka menekan-nekan skrin telefon. Multitasking betul budak seorang ni.

Lana menelan liur. Nak bagi alasan apa lagi.. Sudah sememangnya Hawa pantas mendapat maklumat-maklumat gosip terbaru berkaitan senior mereka kerana bercinta dengan abang Shuk.

“Hah kau ingat tak hari tu, kau cakap… masa annual dinner kalau ada lelaki yang pakai seluar putih baju hitam, tu lah jodoh kau.”

Hish budak Syu ni…benda-benda tak semenggah macam tu dia boleh ingat pula. Kalau nak menghafal pelajaran berbelit-belit pula otak dia.” Leter Lana dalam hati.

Riak wajahnya mula berubah, tak sangka sahabat baiknya itu masih ingat kata-katanya semester lepas. Waktu itu fakulti mereka mengadakan jamuan akhir tahun, dengan mengambil warna hitam putih sebagai tema. Seperti dijangka, hampir semua siswa lelaki memilih untuk bergaya dengan seluar hitam dan baju putih sebagai busana mereka.

Sebab itulah Lana berani cakap pada rakan-rakan sebiliknya, jika ada lelaki yang memakai seluar putih dan baju hitam, itu adalah jodohnya. Sengaja je bergurau.. Tak sangka pula ada yang memakai seluar putih baju hitam. Pulak tu, kebetulannya hanya abang Harris seorang yang berpakaian begitu! Riuh kawan-kawannya mengenakannya dan mengetawakannya. Tengoklah, sampai sekarang pun tak habis lagi!

Ha’ah kan… jangan-jangan dia memang jodoh kau, tak Lana?” Sahut Wan sambil tergelak besar. Lucu megenangkan kejadian itu.

“Hahahahah… kannnn.. kau tak payah jual mahal sangatlah Lana…kau terima jelah dia…” Sokong Hawa pula. Ikut sama ketawa sakan.

“Eh dahlah! Aku nak pergi mandi. Malas layan korang.” Bingkas Lana beredar dengan wajah yang mula merona merah menahan malu dan geram.

“Oii!! Bukan kau baru je mandi tadi keee….?” Laung Syu pula sambil tergelak kuat. Gembira mereka bertiga mengetawakan Lana petang itu.




No comments:

Post a Comment