Sunday, October 18, 2026

Jengkalak (Bab 3)

 


Bab 3

“Alhamdulillah… wangi dah Tok Ma…” Tegur Ida. Tangannya masih mengemas-ngemaskan alas tilam yang menjadi tempat baring wanita tua itu.

Zafeera tersenyum manis kepada neneknya yang terbaring lemah. Beberapa bulan kebelakangan ini kesihatan wanita itu merosot dengan teruk. Ada masa dia seakan sudah tidak mengenali Zafeera lagi. Terkebil-kebil memandang gadis itu dengan riak hairan. Butir bicaranya juga sudah tidak dapat ditangkap dengan jelas oleh Zafeera, dan Ida, pembantu yang diupah Zafeera untuk menjaganya semasa Zafeera bekerja.

Anggota tubuhnya juga begitu lemah sehingga dia tidak mampu walau untuk berkalih ke sisi sendiri. Semuanya terpaksa dilakukan oleh Zafeera dan Ida. Zafeera sendiri sudah pasrah dengan keadaan neneknya. Memang dia sentiasa menjaga posisi baringannya untuk mengelakkan luka tekanan, memberi minum melalui tiub, menukar tiub kencing, memeriksa tekanan darah dan paras gula, bahkan melakukan Fisioterapi untuk Tok Ma. Tetapi hukum alam tetap menetapkan kondisi wanita tua itu semakin memburuk, seiring dengan peningkatan usianya. Kalau tak salah, sudah mencecah 92 tahun usianya ketika ini.

“Ida balik dulu, kak Zaf.. jumpa esok.” Suara Ida memecah lamunan sejenak Zafeera.

“Yelah, InshaAllah… elok-elok bawa motor tu…” Pesan Zafeera.

Zafeera sememangnya lebih senang dipanggil Zaf, berbanding Feera. Panggilan nama Feera hanya mengingatkannya kepada arwah suaminya, dan zaman mudanya yang penuh keceriaan dan kehangatan. Tak seperti sekarang, dingin…, dan sunyi….

“Feera sayang Tok Ma sangat-sangat…” Ujarnya perlahan sambil mengucup lembut dahi neneknya yang sudah hanyut dibuai lena.

Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kecil dicapai sebelum tubuhnya direbahkan di sofa yang terletak tidak jauh dari katil neneknya. Jarinya menekan-nekan skrin telefon sambil merehatkan tubuh seketika sementara menunggu azan Maghrib.

Perbualan Whatsapp abang Khaliq dibuka dan gambar-gambar yang dihantar lelaki itu melalui aplikasi tersebut ditatal satu-persatu. Teringat pula perbualannya dengan Khaliq petang tadi.

“Abang Khaliq.” Panggil Zafeera.

“Hmm?” Sahut Khaliq, sambil memberikan perhatian kepada juniornya itu.

“Kenapa dengan abang Qasy tu? Lain macam sangat hari ni? Selalu tak macam tu pun?” Soal Zafeera tanpa berselindung.

Khaliq tergelak kecil. Mata mereka berdua spontan mengawasi pergerakan Aqasy yang sedang mendapatkan aiskrim di gerai jualan untuk mereka bertiga.

“Kenapa? Feera tengok, lain macam mana?” Soal Khaliq semula, sengaja menduga.

“Alaa. Abang Khaliq ni.. sajalah tu…” Omel Zafeera, geram.

Khaliq buat muka nakal sebagai respon.

“Yelah, selalu tu mana bercakap pun dia dengan Feera. Jangan kata zaman study dulu, sejak masuk sini tahun lepas pun, tak lebih 10 patah tau dia bercakap dengan Feera.” Jelas Zafeera.

“Jangan kata tak bercakap, pandang pun tidak selalunya. Ini, hari ni, bukan setakat terlebih ramah… macam…” Luahannya terhenti seketika. Tercari-cari ayat yang sesuai untuk menyambung bicara.

“Macam….?” Potong Khaliq.

“Macam jatuh hati dengan Feera? Mengurat Feera?” Sambungnya sambil tersengih nakal.

“Ish, abang Khaliq ni….” Sungut Feera geram.

Warna merah mula menyapa kedua belah pipinya. Sudah lama dia tidak berasa begitu. Sejak… Azib meninggalkannya.

“Ya ke selalu dia tak pandang Feera?” Soal Khaliq tenang.

“Hmm?” Sahut Feera spontan, pandangan ditumpukan kepada Khaliq.

“Emm… kejap.” Khaliq tiba-tiba menyeluk saku dan mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Haa… ada, nanti Feera tengok tau whatsapp abang Khaliq.” Ujarnya kemudian, dengan suara separuh berbisik, apabila Aqasy sedang menghampiri mereka berdua.

“Nah ambil aiskrim masing-masing cepat…! Nak cair dah ni.” Ujar Aqasy sambil menghulurkan aiskrim kepada mereka berdua.

Zafeera terus menyambut aiskrim di tangan lelaki itu sebelum menyedut bahagian yang hampir meleleh.

Aqasy tersenyum manis melihat keletahnya.

“Hmm…habis cair dua-dua…” Sungutnya perlahan.

“Eh? Feera tengok aiskrim abang Qasy dengan abang Khaliq ok je, tak meleleh pun lagi.” Sahutnya spontan.

“Ha’ah… aiskrim tak cair…, hati yang cair…” Spontan Aqasy berseloroh sambil buat muka comel.

Terkulat-kulat gadis itu memandangnya.

 

“HAA… Hmmm…” Tok Ma tiba-tiba bersuara dalam tidur, sekaligus mematikan lamunan Feera tentang kejadian petang tadi.

Dijenguknya sekejap neneknya yang masih nyenyak tidur. Kemudian difokuskan semula pandangan ke arah gambar-gambar di telefon. Tersenyum sendiri dia melihat wajah masing-masing waktu zaman muda. Sememeh betul sorang-sorang! Tapi, dalam ramai-ramai tu, memang Aqasy yang paling kacak. Ini memang kenyataan. Lelaki itu menjadi igauan ramai gadis di kolej pada zaman itu. Sekarang pun sama juga. Tak berubah kacaknya. Semakin bertambah adalah.

Cumanya, lelaki itu memang terkenal dengan sikap pendiamnya. Dengan rakan lelaki pun, hanya yang betul-betul rapat sahaja dia ramah berbual. Apatah lagi dengan perempuan. Bertuahlah nak dapat dengar suara emas tu. Sekarang pun masih sama sebenarnya. Sebab tu lah Feera rasa aneh sangat dengan lelaki itu hari ini. Tiba-tiba je…

Eh, kejap…

Gambar di telefon dibesar dan dikecilkan berulang kali dengan kedua jari telunjuk dan ibu jari. Kemudian gambar lain ditatal, juga dibesar dan dikecilkan. Hampir kesemua gambar diamatinya dengan begitu teliti.

Kebanyakannya adalah gambar berkumpulan mereka, senior-junior sewaktu menjalani program-program anjuran universiti dan anjuran khusus bidang mereka. Tetapi dalam semua gambar itu.. kelihatan jelas Aqasy sedang memandang ke arah Feera sambil tersenyum manis.

Ada yang kepalanya ikut bertoleh, ada yang hanya matanya sahaja yang melirik, tapi boleh dikatakan dalam semua gambar tu, Aqasy sedang memandang ke arahnya, sewaktu orang lain semua memandang kamera. Hanya Aqasy seorang sahaja yang tidak memandang kamera, sebaliknya memandang Feera.

Zafeera terbangun dari baringannya.

Apa maksudnya ni……?

 

“HAAAA…!! Haaaa….!!” Tok Ma tiba-tiba bersuara kuat, mengejutkan Zafeera.

Zafeera memegang dada. Tadi berdebar sebab lain. Sekarang berdebar terkejutkan Tok Ma pula. Bingkas dia bangun untuk mendapatkan Tok Ma.

Serentak itu juga tiba-tiba bunyi puluhan ekor cicak berdecit kuat merata-rata di siling rumah.

“Tap!”

Bertepatan dengan detik itu juga elektrik terpadam. Seluruh rumah berada dalam keadaan kelam.

Gelap. Gelemat.


No comments:

Post a Comment