Bab 7
HIJAU. Tenang. Damai. Jika dapat
dirangkumkan suasana dan pemandangan di situ ketika itu, perkataan-perkataan
itulah yang paling tepat. Deruan air terjun berselang-seli sahutan cengkerik
ikut membuai perasaan. Sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Korang tak
nak join diorang mandi?” Soal Syu sambil membuang pandangan ke arah Wan,
Shuk, Harris dan Amri yang terjerit-jerit kesejukan bermain air.
Lana mengerling Hawa
sekilas.
“Tak naklah.. aku
baru second day..heavy lagi.. kau pergila join diorang.” Balas
Lana.
“Alah...kita duduk
kat batu je. Macam Wan tu. Tak masuk dalam air pun...” Syu masih cuba memujuk
rakan karibnya itu.
“Takpelah..kau
pergilah dulu...aku temankan Hawa lepak ambil angin kejap.” Balas Lana
lagi.
Hawa hanya memandang
kosong ke arah air terjun di hadapan mereka. Sejak tadi dia kurang berbual.
Syu
mengangguk-anggukkan kepalanya, memahami kehendak Lana.
“Kejap lagi
korang datang eh.” Pesannya sebelum meninggalkan kedua gadis itu
yang sedang duduk memeluk lutut di atas tikar yang dibentangkan di tanah.
Lana hanya mengangguk
perlahan mengiyakan permintaan Syu.
“Oit… kau ok
tak ni?” Siku Lana Lembut.
Risau pula dia
melihat Hawa diam begitu. Ditambah dengan hiasan benjolan hampir sebesar bola
pingpong yang kelihatan semakin membiru melengkapkan muka monyoknya. Cukup
menambahkan rasa kasihan di hati Lana. Nak tergelak pun ye juga!
Hawa mendengus
perlahan.
“Kau tak nak cerita
dengan aku ke, apa yang jadi tadi… Takkanlah sebab cicak sampai tergolek
kau kat lantai tu.. nah.. tuamkan ais ni kat dahi kau. Dah start
biru dah tu.” Pujuk Lana. Uncang beg kalis air berisi ketulan ais dihulurkan
kepada Hawa.
Laju gadis itu
berkalih menghadap Lana.
“Lana… benda yang kau
nampak kat tingkap semalam.” Ujarnya sepotong.
Berkerut wajahnya,
bersungguh mahu membincangkan perkara itu dengan sahabatnya.
Lana terasa bulu roma
di tengkuknya mula berdiri. Serentak keduanya menelan liur masing-masing.
“..A....aku nampak…”
Sambungnya separuh-separuh.
Lana menanti Hawa
menghabiskan ceritanya dengan mata yang bulat dan jantung yang mula laju
rentaknya.
“Mula-mula aku nampak
masa aku buka almari bawah tu. Elok je dia duduk menyandar kat situ weh.”
Hawa menyambung cerita sambil menggosok lengan sendiri. Imej sosok yang
menyeramkan itu kembali terlayar di mata.
“Lepas tu aku pusing
nak pecut, ehh ada pulak sekor lagi kat lantai tu kau tau.
Aku tersepak dia.., haa.. itu yang tersembam menyujud aku kat lantai
tu.” Ujar Hawa lagi.
Lana menelan liur
buat kesekian kalinya. Faham sangat dengan ketakutan yang dirasakan sahabatnya
itu. Dia sendiri pun terpaku tak bergerak dibuatnya semalam.
Entah kenapa tujuh
sahabat ini tiba-tiba diganggu begitu. Hanya dengan pocong secara khususnya pula
tu. Apa yang sedang berlaku sebenarnya?
“KRRRANGGG…!!”
Kilat yang memancar
tajam secara tiba-tiba sebelum diikuti bunyi keras di langit beberapa saat
kemudian serta-merta mematikan lamunan Lana.
Syuhada terjerit
kecil, terkejut. Sementara yang lain terdiam kaku. Cuaca yang tadinya cerah
elok beransur gelap dengan laju. Seolah-olah diselimuti langit akhir senja
dalam kiraan detik.
Terpinga-pinga mereka
melihat perubahan cuaca yang mendadak itu. Dalam keadaan bingung itu, serentak
mereka berkalih ke arah pokok berdekatan dengan tempat duduk Lana dan Hawa.
Bagai diarah tanpa sedar.
Sekonyong-konyong
kelihatan Melati dan Kenanga berdiri senyap di situ. Tanpa sebarang pergerakan,
tanpa sebarang bunyi, entah sejak bila.
Harris menelan liur.
Hati mula berlagu bimbang. Firasatnya membisikkan berita yang tidak enak. Gerak
hatinya kuat mengatakan sesuatu yang buruk bakal terjadi.
Melati dan Kenanga
masih diam berdiri di situ. Entah kenapa gadis-gadis cantik yang tadinya
kelihatan begitu ayu dan mempesona kini memberikan aura yang menyeramkan. Cukup
untuk membuatkan bulu roma di lengan rakan-rakan itu menegak perlahan-lahan.
Lambat-lambat
senyuman mula terukir di wajah kedua gadis tersebut. Sedangkan tujuh sahabat
itu masih setia menjadi penonton tanpa beralih sedikitpun dari tempat
masing-masing.
Anehnya, senyuman
yang terukir perlahan di hujung kedua belah bibir gadis-gadis itu langsung
tidak mendatangkan rasa lega di hati anak-anak muda tersebut. Lebih aneh lagi
bila angin mula berhembus kuat dari segenap arah.
Tambah parah pula apabila
senyuman keduanya semakin meruncing sehingga ke pangkal telinga mereka. Rambut masing-masing
berayun menutupi senyuman yang semakin aneh itu sekejap-sekejap, sebelum mula
mengerbang dan…memanjang!
Gigi keduanya yang
mula terserlah menyengih juga ikut memanjang dan meruncing, membentuk taring
yang tirus dan… tajam!
Wajah manis Melati
dan Kenanga mula berubah melendut dan berkedut seolah-olah mereka sudah berusia
ratusan tahun tuanya. Tak cukup dengan itu, kaki mereka pula mula menjauhi
tanah sehingga keduanya terapung beberapa kaki di udara.
Lana dan Hawa yang
berada di kedudukan paling dekat dengan mereka sudah keras tidak bernafas di
tempat duduk masing-masing. Hendak dihembus pun tidak lepas, hendak tarik
apatah lagi!
Mereka yang lain yang
masih berada di dalam air juga ikut mematung, beku di tempat masing-masing. Senang
cerita, jantung pun tak berani berdenyut dah!
Hanya Harris sahaja
kelihatan terkumat-kamit mulutnya membisikkan kalimah-kalimah Allah. Allah…
bala apakah ini…
"Eeeehehehehehehh……!"
Suara mengilai yang
nyaring membingit secara tiba-tiba itu hampir saja menyentak keluar jantung
ketujuh-tujuh sahabat itu dari pangkalnya masing-masing.
“Allahu Akbar…” Bisik
Harris perlahan dari bibir yang mula mengetar.
Belum sempat otaknya
memproses situasi tersebut, kedua ‘makhluk’ yang sedang terapung di udara itu
menerkam laju ke arah Hawa dan Lana.
“Arghhhhhh…!”
Spontan keduanya menjerit ketakutan.
“Allahu Akbarrr!!!”
Harris langsung memekik dari tempatnya berdiri. Tidak sangka dengan tindakan
mengejut kedua makhluk tersebut.
“Hoiiii!!”
“Krrangggg….!!”
Suatu suara yang
dikenali menyergah kuat secara tiba-tiba, sebelum bersambung dengan panahan
petir yang memancar berapi di kaki langit. Pergerakan Melati dan Kenanga
serta-merta terhenti. Taring tajam keduanya hanya berjarak beberapa sentimeter
sahaja dari terbenam ke dalam isi lembut di tengkuk Lana dan Hawa.
“Apa yang kau orang
buat ni hahh??!!” Tempik Pak Teruna keras.
“Astaghfirullahalazim…..!”
Istighfarnya kasar.
Melati dan Kenanga
masing-masing menyeringai.
“Lepaskan budak-budak
ni!” Pak Teruna bersuara tegas.
Makhluk-makhluk itu
semakin galak menyeringai. Dicengkamnya kedua-dua Lana dan Hawa lalu
diterbangkan mereka ke atas.
“Aku kata..lepas!”
Arah Pak Teruna lagi dengan nada yang lebih keras.
"Eeeehehehehehehh……!
Eeeehehehehehehh……!"
Mencicit nyaring
kedua makhluk tersebut mengilai di udara, seolah-olah mengejek dan mencabar Pak
Teruna.
Pak Teruna mengenggam
tangannya geram. Giginya diketap rapat sambil merengus kasar.
Tanpa diduga,
kepalanya tiba-tiba mengembang. Bahu dan kakinya pula menjulur panjang,
membentuk seekor ular tedung selar yang sangat besar berwarna putih keemasan.
Lebih besar dan lebih tinggi dari pokok tua yang megah terpacak di situ.
Hampir sahaja
terjojol keluar bola mata si tujuh sahabat menyaksikan adegan yang tidak
disangka-sangka itu. Dah macam tengah tengok cerita ultraman dalam
televisyen!

No comments:
Post a Comment