Bab 12
“ABANG Qasy!!”
Zafeera
langsung terbangun dari baringnya. Air mata yang membasahi wajah diseka. Peluh
yang merenik di dahi juga disapu. Tangannya spontan memegang dada. Berdentum-dentum
jantungnya di dalam. Berdebar kencang.
Zafeera
berkalih ke arah Ida yang sedang berbaring di sebelahnya. Tidur gadis itu
kelihatan agak terganggu, mungkin dek jeritan Zafeera tadi. Ida memusingkan
badannya membelakangi Zafeera.
“Allah… aku
mimpi….” Keluhnya perlahan.
Wajahnya
diraup dari dahi ke dagu.
“Astaghfirullahal’azim……
A’udzubillahi minassyaitonirrojim….” Ta’awuz dilafazkan.
Sejurus
kemudian Zafeera mengisyaratkan ludahan ke sebelah kirinya sebanyak tiga kali.
Termenung sekejap dia di katil, sebelum bangun berdiri. Menonong dia menuju ke almari
bukunya mencari sesuatu. Kemudian dia menarik keluar sebuah buku nota.
Diselaknya helaian tersebut perlahan. Sehingga terpampang lakaran wajahnya
sendiri di satu helaian tersebut. Lukisan yang dilakar Aqasy.
Memang situasi
yang dimimpikan tadi pernah berlaku… tapi bukan berakhir dengan pergaduhan dengan
Hilal atau kecederaan Aqasy. Hanya Khaliq yang menyertai mereka kemudiannya. Kepala
Zafeera tergeleng perlahan. Dalam tak sedar, air matanya mengalir lagi.
Tangannya terasa menggeletar.
“ASSALAMMUALAIKUM
warahmatullah….”
Tangan
kanannya meraut wajah setelah salam diberi. Zafeera langsung bersolat sunat tahajud
setelah terjaga dari tidur tadi. Sekarang hatinya terasa lebih tenang. Tidak
lagi berkocak hebat dengan rasa takut seperti tadi. Kedua tangannya ditadah
untuk berdoa. Tidak semena-mena, air matanya gugur lagi.
“Ya Allah…
Tuhanku yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang… Engkaulah sebaik-baik Penjaga
dan Engkaulah Sebaik-baik Pelindung… Engkaulah Tuhan yang Maha Mengampuni, dan
Engkaulah yang lagi Maha Mengetahui….” Rintihnya dengan suara serak.
“Aku memohon
kepadaMu dan kekuasaanMu ya Allah… lindungilah abang Aqasy dari sebarang
kecelakaan dan perkara-perkara yang buruk… sembuhkanlah sakit di tubuhnya wahai
Maha Menyembuhkan… dan kurniakanlah kepadanya kesihatan yang baik…
Panjangkanlah umurnya dalam keberkatan ya Allah… dan baikilah ibadahnya dan
jadikanlah dia hambaMu yang lebih baik… Aamin ya Mujib….”
Bait-bait doa
yang tadinya dibisikkan ke bumi semasa bersujud, diulang -ulang lagi sehingga
hatinya berasa puas. Sehingga hatinya berasa tenang, meletakkan Ahmad Aqasy
dalam perlindungan Rabb-nya.
Tidak lupa
juga dia mendoakan orang-orang tersayangnya yang telah kembali ke hadrat Ilahi.
Mudahan mereka ditempatkan bersama golongan orang beriman.
BEBERAPA
minggu berlalu dengan agak tenang setelah pemergian Tok Ma. Hilal juga tidak
sering menganggu Zafeera seperti selalu, hanya sesekali dia datang ke rumah
membawakan makanan untuk gadis itu. Selebihnya dia hanya bertanyakan khabar dan
keadaan Feera melalui panggilan telefon dan whatsapp.
Zafeera juga
sudah dapat perlahan-lahan menyesuaikan diri tinggal bersendirian, tanpa ada
Tok Ma menemani celotehnya setiap hari. Terima kasih juga kepada Aqasy. Khaliq,
dan Ida…., terutamanya Aqasy, yang bukan sahaja sentiasa menemaninya dan
membuatkan dia tidak berasa sendirian, bahkan juga tak berhenti-henti berusaha
menghiburkannya dengan macam-macam cara.
Ada sekali tu,
habis saja kuliahnya, dia tiba-tiba ‘diculik’ oleh beberapa orang siswi. Mereka
menutup matanya dengan blindfold dan membawanya ke bilik kelas kosong lalu
mendudukkannya di kerusi pejabat yang berhias cantik, siap dengan alas baldu
biru lagi. Entah alas meja mana mereka sapu. Sebaik didudukkan, muzik jazz
lembut yang beralun elegan dimainkan, persis seperti di lobi hotel mewah.
Kemudian
hampir lima orang pelajar melayaninya serentak. Ada yang mengurut-ngurut
bahunya, ada yang mengipas-ngipas dengan kipas tangan besar yang selalunya
digunakan sebagai hiasan ruang seni mereka, ada yang melakukan rawatan manicure
untuknya, siap ada perkhidmatan mesin foot bubble tub massage lagi.
Selang
beberapa minit selepas itu pula, Khaliq, Ida, dan dua orang lagi siswi beratur
sambil membawakan dulang makanan. Satu persatu makanan lazat dihidangkan
untuknya, termasuk hirisan buah yang disusun membentuk bunga besar dengan
bentuk hati kecil-kecil mengelilingnya. Sangat cantik dan menggiurkan.
Akhir sekali,
‘Chef Aqasy’ ikut keluar dengan memakai pakaian lengkap seorang chef, memberi
tunduk hormat kepadanya dan menjemputnya menjamu selera. Makanan-makanan
tersebut bagaimanapun dimaklumkan telah dipesan dari restoran berdekatan. Berair
mata Zafeera ketawa sepetang itu.
Pada kali yang
lain pula, sedang elok dia berjalan di ruang lobi mahu menuju ke tempat parkir
kereta usai kuliah, dia dikejutkan dengan sekumpulan siswa yang tiba-tiba menghalang laluannya dalam satu
formasi ala-ala boyband.
Dalam pada dia
terpinga-pinga dengan situasi tersebut, muzik rancak Bollywood ‘Koi Mil Gaya’
dari filem terkenal ‘Kuch-kuch Hota Hai’ dimainkan di pembesar suara ruang
lobi. Seraya itu juga pelajar-pelajar yang mengepungnya tadi mula menggerakkan
badan mengikut muzik. Mereka menari di situ!
Dan sudah
semestinya jugalah, tarian tersebut diketuai oleh Aqasy! Khaliq pula sibuk
merakam dengan telefonnya, kata mereka, adegan itu adalah rekaan konten yang
bakal dimuat naik ke dalam media sosial. Muka Zafeera tak pernah jadi semerah
itu seumur hidupnya. Malu amat!
Tetapi Aqasy
memang berjaya menghiburkannya. Mengekeh dia ketawa melihat keletah lelaki itu
menari Bollywood. Entah bila dihafalnya semua gerak tari tersebut. Adalah
sipi-sipi macam Shah Rukh tiruan. Yang lebih mengejutkan, hantaran konten
tersebut ke TikTok rasmi UTAF mencapai lebih dari 673.7 ribu likes dan
37.1 ribu repost! Hampir sama hebat dengan team influencer dengan
hashtag meddancersmy yang sedia popular dengan tarian lincah mereka.
Begitulah
gigihnya seniornya itu cuba menghiburkannya, sehinggalah ke hari mereka bertiga
membawanya ke pantai. Hari yang menjadi titik tolak yang membawa kepada satu
keputusan yang bakal merubah hidup seorang Zafeera Imani.
ANGIN
sesekali bertiup lembut, berselang seli dengan deruan ombak, melengkapkan
kedamaian pantai tersebut. Zafeera membetulkan hujung alas yang terselak ditiup
angin, sebelum kembali memeluk lutut, menikmati keindahan pantai. Khaliq dan
Ida sibuk bertekak tentang siapa yang menjadi dalang sebenar dalam drama yang
mereka tonton bersama di tablet. Aqasy pula ralit melakar sesuatu di
pasir menggunakan ranting kayu yang didapatkannya entah dari mana.
Zafeera
kemudian bangun menghampiri lelaki itu.
“Abang Qasy
lukis apa tu?” Soalnya sambil mengelilingi lakaran Aqasy dengan berhati-hati,
bimbang tidak sengaja merosakkannya.
Sebaik dia
sampai di bahagian pangkal lukisan, Zafeera terkesima. Lakaran tersebut adalah
lakaran wajahnya. Dilukis dengan begitu cantik sekali. Seakan-akan diloret di
atas kanvas. Zafeera berpaling ke arah Aqasy. Lelaki itu hanya tersenyum sambil
mengangkat kening.
“Abang Qasy…
cantiknya…” Pujinya ikhlas, benar-benar kagum.
“Eh, Feera
ni.. malulah abang Qasy Feera puji macam tu.. Abang Qasy memang cantik semula
jadi…” Ujarnya sambil membetul-betulkan rambut.
“Ish..
abang Qasy ni… orang betul-betul…dia main-main…” Sungut Zafeera geram. Kalau
diikutkan hati memang sudah diketam isi lengan lelaki itu.
“Cantik?”
Tanya Aqasy.
Zafeera
menjawab dengan anggukan.
“Feera suka
lakaran ni?” Soalnya lagi.
Sekali lagi
Zafeera mengangguk.
“Feera suka
abang Qasy?” Sekali lagi Zafeera mengangguk laju, sebelum tiba-tiba terhenti.
Wajahnya merona merah.
Aqasy tergelak
nakal.
“Abang
Qasy..?” Soal Zafeera pula.
Aqasy yang
masih menyisakan tawa memandang Zafeera dengan mata bulat.
“…suka Feera?”
Sambung Zafeera lagi.
Wajahnya cuba
dikawal seselamba yang boleh. Debaran di dada sendiri cuba dipujuk rentaknya. Serius,
kalau kepalanya macam patung Lego, pasti sudah dicabut dan disembunyikan
di belakang punggungnya ketika ini.
Aqasy menelan
liur. Barangkali tidak menjangka Zafeera boleh menjadi seberani itu. Namun
dijawabnya juga soalan itu, sepatah-sepatah.
“…….sangat… sangat..”

No comments:
Post a Comment