Bab 8
“EEIIIIKKKKKK…!!!”
Nyaring bunyi jeritan
kedua makhluk itu berteriak kesakitan. Kedua mereka dibelit ketat oleh ‘Pak
Teruna’ yang telah bertukar menjadi ular putih besar tersebut.
Cengkaman tajam di
bahu dan leher Lana dan Hawa serta-merta melonggar. Laju keduanya melungsur
turun di atas pusingan belitan sang ular. Berguling-guling kedua gadis malang
itu di atas tanah sebelum jatuh berdebuk ke dalam sebuah lubang.
Ketika ini barulah
Harris dan rakan-rakan yang lain seakan terlepas dari paku yang memasak kaki
mereka kemas ke tanah. Masing-masing baru boleh bergerak! Bagai lipas kudung
mereka berlari mendapatkan Lana dan Hawa yang sudah hilang kelibat di balik
lubang.
“Lana! Hawa!”
Berganti-ganti suara
pekikan mereka sambil berlari mendapatkan gadis-gadis tersebut.
“Ahh.. aduh..”
Lana mengerang perlahan. Tak pasti kerana sengal batang tubuhnya terhempas atau
kerana kepalanya terasa berpusing akibat tergolek berguling tadi.
“Lana…. Isk…”
Hawa mula menangis. Bingkas dia bangun duduk lalu mengesot laju ke hujung
sudut. Biru wajahnya menahan takut.
Lana yang masih
pening-pening lalat berkalih ke arahnya. Sejurus kemudian mata Lana melorot
pula ke arah yang sama dengan pandangan mata Hawa.
“Arghhh! Ya
Allah…!!” Terjerit gadis itu sebelum ikut bingkas berpusing merangkak laju
mendekati Hawa. Terpejam-pejam matanya, keduanya berpelukan sambil menangis
ketakutan.
Timbunan puluhan
jasad berbungkus kain putih yang berlonggok dan bergelimpangan di lantai lubang
tersebut benar-benar membuatkan darah kedua gadis itu terasa mengering.
“Lana! Hawa!”
Berkerumun kawan-kawan
mereka menjenguk ke dalam lubang.
“Korang ok
tak?!” Jerit Amri.
“Abang Harris..!”
Tangis Lana dari dalam lubang. Bersahut-sahut dengan suara tangisan Hawa.
“Kejap abang turun.”
Sahut Harris cemas.
“Kau pegang aku.”
Pintanya pada Shuk.
Lincah Harris
menuruni tebing lubang dengan tangannya dipaut kuat oleh Shuk.
“Allahu Akbar…”
Spontan bibir Harris
mengucapkan nama Allah, sebaik pandangannya
menangkap ‘bungkusan-bungkusan’ mayat yang berselerakan dalam lubang
tersebut.
“Korang ok tak?
Jom, cepat. Kita keluar dari sini.” Pintanya dengan nada berbaur cemas.
Mahunya tidak. Selalu
sahaja ditonton filem-filem seram atau thriller di televisyen di mana
watak utama sibuk nak menangis berpelukan di depan penjahat yang sedang
terbaring pengsan. Bukan nak lari dulu. Hah, waktu itu jugalah selalunya
penjahat akan bangun menyerang sekali lagi.
Dibuatnya pocong-pocong
ni tiba-tiba bangun tegak semuanya, memang masaklah diorang!
“Cepat! Cepat! Lana
pijak kaki abang.” Arahnya sambil mengunjuk ke arah peha kanannya yang sudah
dipasak kemas ke tanah.
Lana kelihatan
teragak-agak seketika sebelum kelam kabut bergerak ke arah tunangnya dalam
keadaan separuh merangkak. Belum sempat dia sampai ke tempat lelaki itu berdiri,
kedengaran suara Hawa menjerit kecil. Tenggelam suaranya di sebalik kedua tapak
tangan yang menekup mukanya sendiri.
Serentak itu juga Lana
dan Harris berkalih ke arah jasad-jasad bergelimpangan yang berbungkus kejap
persis hantu pocong dalam filem-filem seram Melayu, cuba memastikan apa yang
membuatkan Hawa menjerit begitu.
“Argghhhh….!!”
Lana pula ikut
menjerit sambil kedua matanya dipejam rapat.
“Allahu Akbar… Allahu
Akbar…” Hanya itu yang terluncur keluar dari mulut Harris.
Bungkusan-bungkusan
mayat yang tadinya terbaring senyap di tanah, mula bergetar-bergetar dengan
kuat sehingga teralih dari kedudukan asal. Sama betul keadaannya dengan telefon
bimbit yang diletakkan dalam mod vibrate.
“Kan aku dah kata… bangun
si bungkus ni semua nanti..” Tangis Harris dalam hati.
“Korang..cepat…”
Antara keluar dengan tidak suara Harris mengarahkan gadis-gadis untuk memanjat
keluar dari situ.
“Sini tangan korang…!”
Jerit kawan-kawan di atas, ikut panik melihatkan timbunan pocong yang tiba-tiba
bergetar.
Jangan melompat
bangun semuanya ni kejap lagi…
Seluruh kudrat mereka
dikerahkan untuk membantu menarik keluar Lana dan Hawa dari lubang itu. Mana
dengan suasana bingit Sang Ular Putih sedang bertarung dengan kedua mahkluk
yang mengerikan itu lagi. Mujurlah kedua sahabat itu bertubuh kecil. Kalau
sebaliknya, memang diorang nak tolong ambil pesanan wasiat je, dah!
MASING-MASING
terduduk mencungap nafas yang memang sudah lari alunannya sejak tadi. Bulat tujuh
pasang mata itu menyaksikan Pak Teruna mula melonggarkan belitannya pada tubuh
Melati dan Kenanga yang sudah terkulai.
Keduanya dilepaskan ke
tanah. Perlahan wajah mereka yang tadinya begitu menyeramkan berubah semula
menjadi Melati dan Kenanga yang mereka kenal. Erangan bernada rendah kedengaran.
Mereka bernafas lemah.
Seketika kemudian
kelihatan Melati mengesot merapati Kenanga. Tangan gadis yang berwajah sama
dengannya itu digenggam kemas. Sekilas renungan tajam diberikan kepada tujuh
sahabat itu, sebelum sekonyong-konyong tubuh keduanya hilang dari pandangan
mata.
Rakan-rakan itu
menelan liur. Masing-masing diam tidak berkutik. Hanya menanti apa yang
seterusnya akan berlaku.
Kilat memancar cerah beberapa
kali di langit, tanpa diikuti sebarang bunyi guruh, sebelum suasana gamat tadi
kembali mereda. Ular putih besar tadi juga sudah mengecil perlahan sebelum kembali
merupai Pak Teruna yang asal. Lelaki itu berdiri tegak di hadapan anak-anak muda
itu.
Mereka hanya saling
berpandangan tanpa sebarang suara. Pak Teruna mengeluh perlahan.

No comments:
Post a Comment