SUARA MALAM
Bab 4
LAMBAT-LAMBAT Lana menyusun langkah, membontoti
rakan-rakan sebiliknya yang sedang berjalan ke dewan kuliah. Tubuhnya terasa
begitu letih sekali. Malam-malam dia tidak dapat tidur. Sudah berapa kali dia
diganggu dengan suara tangisan di waktu malam di dalam bilik mereka. Hairannya,
rakan-rakan yang lain tiada pula mengadukan hal yang sama.
“Ke
diorang pun macam aku? Dengar tapi tak nak cerita..” Lana berkira-kira
sendiri tentang situasi yang dialaminya.
Misteri
itu masih belum terungkai. Semalam ada juga dia cuba memberanikan diri
berpaling ke arah datangnya bunyi suara itu. Habis menggeletar seluruh tubuhnya
apabila melihat ada mahkluk berpakaian putih sedang duduk berteleku di ruang
tengah bilik. Dia perasan makhluk itu bergerak-gerak, terhenjut-henjut. Cepat-cepat
dia pejamkan semula matanya dan berzikir hingga ke pagi. Langsung tak dapat
terlelap seminit pun.
Sampai
sahaja di dewan kuliah, Lana terus melentukkan kepalanya ke meja tulis. Matanya
dipejam rapat. Dapat tidur sekejap pun jadilah. Dia betul-betul letih dan
mengantuk.
“Syu.
Kenapa dengan Lana tu. Lain macam je berapa hari ni. Tak bermaya je.
Dia tak sihat ke?” Tanya Wan risau.
Syu
menjungkitkan bahu. Dia sendiri tidak tahu apa yang sedang berlaku pada
sahabatnya itu. Sudah beberapa kali ditanyakan apa masalahnya. Setiap kali itu
juga Lana hanya menjawab tiada apa yang berlaku.
Belum
sempat mereka meneruskan perbualan, seorang pelajar lelaki junior menghampiri
mereka.
“Kak!
Ada kiriman coklat dan bunga untuk Lana Liyana.” Ujarnya sambil menghulurkan
sejambak bunga dan sekotak coklat.
Syu
dan Wan tersentak. Mereka berkalih melihat sekeliling. Kelihatan beberapa orang
pelajar junior yang lain sibuk menghantar kiriman pesanan bunga dan
coklat kepada pelajar-pelajar dalam dewan kuliah tersebut. Fahamlah mereka,
keadaan ini berkaitan dengan sambutan hari kekasih di fakulti mereka.
“Dari
abang Harris.” Sambung pelajar junior itu lagi.
Syu
menganggukkan kepala sambil menyambut hadiah
yang dihulur apabila dilihatnya Lana langsung tak bergerak. Mungkin
sudah terlelap. Wan mengangkatkan keningnya kepada Syu.
Tak
usahlah dikejutkan Lana yang kelihatan begitu letih dan tidak cukup tidur untuk
menerima pemberian itu. Lagipun Lana bukannya ambil peduli dengan sambutan hari
kekasih begitu. Padanya sambutan itu terlalu mengikut budaya Barat dan tidak
seiring dengan agama mereka.
LANA
merebahkan tubuhnya
ke katil, lemah. Kepalanya rasa begitu berat sekali.
“Eh?
Lana…kau nak tidur dah ke? Tak nak makan dulu ke?” Soal Syu sambil
melipat telekung.
Jam
menunjukkan tepat pukul 9 malam. Selesai sahaja solat Isyak tadi terus Lana
merebahkan diri ke katil. Bungkusan nasi yang mereka beli bersama tadi hanya
terbiar tidak berusik di atas meja belajarnya.
Syu
melepaskan keluhan. Lana langsung tidak melayan pertanyaannya. Cepat betul dia
terlelap. Kerisauan mula bertandang di hati sang sahabat.
“Ada
masalah ke dia ni… sebelum ni tak pernah pun macam ni.” Omelnya sendiri.
Perlahan
dia menuju ke meja belajarnya. Kerusi ditarik dan punggungnya dilabuhkan.
Bungkusan nasi dibuka dan nasi berlauk sambal ayam dan sayur goreng dijamah
sendirian. Wan dan Hawa memilih untuk keluar makan di luar, manakala dia
membuat keputusan menemankan Lana makan di bilik sahaja memandangkan rakannya
itu kelihatan begitu letih.
“Eh…sedap
pula lauk ni. Lain kali boleh beli kat sini lagi.” Bicaranya sendiri sambil
melajukan suapan.
“SREKK….srekk… chap! chap! chap!”
Bunyi
aneh yang perlahan tapi cukup jelas untuk ditangkap oleh pendengaran Lana
mengejutkan dia dari tidur. Seakan-akan bunyi orang sedang menguis-nguis bekas
dan mengunyah sesuatu. Tubuh Lana cuba beralih ke arah bunyi tersebut secara
spontan, tetapi gagal. Badannya menjadi kaku dan kebas. Mungkin tidurnya
terlalu lena sejak selepas Isyak tadi menyebabkan tubuhnya statik pada satu
posisi.
“Srek…
srek…”
Bunyi
menguis perlahan tersebut kedengaran lagi. Serentak itu juga kepala Lana
terkalih ke arah meja belajarnya. Nafasnya terhenti. Matanya membulat dalam
kesamaran malam. Peluh bercerau membasahi tubuhnya. Makhluk berambut panjang
berpakaian putih sedang duduk di meja belajarnya. Kelihatannya seperti sedang
asyik menikmati makanan di situ.
Kepala
Lana terasa berpinar-pinar. Terbayang di fikirannya yang makhluk itu sedar dia
sedang diperhatikan, dan seterusnya berpusing dengan wajah menakutkan sebelum menerkam Lana. Bayangan
pemikiran Lana membuatkan ketakutan yang dirasakan berada pada tahap maksima.
Bumi benar-benar berpusing pada Lana. Dia tidak sedarkan diri.
LANA
terasa rambutnya
diusap perlahan. Dia memaksa diri mencelikkan mata yang begitu berat.
“Argghhhhhh….!
Arghhh…!!!!”
Terjerit-jerit Lana sebaik matanya berjaya dibuka dan dia bingkas bangun.
“Arghhhhh!! Weh kau kenapa?? Terkejut akulahh…! Hishhh!!”
Hawa yang tadinya menjengulkan muka untuk melihat Lana ikut menjerit. Terkejut.
Syu
dan Wan masing-masing turut mengurut dada.
“Hish!
Kau pun satulah Hawa! Dah kau pergi pakai masker macam tu, tonjolkan
muka kat dia. Siapa yang tak terkejut! Budak ni dahlah tengah tak sihat.” Marah
Wan. Sebenarnya jantungnya sendiri bagai mahu tercabut bila Lana tiba-tiba
menjerit sebaik terjaga tadi.
“Hish!
Terkejut aku tau… aku ingat si Lana ni dah kena histeria ke apalah tadi haa….”
Sungut Syu pula. Dia sendiri pun sudah
pucat dibuatnya.
“Hishhh!
Sengetlah kau ni!” marah Lana sambil merebahkan tubuhnya kembali ke katil. Nak
tergelak pun ada. Geram pun ada. Dahlah dia baru ‘diacah’ makhluk mengerikan
itu tadi. Buka sahaja mata, terus nampak muka Hawa yang bersalut masker berwarna
hijau bertepek-tepek. Mujur tak ditempelengnya pipi sahabatnya itu tadi,dek
gara-gara terkejut.
“Kepala
aku rasa berat betullah….” Adu Lana perlahan.
“Kau
demam ni tahu tak…” Ujar Syu sambil kembali meletakkan tuala basah kecil di
dahi Lana.
Memang
dari tadi dia sedang menjelum kepala Lana. Panas betul badannya.
Diselang-selang dengan mengusap rambut Lana dengan penuh kasih, sebelum
kawannya itu terjaga tadi.
“Tak
payah pergi kelaslah hari ni… aku temankan kau pergi klinik.” Sambung Syu lagi.
“Ha’ah…pergi
klinik lepas tu rehatlah kat bilik.. nanti kitorang bagitahu kat lecturer.”
Sahut Wan, bersetuju dengan cadangan Syu.
Hawa
yang masih dengan masker berselepet di mukanya turut terangguk-angguk
bersetuju. Wan disebelahnya mengulum senyum.
“Pap!”
Ditamparnya bahu rakannya itu. Sebagai ganti kepada rasa lucu yang
terpaksa ditahan.
“Adoi!
Sakitlah…” Sungut Hawa sambil menggosok-gosok bahunya yang terasa pedih.
Syu
sendiri menundukkan kepala ke bawah. Terhenjut-henjut bahunya menahan tawa dari
menghasilkan bunyi. Bimbang menganggu Lana yang sedang tidak sihat.
Hawa..
hawa..
“LANA…
cepatlah..pakai tudung… jom..kita pergi klinik sekejap je..” Pujuk Syu
sambil mengenakan tudung di kepalanya sendiri.
“Syu..aku
betul-betul tak laratlah nak naik bas, teksi bagai nak ke klinik.. aku makan
Panadol dan rehat je ea..?” Dalih Lana, masih berlambat-lambat bersiap.
Sudah
dipaksakan diri mandi dan bersiap mengikut nasihat Syu, tapi sekarang dia
betul-betul rasa tiada tenaga untuk ke klinik.
“Alaa..kita
pergi sekejap je Lana… boleh dapat mc… lagipun..sebenarnya aku
risaulah tengok keadaan kau beberapa hari ni… nampak lesu, tak bermaya sangat.
Biarlah doktor periksa ye…? Pasal transport kau jangan risau,
kawan aku dah tunggu dengan kereta dia kat bawah. Dah, kau cepatlah siap.” Gesa
Syu masih mendesak dalam memujuk. Dia benar-benar risaukan kesihatan rakannya
itu.
Lana
mengeluh lembut.
“Kawan
kau yang manalah pulak Syu oi. Kawan kau dengan kawan aku bukan sama ke
semuanya.” Pertanyaan tersebut hanya bergema dalam hatinya. Tiada tenaga untuk
dia berlawan kata dengan Syu ketika itu.
Beberapa
minit kemudian mereka berpegangan tangan, beriringan menuju ke arah sebuah
kereta Viva berwarna putih yang siap menunggu di luar pagar kolej.
“Err…
kau duduk depan ye.. aku takut kau pengsan sorang-sorang kat belakang
nanti susah.” Ujar Syu sambil membukakan pintu di bahagian sebelah pemandu
untuk Lana.
“Dah
apa punya alasanlah Syu.. dah tentulah aku lagi selesa kat belakang, susah
sangat boleh baring terus. Lagipun ni kan kawan kau, seganlah aku.” Sekali lagi
kata-katanya hanya bergema di dalam hati. Dia benar-benar tiada nafsu mahu
membuka mulut.
“Lana
ok tak ni…? Kenapa tak bagitahu tak sihat…” Sapa suara yang sangat
dikenalinya dari tempat duduk pemandu, sebaik sahaja Lana melabuhkan punggung
di tempat duduk.
“Eh??
Bila pulak dia ada kat sini.” Soal Lana dalam hati.
Abang
Harris tersenyum manis kepadanya. Lana hanya mendiamkan diri. Walhal dia sedang
sibuk berdialog sendiri di dalam hati. Mempersoalkan kehadiran abang Harris
sebagai ‘kawan’ Syu dan sebagainya. Tapi tiada sepatah perkataan pun yang
keluar dari mulutnya. Syu juga ikut diam di tempat duduk belakang. Balik nanti
sahajalah dipujuknya Lana yang semestinya sedang bengang dengan dia sekarang.
Yang penting kesihatan Lana harus diutamakan dahulu.
Harris
meneruskan pemanduannya dengan tenang. Tiba di klinik, dia membantu membukakan
pintu kereta untuk Lana, uruskan proses pendaftaran Lana, pendek kata Lana
dilayan bagai Tuan Puteri hari itu.
“Hmm…untunglah
kau Lana… kalau akulah orang layan macam ni… tak payah jumpa doktor pun dah
sihat!” Omel Syu sendiri di dalam hati. Tersentuh dengan layanan abang Harris
pada Lana.
“Dah,
jom?” Ajak Harris setelah dia siap mendapatkan ubat, slip cuti sakit, dan
menyelesaikan pembayaran ubatan Lana.
“Berapa
semuanya abang Harris? Lana bayar balik…” Ujar Lana lemah sambil cuba
mendapatkan dompetnya.
“Dah
tak payah risau pasal tu. Jom, boleh jalan tak ni? Tak boleh, abang dukungkan?”
Gurau Harris sambil mengalihkan beg Lana dari tangannya dan terus membimbitnya
di tangannya sendiri.
“LANA…sorry
lah ea… aku minta tolong abang Harris tadi sebab aku takut kau tak larat
nak ke klinik.. aku betul-betul risaukan kau…” Ujar Syu setelah mereka berada
di bilik.
“Aku
tahu…” Jawab Lana pendek sambil tersenyum lemah.
“Kau
tunggu aku sihat nanti, tahulah aku ceramahkan kau.” Sempat dia membebel
sendiri dalam hati.
Kau
solat dulu, lepas tu kita makan sama-sama…, kau makan ubat lepas tu tidur,
rehat. Ok?” Sambung Syu.
“Kau
dah solat?” Soal Lana kembali. Kalau boleh dia masih mahu duduk dulu sementara
menunggu Syu ambil wudhuk.
“Aku
baru ‘datang’ tadi.” Jawab Syu sambil menyiapkan makanan yang dibelikan abang
Harris tadi untuk mereka makan bersama. Ubat-ubat Lana juga dikeluarkan.
“Ini
untuk bantu tidur. Kau tak boleh tidur malam ke Lana?” Soal Syu, berfikir
sendiri kalau-kalau keadaan Lana sekarang berpunca dari masalah sukar untuk
tidur malam.
Lana
tidak menjawab. Teringat aduannya pada doktor sebentar tadi. Suhu tubuhnya
mencecah 40 darjah Celsius. Demam dengan suhu yang tinggi, mungkin juga kerana
terkejut dengan ‘makhluk’ semalam. Selain keadaan tubuhnya yang lemah tidak
bermaya akibat gangguan tidur yang dialaminya kebelakangan ini.
Keluhan
lembut dilepaskan perlahan.

No comments:
Post a Comment