Sunday, June 2, 2024

JANGAN SENTUH MEREKA! (Bab 17)

 JANGAN SENTUH MEREKA!

Bab 17

BEBERAPA minggu telah berlalu setelah peristiwa yang mencetuskan kekecohan di Asshifa Medical Centre. Bukan hanya di situ, huru-hara tersebut juga telah menyebar ke media-media sosial, hasil hebahan saksi-saksi yang berada di tempat kejadian ketika itu. Bermacam spekulasi dan telahan dibuat, tak kurang juga analisa-analisa tak bertauliah dari masyarakat setempat.

Aqmar Alif dan keluarganya hanya memilih untuk mendiamkan diri dan tidak membuat sebarang kenyataan tentang perkara tersebut. Masing-masing menumpukan perhatian kepada keadaaan kesihatan Isha dan pemulihannya, di samping sama-sama berusaha memperhebat amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Sememangnya hanya itulah satu-satunya cara yang tepat, untuk berdepan dengan ujian.

Alhamdulillah….a’la kulli hal.

 

“Macam mana dengan luka Isha? Dah kering elok kan? Makin sihat dah akak tengok ni.” Sapa Syara yang baru melaabuhkan punggung si sebelah Isha yang sibuk melayan Ammar dan Akmal bermain jigsaw puzzle di meja kopi.

“Alhamdulillah…elok lukanya akak.” Sahutnya mesra.

“Tak lama lagi dah boleh masuk kerja balik kut.” Tambahnya lagi.

Cuti sakit yang dibekalkan doktor masih berbaki beberapa hari.

“Alhamdulillah… ermm… Isha..tak nak duduk sini je dengan akak dan abang ke…?” Soal Syara risau.

Masih lagi trauma dengan gangguan-gangguan yang hampir mengorbankan nyawa adik iparnya itu. Susah hatinya memikirkan Isha akan kembali tinggal di rumah peninggalan Kak Leeya dengan kedua-dua Fara setelah mereka pulang nanti.

Mujurlah mereka masih berada di rumah abi dan ami mereka di timur tanah air semasa kejadian tersebut. Cuti sekolah juga masih berbaki beberapa hari, sebelum penggal baru persekolahan bermula.

Sepanjang tempoh ini juga, hanya sesekali Isha dapat berbalas mesej dengan anak-anak buahnya itu melalui  aplikasi pesanan whatsapp. Sibuk agaknya mereka bermain dan melayan adik baby mereka. Isha sendiri jadi kurang selesa untuk membuat panggilan telefon atau video ketika mereka berada bersama keluarga abang iparnya itu. Kekok dan janggal. Terasa-rasa seperti ada yang memasang telinga mendengar perbualan mereka.

Keluhan lembut dilepaskan. Rindu  betul dia pada anak-anak kecil yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri itu.

“Eh…orang tanya, dia pergi melamun pulak.” Tegur Syara apabila soalannya tidak berjawab.

Isha melebarkan sengih.

“InshaAllah, tak ada apa kut akak…” Jawabnya lembut.

“Lagipun… kan abang Alif dah cakap yang Ustaz Abbas dah hapuskan jin yang digunakan untuk sihir dan puja tu…” Ujarnya lagi sambil menelan liur. Tak semena perkataan ‘jin’ membuatkan fikirannya terimbas kembali imej makhluk besar berbulu hitam dan lebat tersebut.

Sekali lagi dia tenggelam dalam lamunan mengingatkan apa yang diberitakan oleh abang Alif.

 

“ALHAMDULILLAH ikhtiar kita berhasil…” Ujar Aqmar Alif setelah menamatkan perbualan di telefon dengan Ustaz Abbas.

Nafasnya dihela lega.

“Mengikut  apa yang Ustaz Abbas bagitahu, jin yang menjadi khadam suruhan untuk menganggu  keluarga kita dah berajaya  dihapuskan dengan izin Allah.” Sambungnya lagi.

Mereka yang lain hanya diam dan mendengar dengan tekun, sambil mengerling ke arah kesan bulatan hitam terbakar di lantai.

“Bomoh yang melakukan kerja syirik itu pula mungkin sudah mendapat balasan yang setimpal. InshaAllah, tak akan dapat melakukan mudarat kepada keluarga kita, atau  orang lain lagi.” Tambahnya.

“Alhamdulillah….” Sahut mereka yang lain.

Masing-masing mengucapkan rasa syukur atas berita itu. Langsung tidak berminat untuk tahu lebih lanjut apa yang telah berlaku pada bomoh tersebut. Mudahan Allah mengampuninya.

“…orang yang mengupah bomoh tu pulak….” Kata-katanya terhenti seketika.

“….wallahua’lam… dah insaf dan bertaubat…, atau masih berdendam dan akan usaha untuk cuba cara lain untuk memuaskan hatinya.” Sambungnya.

Mereka yang lain menelan liur. Ini yang tak berapa sedap didengar ni. Buatnya orang itu masih belum bertaubat, pastinya akan ada gangguan lain yang bakal menguji keluarga mereka nanti. Allahu Akbar…

“Tak apa lah…sama-samalah kita berdoa bersungguh-sungguh… mudahan Allah bukakan hatinya untuk bertaubat dan menghentikan perbuatannya.. entah apalah salah keluarga kita…sampai orang benci dan buat macam ni…” Sayu suara Aqmar Alif di  hujung bicaranya.

Tersentuh hatinya mengenangkan kezaliman yang berlaku pada keluarga kecilnya. Seingatnya belum ada lagi perlakuan keluarga mereka yang mungkin boleh menimbulkan sakit hati atau marah pada orang lain. Entah apa yang menjadi puncanya.

 

HEYY…melamun lagi dia.” Tegur Kak Syara.

“Ha?” Isha terpinga-pinga.

Ishh ishh… tahulah baru dapat cincin semalam…” Syara mula mencari akal untuk mengusik.

Serta-merta wajah adik ipar kesayangannya merona merah.

Baru kelmarin Cikgu Haidar anak beranak datang ke rumah abang Alif, meminang Isha. Isterinya sendiri yang menyarungkan cincin tunang ke jari manisnya. Sekarang mereka sudah mempunyai ikatan pertunangan. Hud Hurairah meminta untuk menikahinya dalam tempoh yang terdekat.

Fikiran Isha melayang lagi. Mengingatkan perbualannya dengan Hud Hurairah.

“Cikgu…” Isha bersuara serba salah.

“Eh.. dah berapa tahun dah awak habis sekolah. Masih nak panggil saya cikgu lagi?” Usik Hud Hurairah.

Isha menggaru kepalanya  yang tak gatal.

“Err…habis tu nak panggil apa?” Soalnya kembali.

“Panggil sayang pun takpe..” Balasnya selamba.

Spontan Isha mencebik.

“Err awak..err abang.. Hud… Isha serius ni.. nak cakap benda serius..” Ujar Isha dengan nada serius, walaupun tersangkut-sangkut membahasakan panggilan untuk bekas gurunya itu.

Nak dipanggil awak, macam kurang sopan pula, Bukan hanya setahun dua perbezaan usia mereka.

“Ok ok…serius serius…” Hud menegakkan badan, sambil cuba berlagak serius.

Jenuh pula Isha mencemik menahan senyum.

“Dia ni kan….” Omelnya sendiri.

“..betul-betul lah..saya serius ni… saya…” Isha menundukkan wajahnya.

Hud Hurairah hanya menunggu Isha menghabiskan ayatnya dengan sabar. Bibirnya mengukir senyum tenang. Mungkin sudah mengagak apa yang mahu diluahkan gadis manis itu.

“Cikgu…err… abang Hud… betul-betul ke… err…dah fikir habis-habis ke…” Ujarnya lemah.

“Isha ni… dah tak sempurna… Isha…” Kata-katanya terhenti di situ.

Bukan sesekali perkara itu menganggu fikirannya. Hampir setiap masa. Apatah lagi sekarang, apabila Hud Hurairah bersungguh memintanya menjadi isteri. Bukan dia tidak nampak keikhlasan dan kesungguhan lelaki itu. Tetapi dia tidak dapat menghalau pergi rasa bersalah, dan rasa kurang keyakinan diri, yang membelenggunya.

Lagipun, bagaimana jika di pertengahan perjalanan rumah tangga mereka nanti, lelaki itu tiba-tiba menginginkan zuriat. Bagaimana jika keinginan itu timmbul selepas beberapa tahun? Apa nasib Isha pada masa itu nanti? Isha takut… takut memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang belum tentu berlaku.

“Alya Alisha Arif….” Panggil Hud perlahan.

Perlahan Isha mengangkat wajahnya. Kolam matanya sudah bergenang.

“…masih belum terlambat lagi kalau awak..err abang Hud.. nak ubah fikiran.. Isha takkan salahkan abang Hud…” Serak suaranya menahan tangis.

“Alya Alisha Arif…. Apa ni..cakap macam tu…” Hud melepaskan keluhan lembut.

Buntu menyusun kata untuk meyakinkan gadis itu.

“Saya…tak tahu…macam mana lagi..nak buat awak percayakan saya…” Ujarnya sayu.

“Saya..betul-betul ikhlas.. dan saya.. betul-betul cintakan awak…” Tambahnya lagi.

“Isha..perasaan saya pada awak.. bukan sikit, bukan kecil…” Air liurnya ditelan kesat.

“..dari mula hati saya mula kenal dengan rasa berdebar untuk perempuan.., rasa tu cuma hanya untuk awak..” Sambungnya.

Bagaimana lagi caranya untuk mengungkapkan perasaannya. Siapa je, yang akan percaya dengan penjelasannya? Dia sendiri pun terasa ayat itu hanya kedengaran seperti ungkapan manis berbunga-bunga yang sering digunakan lelaki untuk memenangi hati gadis.

Tapi hakikatnya, itu benar-benar datang dari hatinya. Sejak jantungnya belajar berdetak dengan degupan aneh untuk seorang gadis, hanya Alya Alisha seoranglah yang mengisi segenap ruang hatinya. Dan itu tidak pernah berubah, atau pudar dengan waktu.

“Saya… bukan minta awak jadi isteri saya, untuk dapatkan zuriat…” Liur ditelan untuk kesekian kalinya.

“Saya… betul-betul.. nak bersama dengan awak.. berteman, bercinta, dan berkasih sayang dengan awak.., dalam redha Allah…” Sambungnya lagi.

“Isha…tolong… bagi saya peluang…” Ujarnya lagi dengan mata yang bergenang.

“Tuhan…tolonglah..bukakan hatinya untukku…” Rintihnya sendiri dalam hati.

“HA! Dia mengelamun lagi!” Sergah Syara sambil menepuk kedua tangannya di depan Isha, cuba mengejutkannya.

“Hesh…susah betul lah nak ajak orang yang tengah angau ni bersembang.” Bebelnya sendiri.

Isha yang terkejut disergah begitu mengurut dada.

“Kak Syara nii…nasib baik tak copot jantung Isha ni tau..” Ujarnya pura-pura marah.

Serentak itu juga telefonnya pintarnya berdering nyaring. Terkejut lagi dia dibuatnya. Syara sendiri pun ikut melatah.

“Ishhh awak nii…cubalah letak lagu yang sopan-sopan lemah lembut sikit. Kejap lagi awak ok, jantung akak ni yang copot ha..” Leternya mengurut dada.

Isha tersengih mengada.

 

“TERIMA kasih….” Ujar Isha sebaik Hud memberhentikan keretanya di kawasan parkir rumah Aqmar Alif. Terlihat kereta Aqmar Alif turut berada di situ, mungkin baru pulang dari kerja di luar sebentar tadi. Waktu Isha dijemput Hud untuk temujanji dengan doktor tadi, abangnya itu belum pulang lagi.

“Saya..turun jumpa Alif sekejap ya.” Pinta Hud sopan.

Isha hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala.

“Eh, macam kenal je kasut-kasut ni? Budak-budak tu dah balik ke?” Soal Isha teruja melihat kasut kanak-kanak perempuan tersusun di depan pintu rumah.

Hud Hurairah hanya membalas pertanyaannya dengan sengihan lebar. Berdebar pula membayangkan reaksi anak-anak kecil itu bila dapat tahu berita pertunangannya dengan mama mereka nanti. Mudahan mereka dapat menerima dirinya dengan baik. Sememangnya dia amat menyenangi dan mengasihi puteri-puteri kecil itu.

“Assalammualaikum…! Fiya…! Fina….!” Panggil Isha sebaik melangkahkan kaki masuk ke dalam rumah. Tidak sabar lagi mahu bertemu dengan jantung hati.

Suasana yang agak tegang di ruang tamu membantutkan keterujaan Isha. Hud yang mengekorinya dari belakang turut terhenti langkahnya. Aqmar Alif, Syara, dan kedua-dua Fara spontan mengalihkan pandangan ke arah mereka berdua. Wajah Aqmar Alif kelihatan sangat tegang dan serius. Syara kelihatan sayu dan serba salah. Fara Afiya kelihatan monyok di samping Fara Afina yang basah wajahnya dengan air mata.

“Ya Allah..! Kenapa ni? Kenapa dengan anak-anak mama ni..??” Isha menerpa ke arah mereka cemas.

Fara Afiya yang tadinya hanya menyebik, mula mengalirkan air mata. Rambutnya compang-camping panjang pendek seperti dipotong dengan tidak sekata. Tangan kirinya kelihatan bersimen hingga ke siku. Tangan kanan pula ada kesan-kesan lebam yang jelas biru kehitaman.

Sementara itu Fara Afina pula sudah mengesak tangisnya. Dahinya berbekas luka jahitan dengan benang masih di situ. Bibirnya pula bengkak dan pecah dengan kesan luka yang masih kemerahan. Lehernya juga berbekas merah di sekelilingnya.




No comments:

Post a Comment