Bab 4
LANGKAH
Zafeera termati seketika.
“Kejap,
kejap Tok Ma… Feera datang ni…” Ujarnya cuba menenangkan diri sendiri.
Tok Ma masih gelisah
dan bersuara kuat di katil. Kelam kabut Feera meraba telefon di tangannya, cuba
menghidupkan lampu.
“Tingg!!”
Serentak itu
juga telefonnya berbunyi, menandakan ada mesej yang masuk.
“Keletuk!”
Spontan
telefonnya terlepas dari tangan lalu berdetak jatuh ke lantai. Terkejut.
Pantas dia
menunduk dan meraba mendapatkan kembali peranti tersebut dalam kelam. Sebaik
sahaja telefon berada dalam genggamannya, sesuatu yang panjang, kesat, dan
panas berlendir membelit pergelangan tangannya.
“Ahh!!!”
Jeritnya terkejut.
Serta-merta telefon
yang berada dalam genggaman terlepas dari pegangan.
“Ahhh!!
Aaahhh!!” Jeritnya lagi sambil meronta-ronta cuba melepaskan tangannya dari
belitan entah makhluk apa tersebut.
“Cek! Cek!
Cek!”
“Kek! Kek!
Kek!”
Decitan
puluhan cicak juga semakin galak di siling, bagaikan sedang bersahutan antara
satu sama lain.
“Allahh!! Ya
Allah….!!!” Pekik Zafeera yang semakin tertekan dengan suasana tersebut.
Laksana gentar
akan kesucian kalimah tersebut, mendadak belitan aneh tersebut lepas dari
pergelangan tangan Zafeera.
Cepat-cepat
gadis itu mencapai telefon pintarnya lalu menekan butang lampu. Spontan
dihalakan ke arah bawah katil, menjagkakan akan kelibat seekor ular atau
binatang yang sewaktu dengannya. Tetapi tidak kelihatan apa pun di situ,
melainkan kesan basah berlendir berwarna hitam berkeladak serta berbau busuk.
Membuktikan bahawa Zafeera tidak berhalusinasi sendiri sebentar tadi. Memang
ada sesuatu di dalam rumah mereka.
Dalam masa
yang sama, tanpa disedari sesiapa pun, seorang lelaki sedang berdiri tegak di seberang
jalan berhadapan dengan rumah pusaka tersebut. Kedua belah tangannya digenggam
rapat, sambil mulutnya laju terkumat-kamit membacakan sesuatu.
PADA
masa yang sama di rumah bujang Aqasy dan Khaliq…
“Prangg!!”
“Allahu
Akbar!”
Khaliq
berkeluh, terkejut dengan deraian kaca dari pinggan yang dijatuhkan sendiri.
Terlepas dari pegangan tangan.
Perlahan dia
mencapai penyapu dan penyodok di sudut dapur. Serpihan kaca tersebut
dibersihkan dengan berhati-hati, memastikan tiada sisa yang boleh menikam kaki.
Sejurus kemudian langkah diatur menuju ke tangga. Ditapaknya satu persatu anak
tangga tersebut dengan hati yang rasa memberat.
“Kriekk….”
Pintu bilik
tidur Aqasy ditolak perlahan. Aqasy yang sedang duduk di atas sejadah sambil
memegang telefon berkalih separuh.
“Aku rasa tak
sedap hati, Khal.” Ujarnya perlahan.
Khaliq
menghembus nafas perlahan. Faham akan situasi tersebut.
“Kau nak mula
zikir?” Soalnya ringkas.
Aqasy
mengangguk perlahan. Hantaran whatsappnya kepada Zafeera bertanyakan
keadaan gadis tadi direnung. Masih belum berbalas. Telefon pintar di tangan kemudian diletakkan
di tepi dan tasbih yang terletak di atas rehal di sebelah Qurannya dicapai. Khaliq
ikut mengangguk sebelum melangkah menuju ke bilik air bagi mengambil wudhuk,
bersiap untuk menyertai sang sahabat di sejadah.
SEMENTARA
itu di rumah pusaka Tok Ma…
“Arghhh…!
Haaa…! Aaaahh!” Tok Ma masih meronta di katil. Bergoyang-goyang katil
pesakit jenis boleh laras tersebut.
Bingkas
Zafeera berdiri untuk menenangkan Tok Ma. Seraya itu juga nafasnya terhenti. Seluruh
sistem tubuhnya juga bagai turut terhenti. Terbuntang kedua belah biji matanya
melihat apa yang terbentang di depan mata.
Zafeera nampak
dengan jelas, seekor makhluk aneh lagi amat mengerikan, sedang menghempap tubuh
lemah Tok Ma yang terlantar tidak bermaya. Bahagian badan makhluk itu persis
seperti seekor cicak besar, cumanya, kulitnya kelihatan sangat bergerutu,
hinggakan ada gerutuan jijik tersebut kelihatan pecah dan mengeluarkan cecair pekat
yang begitu hanyir baunya.
Keempat-empat
tapak kakinya terbuka kembang dan melekap kejap di atas alas baringan Tok Ma.
Manakala kepalanya pula berpecah tiga, dengan setiap satunya kelihatan amat
mengerikan dengan cara masing-masing yang tersendiri!
Kepala di
bahagian kiri terlihat menyeringai bak seekor mawas berbulu tebal yang ganas dengan
gigi bawah yang tajam dan berlengkung meruncing ke atas. Manakala kepala di
bahagian kanan kelihatan persis seekor biawak yang sangat hodoh dengan tanduk
kecil di hujung hidung seperti sumbu seekor badak.
Kepala yang
berada di bahagian tengah pula adalah yang paling besar antara ketiganya, juga paling
mengerikan pada pandangan mata Zafeera. Bentuk dan wajahnya tak tumpah seperti seorang
manusia yang berkulit hitam pekat dan dilumuri minyak berlendir. Kedua belah
bola matanya mengeluarkan warna merah menyala yang terang seakan berlampu.
Apa yang lebih
menggerunkan adalah rahangnya terbuka luas sambil mengeluarkan bunyi yang
membingitkan telinga, dengan lidah bercabangnya terjulur keluar dan melekap rapat
di bahagian dada Tok Ma.
Lidah itu!
Lidah itulah yang membelit pergelangan tangan Zafeera tadi. Bukan seekor ular
sesat seperti yang disangkakan.
Zafeera
berdiri kaku. Tidak mampu bergerak hatta seinci pun. Dadanya serasa mahu pecah
melihat apa yang terhidang menjadi santapan mata kala ini.
Allah…bantu
aku…!

No comments:
Post a Comment