Tuesday, October 20, 2026

Jengkalak (Bab 5)


Bab 5

“ALLAHU Akbar….Allahu Akbar….!”

Laungan azan dari surau yang tidak jauh dengan rumah pusaka Tok Ma berkumandang gah di udara, seakan-akan segerombolan tentera Allah yang dihantar untuk membantu hambaNya yang sedang dalam kesulitan.

Serentak seruan azan yang bergema membelah langit senja di kampung itu, lidah makhluk mengerikan tersebut yang melekap kejap di dada Tok Ma spontan bergulung masuk kembali ke dalam rahangnya yang luas ternganga dalam kiraan kurang sedetik. Bersamaan itu juga, ketiga-tiga kepala makhluk itu mengeluarkan bunyi aneh seolah-olah sedang mengerang kesakitan lantas melompat melekap ke dinding sebelum merangkak laju di siling, melarikan diri dari rumah tersebut.

Beberapa saat kemudian barulah Zafeera kembali bernafas. Segera diterpanya Tok Ma di pembaringan, namun sebaik kaki kanannya melangkah setapak ke depan, langsung dia jatuh terjelepuk di lantai. Lemah lembik kedua belah kakinya tak dapat menampung berat badannya sendiri.

Terketar-ketar kedua belah tangannya berpaut pada pagar penghadang, mencuba sedaya upaya untuk berdiri mendapatkan Tok Ma. Luruh gugur air matanya melihat seraut wajah bersih Tok Ma sedang tersenyum tenang kepadanya. Sesaat kemudian, sepasang mata tua itu tertutup perlahan-lahan…

“Tok… Ma….?” Panggil Zafeera perlahan.

Meskipun seluruh dirinya dari hujung rambut sampai hujung kaki cuba menafikan sekeras-kerasnya, namun jauh di sudut hatinya dia tahu apa maksud situasi ini.

Kematian…

Ya, dia telah kehilangan Tok Ma, peneman hidupnya yang sebatang kara di dunia yang fana ini. Tiada lagi mereka yang bergelar ahli keluarganya, orang kesayangan kepunyaannya…

Tamat sudah tempoh pinjaman Allah ini kepadanya…

Dan sakitnya sama seperti waktu dia kehilangan Azib 12 tahun yang lalu… juga ibu bapa dan adik perempuannya 22 tahun yang lalu…

“Allahhh….!” Erangnya penuh rasa sakit.

Terjelepuk kedua belah lututnya di lantai. Tangannya mendakap erat tubuh Tok Ma yang kaku tidak bergerak. Terhinggut-hinggut jasad tersebut menahan esak tangis sang cucu yang ditinggalkan sendirian.

Tok Ma tinggalkan Feera dalam jagaan Allah, sayang….

 

HAMPIR 10 minit juga Zafeera tenggelam dalam kesedihan sambil memeluk erat tubuh neneknya. Terasa bagaikan tidak mahu dilepas pergi, tidak mahu ditinggal sendirian. Tetapi apakan daya, sudah menjadi aturan…

Seketika kemudian dia terduduk memeluk lutut di samping katil arwah Tok Ma. Air mata dan air hidung yang masih belum mahu berhenti mengalir meski sudah reda, diseka  perlahan. Telefon bimbit yang terbaring di lantai hanya diperhatikan sepi.

“Trrr…! Trr….!!”

Peranti tersebut tiba-tiba bergetar sebelum mengeluarkan lagu panggilan. Zafeera masih merenung telefon tersebut seketika sebelum mencapainya lemah.

“He..hello….” Serak suaranya antara keluar dengan tidak.

“Hello, Feera…. Abang Hilal ada kat luar ni…, bawakan makanan untuk Feera dan ubat nenek…” Sapa suara di hujung talian.

“Abang… Hilal… sekejap… Feera datang…” Sambutnya tersangkut-sangkut.

Sedar tak sedar, dia berasa bersyukur dengan kehadiran lelaki itu, tepat di saat begini. Tubuhnya yang lembik bagai tidak bertulang dipaksa untuk berdiri melangkah menuju ke pintu. Beberapa kali juga dia kembali jatuh terjelepuk. Perjalanan menuju ke pintu depan terasa memanjang berkilo meter jauhnya. Longlai tapaknya diatur satu persatu, sehingga selak pintu berjaya dicapai.

Pintu dibuka perlahan sebelum dia sekali lagi terjelepuk jatuh di muka pintu. Kelam kabut Hilal melompat melangkah tembok pagar pendek separas pinggang yang mengelilingi ruang hadapan rumah tersebut.

“Eh?! Feera! Kenapa ni?!” Soal Hilal menerpa mendapatkan gadis itu.

Kedua belah bahu gadis itu dicengkam kejap, sejurus memapahnya masuk ke dalam rumah.

“A.. abang Hilal… Tok Ma.. dah tak ada…” Ujarnya tersekat-sekat.

Air matanya yang tadinya sudah berhenti mengalir, kembali membasahi wajah.

“Tok Ma?” Soal Hilal sepatah.

Didudukkan tubuh lemah itu di sofa lalu dia mendapatkan wanita tua yang terbaring di katil.  Dua jarinya ditekan perlahan di bahagian urat nadi di leher Tok Ma. Kemudian diperiksa pula urat nadi di pergelangan tangan wanita tua itu. Sejurus kemudian kepalanya digelengkan perlahan.

“Feera.., dah call klinik untuk pengesahan kematian?” Soalnya perlahan.

Punggungnya dilabuhkan di sofa, mengambil tempat di sebelah gadis tersebut. Zafeera menggelengkan kepalanya lemah. Hilal merenungnya simpati. Tangannya mengusap lembut pipi Zafeera. Kemudian dia merapatkan badannya ke tubuh gadis itu, dan merangkulnya dalam pelukannya. Zafeera tahu perbuatan ini salah di sisi agama, dan tidak patut dibiarkan. Namun, tenaganya langsung tiada untuk menggerakkan tangan, jauh sekali untuk menolak tubuh sasa lelaki itu.

“Feera, Feera tak sorang-sorang tau… abang ada dengan Feera..” Ujarnya lembut. Belakang tubuh gadis tersebut diusap perlahan.

Seluruh hati Feera meronta mahu dilepaskan, tapi tubuhnya langsung tidak mahu bergerak mengikut arahan.

Hilal kemudiannya menjarakkan sedikit wajahnya dari gadis itu. Kemudian, dengan tidak semena-mena, dia merapatkan bibirnya ke wajah gadis tersebut, persis cubaan untuk mengucupnya.

“Trrr…! Trrr…!!”

Telefon bimbit di dalam genggaman Zafeera tiba-tiba bergetar, lalu membunyikan lagu panggilan. Serta-merta Zafeera menjarakkan dirinya dari lelaki itu seraya menjawab panggilan.

“Hello… assalammualaikum… Ida… Ida… Tok Ma… Tok Ma dah tak ada Ida…” Rintihnya sayu.

Hilal hanya mendiamkan diri di sofa, mendengar perbualan gadis itu.

“Ya… ok… terima kasih Ida.. waalaikumsalam…” Ujarnya menamatkan perbualan.

Sejurus mengerling jam di skrin telefon, Zafeera bersuara perlahan.

“Maghrib… Feera.. tak Maghrib lagi…” Ujarnya pada Hilal.

“Tak apa… nanti qadha lah...” Balas Hilal.

Zafeera menggelengkan kepala tanda tidak mahu. Serentak itu juga dipaksa tubuhnya bangun menuju ke bilik. Pintu bilik dikunci kemas sebelum melangkah menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk.


 

No comments:

Post a Comment