Sunday, May 5, 2024

SUARA MALAM (Bab 6)

 SUARA MALAM 

Bab 6

DADA Lana berombak kencang. Nafasnya turun naik. Dapat dirasakan makhluk itu betul-betul hampir dengannya sekarang. Lana tak tahan lagi. Kali ini dia nekad. Dilepaskan jeritan sekuat-kuat hatinya seraya menolak makhluk itu sepenuh kudratnya.

Arghhhhhh…..! Allahu Akbarrrr…..!!”

Jeritan nyaringnya membangunkan bukan sahaja rakan-rakan sebiliknya, tapi juga rakan-rakan di bilik yang berdekatan.

Kelam kabut Hawa melompat turun dari katil dan meluru memetik suis lampu utama. Wan pula tiba-tiba bingkas bangun dan memasak kekuda dengan tangan yang siap bergaya memasang bunga silat.

Hah kenapa? Kenapa??! Apa dah jadi??” Soalnya bertalu-talu.

Keadaan sepi seketika.

Lana masih terpacak duduk di katilnya. Manakala Syu sudah terjelepuk di lantai, masih lengkap bertelekung. Mereka saling pandang-memandang antara satu sama lain.

“Apa….” Kata-kata Wan terhenti dengan bunyi ketukan di pintu.

Weh! Korang kenapa? Ok tak? Kenapa menjerit?” Soal rakan-rakan dari bilik berdekatan bertalu-talu. Bersilih ganti kepala mereka terjengah-jengah cuba mencuri lihat keadaan di dalam bilik.

“Err…” Wan kematian idea untuk menjawab. Sungguh, dia sendiri pun tidak pasti dengan apa yang berlaku.

 

SEBENARNYA… apa yang dah jadi…?”  Soal Wan setelah mereka  berempat berkumpul bersama di ruang tengah bilik.

Suasana yang tadinya riuh seketika dengan kehadiran ‘jiran-jiran’ mereka yang terkejut dengan suara teriakan Lana kini bertukar hening. Masing-masing cuba memutar ligat otak mereka untuk cuba menghadamkan apa yang berlaku.

“Kau….” Ujar Lana dan Syu serentak kepada satu sama lain.

Lana menarik nafas panjang.

Ok…cuba kau cerita dulu.” Lana mengalah, memberikan ruang kepada Syu untuk menjelaskan situasi dari pihaknya.

“Aku… aku tak tahu sebenarnya… kenapa kau menjerit… kenapa kau tolak aku….” Soal Syu sayu.

Berkerut-kerut dahi Lana cuba menafsir penerangan sahabatnya.

“Tapi aku… aku bukan tolak kau… ok sebenarnya macam ni…baik aku ceritakan dari awal…” Lana membuat keputusan memecahkan rahsia yang selama ini disimpan sendiri dengan kawan-kawan baiknya.

Satu-persatu gangguan yang berlaku kepadanya diceritakan kepada mereka tanpa tertinggal satu perincian kecil pun.

Ternganga mulut Wan mendengar ceritanya. Hawa pula tayang muka takut. Sempat juga tu sekejap-sekejap dia mengerling ke kiri dan kanan seolah-olah risau ada yang sedang memerhatikan mereka. Sementara itu, Syu kelihatan benar-benar bingung mendengar huraian misteri gangguan yang berlaku kepada sahabat baiknya itu.

“Jadi… tadi tu aku bukan tolak kau. Aku tolak makhluk tu. Dia nak tokak aku!” Jelas Lana bersungguh-sungguh.

“Mungkin ‘dia’ dah kelirukan penglihatan aku dan buat aku nampak kau macam ‘dia’.” Tekan Lana lagi.

Mereka semua terdiam seketika.

Kejap, kejap….” Syu memecahkan kesunyian.

“Macam ni… sebenarnya… mungkin…suara yang kau dengar tu….” Syu terhenti sebentar. Teragak-agak untuk meneruskan kata-katanya.

Mereka yang lain sudah membulatkan mata dan memberikan tumpuan penuh kepada ayat seterusnya dari Syu.

“Mungkin apa??” Soal Wan tidak sabar, apabila dilihatnya Syu lama terdiam.

Syu kelihatan serba salah.

“….mungkin… suara aku….” Syu melepaskan keluhan.

“Haa???” Ujar mereka bertiga serentak.

Satu persatu wajah rakan-rakan rapatnya itu ditenung dengan pelbagai perasaan yang bercampur -baur.

“Aku… aku bangun tahajjud….” Jelas Syu.

Berkerut dahi mereka yang lain mendengarkan penjelasannya.

“Aku..selalu bangun tahajjud… dan aku selalu menangis bila berdoa… aku betul-betul merayu pada Tuhan minta kejayaan dalam pelajaran… minta umur ibu aku dipanjangkan… aku minta… Tuhan sempatkan aku untuk bahagiakan ibu aku, sewaktu dia masih hidup kat dunia ni… sempatkan dia untuk lihat kejayaan aku, sempatkan aku untuk beri dia kesenangan….” Jelas Syu panjang lebar.

Lana terkedu. Padanlah suara tangisan itu kedengaran begitu pilu dan hiba. Rupanya suara itu adalah rintihan seorang hamba yang sedang meminta-minta kepada Rabb nya. Bukanlah suara tangisan roh gentayangan yang terzalimi seperti sangkaannya!

“Korang tahu kan…ibu aku ibu tunggal…” Sayu sahaja Syu bersuara.

Mereka yang lain terangguk-angguk. Sudah sedia maklum dengan keadaan keluarga Syu. Ayahnya telah meninggal dunia sewaktu usianya masih kecil lagi. Adiknya yang bongsu juga masih bayi ketika itu. Keluarga yang lain tiada yang menghiraukan mereka, jauh sekali menghulurkan bantuan untuk anak-anak yatim itu meneruskan kehidupan. Walaupun Lana sendiri tidak semewah Hawa dan Wan.., tetapi keadaannya tidaklah sesusah Syu. Kedua orang tuanya juga masih ada.

“Aku jadi saksi…betapa susah payahnya ibu nak membesarkan kitorang 4 beradik…” Ujarnya lagi. Matanya mula bergenang.

Mereka yang lain ikut sayu mendengar luahannya.

Err… eh.. tapi.. kenapa kau datang dekat aku? Malam sebelum tu pun kau ada cium rambut aku.” Soal Lana masih cuba merungkai ‘misteri’ yang dialaminya.

“Aku….” Syu terdiam seketika sebelum meneruskan kata-kata.

“Korang… ni jujur aku bagitahu korang… aku sayang sangat-sangat kat korang…” Tuturnya berhati-hati.

“Macam mana Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihiwassalam menyebut,

‘Wahai Muaz.. Demi Allah, aku sayang kamu…’ macam tu lah juga perasaan aku… demi Allah yang menciptakan hati dan perasaan, cinta dan kasih sayang… aku sayang korang semua. Sayang sangat-sangat.” Sambungnya lagi dengan suara yang mula serak.

Mereka bertiga masing-masing sudah kembang kempis hidung cuba menyedut air yang berlumba-lumba mahu meleleh keluar dari mata dan hidung. Terharu dengan pengakuan ikhlas sang sahabat. Beruntungnya ya Allah… dikurniakan sahabat yang semurni ini hatinya.

 

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihiwassalam bersabda; yang bermaksud;

“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.”

[Hadis Riwayat al-Bukhari (13)]

“Jadi… setiap kali tahajjud… aku tak lupa doakan korang juga… minta Tuhan kurniakan kejayaan untuk korang jugak… minta Tuhan izinkan kita berkawan… sampai ke negara akhirat…” Tambahnya lagi.

Waktu ini, Lana sudah tersedu-sedu tangisnya, tersentuh dengan kasih seorang sahabat. Wan dan Hawa juga masing-masing sibuk menyapu mata. Terhenjut-henjut tubuh mereka menahan sendu.

“Sebab tu lah…lepas aku  doakan korang… aku cium kepala dan dahi korang…” Sambungnya lagi.

Hawa dan Wan terpisat-pisat. Mereka sedikit pun tidak sedar semua ini. Masing-masing tidur mati!

Lana mula dapat menangkap duduk perkara kejadian yang sebenar.

“Oh…patutlah masa kau period tu… lepas tu kau balik kampung…, kemudian time aku tidur kat bilik Bidah.., aku tak dengar suara tu… sebab ‘suara malam’ tu… sebenarnya suara kau… suara tangisan tahajjud kau…” Sampuk Lana.

Mereka yang lain terangguk-angguk. ‘Misteri Suara Malam’ itu sudah semakin jelas.

“Eh! Tapi… macam mana pulak dengan makhluk berambut panjang yang aku nampak tengah makan kat meja aku tu??” Soal Lana tiba-tiba.

Mereka yang lain menumpukan perhatian kepada persoalannya.

“Oh itu… eh..bukan ke aku dah minta izin kau untuk makan nasi kau malam tu. Aku bukan apa..nasi tu sedaplah sambal ayam dia… sayang pula kalau biarkan basi macam tu je. Aku tanya kau, kau nak makan tak, kalau tak nak aku habiskan. Kau sahut. Aku pun apa lagi, bedal lah.” Jawab Syu.

Tiba-tiba berkeruk pula perutnya terasa lapar mengingatkan kelazatan sambal ayam tersebut.

“Nanti kita beli kat situ lagi nak?” Soalnya.

Lana menepuk dahi. Hawa dan Wan sudah berdekah ketawa. Adoi…! Misterilah sangat Lana oiii…!

“Eh kejap-kejap…” Lana tiba-tiba bersuara serius, dalam tawa mereka yang masih berbaki.

“Maknanya… bukanlah abang Harris sihirkan aku ea?” Soal Lana polos.

Huih! Kau biar betul Lana… aku tahulah abang Harris tu memang tergilakan kau… tapi takkanlah sampai nak main sihir-sihir kut. Syirik tau!” Pangkah Hawa.

“Eh..entah  kau Lana.. sampai macam tu sekali kau tuduh dia… tak baik tau…” Sokong Syu.

“Bukan macam tu….” Lana menggaru-garu kepalanya. Rasa bersalah mula menyerbu.

“Hari tu.. si Imah ada ceritakan kat aku..pasal kawan sekolah dia… kena gangguan.. kena kacau hantu.. sebab kena sihir dengan budak lelaki yang minat kat dia… lepas tu siap kena calit minyak pengasih.. sampai kawan Imah tu jadi suka dan teringat-ingat kat lelaki tu.” Jelas Lana cuba merasionalkan sangkaannya.

“Oh…kesian dia… eh tapi aku tak rasalah abang Harris sanggup buat macam tu. Aku rasa dia memang ikhlas sukakan kau. Kau tu je yang tak pernah bagi dia peluang.” Ujar Syu.

Ha’ah…lagipun kan semua misteri dah terungkai…” Sokong Wan.

Lana terdiam. Perlahan-lahan kepalanya terangguk-angguk menyetujui rakan-rakannya. Mustahil abang Harris nak buat begitu. Dek kerana ketakutannya sendiri, dia dah bersangka buruk pada lelaki yang tidak bersalah itu.

“Astaghfirullahalazim….” Istighfar Lana.

“Hah..dahlah tu… dah selesai pun semua. Jomlah sambung tidur.” Ajak Wan yang sudah mula menguap.

“Eh! Kejap-kejap!” Tahan Lana.

“Eh banyak  betul lah dia ni punya kejap.” Hawa pura-pura marah.

Kejap… kalau abang Harris memang tak buat macam tu…” Ujar Lana, masih mahu membincangkan semua perkara yang merunsingkan fikirannya.

Mereka yang lain kembali menumpukan perhatian kepadanya.

“…….kenapa… aku macam…jadi… suka sangat kat dia sekarang… aku… rindu….” Teragak-agak Lana meluahkan apa yang membelenggu fikirannya.

Bulat mata kawan-kawannya mendengar pengakuannya. Terdiam mereka sejenak.

Hishh dia ni kan…..” Ujar Wan sambil menarik tocang Lana yang diikat tinggi. Tersenget kepala gadis itu dibuatnya.

Hawa pula pantas mencapai bantal dan melemparkannya kepada Lana. Lana hanya termangu, terpinga-pinga tidak mengerti tindak balas rakan-rakan sebiliknya itu. Tidak semena-mena Syu pula mencubit dan menarik kedua-dua belah pipinya geram.

“Ituu… bukan sebab minyak pengasihh… tapi sebabbb… kau pun memang dah lama sukakan dia sebenarnyaaa…!” Ujar Syu geram.

“Hati sendiri pun tak tahu!” Tempelaknya lagi.

Lantas mereka bertiga menarik selimut dan mengerekot di katil masing-masing. Tinggal Lana tercengang sendirian sambil meraba pipinya yang terasa kembang ditarik Syu.




No comments:

Post a Comment