Bab 4
“MACAM mana keadaan kau orang semua?” Soal Pak Teruna memulakan
bicara, ketika mereka semua berkumpul di ruang utama rumah besar tersebut.
Masing-masing hanya
bersila dan bersimpuh di atas tikar mengkuang yang dianyam kemas dan diletakkan
berdekatan tiang seri yang megah terpasak di ruang tengah rumah tersebut.
“Masih ada
sakit-sakit badan? Kalau ada luka yang serius, esok Pak Teruna bawakan ke
hospital di bandar.” Ujarnya lagi, dengan senyum mesra.
“Alhamdulillah..
semua nampak ok ni Pak Teruna.. Cuma
sengal-sengal badan sikit-sikit je...” Balas Harris sopan.
Benar.. mereka
semuanya berada dalam keadaan baik, walaupun telah mengalami malam yang
mengerikan, semalam. Hanya calar-balar dan lebam-lebam ringan sahaja. Luka di
dahi Lana juga tidak dalam dan tidak memerlukan jahitan atau rawatan perubatan
lanjut. Masih panjang umur masing-masing. Masih berkesempatan berusaha menjadi
hamba yang lebih baik.
Alhamdulillah...syukur
kepada Allah Sebaik-baik Pelindung.
“Baguslah macam tu...
masa orang kampung jumpa kamu pun, tak nampak apa-apa kecederaan serius pada
kamu. Tapi risau juga kalau ada kecederaan dalaman, terhantuk kepala kamu pada
apa-apa.” Jelas Pak Teruna, bernada sedikit risau.
“Itulah tu..
risau juga kalau diorang ni bangun-bangun terus hilang ingatan ke apa..
maunya si Am ni tiba-tiba bercakap Jepun ke, susah juga kita.” Seloroh Shuk
sambil tersengih menayangkan barisan giginya yang agak kekuningan, mungkin
hasil dari sedutan asap rokok yang entah sudah berapa lori dihisapnya.
Tak sayang paru-paru
betul.
Pak Teruna ikut
tersenyum sambil terangguk-angguk dengan gurauan Shuk. Amri mengerling tajam ke
arah sahabatnya itu, tanda tidak berpuas hati.
“Aku pulak yang kena.
Silap pulak masa bangun tadi aku tak terus nyanyi lagu doraemon an an an
totemodaiyi suki.... Biar diorang gelabah beruk.” Cemuhnya sendiri
dalam hati.
“Kaki kamu macam
mana? Masih sakit?” Soal Pak Teruna lagi.
“Emm... takde
rasa sakit dah Pak Teruna.” Jawab Shuk sambil membelek-belek kakinya sendiri.
“Cuba Pak Teruna
tengok sekejap.” Pinta Pak Teruna.
Shuk mengesot
mendekati Pak Teruna. Disuakan kakinya yang berbalut kemas. Lelaki tua itu
sendiri yang menyapukan entah ubat tradisional apa di kakinya sebelum
membalutnya kemas.
Mulut Pak Teruna
kelihatan terkumat-kamit sambil memegang pergelangan kaki Shuk. Perlahan-lahan
balutan di kaki anak muda itu dirungkai. Diurutnya sedikit.
“Sakit?” Soalnya
pendek.
Laju Shuk
menggeleng-gelengkan kepala. Memang langsung tiada rasa sakit. Sebaliknya
urutan tangan Pak Teruna terasa begitu menyelesakan. Kalau boleh mahu saja dia
berbaring meniarap di situ dan meminta lelaki itu mengurutkan seluruh badannya.
“Cuba kamu berdiri.”
Arah Pak Teruna.
Shuk bingkas bangun.
Perlahan kaki kirinya ditekan rapat ke lantai kayu rumah tersebut. Separuh dari
berat badannya dipindahkan ke kaki kirinya itu. Tak sakit.
“Sekarang cuba
berjalan.” Arah Pak Teruna lagi.
Mereka yang lain
hanya diam memerhati tanpa sebarang suara.
Shuk mulai
memindahkan sepenuh berat badannya ke kaki kirinya, sebelum mula melangkah
dengan kaki kanan. Tak sakit. Diteruskan lagi langkah berikutnya. Macam tak
pernah cedera! Shuk mula teruja. Spontan dia berjalan-jalan ke hulu hilir di
hadapan mereka yang lain. Dah macam tengah buat persembahan pentas pula.
“Eh..tak sakitlah Pak
Teruna. Tak sakit langsung dah.” Pujinya kagum.
“Alhamdulillah.....”
Sambut mereka yang lain.
Pak Teruna hanya
tersenyum tenang.
“Kalau kamu semua tak
ada apa-apa, bolehlah Pak Teruna tinggalkan sekejap esok...” Ujar lelaki itu.
Mereka yang lain
memberikan perhatian kepadanya, menantikan bicara seterusnya.
“Mak Kesuma dan Pak
Teruna nak ke bandar sekejap esok, beli barang-barang yang dah nak habis. Kamu
berehatlah dahulu. Kamu datang sini pun, memang nak berehat-rehat kan.” Sampuk
Mak Kesuma yang sedang bertimpuh di samping Lana.
Mereka
mengangguk-anggukkan kepala perlahan, menyetujui kata-kata Mak Kesuma. Memang
itu tujuan utama mereka datang ke mari.
“Untuk makan siang,
Mak Kesuma dah pesan pada anak jiran di sini, Melati dan Kenanga. Nanti diorang
akan siapkan untuk kamu. Masakan yang mahsyur di sini.” Tambahnya lagi sambil
tersenyum simpul.
Masing-masing
mengecap air liur. Masih terasa-rasa di lidah kelazatan masakan kampung yang
menjadi santapan mereka semasa makan malam tadi. Si Amri menyuap makan sampai
tak menoleh kiri kanan dah. Si Shuk pula bertambah makan entah sampai berapa
pinggan dah. Sampai kena sigung dengan kekasih hatinya, si Wan, baru dia slow down.
“Err...sedap
betul nama-nama yang saya dengar kat sini. Err...unik.” Terlepas juga di
mulut, perkara yang bermain-main di fikiran Harris sejak tadi.
Mak Kesuma tersenyum
manis.
“Bolehlah...dipertimbangkan
untuk letak nama anak-anak kamu nanti, kan...” Ujarnya sambil tertawa halus.
Tangan kanannya spontan mengusap-usap peha Lana yang duduk di sebelahnya.
Lana dan Harris
menelan liur.
“Aik...ada
yang bagitahu ke...?” Soal hati masing-masing.
Mata mereka sibuk
mengerling rakan-rakan lain yang sudah tersengih-sengih dengan usikan Mak
Kesuma pada pasangan itu.

No comments:
Post a Comment