JENGKALAK
Bab 1
2012
“AZIB!
Ya Allah…Azib!!” Jerit Zafeera.
Rasa panik dan
takut mula menyelubungi dirinya.
“Tolong!
Ibuuu… tolong….!” Raungnya menekan suara yang bagaikan tidak mahu terbit
keluar.
“Azib… kenapa
ni… Ya Allah… Azib… Allah… Allah….” Rintihnya hiba.
Ketakutan yang
kuat mencengkam seluruh tubuhnya tadi kini bagaikan menyedut keluar seluruh
tenaganya, meninggalkan cangkerang tubuh yang masih utuh memangku kepala
suaminya dalam ribaan, meskipun seluruh isinya hampir terkulai tidak bermaya. Sepasang
mata redup Azib yang sekarang sedang menatapnya penuh sayu, membicarakan seribu
satu cerita yang tak mampu terluah.
Tadinya Azib
bertarung hebat dengan kesakitan di bahagian kiri dadanya yang mencengkam
ketat, seolah-olah setiap inci jantungnya dibelit dan dijerut kejap dengan tali
sauh tebal yang berat, besar dan kasar. Dia yang sedang elok berbual mesra
dengan Zafeera di birai katil beberapa minit sebelumnya tiba-tiba diserang
sakit begitu tanpa sebarang amaran.
Tangkai
jantungnya terasa bagai disentap-sentap dengan begitu keras hingga membuatkan
tubuhnya membongkok rapat ke lutut, sebelum rebah ke lantai. Baju di bahagian
dadanya dikeronyok kuat dalam genggamannya, berharap dapat meredakan rasa sakit
yang keterlaluan untuk diterima tubuh. Terkejang-kejang badannya dengan
kedua-dua belah kaki menendang-nendang menahan azab kesakitan yang tidak
terperi itu.
Hinggalah
kepalanya dipangku dengan kedua belah tangan isterinya yang sejuk menggigil.
Basah wajahnya dengan tumpahan air mata sang isteri yang tak berhenti-henti
mengalir laju. Raut wanita yang dicintai setulus hati itu ditatap sayu. Azib
tahu, masanya yang dijanjikan Tuhan sudah tiba. Mudahan Tuhannya yang Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani itu mengampunkan dosa-dosa yang telah dilakukan
seumur kehidupannya di dunia.
“Azib… Allah…
Allah…” Rintih Zafeera dalam esakan, sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi.
Bukan sahaja
tiada daya untuk terus menjerit meminta tolong, bahkan untuk bangun berdiri
mendapatkan bantuan pun dia tidak mampu lagi. Buminya terasa berpusing-pusing.
Semuanya bagaikan tidak benar-benar terjadi. Terlalu pantas dan mendadak
sehingga tidak dapat dicerna akal fikirannya.
Cahaya putih
yang bersinar di sebelah kanan kepalanya membuatkan pandangan Azib teralih
sesaat dari raut wajah isterinya. Azib nampak, seorang lelaki berjubah putih
dengan paras yang sangat tampan, sedang tersenyum tenang kepadanya. Lelaki itu
bagaikan sedang bersinar dengan cahaya yang begitu lembut dan mendamaikan
sehingga Azib mampu mengorak segaris senyuman lemah di wajahnya.
Sakit itu
masih di situ, masih hebat seperti tadi, tetapi damai yang dirasakan kini
membuatkan jiwanya terasa lapang, begitu lapang, sukar untuk dijelaskan dengan
kata-kata.
Azib kembali
mengarahkan pandangannya ke wajah sang isteri.
“Terima kasih
ya Allah… pinjamkan aku kebahagiaan ini ketika hidupku di atas dunia ini… Aku
tinggalkan kebahagiaanku ini, dalam jagaanMu wahai Tuhanku yang Maha Pengasih… Dan Engkaulah sebaik-baik Pelindung
dan Penjaga…” Bisik hatinya penuh pengharapan.
“Azib… Allah…
Allah…” Suara Zafeera semakin tidak kedengaran. Sudah hampir tidak mahu keluar
melepasi kerongkongannya.
Azib
merapatkan matanya perlahan. Menikmati kedamaian aneh, yang mengatasi
kedahsyatan sakit yang sedang dirasakan saat ini.
Seraya itu
juga bibirnya terketar mengikuti suara sang isteri yang kedengaran semakin
jauh.
“Allah…..”
“Allah…..”
“………”
Maka
berakhirlah ‘masa’ yang telah dipinjamkan Sang Pemilik Nyawa, untuk hambanya
yang satu ini. ‘Masa’ yang telah dipinjamkan untuk beribadah kepadaNya sepenuh
hati, dalam mengharung hempasan badai godaan syaitan dan nafsu, untuk sampai
kepada Tuhannya dalam keadaan saling meredhai.
Innalillahi
wa’inna ‘ilaihi roji’un….
Sesungguhnya
kami milik Allah.
Dan
sesungguhnya kepadaNya kami akan kembali.
ZAFEERA
Imani ikut memejamkan kedua belah matanya, menggugurkan takungan air mata yang
sedari tadi tidak berhenti-henti keluar. Entah ayat apa yang dapat menghuraikan
belitan simpulan berbagai-bagai rasa yang sedang menggumpal di ruangan hati dan
fikiran kala ini.
Baru pagi tadi
mereka diijabkabulkan di pejabat agama, sebelum diraikan dalam majlis sederhana
yang penuh keberkatan, di rumah pihak pengantin lelaki. Ibu Azib, Che’ Masni
sendiri yang meminta untuk kenduri kahwin diadakan hanya di rumah mereka, untuk
tidak membebankan nenek Zafeera, memandangkan gadis itu hanya tinggal berdua
dengan neneknya di rumah pusaka peninggalan datuknya. Ayahnya merupakan anak
tunggal neneknya, manakala ibunya adalah seorang anak yatim piatu yang membesar
di rumah kebajikan. Zafeera Imani tidak mempunyai saudara-mara dekat yang lain.
Ibu, ayah, dan
adik perempuan Zafeera sudah meninggal dunia dalam satu nahas jalan raya
kira-kira 11 tahun yang lalu. Sewaktu Zafeera masih bersekolah di tingkatan 3.
Hilang habis keluarga terdekat dan tempat bergantungnya, direnggut panahan takdir
dalam sekelip mata.
Sejak itu,
neneknya, atau lebih mesra dipanggil ‘Tok Ma’lah, yang membesarkannya, menanggung keperluan dan
pengajiannya, sehingga dia berjaya mengenggam segulung ijazah sarjana muda
dalam salah satu bidang kesihatan bersekutu.
Zafeera
bertemu dengan Azib pada tahun pertama bekerja di sebuah hospital swasta
ternama di ibu kota di mana perkenalan tersebut akhirnya membawa kepada ijab
dan kabul, yang baru sahaja berlangsung pagi tadi. Belum cukup sehari semalam
pun, mereka bergelar suami isteri, Azib sudah dijemput kembali oleh Sang
Pencipta ke negara abadi.
Tanpa sebarang
masalah kesihatan, atau tanda-tanda yang boleh memberikan amaran awal. Azib
pergi, dalam pangkuan Zafeera.
Di luar, masih
riuh suara orang membuka dan mengangkut khemah ke atas lori. Pak Daud, ayah
Azib, ikut sibuk membantu apa yang patut. Manakala Che’ Masni juga ralit
bersembang dengan orang-orang kampung yang datang membentu mengemas periuk dan
kawah. Sedikitpun mereka tidak sedar, satu-satunya anak tunggal mereka sudah
kembali ke Rahmatullah, dalam pangkuan menantu perempuan mereka.
Dan, tiada
sesiapa pun yang berada di situ pada malam itu menyedari, akan kelibat seekor
makhluk aneh berkepala tiga, dengan tubuh seakan-akan cicak besar, sedang
merangkak keluar dari tingkap bilik pengantin, menuju ke atap rumah, sebelum
menghilang seperti asap yang perlahan menyatu dengan udara.

No comments:
Post a Comment