Wednesday, October 28, 2026

Jengkalak (Bab 14)


Bab 14

“FEERA… abang kat luar ni.. bawakan makanan untuk Feera..” Laju jemari Hilal menaip di skrin telefon barunya.

Hilal melepaskan keluhan. Dahinya ditompang pada stereng kereta. Rindu betul dia pada gadis itu. Sudah berapa lama tidak berjumpa, gara-gara dia sibuk menguruskan makhluk belaannya. Wajahnya dibelek seketika di cermin pandang belakang. Risau juga Zafeera terkejut, atau tidak suka dengan penampilannya sekarang.

Tapi dia benar-benar rindukan gadis itu. Walau seramai mana pun wanita yang dia jumpa, tetap tidak boleh mengisi kekosongan hatinya. Tidak seperti Zafeera. Seseorang yang entah dengan kuasa apa mampu mengubah rentak detakan jantungnya. Seseorang yang tidak pernah berjaya dia miliki.

Skrin telefon ditekan lagi. Masih tiada balasan. Paparan jam menunjukkan waktu hampir pukul 9 malam. Hilal termenung seketika, sebelum membuat keputusan untuk keluar dari kereta.

Pintu rumah Tok Ma diketuk perlahan. Kereta Zafeera yang diparkir di bawah pokok dikerling sekilas. Tombol pintu dipulas perlahan, sengaja mencuba nasib.

Tidak berkunci. Hilal menelan liur.

“Feera?” Panggil Hilal.  

Perlahan daun pintu ditolak. Kakinya mula melangkah masuk.

“Abang Qasy dengar tak?” Zafeera yang sedang bersalaman dengan suaminya usai berjemaah Isyak bersama mengerutkan dahi.

Aqasy diam memberi tumpuan.

“Cek! Cek! Cek!”

Feera mengerling cicak di siling sepintas.

“Feera?” Kedengaran lagi suara tersebut.

Mereka berdua saling berpandangan.

 

“KAU! Kau buat apa kat sini??!” Membeliak mata Hilal melihat Aqasy melangkah keluar dari bilik tidur.

Zafeera yang masih lengkap bertelekung mengekor rapat dari belakang, menarik hujung baju suaminya. Sudah diminta tadi untuk bersembunyi di dalam bilik, tapi dia betul-betul takut sekiranya Hilal mencederakan Aqasy. Sudahlah Khaliq tiada di sini untuk membantu. Kedatangan Hilal ke rumahnya secara tiba-tiba malam ini memang langsung tidak dijangka.

“Cek! Cek! Cek!”

“Kek! Kek! Kek!”

Beberapa ekor cicak bersahutan di siling rumah.

Tangan kiri Zafeera bergerak memegang lengan baju suaminya, masih menyembunyikan separuh dirinya di sebalik tubuh  Aqasy. Hilal perasan akan jari Zafeera yang berinai.

“Kau?!! Qasy!! Kau buat apa kat sini hah??!!” Pekiknya sekuat hati.

“Korang… korang… dah nikah..?” Suaranya berubah menjadi sayu.

“Qasy… Feera aku punya Qasyy..!!” Awal rintihan bertukar keras di  penghujung ayat.

“Cek! Cek! Cek!”

“Kek! Kek! Kek!”

“Kek! Kek! Kek!”

Bunyi cicak semakin galak bersahut-sahutan. Bergema memenuhi ruang udara rumah tersebut. Seolah-olah mereka sedang dikerumuni oleh puluhan ekor cicak. Zafeera langsung tidak berani memandang ke atas. Dia sudah membayangkan puluhan ekor cicak bersaiz besar sedang bersedia untuk melompat menerkam mereka.

Hilal kelihatan mula mengumat-ngamitkan mulutnya dengan laju. Aqasy pula sejak tadi tidak putus melafaz zikrullah. Zafeera hanya mampu mengulang sebut nama Allah di bibirnya.  

“Feera aku punyaaa…!!” Pekik Hilal kuat sambil menghalakan tapak tangannya ke arah Aqasy.

Serentak itu juga sekonyong-konyong menjelma Jengkalak!

Semuanya berlaku begitu pantas. Jengkalak mengeluarkan bunyi yang begitu menggerunkan, seakan-akan bunyi ngauman, sebelum kepala tengahnya mengangakan rahangnya dengan luas dan memancut keluarkan lidah bercabangnya dengan laju menuju ke arah dada Aqasy.

Serentak itu juga Zafeera berkalih ke depan dan memeluk tubuh Aqasy, melindungi dada Aqasy dengan tubuhnya. Seiring itu juga, lidah bercabang Jengkalak melekap di belakang badan Zafeera. Tersentak gadis itu menahan sakit yang mendadak.

“Allahu Akbar! Feera!!” Teriak Aqasy, tidak menjangkakan situasi tersebut.

Terbelalak mata Hilal melihat keadaan tersebut.

“Jangann!!” Teriaknya menggila.

“Jangan dia!!” Pekiknya lagi.

Mata di kepala tengah Jengkalak menyala terang seakan berapi. Ekornya melibas kuat bahagian kaki Hilal sehingga lelaki itu jatuh terlentang di lantai. Sejurus kemudian dilepaskan lekapan lidahnya di belakang badan Zafeera dan ditarik kembali ke dalam rahangnya.

Jengkalak berpusing menghadap Hilal yang masih terlentang di lantai. Seluruh tubuh Jengkalak kemudiannya bergegar, semakin lama semakin kuat. Habis bergoncang perkakasan kecil di dalam rumah.

Aqasy menyambut tubuh Zafeera yang mendadak lemah terkulai. Dipeluk erat tubuh isterinya yang tidak bermaya itu.

“Arghhhh!!!” Hilal tiba-tiba memekik kesakitan.

Kedua tangannya meraba-raba bahagian dada dan tekaknya.

“Ahhaukk!! Ahhauukkk!!!” Hilal kemudian bangun menjeluak.

Dia duduk melutut di lantai sambil berpaut pada kaki kerusi. Sesekali tangannya menumbuk-numbuk dadanya sendiri, kemudian dicekiknya pula batang lehernya sendiri.

“Argghh!! Ahhaukk!!”

“Bloakhhh!!” Hilal memuntahkan dua ekor cicak. Bergerutu dan berbelang.

“Bloakhh!” Seekor lagi.

“Bloaaakhh!!” Dua ekor lagi.

“Blephh! Bloaakhhh!!” Seekor yang lebih besar dari yang lainnya.

Situasi tersebut berterusan sehingga lebih sepuluh ekor yang dimuntah keluar dari mulut Hilal. Habis berdarah mulutnya dan terkoyak tekaknya. Semua cicak yang  dimuntahkan merangkak pantas ke serata lantai rumah, sebelum melekap ke dinding dan merangkak ke siling. Bingit suasana rumah tersebut dengan bunyi decitan cicak.

Aqasy hanya mampu terus berzikir sambil memangku isterinya. Mengharapkan Hilal dan isterinya mampu bertahan.

Kesemua cicak yang merangkak di siling beransur hilang. Jengkalak yang baru sebentar tadi masih di situ juga telah lesap entah sejak bila. Hilal sudah berhenti memuntahkan cicak. Dia terbaring lemah dan tercungap-cungap mencuri nafas. Darah terpancut-pancut dan tidak berhenti mengalir dari mulut dan tekaknya. Badannya terhenjut-henjut seketika, sebelum perlahan berhenti tidak bergerak. Hilal kaku di lantai.

“Allahu Akbar….” Rintih Aqasy sayu.


 

Tuesday, October 27, 2026

Jengkalak (Bab 13)


Bab 13

ZAFEERA menjuihkan bibir. Masih cuba control ayu. Walhal bukan sahaja tangan, lutut, dan bibir, bahkan pipinya juga terasa ikut menggeletar.

“Eleh… orang tua-tua cakap, suka ke, benci ke, jangan sangat-sangat..” Balasnya memberi peringatan.

Aqasy menarik nafas panjang sebelum melabuhkan punggung di pasir. Pasir di sebelahnya ditepuk-tepuk sambil memandang Zafeera, mengisyaratkan gadis itu untuk duduk di sampingnya.

“Abang Qasy… betul-betul sukakan Feera… dari dulu lagi..” Aqasy memulakan bicara.

Zafeera hanya diam mendengar.

“…sekarang…” Kata-katanya terhenti seketika.

Zafeera menahan debar.

“Sekarang dah tak suka ke?” Soalan tersebut tersekat di kerongkongnya.

“…dah bertambah lebih banyak lagi… dah melimpah-limpah keluar dah…” Sambungnya dengan nada nakal.

Matanya masih setia menatap Zafeera yang menunduk rapat. Jika ditunduk lebih lagi, mungkin boleh terbenam dalam pasir.

“..kalau boleh… Abang Qasy.. nak peristerikan Feera…” Suaranya kedengaran bergetar.

“…tapi…jujur abang Qasy takut… takut kalau-kalau.. sakit abang Qasy ni…” Serak suaranya mengatur bicara.

“…abang Qasy takut kalau… Feera jadi lebih sedih.. kalau… macam Azib.. abang Qasy…” Susunan ayatnya mula menjadi berterabur dan lintang-pukang.

“Abang Qasy…” Tegur Zafeera lembut.

Aqasy memandangnya dengan mata yang bergenang.

“…takkan berlaku segala sesuatu…, tanpa izin Allah…, kan…?” Sambung Zafeera tenang.

 

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah.”

Surah at-Taghabun, ayat 11.

 

“Tidak ada sesuatu kesusahan yang menimpa di bumi dan tidak juga pada diri kamu melainkan telah tertulis dalam Kitab sebelum Kami menciptakannya.”

Surah al-Hadid, ayat 22.

 

“Dan tiap-tiap yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”

Surah Ali ‘Imran, ayat 145.

 

Gugur air mata Ahmad Aqasy mendengar bicara tenang gadis yang dicintai sepenuh jiwanya itu. Perlahan dia menganggukkan kepala, menyetujui ucapan sang gadis. Aqasy menunduk, menyembunyikan air mata yang mencuri keluar tanpa izin.

Zafeera tiba-tiba menghulurkan sehelai sapu tangan kepada lelaki itu. Aqasy menyambutnya penuh cermat. Dibeleknya sapu tangan tersebut seketika.

Eh….

Sapu tangan tersebut adalah sapu tangan Aqasy sendiri yang pernah diberikan kepada Zafeera semasa dia menangis sewaktu di kolej dulu. Zafeera masih menyimpannya dengan baik selama ini. Mungkinkah… gadis itu turut menyimpan perasaan padanya sejak dulu?

Aqasy memandang Zafeera. Gadis itu hanya membalas pandangannya sepintas sambil tersenyum malu sebelum berkalih melarikan pandangan. Aqasy tersengih sendiri.

“Alhamdulillah ‘ala kulli hal….” Dalam tak sedar hati dan bibirnya berbicara serentak dengan Sang Pencipta.

Aqasy benar-benar bersyukur. Bersyukur dengan rasa yang mengisi ruang hatinya untuk Zafeera Imani, sejak dulu hingga sekarang. Bersyukur bahkan dengan ujian yang sedang menimpa mereka kini, dengan kesakitan yang acap kali menyerang dadanya. Dan lebih lagi bersyukur, kerana Allah membuka hati gadis ini untuk membalas perasaannya. Dalam diam dia berdoa, meminta dipermudahkan jalan untuk mereka bersatu dalam ikatan  yang halal.

“Jadi… bila nikahnya?” Soal Khaliq dari belakang.

Entah sejak bila mereka berdua duduk tersengih-sengih beberapa kaki di belakang Aqasy dan Zafeera. Zafeera spontan menutup muka dengan kedua belah tangannya. Aqasy pula langsung bingkas mengejar Khaliq yang sudah lebih dulu berlari menyelamatkan diri. Ida pula ketawa suka mendapatkan Zafeera dan merangkulnya gembira.

 

“AKU kata nanti aku bagilah! Makan, makan, makannn je kau tahu!!” Jerkah Hilal geram.

Telefon bimbit di tangan dihempas ke lantai. Bersepai peranti tersebut mencium lantai. Tubuhnya dihempas keras ke sofa. Kedua belah tangan menggenggam rambut sendiri. Kusut. Rimas. Serabut. Hidupnya menjadi tidak tentu arah sejak kebelakangan ini. Dia buntu mahu mendapatkan janin buat makanan makhluk belaannya. Sejak akhir-akhir ini nafsu makan makhluk itu semakin menjadi-jadi.

Habis sudah wanita hamil yang dia kenal, untuk diarahkan Jengkalak pergi menyantap. Atau, lebih tepat lagi wanita yang dihamilkannya. Makhluk itu sudah berani memberontak, dengan menganggu tuannya sendiri. Tidur Hilal tidak lagi lena, makannya sudah lama tidak menentu. Tubuhnya sudah semakin melidi. Wajahnya juga sudah cengkung dan serabai dengan misai dan janggut yang tidak bercukur. Pendek kata, dirinya benar-benar tidak terurus lagi.

Sepasang mata yang menyala merah dengan lidah bercabang terjelir-jelir di sebalik kegelapan tidak jauh di hadapannya dijeling geram.

 

AQASY sudah berkali-kali menarik dan menghembus nafas, cuba menenangkan diri sendiri. Terasa seperti nak pitam pun ada. Tadi sahaja sudah berapa kali dia menziarah tandas di pejabat agama tersebut. Tak sangka pula begini sekali rasa gemuruhnya mahu diijab kabul. Entah sudah berapa ribu kali dihafalnya nama Zafeera. Masa nak exam dulu pun dia tidak mengulangkaji separah ini.

Atas perbincangan bersama juga nasihat daripada Khaliq dan guru-gurunya, mereka bersetuju untuk tidak menghebahkan terlebih dahulu pernikahan mereka. Semua persiapan borang, kursus kahwin dan ujian kesihatan dilakukan dengan lancar dalam diam. Bahkan Khaliq dan Ida juga ikut melakukan persiapan. Cumanya tarikh pernikahan mereka lebih lewat dari Aqasy dan Zafeera.

Aqasy dan Zaafeera juga bakal menumpang mengadakan majlis dan kenduri bersama mereka nanti, untuk menghebahkan pernikahan mereka. Ini kerana, dikhuatiri Aqasy akan menerima serangan sihir yang hebat jika pernikahan mereka dihebahkan terlalu awal. Segala persediaan disiapkan, termasuk memperkasakan amal ibadah, juga menyiapkan mental untuk menerima sebarang kemungkinan. 

Borang-borang yang memang sudah lengkap di dalam fail ditariknya keluar buat kesekian kalinya. Entah sudah berapa kali dia meneliti dan menyemaknya satu-persatu, dia sendiri pun tidak tahu. Sekeping penanda buku ikut terjatuh dari celahan kertas di dalam fail. Zafeera membongkok menunduk untuk mengutipnya.

Penanda buku tersebut dibuat daripada beberapa kuntum bunga kekwa liar berkelopak putih. Bunga itu dilaminasi dengan kemas dan diikat dengan reben kecil berwarna ungu. Lama Zafeera memegang penanda buku tersebut.

Kalau tidak salah, penanda buku itu jugalah yang dikutipnya terjatuh dari celahan buku Aqasy sewaktu di kolej. Waktu itulah kali pertama Aqasy bercakap dengannya, hanya sebaris ‘terima kasih’. Tetapi itu sahaja sudah cukup untuk menyentuh bahagian paling dalam, hati gadisnya. Satu perasaan yang tak pernah dikongsikannya dengan sesiapa pun.  

“Feera ingat ke?” Tegur bakal suaminya, Aqasy.

Zafeera mengerutkan kening, tanda tidak faham dengan soalan Aqasy.

“Kali pertama Feera jumpa abang.” Sambung Aqasy lagi, cuba memancing ingatan sang gadis.

“Kali pertama? Kali pertama, waktu dekat kolejlah.” Jawab Zafeera polos.

Aqasy kemudian menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.

“Dekat kubur…” Jawab Aqasy.

Zafeera kembali mengerutkan dahi. Benar-benar tidak dapat menangkap apa yang sedang cuba disampaikan Aqasy.

“Emm… masa tu rasanya.. Feera baru tingkatan 3 kut?” Ujar Aqasy.

Zafeera masih menanti penjelasan dari Aqasy.

“Feera, masa tu, Feera datang, ziarah kubur ayah abang. Ayah abang adalah salah seorang yang terlibat dalam nahas jalan raya tu….” Jelas Aqasy.

Nahas jalan raya yang dimaksudkan ialah kemalangan besar yang melibatkan tumpahan dan letupan sebuah lori minyak yang terbabas dan terbalik. Kira-kira 5 buah kereta yang berdekatan turut mengalami kecelakaan, termasuk beberapa yang meninggal dunia dan cedera parah. Keluarga Zafeera dan keluarga Aqasy adalah antara yang terlibat.

Mata Zafeera mula bergenang. Samar-samar memori itu kembali ke ruang ingatannya. Dia yang baru sudah menangis hebat dalam pelukan Tok Ma di pusara keluarganya, terpandang Aqasy yang sedang menangis di samping kubur ayahnya. Zafeera yang memetik bunga kekwa liar di situ dan memberikannya kepada Aqasy, memintanya untuk kuat dan bersabar.

Zafeera sendiri sudah tidak ingat tentang peristiwa tersebut. Sedangkan Aqasy, sudah lama mengenalinya, dan masih menyimpan pemberiannya itu dengan baik. Zafeera teringat sendiri akan doa-doa peribadinya yang sering dipintanya kepada Tuhannya secara rahsia.

“Ya Allah.. aku mohon cintaMu ya Allah, dan aku mohon cinta dari cintaMu ya Allah…”

Dipohonnya kepada Sang Pencipta, untuk mengurniakan cinta yang tulus untuk menemani hidupnya di dunia dan akhirat. Cinta suci yang datang dari cinta Tuhannya. Dan Tuhan mengurniakan kepadanya cinta Aqasy, yang tulus dan ikhlas untuknya sejak dulu.

Terima kasih ya Allah..

“Eh, eh… kenapa nangis ni. Jangan nangis, kita nak kawin ni. Nanti habis make up.” Ujar Aqasy separuh berbisik, separuh memujuk. Dan separuh lagi panik.

“Pasangan seterusnya, Ahmad Aqasy dan Zafeera Imani, boleh masuk ke bilik akad nikah.” Seorang lelaki berpakaian kemas bersuara sambil tersenyum.

Aqasy dan Zafeera saling berpandangan. 


 

Monday, October 26, 2026

Jengkalak (Bab 12)


Bab 12

“ABANG Qasy!!”

Zafeera langsung terbangun dari baringnya. Air mata yang membasahi wajah diseka. Peluh yang merenik di dahi juga disapu. Tangannya spontan memegang dada. Berdentum-dentum jantungnya di dalam. Berdebar kencang.

Zafeera berkalih ke arah Ida yang sedang berbaring di sebelahnya. Tidur gadis itu kelihatan agak terganggu, mungkin dek jeritan Zafeera tadi. Ida memusingkan badannya membelakangi Zafeera.

“Allah… aku mimpi….” Keluhnya perlahan.

Wajahnya diraup dari dahi ke dagu.

“Astaghfirullahal’azim…… A’udzubillahi minassyaitonirrojim….” Ta’awuz dilafazkan.

Sejurus kemudian Zafeera mengisyaratkan ludahan ke sebelah kirinya sebanyak tiga kali. Termenung sekejap dia di katil, sebelum bangun berdiri. Menonong dia menuju ke almari bukunya mencari sesuatu. Kemudian dia menarik keluar sebuah buku nota. Diselaknya helaian tersebut perlahan. Sehingga terpampang lakaran wajahnya sendiri di satu helaian tersebut. Lukisan yang dilakar Aqasy.

Memang situasi yang dimimpikan tadi pernah berlaku… tapi bukan berakhir dengan pergaduhan dengan Hilal atau kecederaan Aqasy. Hanya Khaliq yang menyertai mereka kemudiannya. Kepala Zafeera tergeleng perlahan. Dalam tak sedar, air matanya mengalir lagi. Tangannya terasa menggeletar.

 

“ASSALAMMUALAIKUM warahmatullah….”

Tangan kanannya meraut wajah setelah salam diberi. Zafeera langsung bersolat sunat tahajud setelah terjaga dari tidur tadi. Sekarang hatinya terasa lebih tenang. Tidak lagi berkocak hebat dengan rasa takut seperti tadi. Kedua tangannya ditadah untuk berdoa. Tidak semena-mena, air matanya gugur lagi.

“Ya Allah… Tuhanku yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang… Engkaulah sebaik-baik Penjaga dan Engkaulah Sebaik-baik Pelindung… Engkaulah Tuhan yang Maha Mengampuni, dan Engkaulah yang lagi Maha Mengetahui….” Rintihnya dengan suara serak.

“Aku memohon kepadaMu dan kekuasaanMu ya Allah… lindungilah abang Aqasy dari sebarang kecelakaan dan perkara-perkara yang buruk… sembuhkanlah sakit di tubuhnya wahai Maha Menyembuhkan… dan kurniakanlah kepadanya kesihatan yang baik… Panjangkanlah umurnya dalam keberkatan ya Allah… dan baikilah ibadahnya dan jadikanlah dia hambaMu yang lebih baik… Aamin ya Mujib….”

Bait-bait doa yang tadinya dibisikkan ke bumi semasa bersujud, diulang -ulang lagi sehingga hatinya berasa puas. Sehingga hatinya berasa tenang, meletakkan Ahmad Aqasy dalam perlindungan Rabb-nya.

Tidak lupa juga dia mendoakan orang-orang tersayangnya yang telah kembali ke hadrat Ilahi. Mudahan mereka ditempatkan bersama golongan orang beriman.

 

BEBERAPA minggu berlalu dengan agak tenang setelah pemergian Tok Ma. Hilal juga tidak sering menganggu Zafeera seperti selalu, hanya sesekali dia datang ke rumah membawakan makanan untuk gadis itu. Selebihnya dia hanya bertanyakan khabar dan keadaan Feera melalui panggilan telefon dan whatsapp.

Zafeera juga sudah dapat perlahan-lahan menyesuaikan diri tinggal bersendirian, tanpa ada Tok Ma menemani celotehnya setiap hari. Terima kasih juga kepada Aqasy. Khaliq, dan Ida…., terutamanya Aqasy, yang bukan sahaja sentiasa menemaninya dan membuatkan dia tidak berasa sendirian, bahkan juga tak berhenti-henti berusaha menghiburkannya dengan macam-macam cara.

Ada sekali tu, habis saja kuliahnya, dia tiba-tiba ‘diculik’ oleh beberapa orang siswi. Mereka menutup matanya dengan blindfold dan membawanya ke bilik kelas kosong lalu mendudukkannya di kerusi pejabat yang berhias cantik, siap dengan alas baldu biru lagi. Entah alas meja mana mereka sapu. Sebaik didudukkan, muzik jazz lembut yang beralun elegan dimainkan, persis seperti di lobi hotel mewah.

Kemudian hampir lima orang pelajar melayaninya serentak. Ada yang mengurut-ngurut bahunya, ada yang mengipas-ngipas dengan kipas tangan besar yang selalunya digunakan sebagai hiasan ruang seni mereka, ada yang melakukan rawatan manicure untuknya, siap ada perkhidmatan mesin foot bubble tub massage lagi.

Selang beberapa minit selepas itu pula, Khaliq, Ida, dan dua orang lagi siswi beratur sambil membawakan dulang makanan. Satu persatu makanan lazat dihidangkan untuknya, termasuk hirisan buah yang disusun membentuk bunga besar dengan bentuk hati kecil-kecil mengelilingnya. Sangat cantik dan menggiurkan.

Akhir sekali, ‘Chef Aqasy’ ikut keluar dengan memakai pakaian lengkap seorang chef, memberi tunduk hormat kepadanya dan menjemputnya menjamu selera. Makanan-makanan tersebut bagaimanapun dimaklumkan telah dipesan dari restoran berdekatan. Berair mata Zafeera ketawa sepetang itu.

Pada kali yang lain pula, sedang elok dia berjalan di ruang lobi mahu menuju ke tempat parkir kereta usai kuliah, dia dikejutkan dengan sekumpulan siswa yang  tiba-tiba menghalang laluannya dalam satu formasi ala-ala boyband.

Dalam pada dia terpinga-pinga dengan situasi tersebut, muzik rancak Bollywood ‘Koi Mil Gaya’ dari filem terkenal ‘Kuch-kuch Hota Hai’ dimainkan di pembesar suara ruang lobi. Seraya itu juga pelajar-pelajar yang mengepungnya tadi mula menggerakkan badan mengikut muzik. Mereka menari di situ!

Dan sudah semestinya jugalah, tarian tersebut diketuai oleh Aqasy! Khaliq pula sibuk merakam dengan telefonnya, kata mereka, adegan itu adalah rekaan konten yang bakal dimuat naik ke dalam media sosial. Muka Zafeera tak pernah jadi semerah itu seumur hidupnya. Malu amat!

Tetapi Aqasy memang berjaya menghiburkannya. Mengekeh dia ketawa melihat keletah lelaki itu menari Bollywood. Entah bila dihafalnya semua gerak tari tersebut. Adalah sipi-sipi macam Shah Rukh tiruan. Yang lebih mengejutkan, hantaran konten tersebut ke TikTok rasmi UTAF mencapai lebih dari 673.7 ribu likes dan 37.1 ribu repost! Hampir sama hebat dengan team influencer dengan hashtag meddancersmy yang sedia popular dengan tarian lincah mereka.

Begitulah gigihnya seniornya itu cuba menghiburkannya, sehinggalah ke hari mereka bertiga membawanya ke pantai. Hari yang menjadi titik tolak yang membawa kepada satu keputusan yang bakal merubah hidup seorang Zafeera Imani.

 

ANGIN sesekali bertiup lembut, berselang seli dengan deruan ombak, melengkapkan kedamaian pantai tersebut. Zafeera membetulkan hujung alas yang terselak ditiup angin, sebelum kembali memeluk lutut, menikmati keindahan pantai. Khaliq dan Ida sibuk bertekak tentang siapa yang menjadi dalang sebenar dalam drama yang mereka tonton bersama di tablet. Aqasy pula ralit melakar sesuatu di pasir menggunakan ranting kayu yang didapatkannya entah dari mana.

Zafeera kemudian bangun menghampiri lelaki itu.

“Abang Qasy lukis apa tu?” Soalnya sambil mengelilingi lakaran Aqasy dengan berhati-hati, bimbang tidak sengaja merosakkannya. 

Sebaik dia sampai di bahagian pangkal lukisan, Zafeera terkesima. Lakaran tersebut adalah lakaran wajahnya. Dilukis dengan begitu cantik sekali. Seakan-akan diloret di atas kanvas. Zafeera berpaling ke arah Aqasy. Lelaki itu hanya tersenyum sambil mengangkat kening.

“Abang Qasy… cantiknya…” Pujinya ikhlas, benar-benar kagum.

“Eh, Feera ni.. malulah abang Qasy Feera puji macam tu.. Abang Qasy memang cantik semula jadi…” Ujarnya sambil membetul-betulkan rambut.

“Ish.. abang Qasy ni… orang betul-betul…dia main-main…” Sungut Zafeera geram. Kalau diikutkan hati memang sudah diketam isi lengan lelaki itu.

“Cantik?” Tanya Aqasy.

Zafeera menjawab dengan anggukan.

“Feera suka lakaran ni?” Soalnya lagi.

Sekali lagi Zafeera mengangguk.

“Feera suka abang Qasy?” Sekali lagi Zafeera mengangguk laju, sebelum tiba-tiba terhenti. Wajahnya merona merah.

Aqasy tergelak nakal.

“Abang Qasy..?” Soal Zafeera pula.

Aqasy yang masih menyisakan tawa memandang Zafeera dengan mata bulat.

“…suka Feera?” Sambung Zafeera lagi.

Wajahnya cuba dikawal seselamba yang boleh. Debaran di dada sendiri cuba dipujuk rentaknya. Serius, kalau kepalanya macam patung Lego, pasti sudah dicabut dan disembunyikan di belakang punggungnya ketika ini.

Aqasy menelan liur. Barangkali tidak menjangka Zafeera boleh menjadi seberani itu. Namun dijawabnya juga soalan itu, sepatah-sepatah.

“…….sangat… sangat..”


 

Sunday, October 25, 2026

Jengkalak (Bab 11)

 


Bab 11

ZAFEERA berkalih baring. Masih lagi mencari-cari posisi yang selesa untuk mencari kantuk. Ida yang sedang berbaring di sebelahnya kelihatan nyenyak dibuai lena. Zafeera membiarkan fikirannya menerawang. Berselisih ganti tentang pelbagai topik. Kematian insan-insan tersayangnya, keanehan Hilal, Aqasy, juga perihal mahkluk aneh yang tiba-tiba muncul menggugat ketenteraman.

Selimut ditarik menutupi tubuh. Perlahan kotak memori diselam, mengenangkan perjalanan hidupnya ketika masih bergelar seorang pelajar universiti.

 

“FEERA, Feera… nah cepat-cepat keropok lekor panas-panas ni, abang suapkan. Buka mulut. Aaaa….” Pinta Hilal yang datang entah dari mana, menyertai kumpulan mereka yang sedang belajar santai di pondok kawasan lapang kolej.

“Eh takpe-takpe… abang Hilal makanlah…” Zafeera menolak.

Aqasy dan Khaliq yang turut berada di situ hanya saling berpandangan antara satu sama lain.

“Ish.. cepat… nanti menitik sos ni…” Desak Hilal lagi.

“Eh.. tak..takpe…. Aa.. Feera puasa hari ni..” Ujar Zafeera, masih menolak.

“Hmph.. lah.. puasa pulak…” Bebel Hilal sambil menyuapkan keropok tersebut ke mulutnya sendiri.

“Kalau macam tu… jom, malam ni kita buka puasa kat luar. Abang belanja. Boleh kita tengok wayang sekali?” Sambung Hilal, masih belum berputus  asa.

Zafeera mula tidak sedap duduk. Otaknya ligat mencari alasan.

“Err… malam ni.. dah janji dengan Tehah nak siapkan assignment sama-sama…” Dalih Zafeera.

“Alah.. assignment tu bukannya kena hantar esok pun.. kita keluar ea? Abang tunggu kat pagar depan.” Desaknya lagi.

“Emm… maaf abang Hilal.., tapi Feera dah janji dah.. lagipun banyak lagi tak siap…” Zafeera cuba menegaskan suara.

Muka Hilal berubah. Dia mendiamkan diri.

“Aa…abang Hilal! Leen boleh temankan abang! Leen belanja tengok movie, nak?” Sahut Leen yang duduk di sebelah Zafeera dengan gaya menggedik.

“Hmm. Pukul 8 abang ambil.” Jawab Hilal ringkas sambil menjeling marah ke arah Zafeera.

Zafeera hanya menundukkan wajah dan pura-pura meneliti buku  nota di depannya, berharap situasi itu cepat berakhir.

“Jom Khal, Qasy, lepak padang, main bola.” Ajak Hilal sambil berdiri menggalas beg, sebelum melangkah pergi.

Khaliq dan Aqasy ikut mengemas buku dan menggalas beg.

“Err… Feera.” Panggil Khaliq, seraya membuatkan Zafeera memanggung kepala.

Hampir melatah dia tiba-tiba ada penumbuk berada di depan mukanya. Mujur tak sempat buka silat. Kelihatan Aqasy bersahaja menggenggam sesuatu dalam tangannya yang dibentuk seperti penumbuk.

Spontan Zafeera menadah kedua tangannya, menyambut sesuatu yang jatuh dari tangan kanan Aqasy.

“Untuk berbuka nanti.” Bisik Khaliq sedikit menunduk ke depan.

Kemudian mereka berdua bergerak mengekori Hilal yang sudah jauh ke depan. Zafeera menjatuhkan kembali pandangan melihat isi di dalam tangannya. Dua ketul bungkusan kecil coklat kurma yang memang disukainya. Zafeera tersenyum sendiri.

 

“HAHH! Melamun berangankan abang ke??” Hilal tiba-tiba menyergah seraya menepuk meja.

Terbang sekejap roh Zafeera dibuatnya. Spontan dia memanggung kepala ke arah Hilal, sebelum kembali melihat tadahan tangannya. Coklat kurmanya tadi sudah tiada di situ. Pantas dia melihat ke sekeliling. Suara hiruk-pikuk kelasnya bagaikan baru kedengaran di telinganya. Dia bukan lagi berada di pondok kawasan lapang kolej, sebaliknya berada di dalam bilik kelas. Terpinga-pinga sekejap Zafeera.

“Dengar sini semua rakyat jelata!” Senior mereka Fendi mengetuk-ngetuk meja pensyarah, cuba mendapatkan perhatian semua.

“Lecturer-lecturer semua ada meeting tergempar sekarang. Jadii… kami senior-senior penyayang ni telah diamanahkan untuk bantu adik-adik kami ni buat revision untuk test minggu depan.” Sambungnya lagi, dengan lagak  seorang bentara yang sedang menyampaikan titah diraja.

“Ha, dengar tu. Hari ni… abang… Feera yang punya. Cepat. Nak tanya apa? Nak palpate? Nak buat apa, semua boleh.” Ujar Hilal sambil mendepakan kedua tangannya.

Belum sempat Zafeera berkata apa-apa, tangan kanannya sudah ditangkap Leen, dengan tangan kirinya ditangkap Adi.

“Abang Hilaaalll… jomla tolong kitorang revise kitorang punya palpation… badan abang senang palpate…” Rengek Leen mendayu-dayu.

Langsung diheretnya jejaka itu ke meja kumpulan mereka. Zafeera menarik nafas lega. Matanya menangkap kelibat Khaliq dan Aqasy di tepi pintu kelas.

“Abang Khaliq!” Panggil Zafeera sambil menayang sengih.

“Hah? Err… kejap Feera.. abang Khaliq tengah emergency ni… dah hujung-hujung ni.. pedas sangat mi goreng tadi. Err…kau pegi tolong dia dulu Qasy!” Ujarnya sambil menolak bahu Aqasy ke depan sebelum berlari mencicit keluar dari kelas sambil memegang perut.

Zafeera dan Aqasy masing-masing terkedu seketika. Zafeera kalau tak ada Khaliq, memang tak pandai dia nak berbual dengan Aqasy.

Eh, lagipun mana ada mamat tu nak berbual pun, selalunya abang Khaliq yang jadi penterjemah dia!

Aqasy tiba-tiba melangkah ke arah Zafeera dengan gaya macho. Ditariknya kerusi berdekatan lalu melabuhkan punggung di depan meja Zafeera. Bersahaja dia menarik keluar buku nota dari beg galasnya. Kemudian dia meletakkan buku tersebut di atas meja lalu menolaknya perlahan ke arah Zafeera.

Zafeera teragak-agak menyambutnya. Dibuka dan dibeleknya isi di dalam buku nota tersebut. Subjek anatomi! Memang subjek yang paling dia lemah semangat.

“Macam mana Abang Qasy boleh tahu aku memang tengah nak study subjek ni? Magic betullah….” Dia bermonolog sendiri, mengagumi telahan sang senior.

Matanya tiba-tiba membulat dan bersinar-sinar setelah mendalami isi buku nota tersebut.

“Eee… cantiknya abang Qasy lukis….!” Pujinya kagum.

Cermat dia meneliti lukisan-lukisan tulang rangka dan otot di dalam buku tersebut. Notanya juga ditulis kemas dan lengkap. Seribu kali lebih mudah difahami dari buku Tortoranya! Kalau macam ni, satu malam je dia boleh hafal semua! Eh, berlagak pulak…

Tiba-tiba geliga otaknya mula memikirkan sesuatu.

“Aaa… kalau… benda lain? Abang Qasy pandai lukis tak?” Spontan terpacul soalan itu dari mulutnya.

Aqasy hanya mengangkat kening.

“Lukis Feera? Boleh?” Soalnya lagi sambil tersengih penuh mengharap.

Aqasy mengulum senyum. Tiba-tiba dua batang jarinya diangkat.

“Hmm? Peace?” Soal Feera tidak faham.

“Dua ringgit.” Balas Aqasy pendek.

Sengihan Zafeera semakin melebar.

“Boleh! Boleh!” Balasnya riang.

Aqasy menghulurkan tangannya. Kelam kabut Zafeera mendapatkan buku nota kesayangannya sebelum diserahkan kepada Aqasy. Lelaki itu menggodek-godek kotak pensel Zafeera dan mengeluarkan sebatang pen biru. Aqasy mula melakar.

Suasana hingar-bingar di dalam kelas terasa beransur menghilang dari  pendengaran. Masa bagaikan terhenti untuk mereka berdua kala itu. Masing-masing hanya diam tanpa bicara. Sekejap-sekejap pandangan mereka bertemu, sewaktu Aqasy sedang melakar wajahnya.

“Woi!”

Sergahan Hilal memecahkan dunia sepi mereka.

“Kau buat apa ni?!” Pekiknya lagi.

Buku nota yang sedang dilakar Aqasy dirampas. Terbeliak biji matanya melihat lakaran cantik wajah indah Zafeera menghiasi kertas putih tersebut. Langsung dicekak kolar baju Aqasy. Serentak itu juga dada Aqasy ditikam berkali-kali dengan pen dalam genggaman tangan.

“Abang Qasy!”


Saturday, October 24, 2026

Jengkalak (Bab 10)

 


Bab 10

“KAU rasa tak apa ke, biarkan diorang berdua je kat rumah tu..?” Soal Hilal sambil memandu.

Aqasy diam sejenak sebelum bersuara.

“Takpe… dah pagar dah tadi..” Jawabnya kemudian.

“Lagipun, dia baru dapat upah tadi…” Sambungnya lagi.

Khaliq mengangguk-anggukkan kepalanya. Faham maksud Aqasy. Daripada apa yang mereka tahu, makhluk belaan Hilal itu biasanya diberi upah janin bayi yang belum dilahirkan, setelah menyelesaikan tugasan membunuh, atau tugasan-tugasan lain. Dan kebiasaannya setelah mendapat upah, makhluk itu akan berehat dari membuat kerja-kerja terkutuk yang diarahkan tuannya.

Melalui hasil siasatan mereka, makhluk jin yang menyerupai cicak besar berkepala tiga itu adalah sejenis makhluk belaan manusia yang mengamalkan ilmu hitam, yang digelar Jengkalak.

Jengkalak difahami boleh membuatkan manusia yang membelanya menjadi kaya-raya, berstatus tinggi dan disegani, juga boleh membuatkan orang menjadi suka atau takut, sekaligus membuatkan mereka tunduk pada tuan yang membelanya. Jengkalak juga akan melakukan apa sahaja yang diperintahkan oleh tuannya, termasuklah membunuh.

Berdasarkan pemerhatian mereka, bekas-bekas kekasih dan isteri Hilal, semuanya mengalami keguguran kandungan yang aneh. Kematian Aqish pula menjadi begitu mengerikan kerana Hilal disyaki terlupa memberikan upah yang sepatutnya kepada Jengkalak, sehingga makhluk itu mendapatkannya sendiri, iaitu janin yang dikandung Aqish, isteri Hilal.

Mujurlah juga Zafeera tidak pernah menerima lamaran lelaki itu untuk berpasangan. Tapi seperti yang dijangka, kedegilan Zafeera telah mencabar ego Hilal, hingga membawa kepada kematian Azib dan Tok Ma. Juga gangguan yang dialami Zafeera sekarang.

Manakala Aqasy pula diserang kerana Aqasy seakan sudah dapat menghidu perbuatan terkutuk Hilal dan Hilal telah mendapat tahu akan perihal hati dan perasaan Aqasy kepada Zafeera. Rasa cemburu suntikan syaitan telah membutakan matanya untuk membezakan, yang mana sahabat, dan yang mana musuh.

“Tapi kan, kau ni betullah… Aku rasa kau kena pergi ambil kelas tuisyen la, belajar sikit cara-cara mengurat perempuan.” Khaliq tiba-tiba bersuara sambil tergelak kecil.

Aqasy ikut melepaskan tawa.

“Teruk sangat ke?” Soalnya kembali.

“Teruk gilaaa kau tau tak? Kau tau macam kita tengok drama cinta yang boleh buat rasa geleman satu badan tu? Haa macam tu lah perangai kau sekarang ni bila jumpa Feera.” Cemuh sang sahabat, jujur.

Makin sakan gelak Aqasy di tempat duduk sebelah pemandu. Iyalah, manalah dia tahu cara memikat perempuan. Seumur hidupnya belum pernah dicuba lagi. Entah macam mana dia boleh semberono aje dengan juniornya itu. Kalau perempuan lain, mungkin dah lari ketakutan dek anehnya tingkahnya.

“Tak sesuai langsung dengan imej dark, tall, mysterious kau tu. Kalau aku jadi Feera pun mesti aku dah pelik… ingat kau buang tebiat nak….” Kata-kata Khaliq terhenti. Liur ditelan sekilas.

Aqasy hanya tersenyum nakal.

“Haha… manalah aku tahu…, dah kau pun tak ajar aku…” Ujarnya cuba membela diri.

Khaliq mencemik.

“Macamlah aku pun reti sangat…” Omelnya sendiri.

“Tapi kan Khal..” Ujar Aqasy sekerat.

“Kalau sampai masa aku…. Kau tolong tengok-tengokkan Feera.., boleh?” Sambungnya, teragak-agak.

Khaliq terdiam sejenak. Rasa bersalah mula menghurung diri. Meremang sesaat bulu roma di tengkuknya, terbayangkan sekiranya situasi tersebut benar-benar berlaku. Dialah yang menjadi saksi mata pertama, akan terseksa dan menderitanyanya sahabatnya itu apabila diserang sakit mistik tersebut.

“Ah, kau! Jangan nak mengada… dah tak pasal aku nak kena menjaga jodoh orang pulak. Tak kuasa aku. Jodoh aku sendiri pun belum nampak bayang. Kau jaga sendiri!” Tempelaknya geram.

Aqasy mengekeh ketawa.

“Eleh… iya ke, tak nampak bayang…. Yang aku nampak kau tersengih-sengih, tersenyum-senyum depan Ida tu tadi apa? Mengalahkan anak dara!” Laju Aqasy menghantar pukulan balas.

“Alamak…dia perasan pulak….”

Menyembur tawa mereka berdua dalam kereta yang dipandu Khaliq tersebut.

“Kau jangan risau Qasy.. aku yakin… akan ada jalan keluar… InshaAllah Allah bantu kita.” Ujar Khaliq tenang, setelah tawa mereka mereda.

“Tapi kan, aku rasa betul jugak apa yang kau cakap tu.” Sambungnya lagi setelah terdiam sejenak.

“Hmm? Apa yang aku cakap?” Soal Aqasy semula.

“Ala… pasal nikah kau dengan Feera…” Sambung Khaliq lagi.

Aqasy mengerutkan keningnya. Cuba mengingat kembali kata-katanya sendiri.

“Maksud aku, elok jugak kalau kau nikah dengan dia. Lagi senang nak jaga dia. Tengok macam hari ni, kau tak bolehkan temankan dia. Tak boleh duduk sekali satu rumah. Haa.. kalau dia tengah takut ke, tengah sedih ke, kau tak boleh nak peluk-peluk dia macam cerita Hindustan. Kan rugi tu. Kan susah nak jaga dia…” Sambungnya bersahaja.

Aqasy menegakkan duduk. Kulit wajahnya yang tidaklah secerah mana itu kelihatan jelas merona merah di mata Khaliq. Khaliq mengulum senyum.

“Banyaklah kauu…!!” Tempelak sang sahabat memecahkan tawa Khaliq.

 

HILAL menghempaskan kunci keretanya ke meja kopi di tengah ruang tamu, melepaskan geram. Punggungnya dihenyak kasar ke sofa.Bengang dengan situasi sekarang.

Bengang kerana sudah tidak terkira berapa kali cubaannya untuk memiliki Zafeera gagal. Termasuklah ‘usaha-usahanya’ dengan menggunakan ilmu hitam. Entah amalan apa yang melindungi gadis itu, hingga tidak tembus satu pun ilmunya.

Ataukah mungkin doa seorang ibu yang sebenarnya menjadi pelindung gadis itu?

Bahkan rancangannya untuk berlagak hero yang tiba-tiba muncul menyelamatkan gadis yang sedang ketakutan pun tidak berjaya menembusi ruang hati Zafeera.

Dia juga bengang dengan Aqasy yang memang sudah pasti mempunyai amalan tersendiri untuk menangkis serangan-serangannya. Lelaki itu sepatutnya sudah mati bertahun yang lalu!

Hilal memejam rapat kedua belah matanya. Sejurus kemudian kelihatan mulutnya laju terkumat-kamit membaca sesuatu.


Friday, October 23, 2026

Jengkalak (Bab 9)


Bab 9

“TAK balik lagi ke Lal?” Soal Khaliq setelah tingkap kereta Hilal diturunkan habis.

“Oh.. haa.. kepala aku ada rasa pening sikit. Aku relax dulu kejap. Nak geraklah ni. Korang tak balik lagi ke?” Sahut Hilal.

Khaliq mengangguk-anggukkan kepalanya.

“Hmm.. kitorang pun nak gerak dah, ada ambil notes sikit untuk take over kuliah Feera.” Balas Khaliq.

“Oh.. haa.. oklah, aku gerak dulu.” Ujar Hilal sambil memasukkan gear.

“Ok.. elok-elok drive.” Balas Hilal pendek.

Hilal menganggukkan kepalanya.

“Khal, aku tak bermusuh dengan kau.” Ujarnya senada sebelum menaikkan kembali tingkap sambil meluncurkan kereta ke depan.

Khaliq terdiam sejenak, sebelum ikut berpusing mengatur langkah untuk kembali mendapatkan Aqasy dan Zafeera. Panggilan telefon yang diterima dijawab sambil menapak.

“Abang Qasy ok… jangan risau.. sakit sikit je..” Aqasy tersenyum melihat wajah panik Zafeera.

“Kau ok Qasy?” Soal Khaliq yang baru menghampiri mereka.

Aqasy menganggukkan kepalanya.

“Confirm.” Ujar Khaliq tegas.

Kedua-dua Aqasy dan Zafeera memberikan tumpuan kepadanya. Wajah Khaliq kelihatan yakin. Dahi Aqasy kelihatan berkerut-kerut. Masih enggan percaya, dan masih berharap andaian mereka salah.

“Aku baru dapat call dari Aina. Esok dia mc.” Ujar Khaliq lagi.

“….keguguran…” Sambungnya perlahan.

“Aina… student kita tu?” Soal Zafeera perlahan.

Kepalanya ditundukkan. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Kalau tak salah, Aina sekarang sedang mempunyai hubungan dengan Hilal.

“Feera tak faham… apa semua ni…? Apa yang berlaku…?” Soal Zafeera dengan nada perlahan.

“Abang Qasy pulak…? Kenapa… kenapa tiba-tiba sakit macam tu? Bagitahulah betul-betul..” Suaranya mula serak seperti hendak menangis.

“Ok, ok… kami cerita semua.” Sambut Aqasy pantas. Risau melihat riak Zafeera.

“Tapi sebelum tu, bagi kami pagarkan dulu rumah ni, ya? Lepas tu kita keluar, makan. Ajak Ida sekali. Tak elok kita je kat sini.” Pinta Aqasy.

Khaliq dan Zafeera serentak menganggukkan kepala.

 

“ARWAH suami Feera dulu….” Buah mula bicara Zafeera terhenti seketika.

Mereka berempat sedang duduk mengelilingi meja makan di sebuah kedai pinggir jalan berdekatan rumah pusaka Tok Ma.

“…macam tu lah… sakitnya, macam gaya abang Qasy tadi…” Sambungnya perlahan.

Mereka yang lain tekun mendengar.

“Masa tu… kitorang tengah berbual elok-elok je, gelak-gelak…” Kenangan malam itu terimbas semula.

“Tiba-tiba dia mengaduh sakit, sambil pegang dada…” Terhenti-henti bicaranya.

“Lepas tu terus rebah ke lantai… dia nampak…sakit sangat-sangat…” Air mata mula menitis perlahan di pipi kirinya. Ida yang duduk di sebelahnya mengusap bahunya perlahan.

“…doktor kata… dia meninggal sebab serangan jantung…” Tambahnya lagi.

Pandangan disorotkan ke wajah Aqasy. Mengharapkan lelaki itu mengerti akan kebimbangannya sekarang.

Aqasy dan Khaliq mengangguk perlahan.

“Feera… risaukan abang Qasy ea..?” Soal Aqasy sambil tersengih.

Spontan mereka bertiga memandangnya.

“Sayang jugak Feera kat abang Qasy ek?” Tambahnya lagi. Langsung tidak menghiraukan pandangan mereka yang lain. Dalam anak matanya sekarang, dia cuma nampak Zafeera Imani seorang.

Khaliq hanya menggeleng-gelengkan kepalanya sendiri.

Berat nanang dah kawan aku ni..

“Jangan risau.. abang ok.. sakit sikit je.. sempat lagi kita nak nikah..” Selorohnya selamba.

Tersedak Khaliq dibuatnya. Mata Zaffera dan Ida pula sama-sama membulat. Unexpected.

“Dia ni kan, memanglah… betullah buang tebiat.. nak mengurat sampai tak tengok timing.” Sungut Khaliq sendiri.

“Err… Feera jangan marah ye.., Abang Qasy belum makan ubat lagi ni, nanti abang Khaliq bagi dia makan.” Potong Khaliq dengan suara serba salah.

“Ubat..sakit jantung ke?” Tanya Zafeera polos.

Aqasy tersenyum lagi. Suka dia melihat kerisauan gadis itu tentang dirinya. Khaliq pula menggelengkan kepalanya laju.

“Bukan, bukan.. ok macam ni.. abang Khaliq terus teranglah ya? Tapi.. ni semua andaian kitorang buat masa sekarang.. kitorang belum betul-betul jumpa bukti yang kukuh, sebab tu tak berani nak cerita pada Feera lagi.. takut jatuh fitnah..” Khaliq memulakan penjelasan.

Dipandangnya sahabat di sebelah sekilas. Meminta persetujuan. Aqasy hanya menganggukkan kepalanya perlahan.

“Err…doktor dah check abang Qasy, Alhamdulillah dia tak ada apa-apa masalah kesihatan… jantung semua ok..” Sambung Khaliq.

Zafeera mengangguk-anggukkan kepala. Berasa sedikit lega.

“Tapi memang dia selalu sakit macam ni… paling ketara waktu lepas arwah Aqish meninggal.” Khaliq berhenti menelan liur.

“Kemudian kami ikhtiarkan rawatan Islam…, sampai kami sendiri ikut belajar dan mendalami ilmu perubatan… Kemudian, Alhamdulillah, tubuh Aqasy ni lebih kuat menahan serangan sakit tu.. err.. dalam perubatan ni jugak, kami dapat tahu sakit Aqasy ni puncanya dari sihir, dan dalangnya adalah orang terdekat. Jadi kami buat sikit siasatan.. apa yang kami jumpa.. semuanya mengarah kepada… Hilal.” Khaliq terhenti seketika, cuba menganalisis reaksi Zafeera.

“…termasuklah kematian Aqish.., dan arwah suami Feera, Azib…” Sambungnya dengan nada perlahan.

“…dan mungkin juga Tok Ma…” Sambungnya menghabiskan ayat.

“…..abang… Hilal?” Soal Feera bingung.


 

Jengkalak (Bab 8)


Bab 8

JENAZAH Tok Ma sudah selamat dikebumikan. Zafeera bersyukur semua urusan berjalan dengan lancar dan dipermudahkan. Aqasy, Khaliq dan Ida lah yang banyak membantu menguruskan semuanya. Hilal pula lebih banyak meluangkan masa menemani Zafeera, sehingga dia sendiri berasa serba salah, bimbang disalah anggap oleh orang kampung.

“Feera ok ke nak tinggal sorang-sorang ni? Betul tak nak ikut abang balik?” Soal Hilal di muka pintu.

Mata Zafeera meliar melihat beberapa orang tamu yang masih ada, bimbang pertanyaan Hilal disalah erti.

“Alah Feera jangan risaulah, rumah abang ada pembantu. Bukan kita berdua je…” Asak Hilal, cuba meyakinkannya.

“Takpe abang Hilal…, terima kasih… tapi Ida ada temankan Feera malam ni…” Tolak Zafeera sopan.

Hilal menarik muka. Memang begitulah Zafeera. Nampak lembut, tetapi belum pernah sekalipun Hilal berjaya memujuknya untuk melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Lembut, lembut juga. Tolak, tolak juga. Kalau dia tidak mahu tu, memang tidak mahulah.

“Oklah… apa-apa nanti call abang. Abang balik dulu.” Ujar Hilal mengalah.

Zafeera mengangguk-angguk perlahan. Dia membiarkan pandangan matanya mengiringi langkah lelaki itu yang diatur kemas menuju ke kereta. Hilal berhenti di depan keretanya dan menoleh semula ke belakang, mahu melambai kepada Zafeera. Namun memek wajahnya tiba-tiba berubah. Kelat. Tangan yang diniatkan mahu melambai tidak jadi diangkat.

Dia lihat Zafeera sedang berbual mesra dengan Aqasy dan Khaliq di muka pintu. Tangannya digenggam kuat. Pintu kereta dibuka kasar, lalu punggungnya dihenyak di seat kereta sebelum menghempas tutup pintu keretanya dengan  kuat. Ditolehnya sekali lagi ke arah mereka bertiga.

“Abang Qasy dengan abang Khaliq nak balik dah?” Sapa Zafeera apabila mereka berdua menghampirinya yang masih berdiri di muka pintu.

“Ermm… kami ada.. benda sikit nak bincang dengan Feera dulu…” Ujar Khaliq memulakan bicara.

Zafeera memberikan senyuman dan menundukkan kepala kepada beberapa orang jiran yang meminta izin untuk mengundurkan diri. Hanya tinggal mereka bertiga dan juga Ida sahaja di rumah itu sekarang.

“Bincang apa tu…” Soalnya kembali.

“Macam ni.. err…” Khaliq berkira-kira mahu menyusun ayat.

“Feera… ada.. ternampak apa-apa yang aneh tak..?” Pintas Aqasy setelah dilihatnya sang sahabat terkial-kial mahu meluah bicara.

“Aneh? Maksud abang…?” Soal Feera kembali, sambil fikirannya menerawang cuba mencari maklumat untuk menjawab soalan Aqasy.

“Oh?” Dia tiba-tiba teringat perihal malam tadi. Bukan saja aneh, bahkan mungkin sesuatu yang paling menggerunkan pernah dia lihat seumur hidupnya.

“Err… aneh macam… err han…tu.. ke?” Soalnya sambil menelan liur.

Entah bagaimana mahu mengkategorikan mahkluk ngeri yang dilihatnya. Padanya, hantu itu selalunya perempuan berambut panjang dengan baju putih dan kuku panjang. Tetapi makhluk semalam lebih kepada mutan hibrid yang tersalah DNA.

Aqasy menajamkan pandangan matanya menikam sepasang mata sang gadis. Dia mengangguk serius.

“Err.. sebenarnya macam ni… semalam.. tak tahu macam mana… maksud Feera, Feera pun tak pasti apa yang Feera nampak..” Ujar Feera.

Liur ditelan sekali lagi. Berkira-kira untuk menceritakan kejadian semalam. Risau pula kedua seniornya itu menganggapnya gila atau bermimpi. Tapi rasanya dia takde pun menonton cerita ultraman dan dinosaur yang boleh membawa kepada mimpi begitu.

“Tak apa, cerita je. Abang Qasy nak tahu.” Ujar Aqasy, cuba meyakinkan gadis tersebut.

“Feera, Feera nampak… tapi masa tu gelap, jadi Feera tak pasti sangat.. Tapi Feera nampak ada.. binatang.. err.. makhluk kat atas katil Tok Ma…” Ujarnya sambil mengimbas semula imej mahkluk tersebut.

“Makhluk…macam cicak berkepala tiga?” Potong Aqasy.

Bulat mata Zafeera memandangnya. Aqasy dan Khaliq juga saling berpandangan dan menganggukkan kepala. Zafeera masih menanti bicara Aqasy seterusnya, mengharapkan penjelasan.

“Feera, abang Qasy belum betul-betul pasti lagi… tentang semua ni… tapi…” Kata-kata Aqasy tergantung seketika.

“Macam nilah, sekarang ni, abang Qasy cuma nak minta izin Feera untuk pagarkan rumah Feera ni…” Ujarnya kemudian.

Terangkat kedua belah kening Zafeera.

“Pagar dengan ayat-ayat suci al-Quran, ikut kaedah perubatan Islam.” Sambung Khaliq, menjelaskan dengan lebih terperinci, kepada juniornya yang kelihatan bingung.

“Oh…” Sambutnya sepatah.

Aqasy mengangkatkan keningnya.

“Boleh… Feera izi…”

“Argh!”

Belum sempat Zafeera menghabiskan ayatnya, Aqasy tiba-tiba mengerang sakit sambil memegang dada.

“Qasy!” Panggil Khaliq.

Wajah Khaliq bertukar serius. Penumbuk digenggam dan pandangannya dihalakan keluar. Kelihatan kereta mewah Hilal masih kaku di situ. Khaliq terus melangkah keluar.

“A..abang Qasy ok tak?” Soal Feera panik.

“Abang Khaliq nak pergi mana tu?” Bingung dia melihat Khaliq yang selamba keluar meninggalkan Aqasy yang sedang mengerang sakit.

Khaliq membongkok mengetuk cermin tingkap kereta Hilal. Hilal yang tadinya sedang memejam rapat matanya dengan mulut yang terkumat-kamit dengan laju, terkejut. Cermin tingkap diturunkan perlahan.

Dalam masa yang sama, Aqasy kembali menegakkan badan perlahan-lahan. Sakit di dadanya spontan mereda. Bertambah bingung Zafeera dibuatnya.

“Abang Qasy kenapa, abang Qasy ok tak? Abang Qasy ada sakit jantung ke?” Soal Feera bertalu-talu.

Aqasy mengurut dadanya perlahan, mencuri nafas untuk menstabilkan diri.