Wednesday, October 21, 2026

Jengkalak (Bab 6)

 


Bab 6

“JANGAN putus zikir Qasy..!” Seru Khaliq keras.

Tubuh Aqasy yang sedang mengerekot menahan sakit dengan kedua tangannya mencengkam baju di bahagian dada, dipangku cermat. Alunan ayat suci al Quran kembali dilantun di bibir dengan penuh keyakinan bahawa Allah Subhanahuwata’ala akan membantu mereka. Bibir Aqasy sendiri ikut terkumat-kamit mengulang-ulang zikir, diselang dengan erangan sakit.

Hampir 3 minit.

Itu tempoh untuk kali ini. Hampir 3 minit dia diserang rasa sakit yang maha dahsyat di bahagian dadanya. Sakit yang sering datang dan pergi sejak beberapa tahun yang lalu. Serangan yang hampir bertambah hebat dan meragut nyawanya, setelah kematian adik kandung perempuannya, Nour Aqish.

Aqish meninggal dunia pada tahun ketiga perkahwinannya dengan Hilal. Kematiannya masih menjadi misteri yang tidak dapat dirungkai oleh sains perubatan moden. Aqish yang sedang hamil trimester kedua pada ketika itu ditemui meninggal dunia di rumah kelamin mereka di Kuala Lumpur. Apa yang menyedihkan adalah tubuh wanita itu ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati.

Bahagian perutnya terkoyak terburai, seakan dirobek dengan kedua tangan yang berkuku panjang. Manakala janinnya tidak dapat ditemui hingga ke hari ini. Pihak forensik sendiri mengesahkan bahawa luka koyakan tersebut bukan disebabkan oleh alatan tajam seperti pisau, sebaliknya sesuatu yang tajam yang tidak dapat dipastikan apa.

Ruangan di dalam rumah pula ditemukan dalam keadaan berantakan, seperti telah berlaku pergelutan, namun tiada tanda-tanda pecah masuk dapat dikenal pasti. Siasatan telah dijalankan, bahkan keluarga terdekat Aqish termasuk suaminya Hilal dan Aqasy sendiri telah disoal siasat namun menemui jalan buntu. Kes tersebut ditinggal tergantung tanpa sebarang kesimpulan.

Keraguan ada bermain di mindanya, namun Aqasy sendiri tidak dapat menemukan apa-apa bukti. Aqasy akhirnya mengambil keputusan untuk mendalami ilmu perubatan Islam, dengan disertai oleh sahabat karibnya, Khaliq. Dengan izin Allah, sejak beramal juga tubuh Aqasy menjadi lebih kuat dan ampuh dalam menangkis serangan mistik yang berlaku kepadanya.

Serangan demi serangan yang sepatutnya sudah lama merenggut nyawanya mengikut hukum alam, bagaimanapun mampu ditahan tubuhnya. Doktor sendiri tidak dapat mengenal pasti punca kesakitan yang dialami oleh Aqasy. Laporan perubatan menunjukkan jantungnya berada dalam keadaan sangat baik untuk tubuh lelaki muda sepertinya. Kebarangkalian untuk mendapat penyakit jantung, atau serangan jantung juga adalah sangat rendah.

Namun kesakitan itu tetap datang dan pergi. Biarpun begitu, akhir-akhir ini serangan-serangan tersebut terasa semakin hebat, dan tubuh Aqasy terasa bagaikan tidak mampu lagi untuk bertahan. Aqasy merasakan seolah-olah masanya akan sampai tidak lama lagi.

Sebab itulah dia mahu menunaikan hajatnya yang terakhir. Menyelamatkan Zafeera Imani. Dan juga meluahkan perasaannya kepada gadis itu. Cinta pertamanya, dan cinta matinya. Satu-satunya gadis yang pernah masuk ke dalam hatinya, dan berkeras untuk tinggal menetap di situ. Biar saban tahun berganti di alam dunia. Tiada lagi gadis lain yang mampu menembusi ruang hatinya sejak itu. Hanya Zafeera Imani.

Ancaman kematianlah yang berjaya mengubah sikap dan sifat seorang Aqasy. Dari seorang pendiam dan langsung tidak pandai dan tidak mahu bergaul dengan wanita. Kepada seorang pemuda nakal yang tiba-tiba berubah watak kepada sang gadis.

Aqasy tahu semua perkembangan Zafeera. Dia juga tahu mengenai kematian suami Zafeera di hari pertama perkahwinannya, yang mana menguatkan lagi andaiannya tentang semua perkara yang telah berlaku. Yang mana jika tidak salah perkiraaannya, nyawa gadis itu berada dalam bahaya sekarang.

Itulah misi hidupnya sekarang, dengan Khaliq yang setia menemaninya di sisi. Khaliq, sahabat karibnya yang patah hati setelah tulus mencintai adiknya Aqish, yang akhirnya memilih Hilal sebagai teman hidup. Akan mereka perjuangkan keadilan untuk Nour Aqish, dan akan mereka selamatkan Zafeera Imani, dengan izin Allah Azza wa jalla.

“Allah….” Erang Aqasy perlahan.

Sakit di dadanya sudah mereda. Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah.

“Makin teruk ni, Qasy…” Ujar Khaliq perlahan. Matanya bergenang.

“Aku oklah…” Balas Aqasy yang masih lemah. Ditepuknya bahu sang sahabat perlahan.

Ini siapa yang kena pujuk siapa ni. Tak aci betullah…

Aqasy tersenyum simpul sendiri.

“Dia ni kan, boleh tersenyum-senyum pulak dah… kau jangan macam-macam Qasy.” Ujar Khaliq cuak.

“Oi! Aku belum nak mati lagi lah..” Sangkal Aqasy laju. Hampir tergelak dia melihat wajah cuak Khaliq.

“At least bagila aku ungkap kata-kata cinta dekat Feera dulu…” Usiknya lagi sambil tergelak kecil. Tangan kanannya masih mengusap-usap bahagian dadanya perlahan.

“Eh, Feera, Khal.” Sambungnya, tiba-tiba teringat sesuatu.

“Ok, ok, aku call dia.” Balas Khaliq pantas.

 

“WAALAIKUMUSSALAM….” Jawab Zafeera sebelum mematikan panggilan telefon.

Khaliq yang barusan menghubunginya. Mereka berdua berjanji untuk datang menziarahnya pagi esok dan membantu urusan pengebumian. Sedikit sebanyak Zafeera bersyukur ke hadrat Ilahi, kerana menghantarkan bantuan demi bantuan kepadanya walaupun dia telah ditinggal sebatang kara di dunia ini.

Baru sebentar tadi dia merenung kosong telefon pintarnya, berfikir-fikir siapa lagi yang patut dihubungi untuk memaklumkan berita kematian Tok Ma. Siapa sahaja yang dia ada? Ibu mertuanya, Che’ Masni sudah pun mengikut jejak langkah arwah suaminya Azib, setahun selepas kematiannya. Barangkali terlalu makan hati dengan pemergiannya. Ayah mertuanya, Pak Daud pula telah meninggal dunia akibat wabak Covid beberapa tahun lalu. Dia juga tiada ipar duai memandangkan Azib adalah anak tunggal. Tiada siapa lagi miliknya di dunia ini.

Akhirnya dia hanya menghubungi pihak universiti dan beberapa orang rakan rapatnya. Jiran-jiran sudah pun sampai bersama Ida tadi, serentak dengan kakitangan klinik untuk membuat pengesahan kematian. Lega juga dia, setelah Hilal tiba-tiba bertingkah aneh dengannya tadi.

Spontan Zafeera teringat semula apa yang berlaku sebentar tadi. Bulu roma di bahagian tengkuknya merinding.

“Kenapa abang Hilal macam tu…?” Soalnya sendiri.

Bayangan kenangan lalu mula berputar di kotak memorinya.


No comments:

Post a Comment