Friday, March 6, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 2

 

Bab 2

MAMA.. ni jiran baru kita.” Fiya bersuara lagi.

“Mama dia minta tumpang dia kat sini sekejap sebab dia kena patah balik rumah nenek dia. Mama dia tertinggal telefon.” Ujarnya lagi setelah melihat Nadya terkelip-kelip memandang mereka tanpa sepatah kata.

Hah? Oh.. ya ke… err… mama dia dah pergi? Papa dah pergi masjid?” Soal Nadya setelah berjaya memproses maklumat yang diterima. Seminit jugalah loading nya.

“Dah… masa papa tutup pagar tadi mama dia minta nak tinggalkan dia sekejap.” Jawab Fiya.

“Papa suruh kitorang bawa dia masuk sebab papa dah lambat.” Sambungnya lagi.

Nadya mengangguk-anggukkan kepalanya, mula memahami duduk perkara yang sebenar. Unik betul perkenalannya dengan jiran baru mereka.

“Awak nama siapa?” Soalnya mesra, sambil melangkah menghampiri gadis kecil yang kelihatan takut-takut dan cuba bersembunyi di belakang Faiqa.

“Awa. Nama dia Awa.” Laju Faiqa menjawab bagi pihak kawan barunya.

Ooo.. sedap nama tu. Nama penuh Awa..? Hawa?” Soal Nadya lagi, cuba mengajak anak kecil itu berbual. Punggung dilabuhkan di birai katil, di tepi pintu bilik tidurnya.

Awa menggeleng-gelengkan kepalanya.

Emm.. kalau bukan Hawa.. Salwa?” Teka Nadya lagi, dengan nada ceria.

Alaa.. salah lagi..” Nadya memuncungkan bibirnya, pura-pura kecewa.

Faiqa dan Fiya tergelak kecil. Manakala Awa mula mengukirkan senyuman. Masih malu-malu.

Emm.. Awa tak nak bagitahu acik ke ni…?” Usik Nadya lagi, masih dengan mulut muncungnya.

         “…..Nya…wa…..” Kelihatan bibir anak kecil itu bergerak-gerak, menggumam perlahan, antara dengar dan tidak.

         Dahi Nadya dikerutkan, ditambah dengan memek muka lucu. Tidak pasti dengan apa yang didengarnya.  Niawa? Unik betul namanya. Belum pernah dengar.

         “Tak apalah… Awa duduk rumah acik dulu.., main dengan Fiya dengan Faiqa ya? Rumah nenek Awa tu.. jauh ke?” Ujar Nadya sambil mengangkat tangannya cuba mengusap kepala gadis kecil tersebut.

         Awa hanya mendiamkan diri. Kedua belah tangannya meraut lengan Faiqa. Nadya tersentak dan cepat-cepat mengalihkan tangannya.

         Err.. takpelah.. Fiya ajak adik-adik err.. solat dulu. Malam ni larat tak.. err.. nak solat tarawih dengan mama?” Suaranya kedengaran teragak-agak pada pendengarannya sendiri.

         Faiqa dan Fiya masing-masing buat muka comel. Mengelatlah tu.

         Hmm… tahu dah…” Omel Nadya.

         Okay lah.. malam ni rehat dulu. Solat dulu, dah masuk waktu  ni.. lepas tu baru boleh main, okay? Dah.. pergi solat.” Katanya lagi.

         Berebut-rebut anak-anak gadis itu berlari ke bilik air. Nadya menghela nafas. Tangan kanannya direnung seketika. Mengingatkan kembali ubun kepala Awa yang terasa berbahang di tapak  tangannya sebentar tadi.

         “Demam ke budak tu? Tapi.. panasnya rasa lain macam..” Gumamnya sendiri.

         Langkahnya diatur perlahan menuju ke pintu utama. Sengaja mahu memastikan selaknya terkunci. Risau juga zaman sekarang, macam-macam hal boleh berlaku. Terlintas juga di fikirannya akan keberanian jiran barunya itu meninggalkan anaknya dengan mereka, walaupun belum berkenalan dengan baik.

         “Mungkin dia memang percaya je agaknya…” Bicaranya sendiri.

         Setelah dipastikan pintu dalam keadaan berkunci, langkahnya diatur kembali ke bilik tidurnya. Sempat juga dia menjenguk mencuri lihat ke dalam bilik tidur anak sulungnya. Kelihatan anak-anak gadisnya sedang berdiri menunaikan solat Isyak.

         Manakala Awa dilihatnya sedang duduk bersila di sudut dinding bilik. Kepalanya ditundukkan ke bawah.

         Tangannya diangkat perlahan cuba menolak daun pintu, untuk menegur anak kecil tersebut. Sangkanya mungkin dia sedang menunggu giiran untuk memakai telekung.

         “Damm!!”

         Nadya terkedu. Pintu bilik tersebut tiba-tiba berdentum, bagai ditolak tutup dengan kasar dari sebelah dalam. Dan gambaran yang terakam di layar matanya sejurus sebelum pintu bilik tersebut tertutup rapat, masih kekal untuk beberapa ketika. Imej Awa, bergerak sedikit demi sedikit dari kedudukan kepala yang  tertunduk merenung lantai, mendongak perlahan dan memandang tajam ke arahnya dengan bola mata yang bulat dan berwarna hitam pekat keseluruhannya.

 

 


 

 

No comments:

Post a Comment