Thursday, August 7, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 6)

 


Bab 6

PAGI itu awal-awal lagi Pak Teruna dan Mak Kesuma sudah berangkat ke bandar. Khabarnya kereta mereka juga sudah hampir siap dibaiki. Mungkin mereka dapat menggunakannya untuk pulang setelah percutian ini tamat nanti.

Mereka bersepakat membuat keputusan untuk berehat di homestay sahaja pagi itu. Lana juga masih belum pulih sepenuhnya dari kejutan malam semalam. Mujurlah dia tidak diserang demam. Mungkin petang nanti mereka boleh cuba bersiar-siar di kawasan air terjun terkenal yang menjadi agenda utama mereka, sekiranya keadaan Lana bertambah baik.

Tiada siapa pun yang mempersoalkan kejadian demi kejadian pelik yang menimpa mereka hari itu. Mungkin masing-masing hanya mahu cuba melapangkan fikiran sekejap dari semua perkara yang merunsingkan, dan berharap gangguan aneh itu tidak berlarutan. Sekurang-kurangnya mereka semua masih dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Lana betul dah ok ni?” Soalnya pada si tunang yang ikut bersila bersama-sama mereka yang lain, mengelilingi hamparan kad permainan keluarga, Saidina.

“Ok..., Alhamdulillah... kan abang dah jampikan semalam.” Sengihnya nakal.

“Oo... hari ni pandai bergurau. Semalam macam nak terjojol dah biji mata tu tengok tingkap.” Bebel Harris sendirian dalam hati, enggan mengulang sebut kejadian semalam.

Bimbang emosi dan semangat gadis itu kembali terganggu.

“Ye ke ni... risau abang semalam tau.” Ujarnya dengan nada mengusik.

“...risau kena peluk dengan Lana.” Sambungnya sambil tersengih mengada.

“Eee... perasan. Tak ingin orang nak peluk dia.” Tingkah Lana dengan muka merah padam.

“Hish...macam mana dia boleh tau ni. Ada timbul kat dahi keee....” Jerit Lana dalam hati, menghambat rasa malu.

“Eleh... sikit lagi je Lana nak peluk abang semalam kan...kan...” Balas Harris, masih mahu menyakat.

“Hish.... orang ni kan... haa.. karang ada jugak kena backhand ni karang...” Gumam Lana sendirian, geram apabila rakan-rakan yang lain ikut mengetawakannya.

“Mana aci....semalam tu sebab nampak Cik Cong kut...” Tukasnya lagi. Namun masih hanya bergema dalam hati sendiri.

Lana menelan liur sendiri. Tiba-tiba teringat imej makhluk mistik yang dilihatnya semalam. Serta merta bulu romanya berdiri tegak.

“Ah sudah-sudah, tak payah nak berdrama kat sini. Karang aku kawinkan korang kat sini jugak karang baru tau.” Marah Hawa.

Cemburu pula melihat kemesraan pasangan itu. Sudahlah teman lelakinya tidak mengikut percutian mereka kali itu.

 

“WEHH...! Mana aci macam ni...kau main tipu niii.... dari tadi aku asyik masuk hotel kau jeee...! Dah berapa kali dah ni... bankrap la aku macam ni...” Pekik Amri tidak berpuas hati.

“Heyy...dia yang masuk...kita pulak yang salah. Dadu tu kau putar sendiri kann??” Balas Syu, tidak mahu mengalah.

“Entah kau Syu, aku pun malas lalu situ dah. Asyik kena je!” Ujar Wan, turut tidak berpuas hati.

“Muahahahaha...! Aku kayaa...! Aku kayaa...!” Laung Syu sambil mengipas-ngipas duit di wajahnya.

Riuh rendah suara mereka berbalah dan bergelak ketawa menikmati permainan tersebut bersama. Mujurlah Pak Teruna dan Mak Kesuma tiada di rumah. Entah saling mengurut dada orang tua berdua itu agaknya, jika mendengar hiruk pikuk keletah mereka yang mengalahkan anak-anak sekolah rendah itu.

“Lana... duit abang dah cukup ni, boleh dah kita nak buat kenduri ni.” Harris pula tak berhenti-henti sibuk menyakat tunangnya di sepanjang permainan.

Digemburkan duit Saidina di depan gadis itu dengan bangga. Picit kepala Lana dibuatnya.

“Eh kejap-kejap, korang tunggu ea, jangan jalan dulu. Aku nak pergi ambil air kejap. Dahaga dah.” Ujar Hawa sambil bangun beredar ke dapur.

“Ambilkan untuk aku sekali...!” Pekik Amri.

“Aku pun nak...!” Laung Wan pula.

“Order je pandai. Tolongnya tidak.” Sungut Hawa.

Dipunggahnya juga kabinet dapur, mencari dulang dan gelas.

Hawa mencangkung mencapai pintu kabinet dapur di bahagian bawah, setelah apa yang dicari tidak ditemui di bahagian atas.

Sebaik sahaja daun pintu tersebut terbuka luas, Hawa terkedu. Hidungnya serta merta terhenti dari berfungsi menarik dan menghembus nafas. Seluruh tubuhnya terasa keras membeku. Sekujur susuk berbungkus kain putih yang sedang mengerekot memenuhi ruang kabinet itu hampir sahaja menghentikan pengepaman jantung gadis itu secara mendadak.

Sikit lagi sahaja nak kena heart attack!

Dalam keadaan otaknya kosong dari sebarang perancangan kecemasan untuk melarikan diri, susuk itu tiba-tiba tergolek keluar dari kabinet, merapati kaki Hawa.

Apalagi, lintang-pukang gadis itu berlari dibuatnya.

“Arghhhhh....!”

“Buk!”

Baru sahaja suara jeritannya hendak meninggi, tersadung pula kakinya pada suatu objek. Menyembam juga gadis malang itu ke lantai. Berdebuk dahinya mencium mozek.

Hawa bingkas berkalih dari kedudukan meniarap, cuba mengenalpasti apa yang disepaknya tadi. Bulat matanya melihat hantu pocong terbaring tenang di lantai, benar-benar di hujung kakinya. Belum sepat dia sambung menjerit, rakan-rakan yang lain sudah sampai mengerumuninya.

“Allahu Akbar! Hawa!” Syu berteriak sambil mendapatkan Hawa yang masih terbaring di lantai dapur.

“Hawa! Hawa! Kau ok tak ni??” Wan dan Lana ikut sama menerpa ke arahnya dengan riak bimbang.

Macam mana pulalah kawan mereka yang seorang ni boleh tergolek kat sini.

Sedetik Hawa menoleh ke arah mereka secara spontan, sebelum kembali mengarahkan pandangannya kepada hantu bungkus tadi.

Tiada di situ!

“Tu..! Tadi....” Bersusah-payah Hawa memaksa mulutnya yang tiba-tiba terasa tebal dan kebas untuk bercerita tentang apa yang berlaku.

“Assalammualaikum.....”

Kata-kata Hawa terpotong oleh satu suara yang menyapa lembut. Serentak mereka semua menoleh ke arah pintu dapur. Kelihatan dua gadis ayu sedang tersenyum manis ke arah mereka. Atau lebih tepat lagi, dua gadis ayu dengan wajah yang sama. Benar-benar sama!

Baik dari perincian wajah dan rambut mereka, saiz tubuh dan ketinggian, bahkan pakaian mereka juga sama. Bukan itu sahaja, kedua-duanya benar-benar cantik mempesona. Aishwarya Rai dan Angelina Jolie pun boleh kalah!

“Assalammualaikum.....” Ulang gadis ayu yang seorang lagi, setelah dilihat tiada siapa pun yang menjawab salam pertama dari gadis berwajah serupa yang berdiri di sampingnya.

“Err... wa..alaikum...salam...” Perlahan-lahan salam mereka disambut oleh Harris dan Wan. Manakala mereka yang lain masih terkebil-kebil, terpana dengan keindahan wajah bidadari-bidadari di depan mata.

“Err... saya Kenanga..., ini kakak kembar saya Melati... kami datang untuk uruskan hidangan tetamu seperti pesanan Mak Kesuma...” Jelas si gadis ayu dengan begitu lemah lembut sekali.

Terkelip-kelip mata tujuh sekawan bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.

“Err... kamu semua tak apa-apa ke.. kenapa di lantai...?” Soal Melati pula. Bergemersik suaranya menyapa pendengaran mereka yang lain.

Agaknya kalau menyanyi ni boleh pengsan Dato’ Siti Nurhaliza.

“Err..ha’ah.. Hawa.. kau kenapa.. apa yang dah jadi...” Lana mula bersuara setelah tersedar dari pukauan kecantikan sang kembar.

Mereka yang lain juga mula berkalih dan memberikan tumpuan kepada Hawa. Hawa menelan liur.

“Err....” Dahinya yang terasa tebal berdenyut disentuhnya perlahan. Sakit.

“....Aku... aku jatuh....” Ujarnya perlahan. Masih berkira-kira sendiri untuk berterus-terang dengan rakan-rakannya tentang apa yang dilihatnya tadi.

“....Aku...terkejut kat cicak...” Sambungnya lagi. Membuat keputusan enggan menceritakan perkara sebenar di hadapan ‘orang luar’.

“Nantilah aku cerita kat diorang.” Fikirnya sendiri.

“Dah benjol dahi kau ni Hawa..” Tegur Wan risau. Dibeleknya bengkak di bahagian temannya dengan teliti.

“Ha’ah... lagi besar dari telur ayam Omega Gred A ni.” Sampuk Syu berseloroh.

“Buat terperanjat kitorang jelah kau ni.” Bebel si Shuk sambil membetul-betulkan rambut.

“Err... adik Kenanga dan Melati jangan risau ya. Kawan kitorang ni memang macam ni.” Ujar Shuk sambil tersengih-sengih. Perasan kacaklah tu.

Wan mengetapkan bibir sambil menjeling teman lelakinya.

Mentang-mentanglah diorang tu lawa...

Wednesday, August 6, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 5)

 


Bab 5

SHUK terjinjat-jinjat sambil memegang bahagian atas palang tingkap kayu yang terbuka luas di bilik mereka. Sekejap kemudian dia terlompat-lompat ringan pula. Testing kaki.

“Ish dia ni...main lompat-lompat pulak. Karang tergeliat balik kaki tu, kan susah.” Marah Amri. Marah risau.... marah sayang.

“Tak sakit langsung dah?” Soal Harris yang sedang bertenggek di atas palang tingkap di sebelah Shuk.

Suasana malam di kawasan pedalaman begitu benar-benar mengujakan seluruh sistem tubuhnya. Tenang dan mendamaikan.

“Tak sakit langsung weh. Kelmarin tersentuh sikit pun sakit.” Adu Shuk bersungguh.

“Alhamdulillah....” Balas Harris lega. Bersyukur.

Nyaris sahaja percutian mereka kali itu bertukar menjadi bencana.

Amri yang sedang terbaring di katil dengan kakinya masih di lantai, tiba-tiba bingkas menyacak bangun. Bulat matanya merenung kedua-dua rakannya.

Bunyi apa tu?

“Eh. Shuk. Cuba kau diam kejap.” Pinta Amri. Wajahnya kelihatan serius.

Shuk yang tadinya sedang melompat-lompat ringan terdiam. Harris juga menumpukan pandangan kepada Amri.

“Thud! Thud! Thud!”

Bunyi melompat seakan-akan lompatan Shuk tadi menyapa pendengaran mereka bertiga. Tapi kedengaran sayup-sayup, dari luar rumah. Spontan mereka berkalih ke arah luar. Mata masing-masing dikecilkan, cuba memfokuskan pandangan, mencari punca bunyi tersebut di sebalik gelap yang membaluti malam.

“Thud! Thud! Thud!”

Berderau darah Shuk dan Harris.

Harris serta merta bingkas dari duduknya. Shuk pula sudah terundur beberapa tapak ke belakang.

“Kenapa? Ada apa kat luar tu?” Soal Amri yang masih duduk di birai katil Cuak melihat reaksi kawan-kawannya.

“Thud! Thud! Thud!”

Bunyi yang tadinya sayup-sayup kendengaran semakin mendekat.

“Allahu Akbar!” Keras dan bergetar suara Harris melafazkan kalimah agung tersebut.

Seraya itu kelam kabut dia menarik daun tingkap dengan tangan yang menggigil.

“Tu...tutup weh! Tutup cepat!” Arahnya pada Shuk yang masih berdiri terkedu beberapa langkah dari tingkap.

Teragak-agak Shuk untuk beberapa saat sebelum menerpa membantu Harris menutup tingkap. Terketar-ketar tangannya mengunci selak tingkap.

“Tamm! Tamm! Tamm!”

Bunyi melompat-lompat tadi kini bertukar menjadi bunyi hentaman sederhana kuat di daun tingkap. Serentak Harris dan Shuk terundur ke belakang. Amri pula sudah berdiri tegak di belakang keduanya.

“..’Dia’ ketuk tingkap pulak dahhh.... Eh, tapi.. macam mana ‘dia’ ketuk. Bukan tangan ‘dia’ terikat ke... takkanlah...dia hantuk pakai kepala pulak?”

“...kalau hantu cina, logiklah juga, tangannya tegak ke depan...” Sempat pula Harris berdialog sendirian di dalam hatinya. Membayangkan apa yang sedang berlaku di sebalik kepingan tingkap yang tertutup rapat.

“Harris...buatlah apa-apa...” Bisik Shuk di sebelah, mengharapkan rakannya itu melakukan sesuatu untuk menghalau makhluk berbungkus yang mereka nampak tadi.

Kalau nak diharapkan dirinya, tak sebaris ayat suci al Quran pun yang mampu dibacakan saat itu. Sipi-sipi je lagi dia nak terkencing dalam seluar. Harris menarik nafas panjang, cuba mengatur detak jantung yang dari tadi sudah berterabur. Mata dipejam rapat, dengan kedua tangan diangkat merapati telinga, bersedia untuk melaungkan azan.

“Thud....! Thud.......!”

Belum sempat azan dilaungkan, bunyi hentakan di daun tingkap mendadak berhenti. Sekaligus digantikan dengan bunyi lompatan menjauhi tingkap.

“Ben.... benda apa tadi tu....” Soal Amri separuh berbisik, setelah berasa pasti ‘benda’ itu telah pergi dari situ.

Shuk dan Harris menelan air liur yang terasa kesat. Soalan Amri terbiar sepi tanpa jawapan.

“Di... dia... ikut kita ke... weh...” Soal Shuk pula kepada Harris.

Pertanyaannya juga tidak bersambut.

Akhirnya mereka hanya saling berpandangan antara satu sama lain.

 

BUNYI telefon bimbit mengejutkan Lana yang sedang mengeringkan rambut dengan tuala. Skrin telefon diperhatikan seketika sebelum panggilan dijawab dengan senyuman menghiasi bibir.

“Hello.. Asslammualaikum...” Sapanya mesra.

“Err... waalaikumsalam... Lana...” Tegur Harris di hujung talian.

“Lana buat apa tu, tak tidur lagi?” Soalnya.

“Belum lagi...baru siap-siap nak tidur.” Jawab Lana jujur.

“Err... pintu, tingkap semua dah kunci?” Soal Harris lagi.

Spontan Lana melemparkan pandangan ke arah pintu. Matanya dikecilkan. Selaknya sudah terkunci. Kemudian dilemparkan pula pandangan ke arah tingkap. Baru dia perasan tingkap di sebelah kiri bilik itu belum lagi berkunci selak.

“Ala...nasib baik abang Harris tanya. Syu lah ni tadi buka tingkap ni. Tutup tak kunci balik.” Leter Lana pada Harris.

Pantas sahaja dia bangun merapati tingkap dengan telefon bimbit masih melekap di telinga.

Dua langkah sebelum sampai ke tingkap, tiba-tiba daun tingkap terbuka kasar!

Berhayun daun tingkap tersebut kerana terbuka dengan kuat. Terkejut Lana dibuatnya. Terjatuh telefon bimbit yang dipegang ke lantai. Hawa yang tadinya sudah terlelap di katil turut terjaga, terkejut dengan bunyi yang terhasil.

Wan yang sedang leka menatal skrin telefon juga terkedu memandang Lana dengan tingkap yang sudah terbuka luas di hadapannya. Syu pula sedang berada di dalam bilik air.

Belum sempat lagi debaran di dada Lana mereda, muncul pula pocong betul-betul di depan tingkap. Anak tekak Lana terasa bagaikan sudah tertelan masuk ke perut. Tak mampu bersuara lagi. Kakinya seolah sudah terpaku rapat ke lantai. Jangankan nak lari, nak menguit sedikit pun tak boleh lagi dah.

Mujur sahajalah seluruh wajah makhluk itu berbungkus kemas di dalam kain putih. Buatnya dia tersengih kerang pada Lana ketika itu, mahunya histeria gadis itu saat itu.

“Lana....” Panggil Wan perlahan. Kaget melihat gadis itu keras terpaku di depan tingkap.

Apa yang dilihatnya di luar tu?

“Dammm!!”

Serentak itu juga kedua-dua belah daun tingkap yang berayun deras tadi berdentam tertutup rapat.

Macam nak terlucut jantung gadis-gadis itu dibuatnya.

Lana terduduk di lantai. Lembik sudah kedua kakinya. Wan menerpa mendapatkannya.

Selang beberapa saat selepas itu kedengaran bunyi ketukan bertalu-talu di pintu bilik. Suara panik Harris memanggil-manggil nama tunangnya jelas kedengaran di sebalik pintu.

Hawa dan Wan saling berpandangan. Kelam kabut mereka mencari tudung dan kain untuk menutup kepala. Wan menyarung tudung di kepalanya sendiri, dan menutupkan kepala Lana yang masih terjegil memandang tingkap dengan tuala yang tersangkut di bahu gadis itu. Hawa yang sudah bersedia untuk membuka pintu pula memberikan isyarat kepada Syu yang baru keluar dari tandas untuk memakai tudung.

“Lana! Lana!” Harris tergesa-gesa mendapatkan tunangnya yang kelihatan terduduk di lantai di depan tingkap, sebaik pintu bilik dibuka.

“Korang semua ok tak?” Soal Shuk cemas.

“Tingkap!” Laung Harris pada rakannya.

Pantas Amri menerpa dan mengunci tingkap yang tertutup rapat.

“Lana... abang ni...” Panggil Harris lembut.

Lana masih tidak mengalihkan pandangan dari tingkap. Matanya langsung tidak berkelip.

“Ambilkan air.” Arah Harris dengan suara menggeletar.

Lafaz ta’awuz, surah Al Fatihah, ayatul Qursi, dan 3 Qul berserta selawat dibacakan pada segelas air, sebelum Harris merenjiskannya pada wajah Lana. Setelah itu barulah Lana mengelipkan matanya yang mula memerah dan berair.

“Abang....” Panggilnya dengan suara yang serak mahu menangis.

Mahu sahaja dia memeluk tubuh lelaki itu ketika itu. Mujurlah akal warasnya masih berfungsi. Lana betul-betul terkejut dan ketakutan.

“Ye... abang ada kat sini. Lana ok, Lana selamat...” Sahut Harris pantas.

“Lana minum air ni dulu ya... Lana terkejut ni...” Pinta Harris lembut, sambil menyuakan gelas air ke bibir gadis itu.

“A....apa yang jadi sebenarnya... Lana nampak apa...” Soal Wan perlahan, sambil mengarah pandangan kepada teman lelakinya, Shuk.

Buat kesekian kalinya Shuk, Harris dan Amri saling berpandangan antara satu sama lain. Sebelum diturut serta oleh gadis-gadis tersebut.

 

Tuesday, August 5, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 4)

 


Bab 4

“MACAM mana keadaan kau orang semua?” Soal Pak Teruna memulakan bicara, ketika mereka semua berkumpul di ruang utama rumah besar tersebut.

Masing-masing hanya bersila dan bersimpuh di atas tikar mengkuang yang dianyam kemas dan diletakkan berdekatan tiang seri yang megah terpasak di ruang tengah rumah tersebut.

“Masih ada sakit-sakit badan? Kalau ada luka yang serius, esok Pak Teruna bawakan ke hospital di bandar.” Ujarnya lagi, dengan senyum mesra.

“Alhamdulillah.. semua nampak ok ni Pak Teruna.. Cuma sengal-sengal badan sikit-sikit je...” Balas Harris sopan.

Benar.. mereka semuanya berada dalam keadaan baik, walaupun telah mengalami malam yang mengerikan, semalam. Hanya calar-balar dan lebam-lebam ringan sahaja. Luka di dahi Lana juga tidak dalam dan tidak memerlukan jahitan atau rawatan perubatan lanjut. Masih panjang umur masing-masing. Masih berkesempatan berusaha menjadi hamba yang lebih baik.

Alhamdulillah...syukur kepada Allah Sebaik-baik Pelindung.

“Baguslah macam tu... masa orang kampung jumpa kamu pun, tak nampak apa-apa kecederaan serius pada kamu. Tapi risau juga kalau ada kecederaan dalaman, terhantuk kepala kamu pada apa-apa.” Jelas Pak Teruna, bernada sedikit risau.

“Itulah tu.. risau juga kalau diorang ni bangun-bangun terus hilang ingatan ke apa.. maunya si Am ni tiba-tiba bercakap Jepun ke, susah juga kita.” Seloroh Shuk sambil tersengih menayangkan barisan giginya yang agak kekuningan, mungkin hasil dari sedutan asap rokok yang entah sudah berapa lori dihisapnya.

Tak sayang paru-paru betul.

Pak Teruna ikut tersenyum sambil terangguk-angguk dengan gurauan Shuk. Amri mengerling tajam ke arah sahabatnya itu, tanda tidak berpuas hati.

“Aku pulak yang kena. Silap pulak masa bangun tadi aku tak terus nyanyi lagu doraemon an an an totemodaiyi suki.... Biar diorang gelabah beruk.” Cemuhnya sendiri dalam hati.

“Kaki kamu macam mana? Masih sakit?” Soal Pak Teruna lagi.

“Emm... takde rasa sakit dah Pak Teruna.” Jawab Shuk sambil membelek-belek kakinya sendiri.

“Cuba Pak Teruna tengok sekejap.” Pinta Pak Teruna.

Shuk mengesot mendekati Pak Teruna. Disuakan kakinya yang berbalut kemas. Lelaki tua itu sendiri yang menyapukan entah ubat tradisional apa di kakinya sebelum membalutnya kemas.

Mulut Pak Teruna kelihatan terkumat-kamit sambil memegang pergelangan kaki Shuk. Perlahan-lahan balutan di kaki anak muda itu dirungkai. Diurutnya sedikit.

“Sakit?” Soalnya pendek.

Laju Shuk menggeleng-gelengkan kepala. Memang langsung tiada rasa sakit. Sebaliknya urutan tangan Pak Teruna terasa begitu menyelesakan. Kalau boleh mahu saja dia berbaring meniarap di situ dan meminta lelaki itu mengurutkan seluruh badannya.

“Cuba kamu berdiri.” Arah Pak Teruna.

Shuk bingkas bangun. Perlahan kaki kirinya ditekan rapat ke lantai kayu rumah tersebut. Separuh dari berat badannya dipindahkan ke kaki kirinya itu. Tak sakit.

“Sekarang cuba berjalan.” Arah Pak Teruna lagi.

Mereka yang lain hanya diam memerhati tanpa sebarang suara.

Shuk mulai memindahkan sepenuh berat badannya ke kaki kirinya, sebelum mula melangkah dengan kaki kanan. Tak sakit. Diteruskan lagi langkah berikutnya. Macam tak pernah cedera! Shuk mula teruja. Spontan dia berjalan-jalan ke hulu hilir di hadapan mereka yang lain. Dah macam tengah buat persembahan pentas pula.

“Eh..tak sakitlah Pak Teruna. Tak sakit langsung dah.” Pujinya kagum.

“Alhamdulillah.....” Sambut mereka yang lain.

Pak Teruna hanya tersenyum tenang.

“Kalau kamu semua tak ada apa-apa, bolehlah Pak Teruna tinggalkan sekejap esok...” Ujar lelaki itu.

Mereka yang lain memberikan perhatian kepadanya, menantikan bicara seterusnya.

“Mak Kesuma dan Pak Teruna nak ke bandar sekejap esok, beli barang-barang yang dah nak habis. Kamu berehatlah dahulu. Kamu datang sini pun, memang nak berehat-rehat kan.” Sampuk Mak Kesuma yang sedang bertimpuh di samping Lana.

Mereka mengangguk-anggukkan kepala perlahan, menyetujui kata-kata Mak Kesuma. Memang itu tujuan utama mereka datang ke mari.

“Untuk makan siang, Mak Kesuma dah pesan pada anak jiran di sini, Melati dan Kenanga. Nanti diorang akan siapkan untuk kamu. Masakan yang mahsyur di sini.” Tambahnya lagi sambil tersenyum simpul.

Masing-masing mengecap air liur. Masih terasa-rasa di lidah kelazatan masakan kampung yang menjadi santapan mereka semasa makan malam tadi. Si Amri menyuap makan sampai tak menoleh kiri kanan dah. Si Shuk pula bertambah makan entah sampai berapa pinggan dah. Sampai kena sigung dengan kekasih hatinya, si Wan, baru dia slow down.

“Err...sedap betul nama-nama yang saya dengar kat sini. Err...unik.” Terlepas juga di mulut, perkara yang bermain-main di fikiran Harris sejak tadi.

Mak Kesuma tersenyum manis.

“Bolehlah...dipertimbangkan untuk letak nama anak-anak kamu nanti, kan...” Ujarnya sambil tertawa halus. Tangan kanannya spontan mengusap-usap peha Lana yang duduk di sebelahnya.

Lana dan Harris menelan liur.

“Aik...ada yang bagitahu ke...?” Soal hati masing-masing.

Mata mereka sibuk mengerling rakan-rakan lain yang sudah tersengih-sengih dengan usikan Mak Kesuma pada pasangan itu.

Monday, August 4, 2025

TEMPAT MEREKA (BAB 3)

 


Bab 3

“ABANG Harris....” Panggil Lana perlahan apabila dilihat bola mata Harris bergerak-gerak di bawah kelopak matanya yang tertutup. Dahinya juga kelihatan berkerut-kerut.

Harris mula membuka mata perlahan-lahan. Terkejip-kejip sekejap dia dibuatnya, menahan silauan lampu di siling. Pantas sepasang matanya mencari kelibat Lana, setelah pandangannya dapat difokuskan dengan baik. Spontan dia tersenyum manis setelah berjaya menangkap kelibat sang tunang yang setia menunggu di sampingnya.

“Lana....” Tegurnya sambil mengesot cuba bangun untuk duduk. Berkerut dahinya menahan sengal yang terasa menggigit seluruh tubuh.

 “Eh..abang Harris baringlah dulu....” Ujar Lana, cuba menahan lelaki itu dari bangun.

“Lana ok tak? Ada cedera kat mana-mana?” Soalnya risau.

“Sedar pun kau Harris... naik risau dah kitorang tadi.” Celah Shuk sambil terjengket berjalan menggunakan tongkat yang dijepit di celah ketiak sebelah kanannya.

Harris yang sudah duduk bersandar di kepala katil dengan bantuan Lana memerhatikan kaki kiri Shuk yang terbalut kemas.

“Kau kenapa? Ok tak kaki kau?” Soal Harris risau.

“Eh...ok je.. Cuma terseliuh sikit je ni. Pak Teruna tak bagi pijak lagi, takut lambat baik nanti katanya. Aku pun tak ingat macam mana boleh terseliuh. Diorang cakap, tersangkut kat pedal brek.” Jelas Shuk.

Harris masih belum dapat menangkap butir bicara Shuk sepenuhnya.

“Kau dengan Amri tu yang teruk. Sampai ke petang korang tidur. Tu ha si Am tu...sampai sekarang tak sedar lagi. Pak Teruna cakap mungkin kepala korang terhantuk kat mana-mana kut...” Sambungnya lagi, sambil mengunjuk ke arah Amri yang terbaring tenang di katil yang berjarak lebih sedepa dari katil Harris.

“Pak Teruna?” Soal Harris. Rasanya dia belum pernah dengar nama lelaki itu. Unik... dan klasik.

“Pak Teruna tu orang yang mak ngah tugaskan untuk uruskan homestay ni...” Hawa mencelah, menjelaskan hubungkait lelaki itu dengan ibu saudaranya yang memiliki rumah peranginan tersebut.

Harris mengalihkan pandangannya ke arah Hawa yang sedang duduk di hujung sebuah lagi katil yang kosong di sudut bilik tersebut. Harris meliarkan pandangan ke segenap ruang bilik. Cantik. Dihiaskan dengan gaya moden tradisional. Perabot berasaskan kayu jati disusun ringkas dan kemas bagi melengkapkan ruang bilik yang bersaiz sederhana besar itu.

Tingkap kayu yang terbuka jelas menayangkan pemandangan kampung yang damai. Harris dapat mengagak rumah itu didirikan mengikut seni bina rumah kampung tradisional masyarakat Melayu, di mana kedudukannya tinggi dan mempunyai bahagian bawah rumah.

“Mana yang lain?” Soal Harris lagi.

“Syu dengan Hawa tengah ambilkan makanan untuk kita dari Mak Kesuma. Petang ni kita makan kat bilik je lah ea... abang Harris pun baru je sedar.. seeloknya jangan banyak bergerak dulu.” Jelas Lana.

“Mak Kesuma? Amboi. Klasik betul nama-nama orang kat sini. Dah macam termasuk dalam filem melayu dulu-dulu pulak.” Kata-kata itu hanya bergema dalam ruang hati Harris. Diam-diam dia mengagumi nama mereka yang disebutkan rakan-rakannya.

Harris mengangguk-anggukkan kepalanya, tanda menghormati cadangan Lana. Otaknya diputar ligat, cuba mengingati apa yang telah berlaku sebelum ini.

“Eh! Sekarang dah pukul berapa ni? Dah berapa lama abang tak sedar? Abang belum solat lagi...” Harris bersuara tiba-tiba.

“Dah masuk asar ni... abang tak sedarkan diri dari semalam. Kalau abang tak bangun jugak tadi, Pak Teruna cakap nak bawa ke hospital di bandar. Tapi jauh juga dari sini. Sebab tu kitorang tunggu tengok dulu.” Jelas Lana lagi.

Memang sebolehnya dia ingin cepat-cepat sahaja membawa lelaki itu dan juga Amri yang masih belum sedar untuk medapatkan rawatan perubatan. Tetapi Pak Teruna berjaya meyakinkannya yang mereka tidak mengalami kecederaan serius. Lelaki itu juga berjanji untuk membawa mereka ke hospital sekiranya mereka masih juga belum sedarkan diri.

“Emm... aduh...” Kedengaran suara Amri mengerang perlahan di katilnya.

Serentak mereka berkalih ke arahnya. Shuk terjengket-jengket menghampirinya sahabatnya itu, sebelum melabuhkan punggung di birai katilnya.

“Am... kau ok tak ni.. kau baru sedarkan diri ni...” Jelasnya lembut.

“Ha? Aku kat mana? Apa dah jadi?” Soal Amri bertubi-tubi sambil memegang kepala. Rasa berdenyut sakit.

“Kita sekarang kat homestay mak ngah Hawa... kita accident semalam... kau ingat tak?” Shuk menelan liur sambil melayan pertanyaan si sahabat. Teringat pula pada apa yang menimpa mereka malam semalam.

“Hah? Accident? Weh! Semalam tu kan...? Aduh!” Amri yang terkejut mendengar penerangan Shuk bingkas bangun duduk, sebelum rasa sakit di bahagian kepalanya kembali menyerang.

“Weh..kau ni..pelan-pelanlah... kau tu baru je sedar.” Bebel Shuk.

Amri yang sudah bersandar di katil menelan liur. Satu persatu wajah rakan-rakannya di bilik itu direnung silih berganti.

“Semalam.....” Amri bersuara perlahan sambil menelan liur yang terasa memekat di tekak.

Mereka yang lain menumpukan perhatian kepadanya. Persoalan yang sama turut bermain di fikiran masing-masing. Cumanya mereka masih belum berkesempatan untuk membincangkannya.

“Korang ingat tak apa yang jadi semalam?” Soalnya dengan nada cuak.

“Lepas..kita terlanggar benda dan abang Harris tak jadi turun tengok tu.. kereta tiba-tiba tak boleh gerak kan..” Lana mula bersuara, membentangkan kronologi kejadian yang menimpa mereka dari awal.

“Ha’ah... sebelum tu... aku nampak....” Shuk terhenti sebentar. Teragak-agak mahu meneruskan cerita.

“Kau nampak apa?” Soal Amri tidak sabar.

“Err...aku nampak..pocong... banyak ekor jugak aku nampak... boleh kata setiap 500 meter ada dia berdiri terpacak kat tepi jalan dalam hutan tu.” Laju Shuk menghamburkan ceritanya tanpa berselindung.

“Cis! Apesal kau tak cakap?! Aku ingat aku sorang je nampak!” Tingkah Amri dengan nada geram.

Padanlah Shuk tiba-tiba diam tak melayan pertanyaannya dalam kereta masa itu. Siap berpeluh-peluh lagi. Tak lama lepas itu dia mula nampak apa yang Shuk nampak.

“Aikk?? Kau pun nampak jugak ke??” Shuk menyoal balas.

Amri hanya merengus geram.

Lana dan Hawa masing-masing menelan liur. Mujur pula mereka tak nampak apa yang Shuk dan Amri nampak. Kalau tidak mungkin mereka sudah pengsan sebelum kemalangan berlaku lagi.

“Astaghfirullahalazim....” Harris pula bersuara.

Benda yang jatuh atas bumbung, bergolek ke depan cermin kereta tu...korang nampak tak, apa?” Soalnya sambil merenung mereka yang lain.

Masing-masing menggeleng kepala laju. Mana tidaknya, mata masing-masing sudah terpejam rapat waktu itu, tidak sudi melihat ‘makhluk’ yang bakal memunculkan diri.

Harris mengeluh perlahan sebelum menyambung bicara.

“Pocong.....” Jawabnya pendek.

Merinding bulu roma masing-masing mendengar jawapan Harris.

“Err...lepas tu... kereta tiba-tiba bergerak ke belakang, berpusing, sampai kita langgar pokok, kan?” Hawa memecahkan kesunyian setelah mereka semua terdiam seketika.

Mereka yang lain mengangguk-anggukkan kepala perlahan, menyetujui memori Hawa tentang apa yang berlaku semalam.

“Korang... jom, makan.” Tegur Syu yang baru melangkah masuk ke bilik tersebut sambil menatang dulang makanan.

Wan dan Mak Kesuma membontotinya dari belakang dengan dulang di tangan masing-masing.

“Err... saya nak solat dulu..” Pinta Harris sambil melirik pandangan ke arah Mak Kesuma yang sedang tersenyum manis.

“Ha... pergilah.. nanti mak Kesuma siapkan tempat solatnya.” Ujar wanita separuh abad itu dengan senyuman yang tak lekang dari bibir.

“Err..kau orang dah solat ke?” Soal Harris kepada mereka yang lain, mengharapkan dapat menunaikan ibadah itu bersama-sama.

“Lana dengan diorang ni semua tak boleh solat.” Ujar Lana separuh berbisik.

Harris tersenyum lembut pada tunangnya.

“Macam berjanji pula diorang ni. Tak boleh solat sama-sama.” Gumamnya sendirian.

Tapi memang pun dia ada terdengar sebelum ini, wanita yang rapat atau tinggal serumah, kebiasaannya mengalami datang bulan pada masa yang berdekatan. Mungkin ada pengaruh hormon atau emosi. Tidak pula dipastikan kesahihan teori melalui sebarang kajian. Dengar-dengar gitu je lah...

“Korang?” Soal Harris pada Shuk dan Amri.

“Jangan nak cakap datang bulan jugak sekali...” Sempat pula dia berlucu sendirian dalam hati.

“Err... kejap lagilah.” Jawab Amri sambil menggaru kepala.

“Aku qadha nanti je.” Shuk tersengih di samping Amri.

Harris hanya tersenyum tawar. Sudah masak sangat dengan perangai kedua rakan baiknya itu. Tetapi dia tiada tenaga untuk memberi syarahan kepada keduanya ketika itu. Harris bingkas bangun untuk membersihkan diri.

Menjawab panggilan Yang Maha Esa.

 

Sunday, August 3, 2025

TEMPAT MEREKA (Bab 2)

 


Bab 2

“KE….NAPA…. weh…?” Soal Amri di sebelah, tergagap-gagap.

“Aku… aku tak tahu. Kereta tak nak gerak.” Jawab Shuk yang masih berhempas-pulas menekan rapat pedal minyak dengan harapan kereta akan memecut laju ke depan.

“Kau….”

“Bammm!!”

Belum sempat Harris menghabiskan kata-katanya, mereka dikejutkan dengan bunyi benda berat jatuh ke atas bumbung kereta. Berpelukan Syu, Hawa dan Wan di tempat duduk belakang dibuatnya.

“Gedegukk! Gedegukk! Gukkkk….!!!”

Sejurus itu kedengaran pula bunyi ‘benda’ tersebut bergolek-golek di atas bumbung kereta dengan laju. Shuk dan Amri di tempat duduk hadapan sudah memejamkan mata serapat-rapatnya, enggan melihat ‘benda’ yang bakal bergolek jatuh ke cermin hadapan kereta.

Hujung lengan baju Harris sudah renyuk digenggam kuat tangan Lana yang menggigil. Mahu sahaja rasanya Lana melompat ke tempat duduk belakang untuk ikut sama menyempit dan berpelukan dengan rakan-rakan perempuannya.

Harris yang paling tenang di antara mereka juga sudah tegak duduknya. Meletup-letup jantungnya di dalam, menantikan entah gerangan makhluk apa yang bakal muncul di depan cermin kereta.

“Gukk!!”

“Allahu Akbar!!”

Keras suara Harris melaungkan takbir, sebaik kelihatan susuk berbalut kemas dengan kain putih dari hujung kaki hingga hujung kepala, dengan ikatan berbentuk bunjut di atasnya.  Mereka yang lain ikut menjerit ketakutan walaupun masing-masing memejamkan mata dan langsung tidak tahu apa yang Harris nampak.

Belum sempat pekik laung masing-masing mereda, kereta mereka pula tiba-tiba bergerak laju secara berundur ke belakang. Bertambah gamat suasana di dalam kereta, memecahkan kesunyian malam itu. Terpekik terlolong tujuh sekawan itu seolah-olah sedang berada di dalam permainan roller coaster. Kereta terus-menerus bergerak sendiri ke belakang pada kadar kelajuan 120km/jam!

Wan dan Hawa sudah menekup mulut masing-masing rapat, menahan isi perut yang bergelodak mual dari termuntah keluar. Pening dan loya dengan pergerakan laju kereta ke arah belakang.

Hampir seminit juga kereta meluncur laju ke belakang begitu, cukup untuk membuatkan anak tekak masing-masing hampir terkeluar dek kerana kuatnya pekikan mereka yang benar-benar ketakutan.

Shuk dan Amri sendiri pun tak ketinggalan mengeluarkan suara nyaring sambil berpegang kuat pada tempat pemegang kereta di bahagian atas. Hilang terbang entah ke mana ‘kemachoan’ masing-masing.

Kereta yang akhirnya berhenti secara mengejut membuatkan mereka terhentak di tempat duduk masing-masing. Belum sempat rakan-rakan itu menarik nafas lega, kereta tiba-tiba berpusing dengan laju!

 

“Argggghhhhhh......!!!!!”

Suara teriakan kembali bergema di ruang udara. Kereta yang berputar laju pada satu kedudukan lebih menakutkan dari kereta yang mengundur laju ke belakang. Tak kurang juga lebih memualkan untuk kepala yang pening berpusing.

Mulut masing-masing sibuk menjerit manakala hati tidak putus memanggil-manggil Tuhan, mengharapkan bantuan dan perlindunganNya.

Tayar berdecit kuat, sehingga menghasilkan percikan api, sebelum kereta yang berpusing sendiri dengan laju itu mendadak bergerak dari kedudukan asal.

“Bammmm!!!”

“Allahu Akbarrr...!!”

Hentaman kuat berlaku hasil pertembungan bahagian belakang kereta dengan sebatang pokok yang besar. Toyota Estima tersebut serta-merta terbalik ke tepi. Terkulai mereka di tempat duduk masing-masing, dengan tali pinggang keselamatan masih terpaut kemas di tubuh.

“Aduh.... ya Allah....” Lana mengerang kesakitan.

Terpisat-pisat dia di tanah. Entah bagaimana dia boleh tercampak keluar melalui cermin kereta yang pecah berderai.

“Korang....” Rintihnya perlahan, cuba memanggil rakan-rakan lain yang masih tidak sedarkan diri di dalam kereta.

Lana meliarkan pandangan ke sekitar. Amri juga kelihatan sedang tertiarap di tanah, tidak jauh darinya. Mungkin tercampak keluar dari tingkap hadapan kereta.

“Am....” Perlahan suara yang terlepas keluar dari tekaknya perit.

Lana cuba menggerakkan tubuh untuk menghampiri Amri.

“Ahh! Hssttt.....” Pergerakannya membuatkan rasa nyeri menikam bahagian kaki kirinya, ngilu.

Pandangannya dialihkan ke arah kakinya sendiri. Tidak kelihatan apa-apa luka atau pendarahan. Kemudian diraba pula kepalanya yang terasa mendenyut sakit. Basah.

Lana cuba memfokuskan pandangan ke tapak tangan kanannya yang terasa basah. Samar-samar kelihatan darah merah pekat mengotori tangannya. Buat kesekian kalinya gadis malang itu mengaduh sakit.

Tadi tak sakit sangat. Lepas nampak darah, menjadi-jadi pula sakitnya.

Suara orang bercakap-cakap membuatkan Lana spontan mengalihkan pandangannya kembali ke arah Amri. Lelaki itu masih terbaring meniarap di situ, tak bergerak-gerak. Belasan cahaya kecil yang bergerak-gerak bersimpang siur berdekatan dengan tubuh Amri menarik perhatian Lana.

“Tolong.....” Lana bersuara lemah, cuba meminta pertolongan.

Lana nampak satu kumpulan lelaki dewasa berjubah putih sedang berjalan menuju ke arah mereka bersama suluhan cahaya dari tangan masing-masing, sebelum pandangannya menjadi berbalam-balam. Suara bercakap-cakap tadi juga menjadi semakin sayup di pendengarannya. Bahagian kanan kepalanya terasa kuat mencengkam sakit. Lana memejamkan matanya rapat, cuba melawan rasa sakit tersebut. Semuanya menjadi gelap.

Kelam.

 

Saturday, August 2, 2025

TEMPAT MEREKA (Bab 1)

 


Bab 1

“BETUL ke lorong ni Shuk? Lain macam je aku tengok..” Tegur Amri dari tempat duduk penumpang di sebelah.

Pemandangan hutan kelam yang menghiasi kiri dan kanan jalan selepas beberapa ketika mula menimbulkan rasa kurang senang padanya. Hembusan angin dingin dari penghawa dingin Toyota Estima milik ayah Shuk menambahkan ukuran tegak bulu roma di lengannya.

“Aku ikut maps ni dari tadi kut. Kalau salah, dia lah salah. Bukan aku.” Balas Shuk mempertahankan diri.

Pandangannya masih difokuskan ke jalan. Hatinya sendiri juga sudah ikut gelisah melihatkan jalan sunyi yang bagaikan tidak berpenghujung itu. Puas tadi dia memujuk Harris supaya berehat dan tidur dan membiarkan dia mengambil alih pemanduan setelah hampir seharian lelaki itu mengemudi. Tercalarlah imejnya nanti kalau mereka tersesat sebaik sahaja stereng berada dalam kawalannya.

Sekilas wajah-wajah penumpang di belakang dikerling. Harris berada di tempat duduk di belakangnya, manakala tunangnya Lana berada di kerusi sebelahnya di ruang tengah. Kedua-duanya kelihatan sedang tidur dengan tenang. Teman wanitanya Wan juga sedang terlentuk lena di bahu Hawa di tempat duduk belakang. Begitu juga dengan Syu yang berada di sebelah Hawa.

Mereka bertujuh sedang dalam perjalanan menuju ke Homestay milik ibu saudara Hawa yang baru sahaja dibuka untuk pengunjung. Homestay yang terletak di utara tanah air itu menarik perhatian mereka untuk menghabiskan masa bercuti bersama memandangkan lokasinya yang berdekatan dengan air terjun, selain harga istimewa untuk ahli keluarga yang ditawarkan kepada Hawa.

Biasan cahaya lampu tinggi dari kereta dari arah bertentangan membuatkan Shuk spontan mengangkat tangan ke dahi. Sedikit sebanyak rasa lega juga melihat masih ada kereta lain di situ.

“Jauh lagi ke weh, dekat pukul 12 dah.” Bual Amri, sambil membelek jam pintar di pergelangan tangannya.

Pandangannya dialihkan ke arah Shuk, setelah tidak mendapat balasan.

“Wey, kau pehal?” Tanya Amri cuak.

Dilihatnya wajah Shuk seakan membiru. Peluh merenik berbutir-butir di sekeliling dahinya. Tangannya yang mengenggam kejap stereng terlihat menggeletar.

“Wey.. kau ok tak ni?” Desak Amri lagi. Pelik dengan perubahan Shuk yang tiba-tiba.

Shuk masih membungkam sepi.

“Wey, aku tanya kau…”

…..ni..” Nada suara Amri yang semakin tinggi tadi turun mendadak.

Seketika kemudian dia ikut senyap di samping Shuk. Mulut kedua-duanya terkunci rapat.

 

SUASANA kekal sunyi di dalam kereta untuk beberapa ketika.

“In 800 metres , turn right.” Suara dari apikasi google maps menyentak mereka berdua. Terlompat masing-masing dibuatnya.

Belum sempat masing-masing mahu menyusun nafas, tiba-tiba..

“Bam! Degek! Degek!”

Kereta mereka terlanggar sesuatu, sebelum tayar depan dan tayar belakang menggilis naik ke atasnya. Spontan Shuk memberhentikan kereta. Dada masing-masing berdebar kencang. Liur diulang telan berkali-kali.

“Weh…kau langgar apa?” Tegur Harris yang baru terjaga dari tidur.

Wajahnya diraup beberapa kali, cuba menghilangkan kantuk sebelum berkalih menjenguk ke luar tingkap. Rakan-rakan perempuan yang lain turut terbangun, tertanya-tanya apa yang berlaku.

Shuk dan Amri pula keras kaku di tempat masing-masing.

“Eh, eh! Kau buat apa tu?! Janganlah..!” Tiba-tiba Shuk bersuara keras memecah kesunyian.

Terkejut Harris yang baru membuka pintu untuk melangkah keluar.

“Aku nak keluarlah, tengok…apa yang kau langar tadi.” Sahutnya dengan riak aneh.

“Dah kenapa cuak semacam je si Shuk ni. Takkan dia langar orang pulak.” Gumamnya sendiri.

“Tak… tak payahlah tengok… kucing je kut… tak pun biawak…” Tergagap-gagap Shuk meyakinkan Harris, dengan harapan lelaki itu menukar fikiran.

“Haa..a..aku pun… rasa binatang kecil je tadi tu…gelap-gelap ni… ka..kalau orang..ke ape…dah nampak dah….” Sokong Amri di sebelah.

Harris menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Pelik dengan kelakuan Shuk  dan Amri yang dirasakan aneh. Dijengukkan kepala keluar melalui pintu yang sudah terbuka. Angin lembut bertiup sejuk di wajahnya. Suasana gelap dan sunyi di luar sedikit sebanyak mendorong bulu roma di kedua belah lengannya mengembang. Betul-betul sunyi. Tiada langsung kedengaran bunyi unggas atau cengkerik. Air liur ditelan sekilas.

“Err… tak nak check kejap ke..?” Soal Harris semula. Goyah dengan keputusannya sendiri tadi.

Soalan Harris terbiar sepi. Masing-masing sibuk melayan debaran yang mula berdetak rancak di dada.

Lewat malam. Beberapa orang sekawan sedang dalam perjalanan bercuti. Kereta terlanggar sesuatu. Benar-benar seperti situasi yang diatur dalam filem-filem seram.

Harris menunjalkan badan mahu keluar dari kereta. Pergerakannya terhenti seketika. Pandangannya terarah kepada tangan Lana yang menarik hujung lengan bajunya. Spontan dia berkalih melihat gadis itu.

Lana menggeleng-gelengkan kepala dengan wajah berkerut takut, meminta lelaki itu agar tidak meneruskan niatnya untuk turun dari kereta.

“Ishh…dia ni tak pernah tengok cerita hantu ke. Dah tahu dah kalau turun nanti jadi macam-macam, lagi nak turun jugak.” Omel Lana sendiri dalam hati.

Harris menelan liur buat kesekian kalinya.

“Err… Lana..tarikla baju abang kuat sikit, abang nak turun ni.” Ujarnya berlucu.

Spontan isi lengannya diketam halus gadis itu.

“Adoi. Ketam tak bagi turun. Gerakla Shuk.” Pintu kereta ditutup kembali sambil tersengih nakal pada sang tunang.

Mereka yang lain menarik nafas lega. Dah berdiri bulu roma masing-masing tadi, membayangkan adegan-adegan menakutkan dalam filem-filem seram yang pernah ditonton.

Shuk pantas menukar gear dan menekan pedal minyak.

“Vrooommm….!”

Riak wajah Shuk mula berubah. Kedudukan gear dan brek tangan diperiksa sekilas, sebelum kaki kanannya kembali menekan pedal minyal.

“Vroommmm…!!”

Sekali lagi kereta mereka berderum kuat, tetapi tidak bergerak.

Ah, sudah….