Bab 6
PAGI itu awal-awal lagi Pak
Teruna dan Mak Kesuma sudah berangkat ke bandar. Khabarnya kereta mereka juga
sudah hampir siap dibaiki. Mungkin mereka dapat menggunakannya untuk pulang
setelah percutian ini tamat nanti.
Mereka bersepakat
membuat keputusan untuk berehat di homestay
sahaja pagi itu. Lana juga masih belum pulih sepenuhnya dari kejutan malam
semalam. Mujurlah dia tidak diserang demam. Mungkin petang nanti mereka boleh
cuba bersiar-siar di kawasan air terjun terkenal yang menjadi agenda utama
mereka, sekiranya keadaan Lana bertambah baik.
Tiada siapa pun yang
mempersoalkan kejadian demi kejadian pelik yang menimpa mereka hari itu.
Mungkin masing-masing hanya mahu cuba melapangkan fikiran sekejap dari semua
perkara yang merunsingkan, dan berharap gangguan aneh itu tidak berlarutan.
Sekurang-kurangnya mereka semua masih dalam keadaan selamat dan tidak mengalami
sebarang kecederaan serius.
“Lana betul dah ok
ni?” Soalnya pada si tunang yang ikut bersila bersama-sama mereka yang lain,
mengelilingi hamparan kad permainan keluarga, Saidina.
“Ok...,
Alhamdulillah... kan abang dah jampikan semalam.” Sengihnya nakal.
“Oo... hari ni pandai
bergurau. Semalam macam nak terjojol dah biji mata tu tengok tingkap.” Bebel
Harris sendirian dalam hati, enggan mengulang sebut kejadian semalam.
Bimbang emosi dan
semangat gadis itu kembali terganggu.
“Ye ke ni...
risau abang semalam tau.” Ujarnya dengan nada mengusik.
“...risau kena peluk
dengan Lana.” Sambungnya sambil tersengih mengada.
“Eee...
perasan. Tak ingin orang nak peluk dia.” Tingkah Lana dengan muka merah padam.
“Hish...macam
mana dia boleh tau ni. Ada timbul kat dahi keee....” Jerit Lana dalam
hati, menghambat rasa malu.
“Eleh... sikit lagi je
Lana nak peluk abang semalam kan...kan...” Balas Harris, masih mahu
menyakat.
“Hish....
orang ni kan... haa.. karang ada jugak kena backhand ni karang...”
Gumam Lana sendirian, geram apabila rakan-rakan yang lain ikut mengetawakannya.
“Mana aci....semalam tu sebab nampak Cik Cong kut...” Tukasnya lagi. Namun masih hanya
bergema dalam hati sendiri.
Lana menelan liur
sendiri. Tiba-tiba teringat imej makhluk mistik yang dilihatnya semalam. Serta
merta bulu romanya berdiri tegak.
“Ah sudah-sudah, tak
payah nak berdrama kat sini. Karang aku kawinkan korang kat sini
jugak karang baru tau.” Marah Hawa.
Cemburu pula melihat
kemesraan pasangan itu. Sudahlah teman lelakinya tidak mengikut percutian
mereka kali itu.
“WEHH...! Mana aci macam
ni...kau main tipu niii.... dari tadi aku asyik masuk hotel kau jeee...!
Dah berapa kali dah ni... bankrap la aku macam ni...” Pekik Amri tidak berpuas
hati.
“Heyy...dia
yang masuk...kita pulak yang salah. Dadu tu kau putar sendiri kann??” Balas
Syu, tidak mahu mengalah.
“Entah kau Syu, aku
pun malas lalu situ dah. Asyik kena je!” Ujar Wan, turut tidak berpuas
hati.
“Muahahahaha...!
Aku kayaa...! Aku kayaa...!” Laung Syu sambil mengipas-ngipas duit di wajahnya.
Riuh rendah suara
mereka berbalah dan bergelak ketawa menikmati permainan tersebut bersama.
Mujurlah Pak Teruna dan Mak Kesuma tiada di rumah. Entah saling mengurut dada
orang tua berdua itu agaknya, jika mendengar hiruk pikuk keletah mereka yang
mengalahkan anak-anak sekolah rendah itu.
“Lana... duit abang
dah cukup ni, boleh dah kita nak buat kenduri ni.” Harris pula tak
berhenti-henti sibuk menyakat tunangnya di sepanjang permainan.
Digemburkan duit
Saidina di depan gadis itu dengan bangga. Picit kepala Lana dibuatnya.
“Eh kejap-kejap,
korang tunggu ea, jangan jalan dulu. Aku nak pergi ambil air kejap.
Dahaga dah.” Ujar Hawa sambil bangun beredar ke dapur.
“Ambilkan untuk aku
sekali...!” Pekik Amri.
“Aku pun nak...!”
Laung Wan pula.
“Order je pandai. Tolongnya tidak.” Sungut Hawa.
Dipunggahnya juga
kabinet dapur, mencari dulang dan gelas.
Hawa mencangkung
mencapai pintu kabinet dapur di bahagian bawah, setelah apa yang dicari tidak
ditemui di bahagian atas.
Sebaik sahaja daun
pintu tersebut terbuka luas, Hawa terkedu. Hidungnya serta merta terhenti dari
berfungsi menarik dan menghembus nafas. Seluruh tubuhnya terasa keras membeku. Sekujur
susuk berbungkus kain putih yang sedang mengerekot memenuhi ruang kabinet itu
hampir sahaja menghentikan pengepaman jantung gadis itu secara mendadak.
Sikit lagi sahaja nak
kena heart attack!
Dalam keadaan otaknya
kosong dari sebarang perancangan kecemasan untuk melarikan diri, susuk itu
tiba-tiba tergolek keluar dari kabinet, merapati kaki Hawa.
Apalagi,
lintang-pukang gadis itu berlari dibuatnya.
“Arghhhhh....!”
“Buk!”
Baru sahaja suara
jeritannya hendak meninggi, tersadung pula kakinya pada suatu objek. Menyembam
juga gadis malang itu ke lantai. Berdebuk dahinya mencium mozek.
Hawa bingkas berkalih
dari kedudukan meniarap, cuba mengenalpasti apa yang disepaknya tadi. Bulat
matanya melihat hantu pocong terbaring tenang di lantai, benar-benar di hujung
kakinya. Belum sepat dia sambung menjerit, rakan-rakan yang lain sudah sampai
mengerumuninya.
“Allahu Akbar! Hawa!”
Syu berteriak sambil mendapatkan Hawa yang masih terbaring di lantai dapur.
“Hawa! Hawa! Kau ok
tak ni??” Wan dan Lana ikut sama menerpa ke arahnya dengan riak bimbang.
Macam mana pulalah
kawan mereka yang seorang ni boleh tergolek kat sini.
Sedetik Hawa menoleh
ke arah mereka secara spontan, sebelum kembali mengarahkan pandangannya kepada
hantu bungkus tadi.
Tiada di situ!
“Tu..!
Tadi....” Bersusah-payah Hawa memaksa mulutnya yang tiba-tiba terasa tebal dan
kebas untuk bercerita tentang apa yang berlaku.
“Assalammualaikum.....”
Kata-kata Hawa
terpotong oleh satu suara yang menyapa lembut. Serentak mereka semua menoleh ke
arah pintu dapur. Kelihatan dua gadis ayu sedang tersenyum manis ke arah
mereka. Atau lebih tepat lagi, dua gadis ayu dengan wajah yang sama.
Benar-benar sama!
Baik dari perincian
wajah dan rambut mereka, saiz tubuh dan ketinggian, bahkan pakaian mereka juga
sama. Bukan itu sahaja, kedua-duanya benar-benar cantik mempesona. Aishwarya
Rai dan Angelina Jolie pun boleh kalah!
“Assalammualaikum.....”
Ulang gadis ayu yang seorang lagi, setelah dilihat tiada siapa pun yang
menjawab salam pertama dari gadis berwajah serupa yang berdiri di sampingnya.
“Err...
wa..alaikum...salam...” Perlahan-lahan salam mereka disambut oleh Harris dan
Wan. Manakala mereka yang lain masih terkebil-kebil, terpana dengan keindahan
wajah bidadari-bidadari di depan mata.
“Err... saya
Kenanga..., ini kakak kembar saya Melati... kami datang untuk uruskan hidangan
tetamu seperti pesanan Mak Kesuma...” Jelas si gadis ayu dengan begitu lemah
lembut sekali.
Terkelip-kelip mata
tujuh sekawan bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.
“Err... kamu
semua tak apa-apa ke.. kenapa di lantai...?” Soal Melati pula.
Bergemersik suaranya menyapa pendengaran mereka yang lain.
Agaknya kalau
menyanyi ni boleh pengsan Dato’ Siti Nurhaliza.
“Err..ha’ah..
Hawa.. kau kenapa.. apa yang dah jadi...” Lana mula bersuara setelah tersedar
dari pukauan kecantikan sang kembar.
Mereka yang lain juga
mula berkalih dan memberikan tumpuan kepada Hawa. Hawa menelan liur.
“Err....”
Dahinya yang terasa tebal berdenyut disentuhnya perlahan. Sakit.
“....Aku... aku
jatuh....” Ujarnya perlahan. Masih berkira-kira sendiri untuk berterus-terang
dengan rakan-rakannya tentang apa yang dilihatnya tadi.
“....Aku...terkejut kat cicak...” Sambungnya lagi. Membuat
keputusan enggan menceritakan perkara sebenar di hadapan ‘orang luar’.
“Nantilah aku cerita
kat diorang.” Fikirnya sendiri.
“Dah benjol dahi kau
ni Hawa..” Tegur Wan risau. Dibeleknya bengkak di bahagian temannya dengan
teliti.
“Ha’ah... lagi
besar dari telur ayam Omega Gred A ni.” Sampuk Syu berseloroh.
“Buat terperanjat kitorang jelah kau ni.” Bebel si
Shuk sambil membetul-betulkan rambut.
“Err... adik Kenanga dan Melati jangan risau ya. Kawan kitorang ni memang macam ni.” Ujar Shuk
sambil tersengih-sengih. Perasan kacaklah tu.
Wan mengetapkan bibir
sambil menjeling teman lelakinya.
Mentang-mentanglah diorang tu lawa...

No comments:
Post a Comment