Friday, May 3, 2024

SUARA MALAM (Bab 3)

 SUARA MALAM

Bab 3

OI! Aku tanya kau ni. Sengih-sengih sorang-sorang dah kenapa?” Siku Lana.

“Dah kenapa pulak si budak Syu ni. Angin takde, ribut takde, tersengih sorang-sorang.” Bebelnya dalam hati.

Hehe… takde…aku teringat……” Ayat Syu tidak sempat dihabiskan.

“Lana. Assalammualaikum…” Potong Harris.

Bila masa pulak si mamat ni ada kat sini. Tadi kan jauh kat sana. Dia berlari ke datang sini? Lana dan Syu saling berpandangan.

“Waalaikumsalam…” Jawab mereka serentak. Lana mula kelihatan gelisah.

“Lana tak dengar ke abang panggil tadi..” Sapa Harris lembut. Senyum manis dipamerkan untuk Lana.

Lana mula berpeluh dingin. Rasa macam ada serangga-serangga kecil berlari-larian dalam kantung perutnya. Kalau bukan masa nak jawab periksa amali dan buat pembentangan, memang masa abang Harris mendekatilah dia akan rasa begini. Gemuruh. Mahu pula bila mendengar Harris bersahaja membahasakan dirinya abang. Sampai di belakang tengkuknya pun terasa seperti ada serangga berlari-lari girang.

“Aduh… salah aku sendiri…” Gumam Lana dalam hati.

Teringat dia pada kali pertama ditegur Harris di kafeteria.

 

LANA kan?” Sapa Harris sambil menarik kerusi plastik dan duduk di hadapan Lana dan Syu yang sedang menjamu selera dengan hidangan mi goreng sebagai pilihan sarapan pagi mereka.

Errr… “ Otak Lana ligat berputar.

Dia mula mengagak siapa lelaki di depannya. Sememangnya dia sudah sedia maklum hanya seorang sahaja yang berkemungkinan mengenalinya di kampus itu. Ketika itu dia baru sahaja masuk tahun pertama ke universiti. Ibunya ada bercerita mengenai pelajar yang membantu memberikan rawataan kepada jiran mereka, Ustaz Ali. Kebetulan bidang yang Lana mohon, sama dengan pelajar tersebut.

Errr….abang…Harris?” Lana rasa nak cubit-cubit mulut sendiri.

Tapi.. dia nak panggil apa lagi. Nak panggil encik, lelaki di hadapannya itu pelajar sepertinya juga. Bukan pensyarah atau pegawai. Nak panggil nama sahaja, macam tidak sopan pula. Dia senior. Sebab itulah terpacul panggilan itu dari mulutnya.

Tidak semena-mena Harris tersenyum lebar. Matanya kelihatan seperti bersinar-sinar pula pada pandangan Lana. Dan sejak itulah keadaan jadi seperti sekarang.

 

SYU menguis-nguis pinggang Lana. Mematikan lamunannya mengimbau kenangan kali pertama bertemu Harris.

“Lana…jawablah…abang Harris tanya kau tu…. Dah kenapa tiba-tiba bisu pulak….” Gumam Syu, cuba menyampaikan kata-katanya kepada Lana melalui isyarat.

Err…tak… tak perasan….” Jawab Lana tergagap-gagap.

Harris hanya tersenyum. Sudah mengagak jawapan yang bakal diberikan  sebagai alasan.

“Ni, ada nasi ayam abang belikan. Makanlah dengan kawan.” Ujarnya sambil menghulurkan bungkusan plastik kepada Lana.

Err… err…eh takpelah abang..Harris… susah-susah je…” Jawab Lana teragak-agak.

Bungkusan plastik berisi bekas makanan masih terbiar tidak bersambut.

Ishh kau ni kan… orang dah bagi tu ambiklah… kan boleh jimat jugak duit lunch…” Syu mengetap gigi sambil menjeling-jeling Lana, sekali lagi cuba berkomunikasi dengan rakan baiknya itu melalui bahasa isyarat.

“Janganlah macam tu… ambillah, abang ikhlas ni belikan untuk Lana.” Harris masih memujuk, mengunjukkan bungkusan plastik itu kepada Lana. Berharap Lana menerimanya.

Err.. hee… rezeki tak baik ditolak tau Lana…” Sampuk Syu sambil hujung jarinya mencubit-cubit pinggang Lana, mendesaknya mengambil bungkusan itu.

Err…err… terima kasih…abang Harris..” Lana mengalah. Kalau tidak, mahu berjoget dia di situ dicubit Syu. Sakit ada, geli pun ya.

Err.. lain kali Lana pulak belanja.” Sambungnya lagi.

Aikkk…. Apa yang aku cakap niiii….” Jerit Lana  dalam hati. Sedar yang dia terlepas cakap. Niatnya cuma tidak mahu terhutang budi… tapi pelawaannya itu seakan memberikan maksud lain pula.

Haa… ok jugak tu…kalau macam tu Lana kena temankan abang keluar makanlah.” Ujar Harris tersengih riang. Bersinar lagi matanya. Berjaya juga taktiknya. Kalau dibelikan untuk Lana seorang tadi, sudah pasti mentah-mentah ditolaknya. Tak salah perhitungannya keluarkan modal lebih belikan untuk sahabat baik Lana juga.

Pucat Lana dibuatnya. Rasa nak bagi balik je bungkusan yang sudah berada di tangannya.

“Matilah aku…!” Rintihnya dalam hati.

“Terima kasih abang Harris…” Sahut Syu menggantikan Lana yang sudah terbisu. Berdekah Syu ketawakan sahabatnya itu dalam hati. Balik sekejap lagi dia nak cerita pada Wan dan Hawa, biar mereka boleh gelakkan Lana berjemaah.

 

“TSKK….tskk…. huuuu….. tskk…”

Tidur Lana terganggu. Suara seperti tangisan itu menganggunya. Dia berkalih baring dengan mata yang masih terpejam rapat.

Erghhh…. Huuuuuu….huuu….” Esakan tangis tersebut  semakin galak. Memaksa Lana terjaga dari lenanya.

Matanya terbuka luas. Terkelip-kelip memandang ruang siling yang gelap. Hanya ada cahaya samar dari lampu bilik air yang terpasang dengan keadaan pintu tertutup. Memang mereka berempat biasa tidur dalam keadaan bergelap begitu. Melainkan di musim peperiksaan. Masing-masing akan sibuk menelaah pelajaran hingga larut malam. Ada juga yang langsung tidak tidur.

Lana terkebil-kebil sendirian. Cuba mengesahkan bunyi suara yang menyapa pendengarannya tadi. Suasana sepi seketika.

Uhukk… tskk tskk….” Suara tangisan tadi terdengar lagi.

Sah! Lana tak salah dengar! Memang ada suara menangis di dalam bilik itu! Tubuh Lana mengeras. Diam tidak berkutik. Debaran di dadanya mengencang kuat. Bermacam-macam jenis bayangan hantu yang hodoh sepeprti yang ditonton di filem-filem sudah silih berganti menjelma di kotak fikirannya, meningkatkan lagi darjah ketakutan yang sedang dirasainya sekarang.

Huuuu…..uhuuuuu….” Suara tangisan itu kedengaran begitu hiba sekali. Seakan menanggung beban kesedihan yang sangat dalam.

“Eh sempat pulaklah aku nak rasa kesian kat hantu tu…!” Marah Lana sendiri dalam hati.

Lana cuba mengamati suara itu dengan peluh dingin yang mula merenik di seluruh bahagian dahi.

“Ehm…huuuuu….” Tangis suara itu lagi.

Betullah! Suara itulah yang Lana dengar dalam mimpinya tempoh hari. Benar-benar bunyi suara yang sama! Maknanya Lana memang dengar suara tersebut sebelum ini. Cuma mungkin keadaannya yang terlalu mengantuk ketika itu membuatkan suara tersebut terus diadun masuk ke dalam mimpinya. Antara nyata dan tidak.

Tskk….tskk…” Suara tangisan itu beransur tenang, sebelum kemudiannya terus berhenti.

Lana masih dalam keadaan yang sama. Keras membatu. Tidak bergerak sedikit pun dia. Jauh sekali untuk berpusing dan melihat sang empunya suara. Lama juga dia berkeadaan begitu. Sehinggalah azan Subuh berkumandang dan rakan-rakannya yang lain mulai bangun dan menyalakan lampu. Barulah Lana mengendurkan badannya. Habis sakit dan tegang urat sarafnya.

“Lana…kau kenapa menung je kat situ. Tak nak bangun bersiap ke?” Soal Syu. Aneh dengan tingkah sahabatnya. Sudah beberapa kali Lana bangun tidur dalam keadaan tak bermaya begitu. Apa yang menganggunya?

Lana hanya menggeleng lemah.




No comments:

Post a Comment