Saturday, May 4, 2024

SUARA MALAM (Bab 5)

 SUARA MALAM

Bab 5

LANA menatap pesanan ringkas yang terpapar di skrin telefon bimbitnya lama.

“Selamat malam..” Mesej dari abang Harris.

Memang lelaki itu setia menghantarkan ucapan-ucapan selamat begitu kepadanya sejak dahulu. Semuanya hanya dibiarkan tidak berbalas.

“Balas dalam hati pun aci jugak, kan” Gumamnya membela diri.

“Selamat malam” Untuk kali ni, laju pula jarinya menaip dan menghantar ucapan balas kepada lelaki itu.

Lantas dibalas dengan sticker yang menunjukkan rasa suka, oleh abang Harris.

Lana menghembuskan nafas. Dialihkan pandangan ke arah katil Syu yang kosong. Gadis itu terpaksa pulang ke kampung sejak beberapa minggu yang lalu kerana keadaan kesihatan ibunya. Ibu tunggal itu kini hanya tinggal berdua dengan adik bongsu Syu yang baru berusia 10 tahun. Dua lagi adiknya sedang belajar di sekolah berasrama. Itu yang merisaukan Syu. Mujurlah pensyarah mereka memberikan kebenaran kepadanya untuk pulang.

Seketika dialihkan pula pandangan ke arah Wan yang sedang nyenyak tidur. Hawa pula masih belum pulang dari bertemu janji. Kira-kiranya sudah hampir sebulan Lana tidak diganggu suara menangis di waktu malam itu lagi. Tidurnya lena hingga ke pagi, walaupun ubat yang dibekalkan doktor sudah habis. Alhamdulillah…

Telefon di tangan  ditatapnya kembali. Mesej abang Harris masih terbuka. Rasa macam… rindu pula dia pada lelaki itu yang kini sedang menjalankan latihan praktikal di negeri lain. Eh, rindu??

 

IBU kau dah sihat?? Rindunya aku kat kauuu…” Soal Lana sambil memeluk erat sahabat karibnya yang baru melangkah masuk ke bilik mereka.

“Alhamdulillah…dah beransur sihat.. dah boleh uruskan diri sendiri… mungkin tekanan darah dia tinggi sangat hari tu.. mujurlah cuma minor stroke je. Pemulihan dia pun cepat…” Jelas Syu bernada syukur.

“Alhamdulillah…” Sahut Lana sambil terangguk-angguk.

“Kau pulak, macam mana? Nampak segar je ni? Dah ok?”  Tanya Syu risau. Rasa bersalah terpaksa meninggalkan sahabatnya itu dalam keadaan agak kurang sihat.

“Eh Alhamdulillah dah ok dah… lagi kau dah ada ni. Bertambah sihatlah aku.” Jawab Lana tersengih-sengih. Memang dia berkata jujur.

Ermm petang ni kau busy tak? Teman aku pergi library?” Ajak Syu.

Otaknya sudah ligat berkira-kira tentang tugasan dan pelajaran yang sudah beberapa minggu tertinggal.

No problem. Jap gi kita pergi.” Sahut Lana bersetuju.

 

SUASANA di perpustakaan tenang dan mendamaikan. Sememangnya satu tempat yang disukai Lana. Dia rasa tenang dan gembira di situ dikelilingi buku-buku. Beberapa buah buku di rak dicapai dan ditarik keluar sebelum dia duduk bersila di laluan antara celahan rak buku tersebut. Helaian muka surat salah sebuah buku tersebut diselak kemudian perlahan-lahan dia hanyut dalam bacaannya.

“Khusyuk betul dia…”

Lana tersentak.

“Eh, abang Harris.” Entah sejak  bila lelaki itu duduk bertinggung di depannya pun dia tak sedar.

Err…bila balik praktikal?” Soalnya tergagap.

“Kelmarin baru balik. Balik weekend ni je, ada hal nak settle kan kejap. Esok dah balik sana balik.” Jelasnya sambil tersenyum manis.

“Aduh…boleh gugur jantung aku dibuatnya. Dah kenapa pulak tiba-tiba dia nampak handsome pulak hari ni?? Hish..apa kau merepek ni Lana.” Lana sibuk bersembang dengan dirinya sendiri di dalam hati.

Kelam kabut Lana bingkas bangun untuk menyembunyikan gugup. Terkial-kial pula dia menjengketkan kaki untuk meletakkan semula buku yang diambil tadi ke atas rak yang agak tinggi.

Eh..tadi masa ambil sampai je. Hairan ni…

Tiba-tiba abang Harris menyambut buku tersebut dari belakang dan menyusunnya kemas di atas rak. Terhenti juga jantung Lana sewaktu tangan mereka bersentuhan. Mukanya terasa panas berhaba.

“Te..terima kasih.” Ujar Lana tersangkut-sangkut.

“Lana apa khabar, sihat?” Soal Harris mesra.

Err.. Alhamdulillah… err.. Lana minta diri dulu ea, Syu dah siap tu.” Ujar Lana, mencari helah untuk melarikan diri.

Belum sempat Harris menjawab, dia sudah melulu mengatur langkah untuk beredar. Dalam kekalutan itu, entah macam mana dia boleh tersepak kakinya sendiri.

“Eh, baik-baik…” Spontan Harris memaut lengannya bagi mengelakkan dia terjatuh. Kalau tidak pasti sudah selamat dia menyembam ke lantai.

Sebaik dapat berdiri dengan stabil, laju Lana manghayun langkah meninggalkan lelaki itu tanpa berpaling belakang lagi. Terima kasih pun tidak.

Maakkk! Malunyaaaa….!

 

“ISHH! Korang je la tengok. Aku tak nak tengok.” Lana menolak ajakan rakan-rakan sebiliknya untuk menonton filem seram di komputer riba bersama-sama.

“Taknaklah aku cari pasal. Kang dia datang lagi, mana aku nak lari. Diorang ni pun satu. Tengoklah cerita Korea ke apa. Sibuk sangat nak tengok hantu. Bukan lawa pun.” Bebelnya sendirian.

Tubuhnya dihempas ke katil. Selimut ditarik lalu buku novel yang dipinjamnya dari perpustakaan siang tadi dicapai. Entah bila dia terlena pun dia tak sedar.

 

Kerrr…..”

Bunyi air paip di bilik mandi mengejutkan Lana dari tidur. Dia berkalih kasar dari baringannya. Marah tidurnya terganggu.

“Kritt..krittt.”

Bunyi pili ditutup masih dapat ditangkap pendengarannya. Lana cuba mengabaikan bunyi tersebut dan menyambung tidur.

“Tskk…huuu…… tskk…”

Baru sahaja hendak terlelap kembali, bunyi suara tangisan yang dikenalinya itu mengejutkannya. Serta-merta dadanya berombak kencang. Dah lama dia tidak diganggu, kenapa tiba-tiba malam ni muncul kembali. Takkanlah sebab diorang tengok filem seram tadi. Secara tak sengaja dah terseru dia ke, macam mana? Air liur terasa tidak lepas ditelan. Lana mengeraskan tubuh.

Agak lama juga makhluk itu menangis. Sekejap sayu, sekejap hiba…, kebanyakannya…seram! Lana mula berasa lega apabila akhirnya tangisan makhluk itu beransur reda. Selalunya selepas itu ‘dia’ akan menghilang…

Tetapi jangkaannya kali ini meleset. Entah kenapa, kali ini dia dapat merasakan makhluk itu bergerak mendekatinya. Dengan saki baki esakan yang masih bersisa. Lana memejamkan matanya rapat-rapat. Nak menjerit tak mampu. Bacaan ayat al-Quran semua habis lintang-pukang di kepalanya. Nak baca ayatul Qursi pun dia tak lepas ketika ini.

Air mata Lana meleleh ketakutan apabila dirasakan makhluk itu berada betul-betul dekat dengannya. Lebih mengejutkan, lembaga itu memegang bahunya dan mencium rambutnya.

“Maakkkk…!” Jeritnya dalam hati. Lana betul-betul takut!

 

“ERR....korang, malam ni aku tidur kat bilik Bidah.” Ujar Lana sambil tangannya ligat mengemaskan buku ke dalam beg.

“Eh? Kenapa, tiba-tiba?” Soal Syu.

Hawa dan Wan turut memberikan perhatian kepada perbualan mereka.

Err..tak ada apa, Bidah ajak aku tengok cerita Korea baru kat laptop dia.. lagipun Riza dengan Nana balik rumah diorang.” Lancar Lana memberikan alasan.

Mereka yang lain terangguk-angguk. Sedia maklum dengan Riza dan Nana yang sering pulang ke rumah orang tua mereka yang tidak jauh dari kolej di hujung minggu.

“Aku ikut?” Soal Syu.

“Eh takpelah… kau bukan minat pun Korea. Aku pun tidur malam je. Pagi Subuh aku baliklah bilik..” Jawab Lana bersahaja.

Syu mencebik. Sememangnya mereka berdua lebih akrab berbanding rakan-rakannya yang lain. Secara tak langsung dia berasa tidak puas hati Lana tiba-tiba mahu tidur di bilik lain.

Sorry Syu…aku dah tak boleh tahan dengan apa yang aku lalui…” Bisik Lana perlahan.

 

MALAM itu Lana resah. Setelah 2 hari dia tidur lena di bilik Bidah, malam ini dia terpaksa tidur di katilnya lagi. Masih terasa-rasa di tubuhnya sentuhan makhluk tersebut. Dingin dan menyeramkan. Suasana bilik sudah lama gelap. Rakan-rakannya sudah hanyut di alam mimpi. Hanya Lana yang masih gelisah di dalam selimutnya. Habis kepalanya diselubungkan di bawah selimut. Macamlah selimut tu boleh menyelamatkannya dari makhluk itu.

Teringat dia pada perbualannya dengan Bidah dan Imah di bilik mereka.

“Korang tahu… ada kawan sekolah aku dulu, kesian dia weh… dia kena sihir dengan lelaki yang suka kat dia.” Imah memulakan cerita.

Bidah dan Lana mula memberikan fokus kepada ceritanya.

“Setiap hari dia kena ganggu dengan hantu. Sampai tak lalu dah dia. Lembik tak bermaya sebab tak cukup tidur. Puas keluarga  dia bawak pergi berubat.” Sambung Imah lagi.

“Lepas tu.., bila dah ok sikit, dia dah asyik teringatkan budak lelaki tu pulak. Siang malam merindu. Padahal asalnya dia bukan suka pun dekat budak tu. Tapi tiba-tiba je macam jatuh cinta pulak. Angau.” Lapornya lagi.

Korang tahu budak lelaki tu buat macam mana? Dia masukkan sihir dalam makanan kawan aku tu. Mula-mula..memanglah buat baik, belikan makanlah bagai. Rupanya ada udang di sebalik batu. Start dari situlah kawan aku tu asyik kena ganggu. Dah selesai yang tu, dia tak puas hati lagi. Dicalitnya pulak minyak pengasih dekat kawan aku. Korang tau, bukan susah pun nak sihir cara tu. Sekali sentuh je, dah kena. Teruk dia kena.. sampai tahap, tengah-tengah malam pun terjerit-jerit lari keluar rumah sebab nak pergi dekat budak lelaki tu…” Sambungnya lagi.

“Habis tu, macam mana keadaan dia sekarang?” Soal Bidah tidak sabar.

“Entahlah tu…, keluarga dia masih ikhtiar bawa dia berubat kat pusat perubatan Islam. Aku harap sangat dia ok balik…” Ujar Imah sayu.

 

Lana terkebil-kebil sendiri dalam gelap malam itu.

“Takkanlah….”

Satu persatu kejadian yang berlaku cuba dikutip dan dimuatkan dalam sangkaan-sangkaannya mengikut rasionalnya sendiri.

Tak semena-mena wajah abang Harris bermain di fikirannya. Teringat dia pada nasi ayam, dan makanan-makanan lain yang pernah dibelikan lelaki itu. Kemudian beralih pula kepada ‘insiden’ di perpustakaan sewaktu tangan mereka bersentuhan dan ketika lelaki itu memautnya waktu dia hampir terjatuh. Kemudian fikirannya terus bermain-main kepada persoalan kenapa hatinya semakin kerap teringat dan merindui lelaki itu. Termasuk bagaimana lelaki itu kelihatan sangat menarik di matanya sekarang.

Air liur ditelan kesat. Jauh fikirannya menerawang dalam kesunyian malam.

Tidak lama kemudian, seperti dijangka… sayup-sayup terdengar lagi suara menyeramkan tersebut. Sekaligus mematikan lamunan Lana. Perlahan, tapi cukup jelas di telinga Lana. Dan setelah tangisan itu beransur reda.. sekali lagi Lana dapat merasakan makhluk tersebut cuba menghampirinya. Lana menahan nafas. Kalau boleh, degupan jantungnya pun nak dihentikan sekejap.




No comments:

Post a Comment