Sunday, March 8, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 4

 

Bab 4

“PERGI basuh dulu luka tu. Lepas tu baru sapu ubat.” Arah Nadya dengan kening bertaut.

“Apa main macam tu, Fiya.. dah besar kan.. bukannya umur 3,4 tahun…kenapa nak gigit-gigit… ” Leter Nadya dengan suara yang dikawal perlahan.

Anak sulungnya yang berusia 4 tahun lebih tua dari si adik itu hanya menundukkan kepala ke bawah.

“Sini minyak gamat tu. Biar mama sapu.” Pinta Nadya.

Fiya mendekati ibunya dengan botol minyak gamat di tangan, manakala Faiqa yang baru keluar dari bilik air sudah berdiri tercegat di depan si ibu.

“Bukan kakak mama, Awa yang ajak main… tengok siapa paling tahan sakit kena gigit.” Bisik Faiqa yang kelihatan sedikit tenang.

Fiya menjeling adiknya, marah.

“Dia yang nak main jugak!” Marahnya pada si adik.

“Fiya….” Tegur Nadya spontan, terkejut dengan reaksi si kakak.

Kebiasaannya, Fiya yang paling risau sekiranya si adik terluka sewaktu bermain. Dia juga yang selalunya paling sibuk mahu menyapukan  ubat untuk si adik yang rajin berdrama. Bergaduh, bergaduh juga, tapi jika sampai si adik terluka, Fiya biasanya akan cepat-cepat mengalah dan menunjukkan rasa bersalah.

Fiya hanya menjeling dan mendengus perlahan setelah ditegur begitu. Jelas tidak berpuas hati dengan si adik. Kemudian kaki dihentak kasar ke lantai, tanda protes, sambil bergegas keluar dari bilik untuk mendapatkan Awa.

Berkerut lagi dahi Nadya. Tidak faham dengan tingkah si anak yang tiba-tiba. Pandangannya difokuskan kembali ke arah Faiqa. Mata gadis itu kembali bergenang, mungkin terkesan dengan sikap si kakak.

“Dah, siap dah… sikit je ni.. pergi main elok-elok.. jangan main bukan-bukan lagi.” Ujar Nadya setelah siap menyapukan ubat di lengan si anak.

Faiqa kembali menatang lengannya sambil berjalan menuju ke bilik si kakak.

“Jangan gaduh-gaduh….!” Sempat Nadya melaungkan pesanan tersebut sebelum pintu bilik tidurnya kembali ditutup si anak.

Nadya menggeleng-gelengkan kepalanya. Jam yang tergantung di dinding dikerling seketika. Lambat lagi suaminya akan pulang. Biasanya suaminya akan menghabiskan solat tarawih di masjid, jarang-jarang dia menamatkan solat pada 8 rakaat seperti Nadya di rumah.

Al-Quran yang berada di rak dicapai. Nadya kembali bersimpuh di sejadah. Papan rehal dibuka dan naskhah al-Quran di tangan diletakkan dengan cermat. Tapak tangan kanannya diletakkan di atas Al-Quran, bersedia untuk memulakan bacaan. Sejenak kemudian dia berpaling ke arah pintu bilik. Berkira-kira mahu menjenguk anak-anak itu sebentar.

Tubuhnya ditunjal bangun dengan helaan nafas. Lalu kakinya diatur menuju ke dapur.

 

 “SAYANG…?” Panggil Nadya sambil menatang dulang berisi sedikit potongan buah tembikai, sepiring kecil kuih raya yang baru siap dibakar siang tadi, serta bancuhan air Ribena untuk tetamu kecil mereka.

Pintu bilik tidur Fiya diketuk perlahan. Kepalanya dijengul ke dalam ruang bilik setelaah pintu bilik dibuka.

Nah, mama bawa kuih raya yang kita buat tadi. Tadi cakap nak rasa, kan? Ajak Awa makan sama-sama.” Ujar Nadya sambil tersenyum kepada anak-anak gadis tersebut.

Entah apa yang mereka bertiga sedang lakukan. Duduk bersila bertiga di atas lantai beralaskan karpet, membentuk bulatan, mengelilingi selembar kertas besar seperti kertas lukisan.

“Main apa tu?” Soal Nadya, sambil menjenguk ke dalam ruang bulatan mereka.

Err… tak ada apa pun mama. Main lukis-lukis.” Jawab Fiya pantas.

 Tubuhnya digerakkan seolah-olah cuba menghadang kertas lukisan tersebut dari pandangan ibunya.

“Lukis apa tu? Boleh mama tengok?” Pinta Nadya, masih tidak berganjak dari rasa ingin tahunya.

Entah kenapa dadanya rasa berdebar aneh.

“Tak ada apa pun…” Jawab Fiya pantas, masih enggan berkongsi dengan si ibu.

Faiqa dan Awa pula masing-masing hanya mendiamkan diri. Nadya mula resah.

“Kenapa pelik aje budak-budak ni….” Bisik hatinya sendiri.

Lebih aneh lagi, bunyi seperti menderam seperti dari dalam tekak dengan mulut yang tertutup kedengaran menyapa telinganya, sayup-sayup. Pandangannya diarahkan kepada tiga anak gadis itu, silih berganti. Tidak pasti dengan pendengarannya sendiri.

“Sini mama tengok sekejap..” Tangannya spontan mencapai kertas yang terbentang di lantai.

“Dup…!”

Sekeping syiling bersaiz 50 sen yang tergelincir dari lembaran kertas itu jatuh ke atas lantai beralaskan karpet bermotifkan kartun Hello Kitty tersebut menangkap pandangan Nadya. Sedetik kemudian matanya ditumpukan ke arah lukisan di atas kertas. Serta-merta dahinya berkerut. Wajahnya mula terasa panas memerah.

“Ya Allah… apa benda ni?” Intonasi Nadya berubah senada.

Terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Kamu main apa ni? Spirit of the coin??” Soalnya bertalu-talu.

 


No comments:

Post a Comment