Monday, March 9, 2026

‘KAWAN BARU’ Bab 5

 

Bab 5

NAFASNYA cuba dikawal sebaik mungkin. Sukar untuk percaya dengan apa yang dilihatnya. Bukannya anak-anaknya tidak tahu tentang perkara itu. Ada beberapa filem yang telah mereka tonton bersama, yang berkisar mengenai sekumpulan anak remaja yang bermain permainan memuja roh tersebut.

Sudah dijelaskan sebaik mungkin kepada anak-anak gadisnya, kenapa permainan itu tidak dibenarkan dalam agama mereka. Sudah diberitahu akan keburukan permainan-permainan begitu. Sudah diberi peringatan  berulang-kali untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti sebegitu, walaupun diajak rakan-rakan di sekolah atau sebagainya.

Dada Nadya mula terasa ketat dihimpit geram. Bahagian hadapan telekung yang melorot turun dari atas bahunya diselak dan disangkutkan semula berkali-kali.

Ala, main-main je pun! Bukan betul-betul pun!” Balas Fiya dengan suara yang tinggi.

Terjegil mata Nadya memandang anak sulungnya. Terkejut dengan reaksinya.

“Mama kata kan bulan puasa syaitan tak ada, kena ikat.” Sampuk Faiqa pula.

Bibir Nadya bergetar menahan rasa marah. Hatinya sudah mula berburuk sangka kepada Awa yang masih diam di situ. Dalam tidak sedar dia mula menuduh gadis kecil itu yang mempengaruhi anak-anak gadisnya untuk bermain permainan bukan-bukan begitu. Tadi main gigit-gigit sampai luka, sekarang permainan memuja syaitan pula.

Sikap melawan dan meninggi suara Fiya juga disalahkan ke atas Awa. Sebelum ini, tiada pula anak gadisnya itu bersikap begitu. Apatah lagi jika terang-terangan terbukti dia sendiri yang melakukan kesalahan atau  perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Nadya menarik nafas dan menghembuskannya kembali panjang. Emosinya cuba dikawal sebaik mungkin.

“Nayla Safiya… walaupun main-main ke, cuba-cuba ke, benda ni salah ke betul?  Patut ke tak patut Fiya main benda-benda macam ni?” Nama penuh anaknya disebut, menandakan apa yang mahu disampaikan ketika itu benar-benar serius.

“Anak-anak mama tahu ke tak tahu, boleh ke tidak kita bermain permainan-permainan memuja roh syaitan semua ni? Tak takut ke kalau jatuh syirik??” Tambahnya lagi. Nada suaranya naik seoktaf.

“ Takut tak kalau Allah marah? Nak Allah sayang ke nak Allah marah??” Soal Nadya lagi.

Ligat otaknya cuba menyusun ayat seringkas mungkin supaya apa yang hendak disampaikan dapat difahami anak-anak gadis itu dengan mudah.

“Mama ni semuanya tak boleh!!” Bentak Fiya dengan suara separuh menjerit.

Mendadak dia bangun berdiri. Lantas tangan Awa ditarik lalu mereka beredar menuju ke bilik tidur Faiqa di bahagian ruang makan. Kakinya sengaja dihentak kuat di lantai, mempamerkan rasa marah. Adiknya pula teragak-agak mengikut dari belakang, dengan air mata yang mula bertakung.

Terkedu Nadya dengan tindak balas si anak yang tidak disangka-sangka. Spontan rasa panas menyerbu ke muka dan menjalar naik hingga ke kepala. Kalau tidak ada Awa di rumahnya ketika ini, mungkin dia sudah bergegas mendapatkan penyangkut baju untuk merotan bahagian kaki si Fiya atas sikap biadabnya tadi.

Astaghfirullahalazim…..” Sebutnya perlahan, sambil kepala digeleng-gelengkan ke kanan dan kiri. Rasa marah yang menyerang cuba digugurkan dengan istighfar.

Dulang tadi diangkat kembali, lalu suis lampu dan kipas di bilik dimatikan, sebelum melangkah menuju ke ruang makan. Dulang di tangan diletakkan di atas meja, kemudian tudung saji dicapai, menutup dulang tersebut.

Kakinya dibawa berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik Faiqa yang terletak tepat di sebelah bilik tidurnya sendiri. Berkira-kira sendiri tindakan terbaik yang patut diambil dalam situasi itu.

Betullah kata orang, menguruskan anak kecil lain cabarannya. Membesarkan anak remaja pula, lain cabarannya. Nadya cuba memujuk diri. Mungkin sikap Fiya malam itu cuma salah satu dari tanda perubahan emosi anak yang sedang menginjak remaja. Ikut kiraan tahun pun, usianya sudah mencecah 12 tahun, tahun ini.

Nafas dihela panjang sekali lagi.

Nadya mengambil keputusan memberikan masa untuk anak gadisnya bertenang dulu. Tubuhnya dibawa kembali ke dalam biliknya. Telekung di tubuh ditanggalkan dan dibiarkan di atas sejadah. Pintu bilik air dikuak, sengaja mahu memperbaharui wudhuk. Air dingin yang mengalir laju dari pili sedikit sebanyak membantu menyejukkan dirinya. Terasa kembali segar.

Bacaan al-Fatihah dialunkan lembut, sambil tangannya menyelak helaian kitab suci tersebut. Bacaannya yang terhenti pada kali terakhir disambung cermat. Surah al-Baqarah tersebut dialunkan dengan penuh penghayatan.

“Pupp!!”

Baru beberapa baris ayat dibaca, lampu downlight di siling tiba-tiba berkelip laju, sebelum terus meletup dan terpadam. Bukan satu, tapi ke-empat biji di bilik tersebut meletup dan terpadam serentak.

“Allahu Akbar!”

 

 


 

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment