Sunday, August 10, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 9)

 


Bab 9

PAK Teruna minta maaf…” Lembut suara lelaki berusia separuh abad itu memecah bicara.

Mereka semua duduk berkeliling membentuk bulatan di ruang tengah rumah kayu tersebut. Kopi panas di dalam cawan kelihatan mengeluarkan asap nipis, bertembung dengan udara sejuk yang membaluti suasana malam itu. Mak Kesuma bertimpuh diam di samping suaminya.

Mereka yang lain juga hanya mendiamkan diri, memberi tumpuan sepenuhnya kepada butir bicara lelaki itu. Minda masing-masing masih ligat memproses situasi yang sedang dialami kala ini.

Sejak kejadian luar jangka yang berlaku siang tadi, tiada sepatah kata yang terluah di bibir masing-masing. Semuanya hanya berlegar di dalam kepala.

Pak Teruna meminta mereka pulang membersihkan diri. Dan tujuh sahabat itu juga hanya menurut tanpa sebarang bantahan. Tiada sebarang penjelasan atau perbincangan berlaku. Semua berada dalam keadaan terkejut. Terperangkap dalam tanda tanya antara benar atau tidak apa yang baru saja berlaku.

“Memang sebelum ni.. dah ada beberapa kes manusia hilang di kawasan ni..” Pak Teruna menyambung bicara. Nafas dihela perlahan.

“….. orang kampung pun memang tengah berusaha untuk kenalpasti… siapa yang punya angkara.” Sambungnya lagi.

Mereka yang lain masih diam. Bulu roma masing-masing mula merinding. Syu melempar pandangan pada Wan. Bertanya dengan mata.

“Apa maksudnya… ‘manusia’ hilang?....”

Wan hanya mampu menghantar jawapan tidak tahu kepada Syu, juga melalui lirikan mata.

“Kami ingat… cuma golongan liar di luar kampung… tak sangka pula.. pelakunya berada di dalam kampung ni… dari kalangan kami sendiri…” Ujar Pak Teruna bernada kecewa. Wajahnya diraup perlahan.

Padanlah sejak si kembar manis itu datang ke kampung ini, kehilangan kaum manusia yang tersesat masuk ke tempat mereka mulai heboh diperkatakan.

Pak Teruna menggeleng-gelengkan kepalanya sendiri. Kesal dengan kealpaan diri. Nyaris sahaja anak-anak muda itu menjadi mangsa dalam jagaannya. Pasti susah untuk dia maafkan dirinya sendiri, sekiranya dia terlewat muncul menyelamatkan mereka.

Sungguh dia tidak mahu, mencipta permusuhan dengan bangsa manusia. Bahkan mereka suami isteri sendiri mempunyai beberapa orang teman rapat dari kalangan manusia, yang masih saling berhubung dari masa ke semasa.

“Mak Kesuma pun minta maaf juga… memang Mak Kesuma langsung tak sangka…” Luah wanita itu kesal.

Dia sendiri pun ikut tertipu dengan pewatakan lembut dan sopan kedua gadis itu. Setahunya, nenek Cendana memang baik orangnya. Datuknya sendiri yang mengislamkan nenek Cendana sewaktu wanita tua itu berhijrah ke kampung mereka.

Tidak disangka pula, cucu-cucu wanita tua itu yang kononnya datang dari jauh mahu menjaga si nenek yang sedang uzur di penghujung usia rupanya adalah kaum kafir yang memerangi bangsa manusia. Lebih teruk lagi, adanya sebahagian kaum ini yang memang sengaja menjadikan darah manusia sebagai santapan untuk mengekalkan kuasa dan kecantikan mereka.

Longgokan mayat berbungkus kain putih seakan pocong yang ditemui di dalam lubang itu menjadi bukti bahawa sudah agak ramai manusia yang menjadi mangsa mereka.

“Kalau Mak Kesuma tahu…” kata-katanya terhenti di situ.

Rasa bersalah menghimpit hatinya kerana dia sendiri yang meminta gadis kembar itu menguruskan hidangan untuk anak-anak muda itu siang tadi.

“Si.. kembar Melati dan Kenanga ni cucu kepada jiran kami, nenek Cendana. Nenek Cendana ni dah lama menetap di kampung ni. Baik orangnya…” Jelas Pak Teruna setelah dilihat sang isteri kematian kata.

“Sekarang ni dia sedang uzur…” Pak Teruna menarik nafas dalam.

“Kami.. tak bermusuhan dengan bangsa manusia.. kami pun.. Islam juga.. beriman dengan Tuhan yang sama dengan kamu.. Allah Azzawajalla. Tapi.. sama macam bangsa kamu… ada juga yang kafir dari kalangan kami..” Jelas Pak Teruna.

“…dan…juga sama seperti kamu… ada yang jahat dari kalangan kami.. ada yang suka berbuat kerosakan.. ada yang suka berbunuhan…” Nafas dihela lagi.

 

"Dan sesungguhnya antara kami ada yang bersifat baik (soleh) dan ada juga yang tidak demikian halnya; kami adalah terdiri daripada berbagai-bagai jalan (atau aliran)."


[Surah Al-Jin, Ayat 11]

 

 

Terkebil-kebil tujuh sekawan itu dibuatnya. Liur dipaksakan turun melepasi tekak.

 

Sahih. Confirm! Mereka sekarang bukan lagi di dunia mereka. Dan ini… bukan homestay mak ngah Hawa! Jauh betul mereka bercuti kali ni.

 

Huuuu…. Mak… nak balikk….!

 

Jeritan itu hanya mampu bergema dalam hati masing-masing.

 

“Kamu ni sebenarnya dah tersesat jauh ke alam kami… mungkin orang-orang kamu pun alami kesukaran nak ikhtiar dapatkan kamu balik…” Jelas Pak Teruna lagi.

 

Memang kalau diikutkan.. bukan mudah untuk kaum manusia melencong masuk ke kampung mereka yang agak jauh di pedalaman. Melainkan ada yang membuka jalannya dengan sengaja.

 

“Tapi… mungkin juga ada yang sengaja buka jalan… atau memerangkap kamu masuk ke sini… dengan tujuan jahat…” Keluhnya lagi.

 

Liur masing-masing ditelan lagi secara paksa buat kesekian kalinya. Sudah terbayang di fikiran masing-masing pihak polis dan ahli keluarga serta ustaz dan imam yang berusaha menjalankan operasi mencari mereka bertujuh. Mungkin juga kisah mereka sudah viral di media sosial sekarang ini. Tak pasal-pasal glamour!

 

“Lagipun… kecederaan kamu semua agak parah juga dalam kemalangan tu sebenarnya… Alhamdulillah.. dengan izin Allah atas kelebihan yang dikurniakan pada kaum kami ni.. Pak Teruna dapat bantu percepatkan proses penyembuhan kamu. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Menyembuhkan.” Sambungnya lagi.

 

Anak-anak muda itu terangguk-angguk menyetujui kata-kata Pak Teruna. Memang mudah sahaja lelaki itu mengubatkan kaki Shuk. Begitu juga kepala Lana yang terluka. Mereka yang lain juga sebenarnya tercedera dengan agak teruk, tanpa mereka sedari.

 

“Tak apalah… semuanya dah selesai. Kamu pun dah sihat. Marilah.. Pak Teruna hantarkan kamu balik. Dah 2 hari kamu di sini… mesti keluarga kamu dah risau. ” Ujar lelaki itu lagi sambil tersenyum lembut.

 

Err… kereta…” Shuk terhenti menelan liur.

 

Baru teringatkan Toyota Estima milik ayahnya. Kepalanya yang tidak gatal digaru kecil.

 

“Matilah aku…” Desusnya sendiri.

 

Pak Teruna tergelak kecil.

 

Haa…tu hah.. kereta kamu pun dah siap dibaiki. Dah macam baru dah.” Selorohnya bersahaja, memahami apa yang sedang dalam fikiran anak muda itu.

 

“…apa… kamu ingat masyarakat kami ni tak canggih ke. Lagi canggih dari kamu, tau…” Ujarnya lagi sambil tertawa, meneka apa yang bermain di minda mereka yang sedang memandangnya dengan wajah polos.

No comments:

Post a Comment